*JAMIL Khir Baharom beramah mesra dengan pelajar dan guru Sekolah Menengah Agama Saadah Addiniah Alislamiah di sekolah tersebut di Sungai Limau, Jerai, Kedah, semalam. |
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, bapa beliau Baharom Ramli, 77, terlantar sakit sejak tiga tahun lalu namun tiada seorang pun pemimpin Pas datang menziarahi bapanya itu.
"Saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak tak terhingga kerana kesudian untuk ziarah bapa saya setelah bapa lumpuh tiga tahun.
"Oleh kerana sempena PRK ini ada hikmahnya, sebenarnya ada kematian di kawasan tersebut dan lepas itu orang ziarah bapa saya, kalau tidak tak ada siapa ziarah.
"Ini mainan politik yang terlampau rendah cara mainan dia, sebab Haji Baharom (bapa Jamil Khir) tak tanding apa pun dalam PRK ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama guru JQAF di Sekolah Agama Saadah Diniah Sungai Limau, di sini hari ini.
Menurut Jamil Khir, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar serta calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samat juga tidak memaklumkan kepada beliau mengenai lawatan ke rumah bapanya itu.
"Mereka tak maklum kepada saya. Ziarah tu agak tak cantiknya bila kita pergi bawa media sebab tentu keluarga yang diziarahi itu ada rasa sesuatu bila tengok gambar bapa yang lumpuh diambil gambar kakinya," ujarnya.
Tambah beliau, selepas lawatan tersebut, bapa beliau telah mengadu bahawa dia berasa tertekan dari sudut moral apabila mendapat tahu Pas menggunakannya sebagai modal kempen politik mereka.
"Kita bila ziarah orang sakit kita baca doa, bapa saya pun aminkan doa, tapi disebut kata bapa saya pula doakan mereka.
"Selepas lawatan itu, ada beberapa orang Pas datang jumpa saya dan beritahu mereka kecewa dengan pimpinan Pas yang menggunakan politik murahan sebegitu dalam kempen," jelasnya.
Sementara itu, Jamil Khir yang juga Ahli Parlimen Jerai di dalam ucapannya berkata, Bajet 2014 yang diumumkan oleh Perdana Menteri memenuhi maqasid syariah apabila mencakupi lima aspek penting dalam kehidupan rakyat iaitu pendidikan, pembinaan akal, ekonomi, keturunan dan juga nyawa.
"Hampir RM50 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi membantu Sekolah Agama Rakyat dan ia membantu mengukuhkan lagi institusi pengajian agama di negara ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment