My Add

Monday, 28 October 2013

Siapa sebenarnya boleh pejuangkan nasib penduduk Sungai Limau?

DI SEKITAR kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau ada dua poster yang menarik perhatian, satu poster memaparkan slogan 'Kalih' dan satu lagi slogan 'Kekal'.

'Kalih' adalah milik Barisan Nasional (BN) yang mahu pengundi Sungai Limau beralih menyokong parti tersebut dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 4 November ini manakala 'Kekal' adalah poster milik Pas yang mahukan penguasaan kerusi di kawasan itu terus menjadi milik mereka.

Tidak kisahlah apa juga slogan hendak digunakan tetapi persoalannya siapa sebenarnya yang boleh memperjuangkan nasib penduduk Sungai Limau selepas 4 November ini? BN mahu pengundi beralih arah kepada mereka bagi mengubah wajah kawasan tersebut atas matlamat meningkatkan taraf hidup rakyat manakala Pas pula ingin kekal di situ atas sebab-sebab politik.

Pas tidak mahu kehilangan kerusi Sungai Limau. Ini bukannya kerana mereka mempunyai agenda bagi membangunkan rakyat tetapi disebabkan takut kehilangan satu lagi kerusi DUN selepas kerajaan negeri pimpinan parti mereka tumbang dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam usaha tersebut, Pas cuba menunjukkan kononnya merekalah sebenar lebih ikhlas dalam apa sahaja yang dilakukan di Sungai Limau. Ia termasuklah juga seolah-olah menjadi pembela kepada Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang ketika hayatnya menjadi Menteri Besar terpaksa berhadapan dengan gangguan politik daripada kawan dalam parti Allahyarham sendiri.

BN pula, kalau diikutkan tidak perlu bersusah payah untuk merebut kerusi DUN Sungai Limau kerana apa juga keputusan ia tidak akan menjejaskan kedudukan dalam mentadbir kerajaan negeri.

Tetapi bukan itu yang menjadi dasar BN, dasar BN ialah membela nasib rakyat tanpa mengira apa juga fahaman politik sebab itulah BN melihat Sungai Limau penting bagi membolehkan perancangan membangunkan negeri Kedah secara keseluruhan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila pentadbiran sesuatu kawasan DUN itu sama parti dengan pentadbiran kerajaan negeri.

BN mempunyai perancangan untuk membangunkan Sungai Limau, BN bukannya datang dengan matlamat untuk meranapkan penguasaan Pas di kawasan itu semata-mata. Sebab itulah, sebelum ini pun pelbagai bantuan disalurkan tetapi dalam keadaan cukup terhad memandangkan Sungai Limau berada dalam kawasan pembangkang.

Oleh itu apabila ditakdirkan berlakunya pilihan raya kecil di Sungai Limau, ia sepatutnya dianggap satu rahmat oleh penduduk Sungai Limau untuk mereka memberi peluang kepada BN untuk berbakti di kawasan itu.

Mereka harus mengkaji apakah Pas benar-benar ikhlas dan mampu mengubah taraf hidup mereka atau sekadar mahu mempertahankan kerusi atas dasar politik. BN mahu penduduk Sungai Limau 'berani berhijrah' ke arah lebih baik.

Selama ini pun, BN sentiasa memberi perhatian kepada Sungai Limau. Pemimpin-pemimpin BN amat prihatin apabila Allahyarham Azizan terlantar sakit. Ketika Allahyarham diasak dalam kalangan pemimpin-pemimpin Pas sendiri, pemimpin-pemimpin BN termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bertindak sebaliknya termasuk menziarahi Allahyarham.

Namun apa yang kita saksikan sekarang, pemimpin-pemimpin Pas cuba menunjukkan kepada rakyat Sungai Limau kononnya mereka amat menghargai Azizan. Tetapi hakikatnya semua orang tahu betapa peritnya Allahyarham menghadapi tekanan politik daripada kalangan sesetengah pemimpin Pas Kedah.

Oleh itu, pengundi Sungai Limau khususnya penyokong kuat Allahyarham Azizan perlu memahami sandiwara pemimpin-pemimpin ini termasuklah dalam soal membangunkan taraf kehidupan mereka. Berilah peluang kepada BN dan lihat apa yang akan dilakukan oleh parti itu terhadap Sungai Limau. Jika BN gagal menunaikan janjinya maka penduduk boleh menolak parti itu dalam pilihan raya akan datang, apa yang penting berilah peluang terlebih dahulu, jika penduduk boleh memberi Pas bertahan di kawasan tersebut lebih tiga penggal, takkanlah peluang yang sama tidak boleh diberikan kepada BN? - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment