Pembangkang guna isu harga padi tarik undi
JERAI, AHAD, 27 Oktober, 2013: Golongan pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang memainkan isu harga padi sebagai antara bahan kempen mereka bagi menarik sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan 4 November ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-IV Sungai Limau Dalam, Datuk Ismail Arshad berkata, ini kerana banyak lagi subsidi dan insentif yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Katanya, harga minimum terjamin padi ialah sebanyak RM750 satu tan metrik tetapi kadar jualan semasa lebih tinggi iaitu antara RM1,120 hingga RM1,150 bagi jumlah berat yang sama.
"Malah ada kilang yang membeli lebih daripada harga berkenaan. Selain itu pendekatan yang diambil kerajaan ialah berkempen supaya pesawah dapat meningkatkan hasil tanaman. Ini kerana jika hasil lebih, pendapatan mereka juga bertambah. Namun sekiranya harga padi naik tetapi hasil tidak meningkat, pendapatan mereka pun tidak banyak berubah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan Pas yang menggunakan isu harga padi dalam kempen PRK DUN Sungai Limau termasuk dalam ceramah mereka.
Menurut Ismail, pesawah kini menikmati pelbagai subsidi dan insentif menerusi program transformasi pertanian yang dilaksanakan kerajaan yang membantu meringankan beban mereka untuk mengusahakan sawah selain meningkatkan pendapatan.
Antaranya, kata beliau, ialah tambahan subsidi harga padi sebanyak RM248.10 satu tan, Skim Baja Padi Padi Kerajaan Persekutuan melibatkan baja sebatian dan urea (RM170.39 serelung semusim) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi RM69.05 serelung semusim meliputi baja organik serta upah membajak.
"Begitu juga dengan Insentif Pengeluaran Padi dan Beras Negara iaitu baja campuran dan racun perosak sebanyak RM175.77 serelung untuk satu musim," katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi manakala pesawah yang menyertai projek estet padi turut menerima isentif Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) bagi meningkatkan hasil pertaniang masing-masing.
Di PPK F-IV Sungai Limau Dalam, sekurang-kurangnya 240 pesawah terlibat dan projek sawah bersepadu berkenaan dengan jumlah insentif yang dikeluarkan kepada perserta bagi musim 1/2013 sebanyak RM83,5934.
Katanya, kesungguhan kerajaan memartabatkan sektor pertanian dan perladangan sebagai agenda penting negara terbukti apabila sentiasa menerima peruntukan besar setiap tahun.
"Dalam Belanjawan 2014, sektor ini mendapat RM6 bilion dengan lebih RM2 bilion melibatkan pelbagai pemberian subsidi dan insentif pertanian melibatkan industri padi serta beras negara," katanya.
Sehubungan itu, Ismail berharap para pesawah memanfaatkan pelbagai bantuan tersebut dan tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang memainkan isu harga padi selain meminta mereka bersyukur dengan apa yang ada.
Beliau juga mengingatkan semua pihak berhubung firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 144 yang menegaskan, '... sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang bersyukur'. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment