*MUKHRIZ mahathir, Ahmad Maslan (dua dari kanan) dan Ahmad Bashah Hanipah menunjukkan isyarat bagus selepas majlis Perasmian Pusat Transformasi Komuniti Bergerak di Simpang Tiga, Sungai Limau, Jerai, Kedah, semalam. |
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri telah menegaskan bahawa secara umumnya sebarang projek pembangunan yang ingin dibawa ke mana-mana kawasan di Kedah perlu mendapat maklum balas daripada masyarakat di situ.
Justeru, menurut beliau, rakyat tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri tidak akan melakukan perkara yang merugikan mereka.
"Jika ada tentangan yang berasas terhadap mana-mana projek, maka kita akan pertimbangkannya semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Hanipah di- Sungai Limau di sini semalam.
ZIPY yang ditukar kepada projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (Sulihh) selepas Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008 itu adalah projek penapisan minyak di kawasan laut yang ditambak di Sungai Limau, di sini dan minyak mentah dari Asia Barat akan diimport serta diproses dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji tersebut siap.
Menurut Mukhriz, dalam soal ZIPY, kerajaan negeri ada menerima rungutan daripada masyarakat yang mengusahakan bendang di kawasan persisiran pantai Yan di Sungai Limau.
Berikutan itu, kata beliau, meskipun kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk membina zon industri petroleum yang bernilai berbilion ringgit namun masih terdapat masalah sebagaimana yang disebutkan.
"Maka kita tangguhkan dahulu. Hendak kata batal pun, itu terpulang kepada masyarakat di situ. Kalau dirasakan atas sebab tertentu mungkin mereka sudah tukar fikiran, maka barulah kita boleh mempertimbangkan semula," jelasnya.
Sementara itu, mengenai Mobile CTC, beliau berkata, ia merupakan usaha yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam membawa kesejahteraan rakyat dengan mendekatkan perkhidmatan penting kepada mereka.
Kata beliau, penduduk boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti permohonan Mykad, lesen memandu, pemeriksaan mata, pos bergerak dan khidmat nasihat keusahawanan.
Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan akan meneruskan sesi berjumpa rakyat di seluruh negara menerusi program Mobile UTC.
Kata beliau, bagi meningkatkan lagi keberkesanan program berkenaan, bilangan bas dan van akan ditambah sebagaimana yang disebutkan dalam pembentangan Belanjawan 2014 kelmarin. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment