My Add

Monday, 28 October 2013

RM50 juta untuk institusi pendidikan Islam bukan 'gula-gula' PRK

 *ASHIQ Elahi Mat Desa bersama pelajar pondok di hadapan sekolah pondok baharu yang telah dimodenkan setelah dibantu oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz Mahathir di Pondok Bukit Kobah, Pendang, Kedah, semalam.
PENDANG, AHAD, 27 Oktober, 2013: Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Cawangan Kedah yakin peruntukan RM50 juta dalam Bajet 2014 bagi membantu institusi pendidikan Islam di negara ini seperti sekolah pondok bukan 'gula-gula' kerajaan bagi meraih sokongan pengundi.

Timbalan Pengerusinya, Ashiq Elahi Mat Desa berkata, pembentangan bajet itu secara kebetulan jatuh semasa tempoh kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Limau sedang berjalan.

"Bagi saya bukan gula-gula sebab kita tengok sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi kerajaan telah berjanji untuk membantu kita tetapi ada kawan-kawan yang tidak percaya janji kerajaan ini.

"Kini peruntukan yang saya kira terbesar di dalam sejarah negara telah diberikan kepada institusi pendidikan Islam dan saya nampak ada keikhlasan di pihak kerajaan untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan juga sekolah pondok.

"Memang kebetulan bajet dibentang dalam musim PRK ini dan kalau ada pihak yang kata peruntukan ini hanya 'gula-gula' untuk tarik sokongan, kerajaan juga telah umumkan pemansuhan subsidi gula yang tentunya akan mengurangkan populariti kerajaan sepanjang kempen PRK ini," katanya ketika ditemui di Maahad Al-Fathoni Pondok Bukit Kobah, di sini hari ini.

Menurutnya, pihak yang mentadbir sekolah-sekolah pondok, sekolah agama rakyat serta sekolah agama bantuan kerajaan perlu bersyukur dengan peruntukan yang telah diberikan bagi menaikkan martabat institusi agama di negara ini.

"Bagi saya itu namanya orang dah buat jasa baik kepada kita kita patut balas budi yang baik itu.

"Kerajaan pun tak paksa kita mengundi kerajaan, dia bagi ikhlas,setiap undi adalah rahsia dan di sebelah rakyat kita patut kenang jasa orang yang bagi pada kita.

"Bila kerajaan tak bantu, dikatanya kerajaan zalim tak bantu sekolah agama. Sebenarnya tak layak untuk rakyat tuduh kerajaan ini tak Islamik sebab kerajaan bersungguh-sungguh menjaga agama Islam," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment