Tetap berjuang bersama BN, Najib pilihan terbaik
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Oktober, 2013: Gerakan akan tetap bersama Barisan Nasional (BN) dan menyokong perjuangan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun terdapat desakan supaya parti itu bertindak menjadi sebuah parti bebas.
Perkara itu ditegaskan Datuk Mah Siew Keong yang baharu dipilih sebagai Presiden Gerakan bagi menjawab pelbagai usul yang dicadangkan perwakilan parti tersebut sepanjang sesi Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, di sini hari ini.
Antara usul yang dicadangkan perwakilan ialah supaya Gerakan keluar daripada BN atau menyertai pembangkang susulan kekalahan teruk parti itu dalam dua pilihan raya umum lepas.
Menurut Siew Keong, tiada alasan untuk Gerakan bertindak sedemikian kerana BN dan polisi kepimpinan Najib adalah pilihan terbaik berbanding pembangkang.
"Kita ada 2,400 perwakilan dan ini (keluar BN) adalah pendapat beberapa perwakilan sahaja dan tidak mewakili semua. Ada juga yang tidak bersetuju dengan usul berkenaan.
"(Mungkin) akan kaji usul itu tetapi buat masa ini, kita percaya kepada Pengerusi parti (Najib), polisinya dan BN. Tiada niat (keluar) dan kita akan tetap bersama untuk memperkuatkan BN," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi penggulungan dan penangguhan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, di sini hari ini.
Kepada soalan berhubung 'cakap-cakap' perwakilan yang menyalahkan UMNO atas kekalahan Gerakan dalam pilihan raya umum, beliau memberitahu, kini bukannya masa untuk setiap parti komponen BN saling menyalahi antara satu sama lain.
''Hentikan sikap ini dan paling penting sekarang adalah untuk kita memperkukuhkan parti serta menyumbang kepada kekuatan BN," tegasnya.
Berhubung usul supaya Najib memberikan jawatan dalam Kabinet kepada Ahli Parlimen Gerakan dari Simpang Renggam, Liang Teck Meng, beliau berkata, perkara itu terserah kepada Najib.
Sementara itu dalam sidang akhbar sama, bekas Pemangku Presiden Gerakan yang tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini, Datuk Chang Ko Youn menegaskan beliau tidak akan bersara daripada politik dan akan terus membantu parti terutama di peringkat Bahagian Beruas yang dipimpinnya.
''Saya akan terus membantu parti dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan baharu dalam menentukan jawatan. Tetapi saya bukan seorang yang suka meminta-minta (jawatan), itu bukan prinsip parti," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment