My Add

Thursday, 26 September 2013

Budaya inovasi penting - Najib

Oleh Zulkefli Hamzah

*NAJIB Tun Razak menunjukkan gambar kedudukan Putrajaya ketika melawat Ibu Pejabat Google di Mountain View, San Francisco, Amerika Syarikat, kelmarin. Turut mengiringi ialah Ahmad Shabery Cheek (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali. - BERNAMA
SAN FRANCISCO, RABU, 25 Sepember, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatannya ke Google, Facebook dan Twitter sebagai satu pengalaman baharu yang sangat menarik bukan sekadar tentang produk dihasilkan tetapi budaya inovasi yang diamalkan.

Beliau yang melawat Google dan Facebook semalam (Selasa) manakala ke Twitter kelmarin dalam siri lawatan untuk Perdana Menteri merasai pengalaman baharu di Lembah Silikon berkata, budaya inovasi penting kerana ia menentukan apa juga inovasi dapat dijayakan.

“Pengalaman yang sangat menarik, memberi pengalaman baharu bukan sahaja tentang produk tetapi cara hidup terutamanya budaya inovasi," katanya kepada pemberita selepas memandu uji kereta tanpa pemandu Google di Ibu Pejabat Google di Mountain View di sini.

Dalam lawatan kira-kira tiga jam itu, Perdana Menteri turut mencuba cermin mata Google yang merupakan produk baharu menggunakan arahan suara melalui internet dan boleh dilihat mengikut waktu sebenar.

Kata Najib, Google mengiktiraf Malaysia yang menggunakan teknologi terkini syarikat itu untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

Mengulas pertemuannya dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg di ibu pejabat media sosial itu di Menlo Park, Perdana Menteri berkata, Facebook menyatakan kesanggupan untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi meningkatkan lagi hubungan kerajaan dengan rakyat.

Tambah beliau, tawaran kerjasama itu termasuk untuk membolehkan kerajaan menyalurkan maklumat kepada rakyat secara lebih menyeluruh.

Malaysia berada di tangga ke-18 dalam senarai pengguna Facebook dengan 12.7 juta pengguna setakat ini.

Lawatan Perdana Menteri ke Lembah Silikon yang diakhiri dengan pertemuan bersama komuniti hab teknologi dan inovasi paling dinamik di dunia itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Komunikasi dan Mulltimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan II , Datuk Seri Idris Jusoh.

Perdana Menteri berlepas ke New York petang semalam untuk menghadiri sesi ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 hingga 28 September ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment