Tingkatkan perdagangan negara-negara OIC
KUALA LUMPUR,, RABU, 25 September, 2013: Perdagangan Malaysia dengan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu dipertingkatkan kerana mengalami penurunan sebanyak 4.1 peratus kepada RM89.47 bilion (AS$27.75 bilion) bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Pada tahun lepas, bagi tempoh yang sama, perdagangan antara Malaysia dan negara-negara OIC bernilai RM93.24 bilion (AS$28.92 bilion).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamed berkata, langkah tegas perlu diambil bagi memastikan perdagangan mahupun pelaburan melibatkan negara-negara OIC meningkat.
"Penurunan perdagangan yang sedikit ini didorong oleh kedudukan ekonomi yang belum pulih dan kenaikan beberapa harga barangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembukaan pameran OIC World Biz yang keempat dan Forum Ekonomi dan Perdagangan OIC Asia disini hari ini.
Pada majlis itu, Mustapa turut menyampaikan Anugerah 'Jewels of the Muslim World' kepada Pengerusi AmBank Group, Tan Sri Azman Hashim sebagai pengiktirafan sumbangan beliau kepada dunia Islam.
Beliau berkata, OIC telah menjadi rakan strategik ekonomi negara dan adalah penting bagi meningkatkan hubungan itu di masa depan.
"Kita menggalakkan pelabur dari negara-negara OIC untuk melabur di negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang penting serta menjadi tumpuan dalam rantau ASEAN," katanya.
Pameran tersebut berlangsung selama empat hari bermula hari ini dengan kira-kira 50 penggiat industri daripada 60 buah negara di seluruh dunia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment