APA lagi tohmahan dan putar belit pembangkang setelah Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan rakaman video situasi sebenar perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur 9 Julai lalu bagi menangkis tohmahan terhadap pasukan tersebut.
Menurut laporan media, dalam rakaman selama 1 jam 30 minit itu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Salleh Mat Rasid memberi taklimat kepada media dan beberapa NGO berhubung beberapa kejadian yang diputar belitkan oleh pihak tertentu dengan tujuan mencemarkan imej PDRM.
Antaranya mengenai tohmahan membabitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mendakwa dia dilanggar kenderaan polis, tindakan provokasi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua terhadap pihak polis dan peristiwa tembakan gas pemedih mata di Hospital Tung Shin.
Turut ditayangkan situasi membabitkan peserta perhimpunan, Allahyarham Baharudin Ahmad, 59, yang didakwa meninggal dunia kerana sesak nafas selepas terkena gas pemedih mata dan rakaman mengenai peserta perhimpunan Bersih, Shuhardi Md. Isa yang didakwa sebagai Baharudin.
Dalam kes membbitkan Mohamad Sabu, rakaman video menunjukkan peta perjalanan pemimpin nombor dua Pas itu yang membonceng sebuah motosikal bersama seorang lelaki menggunakan Jalan Maharajalela dari Mandarin Court ke lokasi kejadian di kawasan perumahan Sri Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur.
Motosikal yang dinaiki Mohamad Sabu tidak dilanggar oleh kenderaan polis seperti yang didakwanya, sebaliknya dia terjatuh sendiri selepas membuat pusingan U di kawasan tersebut.
Salleh berkata, hasil siasatan menunjukkan Mohamad Sabu terjatuh selepas motosikal yang dinaiki hilang kawalan di sebelah kanan jalan. Hasil pemeriksaan kesihatan menunjukkan tiada kecederaan serius disebabkan kemalangan dan beliau hanya mendapat rawatan pesakit luar.
Menurut Salleh, pihaknya sedang mencari seorang lelaki dikenali sebagai Shuhardi Md. Isa dipercayai peserta utama yang bertindak membangkitkan provokasi terhadap polis ketika perhimpunan haram itu.
Salleh berkata, terdapat empat tindakan provokasi Shuhardi yang berjaya dirakam pihak polis iaitu mengadakan solat di tengah Jalan Pudu, mengarahkan peserta-peserta perhimpunan supaya duduk dengan dialog "polis tidak datang kita gagal, jika tidak datang kita gagal", mara ke arah polis ketika diarahkan bersurai dan berlakon sesak nafas yang telah dimanipulasi pihak tertentu sebagai Baharudin.
Tohmahan berhubung kematian Baharudin pula jelas ditunjukkan menerusi rakaman video di bangunan Avenue-K ketika Allahyarham berlari memasuki bangunan berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada hari kejadian pada pukul 4.30 petang.
Rakaman itu turut menunjukkan sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.07 petang untuk membawa Allahyarham ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), selepas pihak kecemasan menerima panggilan kira-kira 17 minit sebelum itu.
Menurut Salleh, rakaman dari menara KLCC dan Avenue-K menunjukkan tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Allahyarham meninggal dunia, sebaliknya bantuan awal diberi anggota polis bantuan.
Katanya, hasil bedah siasat menunjukkan Allahyarham tidak mengalami sebarang kecederaan di luaran atau dalaman seperti lebam, calar atau luka serta menjelaskan kematiannya mempunyai kaitan dengan serangan jantung. Berikutan itu, ia jelas menafikan tohmahan Allahyarham meninggal dunia akibat dipukul polis dan terkena gas pemedih mata.
Dalam kejadian sebenar di Hospital Tung Shin, Salleh berkata, pihaknya mengakui gas pemedih mata dilepaskan bagaimanapun ia dilakukan di lorong tengah antara sebuah bangunan kosong dan hospital berkenaan.
Mengenai situasi di Stesen KL Sentral yang menbabitkan Tian Chua, Salleh berkata, polis telah mengeluarkan sembilan kali amaran supaya penunjuk perasaan bersurai tetapi mereka berdegil dan terus melakukan provokasi. Rakaman video menunjukkan aksi-aksi provokasi Tian Chua terhadap pihak polis.
Secara keseluruhan, Salleh menegaskan, tiada sebarang kecederaan serius atau kematian yang dikaitkan secara langsung pada hari perhimpunan haram.
Rakaman itu turut menunjukkan layanan baik polis terhadap pemimpin Bersih termasuk Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Zulkifli Ahmad dan Pengerusi Bersih, S. Ambiga.
Sehubungan itu, Salleh menasihat mana-mana pihak agar tidak memuat naik sebarang bahan atau artikel yang tidak menggambarkan situasi atau fakta sebenar perhimpunan haram berkenaan.
Pihak polis, katanya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak
yang menyiarkan laporan dan dakwaan palsu. Jika terdapat rakaman yang menunjukkan pihak polis melakukan tindakan menyalahi SOP, Salleh meminta mereka tampil membuat laporan polis dan akan disiasat. Mana-mana anggota atau pegawai yang melanggar SOP akan dikenakan tindakan sewajarnya.
No comments:
Post a Comment