My Add

Saturday 31 May 2014

300 ahli PKR ugut keluar parti jika Rafizi menang

KEMAMAN, SABTU 31 Mei, 2014: Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kemaman menerima tamparan apabila kira-kira 300 ahlinya mengugut untuk keluar parti beramai-ramai jika keputusan pemilihan jawatan ketua cabang itu berpihak kepada Rafizi Ramli.

Bekas Ketua Ranting PKR Jalan Jakar, Teow Chew Huat, 58, mendakwa, tindakan itu akan diambil sebagai tanda protes terhadap tindakan pihak tertentu menggugurkan bekas naib ketua, Lee Sang Liem daripada bertanding jawatan timbalan pada saat-saat akhir.

Menurutnya, kira-kira 200 ahli PKR sekitar Air Jernih dan 100 ahli di Jalan Jakar yang majoritinya berketurunan Cina akan mengambil tindakan itu apatah lagi, beliau percaya majoriti ahli sebenarnya lebih menyenangi pencabar Rafizi iaitu Mohd. Ramlee Hamzah.

Katanya, tindakan menghalang Sang Liem daripada bertanding amat dikesali memandangkan bekas Naib Ketua Cabang itu merupakan seorang komited dan sangat setia kepada parti.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas selesai proses Pemilihan Cabang PKR Kemaman di sini hari ini.

Chew Huat berkata, beliau dan rakan-rakan lain nekad keluar PKR sekiranya calon pilihan mereka iaitu Mohd. Ramlee tewas kepada Rafizi dan kemungkinan menyertai DAP.

“Kalau nak main kotor macam ini, lebih baik tak buat pemilihan, kekalkan saja kepimpinan yang ada sekarang, kalau nak buat juga biarlah telus," tegasnya. - UTUSAN ONLINE
Malaysia dan China setuju tingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Malaysia dan China hari ini memeterai Pernyataan Bersama yang antara lain menyentuh mengenai peningkatan kerjasama dalam perdagangan dan hubungan rakyat dengan rakyat di samping menggesa bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Li Keqiang memeterai pernyataan itu dengan disaksikan lebih 300 tetamu semasa upacara sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara di Dewan Besar Rakyat di sini.

Najib dan Li, yang mengambil kira kemajuan yang dicapai lebih 40 tahun lalu dalam hubungan, bersetuju untuk merangka rancangan bagi pembangunan masa depan serta mengulangi pematuhan prinsip menghormati kemerdekaan, kedaulatan dan keutuhan wilayah satu sama lain.

Malaysia juga menghargai sumbangan China dalam usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sementara Beijing menyambut baik jaminan Malaysia untuk meneruskan operasi mencari sehingga MH370 ditemui.

Satu lagi perkara penting dalam pernyataan bersama ialah kedua-dua bank pusat akan bekerjasama untuk mempercepatkan penggunaan mata wang tempatan untuk urusan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara dan menggalakkan usaha membangunkan infrastruktur sokongan yang perlu. - Bernama
Lelaki warga emas maut dalam kebakaran di Taman Rasah Jaya

SEREMBAN, SABTU 31 Mei, 2014: Seorang lelaki warga emas ditemui mati apabila sebuah bilik terbakar dalam satu kejadian di sebuah rumah teres di Taman Rasah Jaya di sini hari ini.

Mayat K. Gunasingham, 60, ditemui dalam sebuah bilik di tingkat atas dan mangsa dipercayai mati akibat terhidu asap tebal dan tidak sempat menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohd Azli Mohd Arus berkata, dua jentera dan 15 anggota dari balai itu dikejar ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan pada 11.11 pagi.

Beliau berkata, semasa tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian, pihaknya mendapati kebakaran itu sudah dipadamkan orang awam.

"Pemeriksaan mendapati seorang mangsa telah mati di atas katil di dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah teres itu dan mangsa maut dipercayai lemas akibat asap dalam kebakaran itu. - Bernama
Rakyat boleh kemuka idea untuk Bajet 2015

BANGI, SABTU 31 Mei, 2014: Orang ramai yang ingin menyumbang idea mereka untuk Bajet 2015 boleh berbuat demikian selewat-lewatnya akhir Julai ini.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, mereka boleh menghantar e-mel kepada Kementerian Kewangan untuk berkongsi idea supaya dapat dipertimbangkan.

"Idea rakyat amat diperlukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat. Berikan idea yang sesuai dan kita akan lihat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Konvensyen Muamalah Kewangan Islam 2014 di sini hari ini.

Sehingga kini, kementerian telah menerima 54 memorandum berhubung Bajet 2015 dan antara idea yang diberi adalah isu kos sara hidup, perniagaan, pendidikan dan pertumbuhan ekonomi, katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2015 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober depan. - Bernama
Warga Britain yang hilang di Pulau Tioman belum ditemui

KUANTAN, SABTU 31 Mei, 2014: Warga Britain yang dikhuatiri hilang di kawasan Air Terjun Lubuk Teja, Pulau Tioman Selasa lepas masih belum ditemui.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan anggota bomba, Unit K9, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk setempat masih belum menemui sebarang petunjuk.

Gareth David Huntley, 34, seorang anggota sukarelawan di Projek Penyu Juara di Kampung Juara pulau itu dilapor hilang ketika pergi sendirian di kawasan air terjun berkenaan.

Difahamkan rakan dan saudara maranya telah membuat rayuan di laman Facebook ’Find Gareth Huntlety’ bagi membantu mencarinya.

Mereka turut akan turut datang ke Malaysia. - Bernama
Hoki Piala Dunia: Malaysia sukar atasi Australia

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Pasukan negara cuba memberi tentangan sengit di awal permainan, namun kehebatan Australia selaku pilihan utama dan juara bertahan sukar digugat apabila membenam Malaysia 4-0 dalam perlawanan pembukaan kejohanan hoki Piala Dunia di The Hague, Belanda, sebentar tadi.

Dua jaringan Glenn Turner pada minit ke-25 dan 54, selain gol menerusi Eddle Ockenden serta Jamle Dwyer, masing-masing di minit ke-50 dan 52 menghadiahkan kekalahan kepada anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah dalam aksi pertama Kumpulan A.

Selain Australia, pasukan negara yang menetapkan sasaran 10 terbaik pada kejohanan kali ini turut diletak bersama England, Belgium, India dan Sepanyol. - UTUSAN ONLINE
Kanak-kanak maut terjatuh dari tingkat 3 pusat beli-belah

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas terjatuh daripada tingkat 3, pusat beli-belah The Garden, di sini hari ini.

Mangsa, Nurul Emielda Nadia Sallehudin, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian belakang kepala dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang. - UTUSAN ONLINE
Mayat lelaki dipercayai suspek kes bunuh Siti Soffea ditemui

SUBANG JAYA, SABTU 31 Mei, 2014: Mayat seorang lelaki dipercayai suspek kes pembunuhan kejam kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda ditemui di Sungai Klang, berhampiran Tol Bandar Sunway, di sini hari ini.

Mayat lelaki itu ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor kira-kira pukul 4 petang, hasil operasi pencarian yang dijalankan sejak semalam. - UTUSAN ONLINE
Empat gempa bumi semalam tidak memberi kesan kepada negara

KUALA LUMPUR, SABTU 31 Mei, 2014: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan kejadian empat gempa bumi yang dilaporkan semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail.

Katanya, kesemua gempa yang direkod semalam dan dilaporkan oleh jabatan itu tidak akan memberi kesan kepada negara kerana pergerakan gempa yang direkod, berada jauh dari Malaysia.

``Rekod gempa bumi yang kami terima memang banyak berlaku di seluruh dunia, ia bukan suatu yang luar biasa, dan gempa bumi yang direkodkan semalam adalah terlalu jauh dari Malaysia, oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu bimbang,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam Jabatan Meteorologi melaporkan empat gempa sederhana direkodkan di empat kawasan berlainan dan kesemua gempa itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.

Gempa yang pertama berlaku di di Flores Region, Indonesia pada pukul 8.56 pagi berukuran 5.2 skala Richter, disusuli sempadan Myanmar-China pada 9.20 pagi (5.6 skala Richter), manakala Volcano Islands, Japan Region pada pukul 7.38 malam (5.0 skala Ricther) dan Mindanao, Filipina pada 11.26 malam (5.3 skala Richter).

Che Gayah, dalam pada itu berkata, pihaknya akan terus memantau pergerakan gempa bumi dari semasa ke semasa. - BERNAMA
Hadi Awang  beri respon positif terhadap ubat-ubatan

Oleh ROSALINDA MD.SAID

KUALA TERENGGANU, SABTU 31 Mei, 2014: Keadaan kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan mengalami komplikasi jantung dan paru-paru berair semakin baik apabila beliau memberi respon positif terhadap ubat-ubatan yang diberikan.

Setiausaha Politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Abdul Hadi masih berada di Hospital Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul dan ketika ini pihaknya menunggu perkembangan terkini daripada doktor. - UTUSAN ONLINE
Australia lencong penerbangan ekoran asap gunung berapi

MELBOURNE, SABTU 31 Mei, 2014: Pihak Perkhidmatan Udara Australia mula melencong penerbanagan pesawat antarabangsa bagi mengelak asap tebal yang berlaku dari letupan gunung berapi di Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, penerbangan di bahagian utara Australia mungkin terjejas buat beberapa hari.

Gunung Sangeang Api di pulau Sumbawa dilapor meletus sekurang-kurangnya tiga kali sejak Jumaat lalu.

Australian Associated Press melaporkan penerbangn dari dan menuju Lapangan Terbang Antarabaangsa Darwin telah dibatalkan hari ini (Sabtu) kerana debu merentasi kawasan Top End dan menghala ke Alice Springs.

Truss berkata, debu berlaku antara 6 hingga 13 kilometer di atmosfera dan sedang menghala ke barat daya utara Australia.

``Bergantung kepada keadaan angin dan cuaca, debu boleh menjejaskan penerbangan dari dan menuju ke lapang terbang lain termasuk Brisbane, dalam tempoh beberpa hari ini. Ia sedang dipantau sepenuhnya,'' katanya dalam satu kenyataan.

Perkhidmatan Udara Australia, Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam dan Biro Meteorologi sedang memantau debu.

Para penumpang diminta mendapat maklumat lanjut daripada syarikat penerbangan mereka. - BERNAMA
Malaysia-China meterai Pernyataan Bersama

Oleh ROZAMAN ISMAIL

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Li Keqiang menandatangani Pernyataan Bersama sempena 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia- China.

Lebih bermakna, majlis bersejarah itu berlangsung di Dewan Barat, Dewan Agung Rakyat, tempat yang sama ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein menandatangani pernyataan serupa 40 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE.
Najib janji teruskan legasi hubungan dengan China

Oleh ROZAMAN ISMAIL

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji akan meneruskan legasi ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein dalam memastikan hubungan 40 tahun Malaysia-China terus kukuh dan bermakna. - UTUSAN ONLINE.
Najib hadir sambutan ulang tahun hubungan diplomatik dengan China

Oleh ROZAMAN ISMAIL

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang hadir pada sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Dewan Agung Rakyat di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE.
Seludup dadah: Wanita Thailand ditahan

Oleh ANI AWANG

KEPALA BATAS, SABTU 31 Mei , 2014: Seorang wanita warga Thailand ditahan kerana disyaki menyeludup dua beg berisi dadah di Plaza Tol Sungai Dua di sini malam tadi.

Wanita itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi bersepadu. - UTUSAN ONLINE
Mangsa culik dihantar pulang hari ini

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

SEPANG, SABTU 31 Mei, 2014: Kerajaan akan menghantar pulang mangsa culik warga China, Goa Huayun, 29, yang diselamatkan semalam ke negaranya hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, urusan perjalanan pulang wanita terbabit akan disegerakan bagi membolehkan dia bertemu ahli keluarganya secepat mungkin.

"Dia sudah lama tidak bertemu keluarganya sejak diculik, jadi penghantarannya ke China akan diuruskan hari ini juga," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Siew Keong mengundi di SMK Sultan Abdul Aziz

Oleh ROKIAH ABDULLAH

TELUK INTAN, SABTU 31 Mei, 2014: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong tiba kira-kira pukul 9.05 pagi di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz di sini untuk mengundi.

Beliau yang tiba bersama isterinya, Datin Yeoh Pooi Hoon, berkesempatan bersalaman dengan para pengundi di luar pusat pengundian tersebut.

Siew Keong yang mengundi di saluran tiga meninggalkan sekolah tersebut kira-kira 15 minit kemudian. - UTUSAN ONLINE
Dua pemuda Orang Asli maut motosikal dilanggar ketika buat pusingan U

KUANTAN, SABTU 31 Mei, 2014:  Dua pemuda Orang Asli maut selepas motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika membuat pusinngan U di Kilometer 54, Jalan Nenasi-Rompin dekat Pekan awal hari ini.

Dalam kejadian 12.45 tengah malam itu, Zamri a/l Siatek, 27, terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya Azahar a/l Lamat, 18, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Kedua-dua mangsa tinggal di Kampung Jong, di Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, kenderaan pacuan empat roda dari arah Pekan menuju ke Rompin itu dikatakan melanggar motosikal yang ditunggangi mangsa yang secara tiba-tiba membuat pusingan U di tempat kejadian.

Tambahnya, pemandu berusia 43 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Warga emas maut terhidu asap dalam kebakaran

 * ANGGOTA bomba mengusung mayat Soon Tian yang maut dalam kebakaran di rumahnya di Ambang Botanic 2, Klang di sini hari ini. - KOSMO!
KLANG, SABTU 21 Mei, 2014: Seorang lelaki warga emas maut selepas terhidu asap tebal akibat kebakaran di bilik tidurnya di Ambang Botanic 2, di sini pagi tadi.

Kejadian disedari oleh pengawal keselamatan rumah teres dua tingkat itu kira-kira pukul 7.06 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku pukul 6.45 pagi dan pihaknya yang menerima panggilan pukul 7.06 pagi bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika kejadian, tiga orang mangsa berada di rumah dan mangsa, Yap Soon Tian, 75, yang tidur di bilik bawah tidak berjaya menyelamatkan diri.

"Dua lagi mangsa iaitu anak Soon Tian yang juga pemilik rumah berkenaan, Yap Chee Keong, 46, serta cucu Soon Tian, 12 tahun berjaya keluar dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk bedah siasat dan siasatan lanjut mengenai punca kejadian masih dijalankan. - KOSMO!
Aktivis Thailand desak demonstrasi dibenarkan

 * SEORANG pelancong merakamkan gambarnya bersama askar-askar Thailand dekat Monumen Kemenangan di Bangkok semalam.
BANGKOK, JUMAAT 30 Mei, 2014: Seorang aktivis antirampasan kuasa di Thailand, Sombat Boongam-anong semalam menggesa agar satu perhimpunan diadakan pada hujung minggu ini untuk menentang larangan berdemonstrasi yang dikuatkuasakan junta tentera.

Aktivis tersebut turut menggesa para penunjuk perasaan yang mahu menyertai perhimpunan itu supaya memakai topeng dan bersedia untuk menghadapi tindakan pihak tentera.

Gesaan untuk mengadakan perhimpunan itu esok turut mencetuskan kebimbangan tercetusnya konfrontasi antara tentera dan rakyat.

Junta tentera sebelum ini melarang perhimpunan politik dan memberi amaran ia tidak akan bertoleransi terhadap bantahan rampasan kuasa yang berlaku pada 22 Mei lalu.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menentang rampasan kuasa ini," kata timbalan jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree.

Ketua junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mempertahankan rampasan kuasa tersebut sebagai kaedah untuk mengembalikan ketenteraman selepas Thailand dilanda krisis politik yang semakin ganas sejak tujuh bulan lalu.

Sejak seminggu lalu, junta tentera bertindak untuk menutup mulut pengkritik-pengkritik rampasan kuasa itu.

Tentera Thailand sejak seminggu lalu telah memanggil lebih 250 orang untuk menyerah diri termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan, pemimpin politik, wartawan dan aktivis yang menentang rampasan kuasa tersebut.

Kira-kira 70 orang masih ditahan sehingga kini.

Antara yang dipanggil untuk menyerah diri termasuk aktivis Sombat yang bersekutu dengan kumpulan Baju Merah.

Sombat kini bersembunyi tetapi memuat naik gesaan untuk mengadakan protes itu di laman Facebooknya.

Dia meminta 10,000 orang supaya hadir dengan memakai topeng untuk 'meraikan rampasan kuasa tersebut'.

"Tiada keperluan untuk bertindak agresif dalam menentang rampasan kuasa ini. Senyumlah dan bertenang," kata Sombat.

"Topeng yang anda pakai sudah cukup untuk menjatuhkan maruah junta tentera," tambahnya. - Agensi/KOSMO!
Seludup diesel: Cari titik noktah

Oleh SOFIAN BAHAROM

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS) mendesak kerajaan segera mengkaji semula mekanisme pemberian diesel bersubsidi bagi mencari titik noktah terhadap kegiatan penyeludupan bahan api itu yang berleluasa ketika ini.

Pengerusi GASS, Ruslan Kassim berkata, kerajaan tidak boleh lagi menangguhkan kajian semula itu kerana isu ketirisan diesel bersubsidi adalah serius dan menuntut tindakan yang proaktif bagi membendung kegiatan berkenaan.

Menurutnya, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan memikirkan kaedah dan amalan terbaik bagi memastikan kegiatan yang mengakibatkan kerugian kepada negara itu tidak terus menjadikan rakyat serta pengguna amnya, sebagai mangsa.

"GASS mendapati antara lain, amalan buruk, jijik dan hina itu berlaku dalam pelbagai bentuk yang melibatkan banyak pihak mengakibatkan berlakunya ketirisan, rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan wang rakyat dan penipuan dalam bentuk pengeluaran resit-resit palsu.

"Selain itu, berlaku penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa pihak yang diberi amanah dan tanggungjawab selain penyeludupan serta konspirasi oleh pelbagai pihak termasuk persatuan nelayan kawasan, pemilik bot, pengusaha jeti, pengusaha stesen minyak, pemilik tangki minyak haram, pemilik depot dan pengusaha kilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menggesa kerajaan agar mengkaji semula mekanisme pemberian diesel bersubsidi memandangkan suruhanjaya itu telah mengesan banyak ketirisan dalam proses pembahagian bahan bakar berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, saranan ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mencegah kegiatan penyeludupan diesel yang mengakibatkan kerugian wang kepada kerajaan.

Menurut beliau, sejak lima tahun lalu, SPRM telah melakukan 90 tangkapan membabitkan penyelewengan diesel melibatkan pihak berkuasa dan kumpulan yang ingin menjalankan aktiviti itu.

Mengulas lanjut, Ruslan menjelaskan, GASS melihat pelaku-pelaku yang terlibat dalam aktiviti haram tersebut bukan sahaja bertindak bertentangan dengan nilai-nilai agama tetapi juga dari segi moral dan undang-undang.

Kata beliau, GASS juga mahu penggunaan minyak subsidi tersebut hanya akan diberi kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan kerana sistem yang digunakan kini menyebabkan orang kaya turut mendapat manfaat malah, golongan itulah sebenarnya paling banyak mendapat faedah daripada pemberian subsidi berkenaan.

"Sudah terang lagi bersuluh bahawa sistem yang digunakan sekarang adalah 'tempang' dan perubahan secara drastik dan tegas wajib dilakukan agar 'kera di hutan tidak disusukan, anak di pangkuan tidak akan mati kelaparan," ujarnya. - UTUSAN
Tiada wang tebusan dibayar

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

 
KOTA KINABALU, JUMAAT 30 Mei, 2014: Operasi menyelamat dua mangsa culik di Singamata Resort, Semporna dekat sini awal April lalu menemui kejayaan apabila kedua-duanya berjaya dibawa pulang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari kepulauan Jolo, Filipina pagi ini.

Menurut sumber, pelajar dari Shanghai, China dan seorang wanita Filipina yang menjadi mangsa culik di resort tersebut berjaya dibawa keluar oleh dua pegawai PDRM dari sebuah kem di kepulauan Jolo, selatan Filipina dan tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang ini.

Katanya, dua pegawai PDRM itu telah bertolak ke kem di Kepulauan Jolo pada pukul 10.30 pagi dan berjaya membawa pulang kedua-dua mangsa culik ke Sandakan dari kem yang dirahsiakan itu pada pukul 12.30 tengah hari.

"Kedua-dua mangsa akan dibawa dari Sandakan ke Kota Kinabalu pada pukul 9.25 malam, sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur pada pukul 6 pagi esok dengan diiringi oleh pihak keselamatan Bukit Aman," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan membawa balik mangsa culik itu merupakan hasil rundingan yang dilakukan oleh pihak keselamatan negara sebelum ini.

Jelasnya, kejayaan membawa pulang mangsa dengan selamat dan berkeadaan baik dan kerajaan Malaysia difahamkan tidak perlu membayar tebusan terhadap penculik tersebut.

"Kejayaan operasi menyelamat ini menjadi lebih bermakna apabila rundingan berjaya tanpa perlu membayar wang tebusan seperti yang diminta sebelum ini," katanya. - UTUSAN
MH370: JACC perlu dedah maklumat terperinci

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) perlu memberi penjelasan secara terperinci berhubung pendedahan mengenai pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang dipercayai tidak berakhir di Lautan Hindi.

Hal itu penting bagi memastikan usaha mencari dan mengesan pesawat tersebut berjalan lancar memandangkan sehingga kini masih belum ada maklumat terbaharu mengenai status kehilangannya.

Penganalisis penerbangan, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, JACC perlu menyediakan segala data dan maklumat terperinci bagi menyokong kenyataan bahawa MH370 tidak berakhir di Lautan Hindi.

Hal ini kerana jelasnya, skala kawasan pencarian sebelum ini dikecilkan berdasarkan isyarat ‘ping’ yang diterima sedangkan lokasi sebenar adalah terlalu luas.

"Maklumat satelit Inmarsat telah diperincikan bagi mengesan lokasi terakhir MH370 dan bagaimana JACC begitu yakin bahawa pesawat tersebut tidak berakhir di Lautan Hindi?

"JACC tidak boleh mengeluarkan sebarang hipotesis hanya berdasarkan data yang diperoleh daripada Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh JACC semalam bahawa MH370 dipercayai tidak mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi berdasarkan maklumat daripada Bluefin-21 yang tidak menemui apa-apa berkaitan pesawat tersebut.

Selain itu, Ahmad Samsuri berkata, kenyataan JACC tersebut secara tidak langsung mencetuskan pelbagai lagi persoalan baharu yang sukar dirungkai.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Kamarul Arifin Ahmad berkata, kenyataan JACC tersebut hanya melibatkan kawasan pencarian yang ditumpukan sebelum ini.

Jelas beliau, Lautan Hindi adalah luas dan masih ada kemungkinan untuk pesawat tersebut ditemui di bahagian lain lautan tersebut.

"Kawasan pencarian dikecilkan mengikut isyarat ‘ping’ yang dite-rima, tetapi hasil maklumat mendapati isyarat tersebut bukan daripada kotak hitam MH370.

"Namun, perkara itu tidak boleh menjadi kayu pengukur bahawa MH370 tidak mengakhiri penerbangannya di kawasan berkenaan, malah ada kemungkinan untuk pesawat tersebut ditemui di bahagian lain," ujarnya.

Kamarul Arifin juga berpendapat bahawa semua pihak khususnya JACC perlu menunjukkan data terperinci bagi menyokong pengumuman yang dibuat.

Beliau berkata, usaha pencarian bukan hanya melibatkan aspek teknikal, malah menyaksikan pengeluaran kos belanja yang sangat tinggi oleh negara-negara yang terlibat. - UTUSAN
Statistik cerai membimbangkan

SOFIAN BAHAROM/MAISARAH SHEIKH RAHIM

BANGI, JUMAAT 30 Mei, 2014: Statistik penceraian yang membimbangkan ketika ini menuntut pasangan-pasangan suami isteri di negara ini untuk kembali kepada tiga elemen asas perkahwinan iaitu sakinah (ketenteraman), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang).

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketiga-tiga elemen itu perlu digabungkan bagi mewujudkan satu jaringan institusi kekeluargaan yang kukuh dan holistik.

"Institusi kekeluargaan kian rapuh terutama melibatkan pasangan generasi muda ketika ini. Apa yang membimbangkan, statistik menunjukkan bilangan penceraian yang berlaku dalam tempoh sedekad lalu mencecah lebih 200,000 kes.

"Lebih mengejutkan, hampir 80 peratus daripada kes-kes penceraian itu melibatkan perkahwinan tidak lebih 10 tahun. Jadi, resipi terbaik untuk memperkasakan institusi keluarga perlu bermula dengan perkara asas iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah," katanya ketika berucap dalam Program Bicara Sakinah anjuran Yadim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf menjelaskan, sakinah bermakna usaha suami isteri untuk memastikan hati pasangannya sentiasa tenteram ketika berada bersama satu sama lain sekali gus mengukuhkan kebahagiaan rumah tangga mereka.

Sementara itu, penceramah terkenal, Badli Shah Alauddin berkata, dalam usaha memastikan institusi kekeluargaan bertambah kukuh, pasangan suami isteri perlu mengubah pendekatan mereka dengan sentiasa mengaplikasikan sikap bertolak ansur antara satu sama lain.

Sebagai seorang bekas kadi, kata Badli, beliau telah melihat pelbagai permasalahan yang timbul melibatkan pasangan yang enggan bertolak ansur dan akhirnya mereka memutuskan untuk bercerai.

"Faktor latar belakang sebenarnya yang boleh mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pasangan. Ada isteri yang lihat suami manja dengan ibu dan terus melabel suaminya itu tidak berdikari.

"Setelah diperiksa, rupanya isteri tersebut dibesarkan dalam institusi kekeluargaan yang tidak rapat dan tidak biasa melihat suasana rapat antara ibu dan anak. Kekeliruan sebegini boleh memberi kesan kepada rumah tangga," katanya.

Seorang lagi ahli panel iaitu Pegawai Psikologi dan Unit Intervensi dan Sokongan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Salmi Jalina Jalil berkata, dalam sesuatu konflik rumah tangga, keutamaan perlu diberikan kepada usaha-usaha menerima perbezaan antara satu sama lain.

Katanya, perlu menjadi satu keharusan bagi suami isteri untuk mempertingkatkan kelancaran komunikasi antara mereka terutama dalam menghuraikan sebarang kekeliruan serta salah faham.

"Paling penting adalah suami isteri menjaga tingkah laku terutama dalam mengeluarkan perkataan terhadap pasangan. Perbanyakkan usaha berbincang ketika berasa keliru," ujarnya. - UTUSAN
Malaysian Insider didakwa reka cerita

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA


 * REAKSI Sabbaruddin Chik kesal dengan laporan tidak benar oleh portal berita Malaysian Insider berkaitan isu Pilihan Raya Kecil Teluk Intan di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Veteran UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik menafikan beliau ada mengeluarkan kenyataan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sekiranya tiada sokongan pengundi muda.

Menurut bekas Setiausaha Agung UMNO itu, laporan berita yang dikeluarkan portal berita propembangkang, Malaysian Insider tersebut sengaja direka untuk memburukkan nama beliau dan Najib selain mahu menjejaskan sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu beliau akan mengambil segala langkah perlu termasuk tindakan undang-undang jika Malaysian Insider terus mereka cerita tidak benar dengan niat mahu melaga-lagakan pemimpin UMNO dan BN khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

"Cerita ini tiada kena mengena dengan saya. Ini bukan cerita saya. Saya nafikan sepenuhnya. Memang benar ada wartawan Malaysian Insider datang menemubual tetapi bukan berkait soal pilihan raya, pengundi generasi Y (muda) mahu pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Itu bukan percakapan saya. Cerita itu cerita dema (Malaysian Insider). Dema bercerita dan gunakan saya kononnya saya kini tengah marah kepada UMNO, BN dan Najib, tak betul," katanya dalam sidang akhbar khas di rumahnya di Bukit Damansara, di sini hari ini.

Bagaimanapun pada sidang akhbar tersebut, Malaysian Insider langsung tidak menghantar wartawannya walaupun telah diminta berbuat demikian oleh Sabbaruddin, sedangkan sebelum ini portal propembangkang itu sanggup datang ke rumah beliau untuk menemubual.

Semalam, Malaysian Insider dalam artikel bertajuk GE14 lost if Barisan still fails to impress young voters mendakwa Sabbaruddin antaranya berkata, Najib bernasib baik kerana mengambil-alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bukannya Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai laporan yang disifatkan sebagai fitnah itu, Sabbaruddin berkata, sekiranya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan tindak tanduk kerajaan sekalipun, bukan cara beliau untuk bercakap mengenai perkara itu di mana-mana media.

"Saya jenis kalau ada benda yang saya patut cakap, saya akan bercakap terus dengan kerajaan dan Perdana Menteri. Najib masih kawan baik saya. Saya hormat beliau sebagai Perdana Menteri dan berdoa agar terus memimpin Malaysia selagi memiliki keupayaan," katanya.

Menyentuh dakwaan kononnya beliau kini dilihat lantang disebabkan rasa tidak puas hati akibat tidak disambung kontraknya sebagai Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Sabbaruddin berkata, perkara itu langsung tiada sebarang kaitan.

Menurutnya, mungkin benar beliau sedikit terkilan dengan kata-kata dan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek, tetapi adalah tidak logik alasan itu digunakan untuk menyerang kerajaan dan Najib.

Katanya, bantahan beliau dan Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat terhadap campur tangan dalam urusan penyelesaian pinjaman peniaga permaidani, Deepak Jaishikin, bukan berlaku selepas kontrak tidak disambung tetapi bermula sejak Februari lalu lagi.

"Isu Bank Rakyat adalah perkara berbeza. Pendirian saya mengenai isu itu kekal kerana keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara oleh ahli lembaga pengarah. Mana mungkin bank boleh meluluskan penyelesaian baki pinjaman berjumlah RM32 juta tanpa faedah?

"Tapi dalam isu ini pun Malaysian Insider menulis dengan tidak tepat. Saya tidak pernah menyebut peminjam itu ada kaitan dengan Putrajaya tetapi mereka memberi gambaran seolah-olah saya berkata begitu. Faktanya mesti tepat jangan ditokok tambah,"ujarnya. - UTUSAN
Kemuka bukti baharu Batu Putih

Oleh FAIZAH IZZANI

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Kerajaan Malaysia termasuk Kerajaan Negeri Johor harus mengemukakan bukti-bukti baharu yang kukuh sekiranya mahu membuat rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang Pulau Batu Putih yang sebelum ini memihak kepada Singapura.

Penasihat Sosio Budaya kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, bukti tersebut termasuk sama ada pihak pentadbiran Kerajaan Johor dalam tempoh antara 1850 sehingga 1953 pernah mentadbir, melawati, menduduki atau mengawasi kedaulatan pulau berkenaan.

Beliau yang merupakan Menteri Luar ketika kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura didengar di ICJ pada 2007 sehingga 2008 berkata, terserah kepada Wisma Putra dan Kerajaan Johor untuk mengemukakan bukti baharu, namun harus mengambil kira hujah dan fakta yang menyebabkan Singapura berhak memiliki pulau berkenaan ketika keputusan dibuat oleh panel hakim ICJ.

"Kes itu diputuskan atas beberapa fakta undang-undang antarabangsa, satunya pulau itu telah tidak dilawati oleh Johor atau mana-mana pihak kita lebih dari 90 tahun, sebelum British ambil alih. Keduanya, surat daripada pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada 1953 menyatakan bahawa Johor tidak membuat apa-apa tuntutan pada Pulau Batu Putih.

"Jadi, fakta-fakta ini harus difahami semua pihak dengan objektif dan bukan berdasarkan sentimen. Semasa saya menjadi menteri bertanggungjawab ketika itu, saya sendiri dapati fakta itu tidak menyenangkan. Jadi dalam soal ini, tindakan Kerajaan Johor ketika itu harus diambil kira. Maka perlu ada bukti lain yang perlu diketengahkan jika mahu membuat rayuan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam yang mahu kerajaan negeri menubuhkan pasukan khas untuk memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura sebelum ini.

November tahun lalu, Kerajaan Persekutuan memaklumkan tiada rayuan semula dibuat selepas kalah dalam kes tuntutan Pulau Batu Putih kepada Singapura kerana ketiadaan bukti kukuh dan fakta lengkap namun tetap meneruskan usaha mencari bukti dan maklumat baharu untuk persediaan masa hadapan.

Pertikaian antara Singapura dan Malaysia mengenai Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila republik itu membantah tindakan Malaysia menerbitkan sebuah peta pada 1979, yang dengan jelas menunjukkan pulau itu terletak dalam wilayahnya.

Pada Februari 1993, Singapura meluaskan tuntutannya ke atas Middle Rocks dan South Ledge, yang terletak berhampiran pulau itu sementara pada 6 Februari 2003, kedua-dua negara menandatangani satu perjanjian khas bagi merujuk perkara itu kepada ICJ.

Rais berkata, lunas-lunas untuk Malaysia membuat rayuan menjelang 2018 mempunyai had-had tertentu kerana jika tiada pembuktian baharu, usaha membuat rayuan tersebut akan menjadi sia-sia. - UTUSAN
Suspek rogol punyai kaitan keluarga

MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

KOTA BHARU, JUMAAT 30 Mei, 2014: Sebahagian suspek yang ditahan polis berhubung kes rogol dua pelajar oleh 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini pada 20 Mei lalu mempunyai hubungan kekeluargaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng memberitahu, suspek tersebut termasuk tiga beranak yang ditahan di Ketereh semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek juga kebanyakannya tinggal di kampung yang sama.

"Setakat ini seramai 14 suspek telah ditahan dan kebanyakan mereka terdiri daripada anak beranak, sepupu dan pertalian lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, polis berjaya menahan empat lagi suspek termasuk seorang bapa bersama dua anak lelakinya yang berumur 15 dan 17 tahun.

Bapa yang berusia 38 tahun bersama dua anaknya itu ditahan di sekitar Ketereh pada pagi semalam manakala seorang lagi berusia 20-an, turut diberkas di kawasan berdekatan.

Penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang diberkas bagi membantu siasatan kes tersebut kepada 14 orang dan kesemua suspek tersebut kini ditahan reman.

Yong Heng berkata, polis kini terus giat memburu suspek lain dan percaya mereka akan diberkas dalam tempoh terdekat.

"Kita akan memburu saki-baki suspek terlibat untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN
Sultan Nazrin ziarah makam almarhum ayahanda

 * SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyiram air mawar ke pusara ayahandanya Almarhum Sultan Azlan Shah di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak selepas menunaikan solat Jumaat, semalam. - BERNAMA
KUALA KANGSAR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Ubudiah di sini buat kali pertamanya selepas diisytihar sebagai Sultan Perak Ke-35, semalam.

Baginda yang berangkat sama dengan Raja Kechil Tengah Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah serta beberapa kerabat diraja lain turut meluangkan masa menziarahi makam ayahandanya, Sultan Azlan Shah serta makam adindanya, Raja Datuk Seri Ashman Shah di Makam Diraja Kuala Kangsar yang terletak bersebelahan dengan masjid tersebut.

Raja Ahmad Nazim Azlan Shah merupakan anak sulung kepada Raja Datuk Seri Ashman Shah yang mangkat pada 30 Mac 2012 akibat serangan asma.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Terdahulu, Imam Masjid Ubudiah, Helmi Ibrahim sewaktu membacakan khutbah Jumaat berkata, seluruh rakyat negeri ini masih bersedih dengan kemangkatan Sultan Azlan Shah kelmarin yang telah memerintah Perak sejak 9 Disember 1985.

Beliau berkata, walaupun kemangkatan Sultan itu sama dengan kematian seorang rakyat biasa, namun dari sudut kesannya amat dirasai memandangkan pemerintah negeri itu mempunyai kedudukan tersendiri selain mempunyai tanggungjawab besar terhadap agama dan rakyat.

"Di Malaysia, Raja-Raja Melayu bukan sahaja berperanan sebagai ketua negeri malah ketua agama Islam bagi negeri yang ditadbir oleh baginda.

"Dengan merujuk Perlembagaan Persekutuan, antara kewajipan penting selaku ketua utama negeri ialah memelihara kesucian Islam yang juga merupakan salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu," katanya.

Sementara itu, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Datuk Dr. Muhammad Afifi yang mengepalai solat Jumaat pula memohon agar Almarhum Sultan Azlan Shah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

Beliau turut mendoakan agar tampuk pemerintahan baharu di bawah Sultan Nazrin akan terus mendaulatkan Islam dan keadilan, sesuai dengan nama 'Muizzuddin' yang membawa makna penyokong agama.

Sultan Nazrin dan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah kemudiannya turut bersalaman dengan kira-kira 500 ahli jemaah masjid tersebut selepas solat Jumaat.

Di Makam Diraja Kuala Kangsar, baginda dan Raja Ahmad Nazim Azlan Shah menghadiri bacaan tahlil ringkas sebelum kedua-duanya menyiram air mawar ke makam Sultan Azlan Shah dan Raja Datuk Seri Ashman Shah dengan raut muka yang hiba. - UTUSAN
Kemudahan lengkap faktor militan pilih Malaysia
KUANTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Infrastruktur lengkap dengan kemudahan perjalanan mesra pelancong menjadi faktor utama kepada anggota militan untuk memilih negara ini bagi menjalankan kegiatan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagaimanapun menegaskan, Malaysia bukan pangkalan utama kepada kegiatan berkenaan cuma mereka hanya mengambil kesempatan terhadap kemudahan yang ada.

"Memang kita alu-alukan pelancong dan waktu sama kita memiliki infrastruktur lengkap untuk memudahkan orang ramai berhubung, melancong serta masuk dan ke luar negara.

"Tetapi semua itu disalahgunakan oleh beberapa individu dan kumpulan yang mengambil kesempatan terhadap kemudahan ini untuk aktiviti jahat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Pegawai Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan Hari Polis ke-207 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda.

Pada 15 Mei lalu, polis menahan tiga warga Sri Lanka dipercayai anggota kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam operasi khas oleh Cawangan Khas PDRM di Petaling Jaya dan Klang, Selangor.

Ketiga-tiga yang ditangkap menyusup masuk ke negara ini sejak 2004 dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk mengumpul dana, menyebar propaganda dan mengaktifkan kembali LTTE di peringkat antarabangsa.

Khalid berkata, polis sentiasa membuka 'mata dan telinga' dalam usaha membendung kegiatan kumpulan militan daripada terus mengancam keselamatan negara dan orang awam.

"Pihak kami akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas kumpulan ini sebelum mereka melakukan apa-apa kemusnahan.

"Rakyat tempatan juga diingatkan supaya tidak melindungi atau bersekongkol dengan mana-mana kumpulan militan dan mereka yang berbuat demikian adalah dalam pemerhatian polis," katanya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya akan menstrukturkan semua Koperasi PDRM Berhad supaya dapat memberi pulangan yang lebih kepada ahli-ahlinya di seluruh negara.

"Penstrukturan semula ini akan membolehkan koperasi PDRM lebih berdaya saing dengan lain-lain koperasi di dalam negara ini.

"Selain itu, beberapa anak syarikat juga melalui perkara yang sama. Kita akan umumkan perincian mengenai perkara ini selepas mesyuarat agung koperasi ini pada 24 Jun depan," katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan mewujudkan unit latihan bagi memberikan latihan khusus kepada kira-kira 14,000 kakitangan awam di dalam PDRM.

"Pelaksanaan ini tidak akan melibatkan apa-apa kos kerana kita ada bangunan yang boleh dijadikan pusat latihan. Dengan adanya pusat latihan ini akan mempertingkatkan ilmu dalam kalangan penjawat awam," katanya. - UTUSAN
Kes sokong militan pindah ke Mahkamah Tinggi

 * MOHD. Hafiz Zahri Suparyatnoh (tengah) dan Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping, semalam.
TAIPING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan kes dua penganggur yang didakwa atas pertuduhan menyokong dan menggalakkan kegiatan keganasan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Majistret Eyu Ghim Siang memutuskan demikian setelah mengizinkan permohonan untuk memindahkan kes tersebut yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hafiz Zahri Suparyatnoh, 28, didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS).

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kampung Air Jernih, Ijok, di sini di antara pukul 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April lalu.

Mohd. Armie Fatihah Mohamad Hashim, 22, pula didakwa pada masa, tarikh dan tempat yang sama menggalakkan perlakuan dan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Pertuduhan terhadap Mohd. Hafiz Zahri dibuat mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan manakala Mohd. Armie dituduh mengikut Seksyen 130G(a) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, masing-masing boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun dan denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan digunakan bagi kesalahan itu. - UTUSAN
Hadi Awang sesak nafas di Istanbul

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) dimasukkan ke hospital di Istanbul ekoran masalah kesihatan, lapor Harakahdaily online.

Dalam satu mesej kepada Harakahdaily, setiausaha politiknya, Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar yang turut bersama beliau berkata, Hadi dibawa dengan ambulans kira-kira jam 8.45 malam tadi waktu Malaysia.

Difahamkan, Abdul Hadi kini dirawat di sebuah hospital universiti di Medipol Universitesi Hastansi, Istanbul.

Sementara itu, dalam satu lagi mesej, anak beliau Muhammad Khalil Abdul Hadi turut mengesahkan perkara itu.

"Beliau (Ustaz Hadi) dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dan sekarang keadaan beliau stabil dan sedang berehat.

"Mohon doa dari semua umat Islam agar beliau pulih dan dapat terus memimpin ummah," katanya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat. - UTUSAN
Denda RM1 juta peniaga jual makanan disahkan haram

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengenakan denda maksimum sehingga RM1 juta kepada peniaga yang menjual makanan yang telah disahkan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya boleh mengenakan denda paling tinggi di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 jika barang makanan yang telah disahkan haram oleh Jakim masih dijual di pasaran.

"Jika sudah ada kesahihan yang dikeluarkan Jakim apabila mereka menarik balik logo halal barang makanan itu, tetapi peniaga masih menjual barang itu, maka kita dibenarkan untuk mengambil tindakan di bawah akta berkenaan.

"Bagaimanapun, perkara tersebut bergantung kepada keputusan ujian oleh Jabatan Kimia sama ada makanan itu mengandungi DNA babi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Perasmian dan Makan Malam Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Ke-30 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Yang turut hadir Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Sementara itu, mengulas mengenai produk Cadbury yang mengandungi DNA babi, Hasan berkata, sehingga hari ini, sebanyak 175 premis perniagaan yang diperiksa oleh agensi di bawah kementerian dan mendapati tidak ada premis perniagaan yang menjual produk makanan itu.

Dalam pada itu, Hasan memberitahu, kementerian juga menggalakkan lebih banyak koperasi untuk menceburi bidang makanan coklat bagi memberi saingan yang lebih luas kepada jenama lain di pasaran.

"Kita sudah memberi peluang kepada mereka untuk membuat pinjaman dan juga sudah ada peruntukan disediakan untuk membantu koperasi dalam bidang ini," jelasnya. - UTUSAN

Malaysiakini
sengaja cari pasal - Perkasa


KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar portal berita propembangkang, Malaysiakini berhubung penyiaran satu ruangan komentar berjudul Adakah pembayar cukai menaja penglibatan Perkasa di Eropah?.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, judul ruangan tersebut tersebut secara jelasnya bersifat jahat dan sengaja ingin mencemarkan imej Perkasa.

Katanya, ahli-ahli Perkasa di seluruh negara turut tidak berpuas hati dengan penyiaran tersebut.

"Perkasa tidak menerima sebarang tajaan daripada mana-mana pihak khususnya kerajaan untuk meluaskan pengaruh dan matlamat kami ke United Kingdom (UK) dan Eropah.

"Semuanya dilakukan Perkasa sendiri dan sehingga kini kami berdiri kukuh atas usaha yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Projek yang meliputi beberapa negara Eropah termasuk UK, Ireland, Perancis, Jerman serta Belgium itu berpusat di London dan dijangka dilancarkan esok.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran rasa tidak puas hati ahli-ahli Perkasa berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata, Perkasa akan meminta pasukan polis untuk berkawal di ibu pejabat Malaysiakini sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

"Biarpun mereka (Malaysiakini) yang cari pasal dengan Perkasa, namun kami masih lagi memikirkan soal keselamatan semua pihak.

"Ahli Perkasa di seluruh dunia melahirkan kemarahan terhadap portal berita propembangkang tersebut dan kami tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku," ujarnya.

Komentar yang disiarkan menerusi kolum Yoursay milik portal tersebut menyaksikan ada pembaca mempertikaikan usaha Perkasa untuk meluaskan pengaruhnya kepada orang Melayu di UK dan Eropah.

Seorang pembaca yang menggunakan nama Multi Racial menulis, "Saya ingin tahu pihak mana yang menaja Perkasa untuk lakukan projek tersebut dan adakah mereka mendapat duit daripada pembayar cukai? Jika ya, rakyat Malaysia perlu menggesa agar projek itu dihentikan segera".

Sambungnya lagi, 'duit pembayar cukai adalah untuk pembangunan perpaduan dan bukannya digunakan untuk menaja sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang rasis serta berniat menggugat keharmonian masyarakat'. - UTUSAN
Fasa baharu Malaysia-China

Oleh Rozaman Ismail

  * NAJIB Tun Razak menanam ‘pokok persahabatan’ di Beijing Foreign Studies University di Beijing semalam. Beliau turut merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China di universiti tersebut. - - BERNAMA 
BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan fasa baharu hubungan Malaysia-China untuk tempoh 40 tahun akan datang perlu diperluaskan kepada aspek sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan. 

Beliau berkata, jika sebelum ini fokus hubungan kedua-dua buah negara itu adalah dalam bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi, wajah 40 tahun akan datang perlu turut mengambil kira perkara-perkara tersebut.

"Demi mewajah 40 tahun akan datang, hubungan sosiobudaya kedua negara perlu diperhebat dan diperkasakan menerusi penekanan kepada aspek nilai-nilai murni sejagat.

"Kerjasama dalam bidang kemanusiaan juga perlu dibina dan diperkuatkan untuk manfaat bersama," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan, Presiden BFSU, Profesor Peng Long, Pengarah Pusat Pengajian Melayu-China BFSU, Profesor Wu Zong Yu dan Penyandang Kursi Pengajian Melayu-China universiti tersebut, Profesor Dr. Mohd Taib Dora.

Menurut Perdana Menteri. bagi mencapai matlamat itu satu mekanisme yang konkrit lagi tuntas mesti dibina mulai sekarang.

Antaranya kata beliau, memberi nilai tambah kepada Kursi Pengajian Melayu di China agar lebih proaktif dan produktif.

"Kursi yang mula diisi pada tahun 2008 itu tidak seharusnya kekal bergerak secara sama atau berada di takuk lama. Justeru kaedah dan pendekatan baharu perlu difikirkan," tambahnya.

Selain itu kata Perdana Menteri, kerjasama dalam bidang penerbitan dan penterjemahan dengan negara China perlu dipertingkatkan terutama dalam menterjemah karya-karya agung kedua-dua negara.

Kerjasama dalam bidang penyelidikan kata beliau, perlu diberi perhatian kerana banyak sumber dari China dan sejarah tamadun lamanya yang berwibawa, berkualiti serta sarat dengan maklumat tentang perkembangan politik, ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa.

Najib turut menyentuh mengenai bidang pengajian Melayu yang kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur.

"Perkembangan ini bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu," katanya.

Menurut beliau, minat tersebut bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu bahkan sudah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia.

"Di China sahaja selain BFSU, terdapat beberapa buah lagi institusi pengajian tinggi yang mempunyai dan menawarkan program bahasa dan pengajian Melayu.

"Antaranya Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guangdong, Guangzhou, Universiti Komunikasi Beijing, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi dan Universiti Peribumi Yunnan," katanya.

Dalam majlis tersebut Perdana Menteri turut melancarkan tiga naskhah buku yang diterbitkan secara usaha sama antara DBP dan United Publishing House Sdn. Bhd.

Buku-buku itu adalah Kamus Cina-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China. - UTUSAN
Pengebom berani mati Malaysia

Oleh SHARILFUDDIN SAARI
 
 * RAKAN Ahmad Tarmimi Maliki melihat gambar pemuda itu ketika mereka menjalani latihan ala ketenteraan di Port Dickson, Negeri Sembilan, tahun lalu.
KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Ahmad Tarmimi Maliki, 26, adalah seorang pekerja kilang biasa di Selangor tetapi di luar rutin aktiviti hariannya, dia rupa-rupanya telah direkrut sebagai pengebom berani mati.

Tanpa diketahui oleh keluarga dekatnya di Pahang, dia yang diberi nama Abu Ahmad Al-Malizzi telah menjadi pengebom berani mati dalam serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Ahmad Tarmimi yang dikesan pernah mengikuti latihan ala ketenteraan sebuah kumpulan militan di Port Dickson akhir tahun lalu meletupkan dirinya bersama sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tentera jenis Hummers sarat membawa beberapa tan bahan letupan sebelum disusuli serangan hendap oleh pasukan tentera kumpulan militan Daulah Islamiah Iraq dan Sham (ISIS).

Serangan itu dikatakan telah membunuh 25 anggota Skuad Emas SWAT di bangunan berkenaan.

Berita tentang serangan itu disiarkan di dalam media rasmi ISIS dengan tajuk utama Mujahidin Malaysia Syahid Dalam Operasi Martyrdom yang disertakan gambar Ahmad Tarmimi.

Dalam laporan itu turut dinyatakan pasukan ISIS merampas sejumlah besar senjata api termasuk raifal, mesingan ringan dan peluru.

Ahmad Tarmimi dipercayai menjadi rakyat Malaysia pertama terbunuh sebagai pengebom berani mati kerana sebelum ini terdapat beberapa kematian rakyat negara ini di luar negara dalam peperangan di Syria tetapi bukan sebagai pengebom berani mati,

Dalam pertemuan eksklusif Utusan Malaysia dengan Halimah, 34, kakak kepada Ahmad Tarmimi memberitahu, keluarganya mengetahui berita tentang adiknya itu melalui Facebook yang dikongsi oleh rakannya beberapa hari selepas kejadian.

Katanya, dia dan seluruh ahli keluarga sangat terkejut kerana kali terakhir berjumpa Ahmad Tarmimi di kampung pada Mac lalu, adiknya itu hanya memaklumkan akan ke Asia Barat untuk mendalami ilmu agama.

"Selama ini pun dia yang bekerja di sebuah kilang dan menetap di Selangor sejak 2012, tidak pernah bersikap luar biasa apabila pulang ke kampung kecuali menjadi lebih warak, suka menyendiri dan berahsia.

"Keluarga juga tidak tahu tentang penglibatan Ahmad Tarmimi di dalam mana-mana pertubuhan yang mempunyai kaitan dengan anasir pengganas.

"Malah kami pada mulanya tidak percaya dengan berita kematiannya di internet sehinggalah pihak polis datang ke rumah (semalam) dan memaklumkan perkara berkenaan. Hancur luluh hati kami apabila mendengar berita itu," katanya sebak.

Kata Halimah, berikutan itu mereka sekeluarga telah membuat bacaan tahlil ringkas semalam,

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Rozman, 38, pula memberitahu, dia dan keluarga kini bimbang sekiranya kejadian itu boleh mengancam keselamatan keluarga khususnya anaknya yang berusia tujuh tahun.

Menurutnya, dia memelihara Ahmad Tarmimi sejak berusia sembilan tahun selepas kematian ibu mentuanya manakala bapa mentuanya meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.

Dalam pada itu, seorang bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang ditangkap dalam operasi polis baru-baru ini dan telah dibebaskan beberapa hari lepas mengesahkan Ahmad Tarmimi adalah salah seorang ahli kumpulannya yang pernah mengikuti latihan ala ketenteraan bersamanya serta sembilan yang lain di Port Dickson akhir tahun lalu.

Dia yang enggan dikenali berkata, pemergian Ahmad Tarmimi ke Syria melalui Turki diketahuinya melalui Facebook.

"Selepas beberapa hari saya gagal berkomunikasi dengan dia sehinggalah mengetahui tentang kematiannya selepas saya dibebaskan.

"Saya terkejut kerana tidak menyangka dia sanggup mengorbankan nyawanya dengan menjadi pengebom berani mati," katanya ketika ditemui di ibu negara, hari ini. - UTUSAN
Kanak-kanak dibunuh kejam dipercayai akibat dendam

Oleh AZRAI MOHAMMAD
 
 * RAKAMAN kamera litar tertutup menunjukkan mangsa dibawa oleh seorang lelaki sebelum ditemui mati di tepi Sungai Klang berdekatan Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur, kelmarin.
KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Hanya kerana dendam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun enam bulan, Siti Soffea Emelda menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki tidak berhati perut yang tergamak menghentak kepala mangsa dengan serpihan seramik serta mengelar leher mangsa hingga putus.

Suspek turut dilihat cuba membaringkan mangsa dipercayai cuba untuk mencekiknya di tempat kejadian yang terletak berdekatan tebing Sungai Klang berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Tun Sambanthan di sini, kira-kira pukul 9 malam tadi.

Beberapa saksi yang ternampak perbuatan suspek dari jauh berkejar ke tebing sungai itu sambil menjerit memintanya menghentikan perbuatan itu tetapi suspek tidak peduli dan tangannya terus menghentak dan mengelar leher kanak-kanak malang itu.

Sebaik sahaja saksi-saksi ber-kenaan menghampirinya, suspek terus terjun ke dalam sungai dan menghilang di dalam arus deras. Yang ada hanya mayat mangsa yang bahagian kepalanya telah terpisah daripada badan.

Mayatnya ditemui dalam keada-an tertiarap dengan kepalanya yang putus berada berdekatan kakinya. Mangsa hanya memakai seluar panjang putih dan lampin pakai buang. Terdapat kesan potong di leher dan bahagian kepalanya pecah.

Turut ditemui ialah sandal hitam dipercayai milik suspek, sandal kanak-kanak berwarna hitam hijau, baju kanak-kanak tanpa lengan berwarna putih, tali pengikat rambut dan serpihan seramik yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.

Menurut sumber, kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehidupan ibu mangsa seorang warga tempatan berusia 32 tahun yang dipercayai penagih dadah sejak beberapa tahun lalu serta mempunyai sikap negatif hingga menimbulkan kemarahan suspek.

"Mungkin orang tak puas hati dengan ibu mangsa dan balas dendam pada anaknya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan polis mendapati suspek telah mengekori pergerakan mangsa di sebuah kompleks beli-belah sebelum melarikan kanak-kanak berkenaan ketika ibunya yang berusia 32 tahun memasuki tandas di premis itu kira-kira pukul 3 petang.

Kong Meng berkata, mangsa ketika itu ditinggalkan bersama rakan ibunya di luar tandas tersebut.

"Beberapa jam selepas itu, saksi kejadian ternampak seorang lelaki dipercayai berketurunan India sedang mendukung seorang kanak-kanak menyusuri Sungai Klang. Orang awam turut melihat lelaki itu merebahkan kanak-kanak berkenaan sebelum menghempaskan sesuatu ke kepala dan melakukan sesuatu di leher kanak-kanak tersebut.

"Orang awam kemudiannya bergegas menyelamatkan kanak-kanak itu sebaliknya lelaki tersebut terus memukul kepala kanak-kanak berkenaan. Sewaktu saksi menghampiri tempat kejadian, suspek melarikan diri dan terjun ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kong Meng, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tambahnya, usaha mengesan suspek yang dipercayai lemas di Sungai Kelang masih diteruskan oleh polis dengan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Pertahanan Awam. - UTUSAN
Malaysia akan teruskan kerjasama cari MH370

 * NAJIB Tun Razak disambut oleh Xi Jinping ketika mesyuarat dua hala dalam lawatan rasmi enam hari beliau ke China sempena ulang tahun ke 40 hubungan diplomatik Malaysia-China di Beijing semalam. - BERNAMA
BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan China dan negara-negara lain dalam operasi mencari pesawat MH370 bagi mencari jawapan kepada misteri kehilangan tersebut.

Najib berkata, insiden berkenaan benar-benar menguji kedua-dua negara tetapi hubungan dua hala yang kukuh dan terjalin sekian lama memberi kekuatan kepada Malaysia dan China untuk menghadapinya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri sekali lagi menyatakan komitmen untuk meneruskan operasi mencari dengan bantuan daripada China dan negara-negara lain termasuk Australia.

"Kita perlu mencari pesawat tersebut agar kita dapat mencari jawapan kepada insiden ini," katanya dalam pertemuan dan mesyuarat dua hala dengan Presiden China, Xi Jinping di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai di sini hari ini.

Dalam pertemuan selama sejam itu pelbagai perkara melibatkan hubungan dua hala dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin tersebut.

Jinping dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih di atas sambutan yang diterima ketika beliau mengadakan lawatan ke Malaysia pada Oktober tahun lalu.

Presiden China itu turut menyampaikan sembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Selain itu Jinping turut menyentuh insiden kehilangan pesawat MH370 sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu operasi mencari.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus membantu Malaysia dalam operasi mencari.

Sementara itu, pada sebelah pagi Najib melawat Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Huawei Technologies di Taman Pelindungan Alam Sekitar Zhongguancun dekat sini.

Najib kemudiannya menunaikan solat Jumaat di Masjid Nuijie, antara masjid tertua di bandar raya ini yang dianggarkan berusia 1,018 tahun.

Masjid bercirikan seni bina tradisional Cina dan Arab itu boleh menampung seramai 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

Najib turut menyampaikan sumbangan kerajaan Malaysia berjumlah RM32,000 (AS$10,000) kepada masjid berkenaan.

Dalam satu acara lain, Perdana Menteri menerima kunjungan hormat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Zhang Dejiang di Great Hall of People.

Perdana Menteri dan rombongan adalah dalam lawatan rasmi enam hari ke China sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara. - UTUSAN
Kerajaan tidak menipu - TPM

Oleh ROKIAH ABDULLAH

 * MUHYIDDIN Yassin dan Dr. Zambry Abdul Kadir (empat dari kiri) bersama jemaah masjid bertahlil untuk Almarhum Sultan Azlan di Masjid Daerah Teluk Intan, Perak, semalam. - UTUSAN/ZULKARNAIN MOHD. SAIDIN
TELUK INTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak menipu apabila menawarkan jawatan menteri Kabinet kepada Datuk Mah Siew Keong sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tersebut dipilih sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, esok.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran oleh Perdana Menteri kepada Presiden Gerakan itu juga bukan satu gimik PRK sehingga perlu disalah tafsir dan diputarbelitkan, sebaliknya pengundi perlu menerima berita itu sebagai sesuatu yang baik.

Jelasnya, hal demikian kerana memang menjadi satu kebiasaan terdapat wakil dari Gerakan menjadi anggota Jemaah Menteri, namun akibat tiada seorang pun daripada mereka menang sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, ‘tempat’ itu kosong.

"Perdana Menteri (PM) kata semalam, kalau Mah (Siew Keong) menang beliau akan masuk Kabinet jadi menteri jaga ini kawasan. Pasti mereka (pembangkang) akan putar belit kata ini rasuah, ini tipu. Perkara ini tidak tipu.

"Saya yakin bila beliau dilantik jadi menteri, antara lain yang dapat faedah ialah penduduk kawasan Teluk Intan ini juga. Hubungan yang lebih dekat dengan PM dan lain-lain menteri beri peluang untuk Mah (Siew Keong) membantu menyelesaikan masalah kawasan parlimennya selain beri ruang wakil masyarakat Cina suara pandangan dalam Jemaah Menteri," katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sarapan pagi bersama lebih 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili masyarakat India di kawasan Teluk Intan, di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Siew Keong.

Sementara itu dalam majlis berasingan, Muhyiddin mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa cabaran yang dihadapi pada ketika ini dan masa depan adalah sangat besar serta hebat.

Katanya, cabaran yang dihadapi boleh mengundang perpecahan sehinggalah kepada tahap perang saudara sesama Islam sebagaimana yang berlaku di negara-negara luar.

"Alhamdulillah di Malaysia, kita umat Islam satu jemaah yang besar. Pemimpin luar sama ada Islam atau tidak, memberi pengiktirafan yang tinggi terhadap usaha dilaksanakan pemimpin negara untuk terus mengangkat syiar Islam,"katanya ketika berucap dalam majlis jamuan rakyat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Daerah Teluk Intan di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menghadiri majlis tahlil sempena kemangkatan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di masjid berkenaan. - UTUSAN
Kerajaan komited bantu rakyat luar bandar

 * MOHD. Shafie Apdal menaiki motosikal menyertai konvoi jentera Pergerakan Pemuda BN untuk bertemu penduduk di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan, Perak, semalam. Dalam program anjuran Felcra Berhad itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang upaya dan meninjau rumah penduduk miskin. - BERNAMA
TELUK INTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan terus menyalurkan bantuan kepada rakyat khususnya di kawasan perkampungan bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, terdapat pelbagai agensi di bawah kementeriannya seperti Felcra dan beliau yakin agensi-agensi itu mampu memainkan peranan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat terutamanya di luar bandar.

"Felcra sebagai salah sebuah agensi di bawah kementerian merupakan landasan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk kampung dan masyarakat luar bandar,'' katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan rumah ke rumah pada majlis ramah mesra dengan penduduk kampung di Kampung Batak Rabit di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, selama ini Felcra telah banyak membantu usaha pembangunan masyarakat luar bandar supaya kumpulan itu tidak terus ketinggalan dalam arus kemajuan dikecapi negara.

"Felcra merupakan sebuah agensi yang diwujudkan sebagai medium untuk kerajaan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan luar bandar.

"Bantuan yang disalurkan adalah seperti membina jalan raya, membaik pulih rumah yang rosak dan menyediakan kemudahan-kemudahan lain," jelas beliau.

Dalam pada itu, semasa lawatan beliau ke Kampung Banjar di sini, Mohd. Shafie turut meluluskan peruntukan bantuan kepada sebuah sekolah agama rakyat di kampung berkenaan yang memerlukan proses baik pulih. - UTUSAN
Polis tumpaskan Geng Asroy

 * ABDUL Razak Abdul Majid (tiga dari kiri) bersama timbalannya, Suprintendan Mak Pak Chuai (dua dari kanan) melihat barangan yang dirampas daripada suspek kes pecah rumah dan pejabat kerajaan di Putrajaya selepas sidang akhbar di IPD Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, JUMAAT 30 Mei, 2014: Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan pecah rumah dikenali sebagai Geng Asroy dengan tertangkapnya empat lelaki termasuk dua pelajar sekolah dalam serbuan di sekitar sini dan Perak pada 20 hingga 21 Mei lalu.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 15 hingga 21 tahun dipercayai menjadikan kuarters penjawat awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini sebagai sasaran untuk dipecah masuk sejak Mac tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, siasatan pihaknya percaya kesemua suspek termasuk dua pelajar yang masing-masing bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terbabit dalam sembilan kes pecah rumah di sekitar sini.

"Serbuan dilakukan di kediaman suspek di Presint 15, 16 dan di Kampar, Perak selepas polis menerima laporan kejadian pecah rumah di kawasan sini membabitkan kerugian sebanyak RM55,000.

"Hasil pemeriksaan kami menemui semula beberapa barangan yang disamun antaranya dua komputer, satu Samsung Galaxy Tab, dua kad bank dan beberapa surat pajak gadai," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, rumah yang tidak berkunci dan kurang ciri keselamatan menjadi sasaran geng tersebut untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka.

"Mereka juga akan memecah masuk melalui ruang balkoni dapur yang jerijinya senang diumpil bagi memudahkan mereka membuka pintu depan tanpa sebarang masalah.

"Mungkin disebabkan hasil yang lumayan mereka bertindak berani sehingga sanggup memecah masuk rumah yang berada di tingkat 13," katanya.

Beliau menambah, semua suspek kini direman di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang bekas pengawal keselamatan ditahan dalam serbuan di Senawang kira-kira pukul 3 pagi, 19 Mei lalu kerana terbabit dengan 19 kes pecah pejabat di bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya sejak setahun lalu.

Katanya, penganggur berusia 28 tahun itu akan menyelinap masuk ke bangunan dengan bersembunyi terlebih dahulu di tangga kecemasan sebelum melakukan jenayah pada sebelah malam.

"Antara barangan yang dicuri ialah satu kamera Nikon; dua kamera Canon dan satu komputer bernilai RM15,000, manakala nilai kerugian bagi semua kes pula berjumlah RM64,000," katanya. - UTUSAN
Syarikat Malaysia terajui autopsi digital

BRADFORD, United Kingdom, JUMAAT 30 Mei, 2014: Syarikat Malaysia, iGene Sdn. Bhd., (iGene) terus menerajui bidang perubatan autopsi digital global dengan pembukaan pusat autopsi digital keduanya di sini hari ini.

Pusat tersebut yang terletak di Public and Forensic Mortuary di Burnham Avenue telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bradford, Imran Hussain.

Yang turut Hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Venture Capital Management Berhad (Mavcap), Jamaludin Bujang; Ketua Pegawai Operasinya, Shaik Taufik Shaik Yusof; CEO iGene, Mathavan A. Chandran dan Ketua Pegawai Sains Perubatan iGene London Ltd., Dr. Alan Fletcher.

Pembukaan pusat autopsi digital tersebut merupakan sebahagian daripada 18 pusat yang dibangunkan oleh iGene di United Kingdom membabitkan pelaburan berjumlah 50 juta pound (RM296.16 juta).

Mavcap memiliki kepentingan sebanyak 15 peratus dalam iGene.

Di dalam ucapannya, Imran menyambut baik pembukaan pusat tersebut yang menurut beliau dapat membantu mempercepatkan proses siasatan seterusnya pengebumian jenazah.

"Saya berbangga kerana Bradford akan menjadi salah satu daerah yang terawal di negara ini yang memiliki kemudahan teknologi imbasan digital (autopsi). Kemudahan ini pastinya disambut baik oleh keluarga yang kehilangan orang tersayang (kerana ia mempercepatkan siasatan dan tuntutan ke atas jenazah)," katanya.

Imran sehubungan itu menyatakan komitmen pihaknya untuk membantu perkembangan teknologi tersebut di Bradford.

Di United Kingdom, pusat autopsi digital iGene pada masa ini berpusat di Pusat Medico Legal Sheffield.

Dianggarkan terdapat 550,000 kes kematian di England dan Wales setahun dengan kira-kira 200,000 daripadanya melibatkan aspek perundangan.

Sementara itu, Dr. Alan berkata, pihaknya berbangga dengan pembukaan tersebut yang akan membantu penyiasatan pihak koroner menjalankan kes-kes tanpa melakukan pembedahan secara konvensional.

"Autopsi digital merupakan langkah kehadapan untuk mengetahui punca kematian. Ia dapat mengelakkan pembedahan secara konvensional (yang tidak relevan) dilakukan ke atas mayat. Ini akan mempercepatkan proses tuntutan dan pengebumian," katanya. - UTUSAN
REHDA sasar nilai jualan RM1.135 bilion

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI

 * ABDUL Fattah Mahmood (baju hitam) melihat model bangunan pangsapuri yang ditawarkan untuk jualan pada MAPEX 2014 di Kota Bharu, kelmarin. - UTUSAN/Nurul Akmar Aida
KOTA BHARU, JUMAAT 30 Mei, 2014: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Kelantan menyasarkan sebanyak RM1.135 bilion nilai jualan rumah pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di pusat beli belah KB Mall di sini.

Pengerusinya, Datuk Sekarnor Che Omar berkata, sasaran tersebut dijangka dapat dicapai sekaligus mengatasi jualan tahun lalu sebanyak RM850 juta.

"Melalui pameran ini, kita menawarkan 6,200 buah rumah dengan harga serendah RM150,000 hingga lebih RM300,000 sebuah.

"Hartanah-hartanah itu terdiri dari rumah teres setingkat, dua tingkat, pangsapuri serta lot-lot kedai.

"Mereka yang mahu membeli rumah pada ekspo ini berpeluang mendapatkan maklumat serta khidmat nasihat daripada pemaju perumahan yang ada," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian program MAPEX di KB Mall dekat sini, semalam.

Majlis perasmian MAPEX itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Tambah Sekarno, MAPEX menyediakan landasan terbaik buat pembeli rumah dalam mencari informasi dan panduan tentang pemilikan hartanah tersebut.

"Sebanyak 24 gerai jualan dan pameran akan ditempatkan di ruang legar pusat beli-belah itu bagi membolehkan orang ramai membuat pilihan.

"Antara syarikat pemaju perumahan yang menyertai MAPEX adalah Sky Venture, Intan development, Strata Merge Realty dan Binaraya PKINK," katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri menyambut baik program itu yang memberi ruang kepada rakyat Kelantan mengetahui projek perumahan di Kelantan. - UTUSAN
GST dijangka beri pulangan RM20 bilion

Oleh AZMAN IBRAHIM

PETALING JAYA, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dijangka memberi pulangan kira-kira RM18 bilion hingga RM20 bilion kepada kerajaan sepanjang tahun 2015, peningkatan sebanyak enam peratus berbanding 2013.

Dekan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Dr. Yeah Kim Leng berkata, pada tahun 2013, kerajaan memperoleh kira-kira RM16 bilion hasil daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) pada tahun depan pula dijangka sekitar 0.8 peratus sehingga 1.5 peratus.

"GST merupakan sistem pungutan cukai yang cekap dan sistem itu menggantikan SST yang sangat sempit jurusan kutipan cukainya. Penguatkuasaan cukainya juga dijangka memperbaiki pematuhan pembayaran cukai," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk GST dan Situasi Lain sempena Persidangan Pemasaran dan Penjenamaan 2014 di sini hari ini.

Persidangan itu yang merupakan anjuran Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Susila Devi.

Yang turut hadir pada persidangan ialah Presiden FMM, Yeah Onn Tean.

GST yang akan dilaksanakan di Malaysia pada Mei tahun depan merupakan cukai yang telah dilaksanakan di lebih 120 buah negara.

Tambah Kim Leng, pelaksanaan GST juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing dan tempatan.

Katanya, GST memberi gambaran ketelusan kerajaan Malaysia dalam melaksanakan sistem pungutan cukai yang lebih sistematik.

"Pengenalan GST di Malaysia membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh untuk memastikan tidak ada pembayar cukai yang layak, melepaskan diri," ujarnya. - UTUSAN
Poroshenko mahu hukum kumpulan pro-Rusia

 * SEBUAH jentolak membersihkan tayar-tayar yang membentuk sekatan di pekarangan bangunan pentadbiran di bandar Donetsk, timur Ukraine, kelmarin. - REUTERS
KIEV, JUMAAT 30 Mei, 2014: Presiden Ukraine yang baharu, Petro Poroshenko hari ini berikrar untuk menghukum kumpulan pemisah pro-Rusia yang menembak jatuh sebuah helikopter tentera di timur negara ini, semalam yang mengakibatkan 12 askar maut dalam satu daripada serangan berdarah pemberontak.
Helikopter jenis Mi-8 itu ditembak jatuh dengan menggunakan sebuah peluru berpandu ke permukaan di Slavyansk, sekali gus membangkitkan kebimbangan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kumpulan pemisah tersebut menerima bekalan senjata ‘dari luar Ukraine’.

"Kami perlu melakukan apa sahaja cara yang boleh bagi memastikan tiada lagi rakyat Ukraine mati di tangan pengganas dan penjahat. Jenayah-jenayah yang dilakukan oleh musuh tidak akan dibiarkan dan bakal mendapat pembalasan sewajarnya," katanya sebagaimana lapor agensi berita Ukraine.

Menteri Pertahanan, Mykhailo Koval dalam pada itu dijangka memberikan butiran terperinci mengenai serangan berhampiran bandar perindustrian Slavyansk dalam satu sidang media, hari ini.

Dalam nahas itu, antara yang terbunuh adalah Jeneral Volodymyr Kulchytskiy, enam anggota tentera Pengawal Nasional terdiri daripada sukarelawan, yang merupakan kematian kedua tertinggi sejak Ukraine kehilangan 18 anggota tentera dalam satu pertempuran di Donetsk, minggu lalu.

Seorang daripada pemimpin pemisah membuat pengakuan mengejutkan semalam dengan mendakwa 33 daripada 40 anggota kumpulan pemisah yang maut dalam serangan di Lapangan Terbang Donetsk merupakan warga Rusia dari wilayah yang dihuni penduduk Islam seperti Chechnya.

Pendedahan itu sekali gus mencabar dakwaan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menafikan campur tangan Kremlin dalam tindakan kumpulan pemisah dan menyokong dakwaan Kiev bahawa pemisah tidak mewakili kehendak sebenar pekerja lombong dan keluli yang menjadi nadi kepada ekonomi Ukraine.

Setiausaha Negara AS, John Kerry berkata, terdapat ‘bukti yang menunjukkan campur tangan Rusia' dalam pertempuran dan melatih individu daripada Chechnya di Rusia yang menjadi punca kepada konflik di Ukraine.

Katanya, walaupun tentera Rusia di sempadan Ukraine telah kembali ke Moscow, tetapi masih terdapat ‘tanda-tanda bahaya’ di situ.

Sementara itu, kerajaan Ukraine semalam dilihat mengalih tumpuan mereka untuk memulihkan keadaan di Slavyansk, sebuah bandar perindustrian yang dihuni 120,000 penduduk yang kebanyakannya merupakan etnik Rusia. - AFP/UTUSAN

Friday 30 May 2014

Malaysia-China kekal sebagai sahabat dan rakan kongsi

BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Malaysia dan China akan terus menjadi sahabat serta rakan kongsi keamanan dan kemakmuran.

Najib, yang berada di sini untuk lawatan enam hari sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China, berkata beliau amat yakin yang hubungan kedua-dua negara akan terus utuh sehinggalah 40 tahun akan datang.

"Dalam masa empat puluh tahun lagi, pada 2050-an, kami akan berada di pertengahan 'Abad Asia'.

"Sudah pasti China bakal menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia, dan Malaysia akan menjadi negara yang lebih matang dan maju,” kata beliau dalam artikel iklan yang disiarkan dalam akhbar People’s Daily pada Jumaat.

Najib turut menulis mengenai pandangan jauh bapanya yang juga Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak dalam mewujudkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974 ketika Malaysia masih lagi sebuah negara baharu, yang memperoleh kemerdekaan kira-kira 20 tahun sebelum itu.

“Jalinan hubungan diplomatik ini adalah satu peristiwa bersejarah - malah, Malaysia adalah negara pertama Asia Tenggara yang mengiktiraf Republik Rakyat China,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata empat dekad kemudian, Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian yang moden dan kini menuju status negara maju.

China juga telah berubah dengan ketara dan kini ia adalah ekonomi kedua terbesar di dunia.

"Ia muncul semula sebagai Kuasa Besar dalam orde dunia yang baharu dan multipolar. Dengan negara-negara kita dan dunia telah berubah dengan ketaranya, satu perkara terus kekal: ikatan persahabatan yang kukuh di antara rakyat negara kita,” kata Najib.

Menurutnya persahabatan itu telah menghasilkan kejayaan ekonomi dengan China menjadi rakan dagang tertinggi Malaysia, yang mncatatkan perdagangan dua hala sebanyak AS$106 bilion tahun lepas. - Bernama
Pihak berkuasa kesihatan Indonesia uji produk Cadbury
 

JAKARTA, JUMAAT 30 Mei, 2014: Pihak berkuasa Indonesia menjalankan ujian ke atas beberapa produk Cadbury susulan laporan penemuan DNA khinzir di dalam coklat keluaran syarikat itu di Malaysia.

Ketua Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Roy Alexander Sparingga berkata, pihaknya akan mengambil sampel dan menjalankan ujian makmal bagi mengesahkan pematuhan Cadbury terhadap garis panduan makanan di republik itu.

"Hanya 10 variasi coklat Cadbury yang memperoleh sijil halal daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI),” katanya yang dipetik dalam laporan Jakarta Globe pada Jumaat.

Laporan penemuan DNA babi dalam dua produk coklat keluaran Cadbury Malaysia pada Sabtu lepas turut mencetuskan kebimbangan rakyat di negara ini yang menjadikan media sosial sebagai medium menyuarakan keresahan mereka.

Ini kerana kedua-dua produk terbabit iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Badam turut dijual di pasaran Indonesia.

Menurut Roy Alexander, hanya produk coklat susu dengan kacang hazel berdaftar dengan BPOM selaku badan yang berkuasa memantau produk makanan berbungkus di Indonesia, namun tempoh pendaftarannya sudah berakhir, manakala usaha Cadbury membawa masuk produk coklat susu dengan badam ditolak. - Bernama
Tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan mangsa culik Semporna - Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan seorang wanita warganegara China dan seorang wanita warganegara Filipina yang diculik dari Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, Sabah awal April lepas.

"Saya baru sahaja diberi taklimat oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bahawa dua wanita yang diculik dari sebuah resort di Sabah April lepas, telah diselamatkan oleh pihak berkuasa kita.

"Tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan mereka," kata Najib dalam Twitter beliau hari ini.

Justeru itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan negara di atas usaha mereka membebaskan kedua-dua mangsa culik itu.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sedang berusaha menghantar pulang wanita China itu ke negaranya secepat mungkin. - Bernama
MAS disaran wujudkan pusat panggilan untuk waris MH370

SHAH ALAM, JUMAAT 30 Mei, 2014: Malaysia Airlines (MAS) disaran mewujudkan khidmat pusat panggilan untuk waris penumpang dan anak kapal penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari berkata, dengan adanya pusat panggilan itu, waris mudah menghubungi MAS bagi mendapatkan maklumat dan laporan tepat berkaitan pencarian pesawat itu.

"Apabila kejadian ini sedikit reda, pihak MAS dikatakan tidak lagi menghubungi waris bagi memaklumkan perkembangan terkini berhubung pencarian pesawat itu.

"Keadaan ini boleh membuatkan waris tertanya-tanya dan kecewa dengan situasi yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Intan Maizura Othman, di kediamannya di Alam Impian di sini, hari ini.

Intan Maizura merupakan isteri Mohd. Hazrin Hasnan, pramugara yang bertugas dalam penerbangan MH370 itu.

Azhari berkata, berikutan kesukaran mendapatkan maklumat daripada pihak MAS, waris terpaksa bergantung kepada sumber media lain yang kebanyakannya kurang jelas dan tidak tepat.

"Kami dimaklumkan waris hanya mengetahui perkembangan status pesawat itu melalui media sosial seperti Facebook dan sumber media lain yang kurang tepat dan bercanggah. Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan tetapi turut menimbulkan kekeliruan kepada waris," katanya. - Bernama
Hargai peluang meraikan nikmat dan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia - Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat Malaysia pelbagai kaum harus menghargai peluang meraikan nikmat dan keistimewaan kebudayaan dan tradisi masing-masing.

Dalam perutusannya kepada kaum Kadazandusun dan Dayak yang meraikan Kaamatan dan Gawai, beliau mengakui bahawa Malaysia ialah pusat kepada kepelbagaian budaya dan diberkati dengan sumber yang boleh dinikmati dan disyukuri.

``Kita seharusnya menghargai realiti ini, bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, kaum, agama dan fahaman politik, boleh hidup bersama dan berkongsi meraikan nikmat dan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia,'' kata Najib dalam catatan blog beliau.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata sambutan tahunan menyambut tahun penuaian baharu dimulakan dengan majlis kesyukuran untuk memanjangkan rasa kesyukuran dan penghargaan terhadap musim penuaian baharu dan ia turut menandakan tibanya masa untuk menyusun perancangan bagi musim tuaian yang bakal tiba, serta untuk menanam usaha yang lebih, dalam segala aspek demi masa hadapan yang lebih sejahtera.

Beliau berkata walaupun rakyat Malaysia memakan nasi setiap hari mereka kadang kala lupa kepada kepentingan beras.

``Penanam padi memerlukan jumlah air yang mencukupi untuk menanam padi. Malaysia pula ialah sebuah negara yang diberkati dengan jumlah air mencukupi untuk penanaman padi,'' kata perdana menteri.

``Rakan-rakan di Sab ikan Hari Kaamatan untuk mengingatkan diri mereka tentang keberkatan yang diterima daripada hasil tuaian yang lumayan,'' katanya, manakala sambutan Hari Gawai pula ialah simbol perpaduan, perjuangan serta harapan bagi masyarakat Dayak.

Sesuai dengan prinsip utuh perpaduan rakyat Malaysia, katanya, pada hari berkenaan, rakan-rakan Dayak akan bersama-sama melakukan gotong-royong seperti membersih, memperbaiki atau mengecat rumah panjang atau rumah mereka bagi membuat persiapan menyambut perayaan.

``Dengan semangat perpaduan yang dipupuk dalam konsep 1Malaysia, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh rakyat Sarawak dan `gayu guru gerai nyamai!'.

``Kepada seluruh rakyat Sabah pula, saya ucapkan `Kotobian tadau tagazo do Kaamatan!'' katanya. - BERNAMA
Fasa baharu hubungan perlu ambil kira aspek sosiobudaya - Najib

Oleh ROZAMAN ISMAIL

BEIJING, JUMAAT 30 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan fasa baharu hubungan Malaysia-China untuk tempoh 40 tahun akan datang perlu diperluaskan kepada aspek sosiobudaya, nilai-nilai dan kemanusiaan.

Beliau berkata, jika sebelum ini fokus hubungan kedua-dua buah negara itu adalah dalam bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi, wajah 40 tahun akan datang perlu turut mengambil kira perkara-perkara tersebut.

``Demi mewajah 40 tahun akan datang, hubungan sosiobudaya kedua negara perlu diperhebat dan diperkasakan menerusi penekanan kepada aspek nilai-nilai murni sejagat.

``Kerjasama dalam bidang kemanusiaan juga perlu dibina dan diperkuatkan untuk manfaat bersama,'' katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan

Malaysia-China di Beijing Foreign Studies University (BFSU) di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE
Polis pantau rakyat bersekongkol lindungi militan

KUANTAN, JUMAAT 30 Mei, 2014: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan anggota militan yang bersembunyi di negara ini serta rakyat tempatan yang melindungi mereka.

Katanya PDRM juga sedang memantau mereka yang disyaki berbuat demikian.

``Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang didapati cuba melindungi anggota militan terbabit yang dikehendaki Interpol kerana pembabitan dalam kegiatan pengganas.

``Kita tidak menolak ada kes-kes pendududuk tempatan yang bersekongkol dan memberi perlindungan kepada anggota militan ini dan mereka yang terlibat ini sentiasa dalam pemerhatian polis," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan hari polis ke-207. - BERNAMA
Polis tumpas geng Asroy, selesai sembilan kes pecah rumah

PUTRAJAYA, JUMAAT 30 Mei, 2014: Polis menumpaskan `Geng Asroy` yang dianggotai empat remaja termasuk dua yang masih bersekolah dipercayai terlibat dalam sembilan kes pecah rumah sejak Mac tahun lepas dengan menyasarkan pangsapuri sekitar Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata remaja terbabit yang berusia antara 15 dan 21 tahun itu ditahan di Putrajaya dan Kampar, Perak pada 20 dan 21 Mei lepas.

``Nilai kerugian dianggarkan RM55,000. Tetapi dalam serbuan itu setakat ini kita hanya menemui laptop, (gajet) tab, jam tangan, surat pajak gadai dan dompet,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, modus operandi Geng Asroy ialah memecah masuk pangsapuri melalui balkoni dapur antara 9 pagi hingga 4 petang dan pernah memecah masuk pangsapuri di tingkat 13.

``Sasaran mereka adalah rumah yang tidak berkunci. Kita mahu penduduk peka dengan perkara ini kerana penghuni yang memberi peluang kepada penjenayah untuk memecah masuk," katanya. - BERNAMA