My Add

Friday 30 September 2011

Kerajaan mahu lihat kesungguhan Pas laksana Hudud

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini mahu melihat kesungguhan Pas melaksanakan hukum Hudud di negeri yang ditadbir oleh mereka kerana walaupun nampak tegas, hakikatnya ia masih belum dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata niat melaksanakan Hudud itu sudah lama dicanang oleh parti Pas di negeri di bawah pemerintahan mereka tetapi tiada sebarang perubahan.

"Kita nak tengok serius atau tidak serius mereka ini, sebab cerita Hudud ini bukan cerita baru daripada dulu lagi mereka dah sebut perkara ini tetapi tak menjadi langsung,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato” Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Najib menafikan bahawa beliau ada menyebut soal menghapuskan kuota Bumiputera dalam perniagaan seperti didakwa beberapa blog dan portal berita baru-baru ini.

Sambil menyifatkan kenyataan itu tidak didengari dengan jelas, beliau menegaskan apa yang disebut hanyalah peringatan kepada peniaga bumiputera supaya lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain.

"Saya kata, jangan terlalu bersandarkan kepada kuota, peniaga Bumiputera mesti lebih berdikari dan sanggup berusaha untuk bersaing dengan orang lain, tapi, saya tidak sebut sama sekali kuota itu akan dimansuhkan,” katanya.

Mengenai Pengarah filem Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee, beliau berkata Namewee dan beberapa pihak tertentu yang dikatakan menyokong Gagasan 1Malaysia perlu terus menyokongnya melalui kreativiti mereka tersendiri.

"Bagi Namewee dan pihak-pihak lain yang menyokong 1Malaysia, yang penting sekali baginya ialah menyokong apa yang sedang kita lakukan untuk negara ini, saya difahamkan beliau merupakan penyokong kuat kepada Gagasan 1Malaysia.

"Saya menggalakkan beliau untuk terus memberi segala pandangan beliau melalui cara sebagai blogger atau mungkin cara-cara lain seperti penerbitan filem dan sebagainya yang mencerminkan sokongan kepada Gagasan 1Malaysia,” katanya.

Mengulas beberapa video yang dihasilkan oleh Namewee yang dikatakan menimbulkan kontroversi, Najib berkata Namewee merupakan seorang individu yang ada kelainan tersendiri.

"Saya tak nak beri komen, tapi sebab masing-masing ada kelainannya. Dia merupakan seorang yang ada kelainan dia, bukanlah merupakan seorang konvensional dari segi pendekatan pemikirannya,” kata Najib.

Namewee yang berkelulusan ijazah sarjana muda komunikasi massa dari sebuah universiti di Taiwan menjadi pengarah untuk filem Nasi Lemak 2.0 yang kini sedang ditayangkan di pawagam. - Bernama

Najib alu-alukan tindakan Guan Eng mohon maaf

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengalu-alukan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, memohon maaf di atas kenyataannya memburuk-burukkan negeri Johor, baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan itu juga menunjukkan Guan Eng telah mengakui kesalahannya yang terlajak kata selain akur kerana bukti rakaman percakapannya itu telah diperolehi.

"Kita sudah ada recording (rakaman) dan perkara ini amat sukarlah bagi dia nak menafikan, kalau dia boleh nafikan dia takkan minta maaf,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato” Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata banyak telah mendesak Guan Eng supaya memohon maaf termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Maknanya dia telah terimalah kesilapan dalam hal ini,” katanya. - Bernama

Calon boleh menang bukan wujudkan keadaan tidak harmonis

SERDANG: Langkah UMNO memilih calon yang boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang bukan bertujuan mewujudkan keadaan tidak harmonis dalam parti, sebaliknya untuk memastikan kelangsungan perjuangan parti, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO akan menampilkan calon yang terdiri daripada muka baru dan lama, berpengalaman, bertenaga dan yang boleh diterima pengundi.

"Ini bukan perkara baru, kami sudah melakukan perubahan setiap kali menghadapi pilihan raya cuma degree atau jumlah itu, agak berbeza-beza. Kami kekalkan yang berpengalaman dan sesuai. Kami hanya ganti siapa yang perlu diganti sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai pemilihan calon boleh menang akan mewujudkan rasa tidak puas hari dalam kalangan ahli parti.

Muhyiddin mengakui setiap kali berlakunya perubahan akan ada pihak yang tidak puas hati namun beliau yakin parti mampu menguruskan perkara itu dengan cara terbaik.

"Jika ada yang tidak puas hati nanti, kita akan bawa berbincang. Kadang-kadang merajuk sekejap sahaja... satu dua hari tidak mahu bekerja, biasalah dalam UMNO. Dalam parti pembangkang pun ada juga, ini soal parti-parti politik... biasalah,” katanya.

Muhyiddin berkata, semua perlu mengakui hakikat tidak semestinya sudah lama menjadi ketua bahagian atau wakil rakyat, akan dipilih sebagai calon kerana pendapat ramai dan akar umbi menyatakan mereka mahukan muka baru.

"Mungkin sekarang masa untuk orang lain pula jadi calon. Masa kita sudah berlalu, jadi seperti mana orang sokong kita dahulu, giliran kita pula beri sokongan kepada orang lain,” katanya. - Bernama

Lim Guan Eng mohon maaf kepda Sultan Johor

AKHIRNYA Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon maaf kepada Sultan Johor ekoran rasa tersinggung baginda tentang kenyataannya Johor tidak selamat untuk pelabur.

"Sebagai rakyat Malaysia yang setia kepada Raja dan negara, patik ingin memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor, atas rasa tersinggung DYMM Tuanku terhadap kenyataan berikutan dengan Johor yang telah dibuat oleh patik.

"Dan juga kepada rakyat jelata Johor di bawah naungan DYMM Tuanku atas perkara yang sama.

"Patik tidak berniat untuk memburukkan Johor atau mana-mana negeri atas apa-apa sebab dan alasan sekali pun," kata Guan Eng dalam kenyataannya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dilapor melemparkan tohmahan itu ketika majlis makan tengah hari bersama Persatuan Wartawan Asing Singapura di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura.

Dalam sidang media di pejabatnya semalam, Guan Eng tidak mengaku mengeluarkan kenyataan itu dan beliau beliau belum lagi mendengar rakaman yang dikatakan mengandungi percakapannya. 



Rakaman sidang media itu semalam diperoleh daripada NTV7            


“Saya tidak ingat dan tak pasti," katanya.

 

Hudud: Perjuangan Pas ibarat musim padi: Noh Omar

SHAH ALAM: Perjuangan Pas berhubung hukum hudud adalah seperti musim padi, iaitu hanya pada jangka masa tertentu sahaja bukan sepanjang tahun, kata Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, Pas tidak ikhlas memperjuangkan hukum berkenaan kerana ia lebih bersifat menjaga kepentingan politik serta hanya menimbulkannya pada musim-musim tertentu bukannya secara berterusan.

"Macam musim padi di Tanjong Karang, setahun dua kali, tapi hudud Pas ini empat tahun sekali iaitu bila hendak sampai pilihan raya umum barulah timbul,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Peladang Negeri Selangor di sini hari ini.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata Pas sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya ia benar-benar ikhlas memperjuangkan hukum hudud, dan bukannya bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh rakan pembangkang yang lain. - Bernama

Muhyiddin mahu UPM bantu soal jaminan makanan cukup


SERDANG: Selain terus menjadi universiti berteraskan pendidikan dan pembangunan pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menguruskan soal jaminan kecukupan makanan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, soal itu kini menjadi isu nasional kerana sudah banyak inisiatif kerajaan dijalankan untuk memastikan negara mencapai tahap sara diri bagi beberapa komponen makanan.

"Pengalaman ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dahulu, telah menggariskan beberapa strategi dan melakarkan pelan untuk menentukan negara mampu mengeluarkan sejumlah hasil makanan diperlukan atas kadar
berpatutan, dan kalau boleh mencukupi.

"Lima tahun di situ, saya kira sampai hari ini sasaran itu masih belum dicapai lagi. Masalah itu bukan hanya di negara kita malah turut berlaku di peringkat gobal," katanya ketika berucap sempena lawatan kerja ke UPM di sini, hari ini.

Muhyiddin berpendapat peranan UPM amat kritikal dan penting dalam membantu menjalankan penyelidikan untuk memodenkan sektor pertanian dan berharap usaha tersebut terus dipertingkatkan.

"Selain dapat menghasilkan penyelidikan pelbagai baka beras, amalan pengurusan tanaman bersifat lestari, kajian mengenai usaha pengurangan jurang penghasilan tahap sara diri juga perlu dipertingkatkan," katanya.

Muhyiddin berkata, menjadi satu cabaran besar kepada UPM untuk membantu menjadikan sektor pertanian dapat bertahan secara lestari dengan tenaga manusia yang harus menjadi penggerak utamanya.

"Apakah sektor pertanian benar-benar boleh dimodenkan untuk meningkatkan hasil, walaupun ia melibatkan kos besar tetapi untuk jangka masa panjang ia lebih ekonomik dan mengeluarkan hasil yang banyak," katanya.

Timbalan Perdana berkata, peranan Hospital Veterinar juga perlu diperluaskan lagi kerana dengan kepakaran yang ada, ia berupaya membantu mengembangkan sektor penternakan negara.

"Ia sekali gus dapat memastikan bekalan daging dalam negara mencukupi. Lebih baik jika dapat dipertingkatkan untuk masa depan, kerana sekarang keluaran daging negara sekitar 80 peratus, selebihnya terpaksa diimport," katanya. - Bernama

Ekonomi Melayu diperkasa

NAJIB bersalaman dengan orang ramai yang menghadiri Majlis Pelancaran MTEM di Serdang, malam tadi. - Foto Effendy Rashid
SERDANG: Datuk Seri Najib Razak malam tadi melancarkan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) gabungan 63 badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu dalam usaha memartabatkan ekonomi orang Melayu pada abad 21
.
Majlis pelancaran gabungan NGO Melayu yang pertama seumpamanya disaksikan kira-kira 13,000 ahli NGO berkenaan di Dewan Utama Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Pengerusi MTEM, Syed Ali Alattas.


Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan, sudah sampai masanya NGO Melayu bertindak dengan lebih bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan mereka dapat diketengahkan dengan lebih baik.


Katanya, NGO Melayu tidak boleh bergantung kepada kerajaan tetapi sebagai individu dan NGO, mereka perlu bangkit menjadi barisan hadapan untuk menuntut perubahan.


“Saya mahu Melayu abad ke-21 bekerjasama dengan kerajaan kerana masa depan orang Melayu berkait rapat dengan untung nasib kerajaan hari ini. Jika ingin bergantung harap orang Melayu boleh bergantung dengan kerajaan yang ada pada hari ini.


“Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu kita tidak boleh mengambil hak kaum lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.
“Sebagai contoh apabila kerajaan memutuskan Projek Sistem Pengangkutan Pantas (MRT) Lembah Klang, kita putuskan 43 peratus daripada projek ini kita berikan kepada usahawan Melayu dan Bumiputera, ” katanya.


Perdana Menteri berkata, Melayu abad ke-21 tidak perlu terus selamanya berselindung di sebalik kerajaan tetapi perlu ada keyakinan dan keberanian untuk berjaya.


“Jika ingin jadi bangsa bermaruah, disegani dan dihormati, mereka (Melayu) tidak boleh berselindung di balik perlindungan kerajaan tetapi perlu ada keberanian, keyakinan diri dan keupayaan yang lebih.


“Ini adalah ciri Melayu abad ke-21 yang berjaya kerana ilmu, kemampuan dan minda yang lebih," katanya.


Sementara itu, Syed Ali berkata, MTEM bukan hanya menjadi badan pemantau dan pengimbang malah akan menjadi badan yang lebih konstruktif sebagai rakan dalam pembangunan negara.


Katanya, MTEM mampu memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi masyarakat Melayu sekali gus menyelesaikan masalah pelebaran jurang ekonomi yang semakin ketara hari ini.




















Pendirian pembangkang memang sudah dijangka

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang berdolak-dalik dalam isu hudud sehingga tidak berani membuat satu pendirian yang jelas sama ada menyokong atau menolaknya, memang telah dijangka walaupun bermesyuarat selama empat jam malam tadi.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, isu hudud hanyalah sandiwara politik bermusim yang sengaja ditimbulkan Pas, setelah menyedari sokongan orang Melayu terhadap parti itu kian terhakis.

Sehubungan itu, beliau mencabar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membawa negeri tersebut keluar daripada kongkongan pakatan pembangkang dan melaksanakan hukum hudud jika benar-benar Mursyidul Am Pas itu ikhlas.

"Saya sudah jangka semua ini. Ini semua sandiwara politik tetapi secara peribadi saya melihat ada keikhlasan di hati Nik Abdul Aziz, namun bukan pada kepimpinan tertinggi Pas,'' katanya kepadaUtusan Malaysia di sini semalam.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga menganggap kegagalan pembangkang membuat ketetapan jelas dalam isu tersebut membuktikan permainan sandiwara politik.

Katanya, pendirian yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam semalam hanyalah kenyataan untuk mengambil hati dan bukan satu pendirian jelas seperti yang dituntut oleh rakyat.

"Pembangkang melalui Anwar sengaja membuat kenyataan sedemikian demi menimbulkan polemik yang berterusan. Pada masa yang sama, dia takut untuk menyatakan pendirian sebenar kerana sedar antara DAP dan Pas tidak boleh sependapat dalam isu hudud," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan berkata, isu hudud yang kembali ditimbulkan bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada isu moral Anwar dan juga keceluparan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Hakikat itu jelasnya telah terbukti, apabila orang ramai tidak lagi bercakap soal perkara berkenaan kerana tertarik dengan cadangan bermusim Pas untuk melaksanakan Hudud.

60 tahun perjuangan Pas dalam kerangka demokrasi


KUALA LUMPUR: Menjelang sambutan 60 tahunnya yang bermula malam ini, Pas menjelaskan bahawa aktiviti dan perjuangannya adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, aktiviti dan perjuangan Pas yang dimaksudkan termasuklah:

1. Soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain

2. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing

3. Kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu dan

4. Kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Kenyataan itu turut menyatakan dengan jelas komitmen Pas untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Buku Jingga.

Pas turut berjanji untuk terus berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat.

Pada masa yang sama, Tuan Ibrahim berkata Pas turut memberikan jaminan akan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh Pas.

Mengenai perbezaan pendapat dengan DAP dalam melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah, beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang menjelaskan bahawa perbezaan tersebut berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. - Harakahdaily 





Pendirian rasmi Pas mengenai Hudud

KUALA LUMPUR: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, Pas berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Menuru Harakahdaily, dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"Pas melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian Pas:

1. Parti Islam SeMalaysia (Pas) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan Pas adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. Pas juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. Pas juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh Pas.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. Pas melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka Pas melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih Pas atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya. - Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan Pas, 30 September 2011.

Wanita UMNO Kedah minta bahagian selesaikan kemelut

ALOR SETAR: Wanita UMNO Kedah hari ini mengingatkan UMNO bahagian di negeri itu agar menyelesaikan segera kemelut dalaman yang dikatakan berlaku jika tidak mahu dikecewakan lagi pada pilihan raya umum kelak.

Ketuanya, Datuk Maznah Abdul Hamid berkata, kemelut yang dihebohkan berlaku di beberapa bahagian, boleh menjadi beban kepada Barisan Nasional (BN) Kedah dalam usaha merampas kembali negeri itu.

"Parti lawan khususnya Pas sememangnya suka perebutan dan pergaduhan ini berlaku dalam UMNO supaya mudah bagi mereka mempertahankan Kedah. Segala masalah yang menjadi punca hendaklah diselesaikan dari akar umbi,” katanya kepada pemberita, di sini. - Bernama

Kesepakatan hanya pembohongan - Puad Zarkashi

KOTA BHARU: Keputusan pakatan pembangkang untuk tidak melaksanakan Hudud di Kelantan membuktikan bahawa kesepakatan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya satu pembohongan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, apa yang pasti keputusan itu menyerlahkan bahawa matlamat perjuangan mereka amat berbeza dan tidak boleh disatukan.

Beliau berkata, perkara tersebut juga timbul disebabkan pembangkang tidak mempunyai perancangan untuk masa depan malah keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya mereka mengambil alih pentadbiran negara.

"Sebab itu, saya yakin bahawa ini membuktikan kesepakatan yang mereka sebut hanya satu pembohongan, malah Buku Jingga pun tidak sebut Hudud.

"Apabila perkara ini mula-mula timbul dahulu, Anwar Ibrahim sokong dan dalam mesyuarat semalam tidak capai persetujuan, mereka tolak cadangan Pas laksana Hudud.

"Mereka tidak mampu tadbir negara dalam keadaan begini. Sepatutnya perkara ini sudah lama selesai, kata ada kesepakatan, bohong dan pura-pura belaka.

"Yang jadi penghalang Pas bukan Perlembagaan Persekutuan, itu hanya kambing hitam, penghalang sebenar adalah DAP," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kali Ke-36 dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Ke-35 Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini, semalam..

Media hari ini melaporkan Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) Pembangkang tidak akan melaksanakan hukum Hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Mohd. Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, Pas perlu berhenti meneruskan propaganda Hudud kerana ia akan mengelirukan rakyat.

"Saya lebih yakin Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak berpegang kepada semangat permuafakatan partinya sendiri. Pas sendiri gugurkan negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

"Antara hujah mereka adalah belum sesuai lagi, Nik Aziz lupa sebab itu timbul Hudud. Saya berpendapat tidak timbul alih isu tetapi tiada perancangan konkrit dalam pakatan pembangkang untuk perjuangan mereka," katanya - Utusan

Hudud: Pembangkang berdolak-dalik - Shafie Apdal


Oleh HAKIMI ISMAIL


PUTRAJAYA: Kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin goyah apabila gagal dan tidak berani menyatakan pendirian sebenar mengenai hukum Hudud.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pendirian pakatan pembangkang yang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya menampakkan kegusaran pembangkang untuk menyebelahi satu-satu pihak.

Menurutnya, keputusan tersebut menampakkan sikap sebenar pembangkang yang suka berdolak-dalik dalam sesuatu isu sehingga mengelirukan rakyat.

“Kita tidak boleh percaya sangat dengan keputusan pembangkang itu, mereka bila-bila masa sahaja boleh menafikan atau menarik balik segala keputusan yang dibuat.

“Kita tunggu dan lihat sahaja sampai bila pendirian itu akan kekal, keputusan mereka yang menyatakan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga hanyalah ayat pemanis mulut semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan mesyuarat parti-parti pembangkang yang menyatakan pakatan itu tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Isu mengenai perlaksanaan hukum hudud menjadi antara agenda perbincangan utama kini apabila hasrat untuk melaksanakannya dibangkitkan semula oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Bagaimanapun, hasrat Nik Abdul Aziz itu mendapat tentangan daripada DAP terutamanya Karpal Singh yang beranggapan ia tiada dalam kesepakatan dasar pembangkang seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.

Menurut Mohd. Shafie, larangan pakatan pembangkang kepada semua pemimpinnya daripada mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud juga jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan mereka selama ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, rakyat perlu sedar tujuan sebenar pembangkang mengeluarkan isu lapuk terutamanya menjelang musim pilihan raya.

“Mereka hanya mahu meraih publisiti daripada setiap isu yang dikeluarkan, satu persatu isu yang dibangkitkan sehingga masyarakat terpengaruh.

“Oleh itu masyarakat perlu memahami dan mengetahui hakikat sebenar bahawa pembangkang tidak akan membawa sebarang perubahan dalam pembangunan negara,” katanya.- Utusan

Setiausaha Agung DAP dedahkan kelemahan sendiri - Shahrir

JOHOR BAHRU:  Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memburuk-burukkan Johor sebenarnya mendedahkan kelemahan dirinya sebagai seorang pemimpin sebuah negeri.


Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, sikap itu menunjukkan beliau bukan seorang pemimpin yang bijaksana.

"Setiausaha Agung DAP itu sebenarnya terlupa yang dia mewakili rakyat Pulau Pinang. Dia cuba bergurau dan membodek 'orang putih' (media asing) dengan memburuk-burukkan negara khususnya Johor, tetapi tanpa disedari ia turut mengaibkan dirinya ibarat 'tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri'.

"Dia ke luar negara dalam lawatan rasmi dan mewakili DAP dengan jawatan Setiausaha Agung. Jadi, apa jua tindak tanduk atau fiil (perangai) pasti mengundang persepsi negatif sama ada terhadap kepimpinan atau parti yang diwakili," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburuk-burukkan Johor dalam satu temuramah dengan media asing di Singapura baru-baru ini.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, kecintaan Guan Eng terhadap negara boleh dipersoalkan kerana sanggup memburuk-burukkan negara sendiri kepada orang asing dan semua rakyat negara ini terutama penduduk Johor boleh menilai sendiri kewibawaan dan tahap kebijaksanaannya.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Zainal Abidin Othman berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu menjaga negeri sendiri dan jangan 'sibuk menjaga tepi kain orang' kerana sejak DAP mentadbir negeri itu rakyat yang tidak puas hati mengadakan pelbagai demonstrasi.

"Cukup-cukuplah Guan Eng buat tohmahan terhadap Johor, jika negeri ini tidak selamat kenapa warga Singapura boleh datang dan kembali semula ke negeri mereka dengan selamat.

"Cakap sahaja apa yang mereka (warga Singapura) mahu? Melabur, berhibur, membeli-belah dan menziarahi keluarga, di Johorlah mereka dapat menikmati kepuasan yang dikehendaki," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau.- Utusan

Guan Eng dakwa 'tak ingat' burukkan Johor


GEORGETOWN: Selepas beberapa hari dikritik hebat kerana memburukkan Johor, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, semalam berkata tidak pasti sama ada menyebut perkara demikian atau sebaliknya. 

Guan Eng yang tidak mengaku mengeluarkan kenyataan itu, berkata beliau belum lagi mendengar rakaman yang dikatakan mengandungi percakapan itu.

“Saya tidak ingat dan tak pasti," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Rakaman sidang media itu semalam diperoleh daripada NTV7 kerana Berita Harian tidak dijemput untuk menghadiri sidang media berkenaan.

Malah, wartawan TV3, Selwam Arjunan yang turut menghadiri sidang media itu diarahkan keluar oleh Guan Eng kerana tidak mahu wakil stesen televisyen berkenaan berada di dalam bilik itu ketika beliau menjawab soalan berkaitan dakwaan memburukkan Johor.

Ketua Menteri enggan menjawab soalan berkaitan isu berkenaan selagi Selvam tidak keluar kerana mendakwa akan mengambil tindakan undang-undang ke atas TV3.

Isnin lalu, TV3 menyiarkan rakaman audio Guan Eng yang berkata: Anda tidak perlu bimbang dengan keselamatan apabila datang ke Pulau Pinang. Di Johor, jika anda seorang warga Singapura, anda mungkin diculik.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP didakwa melemparkan tohmahan itu ketika majlis makan tengah hari bersama Persatuan Wartawan Asing Singapura di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura.

Beliau mendakwa, ucapan rasminya pada majlis makan tengah hari itu adalah ‘majlis tertutup' tidak mengandungi sebarang kenyataan berkaitan Johor.

Namun, katanya, beliau tidak pasti sama ada kenyataan berkenaan dikeluarkan ketika interaksi bersama tetamu pada majlis itu.

"Saya belum dengar lagi rakaman itu, sama ada kenyataan itu dibuat atau tidak. Jika kenyataan itu dibuat, dalam konteks macam mana kerana majlis itu dibuat secara tertutup. Saya mahu tahu dalam konteks apa kenyataan itu dibuat kerana tidak ingat apa yang saya katakan kerana saya membuat beberapa ucapan satu hari," katanya.

Guan Eng berkata, untuk memastikan sama ada kenyataan itu dibuatnya atau tidak, beliau mahu membawa perkara itu ke mahkamah untuk mendapatkan rakaman berkenaan terlebih dulu.

“Kalau cakap mereka ada rakaman itu, kita mahu dapat dan dengar,. untuk itu kita perlu ke mahkamah biar mahkamah proses mahkamah putuskan,” katanya.

Jangan berselindung sebalik perlindungan kerajaan - Najib

Najib bersama sebahagian daripada 10,000 ahli ekonomi dan peniaga Melayu serta mahasiswa menyanyikan lagu Negaraku pada majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Lumpur, malam tadi. - Bernama


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan FAUZI JAAFAR


SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Melayu abad ke-21 tidak boleh berselindung di sebalik perlindungan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang.

Sebaliknya, beliau berkata, kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada keyakinan diri, keupayaan serta kebolehan kaum Melayu pada abad tersebut.
Sehubungan itu, beliau mahu orang Melayu pada abad ini melakukan perubahan dalam konteks meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka mampu bersaing.

"Inilah cabaran oleh orang Melayu pada abad ke-21. Sekiranya kita mahu orang Melayu yang bermaruah dan terhormat, kita tidak boleh berselindung tetapi kita perlu ada keberanian dan keyakinan diri untuk berjaya.

"Kerana kita ada kelebihan dan inilah ciri-ciri Melayu abad ke-21 iaitu Melayu yang berjaya yang bukan dilindungi kerajaan tetapi kerana ada kelebihan ilmu, kemahiran berfikir dan minda yang tajam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM) dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Perdana Menteri di tapak Ekspo Pertanian Malaysia di sini malam tadi.

Majlis pelancaran MTEM dihadiri kira-kira 10,000 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu seluruh negara.

MTEM merupakan sebuah platform untuk NGO ekonomi Melayu bersatu supaya lebih efektif dalam menggalakkan pembangunan ekonomi yang lestari di kalangan komuniti Melayu dan negara.

Perdana Menteri berkata, realitinya cabaran abad ke-21 amat hebat dan mahu tidak mahu orang Melayu perlu menghadapinya dengan persediaan secukupnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang Melayu abad ke-21 perlu menjalinkan kerjasama dengan kerajaan sedia ada kerana masa depan mereka berkait rapat dengan untung nasib kerajaan sekarang.

"Dalam kita memastikan kejayaan orang Melayu, kita tidak boleh mengambil hak kaum lain tetapi orang Melayu perlu menggunakan kuasa politik daripada kerajaan sedia ada.

"Sebagai contoh apabila kerajaan memutuskan projek transit aliran massa (MRT), kita putuskan 43 peratus daripada projek ini kita berikan kepada usahawan Melayu dan bumiputera," ujarnya.

Beliau menambah, sudah tiba masanya NGO Melayu bertindak dengan bersungguh-sungguh dan berkesan supaya tuntutan kaum itu dapat diketengahkan secara lebih baik.

"Kita tidak boleh menyerahkan kepada kerajaan semata-mata tetapi perlu memperkasakan individu dan NGO yang bangkit dan bertindak sebagai barisan depan dalam menuntut apa yang perlu bangsa kita miliki," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang juga Pengerusi MTEM, Syed Ali Alattas dan Pengerusi penganjur, Rizal Faris Mohaideen Abdul Kader. Utusan



Henti salahkan orang, kutuk pihak lain - Hilmi Yahaya

PULAU PINANG: Ketua Menteri, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak meneruskan sikapnya yang suka menyalahkan dan mengutuk pihak lain kerana ia hanya menjejaskan nama baik negeri dan negara.


Setiausaha Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Guan Eng sepatutnya mengubah sikap dan menggunakan peluang untuk mempromosikan keunikan negeri ini ke seluruh dunia, bukannya mengutuk dan mewujudkan permusuhan dengan negeri lain.

"Saya ingatkan dia (Guan Eng) jangan suka salahkan orang lain, kutuk orang lain. Mentaliti kena ubah. Sebagai Ketua Menteri, dia tidak patut mengutuk negeri lain (Johor). Tapi apa yang saya nampak, dia lupa siapa dirinya. Dia masih ingat dia pembangkang.

"Tidak kisahlah apa alasan dia (Guan Eng) berbuat demikian, yang penting dia tidak boleh lagi buat begitu. Sepatutnya dia kena beritahu apa yang Pulau Pinang ada dan apa perancangan yang dia nak buat. Barulah boleh tarik pelaburan," katanya pada majlis 1Malaysia Merdeka Raya anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini, semalam.

Beliau mengulas temu bual Guan Eng dengan media asing di Singapura baru-baru ini yang mendakwa rakyat republik itu berkemungkinan diculik sekiranya berurusan di Johor.

Kata Hilmi, pelaburan yang masuk ke sesebuah negeri turut dinikmati oleh negeri di sekitarnya.
"Tidak kiralah pelaburan masuk ke Johor, Perak atau negeri lain. Kesan baik itu dinikmati semua rakyat kerana ia saling bersangkutan.

"Saya harap dia bersikap gentlemen. Kena bertanggungjawab atas apa yang dia kata, jangan nafikan. Saya meneliti transkrip temu bual berkenaan dan apa dikatakannya tentang Johor itu memang ada," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, kenyataan Guan Eng itu tidak tepat, berniat jahat dan mahu menafikan usaha polis dalam mencegah jenayah selama ini.

"Beliau membuat kenyataan secara tergesa-gesa tanpa unsur periksa. Kenyataannya itu mempunyai maksud tersirat dan dilihat mempertikai usaha kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini," katanya. - Utusan

Guan Eng didesak minta maaf kepada Sultan

JOHOR BAHRU: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak supaya segera meminta maaf kepada Sultan Johor dan rakyat ekoran dakwaannya yang negeri ini tidak selamat dan berpotensi untuk diculik sekiranya berada di sini.

Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi berkata, tuduhan itu liar sekali dan amat mengguris hati rakyat Johor.

"Jika Guan Eng dakwa tidak selamat, jangan datang lagi ke Johor untuk berkempen atau sebagainya. PPPMM juga ingin tahu status warganegara Guan Eng dan keluarganya yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu di negara asing.

"PPPMM mendesak kerajaan agar Guan Eng disiasat kerana ia melibatkan maruah, kedaulatan dan keselamatan negara. Guan Eng perlu perjelaskan kepada kerajaan negeri dan juga Sultan Johor tentang kenyataannya yang tidak berasas itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP itu yang memburuk-burukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

A. Rahman berkata, tindakan pemimpin DAP itu dipercayai mempunyai agenda tersendiri dengan pihak luar dari negara tersebut dalam usaha menjatuhkan negara ini.

Katanya, motif Guan Eng itu menimbulkan tanda tanya dan perbuatan memfitnah Johor di luar negara adalah satu perkara yang serius dan tidak boleh dimaafkan.

"Polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan tegas atas kenyataannya selaku rakyat Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri," katanya.

Menurutnya, pemimpin DAP kini semakin biadab dan sikap Guan Eng itu menunjukkan dirinya masih tidak layak memegang jawatan Ketua Menteri.

Sepatutnya, kata A. Rahman, Guan Eng bersaing secara sihat dengan negeri ini dan bukan menjatuhkannya dengan cara jahat dan bersekongkol dengan pihak lain di luar negara.

Guan Eng jangan masuk Johor

Sementara itu, kira-kira 200,000 ahli Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor di luar negara.

Ketua Penerangannya, Abdullah Md. Yusuf berkata, pihaknya juga menasihatkan Guan Eng agar tidak berkunjung ke negeri ini jika merasakan ia tidak selamat untuk dilawati.

"Kalau dia kata negeri Johor tak selamat, jangan melangkah masuk ke negeri ini, sebaliknya jagalah negeri sendiri dan bela nasib rakyat Pulau Pinang yang masih memerlukan perhatian daripada Ketua Menterinya.

"Apa pun dia sebenarnya sudah terlajak kata seperti kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. 


Dakwaannya itu telah menelanjangkan dirinya sendiri selaku pemimpin yang tidak bijaksana untuk mengurus tadbir negerinya sendiri, " katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Melayu Johor Bahru berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng itu. 

"Sebaik sahaja DAP diketuai oleh Guan Eng di Pulau Pinang, kita dapati ada sahaja masalah yang dihadapi oleh rakyat, malah banyak demonstrasi dan rasa tidak puas hati diluahkan oleh rakyat, namun dia dengan egonya tidak memberikan perhatian terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat.

"Dia tidak memberi layanan sama rata antara kaum, malah menjalankan dasar perkauman khususnya dalam kalangan orang Melayu," katanya.

Di Ipoh, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhutang permohonan maaf yang cukup besar dengan kerajaan dan rakyat Johor kerana memburuk-burukkan negeri tersebut.

Katanya, tindakan Guan Eng itu akan menjejaskan usaha kerajaan Johor untuk membangunkan negeri yang sedang berkembang maju itu.

''Biarlah apa yang berlaku ini membuka mata orang ramai terhadap Guan Eng," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi dari Wilayah Wenzhou dan Foochow, China, hari ini.

Menurutnya, sudah menjadi taktik biasa Guan Eng memburuk-burukkan pihak lain untuk menaikkan imej beliau sendiri.

"Selama tiga tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng mengkritik bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk meningkatkan profil beliau," katanya.

Sultan Ibrahim tersinggung


Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM


Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tersinggung dengan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya Johor tidak selamat untuk pelabur.

“Memang beta tersinggung apabila beta tahu tentang kenyataan itu.

“Tetapi sebagai Sultan, beta tidak mahu diseret ke dalam arena politik,” titah baginda ketika dipetik dalam Buletin Utama malam ini,"

Baginda juga tidak mahu pihak lain bercakap bagi pihak baginda yang sentiasa mengambil berat tentang rakyat Johor dan warga asing yang menetap di negeri itu.

Bagaimanapun, sebagai Sultan, baginda tidak mahu mencampuri hal politik.
Sultan Johor bertitah demikian ketika mengulas dakwaan Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor dalam temubualnya dengan media asing di Singapura baru-baru ini. - Utusan.

Pemimpin pembangkang tak sekata, Nik Aziz kecewa

KEGAGALAN pemimpin pakatan pembangkang mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan hukum Hudud semalam, nyata mengecewakan Datuk Nik Aziz Nik Mat.. 

Tatapi. saya yakin Mursyidul Am Pas itu mungkin berasa lega sedikit apabila kepuusan yang dicapai membolehkan Pas terus menerangkan kepada rakyat mengenai undang-undang syariah.


Yang jelas DAP tetap tidak menyokong hukum Hudud dilaksanakan.


Bak kata Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA, pakatan pembangkang hanya ”berjalan bersama” untuk merampas kuasa tetapi tidak ambil peduli sebarang perkara yang akan berlaku selepas ini.


Kekecewaan Mursyidul Am Pas itu memang tidak tergambar dan pendiriannaya juga yang tegas selama ini jelas berubah. 



Nada penerimaan Menteri Besar Kelantan itu berhubung keputusan tersebut barangkali cuma 'manis mulut' sahaja.

Beliau sekadar menyambut baik keputusan itu. Hati kecilnya, Tuhan sahaja yang tahu. 

Di laman Facebooknya, Nik Aziz berkata beliau amat bersyukur kerana rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat memahami hasrat Kelantan apatah lagi kerana ia tidak menyentuh bukan Islam


Selain itu beliau mengulangi: “Tinggal lagi sekarang, kerajaan pusat yang didokong oleh UMNO yang masih menghalang hasrat kami,” 


Thursday 29 September 2011

PAS cadang muzakarah betulkan persepsi perundangan Islam

Harakahdaily melaporkan, Pas mencadangkan muzakarah diadakan secara terbuka dan ilmiah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi buruk yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam.




Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti bagi mewakili Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja, UMNO mewakili parti pemerintah dan Pas sebagai parti yang mendesak agar undang- undang ini dilaksanakan.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak.

Islam sebagai sebuah agama yang ditegakkan di atas nas dan "hujah, Pas melihat muzakarah adalah medan menambahkan ilmu dan maklumat secara sihat yang perlu diterima dan disokong oleh semua pihak,” kata beliau.

Dalam kontroversi isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang menegaskan isu hudud bukanlah satu isu politik, tapi ia merupakan satu isu yang seringkali dihebahkan terutama menjelang pilihanraya.

“Isu hudud bukan isu politik, tapi ia seringkali dipolitikkan untuk menimbulkan polemik dalam masyarakat, sehingga golongan yang bukan ahli dan golongan bukan Islam turut campurtangan dalam membahaskannya.

"Sedangkan isu hudud merupakan isu yang menyentuh umat Islam secara langsung, dan ianya adalah tuntutan syarak bagi pemerintah untuk melaksanakannya,” terang beliau.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkata Hudud tidak akan dilaksanakan di negara Malaysia kerana tidak sesuai, Tuan Ibrahim berkata sikap UMNO tersebut yang menimbulkan pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung.

UMNO sebagai parti pemerintah selama 54 tahun, katanya tidak pernah berusaha, tidak pernah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan mahupun sedikit bayangan bagi melaksanakannya.

“Sikap sambil lewa dengan memberi pelbagai alasan rekaan untuk tidak melaksanakan perintah Allah ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung,” tegurnya.









Perwakilan MCA mungkin sahkan tiada jawatan kerajaan


ANGGOTA perwakilan MCA yang menghadiri perhimpunan agung tahunan parti itu hujung minggu ini berkemungkinan mengesahkan pendirian pucuk pimpinan untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan jika parti itu menerima keputusan lebih buruk dalam pilihan raya umum akan datang, kata Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata, pendirian parti itu adalah satu daripada beberapa resolusi Perhimpunan Agung MCA ke-58, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 2 Oktober.

"CC (Jawatankuasa Pusat) telah pun mengesahkannya. Sekarang, kami hanya mahu keputusan itu turut disahkan anggota perwakilan,” katanya. 

Pemuda MCA akan minta pemansuhan Seeksyen 15 AUKU

Sementara itu, Pemuda MCA akan menggesa agar Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dimansuhkan pada Perhimpunan Agung tahunannya Sabtu ini, kata Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pemansuhan Seksyen 15 AUKU itu adalah antara 10 resolusi yang akan dibentang pada perhimpunan agung tahunan ke-47 pergerakan itu yang akan diadakan di Dewan SGH di Sentul.

Seksyen 15 AUKU menghalang penuntut universiti di Malaysia terlibat dalam kegiatan politik.

"Kami akan minta sama ada Seksyen 15 AUKU dipinda atau dimansuhkan kerana kami percaya mahasiswa perlu diberi lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan mereka. Terdapat persetujuan di kalangan Pemuda MCA untuk menyokong pemansuhan Sekyen 15 itu,” katanya. - Bernama

Pakatan pembangkang tak sepakat isu hudud - Tiong Lai

KEGAGALAN pakatan pembangkang untuk mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan hukum Hudud selepas mesyuarat tiga jam semalam, membuktikan Pas, PKR dan DAP merupakan parti yang tidak mempunyai konsep pentadbiran negara yang jelas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, pakatan pembangkang hanya ”berjalan bersama” untuk merampas kuasa tetapi tidak mempedulikan sebarang perkara yang akan berlaku selepas ini.

Katanya, kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya, jelas menunjukkan beliau tidak mempunyai pendirian yang tegas.

"Anwar juga sudah banyak kali cakap berulang-alik. Pada mulanya sokong hudud, sekarang terbalik. Ini adalah pendirian Anwar yang tidak jelas dan sudah mengaburkan orang ramai,” katanya kepada pemberita di Petalig Jaya, hari ini. - Bernama

Isa Samad tolak N. Sembilan sasaran mudah pembangkan

BEKAS Menteri Besar Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, keyakinan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan hanyalah hanya omong kosong sekadar untuk menguatkan keyakinan penyokong mereka.

Katanya, dalam keadaan pembangkang khususnya Pas dan Parti Keadilan Rakyat yang semakin terhimpit dengan bermacam masalah, mereka perlu meniupkan semangat kepada anggota dua parti itu bahawa pakatan pembangkang masih berpengaruh.

"Sedangkan kita lihat semakin ramai penyokong dan pemimpin mereka meninggalkan parti. Isu-isu yang mereka pakai sekarang juga semakin longgar sehingga mudah kita patahkan fitnah serta khabar angin mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Galeri Sejarah di Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad hari ini. - Bernama

Pas timbulkan isu hudud kerana muslihat politik - Muhyiddin

TINDAKAN Pas menimbulkan isu pelaksanaan hukum hudud merupakan suatu muslihat politik untuk mengembalikan sokongan masyarakat terutamanya di kalangan pengundi Melayu terhadap parti itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Pas sedar sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu terjejas teruk berikutan keputusannya tidak mahu membentuk Negara Islam, sebaliknya kini mahu menubuhkan Negara Berkebajikan.

"Ia adalah muslihat politik Pas kerana dia tengok akhir-akhir ini sokongan terhadap Pas terjejas dengan teruk. Sebahagian daripada penyokongnya tidak berpuas hati dengannya,” katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra rakyat di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi, di Pontian hari ini. - Bernama

Kongres ulang tahun Pas tumpu persiapan pilihan raya

KONGRES Pas selama dua hari bermula esok sempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhannya antara lain akan tertumpu kepada persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub berkata, kongres yang berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang, itu juga akan membincangkan beberapa perkara melibatkan undang-undang syariah.

"Selain itu apa-apa jua perkara boleh dibangkitkan oleh ahli tanpa sebarang halangan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Ia dijadual dirasmikan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ditutup oleh Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dua kertas kertas akan dibentangkan iaitu “Pemikiran Dr. Burhanuddin Helmi dan Zulkifli Mohamad Dalam Pembentukan

Gagasan Perjuangan Pas” dan “Peranan Dan Sumbangan Pas Dalam Peta Politik Negara Sesudah 1969 Hingga Kini”. - Bernama

Guan Eng amat tidak bertanggungjawab: Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menyediakan makanan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dataran Majlis Daerah Benut, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin


TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebagai seorang yang amat tidak bertanggungjawab kerana membuat kenyataan memburuk-burukkan Johor baru-baru ini.


Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan Guan Eng itu menunjukkan beliau tidak menghormati kedaulatan negeri-negeri lain di Malaysia.

"Walaupun dia ghairah untuk mempromosi negeri dia, tak payah cerita buruk tentang negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra rakyat di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi di Pontian.


Pada satu majlis di Singapura, Guan Eng yang juga Setiausaha DAP dilaporkan berkata, rakyat republik itu yang melawat Johor berkemungkinan akan diculik, dan ini tidak akan berlaku jika mereka berkunjung ke Pulau Pinang. - Bernama


'Mansuh ISA, kerajaan tidak kompromi isu keselamatan'

KERAJAAN tidak akan berkompromi berhubung soal keselamatan, ketenteraman awam dan kedudukan negara dalam menggubal undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika memberi jaminan tersebut, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, bagaimanapun berkata beberapa peruntukan di bawah ISA akan dikekalkan, misalnya berkaitan dengan proses pemulihan terhadap orang tahanan. 


"Daripada segi pemulihan, itu adalah satu kekuatan yang amat diperlukan di mana kita ada kepakaran... saya percaya tidak akan disentuh (tidak dipinda).


"Tetapi daripada segi tempoh tahanan... dengan dunia yang serba canggih, mungkin tempoh itu tidak perlu begitu lama. Tetapi perkara itu sedang difikirkan dan digubal oleh Peguam Negara," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan 25 anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang diketuai Presidennya, Datuk Ibrahim Ali di Putrajaya hari ini. 

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia pada 15 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara. 


Dua undang-undang baru akan digubal di bawah 'semangat serta payung' Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah. 

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pertemuan hari ini dengan PERKASA, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar adalah bagi memberi penjelasan kepada pihak berkaitan berhubung dengan pemansuhan ISA. 

"Perbincangan kita dengan PERKASA begitu rasional, tidak beremosi langsung dan perkara pokok ialah bagaimana kita mampu mengimbangi hak asasi dan juga isu-isu berhubung kait dengan keselamatan negara," katanya. 

Beliau berkata, penggubalan dua undang-undang baru itu merupakan transformasi dan perubahan yang dilakukan kerjaaan bagi memastikan undang-undang negara sentiasa relevan seiring dengan landskap dunia sekarang. 

Sementara itu, Ibrahim turut menyerahkan memorandum kepada Hishammuddin, yang antara lain pandangan daripada anggota badan bukan kerajaan itu berhubung keputusan kerajaan memansuhkan ISA. 

Dalam memorandum tersebut, Ibrahim berkata, pihaknya menyatakan bahawa soal keselamatan tidak boleh dikompromi dan ia mengatasi isu hak asasi manusia atau kebebasan bersuara di negara ini. 

Beliau juga berharap kerajaan tidak terburu-buru dalam menggubal undang-undang baru itu dan pada masa sama, rakyat perlu bersabar dan tidak emosi. - BERNAMA 

Najib ziarah jenazah anggota polis pengiring, Sjn Ibrahim

SAHABAT saya, Sarjan Ibrahim Mat Husin meninggal dunia akibat komplikasi jantung pagi tadi.

Datuk Seri Najib Razak menziarahi jenazah Allahyarham, seorang anggota polis pengiring bermotosikal.

Perdana Menteri tiba di Surau As-Saadah, Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi, disambut oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Ibrahim, 51 anggota polis pengiring kepada Najib sejak 2009.

Sebelum itu, Allahyarham pernah bertugas sebagai anggota polis pengiring kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri.


Selepas Dr. Mahathir bersara, Allahyarham kembali bertugas di Balai Polis Pudu.

Allahyarham Ibrahim meninggalkan balu Fakhriah Abdul Raof, 41, dan tiga orang anak berumur antara 14 dan 19 tahun.

Mahkamah tangguh permohonan Najib dan Rosmah

HAKIM Datuk Mohamad Zabidin menangguhkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bagi mengenepikan sapina yang memerlukan mereka berdua menjadi saksi pembelaan dalam kes perbicaraan liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada minggu depan. 

Permohonan itu difailkan pada 21 September lalu, di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menerusi Hisyam Teh Poh Teik & Company.

Pada 8 Ogos lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menyoal 17 saksi termasuk Najib dan Rosmah yang ditawarkan pendakwaan.

Sementara itu, pada 12 Ogos lalu, Najib dan Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta untuk bertemu pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh. 

Selain Najib dan Rosmah, empat individu lain turut ditemu bual bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, pemilik unit kondominium kejadian liwat itu didakwa berlaku, Hasanuddin Abd Hamid dan isteri, Noor Sham Abdul Hamid serta kakak ipar Hasanuddin dikenali sebagai Mashitah. 

Pada 16 Mei lalu, Anwar, 64, diarah membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Kuala Lumpur, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008. 

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. - Berita Harian. 

Malaysia bertuah miliki pemimpin berwawasan - Mukhriz

MALAYSIA bertuah kerana mempunyai pemimpin berwawasan dan berpandangan jauh serta peka dengan keperluan rakyat dan berjaya mengurus negara dengan baik, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Katanya, ciri-ciri dan sikapa yang dimiliki pemimpin negara juga menyebabkan Malaysia dihormati.

Berucap merasmikan pesta konvokesyen ke-24 Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, malam tadi, beliau berkata rakyat harus bersyukur kerana pemimpin ini juga mampu mengurus ekonomi negara dengan sangat baik sehingga Malaysia mencapai tahap kemakmuran yang memberangsangkan.

"Sebab itu kita masih perlukan pemimpin yang boleh mengurus, bukan pemimpin yang hanya pandai berceramah. Ceramah baik tetapi masalah tidak boleh selesai dan kerja tidak berjalan sekiranya asyik berceramah.

"Kadang-kadang kita pergi dengar ceramah untuk tenangkan jiwa tapi yang dapat ialah caci maki dan kata-mengata," kata Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah. 

Beliau berkata, adalah tidak benar untuk mengatakan sesiapa saja yang menjadi kerajaan akan mencapai kejayaan yang sama seperti dikecapi sekarang. 

"Mereka kata semua ini sudah jadi tugas kerajaan. Alasan sama juga boleh kita gunakan bahawa ibubapa bertanggungjawab menjaga dan mendidik anak mereka tetapi tidak semua bertanggungjawab. Ada yang abaikan terus tanggungjawab mereka sebagai ibubapa," katanya. 

Mukhriz berkata, hakikatnya kejayaan Malaysia hari ini adalah kerana dasar yang diperkenalkan kerajaan yang memerintah sejak merdeka sehingga hari ini. 

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau gembira dengan kejayaan UUM kerana hampir 75 peratus graduannya mudah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat belajar.

Pesta konvokesyen itu berlangsung sehingga 7 Oktober adalah yang terpanjang dalam sejarah UUM bagi meraikan 8,556 graduannya yang bakal menerima ijazah masing-masing dalam 12 sesi dari 1 hingga 6 Oktober. - BERNAMA