My Add

Saturday 31 August 2013

Polis Kedah tahan 5 lagi suspek ahli kongsi gelap

ALOR SETAR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Lima lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 dan Geng 08 ditahan dalam Ops Cantas Khas di sini petang semalam dan awal pagi ini, menjadikan 183 suspek ahli kongsi gelap ditahan di Kedah setakat ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, empat lelaki dari Kubang Pasu berumur antara 20 hingga 30 tahun diberkas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam ketika cuba masuk ke Thailand, kira-kira 5.40 petang semalam.

"Polis mendapati semua empat lelaki itu mempunyai tatu lambang ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 04 apabila diperiksa. Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan," kata Ahmad pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Seorang lagi lelaki berumur 21 tahun yang dipercayai anggota Geng 08 berdasarkan simbol pada badannya ditahan kira-kira 12.45 tengah malam tadi di Kulim, katanya.

Katanya, menjadi ahli pertubuhan haram boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya. - BERNAMA 
Pemilik Proton Persona kesan tembak, berisi dadah dicari

Oleh MALINDA ABDUL MALIK

PULAU PINANG, SABTU, 31 Ogos , 2013:Polis sedang memburu pemilik sebuah kereta Proton Persona yang ditinggalkan di kawasan perumahan berhampiran Lebuh Mahsuri, Bayan Baru di sini hari ini bersama beberapa kesan tembakan dan dua bungkus dadah jenis heroin dalam kereta berkenaan.

Kemunculan kereta misteri itu disedari penduduk kawasan berkenaan kira-kira pukul 9 pagi ini setelah kenderaan tersebut diletakkan secara melintang di tengah jalan dan mengganggu lalu lintas.

Curiga dengan keadaan kereta itu, seorang penduduk bertindak menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, sepasukan polis yang memeriksa kenderaan itu menemukan tiga kesan tembakan di bahagian belakang dan satu di cermin hadapan kereta tersebut. - UTUSAN ONLIN 
Op Cantas Khas: Polis tahan 311 individu

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sebanyak 311 daripada 7,719 individu yang diperiksa dalam Op Cantas Khas di seluruh negara semalam dan hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, dalam operasi selama 12 jam bermula pukul 6 petang semalam, polis turut merampas enam buah kenderaan curi iaitu empat buah kereta dan dua buah motosikal.

"Selain itu, polis turut merampas beberapa jenis senjata yang ditemukan bersama suspek.

"Antaranya adalah selaras senapang angin buatan sendiri dan 25 jenis senjata berjadual seperti pedang, pisau dan parang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Warga emas mati dibunuh di Sentul

Oleh AZRAI MOHAMMAD

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh di rumahnya di Jalan Kolam Air 2, Sentul di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang berusia 85 tahun ditemui terlentang serta berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan awal polis menemukan dua kesan tikaman di tengkuk serta kecederaan di dahi mangsa.

"Pemeriksaan di lokasi pula mendapati tiada kesan pecah masuk atau geledah serta tiada barang yang hilang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Chin Wah, mangsa yang kematian isteri tinggal bersama seorang pembantu rumah warga Sri Lanka di rumah teres setingkat itu tanpa anak-anak atau saudara. - UTUSAN ONLINE 
89 ditahan dalam Ops Cantas di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, SABTU, 31 Ogos, 2013: Polis Terengganu menahan 89 individu termasuk 10 wanita di dua pusat hiburan di bandar raya ini dalam Ops Cantas Khas hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 60-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi memeriksa rekod serta ujian saringan air kencing.

"Kita akan memeriksa kesemua rekod dan identiti mereka sama ada terlibat dengan jenayah atau memang orang yang dikehendaki polis," katanya kepada pemberita di sini selepas operasi dua jam itu berakhir pukul 3 pagi.

Jamshah berkata walaupun Terengganu bebas daripada gejala kongsi gelap polis akan terus melakukan pemeriksaan terutamanya di premis hiburan bagi membanteras kegiatan itu.

"Walaupun kita dapati tiada kongsi gelap di sini, kita tetap lakukan pemeriksaan kerana tidak mustahil kumpulan dari negeri lain datang ke sini untuk bersembunyi mengelak daripada diberkas," katanya. - BERNAMA 
Kekalkan keamanan, kedaulatan negara - PM

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara.

Perdana Menteri yang hadir di rumah terbuka Aidilfitri dan sambutan merdeka di Melaka semalam turut melahirkan penghargaan kepada penduduk negeri itu yang memberikan sambutan yang meriah.

"Kekalkan keamanan dan kedaulatan. Terima kasih orang-orang Melaka atas sambutan semalam. Meriah!," kata Perdana Menteri dalam akaun Twitter beliau hari ini.

Semalam, kira-kira 40,000 pengunjung terdiri daripada penduduk Melaka serta pelancong dari dalam dan luar negara hadir di majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka 2013 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. - BERNAMA 
4 loji air ditutup semalam beroperasi semula hari ini

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Kesemua empat loji air yang ditutup semalam akibat tumpahan minyak di Sungai Selangor beroperasi semula hari ini, kata Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md. Khairi Selamat.

Md. Khairi berkata, pihaknya telah menjalankan proses penyedutan minyak serta air sungai yang tercemar akibat tumpahan minyak diesel itu.

"Pada pukul 1 pagi ini, saya menerima maklumat bahawa kesemua empat loji itu sudah mula beroperasi semula, tetapi masih belum pulih sepenuhnya," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan terbaru gangguan bekalan air itu.

Empat loji yang terlibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SPP2), Fasa 3 (SPP3) serta LRA Rantau Panjang.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, walaupun loji berkenaan sudah beroperasi, namun ia mengambil masa untuk membekal air seperti biasa. - BERNAMA 
Alam Flora nafi terlibat minyak diesel tumpah

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos 2013, 2013" Alam Flora Sdn. Bhd. menolak dakwaan yang mengaitkan syarikat pengurusan sisa pepejal itu dengan kes tumpahan minyak diesel terpakai di Sungai Gong, Rawang dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan berkata, bengkel penyelenggaraan lori sampah yang dikatakan punca tumpahan minyak itu sehingga mencemarkan Sungai Selangor bukan milik atau mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

"Alam Flora telah dimaklumkan tentang penyebaran maklumat melalui Facebook, Twitter, khidmat pesanan ringkas (SMS), mesej serta paparan blog yang tidak bertanggungjawab dengan mengaitkan Alam Flora sebagai

punca kepada pencemaran minyak diesel terpakai di sungai berhampiran kawasan Rawang yang berlaku semalam.

"Kesan pencemaran tersebut mengakibatkan pemberhentian operasi rawatan air hingga menjejaskan bekalan air bersih di Petaling, Kuala

Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat and Kuala Selangor," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
3 mesin ATM berisi RM667,905 di Pengkalan Chepa dilarikan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

KOTA BHARU, SABTU, 31 Ogos, 2013: Sebanyak RM667,905 wang tunai di dalam tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Maybank Cawangan Pengkalan Chepa lesap dilarikan penjenayah yang memecah masuk bangunan tersebut dari arah belakang awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, penjenayah terbabit yang dipercayai lebih daripada seorang memecah masuk bangunan tersebut melalui pintu belakang sebelum memecahkan ketiga-tiga mesin ATM itu menggunakan gas oxy dan melarikan semua wang di dalamnya.

Menurut beliau, siasatan awal pihaknya mendapati penjenayah berkenaan memasuki bangunan tersebut kira-kira pukul tiga pagi selepas rekod penggera keselamatan di dalam bank tersebut mendapati ia dimatikan secara sengaja pada waktu itu.

Katanya, pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada pukul tujuh pagi ini oleh orang awam selepas melihat pintu belakang bangunan tersebut yang terbuka dan mencurigakan.

"Penjenayah pecah mesin ATM bukan bahagian depan tetapi bahagian belakang di mana di belakang itu kosong dan bangunan di belakang bank ini juga kosong jadi perompak masuk dengan memotong jeriji besi dan apabila sampai di belakang mesin itu mereka potong menggunakan gas oxy.

"Bank ini menyediakan perkhidmatan tiga mesin ATM dan satu mesin pendeposit wang, penjenayah ini mengambil kesempatan sepenuhnya dengan keadaan bangunan yang kosong di belakang bank ini untuk menjalan operasi mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Mazlan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk melakukan siasatan terperinci bagi memburu setiap penjenayah terbabit.

Beliau percaya ia dilakukan oleh kumpulan penjenayah profesional berdasarkan kepada modus operandi mereka yang dilakukan secara terancang tanpa disedari justeru polis menyeru orang ramai yang melihat sebarang aktiviti meragukan di sekitar bank tersebut supaya tampil memberi maklumat.

Tambahnya, pihak polis akan turut meneliti setiap gambar dan video yang dirakam melalui kamera liter tertutup (CCTV) di dalam bank tersebut dan bangunan sekitarnya.

"Jadi orang ramai kalau ada nampak kereta mencurigakan di sini maklumkan kepada kami sebab mereka menggunakan kereta untuk bawah gas oxy itu bukannya jalan kaki.

"Pihak bank menyerahkan sistem keselamatan di sini kepada syarikat swasta jadi saya nasihatkan supaya kalau ada bangunan kosong seperti ini di mana-mana bank lain supaya maklumkan kepada polis juga untuk kami lakukan rondaan bukan sahaja di depan tetapi belakang bangunan," ujar Mazlan. - UTUSAN ONLINE 
Sambutan Hari Kemerdekaan cermin semangat cinta negara: PM

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-56 pagi ini jelas menunjukkan semangat cinta rakyat kepada negara selaras tema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku', kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berasa seolah-olah bulu roma saya meremang, melihat betapa besarnya semangat patriotik yang dapat kita lihat," katanya kepada para peserta sejurus selepas tamat perarakan dan perbarisan di Dataran Merdeka, di sini.

Sambil diiringi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, selaku pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan ke-56, beliau merakamkan rasa syabas dan terima kasih kerajaan kepada pelbagai jawatankuasa sambutan, anggota pasukan keselamatan, agensi kerajaan dan swasta serta para pelajar yang mengambil bahagian .

Katanya, tema itu amat tepat kerana "kita lahir di bumi Malaysia, kita membesar di bumi Malaysia, kita mencari rezeki di bumi ini dan insya-Allah akan disemadikan di bumi Malaysia ini."

"Ia juga membawa pengertian besar kepada kemerdekaan yang menuntut rakyat mempertahankan nilai kemerdekaan itu dengan jiwa raga dan nyawa mereka," katanya. - BERNAMA 
Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 meriah

 *YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah membalas tabik hormat kepada Kawalan Kehormat Utama pada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 bertema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF
 KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-56 di Dataran Merdeka hari ini diadakan dengan penuh kemeriahan, warna warni dan disemarakkan dengan semangat patriotisme tinggi dan penghargaan untuk perajurit negara.

Ribuan rakyat tempatan dan warga asing hadir membanjiri Dataran Merdeka seawal 7 pagi untuk menyaksikan perarakan sambutan tahun ini yang bertemakan

'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'. Sambutan dimulakan sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada pukul 8 pagi, yang disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Baginda kemudian membuat pemeriksaan Kawalan Kehormat Utama oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai Mejar Mohamad Abdullah.

Ini diikuti nyanyian Negaraku dan menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan 14 das tembakan kehormat yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia oleh 41 bateri rejimen artileri diraja.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar oleh 56 peserta pelbagai kaum yang terdiri daripada pelajar, guru, siswazah, penjawat awam, anggota keselamatan serta orang kelainan upaya. Bacaan ikrar diketuai oleh pelajar dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Muhammad Amal Mohd Yadzan.

Berlainan sebelum ini, acara pembarisan dan perarakan tahun ini dikaitkan dengan tema sambutan, yang memberi penghormatan kepada pengorbanan para pejuang menentang pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang mempertahankan kedaulatan negara.

Berkonsepkan Patriotik, Perpaduan dan Kedaulatan Negara, perarakan tahun ini bertujuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyat sentiasa sedia mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang pencerobohan.

Seramai 15,280 peserta dari 56 kontinjen menyertai persembahan tahun ini yang melibatkan empat segmen iaitu ‘Malaysia Tanah Airku’, Kesatuan Rakyat Perpaduan Sejagat, Kemakmuran Negara Kesejahteraan Bersama dan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpah Darahku.

Segmen-segmen berkenaan melibatkan persembahan daripada 23 kontinjen kawad, 16 kumpulan pancaragam, aset dari lima badan keselamatan, lima persembahan padang termasuk Skuadron Istiadat Berkuda dan dua persembahan udara melibatkan pesawat pejuang jenis Sukhoi 30MKM, MIG 29 dan FA 18/D Hornet. - BERNAMA
Syabas hantar bantuan bekalan air:

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Ogos, 2013: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menggerakkan semua sumber yang ada bagi membantu pengguna menangani gangguan bekalan air setelah empat loji rawatan air ditutup selepas Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, pihaknya telah menghantar kesemua sumber di tujuh daerah yang terjejas iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

"Pihak kami masih memantau bagi menentukan bila keadaan akan pulih sepenuhnya...oleh kerana gangguan ini melibatkan kawasan besar, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah untuk kesemua kawasan ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi untuk mengulas perkembangan terbaharu gangguan tersebut, hari ini.

Beliau menambah, dengan rizab kapasiti yang kecil dan kadar permintaan tinggi, pihak Syabas ingin memaklumkan bahawa hentitugas kali ini akan mengambil masa pemulihan yang lebih panjang walaupun kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan.

Syabas menyarankan pengguna mendapatkan maklumat terkini berhubung gangguan bekalan air menerusi laman sesawang http://www.syabas.com.my.

"Pengguna juga boleh membuat aduan atau pertanyaan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'," katanya. - BERNAMA 
Bersatu pertahan kedaulatan

 *ORANG ramai pelbagai kaum meraikan ambang merdeka dalam Majlis Perasmian Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka 2013 di Stadium Hang Tuah Melaka, malam tadi. - UTUSAN/ GAIE UCHEL
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan Malaysia yang sejak puluhan tahun menjadi negara yang merdeka serta bebas daripada cengkaman penjajahan asing.

Dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Ke-56 yang disambut esok, Perdana Menteri menegaskan kini bukanlah masa untuk rakyat Malaysia berpecah belah.

"Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional," kata Najib ketika menyampaikan perutusan itu yang disiarkan stesen televisyen tempatan malam ini.

Beliau menarik perhatian bahawa memiliki kedaulatan bermaksud rakyat Malaysia sendiri berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara.

"Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Acara perbarisan Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini esok, dengan acara Ambang Merdeka 2013 menunggu detik 12 malam tanda tibanya 31 Ogos di Pusat Maritim, Putrajaya malam ini.

Najib seterusnya mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat bahawa kedaulatan sebagai faktor yang menunjang Malaysia sebagai sebuah negara, tidak datang secara bergolek.

"Telah banyak keringat mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, dan bersinambung sampai sekarang," katanya.

Justeru, Najib berkata, sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat kerana lebih daripada itu, ia perlu disulami dengan penghayatan mendalam.

"Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti kita telah melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya" kata Perdana Menteri.

Kata Najib, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan ialah sejauh mana kejayaan yang dicapai sehingga kini dalam mempersiap dan mempersembahkan sebuah Malaysia progresif untuk ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Menurutnya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan supaya generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya menjadi celik sejarah.

Anak-anak muda, kata Perdana Menteri, perlu terus dibimbing, dipersiap dengan jati diri dan diperteguh semangat patriotisme mereka.

"Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar," katanya. - BERNAMA 
Pegang 4 asas utama perpaduan: PM

MELAKA, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu berpegang kepada empat asas utama jika ingin melihat kestabilan dan perpaduan negara terus berkekalan.

Perdana Menteri berkata, empat asas itu ialah sikap bertoleransi, saling menghormati, menjaga sensiviti dan saling mempercayai antara satu sama lain.

"Pertama, kita bermula dengan toleransi sebelum berpindah kepada penerimaan dan kemuncaknya apabila kita meraikan.

"Kedua, kita perlu ada perasaan saling menghormati antara satu sama lain dan kalau kita ada sikap ini dalam kumpulan etnik, hidup kita akan terus terjamin.

"Sebagai contoh, lihat bagaimana masyarakat minoriti Portugis di Melaka tidak dibezakan, kita menghormati mereka dan tidak menindas, malah kita beri mereka tempat," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka 2013 yang dihadiri kira-kira 40,000 orang di Stadium Hang Tuah, di sini malam ini.

Majlis tersebut turut dihadiri kira-kira 250 wartawan dari luar negara termasuk pelancong asing yang dihidangkan dengan pelbagai menu masakan tradisional di sebanyak 20 gerai yang disediakan.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd. Aziz.

Sementara itu, Mohamed Nazri memberitahu, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Raya Merdeka 2013 menonjolkan elemen kesenian dan warisan Melayu melalui persembahan tarian dan nyanyian.

Menurutnya, konsep berkenaan yang diterapkan dalam majlis sambutan rumah terbuka peringkat kebangsaan tahun ini turut mendapat liputan media asing sekali gus mampu memartabatkan lagi seni warisan bangsa ke peringkat antarabangsa.

"Sememangnya menjadi dasar kementerian untuk mempromosi budaya dan kesenian sebagai produk pelancongan negara ini yang sedang menuju Tahun Melawat Malaysia pada tahun hadapan dengan sasaran sebanyak 28 juta pelancong," katanya. - UTUSAN
BB1M diperluas kepada pelajar matrikulasi, tingkatan enam

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Pengagihan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang diperluas kepada pelajar matrikulasi dan tingkatan enam di seluruh negara akan bermula pada minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengagihan tersebut akan dilaksana melalui kolej matrikulasi dan sekolah masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan menambah, dalam Bajet 2013, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM325 juta untuk pemberian BB1M kepada 1.3 juta penuntut di institusi pengajian tinggi tempatan, kolej matrikulasi serta pelajar tingkatan enam seluruh negara.

"Kerajaan amat prihatin dan mengambil berat kebajikan pelajar matrikulasi dan tingkatan enam rendah yang mendaftar pada bulan Mei dan Jun tahun ini.

"Susulan itu, kerajaan bersetuju memperluas pemberian BB1M 2013 secara one off kepada pelajar baharu matrikulasi sesi 2013/2014 dan pelajar tingkatan enam rendah yang memasuki pengajian dengan anggaran 82,000 pelajar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 28 September tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2013 mengumumkan pemberian kali kedua baucar buku tersebut yang diperluas kepada kira-kira 1.3 juta pelajar tingkatan enam atas, institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk kolej matrikulasi di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menambah, inisiatif tersebut dibuat untuk meringankan perbelanjaan pembelian buku pengajian. - UTUSAN 
Penduduk kesal lebih 20 Jalur Gemilang ditoreh, dipatahkan

 *BEBERAPA pemuda menunjukkan bendera Jalur Gemilang yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab di Kampung Tersusun Tasek, Bercham, Ipoh, Perak semalam.
IPOH, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dicemari insiden memalukan apabila bendera Jalur Gemilang yang dipasang di Kampung Tersusun Tasek di Bercham, dekat sini dikoyak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tindakan khianat itu bukan sahaja menyebabkan bendera bersaiz tiga meter lebar dan 15 meter panjang yang dipasang di persimpangan Hala Tasek Timur 11 dan Regat Tasek Timur 15 itu koyak akibat ditoreh malah lebih 20 bendera bersaiz kecil juga menerima nasib sama apabila turut ditoreh dan dipatahkan.

Pengerusi Rukun Tetangga kampung tersebut, Zulkefli Mat Taib berkata, perbuatan yang dipercayai menggunakan alatan tajam itu juga mengakibatkan lambang pada bendera seperti bulan dan bintang turut dipotong.

Katanya, dia percaya perbuatan sabotaj itu dilakukan antara pukul 2 hingga 6 pagi ini memandangkan keadaan bendera itu dilaporkan baik selepas mula dipasang pada petang semalam.

"Program memasang bendera yang menelan belanja RM1,500 ini selain diusahakan oleh penduduk kampung bagi memeriahkan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56, juga bertujuan untuk menyertai pertandingan hiasan dalam kalangan 10 kampung di bawah pejabat Penghulu Mukim Tanjung Rambutan.

"Bagaimanapun, kemeriahan yang diharapkan dicemari oleh perbuatan yang sangat menyedihkan apabila bendera kebanggaan negara dikoyak sewenangnya. Apapun, kami akan baiki semula dan gantung bendera ini sama seperti sebelum dirosakkan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zulkefli berkata, satu laporan polis berhubung insiden itu telah dibuat olehnya bersama Ketua Kampung berkenaan, Ahmad Mat Wali di Balai Polis Bercham, pada pukul 9.19 pagi ini.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohamed Ismail, 65, berkata, dia menyedari perbuatan khianat itu apabila dimaklumkan cucunya, Nur Sifa Ismail, 4, ketika dibawa bersiar-siar.

Dia yang kesal dengan tindakan tersebut berkata, perbuatan itu amat menyedihkan apabila bendera yang sepatutnya berkibar megah dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak sangka ada orang sanggup melakukan perbuatan seperti ini. Kalau kanak-kanak pun boleh menghargai bendera kebanggaan negara, mengapa kita tidak melakukan perkara sama," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat penduduk terbabit.

Beliau bagaimanapun ketika diminta mengulas sama ada insiden itu melibatkan kumpulan kongsi gelap, enggan mengulas lanjut. - UTUSAN 
Dua amah Indonesia dera anak majikan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Baru sehari diambil menjadi pengasuh menjaga dua kanak-kanak, dua pembantu rumah warga Indonesia sudah mula menunjukkan belang apabila dikesan mendera dua beradik itu.

Perbuatan tidak berhati perut dua pembantu rumah berusia 36 tahun itu terbongkar setelah 'aksi' mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah majikan mereka yang terletak di Taman Melewar, Gombak.

Majikan kepada dua pembantu itu, Rosmadi Ghazali berkata, dia mulanya mengambil seorang pembantu rumah bernama Tumiaton, 36, dari Jawa Timur melalui sebuah agensi pembantu rumah bagi menjaga dua anak perempuannya berusia tiga tahun dan seorang bayi lelaki sembilan bulan pada 22 Ogos lalu.

"Hari pertama dia bekerja, anak bongsu saya yang bernama Kahfi telah meracau dan enggan tidur pada waktu malam. Isteri saya mula merasakan sesuatu tidak kena apabila melihat kesan merah pada badan anak bongsu saya ini.

"Apabila ditanya kepada pembantu rumah, dia tidak mengaku tetapi apabila saya memeriksa rakaman CCTV, barulah pecah tembelang apabila melihat Kahfi didera dan dipukul berkali-kali," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Rosmadi berkata, Tumiaton berulang kali menafikan perbuatannya ketika ditanya dan hanya mengaku selepas rakaman dera itu ditunjukkan.

"Dia merayu kepada kami untuk memaafkannya tetapi kami menyuruhnya mengemaskan pakaian dan menghantar dia semula kepada agensi pembantu rumah," katanya.

Menurut Rosmadi, selepas Tumiaton dihantar semula, agensi pembantu rumah itu terus mengganti pembantu rumah berkenaan dengan seorang wanita bernama Sukarmi dari Sumatera.

"Kami mengharapkan pembantu rumah baru ini akan melakukan tugas dengan baik tetapi jangkaan kami meleset apabila perangainya sama seperti pengasuh terdahulu.

"Anak kami juga menangis ketika waktu malam dan saya membuat keputusan memeriksa rakaman CCTV lalu melihat Kahfi turut didera. Hari pertama dia bertugas sudah berani mendera anak saya," katanya.

Atas alasan itu, Rosmadi sekali lagi mengambil keputusan menghantar pulang pembantu rumah baharu itu beberapa hari kemudian, malah dia sekeluarga nekad untuk tidak lagi mendapatkan khidmat warga Indonesia sebagai pembantu rumah.

"Daripada enam pembantu rumah yang bekerja dengan kami, semuanya mempunyai perangai yang teruk. Ada yang mengaku Islam tetapi sebenarnya beragama Kristian dan ada yang berperangai tidak berperikemanusiaan.

"Anak-anak saya yang menjadi mangsa, malah anak sulung saya sendiri amat takut serta trauma apabila berada dengan mana-mana pembantu rumah," katanya.

Pada Februari lalu, seorang amah dihukum penjara 20 tahun kerana mendera anak majikannya dengan melambung dan menghempas bayi berusia empat bulan di Kuantan, Pahang. Perbuatan itu berjaya didedahkan menerusi rakaman CCTV yang dipasang di rumahnya. - UTUSAN 
Masyarakat antarabangsa iktiraf penegasan SPRM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Pengiktirafan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) terhadap penegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras rasuah jelas menunjukkan pihak masyarakat antarabangsa mengiktiraf ketelusan serta kebebasan suruhanjaya itu.

Perkara tersebut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut menyatakan komitmennya untuk menghapuskan gejala rasuah di negara ini dan memastikan gejala tersebut tidak terus 'berakar' pada masa akan datang.

Penegasan Najib itu juga selari dengan usaha-usaha kerajaan selama ini termasuk mewujudkan tadbir urus serta portfolio integriti dalam Kabinet yang bertindak menyelia hal-hal berkaitan integriti dan ketelusan selain memerangi rasuah dalam bidang korporat.

"Dengan taraf agensi antirasuah (SPRM) yang diangkat kepada status sebuah suruhanjaya bebas, dengan mekanisme kawal selia sendiri, adalah satu contoh terbaik. Walaupun kita belajar daripada amalan terbaik di peringkat antarabangsa, SPRM telah menetapkan sasaran tertinggi.

"Saban tahun, SPRM merujuk pelbagai perkara kepada Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai rasuah, lembaga penasihat bebas, jawatankuasa aduan dan dua panel perundingan lain. Menurut UNODC, dengan cara itu membantu SPRM bekerja secara bebas, telus dan profesional," katanya.

Beliau berucap dalam majlis bengkel latihan untuk pelatih Kod Etika Sukarela dalam Etika Perniagaan di sektor Peranti Perubatan, Biofarmaseutikal serta Pembinaan dan Kejuruteraan dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Institut Integriti Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Penasihat Kanan Pembangunan Perdagangan, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Lynn A. Costa.

Najib memberitahu, kerajaan berharap SPRM bukan hanya akan terus mengukuhkan keupayaan sendiri tetapi mampu menjadi contoh kepada negara lain yang ingin membina keupayaan institusi untuk memerangi rasuah.

Katanya, tugas SPRM menjangkaui rangkaian pelbagai aktiviti ekonomi sehingga syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam tender kerajaan turut dikehendaki menandatangani pakatan integriti.

Dalam pada itu, jelasnya, Pejabat Peguam Negara juga sedang mendraf peruntukan-peruntukan berhubung undang-undang liabiliti korporat untuk melengkapkan undang-undang syarikat, antirasuah dan jenayah komersial sedia ada.

"Saya mahu jadikan gejala rasuah ini 'terkubur' dalam kisah silam dan tidak berterusan pada masa depan. Dalam dunia korporat, dengan menggalakkan budaya bertanggungjawab dan beretika, kita mampu menyumbang kepada bagaimana pasaran modal dapat memanfaatkan masyarakat moden.

"Kita juga mampu membuat perubahan yang signifikan kepada masa depan ekonomi yang sihat. Ini bermakna perubahan perlu dilakukan dalam organisasi serta budaya perniagaan," katanya. - UTUSAN 
AS kerah kapal perang kelima Mediterranean

 
WASHINGTON, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Tentera Amerika Syarikat (AS) mengerahkan kapal pemusnah kelima ke Laut Mediterranean, kata seorang pegawai pertahanan.

Pegawai itu, semalam berkata, kapal USS Stout yang mempunyai kelengkapan peluru berpandu kawalan jauh itu kini bergerak ke bahagian timur laut tersebut bagi menggantikan kapal Manan.

''Kapal pemusnah lain yang sudah berada di rantau itu ialah Ramage, Barry dan Gravely melakukan rondaan di Laut Mediterranean dan boleh melancarkan peluru berpandu Tomahawk ke arah Syria jika diarahkan oleh Presiden, Barack Obama,'' katanya.

Dalam pada itu, White House, semalam menunjukkan tanda-tanda Obama akan mengambil tindakan satu pihak dalam melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Syria, berikutan keputusan Parlimen Britian menolak Britain menyertai tindakan tersebut dan ketiadaan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pembantu Presiden itu berkata, Obama mempercayai kerajaan Syria perlu menerima balasan kerana menggunakan senjata kimia, tindakan yang dilihat memberi ancaman kepada keselamatan negara ini.

Rancangan AS adalah untuk membina satu perikatan antarabangsa 'terhad' untuk menyerang Syria ekoran tindakan Syria menggunakan senjata kimia di luar Damsyik pada minggu lepas, mengalami tamparan hebat apabila Parlimen Britain menolak cadangan tersebut.

Pegawai AS, awal semalam memberi petunjuk bahawa Obama mungkin mengambil tindakan satu pihak jika perlu, namun keberangkalian itu semakin meningkat berikutan keputusan Parlimen Britain itu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan AS, Caitlin Hayden berkata, keputusan Obama akan dibuat berasaskan kepentingan negara.

''Beliau percaya ada kepentingan asas bagi AS menghukum mana-mana negara yang melanggar norma-norma berhubung senjata kimia,'' katanya. - AFP/UTUSAN



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130831/lu_01/AS-kerah-kapal-perang-kelima-Mediterranean#ixzz2dWKZ9EWY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Konco Hosni Mubarak dibenar sertai politik

 *PENYOKONG bekas Presiden Mohamed Mursi membaling batu ke arah polis dan tentera Mesir semasa bertempur dekat Dataran Rabaa Adawiya di Kaherah pada 14 Ogos lalu. - REUTERS
KAHERAH, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Satu draf Perlembagaan baharu Mesir yang digubal oleh kerajaan sementara akan membenarkan konco-konco bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak kembali ke kancah politik dan mengharamkan pembentukan parti politik berasaskan agama.

Seramai 10 panel yang dilantik oleh Presiden sementara, Adly Mansour mengkaji semula 37 Artikel Perlembagaan 2012 yang diluluskan oleh bekas Presiden, Mohammed Mursi, dan membuang Artikel 37 yang menyatakan pengasingan politik ke atas bekas anggota rejim Mubarak.

Artikel 44 dalam Perlembagaan baharu pula menyatakan bahawa rakyat mempunyai hak untuk membentuk parti politik, namun sebarang aktiviti berpolitik atau pembentukan parti politik berteraskan agama tidak dibenarkan.

Artikel 2 sebelum ini yang menegaskan bahawa Islam sebagai agama rasmi di negara ini dan Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi, dikekalkan.

Satu artikel lain yang memberi kuasa penuh untuk memberi pengampunan kepada banduan telah dihapuskan dalam Perlembagaan baharu yang menetapkan proses pengampunan memerlukan persetujuan Kabinet.

Mursi sebelum ini dikritik kerana memberi pengampunan kepada beberapa pemimpin Islam yang disabitkan dengan kesalahan keganasan.

Usul Perlembagaan baharu itu dijangka dihantar kepada 50 ahli jawatankuasa yang dilantik Adly pada minggu ini bagi membincangkan kandungan piagam tersebut lebih lanjut sebelum diwartakan.

Laman web berita, Al Ahram Online yang memetik sumber kerajaan berkata, kebanyakan 50 anggota yang mewakil - UTUSAN/UTUSAN 
Dakwaan hubungan dengan Pekida disiasat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Polis akan menyiasat bagi mengesan sama ada wujud kegiatan kumpulan kongsi gelap Melayu yang didakwa mempunyai hubungan dengan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai Geng Tiga Line, Geng 30 dan geng-geng kongsi gelap Melayu yang diumumkan kerajaan semalam didakwa mempunyai kaitan dengan pertubuhan itu.

"Kita akan siasat terlebih dulu, sama ada mereka ada kaitan dengan Pekida atau sengaja mahu dikaitkan dengan pertubuhan itu supaya tidak memburukkan nama Pekida yang sah di sisi undang-undang.

"Sehubungan itu juga kita harap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Abdul Jalil berkata, orang ramai diminta tampil membuat laporan polis sekiranya mengetahui mana-mana orang kenamaan (VIP) atau artis terlibat dengan kegiatan kongsi gelap.

Dalam pada itu, Pekida dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pengumuman nama-nama kumpulan kongsi gelap semalam adalah selari dengan 'pemutihan' yang dilakukan oleh pertubuhan itu.

"Kumpulan 77, Tiga Line, Kumpulan 30 adalah penyakit dan liabiliti kepada pertubuhan Islam terutamanya Pekida.

"Pada tahun 2010 dan 2011, PDRM dan Pekida berjaya menghalang kumpulan 77 membuat majlis pengambilan ahli baru di Perak," ujar kenyataan itu. - UTUSAN 
Logo kongsi gelap

Oleh AZRAI MOHAMMAD
 
 *SEBAHAGIAN logo, lambang serta tatu digunakan oleh 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan kerajaan, kelmarin.
KUALA LUMPUR 3, JUMAAT,0 Ogos, 2013: Sehari selepas pendedahan 49 kongsi gelap di seluruh negara semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mendedahkan pula beberapa logo, lambang serta tatu yang digunakan oleh ahli-ahli kumpulan tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pendedahan itu dilakukan supaya orang ramai dapat mengenali tanda-tanda yang ada pada kongsi gelap terbabit, sekali gus menghindari kumpulan yang diwartakan sebagai haram itu.

"Polis menasihatkan orang ramai yang memiliki atau mempunyai logo-logo kumpulan tersebut sama ada di rumah, kenderaan atau badan mereka agar dapat dihapuskan dengan apa cara sekali pun.

"Buat masa ini, kita juga akan memberi pendedahan kepada mereka yang belum mengetahui mengenai undang-undang ini kerana orang ramai yang cuba menyertai kumpulan terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Tiga pertubuhan kongsi gelap iaitu Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 dikesan sebagai kumpulan samseng paling berbahaya daripada 49 kongsi gelap di seluruh negara yang diumumkan kerajaan semalam.

Kumpulan itu didapati menjalankan pelbagai jenis jenayah berat dan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, Geng 36 yang majoriti ahlinya daripada kaum Cina mempunyai 8,512 ahli dan bergerak aktif di sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Abdul Jalil dalam pada itu memberitahu, pihaknya tidak menerima sebarang laporan, ugutan atau tangkapan terbaru susulan pengumuman kerajaan itu semalam.

Mengulas mengenai pengunaan logo-logo terbabit dalam majlis-majlis tertentu termasuk upacara pengkebumian, Abdul Jalil berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan atas perbuatan itu namun akan menasihati penganjur terlebih dahulu.

"Sebagai contoh dalam upacara pengebumian seseorang yang beragama Hindu, kita perlu berbincang dengan penganjur atau pertubuhan Hindu Sanggam sama ada penggunaan logo perlu dalam majlis tersebut," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan pelajar sekolah dalam kumpulan kongsi gelap, beliau berkata, terdapat cubaan kongsi gelap mempengaruhi pelajar di luar kawasan sekolah khususnya pelajar yang bermasalah.

"Bagaimanapun cubaan mempengaruhi pelajar di sekolah dapat dihindari terlebih awal dengan kerjasama polis, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Setakat ini tiada laporan yang diterima menyatakan pelajar sekolah terlibat secara langsung dengan kongsi gelap," katanya. - UTUSAN 

Friday 30 August 2013

Negara utama dunia memandang serius keamanan rantau Asean

KUALA LUMPUR, JUMAAT: Negara-negara utama di dunia memandang serius terhadap pengekalan keamanan di Malaysia dan negara Asean berikutan pergolakan di Asia Barat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu dinyatakan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) yang turut dihadiri anggota ADMM-PLUS, iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, China, Korea Selatan dan India.

Hasil daripada ADMM yang berakhir semalam di Brunei membolehkan Malaysia berhubung secara langsung dengan Amerika Syarikat, China dan Russia.

"Sempena mesyuarat itu, saya telah bertemu dengan pemimpin negara-negara besar dan kita telah mendapat hubungan secara langsung dengan Amerika Syarikat, China dan Rusia," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis rumah terbuka Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini hari ini.

Dalam mesyuarat dua hari itu, kesemua negara bersetuju antara lain untuk mengetengahkan prinsip tidak menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian termasuk berhubung Laut China Selatan dan sebaliknya perlu dibincang melalui bengkel, seminar dan dialog.

Dalam pada itu, Hishammuddin, yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berharap UPNM dapat menjadi perintis dalam melahirkan pakar-pakar strategi yang boleh merancang bagi memastikan keamanan serantau.

"Saya sarankan UPNM menjadi barisan hadapan supaya kita dapat berdepan dengan masyarakat dunia dalam mengatur strategi yang membolehkan kita sentiasa aman di rantau ini," katanya.

Mengulas mengenai Syria, Hishammuddin berkata Malaysia bersedia untuk membawa pulang rakyatnya dari Syria jika keadaan keselamatan di negara itu meruncing.

Katanya segala perancangan telah dibincangkan dan kaedahnya adalah seperti yang dilakukan negara dalam Ops Piramid II dengan membawa pulang 2,796 rakyatnya dari Mesir pada bulan ini.

Akhbar melaporkan lebih 1,300 orang terbunuh apabila tentera Syria melancarkan serangan menggunakan senjata kimia di daerah Ghouta berdekatan Damsyik minggu lepas, yang turut mencederakan ramai lagi penduduk.

Pada Selasa, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan 15 rakyat negara ini termasuk sembilan pelajar memilih untuk berada di Syria atas kerelaan sendiri walaupun telah dinasihati pulang ke tanah air. - BERNAMA
Perunding tumpu aspek butir-butir asas TPPA

BANDAR SERI BEGAWAN, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Perunding Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kini akan menumpukan pada aspek butir-butir asas perjanjian yang melangkaui isu dibincangkan pada rundingan pusingan ke-19, di sini.

Pengarah Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, J. Jayasiri, yang juga ketua perunding Malaysia berkata, rundingan pusingan ke-20 besar kemungkinan tidak diadakan kerana perunding kini sedang menuju kepada bahagian sukar TPPA.

"Perunding akan bertemu antara sesi. Setiap kumpulan mungkin bertemu pada tarikh berbeza.

"Mereka tidak lagi akan berkumpul semua sekali gus seperti yang mereka lakukan pada pusingan ini dan semasa 18 pusingan lepas," katanya kepada Bernama selepas berakhirnya rundingan pusingan ke-19 di sini, hari ini.

Pertemuan antara sesi itu bertujuan untuk menggerakkan lagi perbincangan sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Bali, Indonesia pada Oktober, di mana para pemimpin TPPA dijangka bertemu.

Jayasiri berkata bahagian yang perlu diberi tumpuan utama termasuk akses pasaran bagi barangan dan perkhidmatan serta pelaburan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan hak harta intelektual (IPR).

TPPA adalah perjanjian menyeluruh yang akan meningkatkan penyepaduan ekonomi serantau dan mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pelaburan. Terdapat 29 bahagian, di mana lima adalah bagi perdagangan.

Ia akan merangkumi akses pasaran bagi barangan, perdagangan rentas sempadan dalam perkhidmatan, pelaburan, pemerolehan kerajaan, pemudahan kastam dan perdagangan, halangan teknikal kepada perdagangan, langkah-langkah kebersihan dan fitosanitasi, IPR, buruh dan alam sekitar.

Malaysia adalah antara 12 negara anggota TPPA termasuk Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, US, Vietnam dan Jepun.

Rundingan pusingan ke-19 bermula sejak Mac 2010 di Australia, yang mengadakan rundingan dua kali seperti yang dilakukan Malaysia, Brunei, New Zealand, Singapura dan Peru.

AS mengadakan rundingan lima kali, manakala rundingan diadakan sekali di Chile dan Vietnam.

Negara-negara anggota lain tidak menjadi hos kerana Kanada dan Mexico hanya baru menjadi peserta rundingan TPPA pada Oktober tahun lepas, manakala Jepun hanya menyertai sebagai peserta rundingan pada pusingan rundingan Kota Kinabalu bulan lepas.

TPPA 12 anggota akan mewujudkan pasaran berjumlah 790 juta orang dengan gabungan keluaran dalam negara kasar AS$27 trilion, menyumbang satu pertiga daripada perdagangan global. - BERNAMA
Kekal bersatu pertahan kedaulatan - Najib

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013:: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan Malaysia yang sejak puluhan tahun menjadi negara yang merdeka serta bebas daripada cengkaman penjajahan asing.

Dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-56 yang disambut esok, perdana menteri menegaskan kini bukanlah masa untuk rakyat Malaysia berpecah belah. "Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional," kata Najib ketika menyampaikan perutusan itu yang disiarkan stesen televisyen tempatan malam tadi.

Beliau menarik perhatian bahawa memiliki kedaulatan bermaksud rakyat Malaysia sendiri berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri hala tuju negara.

"Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahan perkara-perkara berkaitan Raja-raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Acara perbarisan Hari Kemerdekaan tahun ini yang bertema 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini esok, dengan acara Ambang Merdeka 2013 menunggu detik 12 malam tanda tibanya 31 Ogos dijadual diadakan di Pusat Maritim, Putrajaya malam ini.

Najib seterusnya mengambil kesempatan untuk mengingatkan rakyat bahawa kedaulatan sebagai faktor yang menunjang Malaysia sebagai sebuah negara, tidak datang secara bergolek.

"Telah banyak keringat mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, dan bersinambung sampai sekarang," katanya.

Justeru, Najib berkata sambutan kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat kerana lebih daripada itu, ia perlu disulami dengan penghayatan mendalam.

"Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti kita telah melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya," katanya.

Najib berkata, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan ialah sejauh mana kejayaan yang dicapai sehingga kini dalam mempersiap dan mempersembahkan sebuah Malaysia progresif untuk ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

Katanya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan supaya generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya menjadi celik sejarah.

Anak-anak muda, kata Perdana Menteri, perlu terus dibimbing, dipersiap dengan jati diri dan diperteguh semangat patriotisme mereka.

"Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar," katanya.

Merujuk kepada insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini, Najib berkata tragedi berdarah itu menjadi satu pengajaran bahawa Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

"Tragedi malang itu menyentap benak sanubari rakyat Malaysia tentang peri mustahak untuk kekal bersatu demi mempertahan kedaulatan negara," katanya sambil menambah usaha berterusan perlu dibuat untuk menyemai jati diri dan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat, terutama generasi pewaris.

Najib turut mengajak rakyat menjadikan iktibar krisis dalaman di beberapa negara Arab yang seperti tiada kesudahannya.

"Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono," kata perdana menteri sambil menambah kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan sesebuah negara akan terjejas apabila tiada kestabilan dan perpaduan.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya menghargai keamanan, memelihara keharmonian dan memupuk perpaduan dengan mencintai negara.

Najib seterusnya berkata rupa dan wajah Malaysia seperti yang dilihat dewasa ini telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti serta strategi rapi oleh kerajaan sejak berdekad lalu mengikut pendekatan dan acuannya sendiri.

Sambil merujuk kepada Malaysia yang menjadi tanah air kepada masyarakat berbilang kaum yang unik di dunia, beliau berkata: "Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset untuk mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi." - BERNAMA

Tumpahan diesel: 7 kawasan alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) terpaksa menghentikan sementara operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang kerana berlaku kejadian minyak diesel memasuki sumber air di Hulu Sungai Selangor.

Kejadian itu mengakibatkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Permohonan Mohamad Salleh tukar penjamin, dapatkan pasport ditolak

 Mohamad Salleh Ismail

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013:: Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFCorp) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, yang menghadapi dua tuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta, untuk menukar penjamin dan pasportnya dikembalikan secara kekal.

Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Mohamad Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Mahkamah turut menolak permohonan Mohamad Salleh untuk mengembalikan wang jaminan RM500,000 sebelum ini bagi menggantikan wang jaminan itu dengan cagaran tanah bernilai RM2.5 juta.

Dalam permohonan yang difailkan pada 28 Ogos lalu, Mohamed Salleh, 65, memohon supaya penjaminnya iaitu anak lelakinya, Wan Shahinur Izmir, ditukar kepada isterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Wan Shahrizal dalam hujahannya berkata cagaran tanah bernilai RM2.5 juta yang dicadangkan melebihi jumlah jaminan asal yang disebut mahkamah iaitu RM500,000.

Beliau berkata tiada alasan untuk Mohamad Salleh melarikan diri dari Malaysia kerana anak-anaknya dibesarkan di Malaysia selain isterinya yang juga Ketua Wanita Umno.

Sementara itu, Awang Armadajaya berhujah nilai sesuatu pasport melebihi nilai wang ringgit kerana ia adalah lesen untuk berjalan ke luar negara. 

"Untuk mengatakan nilai RM2.5 juta yang ditawarkan melebihi RM500,000 adalah tidak tepat kerana jaminan asal adalah RM500,000 berserta pasport yang tidak ternilai," katanya.

"Setelah melihat semua afidavit yang menyokong permohonan, tidak didapati sebarang sebab yang istimewa untuk pinda syarat-syarat jaminan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Sept ini untuk mendengar permohonan Mohamad Salleh bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamad Salleh, selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah RM9,758,140 untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium di sini dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd pada 2009. - BERNAMA
Russia tolak sebarang resolusi untuk serang Syria

MOSCOW, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Russia menolak sebarang resolusi oleh Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membenarkan serangan diambil terhadap rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, kata diplomat kanan, hari ini.

“Russia menolak sebarang resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi meluluskan penggunaan ketenteraan terhadap Syria," kata Timbalan Menteri Luar Russia, Gennady Gatilov kepada agensi berita ITAR-TASS.

Britain hari ini cuba mendapatkan sokongan PBB untuk menggunakan kuasa tentera bagi menyerang Syria yang didakwa menggunakan senjata kimia.

Namun, mesyuarat membabitkan lima anggota tetap Majlis Keselamatan yang terdiri Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat berakhir tanpa sebarang keputusan. - AFP/BH
Pandelela sah sertai satu acara terjun Sukan SEA Myanmar

 PANDELELA RINONG

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Penerjun wanita elit kebangsaan, Pandelela Rinong mengesahkan bahawa beliau hanya akan menyertai satu acara iaitu 10m platform individu wanita dalam Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Pemenang tiga pingat emas edisi 2011 kejohanan itu di Indonesia, berkata beliau mengambil keputusan sedemikian bagi memberikan peluang kepada penerjun muda untuk mendapatkan pendedahan dalam temasya sukan dwitahunan itu.

"Sebelum ini, saya menyertai dua atau tiga acara tetapi saya mengambil keputusan untuk menyertai satu acara sahaja dan berharap penerjun muda yang diberikan peluang pada Sukan SEA nanti akan mempamerkan aksi cemerlang," katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 itu yakin dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara 10m platform seirama memandangkan tiada pencabar yang hebat dari negara Asean lain.

"Ini berlainan dengan saingan di peringkat antarabangsa yang lebih kompetitif, namun jurulatih (Yang Zhuliang) berpesan kepada saya supaya tidak mengambil mudah kerana penerjun negara lain juga mampu melakukan kejutan," katanya.

Pada masa sama, Pandelela turut gembira dengan prestasi terjunan beliau dalam kejohanan peringkat antarabangsa walaupun terdapat beberapa penerjun yang menunjukkan peningkatan ketara seperti dari England, Kanada dan Australia.

"Saya berharap mampu meningkatkan prestasi semasa saya terutama dari segi teknik terjunan dalam kejohanan akan datang," katanya yang memenangi pingat gangsa bersama Leong Mun Yee menerusi acara 10m platform seirama dalam Kejohanan Dunia di Barcelona, baru-baru ini.

Mengambil semangat Hari Kemerdekaan yang akan disambut esok, anak jati Sarawak itu bertekad untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. - BERNAMA

Assad ikrar pertahan negara dari serangan Barat

DAMSYIK, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Presiden Syria, Bashar Assad hari ini berikrar negara itu akan terus mempertahankan diri bagi menentang sebarang serangan barat berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia.

Dalam masa yang sama, pemeriksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadulan meninggalkan Syria dalam tempoh 48 jam ini bagi membawa maklumat yang dianggap penting bagi menentukan sama ada serangan dilakukan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron pula tetap dengan pendirian agar serangan tentera dilakukan terhadap Syria tetapi undian Parlimen menolak usul yang dikemukakan semalam.

Pegawai Pertahanan Perancis pula secara terbuka berkata, pihaknya sedang menyediakan keperluan mengenai kemungkinan operasi serangan terhadap Syria.

Pentadbiran Barack Obama pula sedang mengadakan taklimat kepada kongres Amerika Syarikat (AS) mengenai serangan terhadap Syria.

AS, Britain dan Perancis menyelahkan rejim Assad berhubung penggunaan senjata kimia dalam serangan pada 21 Ogos lalu terhadap kumpulan pejuang di pinggir Damsyik.

Kerajaan Syria bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mendakwa kumpulan pejuang sebenarnya yang menyerang rejim berkenaan. - AP/BH
Sharqia lebih aman selepas krisis di Mesir

ZAGAZIG (MESIR), JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Berada di salah sebuah bandar di negeri kelahiran bekas presiden Mesir Mohamed Morsi yang digulingkan pihak tentera Mesir awal Julai lepas, mungkin menggusarkan hati pelancong, apatah lagi apabila krisis di negara ini masih tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, bagaikan 'Angan-angan mengikat tubuh' (Bersusah hati kerana memikirkan perkara yang bukan-bukan), tempat itu sebenarnya tidak seteruk seperti yang disangka, malah mungkin lebih tenang daripada beberapa kawasan lain kerana ia tidak dikategorikan sebagai kawasan 'panas'.

Sharqia, sebuah negeri di Timur Mesir kira-kira 90km dari Kaherah ini sebenarnya juga merupakan tempat Morsi menyampaikan kuliahnya semasa menjadi pensyarah jurusan kejuruteraan di Universiti Zagazig, iaitu ibu negeri Sharqia di sini dan pada masa sama menjadi anggota Parlimen bebas kawasan berkenaan (Zagazig) semasa era pemerintahan bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Apa yang lebih menarik, anggota keluarga Morsi dan saudara maranya, ramai daripada mereka dipercayai masih menetap di beberapa kawasan di negeri berkenaan termasuk Zagazig, selain pengikutnya di sana yang ramai.

Bernama yang mengikuti delegasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke negara bergolak itu bagi membincangkan isu pelajar Malaysia di beberapa universiti utama negara itu berkesempatan melawat Universiti Zagazig dan kawasan sekitarnya yang juga lokasi bagi kira-kira 700 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan dan farmasi di sini.

Seorang pelajar perubatan tahun ketiga Abd Hakim Mohd Suhimin, 23, ketika ditemui berkata, bandar dengan kira-kira 320,000 populasi itu sebenarnya lebih tenang berbanding kawasan-kawasan lain, walaupun tidak menafikan masih ada perhimpunan yang diadakan kumpulan Tajarrud (penyokong Morsi) dan Tamarrud (penyokong tentera).

"Namun tiada demonstrasi besar-besaran di sini, cuma ada sedikit perhimpunan dan ini telah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Mesir. Keadaan ini tak menjadi masalah kepada kami, Insya-Allah," katanya.
Beliau yang baru pulang ke Mesir minggu lepas selepas cuti Aidilfitri berkata situasi Mesir pada kali ini juga tidak seteruk pada 2011, sewaktu insiden penggulingan Mubarak.

Turut bersetuju dengan pandangannya adalah seorang lagi pelajar tahun tiga jurusan perubatan, Marwan Muhammad, 22 tahun, yang berpendapat keadaan di tempat dan universiti berkenaan masih terkawal dan yakin akan bertambah baik pada masa depan.

"Pada pandangan saya untuk jangka masa pendek terutama di Zagazig ini, saya tengok tak ada masalah bagi pelajar kita belajar dan melakukan aktiviti harian, cuma untuk jangka masa panjang saya tidak pasti, ini mungkin perlu ada tindakan lanjut dari pihak kerajaan sendiri (untuk mengambil tindakan awal sekiranya perlu), tetapi Insya-Allah di sini selamat," katanya.

Turut mengesahkan situasi terkawal di Zagazig ialah Muhammad Zakhiruddin A Bakar, 24 tahun, juga pelajar tahun tiga jurusan perubatan yang bagaimanapun tidak menafikan keadaan di Mesir secara keseluruhan masih lagi tidak menentu dan tidak dapat dijangka.

Justeru, beliau menyambut baik langkah kerajaan berbincang dengan pihak universiti-universiti utama di Mesir bagi masa depan pelajar Malaysia di negara bergolak itu secara keseluruhan, termasuk yang paling utama menurutnya mengenai penundaan semester pelajaran.

"Bagi saya sendiri tarikh itu patut ditunda sebab masa berlaku rusuhan(14 Ogos) khasnya di Zagazig, pelajar hilang fokus dan mereka juga berharap tarikh dapat dilanjutkan dan bagi masa kepada pelajar untuk fokus mata pelajaran itu sendiri,"katanya.

Ketiga-tiga pelajar itu adalah sebahagian daripada sebilangan kecil pelajar di universiti berkenaan yang membuat keputusan untuk tidak mengikuti program evakuasi sukarela kerajaan Malaysia yang berakhir Khamis lepas atas sebab-sebab tersendiri.

Terdahulu, semasa perjumpaan delegasi KPM bersama naib presiden universiti terbabit, Prof Dr Ashraf M Elshihy, pihak universiti itu bersetuju memenuhi tiga permintaan asas KPM iaitu menunda semester pelajaran sehingga minggu keempat September, menunda tarikh peperiksaan ulangan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak dan mengadakan peperiksaan ulangan di Malaysia bagi pelajar-pelajar Malaysia sekiranya perlu.

Selain Universiti Zagazig, enam lagi universiti iaitu Kaherah, Al-Azhar, Ain Shams, Mansoura, Iskandariah, dan Tanta turut bersetuju dengan tiga permintaan KPM dengan Universiti Kaherah bersetuju mengadakan peperiksaan ulangan bagi pelajar Malaysia di Universiti Putra Malaysia, Serdang, September ini.

Delegasi KPM dibarisi Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Setiausaha Kedua kementerian Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail, mantan Duta Malaysia ke Mesir Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, wakil Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia Datuk Yahya Abd Jalil, Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan, Sektor Pengajian Tinggi (Bahagian Pendidikan Malaysia) Ibrahim Ali, selain pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir.

Delegasi itu tiba di Kaherah Isnin lepas dan menamatkan lawatan kerja itu semalam selepas melawat tujuh buah universiti iaitu Kaherah, Al-Azhar, Ain Shams, Mansoura, Iskandariah, Zagazig dan Tanta.

Pada 3 Julai, Panglima Angkatan Tentera Mesir, Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi, menyingkirkan presiden Mohamed Morsi dan menggantung Perlembagaan Mesir selepas protes rakyat sekian lama, menggesa diadakan pilihan raya presiden dan Majlis Shura yang baru. - BERNAMA
Pemuda MIC sokong tindakan polis banteras kumpulan kongsi gelap

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Pemuda MIC akan memberi sokongan penuh kepada polis dalam membanteras kumpulan kongsi gelap membabitkan kaum India menerusi Ops Cantas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lepas.

Setiausahanya, C. Sivarraajh, berkata pihaknya amat terkilan dengan jumlah 28,000 orang dari kaum India menyertai kumpulan kongsi gelap di negara ini.

"Ini sesuatu yang memalukan kaum kami," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara bagi menyatakan sokongan sayap MIC itu terhadap tindakan polis membanteras kegiatan jenayah.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada pegawai Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Deputi Superintendan P Anuwal Abd Wahab, pada 10.55 pagi tadi, di Bukit Aman di sini.

Sivarraaj berkata sayap itu meminta polis menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sebarang tuduhan terhadap pasukan keselamatan dalam membanteras kegiatan jenayah.

Beliau turut berkata sayap itu akan menubuhkan satu pasukan khas bagi membincangkan masalah gangsterisme di negara ini.

"Kami menjemput semua parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta polis untuk menyertai pasukan khas ini dalam mencari kaedah terbaik membendung kegiatan jenayah yang semakin menjadi-jadi," katanya. - BERNAMA
Awasi kongsi gelap merekrut pelajar sekolah - Mohamad Hasan

SEREMBAN, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Pihak sekolah serta ibu bapa di negeri ini diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengetahui terdapat unsur merekrut pelajar sekolah untuk menganggotai kumpulan kongsi gelap.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini bagi mengelak perkara negatif itu menular dalam kalangan pelajar sekolah, seterusnya membendung kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

"Perhatikan lagak pelajar jika ada yang sudah terpalit dengan gengsterisme ini, dan pantau aktiviti mereka di luar kawasan sekolah termasuklah usaha merekrut mereka yang didalangi kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah cemerlang dan merasmikan dewan badminton Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau hari ini.

Beliau berkata, jika kegiatan kongsi gelap menular ke dalam ’pagar’ sekolah, perkara itu bukan hanya membawa kepada kegiatan peras ugut, buli dan pergaduhan dalam kalangan pelajar malah akan menjejaskan masa depan mereka.

Katanya, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pelajaran harus bekerjasama memantau perkara ini dengan membasmi kegiatan gengterisme dalam kalangan pelajar.

Mohamad berkata, sikap dan tingkah laku pelajar juga harus sentiasa diawasi jika mereka cuba meniru atau menggayakan identiti seperti kumpulan kongsi gelap.

Dalam pada itu, beliau membidas sikap segelintir pihak yang cuba mempertikai tindakan polis dalam menangani ancaman kumpulan kongsi gelap.

Katanya, pihak polis harus diberi ruang dan kepercayaan untuk menjalankan tugas mereka dalam membasmi jenayah serta menjaga keharmonian rakyat.

"Bila ada sahaja penjenayah ditembak mati, ada pula yang cuba membela. Bila orang awam atau anggota keselamatan kita terbunuh mahupun ditembak, tiada siapa yang berhajat untuk membela.

"Jangan kerana segelintir yang bercakap soal hak asasi manusia dan pertahankan individu tertentu, kita abaikan pula hak asasi lebih 24 juta rakyat negara ini yang cintakan keamanan," katanya. - BERNAMA 
25 NGO sokong usaha PDRM banteras jenayah

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 2013: 30 Ogos - Sebanyak 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi menunjukkan tanda sokongan terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pelbagai operasi membanteras jenayah di negara ini.

Antara NGO yang terlibat adalah Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Yayasan Ayahanda Malaysia (YAS), Pertubuhan Sahabat Malaysia (Sahabat), Pertubuhan Keris Mas Malaysia, Pertubuhan Al-Ehsan Malaysia dan Pertubuhan Api Sejagat Malaysia.

Pertubuhan lain adalah Perdana Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Melayu Klang (PKMK), Majlis Bendahara Malaysia, Peribudi Malaysia, Pertubuhan Putra Malaysia (Putra), Sahabat Ulilamri dan Pertubuhan Silat Ilham Malaysia.

Menurut Presiden Permas, Abdul Halim Ali, kesemua pertubuhan yang terlibat bersetuju dengan setiap tindakan polis terutama dalam Op Cantas Khas yang dilihat banyak mengurangkan kadar jenayah dalam negara.

Katanya, semua pertubuhan itu juga mahu isu melibatkan jenayah ini dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan serta mencari satu resolusi untuk menyelesaikan masalah yang dilihat perlu dilakukan negara.

"Setiap operasi terutama sekali Op Cantas Khas yang dijalankan PDRM dilihat memberi impak yang positif kepada masyarakat. Setiap pertubuhan yang ada di sini menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam mengambil tindakan ini.

"Kami berharap tiada pihak yang mempertikaikan kredibiliti pihak polis dalam melaksanakan tugas mereka kerana setiap yang dilakukan pasukan itu hanya untuk kepentingan awam," tegasnya.

Beliau ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas menyerahkan memorandum menyatakan sokongan kepada usaha pencegahan jenayah PDRM kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. - UTUSAN ONLINE 
Polis Perak pantau Geng 04 dan Geng 08

Oleh AINSAFRE BIDIN

TELUK INTAN, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Polis Perak sentiasa memantau kegiatan kumpulan kongsi gelap iaitu Geng 04 dan Geng 08 yang bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti jenayah di negeri ini sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kumpulan yang mempunyai kira-kira 30 hingga 40 ahli yang aktif itu dipercayai terlibat dalam kegiatan mengutip wang perlindungan dan pengedaran dadah.

Katanya, satu jawatankuasa khas ditubuhkan dalam usaha mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut dengan menggunakan tiga pendekatan.

"Pendekatan pertama adalah mengadakan sekatan jalan raya dan penambahan bilangan anggota Cawangan Siasatan Jenayah (CID) di mana jika memerlukan tindakan pantas mereka boleh membantu dengan kadar segera.

"Kehadiran anggota CID ini penting kerana kebanyakan ahli kongsi gelap ini terlibat dalam kes senjata api dan pembunuhan malahan sebahagian besar kes tersebut melibatkan perbalahan merebut kawasan hingga menyebabkan pembunuhan sesama sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE 
 Tengku Razaleigh belum putuskan tanding jawatan pimpinan parti

Oleh JAZALY AMRY JAAFAR

GUA MUSANG, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak dalam sebarang jawatan tertinggi parti itu.

Beliau berkata, keputusan muktamad akan hanya dibuat pada hari penamaan calon bagi pemilihan Majlis Tertinggi UMNO, 28 September ini.

"Pada masa ini saya tidak mahu membuat sebarang keputusan, tunggu 28 September, yang mana pada masa itu semua ahli UMNO yang layak termasuk saya boleh mendaftar untuk merebut sebarang jawatan pada pemilihan UMNO Oktober depan.

"Hari itu saya akan buat keputusan," katanya kepada pemberita dalam majlis kesyukuran kemenangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang di Kampung Lambok di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Ringgit lanjut momentum meningkat banding dolar AS

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Ringgit melanjutkan momentum meningkat semalam dan mengakhiri dagangan pada paras lebih teguh berbanding dolar AS hari ini dengan bertambah baiknya sentimen pasaran, kata peniaga.

Ringgit disebut harga pada 3.2830/2865 bagi setiap dolar AS daripada paras penutupan 3.3120/3150 semalam.

Seorang peniaga berkata mata wang ekonomi-ekonomi sedang muncul termasuk ringgit pulih apabila ketegangan geopolitik yang semakin kendur di Syria serta data-data ekonomi AS yang semakin baik meredakan kebimbangan pelabur.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding semua mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.5787/5813 daripada 2.5904/5931 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3473/3512 daripada 3.3770/3799.

Berbanding pound sterling, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 5.0854/0918 daripada 5.1399/1451 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 4.3477/3533 daripada 4.3954/3990 sebelumnya. - BERNAMA 
Mayat lelaki di dalam kereta hampir tenggelam di lombong

Oleh AZIAN AZIZ

KUALA SELANGOR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Mayat seorang lelaki yang dipercayai mangsa pembunuhan ditemui di dalam sebuah kereta yang hampir tenggelam di kawasan lombong Jalan Rantau Panjang, Bestari Jaya berhampiran Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini.

Mangsa, Syairul Helmy Azhar, 24, berasal dari Bestari Jaya di sini ditemui di tempat duduk penumpang bahagian belakang kereta jenis Proton Saga FL warna putih tersebut dengan kesan kecederaan di rusuk kanan kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, seketul batu besar turut ditemui di tempat pedal minyak kereta tersebut dipercayai untuk membolehkan kenderaan itu bergerak sendiri selepas mayat mangsa dimasukkan ke dalamnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supritendan Mohd. Taib Ahmad berkata, pada mulanya pihak mendapat laporan seorang pengawal keselamatan menemui sebuah kereta yang hampir tenggelam di kawasan lombong berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya yang membuat pemeriksaan terhadap kereta tersebut nampak mayat seorang lelaki di tempat duduk penumpang belakang.

"Kita meminta bantuan pihak bomba untuk menarik kereta tersebut ke darat untuk mengeluarkan mayat berkenaan," katanya kepada pemberita di sini petang ini.

Menurut Mohd. Taib, siasatan awal pihaknya percaya mangsa telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibawa ke lombong dipercayai antara malam semalam dan awal pagi ini.

Ujar beliau, motif pembunuhan masih belum diketahui dan senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa juga tidak ditemui.

"Kita juga sedang menyiasat latar belakang mangsa," tambahnya.

Sementara itu, pengawal keselamatan, S. Ekaambaran, 60, berkata, dia ternampak kereta yang hampir tenggelam di kawasan lombong tersebut ketika sedang membuat rondaan di kawasan milik Perbadanan Negeri Selangor Berhad itu pada pukul 9 pagi.

"Saya terkejut dan terus beritahu pegawai atasan saha yang kemudian membuat laporan polis," katanya yang meronda kawasan berkenaan tiga kali sehari untuk memantau kegiatan curi pasir.

Tambahnya, kali terakhir dia meronda ialah pukul 6 petang semalam dan kelibat kereta tersebut tidak kelihatan. - UTUSAN ONLINE 
Polis tumpaskan kegiatan pecah rumah, curi kereta

Oleh ROSMAWATI SALIHIN

PENAMPANG, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Polis menumpaskan kegiatan lima sekawan yang memecah masuk rumah dan melarikan kereta mangsa termasuk kenderaan mewah bernilai hampir setengah juta dalam beberapa serbuan di daerah ini dan Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ratan Kumar Singh berkata, antara kenderaan yang ditemui semula adalah Toyota Prado, Toyota Hilux, Proton Saga dan operasi itu merupakan kejayaan terbesar pihaknya tahun ini.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai pekerja sebuah bengkel kenderaan dikatakan menjual kenderaan yang dicuri kepada pembeli sekitar Keningau, Penampang dan Kota Kinabalu.

"Selain menjual kenderaan curi yang diubah nombor enjin dan casis bagi mengelirukan pembeli dan pihak berkuasa, mereka turut menjual enjin dan alat ganti kenderaan itu," katanya kepada pemberita hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Kongsi gelap di Sarawak terkawal

Oleh ZAAIN ZIN

KUCHING, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: - Penduduk di Sarawak tidak perlu berasa terancam dan bimbang meskipun 16 daripada 49 senarai kumpulan kongsi gelap yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam dikesan aktif di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, ini kerana kegiatan kongsi gelap di Sarawak masih terkawal memandangkan rata-rata kumpulan tersebut tidak mempunyai organisasi tersusun sebagaimana di Semenanjung.

"Walaupun Op Cantas Khas tidak dijalankan kerana Akta Pencegahan Jenayah 1959 tidak dikuatkuasakan di sini, polis tetap melaksanakan Operasi Cegah Jenayah dan dalam tempoh 19 hingga 28 Ogos lalu, sebanyak 1,425 individu telah disiasat.

"Daripada jumlah itu, kita menahan sebanyak 55 individu yang dikehendaki untuk membantu siasatan bagi kes-kes jenayah seperti pecah rumah, samun dan curi kenderaan di negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE 
209 PATI terlibat kegiatan tidak bermoral ditahan

MELAKA, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Seramai 209 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sepanjang 35 Ops Sayang sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini kata Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamaludin Ismail.

Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral iaitu bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan menawarkan khidmat seks.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada 85 Vietnam, Indonesia (38), Thailand (37), China (35) dan 24 lagi dari negara lain," katanya dalam sidang akhbar pada majlis Rumah Terbuka anjuran Jabatan Imigresen negeri di Ayer Keroh hari ini. - UTUSAN ONLINE 
15 cedera termasuk guru, ditimpa bongkah batu dari kuari

Oleh SHOLINA OSMAN

PADANG BESAR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Sebanyak 14 murid dan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Chuping dekat sini selepas terkena serpihan bongkah batu yang terpelanting ketika kerja-kerja meletup batu dijalankan di sebuah kuari berhampiran hari ini.

Kejadian berlaku pukul 12 tengah hari menyebabkan serpihan batu terpelanting dari kuari itu sejauh kira-kira satu kilometer sehingga merosakkan bumbung dewan makan, asrama pelajar perempuan dan makmal sains sekolah berkenaan.

Selain kawasan sekolah, sebuah rumah di Kampung Bawah Bukit Chuping turut rosak apabila bahagian bumbung depan rumah berkenaan dan dua buah kereta terkena serpihan bongkah batu kuari berkenaan.

Guru Pendidikan Islam sekolah terlibat, Norhayati Mat, 35, ceder di kepala dan bahu manakala sembilan murid tahun Satu dan lima murid tahun Dua juga cedera di kepala dan bahu.

Norhayati berkata, sebelum kejadian dia bersama beberapa guru sedang sibuk mengendalikan pertandingan mewarna kemerdekaan untuk murid tahun Satu hingga Lima di dewan makan sekolah.

"Saya ditimpa projektor yang terletak dekat dengan saya. Serpihan batu itu turut menyebabkan pentas dewan makan rosak," katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Fauziah (HTF) hari ini.

Katanya, semua murid yang cedera ketika itu berada di atas pentas dewan dan mereka juga dirawat di hospital yang sama.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Khozari Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 12.59 tengah hari. - UTUSAN ONLINE 
PM, TPM sertai 10,000 tetamu di sambutan Raya sayap UMNO

 *NAJIB Tun Razak dan Timbalan Muhyiddin Yassin menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri tiga sayap UMNO di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Kemeriahan sambutan majlis hari raya tiga sayap parti UMNO - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri hari ini tambah berseri dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden dan Timbalan Presiden UMNO itu tiba kira-kira 2 petang disambut kepimpinan sayap parti termasuk Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizad Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman.

Turut serta barisan kepimpinan parti termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib-naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.

Mewakili ketiga-tiga sayap parti, Shahrizat dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para tetamu yang memeriahkan majlis itu.

Majlis rumah terbuka Merdeka Raya itu turut mengambil peluang untuk memperingati jasa pejuang negara yang telah memungkinkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.

Kira-kira 10,000 tetamu membanjiri sambutan itu sejak majlis bermula kira-kira 11 pagi bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kehadiran tetamu disambut mesra kepimpinan sayap Shahrizat, Khairy dan Rosnah dan Exco-exco.

Pelbagai juadah hari raya termasuk sate, lemang, rendang, mi rebus, kambing panggang, roti jala, mi goreng dan pelbagai manisan serta buah-buahan menanti pengunjung. - BERNAMA 
Tengku Razaleigh mahu berundur Ketua Bahagian Gua Musang

 
 GUA MUSANG, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sudah sampai masanya bagi beliau berundur sebagai ketua bahagian setelah hampir 50 tahun berkhidmat kepada masyarakat di sini.

"Sudah sampai masanya untuk saya berundur dan carilah pemimpin baharu untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, keputusannya untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang juga adalah untuk memberi laluan kepada pemimpin muda yang lebih layak.

PRU13 lalu adalah yang terakhir baginya tetapi beliau masih meneruskan khidmat kepada penduduk di kawasan itu sehingga ada pemimpin baharu yang dapat menggantikannya.

"Saya diminta untuk terus menerajui UMNO bahagian ini dan terserahlah kepada ahli Umno bahagian itu (selepas ini) untuk menentukan siapa pemimpin yang paling layak memikul tanggungjawab berkenaan kerana ramai yang layak dipilih," katanya kepada pemberita selepas majlis Kesyukuran Kemenangan Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang bersama Orang Asli di Kampung Lambok, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding jawatan kepimpinan UMNO Oktober ini, Tengku Razaleigh enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak hendak komen dan kita sama-sama tengoklah pada 28 Sept ini untuk bertanding atau tidak," katanya.

Beliau mengingatkan bahawa mengikut peraturan baharu parti, sesiapa sahaja boleh bertanding merebut sebarang jawatan dalam parti dan perkara itu boleh diputuskan pada hari penamaan calon 28 September (untuk Majlis Tertinggi). - BERNAMA 
UPP tumpaskan seludup rokok di Kuala Perlis

KANGAR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup sejumlah 1,250 karton rokok putih dari Pulau Langkawi, Kedah dalam serbuan di pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis awal pagi semalam.

Komander UPP Perlis, Deputi Supritendan Zakaria Abdul Rahman berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, kesemua rokok yang dirampas bernilai RM183,750 termasuk cukai.

Beliau berkata, cubaan menyeludup itu berjaya dipatahkan setelah pihaknya mendapat maklumat awam dan terus menjalankan intipan ke atas tempat berkenaan.

"Hasil intipan di lokasi tersebut, pihak kami mendapati terdapat sebuah bot di mana dua lelaki sedang memunggah kotak-kotak berbalut plastik hitam sementara seorang lagi mengawasi keadaan," katanya dalam sidang akhbar di pejabat UPP Kuala Perlis hari ini.

Bagaimanapun katanya, lelaki berkenaan terus lari memecut bot tersebut sebaik sahaja menyedari perbuatan mereka itu dikesan UPP. - UTUSAN ONLINE 
Perniagaan: Kerajaan komited tangani rasuah - PM

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Kerajaan komited menangani rasuah yang sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengingatkan persekitaran perniagaan dalam negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang membuat ikrar itu berkata, pewujudan portfolio tadbir urus dan integriti dalam kabinet selain menggubal peruntukan perundangan liabiliti korporat bagi melengkapkan kewujudan undang-undang anti-rasuah, jenayah komersil dan syarikat sedia ada, membuktikan komitmen itu.

"Saya mahu menjadikan rasuah sebagai sejarah di Malaysia, dan tidak berlaku lagi pada masa depan. Dan ini bermakna mengubah budaya organisasi dan perniagaan," katanya pada majlis penutupan Program Etika Melatih Jurulatih Majlis Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di sini hari ini.

Selain itu, syarikat multinasional, syarikat senaraian awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara sukarela telah memperkukuh kawalan dalaman dan menyertai program ikrar korporat bagi membuktikan komitmen mereka terhadap prinsip-prinsip anti-rasuah.

Di peringkat ASEAN, beliau berkata, negara anggota Asean berusaha mewujudkan komuniti ekonomi tunggal menjelang 2015, yang penting bukan sahaja bagi membangunkan ekonomi mampan, malah merupakan isyarat mengenai komitmen mereka terhadap amalan perniagaan beretika dengan bertindak bagi menangani rasuah di negara masing-masing.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menetapkan paras yang lebih tinggi dari segi amalan terbaik, katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak tiga tahun lepas, suruhanjaya itu telah melatih dan mengesahkan integriti pegawai dan berusaha menubuhkan unit-unit integriti di kesemua agensi kerajaan dan GLC.

"Ini secara menyeluruhnya merupakan campur tangan penting dalam persekitaran perniagaan. Dan pulangan atas pelaburan ini juga sangat penting," katanya.

Bagi tadbir urus dan komersil, nilai penting ialah amanah, katanya.

"Jika kita menunaikan janji kepada rakyat - sebagai contoh, usaha berterusan menangani rasuah yang dibuat secara konsisten, nilai itu akan meningkat,"" kata Najib.

Perdana Menteri berkata, ganjarannya bukan sahaja dalam bentuk persekitaran perniagaan yang lebih terbuka dan telus, pasaran lebih cergas dan peluang lebih besar, malah memperbaharui keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk berubah kepada yang lebih baik.

Beliau berkata, di kebanyakan negara, masyarakat tidak berapa yakin terhadap institusi kewangan, memandangkan rakyat akan menanggung beban akibat dasar yang salah.

"Ada bank keterlaluan, menyalahgunakan kepercayaan pemegang saham dan peserta pasaran, dan apabila sistem gagal, pembayar cukai yang terpaksa menanggungnya," katanya.

Najib memuji inisiatif yang diambil oleh sekretariat APEC yang memperkenal dan memberi tumpuan kepada etika perniagaan memandangkan ia akan mengurangkan peraturan yang tidak jelas, kompleks dan bercelaru.

"Dengan menggalakkan budaya dan etika bertanggungjawab yang digariskan oleh standard sejagat yang jelas, negara boleh membuat sumbangan bermakna dalam membincangkan kaedah permodalan pasaran yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat moden selain membuat perubahan ketara untuk meletakkan ekonomi masing-masing pada tahap yang lebih baik," kata Perdana Menteri. - BERNAMA 
Kedah akan guna tenaga solar - Mukhriz

KULI M, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Kerajaan Kedah merancang untuk menjadikan negeri ini sebagai pengguna tenaga solar berikutan Kedah kini menjadi pengeluar panel solar secara besar-besaran, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Katanya, sebagai permulaan kerajaan negeri akan memasang panel solar di bangunan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sedia ada.

Mukhriz berkata, Kedah boleh dikatakan antara pengeluar panel solar terbesar di dunia dengan adanya dua syarikat pengeluar panel solar yang besar di Kulim Hi-Tech Park di sini, oleh itu tiada alasan untuk Kedah tidak menggunakan tenaga solar.

"Memandangkan Kedah kini menjadi pengeluar dan pengeksport panel solar dalam skala yang sangat besar, menjadi harapan saya agar Kedah turut menjadi pengguna panel solar. Kita tiada alasan. Panel ini dikeluarkan di Kedah.

"Jelas bahawa Kedah juga perlu menggunakan produk ini. Mungkin secara kebetulan, Kedah sebuah daripada negeri terbaik di Malaysia dari segi (cahaya) matahari. Kami sudahpun merancang untuk memanfaatkan panel solar di dalam bangunan kerajaan," katanya kepada pemberita ketika melawat ke Panasonic Energy Malaysia Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park di sini hari ini.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri turut meneliti cadangan untuk memasang lampu LED di dalam bangunan kerajaan negeri.

"Saya harap gabungan panel solar dan LED akan membantu mengurangkan penggunaan tenaga kita. Biasanya ia memerlukan satu pihak memulakan dulu kemudian yang lain ikut. Ini perkara baik. Saya harap ia akan menjadi contoh kepada pihak lain termasuk swasta," katanya.

Mukhriz berkata, ada juga cadangan supaya panel solar itu dipasang di rumah kampung bagi membekalkan elektrik di kawasan kampung.

"(Selain untuk kegunaan) selebihnya boleh dimasukkan ke grid TNB (Tenaga Nasional Berhad). Selain kurangkan perbelanjaan untuk tenaga, mungkin ada sumber pendapatan bagi tuan rumah daripada penjanaan guna tenaga solar yang dimasukkan ke grid TNB," katanya. - BERNAMA 
AS ucap tahniah Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56

 
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Malaysia menerima ucapan tahniah daripada Amerika Syarikat (AS) sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-56 esok.

Setiausaha Negara Amerika, John Kerry dalam kenyataan yang dihantar melalui Kedutaan Amerika di sini hari ini berkata:

"Bagi pihak Presiden (Barack) Obama dan rakyat Amerika Syarikat, saya amat berbesar hati untuk mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-56 pada 31 Ogos.

"Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada semua rakyat Malaysia di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, Amerika Syarikat berbangga menggelar Malaysia sebagai rakan kongsi dan rakannya, sambil menambah, hubungan sekian lama antara rakyat kedua-dua negara kini lebih dekat berbanding sebelum ini melalui inisiatif seperti program Pembantu Guru Bahasa Inggeris Fulbright, hubungan universiti yang berkembang dan kerjasama saintifik yang ditingkatkan.

"Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Keusahawanan Global pada 11 dan 12 Okt akan mengumpulkan bersama penginovasi, usahawan, kerajaan, sektor swasta dan ahli akademik dari seluruh dunia dan akan membantu golongan muda kita untuk berjaya," katanya.

Kerry berkata, hubungan perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara yang kukuh telah sekian lama memberi manfaat kepada Amerika dan Malaysia dan akan terus meraih faedah pada masa depan. - BERNAMA 
UKM tawar 3,325 tempat prasiswazah sesi 2013/14

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Ogos, 2013: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menawarkan sejumlah 3,325 tempat kepada calon lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan matrik untuk kemasukan ke program pengajian prasiswazah sesi 2013-2014.

UKM dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan, bagi sesi akademik 2013-1024, universiti itu bersama-sama universiti penyelidikan yang lain telah diberi autonomi dalam melaksanakan pengambilan kemasukan pelajar prasiswazah.

Pelaksanaannya masih mengekalkan kaedah pengambilan secara berpusat menerusi penyelarasan bersama Bahagian Pengambilan dan Kemasukan Pelajar, Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, pendaftaran pelajar baharu ke program prasiswazah universiti berkenaan ialah pada 1 Sept 2013 (Ahad) mulai 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Tempat pendaftaran adalah berdasarkan kepada kolej kediaman yang ditawarkan kepada calon.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dijangka mengadakan sesi lawatan ke kolej kediaman bersama pihak pengurusan utama UKM. - BERNAMA 
Rogol teman wanita baru dikenali di kebun sawit

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

LEDANG, JUMAAT, 30 Ogos, 2013:  Akibat gagal mengawal nafsu, seorang remaja lelaki bertindak merogol teman wanita yang baru dikenalinya sebulan lalu menerusi laman sosial Facebook di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Gambir dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 12 Ogos lalu apabila pasangan itu keluar bersiar-siar pada waktu siang.

"Ketika dalam perjalanan pulang untuk menghantar kekasihnya yang berusia 15 tahun ke rumah di sebuah kampung di Bukit Gambir, remaja berkenaan yang berumur 18 tahun mengajaknya singgah di kebun itu sebelum merogol mangsa.

"Atas desakan keluarga, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Gambir pukul 10 pagi pada 27 Ogos lalu, iaitu 16 hari selepas kejadian itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Susulan laporan tersebut, polis menahan suspek di rumah keluarganya di Kampung Parit Jarum Laut pada pukul 6 petang semalam. - UTUSAN ONLINE