My Add

Wednesday 30 November 2011

Demonstrasi di P.Pinang desak ADUN Komtar dipecat

GEORGETOWN, RABU, 30 November, 2011:
SERAMAI 300 orang daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menganjurkan satu demonstrasi bagi mendesak supaya Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Komtar, Ng Wei Aik daripada DAP, dipecat kerana didakwa gagal menjaga kepentingan rakyat.

Mereka berarak sejauh satu kilometer dari Hotel Oriental bermula 12.30 tengah hari sebelum berhimpun di Komtar untuk menyerahkan memorandum itu kepada wakil kerajaan negeri.

Memorandum itu turut menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang supaya lebih fokus dalam menyelesaikan permasalahan rakyat dan bersikap rasional dalam setiap tindakan yang diambil.

Antara NGO yang terlibat adalah Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) dan Suara Anak-anak Malaysia.

Pengerusi Perkasa Daerah Timur Laut, Mohd. Rizuad Mohd Azudin kemudiannya menyerahkan memorandum itu kepada Pembantu Penerangan di Pejabat Ketua Menteri, Zuliana Aziz.

"Jika kerajaan DAP memerintah dengan adil kami tidak akan buat begini (demonstrasi). Sebagai Adun pula, Ng sepatutnya memelihara kepentingan rakyat bukannya menindas,” katanya.

Wei Aik, yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, Lim Guan Eng, didakwa melemparkan kata-kata kesat terhadap dua mangsa kebakaran di Jalan Gurdwara di sini dalam kejadian 22 Nov. lepas selain pernah dikecam kerana bertindak kasar dalam satu operasi di sebuah restoran nasi kandar di Gat Lebuh Maccalum sebelum ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt. Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, sembilan orang ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut. - BERNAMA

Bai’ah penguat kekalkan sokongan terhadap parti

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: 
BAI'AH, yang dilafazkan perwakilan UMNO yang menghadiri majlis Taklimat Presiden UMNO semalam, menjadi elemen penguat anggota UMNO untuk komited kepada parti bagi memastikan kemenangan setiap calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan mereka berbai’ah itu tepat pada masanya dan ia diyakini mampu mengatasi kelemahan yang terdapat di dalam parti itu.

Katanya, bai’ah yang bermaksud ikrar atau janji setia itu secara tidak langsung mampu mengelakkan unsur sabotaj terhadap calon BN.

Beliau berkata, anggota di semua peringkat perlu menghayati ikrar taat setia itu dan menterjemahkannya dalam setiap tindakan dalam usaha meraih sokongan undi.

"Oleh kerana kita akan menghadapi pilihan raya umum dalam waktu yang terdekat, maka ”genjatan senjata” hendaklah dilakukan di peringkat akar umbi supaya masalah lama tidak mengganggu tumpuan parti terhadap pilihan raya.

"Yang penting bai’ah kita kali ini adalah untuk menentukan atas nama parti, bangsa dan negara untuk sama-sama melupakan masalah pemilihan dengan menumpukan taat setia, pengukuhan serta pemerkasaan sistem di dalam menghadapi pilihan raya supaya janji itu dapat diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan,” katanya.

Ahmad Zahid berharap agar bai’ah yang dilafazkan itu dapat dihayati kepimpinan di peringkat akar umbi supaya mereka turut merasai semangat yang sama, sekaligus menterjemahkannya dalam bentuk tindakan. - BERNAMA

Najib pengerusikan mesyuarat MT UMNO

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) yang juga Presiden UMNO berseloroh sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, malam tadi. 

Mesyuarat yang bermula jam 8.30 malam, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden UMNO.

Hadir sama, tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu adalah cadangan yang dikemukakan perwakilan dari tiga sayap parti yang selesai mengadakan perhimpunan agung bagi pergerakan masing-masing, petang tadi. 

Perhimpunan tiga sayap yang diadakan serentak itu menghimpunkan seramai 944 perwakilan Wanita, 942 perwakilan Pemuda dan 934 perwakilan Puteri. - BERNAMA

Sayap-sayap UMNO siap sedia ‘rempuh’ pembangkang

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: 
KETIGA-TIGA sayap Umno - Pemuda, Wanita dan Puteri yang mengadakan perhimpunan agung masing-masing hari ini, membuktikan mereka telahpun bersiap sedia untuk ‘merempuh’ pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Ucapan dasar ketua-ketua sayap parti itu memperlihatkan arahan untuk dijadikan ‘manual’ bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapannya mengingatkan anggota pergerakan itu untuk mementingkan semangat setiakawan dalam mengharungi segala tohmahan pembangkang.

"Dan setiakawan inilah juga satu-satunya kekuatan pembangkang yang membentuk kesepakatan melampau sehingga yang betul dijadikan salah, yang asli dikatakan palsu dan yang benar dituduh berbohong.”

"Dalam keadaan pembangkang yang semakin liar sekarang ini, tiada jalan mudah untuk melawan mereka kecuali kita bergerak bersama dalam satu semangat setiakawan yang tinggi,” tegasnya.

Shahrizat juga menyelar Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin yang mencabarnya supaya meletakkan jawatan berhubung kontroversi projek lembu fidlot yang melibatkan suaminya sebagai Pengerusi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Katanya, Zuraida seharusnya mencabar presiden mereka, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail supaya meletak jawatan ekoran kontroversi membabitkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pula berkata, perjuangan pergerakan itu sekarang adalah berteraskan khidmat bakti iaitu perjuangan menyelesaikan masalah rakyat dan bukan perjuangan bercorak ‘kumpulan pendesak’.

Katanya, perjuangan bercorak ‘kumpulan pendesak’ hanya bercakap dan meluahkan pendapat sementara khidmat bakti akan mendatangkan hasil nyata yang membawa kebaikan untuk rakyat khususnya golongan muda.

Beliau juga berjaya menarik perhatian perwakilan apabila menghuraikan formula ‘Enam Jahanam’ yang dirancang oleh pembangkang bertujuan untuk menjahanamkan negara.

Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam ucapannya, menekan usaha untuk anggota pergerakkannya memahami kehendak generasi baru dan mendekati mereka dengan kaedah yang baru.

Beliau juga berjaya menarik perhatian perwakilan apabila memberi perumpamaan yang menarik bagi menunjukkan perbezaan sikap generasi muda dahulu dan kini. — BERNAMA

Lisa Surihani Artis Wanita Muda Cemerlang UMNO



KUALA LUMPUR, RABU, 30 Novembe, 2011: PUYERI UMNO hari ini mengiktiraf pelakon wanita popular tanah air Lisa Surihani Mohamed, 25, dengan anugerah Artis Wanita Muda Cemerlang sebagai menghargai kejayaan beliau dalam bidang seni lakonan.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin selepas menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung pergerakan itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu, Lisa Surihani berkata, anugerah itu secara tidak langsung memberi semangat kepada beliau untuk terus mengorak langkah dan bekerja keras dalam bidang yang diceburinya.

"Anugerah ini sangat memberi semangat positif kepada saya serta kepada kaum hawa terutamanya kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni.

"Saya harap golongan muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini agar tidak sekali-kali meninggalkan pelajaran mereka,” katanya.

Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa, Suraya Abu Hassan, Penerima Biasiswa Nasional 2010, Nur Izzati Zainal Nazri, penerima Pingat Emas Sukan Sea 2011 (Akuatik), Katrina Ann Abd. Hadi dan Pengasas dan Usahawan Jambu 88 Harlina Hamid. - BERNAMA

Guru johan Pidato Politik Piala PM

MOHD. Syamsul Salleh menunjukkan trofi kemenangan Pertandingan Pidato Politik Piala Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/FAUZI BAHARUDIN


KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: 
PERTANDINGAN Pidato Politik Piala Perdana Menteri melabuh tirai dengan menyaksikan seorang guru, Mohd. Syamsul Salleh dinobatkan sebagai johan menewaskan 11 peserta lain pada peringkat akhir hari ini.

Kejayaan itu membolehkan guru Sekolah Menengah Teknik Kota Tinggi itu membawa pulang piala pusingan, trofi dan wang tunai RM5,000, sekali gus melayakkannya menjadi pemidato jemputan Pergerakan Pemuda UMNO.

Pada peringkat akhir itu, Mohd. Syamsul menyampaikan pidato bertajuk ‘Muafakat bangsa, negara terbela’ berjaya menarik minat juri dan penonton. 

Mohd. Syamsul yang ditemui MD. AZRIN ROSLY berkata, golongan muda perlu merebut peluang itu bagi menyampaikan pendapat tentang dasar kerajaan dan pelbagai isu lain.

“Selagi diberikan peluang untuk berpidato, saya akan terus menyumbang idea kepada generasi muda demi bangsa, agama dan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pertandingan tersebut yang disertai 118 peserta bermula 16 November lalu di lima zon iaitu tengah, timur, Borneo, selatan dan utara.

Sementara itu, tempat kedua pertandingan yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 itu dimenangi peserta orang kurang upaya (OKU), Mohd. Noorfirdaus Che Aman.

Beliau membawa pulang trofi dan RM3,000, sekali gus membuktikan OKU mampu bersaing dan menyumbang pandangan serta pendapat tentang pembangunan negara.

“Platform yang disediakan ini memberi peluang baik kepada anak muda seperti saya untuk menunjukkan bakat yang sebelumnya bercakap di warung-warung kopi sahaja,” katanya.

Tempat ketiga pula dimenangi Azmi Ismail yang menyifatkan pertandingan itu mampu melahirkan tokoh-tokoh muda yang mampu menyampaikan maklumat betul kepada masyarakat.

Amuutha Valli, 26, yang memenangi tempat kelima berkata, pertandingan itu yang terbuka kepada semua kaum perlu dicontohi pihak lain.

Tai Zee How, 23, berkata, pertandingan itu merupakan tempat sesuai bagi golongan muda menyampaikan pendapat berkaitan pelbagai isu semasa.

NGO bantah memorandum Majlis Peguam

Sebahagian anggota beberapa NGO berhimpun bagi menghalang penyerahan memorandum oleh Majlis Peguam ke Parlimen, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
WALAUPUN merupakan satu badan mewakili para peguam yang sepatutnya profesional dan menegakkan undang-undang negara, Majlis Peguam dilihat bertindak sebaliknya.

Mereka dilihat cuba mempertikaikan undang-undang negara apabila mendesak Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 tidak digunapakai meskipun ia telah diluluskan di Parlimen semalam.

Desakan daripada badan itu timbul setelah mereka tidak berpuas hati terhadap undang-undang baru itu yang dikatakan tidak menepati kehendak individu serta rakyat Malaysia.

Malah, badan itu menganjurkan satu perhimpunan tanpa permit untuk menyerahkan memorandum bantahan di Parlimen hari ini selepas berarak dari Taman Tasik Perdana.

Perhimpunan selama dua jam itu turut menyebabkan kesesakan di beberapa jalan sekitar terutama sekali di susur masuk Jalan Parlimen.

Malah, ada di antara mereka dilihat cuba menghalang laluan kenderaan yang menghala ke Jalan Mahameru dengan berdiri di tepi jalan sambil menjerit-jerit untuk menarik perhatian pengguna jalan raya.

Turut menyertai perhimpunan itu adalah kumpulan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan kumpulan yang mempromosikan gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang menyokong perhimpunan diadakan oleh Majlis Peguam itu.

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong tengah hari ini. 


ILAH HAFIZ AZIZ melaporkan, t indakan yang dilakukan Majlis Peguam itu bagaimanapun ditolak oleh beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Majlis Putra Malaysia (MPM) yang turut berkumpul bagi membantah kehadiran ahli-ahli Majlis Peguam di Parlimen.

Paduka Ayahanda MPM, Khairuddin Daud berkata, lebih 500 ahli majlis itu yang terdiri daripada beberapa NGO berkumpul untuk menunjukkan taat setia terhadap kerajaan yang sentiasa diasak beberapa pihak yang dianggap melampau.

"Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan namun mereka tetap tidak menyokong. Oleh itu, kami tidak ingin melihat negara ini terus dirosakkan dengan pelbagai perkara negatif terutama sekali seks bebas yang masih dipertahankan mereka," tegas beliau.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu Selangor/Wilayah Persekutuan, Mohd. Ali Baharom yang turut serta dalam perhimpunan bantahan NGO itu berkata, tindakan Majlis Peguam itu adalah bercanggah dengan semangat perlembagaan dan sewajarnya ditolak.

Dewan Rakyat hari ini telah meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 membabitkan enam pindaan yang bermatlamat membenarkan orang ramai berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, ketika rang undang-undang itu disambung perbahasannya untuk bacaan kali kedua hari ini, ia turut mendapat tentangan daripada Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan. - Utusan Malaysia

Kakitangan kerajaan marah DAP

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
HASRAT DAP untuk mengurangkan bilangan penjawat awam jika mereka dipilih sebagai pemerintah bagi meringankan beban kewangan menimbulkan kemarahan kakitangan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, rata-rata kakitangan awam juga terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua yang disifatkan tidak masuk akal.

Menurutnya, CUEPACS sedang menjelajah seluruh Malaysia untuk memungut respons penjawat awam berhubung kenyataan Tony itu.

“Rata-rata penjawat awam yang ditemui benar-benar marah dan tidak menjangka seorang pemimpin tertinggi DAP boleh mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tony Pua yang disiarkan baru-baru ini dalam sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa kerajaan DAP akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Omar berkata, sehingga kini pihaknya telah mengadakan sesi dialog dengan kakitangan awam di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah, Sarawak dan Perak.

Menurutnya, selebihnya akan dilakukan dalam tempoh dua minggu ini.

“Ini kerana kita akan mengadakan mesyuarat kongres pada pertengahan bulan depan. Jadi, kita menjangkakan laporan dialog berhubung reaksi penjawat awam terhadap kenyataan Tony Pua itu akan dibentangkan sebagai satu slot sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Veteran UMNO terharu dapat jemputan presiden

 HARON  menunjukkan poster arwah bapanya,  Datuk Awang Datuk Omar yang turut bersamanya dalam gambar yang dirakamkan di Istana Besar Johor.

 HARON menunjukkan poster arwah bapanya, Datuk Awang Datuk Omar yang turut bersamanya dalam gambar yang dirakamkan di Istana Besar Johor.


KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
KETIKA UMNO bersidang pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor, Haron Datuk Awang antara puluhan perwakilan dan urus setia yang bergambar bersama Presiden parti, Datuk Onn Jaafar dan gambar kenangan itu masih tersimpan sebagai rekod sejarah parti. 

Kini, selepas 66 tahun gambar kenangan itu diabadikan, difahamkan hanya tinggal beliau seorang masih hidup dan dibawa khas menghadiri persidangan kali ini sebagai tanda penghargaan kepada veteran parti.

Sejak menerima jemputan khas dua minggu lalu, Haron, 87, berbelah-bahagi untuk datang kerana sibuk dengan persiapan kenduri kahwin ahli keluarganya.
Bagaimanapun, apabila dimaklumkan jemputan itu hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengenang jasa veteran parti, beliau bersetuju kerana baginya UMNO parti keramat yang banyak memberi kenangan kepadanya. 

Sebaik saja menjejakkan kaki ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan melihat poster besar yang diubah suai dan digantung di aras empat, beliau tersenyum kerana menyifatkan dirinya sebahagian daripada sejarah parti. 

“Ia sesuatu yang menyentuh hati. Kali pertama saya datang ke perhimpunan pada 1987, ketika Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi Presiden UMNO. Ia cukup menarik kerana diadakan serentak dengan bulan kemerdekaan negara. 

“Selepas 24 tahun, saya terkejut dan terharu apabila menerima jemputan daripada parti untuk datang ke sini. Walaupun saya hanya ahli biasa, ini saya penghormatan cukup besar bagi saya,” katanya. 

Datuk kepada sembilan cucu itu masih mampu berdiri dengan bantuan tongkat walaupun mengalami masalah pendengaran sejak empat bulan lalu. 
Katanya, jika memakai cermin mata, beliau masih mampu mengingati beberapa nama rakan lama dalam gambar itu. - Berita Harian

Doktor peribadi Michael Jackson kena 4 tahun penjara


DOKTOR peribadi kepada Michael Jackson, Dr Conrad Murray kelihatan mendengar dengan teliti keputusan penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Los Angeles, Michael Pastor yang menjatuhkan hukuman maksimum empat tahun penjara terhadapnya selepas didapati bersalah menyebabkan kematian raja pop itu pada 2009 lalu. (berita lanjut) - Foto REUTERS/CNN/Pool

LOS ANGELES, RABU, 30 November, 2011: DOKTOR peribadi kepada Michael Jackson, Dr Conrad Murray hari ini dijatuhi hukuman maksimum empat tahun penjara, iaitu selepas tiga minggu beliau didapati bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat raja pop berkenaan pada 2009 lalu. 

“Beliau (Murray) langsung tiada sifat belas kesihan," kata Hakim Michael Pastor ketika membacakan ringkasan hukuman terhadap kes membabitkan doktor berusia 58 tahun itu.

“Ada orang di luar sana yang berasa Dr Murray adalah tidak berdosa. Ada juga yang berasa Dr Murray seorang yang jahat. Kedua-duanya bukan. Dia seorang manusia. Beliau berdepan dengan tuduhan kerana kematian seorang manusia," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata: “Michael Jackson maut bukan kerana kerana disebabkan hanya satu insiden yang terasing. 

"Dia mati kerana disebabkan oleh keadaan yang disumbangkan oleh Dr Murray," katanya. 

Hakim juga bersetuju Murray perlu membayar ganti rugi kepada anak-anak dan harta Michael tetapi jumlah berkenaan akan diputuskan pada satu lagi perbicaraan pada 23 Januari depan. 

Pendakwaan meminta Murray membayar AS$100 juta sebagai ganti rugi kepada keluarga Michael selepas kehilangan pendapatan apabila penyanyi pop itu dijadual mengadakan 50 siri konsert sebelum kematiannya. - AFP

Hanya UMNO jalan penyelesaian

NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin melambai tangan ke arah perwakilan sewaktu tiba pada majlis taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:UMNO adalah jawapan kepada penyelesaian segala keresahan orang Melayu akan kemungkinan kuasa politik mereka kekal jika pembangkang secara berterusan menyerang institusi-institusi Melayu.

Menegaskan komitmen itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO telah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008.

Berikutan itu, kata beliau, parti yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN) itu tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan dalam membela orang Melayu.

"Inilah komitmen UMNO. Kita mengambil pendekatan seimbang dan bijaksana supaya umat Melayu diperkasa dan Islam dimartabat. Ini jugalah tekad politik UMNO dalam memastikan umat Melayu semakin maju dan berwibawa dalam segala bidang dan lapangan.

"Namun sebagai parti tunjang di dalam Barisan Nasional, UMNO telah membuktikan komitmen mensejahterakan rakyat merentasi batas kaum. Dengan konsep perkongsian kuasa, UMNO telah membuktikan keikhlasannya memimpin dalam kepelbagaian bangsa," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan BN tanpa rasa apologetik telah menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri oleh Presiden selaku Perdana Menteri.

"MTAB bertanggungjawab untuk memastikan penyertaan orang Melayu dan bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa.

"Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif," katanya.

Terkini, kata beliau, Perdana Menteri telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik.

"Iaitu pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan bumiputera, pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian dan penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar," katanya.

Kata Muhyiddin, begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin UMNO tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan bumiputera yang berkelayakan untuk mendapatkan biasiswa dan lain-lain bantuan pendidikan daripada kerajaan.

"Terbaru, kita telah menubuhkan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk membantu anak-anak bumiputera mendapatkan pembiayaan pendidikan.

"Dengan dana sebanyak RM500 juta, kita mensasarkan 12,000 pelajar Melayu dan bumiputera akan menerima manfaat dalam tempoh lima tahun akan datang," kata beliau.

UMNO juga, kata Muhyiddin, akan terus mempertahankan institusi-institusi agama dari terus dipersenda dan diperleceh.

"Kedudukan raja sebagai Ketua Agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguat kuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela.

"Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi. Kerajaan Pusat komited untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya," katanya.

Kata beliau, bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik.

"Ini adalah keikhlasan UMNO untuk memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara kita," katanya. - Utusan Malaysia

Buktikan kata-kata – Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berucap di hadapan para perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri pada perasmian perhimpunan ketiga-tiga sayap parti UMNO di Dewan Merdeka, PWTC semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
PERGERAKAN Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO dicabar membuktikan kata-kata mereka untuk berjuang mempertahankan parti dengan memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Sambil mengingatkan yang ‘ibu’ segala pilihan raya itu akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperturunkan peringatan khusus kepada ketiga-tiga sayap agar menggerakkan seluruh kekuatan untuk menghadapi situasi kritikal tersebut.

Dalam ucapannya ketika merasmikan serentak persidangan perwakilan pergerakan tersebut malam tadi yang bernada semboyan perang, beliau turut meniupkan semangat juang srikandi, panglima perang dan permata UMNO itu untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai benteng parti.

“Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabotaj. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan `mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan.

“Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti,” tegasnya.

Sebagai sebuah organisasi, Muhyiddin mengakui UMNO ada kekurangan, namun parti itu sentiasa melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadaikan prinsip perjuangan.

Justeru, beliau berharap ketiga-tiga sayap itu tidak membiarkan parti bersendirian dalam meneruskan perjuangan yang juga jihad untuk agama, bangsa dan negara.

Untuk menjamin kekuatan parti, tegasnya, mereka perlu bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta pada masa sama, mengetepikan perbezaan dan persengketaan sesama sendiri.

“Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita,” katanya.

Beliau mahu Pemuda, Wanita dan Puteri memberi tumpuan kepada masalah rakyat dan melunaskan tanggungjawab moral sebagai pejuang UMNO dengan membantu mereka.

“Membujur lalu melintang patah, jangan hanya dilaungkan tapi buktikan kita tidak rela membiarkan pembangkang terus menghina perjuangan parti kita.

“Kita tidak akan berganjak walau seinci daripada memastikan rakyat tidak diperdaya dan diperalatkan,” tegas MuhyiddiN. - Utusan Malaysia

'Pas tidak boleh ganti UMNO tetapi DAP mungkin jadi Pas'

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
TAN Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada orang Melayu bahawa Pas sama sekali tidak boleh menggantikan UMNO sebaliknya yang berlaku ialah DAP menggantikan Pas.

Malah, Timbalan Presiden UMNO itu mengingatkan orang Melayu jangan sampai terpedaya dengan muslihat jahat DAP yang hanya mahukan mereka menjadi kuda tunggangan untuk menjaga kepentingan cauvinis parti tersebut.

"Ketika umat Islam bangkit bersatu mempertahankan akidah umat daripada diruntuhkan oleh kumpulan yang berniat jahat, DAP dan konco-konconya, bertubi-tubi mempersenda umat Islam.

" DAP bercakap mengenai Islam, Pas mengiyakan sahaja. Pemimpin DAP menyebut dua tiga patah ayat al-Quran walaupun salah, Pas mempertahankan. Pemimpin DAP menggelar dirinya Khalifah Umar Abdul Aziz, Pas memberi pengiktirafan.

"Pemimpin DAP berceramah, penyokong Pas bertakbir. Tetapi apabila Pas menyebut tentang Negara Islam, pemimpin DAP lah yang pertama sekali mengecam Pas. Dan apabila dikecam, Pas diam seribu bahasa. Apa maknanya ini? Maknanya, DAP lah yang memberi definisi kepada Islam yang dianuti oleh Pas," tegas beliau.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Dalam ucapan bertajuk 'Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad' itu, Muhyiddin seterusnya mengingatkan orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP adalah pengkhianat bangsa.

Kata beliau: "Janganlah jadi pembelot seperti Si Kitol. Janganlah jadi seperti tikus membaiki labu. Janganlah jadi seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai. Janganlah sudah terhantuk, baru tengadah.

"Jangan sampai nasi menjadi bubur. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. DAP sudah pasti bukanlah parti untuk orang Melayu dan bumiputera."

Mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, tegas Timbalan Presiden UMNO itu, parti tersebut ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam.

PKR, kata beliau, adalah sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya.

"Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik. Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.

"Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat. Hampir kesemua pengasas parti ini telah meninggalkan parti dan menyokong UMNO," katanya.

Menarik perhatian sekali lagi mengenai Pas, Muhyiddin berkata, untuk menutup kegagalan parti itu mempertahankan kesucian Islam, Pas mengemukakan pula agenda Negara Berkebajikan.

"Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan.

"Malang bagi Pas kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan Negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep Negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka," katanya.

Dalam soal ini, kata beliau, Pas sendiri tidak mampu menyediakan bekalan air bersih di Kelantan, justeru masakan mereka kini berangan-angan pula hendak mewujudkan Negara Berkebajikan.

" Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik Pas untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam.

"Apa yang penting bagi Pas, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP," katanya. - Urusan Malaysia

Undang-undang perlu dihormati

 

MOHD. Shafie Apdal bersama sebahagian 86 Pelajar Yayasan Pendidikan Mara pada majlis penyerahan biasiswa di bawah projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
UGUTAN Azmin Ali yang mahu merobohkan kezaliman penjara sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan membuktikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak menghormati undang-undang dan sistem demokrasi negara.

Menurut MOHD. RAFIE AZIM. selain mengingatkan bahawa tidak ada individu yang kebal daripada tindakan undang-undang, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, sikap itu juga jelas berbeza dengan prinsip parti tersebut yang kononnya sentiasa mahu menegakkan undang-undang dan demokrasi.

“Tindakan itu jelas menunjukkan ketaksuban Azmin terhadap Anwar. Sama ada melanggar undang-undang atau tidak, Anwar perlu sentiasa dibela.

“Tetapi rakyat tidak perlu memberi sokongan kepada mereka. Kita harus sedar dan tahu bahawa tindakan seperti ini hanya akan meruntuhkan sistem demokrasi dan perundangan sedia ada,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan biasiswa kepada 86 pelajar Yayasan Pelajaran Mara di bawah projek Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) di Hotel Seri Pacific, di sini semalam.

Semua pelajar terbabit masing-masing menerima biasiswa RM400,000 untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan selama tiga tahun di Universiti Selangor (Unisel) serta dua tahun di salah sebuah universiti di Jepun.

Mengulas pujian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak yang berada di landasan tepat untuk memajukan Malaysia, Shafie berkata, ia merupakan hakikat yang tidak dapat disangkal.

“Penelitian Tun Mahathir pada saya amat tepat kerana kepimpinan Najib pada hari ini jelas membawa transformasi yang sangat besar ertinya dalam menuju kemajuan.

“Segalanya terbukti terutama melalui penumpuan kepada inisiatif-inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),” ujarnya.

Beliau menambah, disebabkan hakikat itu jugalah, pembangkang beria-ia melontarkan pandangan negatif mengenai ketidakupayaan kerajaan mentadbir serta mendakwa kononnya kerajaan tidak mampu melaksanakan program demi kesejahteraan rakyat.

“Sebenarnya pembangkang sedar dan amat mengetahui bahawa kerajaan mampu serta mempunyai kewangan mencukupi bagi melaksanakan apa jua perkara yang dirancang.

“Maka mereka terpaksa mengkritik dan melontar ungkapan negatif bagi menambat hati rakyat. Disebabkan itu jugalah, terkeluar kenyataan-kenyataan tidak sepatutnya seperti diungkapkan Azmin,” katanya. - Utusan Malaysia

Benar berhimpun tanpa senjata

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: 
DEWAN Rakyat smalam meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 membabitkan enam pindaan yang bermatlamat membenarkan orang ramai berhimpun secara aman dan tanpa senjata. 


Perbahasannya untuk bacaan kali kedua itu mendapat tentangan ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan sebelum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggulung perbahasan mengenainya. 


METRA SYAHRIL MOHAMED melaporkan namun, rang undang-undang yang disambung perbahasannya untuk bacaan kali kedua itu mendapat tentangan ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dewan sebelum Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggulung perbahasan mengenainya.

 
Mendakwa kerajaan tergesa-gesa dalam mengusulkan rang undang-undang berkenaan sambil ‘mengagung-agungkan’ beberapa negara luar seperti Myanmar dan Zimbabwe yang dikatakan lebih baik dari segi pengurusan perhimpunan aman, hujah pembangkang terutama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun ‘dipatahkan’ oleh Mohamed Nazri.

Ujar Mohamed Nazri, apa yang dilakukan kerajaan berhubung rang undang-undang berkenaan tidak melanggar Perlembagaan negara dengan intipati pentingnya adalah untuk memberi nafas baru kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memasukkan elemen-elemen kebebasan berhimpun secara aman iaitu hak berhimpun tanpa senjata.

“Berkaitan dengan notis pula, Ketua Pembangkang dalam perbahasan merujuk kepada memorandum atau satu draf rang undang-undang disediakan oleh Majlis Peguam. Majlis Peguam tak setuju dengan notis. Tapi, apa yang menghairankan, ketika berhimpun pagi tadi depan bangunan Parlimen, Majlis Peguam sudah bagi notis. Kita bagi notis, dia marah pula.

“Kalau tak suka beri notis, mengapa perlu beri notis kepada polis untuk mengadakan perhimpunan tadi? Satu Malaysia tahu. Maknanya, mereka mahu perlindungan polis kalau ada usaha provokasi kumpulan lain.

“Oleh itu, beri notis ini bukan nak sekat tetapi nak jaga mereka. Memang dulu 30 hari dan turun kepada 10 hari. Ini tunjukkan kita dengar pandangan rakyat. jadi, jangan perasanlah pembangkang. Perangai pembangkang, kalau kita tak dengar cakap rakyat, dia kata kita zalim. Kalau kita dengar, mereka kata lain. Merekalah penipu besar. Cakap benda yang tak benar kepada rakyat,” katanya.

Jelasnya, undang-undang sedia ada di negara luar memperuntukkan tempoh masa yang berbeza mengenai pemakluman notis kepada pihak berkuasa.

“Dalam perkara ini, fasal 9(1) hendaklah dibaca dengan fasal 14 iaitu polis perlu beri respons dalam masa lima hari. Jika polis gagal beri respons, hendaklah diteruskan (perhimpunan). Jadi, buatlah. Apa masalahnya?

“Dalam masa lima hari, ada perkara-perkara tertentu perlu dilakukan seperti perjumpaan dengan polis hendaklah dilakukan. Ni tadi Bagan (Lim Guan Eng, DAP-Bagan) merayu dan merintih kata di Pulau Pinang tiap-tiap minggu ada perhimpunan haram. Inilah yang kita nak bantu. Sebab itu perlu bagi notis. Dia cakap tapi tikam diri sendiri,” tegasnya.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan tengah hari, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menegur beberapa wakil pembangkang yang cuba mempertikaikan kredibiliti beliau dalam pembahagian masa untuk berbahas.

Beliau berkata, penentuan masa serta perkara berkaitan peraturan mesyuarat yang melibatkan anggota Parlimen, semuanya adalah bergantung kepada budi bicara Speaker yang mempengerusikan persidangan di dalam dewan.

“Soal masa adalah budi bicara Speaker. Sama ada seorang wakil rakyat melanggar atau tidak peraturan mesyuarat atau apabila diminta Yang Berhormat yang lain untuk tarik balik hujah, itu budi bicara Speaker. Sejak bila pula budi bicara Speaker boleh dicampur aduk oleh ahli Yang Berhormat sekalian?

“Jadi, saya mohon kepada Yang Berhormat, kalau budi bicara itu tolonglah jangan campur aduk,” katanya yang menegur Tian Chua (PKR-Batu) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) yang mempertikaikan pembahagian masa tersebut.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan empat lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2011; Rang Undang-Undang Pencen (Pindaan) 2011; Rang Undang-Undang Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2011 dan Rang Undang-Undang Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2011. - Utusan Malaysia

Wanita sahut cabaran


PEMBAKAR SEMANGAT... Shahrizat Abdul Jalil memberi ucapan penuh semangat pada majlis penyampaian Anugerah Nadi Negara kepada 20 graduan muda Melayu dari pelbagai universiti sempena Persidangan Agung UMNO 2011 di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
PERGERAKAN Wanita UMNO bersedia menyahut cabaran Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan perkhidmatan luar biasa kepada rakyat demi keutuhan parti.

Ketuanya, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata, Presiden turut menegaskan bahawa istilah luar biasa itu harus merangkumi aspek perjuangan, ketaatan dan perpaduan. 

Kita sangat teruja dengan istilah luar biasa yang digunakan oleh Presiden, ia telah menaikkan semangat Wanita untuk bekerja keras demi kepentingan rakyat. 

"Perdana Menteri mahu kita bantu rakyat apatah lagi pilihan raya semakin hampir, maka seruan itu kita boleh jadikan ia sebagai panduan untuk menghadapi pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini hari ini. 

Shahrizat seterusnya berkata, Perdana Menteri menyarankan supaya semua ahli Wanita turun padang bertemu sendiri dengan rakyat bagi mendengar segala keluhan dan masalah mereka.

Kata beliau, dengan langkah itu, masalah yang dihadapi oleh rakyat akan dapat diselesaikan secara lancar tanpa gangguan pihak-pihak tertentu.

"Wanita akan bekerja bersungguh-sungguh terutama dalam usaha menyusun jentera dengan lebih strategik," jelasnya. - Utusan Malaysia

Tumpu agenda survival parti

Khairy Jamaluddin bersama Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim beramah mesra bersama Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri pada majlis penyampaian vest di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR, RABU 30  November, 2011:. -
SEMUAperwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2011 digesa meletakkan segala masalah dalaman serta soal pemilihan parti ke tepi dan menumpukan kepada agenda menjamin survival parti.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, semua aktiviti dan perbahasan yang bakal berlangsung esok hingga Sabtu ini perlu menjurus kepada langkah menarik keyakinan generasi muda terhadap parti Melayu keramat itu.

"Perkara paling penting kini bukanlah pemilihan dan masalah dalaman parti, namun, yang terpenting ialah survival parti. Kalau UMNO tidak menang pilihan raya, tidak guna ada jawatan dalam parti.

"Dalam menggalas tanggungjawab itu, Pemuda UMNO akan terus mengajak anak-anak muda menyertai program anjuran kita sebab kita mencari bakat baru sebagai pemimpin pelapis,'' katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama perwakilan Pemuda UMNO di sini, hari ini.

Menurut Khairy, perhimpunan kali ini penting bagi UMNO sebelum menghadapi pilihan raya justeru ia menuntut seluruh perwakilan untuk meningkatkan azam dan iltizam bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

Berbekalkan semangat itu, katanya, para perwakilan perlu menggalas tugas, amanah dan tanggungjawab yang besar itu apabila pulang ke kawasan masing-masing dan memperluaskan semangat itu kepada generasi muda. - Utusan Malaysia

Puteri perlu beri komitmen padu

Perwakilan Puteri dan Wanita UMNO tekun mendengar ucapan perasmian oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
PUTERI UMNO digesa memberikan komitmen padu dan luar biasa bagi menjamin kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Puteri UMNO perlu bersatu dan bekerjasama dengan Pemuda dan Wanita untuk menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

“Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menekankan supaya kita memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada rakyat dalam usaha memenangi hati mereka.

“Justeru, kita perlukan sesuatu yang luar biasa untuk memastikan sokongan generasi muda kekal kepada BN. Kita mempunyai tanggungjawab yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, malam tadi. 

Rosnah berkata, Najib turut menekankan supaya semua sayap parti mengetepikan agenda peribadi dan menyelesaikan segera masalah di semua peringkat.

“Presiden memerlukan komitmen semua pihak termasuk kepimpinan di peringkat sayap dan negeri dalam usaha memenangi PRU13 akan datang,” ujarnya. - Utusan Malaysia

Usaha jatuhkan perundangan negara

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011: 
UGUTAN Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali untuk meruntuhkan kezaliman penjara sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan menggambarkan seolah-olah wujud usaha pakatan pembangkang bagi menjatuhkan institusi perundangan negara.

Pensyarah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, institusi perundangan negara tidak pernah menganiayai mana-mana pihak, sebaliknya hanya mereka yang terbukti bersalah selepas proses pendakwaan dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman.

Dalam konteks itu katanya, Anwar telah diberi peluang yang secukupnya untuk membela diri dengan diwakili bilangan barisan peguam yang banyak.

"Berasaskan bukti serta pembelaan saja, mahkamah akan memutuskan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya. Adalah menjadi kewajaran bagi semua pihak termasuk Azmin sendiri untuk menerima keputusan mahkamah.

"Segala keputusan yang bakal diputuskan adalah bergantung kepada 100 peratus bukti ketika pendakwaan dilakukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Azmin yang mahu meruntuhkan kezaliman penjara sekiranya Ketua Pembangkang itu dipenjarakan ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres Nasional PKR Kelapan di Johor Jumaat lalu.

Tambah Shamrahayu, sebelum ini pakatan pembangkang menghina sistem kehakiman dan pendakwaan, tetapi kini mereka ke tahap lebih bahaya apabila berani mengutuk institusi penjara.

"Penjara tidak kena mengena dengan sistem kehakiman, sebaliknya hanya menjalankan tugas untuk menghukum pesalah bagi memastikan keadilan jenayah terlaksana dengan teratur," jelasnya.

Menurutnya, pakatan pembangkang seringkali melihat institusi itu sebagai tempat menghukum mereka tetapi tidak sedar bahawa penjara adalah untuk sesiapa yang bersalah tanpa mengira kedudukan serta parti yang diwakili mereka.  

Pertandingan pidato politik cari pemimpin muda pelapis

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
PERTANDINGAN Pidato Politik Piala Perdana Menteri anjuran Pemuda Barisan Nasional (BN) boleh dijadikan medan mencari bakat pemimpin muda, kata Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran program, yang julung kali diadakan, dengan penyertaan ramai peserta muda pelbagai kaum mendorong program itu untuk dijadikan acara tahunan BN.

"Ini merupakan satu program mencari bakat, yang saya rasa penting dalam BN dan cara yang paling berkesan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertandingan akhir program itu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Khairy, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berpendapat, ciri utama seorang pemimpin adalah menjadi penghujah paling berkesan.

Beliau berkata, penglibatan ramai generasi muda dalam program itu menunjukkan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada Khamis lalu bagi membolehkan mahasiswa menyertai parti politik adalah tepat. - BERMAMA

IPF perak buat laporan polis ADUN DAP hina Zambry

IPOH, RABU, 30 November, 2011:
PARTI Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF) Perak semalammembuat laporan polis berhubung kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Nga Kor Ming daripada DAP, yang didakwa menghina Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir pada 9 Sept. lepas.

Pengerusinya, S.Vasu berkata, kenyataan seperti itu tidak wajar kerana ia melibatkan sensitiviti orang lain termasuk masyarakat India.

"Kenyataan yang dilontarkan kepada MB itu merupakan tindakan yang kurang ajar kerana masyarakat India di negara ini turut merasai tempias penghinaan itu.

"Kalau MB ada buat salah janganlah gunakan kulit sebagai ukuran,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini.

Vasu berkata, di negara yang mempunyai masyarakat majmuk, pemimpin tidak harus mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan kaum-kaum lain.

"Penduduk India di Pantai Remis perlu sedar itulah perangai sebenar pemimpin pembangkang yang tidak menghormati rakyat khususnya kaum India,” katanya. - BERNAMA

Tunjuk sikap mengalah satu kesilapan besar

KUALA LUMPUR, RABU, 30 November, 2011:
PEMIMPIN UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuat kesilapan besar apabila bersikap mengalah walaupun parti itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

Penyandang Kursi Za‘ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tan Sri Dr. Nordin Kardi (gambar) berkata, sikap mengaku kalah dan tidak yakin pada pencapaian adalah faktor yang menjadikan parti itu lemah.

“Kesilapannya kerana pemimpin kita mengaku kalah padahal UMNO menang dalam PRU12. Tindak-tanduk mereka selepas PRU12 itu sebenarnya kurang cerdik.

“Di dalam ceramah dan forum mereka mengaku kalah dan lebih menyedihkan ada pemimpin tertinggi juga mengaku kalah,” katanya pada Seminar Agenda Melayu Ketujuh sempena Perhimpunan Agung UMNO 2011, di sini semalam.

Seminar anjuran Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab UMNO Luar Negara bertajuk Islam dan Melayu Pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu dirasmikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Selain Nordin, panel seminar terdiri daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Asri Zainul Abidin dan Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah sebagai moderator.

Nordin berkata, tindakan mengalah secara tidak bertempat itu secara tidak langsung telah menunjukkan kelemahan semangat parti.

“Sedangkan di Sweden, kerajaannya menang kurang daripada separuh kerusi tetapi mereka masih memerintah penuh yakin.

“Saya rasa jika sekali lagi pemimpin UMNO buat tindakan yang sama, keadaan dan kesannya akan lebih buruk,’’ katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, pemimpin UMNO perlu memiliki sikap berani kerana pada masa sekarang mereka berdepan dengan parti lawan yang tidak lagi mengamalkan politik beretika.

Hujah Nordin turut disokong Zulkifli yang menyifatkan sikap sesetengah pemimpin UMNO yang meletakkan diri seperti kalah dalam menang.

Sebagai penyelesaian katanya, pemimpin perlu melihat dan mengkaji semula penerimaan rakyat terhadap UMNO dan BN suatu ketika dahulu.

“Kekuatannya dahulu hanya satu iaitu persepsi UMNO itu mewakili orang-orang Melayu dan bumiputera,’’ katanya.

Selain mengkritik pemimpin-pemimpin yang takut untuk bercakap mengenai kepentingan orang Melayu, Zulkifli turut menempelak segelintir pemimpin yang bertindak atas kepentingan sendiri.

“Tindakan mereka tidak ubah seperti membeli insurans, seolah-olah kalau UMNO kalah dia masih boleh beralih arah kepada pembangkang kerana tidak begitu taksub memperjuang UMNO,’’ katanya. - Utusan Malaysia

Tuesday 29 November 2011

Pastikan tiada 'team' di peringkat bahagian, cawangan UMNO

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011: 
AHLI UMNO diingatkan membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang disifatkan paling getir, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, beliau turut meminta semua UMNO bahagian dan cawangan supaya
memastikan tidak wujud "team" di peringkat mereka sebaliknya perlumengeratkan perpaduan dan saf kepimpinan.

"Kita di peringkat pucuk pimpinan tertinggi tidak ada team. Kita ada satu team
saja dan diharap UMNO bahagian dan cawangan mengikuti jejak pimpinan
tertinggi serta menumpukan perhatian kepada perpaduan bagi menghadapi
pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis taklimat tertutup bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, petang tadi.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula
berkata, amanat Presiden pada majlis itu diterima dengan hati terbuka dan
meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan individu atau puak
tertentu.

"Ini menunjukkan mood di Perhimpunan Agung UMNO ini diletakkan di atas
landasan terbaik. Jadi pastikan beberapa hari ini dan perasmian tiga sayap
mengikut mood yang diatur," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pemimpin dan ahli
UMNO tidak boleh memandang ringan ucapan Presiden pada majlis taklimat
berkenaan.

"Kita juga harus lihat apa yang disebut oleh Presiden mengenai pilihan raya umum
dan kita mesti menang dengan selesa.

"Mesti menang dengan satu kejayaan yang boleh kita sifatkan sebagai selesa, jadi
rancangan untuk transformasi dapat dijalankan dengan jayanya," katanya

UMNO perlu kerja luar biasa hadapi pilihan raya: Najib

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011:
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak, mahu pimpinan parti di peringkat bahagian dan akar umbi bekerja secara luar biasa bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang. 

Perdana Menteri juga berpesan supaya wakil bahagian parti jangan mengambil mudah PRU-13 kerana cabarannya pasti luar biasa dan yang paling getir bakal dihadapi oleh parti politik terbesar negara itu.

"Itu adalah antara intipati amanat Najib kepada perwakilan parti ke Perhimpunan Agung UMNO 2011," kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media bersama dua lagi Naib Presiden parti iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu mereka menghadiri majlis tertutup penyampaian amanat Presiden UMNO di sini hari ini yang bermula 3.30 petang hingga 4.30 petang. 

Ahmad Zahid berkata, Najib juga mahu perpaduan parti diberikan keutamaan, selain keperluan menyelesaikan masalah dalaman parti di peringkat bahagian walaupun ianya bukan masalah besar. 

"Tumpukan kepada agenda parti bukan agenda perjuangan peribadi. PRU-13 bukan pemilihan parti," katanya sambil menambah kalau masalah dalaman selesai, tidak akan ada sabotaj atau tikam dari belakang di peringkat akar umbi. 

Mengenai "calon boleh menang" yang mungkin menggugat hierarki kepimpinan bahagian dalam pemilihan calon untuk PRU-13, Ahmad Zahid berkata Najib memberikan jaminan hierarki tetap diikuti dan kepimpinan di peringkat bahagian tetap menjadi keutamaan, tetapi ianya tertakluk sama ada mereka calon "boleh menang" atau tidak.

"Semua orang rasa dia boleh menang, dan saya fikir oleh kerana kita ada kaji selidik yang dilakukan, (dan) penilaian dibuat, maka kepimpinan atas akan membuat (keputusan) berdasarkan semua maklumat (yang diperolehi)," katanya. 

Hishammuddin pula berkata Najib turut mengingatkan ahli UMNO supaya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu iaitu perkara penting yang perlu difahami dalam berdepan dengan PRU-13. 

"Perwakilan perlu memberi mandat yang seluas-luasnya kepada pucuk pimpinan bagi memenangkan parti bukan individu-individu tertentu," katanya. 

Mohd Shafie berkata, Najib mahu UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum akan datang dengan kejayaan yang selesa bagi membolehkan kerajaan terus dapat melaksanakan pelbagai program transformasi yang dilancarkannya dengan sebaik mungkin demi kepentingan dan kebajikan rakyat. 

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, pula menyifatkan amanat Presiden UMNO sungguh luar biasa bagi meniup semangat dan membentuk perpaduan dalam parti. 

"Presiden UMNO juga mengingatkan kita supaya bekerja dengan luar biasa, serta dengan jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan parti," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, pula berkata Najib turut memberikan imej bahawa PRU-13 boleh dianggap sebagai satu peperangan yang besar di mana semua ahli UMNO perlu turun sebagai satu keluarga. 

"Sehubungan itu, kita tidak boleh leka dan tidak boleh ada elemen negatif seperti dulu termasuk unsur sabotaj sesama sendiri untuk hadapi pilihan raya nanti," katanya. - BERNAMA

Muhyiddin mahu sayap UMNO bangkit berjuang


TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menyampaikan ucapan bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" pada perasmian serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Effendy Rashid

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 November, 2011:
TAN Sri Muhyiddin Yassin malam ini meniup semangat juang ketiga-tiga sayap UMNO dengan menyeru srikandi, hulubalang dan permata parti itu berjuang meraih setiap undi rakyat bagi menjamin kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13. 

Merujuk Pergerakan Wanita UMNO sebagai srikandi, Pemuda UMNO sebagai hulubalang dan Puteri UMNO selaku permata parti, Timbalan Presiden UMNO itu mahu kekuatan ketiga-tiga sayap digerakkan menjadi benteng parti.

Mengingatkan bahawa pilihan raya umum akan datang adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu, Muhyiddin melontarkan soalan untuk renungan perwakilan.

"Sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas daripada genggaman kita? Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? 

"Jawapannya tentu sekali tidak," katanya sambil disambut laungan jawapan "tidak" oleh perwakilan.

"Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkan saf perjuangan parti! Berdiri teguhlah di belakang Presiden parti (Datuk Seri Najib Razak). Bangkitlah pertahankan kelangsungan umat Melayu! 

"Bangunlah menjulang panji perjuangan! Maralah tewaskan musuhmu di hadapan. Pastikan kemenangan milik kita," katanya penuh bersemangat ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011, di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

Berulang kali meniupkan kata-kata semangat dalam ucapan bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad", Timbalan Perdana Menteri mahu ahli ketiga-tiga sayap pergerakan parti turun ke seluruh 222 kawasan Parlimen, 576 Dewan Undangan Negeri dan 7,470 pusat daerah mengundi bagi memastikan setiap undi rakyat berpihak kepada BN.

"Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah (ke semua kawasan). Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita," katanya. 

Menyebut satu persatu pemimpin sayap parti - Ketua Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin - Muhyiddin mahu ketiga-tiga mereka menggerakkan kebangkitan sayap berkenaan melunaskan tanggungjawab moral mereka sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat, memberi tumpuan kepada masalah mereka, merasai denyut nadi, rintihan serta keluhan mereka. 

Kepada Pergerakan Wanita, beliau mengingatkan mereka untuk memperkukuhkan gerak kerja Jalinan Rakyat dan memperhebatkan aktiviti Skuad Sayang dengan pendekatan yang tersusun dan teratur memandangkan pengaruh sayap parti itu amat kuat dalam masyarakat.

"Kajian sikap mesti tepat, penyelarasan dan kerjasama dengan kepimpinan bahagian mesti mantap," katanya.

Bagi Pemuda UMNO pula, Muhyiddin mahu mereka memperkukuhkan kekuatan mental dan fizikal untuk bertarung dalam peperangan yang paling perit dalam sejarah parti selain menyelami aspirasi generasi seangkatan dengan mereka.

"Gerakkan barisan pemudamu, jadilah benteng UMNO yang kukuh. Turun ke akar umbi, dekati dan selamilah aspirasi generasi seangkatan denganmu," katanya dan mengingatkan bahawa landskap politik kini adalah milik orang muda.

Muhyiddin juga mahu Puteri UMNO mengembalikan kegemilangannya sebagai sayap tempat bernaung remaja dan wanita muda, dan membawa golongan itu ke pangkuan UMNO supaya parti menjadi lebih kuat.

"Dalam kelembutan Puteri, serlahkan peranan anda untuk membawa golongan wanita muda ke pangkuan UMNO. Bingkaslah untuk menarik sokongan rakyat kepada parti," katanya. 

Muhyiddin berkata, setiap ahli bertanggungjawab dalam menentukan kekuatan parti yang hanya akan tercapai sekiranya mereka sentiasa bersatu hati (wahdatul qalb), bersatu minda (wahdatul fikr), bersatu amal (wahdatul amal) dan bersatu matlamat (wahdatul hadf) serta mengenepikan perbezaan dan persengketaan yang wujud dalam parti. 

Peringatan juga diberi kepada ketiga-tiga anggota sayap UMNO itu supaya sentiasa setia kepada parti dan pemimpin serta tidak melakukan sesuatu yang boleh mencemar nama serta merugikan parti. 

"Jangan lari daripada medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. 

"Jangan tutup bilik gerakan. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. 

"Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti," katanya. 

Mengenai calon pilihan raya, Muhyiddin mahu ketiga-tiga sayap parti itu memberi sepenuh keyakinan kepada pilihan pucuk pimpinan parti. 

"Calon adalah senjata parti untuk menang. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. 

"Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka," katanya.

Muhyiddin berkata sebagai sebuah organisasi, UMNO tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan, namun parti sentiasa bersedia mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.

"UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan," katanya. - BERNAMA

Petikan ucapan Muyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 November, 2011: 
BERIKUT adalah petikan ucapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa": Suatu Jihad" ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

** Sesungguhnya, harapan umat Melayu terhadap UMNO tinggi menggunung. Sebagai parti yang tertubuh atas semangat kental perjuangan, Umno memikul amanah besar untuk terus membela kesucian agama, menjulang maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara. Di atas jemala UMNO, terhimpun sejuta harapan dan cita-cita umat Melayu yang mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah, bermartabat dan merdeka jiwanya.

** Segala fitnah terhadap UMNO ini ibarat api yang memamah setiap helaian jasa dan bakti UMNO. Malah, dalam zaman fitnah yang menggila ini, pemimpin nombor satu kita tidak terkecuali daripada menerima percikan api fitnah. Hinggakan keheningan mengerjakan ibadah haji pun diganggu oleh kilang-kilang fitnah yang bekerja lebih masa. Kepada Yang Amat Berhormat Presiden, usah resah, usah gelisah, usah gundah, usah gulana. Teruskan perjuangan. Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni, ke lautan sama direnangi. La takhaf wa la tahzan innallaha ma’ana. (Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah swt ada bersama kita)

** Sesungguhnya, percikan api fitnah mereka menyambar dan merebak ke segenap sudut kehidupan, menyemarak sentimen kebencian. Matlamat penyebar fitnah jahat ini amat jelas - hilangkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin utama UMNO dan meruntuhkan harapan orang Melayu terhadap parti keramat ini. Tujuan mereka tidak lain hanya mahu merampas kuasa politik.

** Seterusnya, orang Melayu bertanya, akan kekalkah kuasa politik Melayu jika pembangkang terus melakukan serangan demi serangan terhadap institusi-institusi Melayu? Mampukah UMNO untuk membela nasib umat Melayu? Mampukah UMNO untuk terus bersuara mewakili mereka seperti dahulu? Mampukah UMNO untuk terus memenuhi harapan orang Melayu? Atau adakah UMNO akan terus terperangkap dalam psikologi politik pasca-tsunami 2008 yang meresahkan orang Melayu?

** Sebenarnya, jawapan kepada persoalan-persoalan ini ada pada kita semua. Sebagai ahli UMNO, sebagai pemimpin UMNO, kita semua memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan UMNO.

** Hakikatnya, UMNO sudah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008. Kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan UMNO dalam membela orang Melayu. 

** Umno tetap sedar bahawa bagi meneruskan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara, realiti landskap politik negara yang majmuk sifatnya mesti dipelihara. Jangan kita tanamkan kebencian kepada kaum-kaum lain. Jangan kita lemparkan kehinaan kepada agama-agama lain. Jangan kita titipkan prasangka kepada budaya-budaya lain.

** Calon adalah senjata parti untuk menang. Berilah sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya. Yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka.

** Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti.

** Jangan sabo. Jangan boikot. Jangan cah keting. Jangan peteh sama sendiri. Jangan ‘mandikan’ calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan lari ke luar negara. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti.

** Sebagai sebuah organisasi, Umno tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan. UMNO bukanlah malaikat. Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan.

** Dalam perjuangan ini, UMNO tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita.

** Gendang perang sudah dipalu. Langkah pendekar sudah disusun. Bangunlah! Berjuanglah! Pergilah ke seluruh 222 kawasan Parlimen, 576 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 7,470 Pusat Daerah Mengundi. Jangan ada yang tertinggal, tersisih dan tercicir. Jangan ada satu pun yang terlupa. Raih setiap undi di setiap kawasan. Ingat, walaupun satu undi ianya akan menentukan kemenangan kita.

** Beri tumpuan kepada masalah rakyat. Rasai denyut nadi mereka. Dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka. Kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab. Lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang UMNO dengan membantu rakyat. - BERNAMA