My Add

Thursday 28 February 2013

Rundingan damai pihak bertelagah di Selatan Thai wujud keamanan: Najib

PUTRAJAYA, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Razak yakin rundingan damai pihak bertelagah di Selatan Thailand dapat mewujudkan keamanan berkekalan di wilayah itu.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah titik permulaan kepada pembangunan pesat sosio ekonomi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rundingan Tahunan Kelima Malaysia-Thailand bersama Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Pejabat Perdana Menteri di sini, sebentar tadi.
- BH
SPR kaji cadangan adakan teks khutbah khas berkaitan pilihan raya
 
KOTA BHARU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji cadangan supaya diadakan teks khutbah khas berkaitan pilihan raya untuk dibacakan di semua masjid seluruh negara pada Jumaat terakhir sebelum hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata teks khutbah khas itu hanya menerangkan proses pilihan raya dari SPR dan nasihat kepada pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya berkenaan.

"Khutbah khas ini berbentuk nasihat, bukannya untuk kempen bagi menyebelahi mana-mana parti, ia hanya memberi penerangan apa yang patut dibuat oleh pengundi pada hari mengundi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) di Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata cadangan untuk mengadakan teks khutbah khas itu disuarakan wakil NGO terbabit yang mendakwa pada pilihan raya lalu terdapat di kalangan imam atau khatib yang mengambil kesempatan berkempen bagi sesuatu parti politik yang bertanding melalui khutbah Jumaat yang dibacanya.

Beliau berkata, mengadakan teks khutbah khas Jumaat untuk dibacakan khatib atau imam di seluruh negara bukan perkara ganjil kerana selama ini sudah ada amalan menyampaikan teks khutbah berkaitan jenayah, dadah dan isu rakyat Palestin.

"Kita akan bincang dahulu di peringkat panel SPR dan jika mereka bersetuju untuk melaksanakan khutbah khas ini, kita akan berhubung dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri masing-masing agar memberi kerjasama kerana perkara berkaitan agama ini di bawah bidang kuasa mereka," katanya.

Abdul Aziz juga berkata, sehingga semalam, seramai 4,084 rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan berdaftar sebagai pemilih, memohon untuk mengundi secara pos pada PRU-13 nanti. 

Beliau berkata, permohonan itu dibuka sejak 21 Januari lalu dan rakyat Malaysia berkenaan diberi tempoh sehingga hari pembubaran Parlimen untuk memohon mengundi secara pos pada pilihan raya itu.

Katanya, rakyat Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan tidak layak memohon mengundi melalui pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan.

Mengenai cadangan dari NGO terbabit supaya pengiktirafan tidak diberikan kepada parti-parti politik yang membuat pakatan longgar dan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi mendapatkan majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan dalam sesuatu pilihan raya, Abdul Aziz berkata beliau akan meneliti perkara berkenaan kerana ia berkaitan dengan undang-undang. - BERNAMA
Hampir semua janji manifesto PRU-12 pembangkang tak ditunai di Selangor

Oleh HAKIMI ISMAIL
SHAH ALAM, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mengikut kajian yang dilakukan, hampir keseluruhan manifesto pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) hanyalah janji kosong yang dijadikan umpan untuk memancing undi.

Beliau berkata, pakatan pembangkang secara terang-terangan telah menipu rakyat demi meraih sokongan untuk memerintah di Selangor.

"Banyak janji-janji PRU-12 tidak ditunaikan oleh pakatan pembangkang dan ia membuktikan mereka tidak mampu untuk menjadi pentadbir yang baik.

"Manifesto yang dilancarkan oleh pakatan pembangkang baru-baru ini juga nampaknya memakan diri mereka sendiri, mereka hanya memainkan cerita lapuk yang sama dengan sesi ceramah mereka," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zin, yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, pakatan pembangkang tidak boleh menjadikan negeri ini sebagai contoh kejayaan mereka untuk mentadbir negara kerana sudah terbukti pentadbiran mereka di Selangor gagal.

Ujar beliau, trend pelaburan kerajaan negeri mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 secara keseluruhannya menunjukkan dividen yang diterima dari 2007 hingga 2011 adalah berjumlah RM5.91 juta daripada kos pelaburan.

"Kadar pulangan dividen berkenaan adalah sangat rendah dan sangat tidak memuaskan, namun Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menggunakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai helah mahu menutup kelemahan pengurusan pelaburan di peringkat kerajaan negeri," katanya.

Selain itu kata beliau, terdapat perkara yang dimuatkan dalam manifesto tersebut yang sebenarnya tidak mampu dilaksanakan, sebagai contoh janji untuk melaksanakan pendidikan percuma.

Jelas beliau lagi, BN juga pernah mendesak agar janji itu ditunaikan terlebih dahulu di institut pengajian tinggi yang terdapat di negeri tadbiran pakatan pembangkang.

"Namun sebaliknya yang berlaku, di Selangor sendiri masalah IPT seperti Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) masih belum diselesaikan.

"Malahan Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut mengkritik tatacara pengurusan Unisel yang dilihat tidak profesional dan membawa kepada kerugian," katanya.

Sementara itu katanya, pakatan pembangkang juga berjanji dalam manifesto baharu mereka untuk memelihara 141,000 hektar tanah Orang Asli, namun sebaliknya berlaku di Selangor apabila kira-kira tujuh hektar tanah golongan berkenaan di Kuala Langat dipindah milik kepada orang lain.

Menurut Mohd. Zin, satu lagi janji dalam manifesto pakatan pembangkang ialah kononnya ingin menghapuskan monopoli dengan mewujudkan suruhanjaya antimonopoli.

"Saya fikir, tindakan ini sepatutnya dilaksanakan di Selangor terlebih dahulu apabila industri perlombongan pasir yang berharga berbilion ringgit hanya dimonopoli oleh sebuah syarikat sahaja iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd," katanya. - UTUSAN
Hindraf juga kecewa manifesto pembangkang ketepi orang India

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Hindraf selaku kumpulan pendedak masyarakat India yang selama ini memperlihatkan agendanya seolah-olah menyokong pakatan pembangkang, turut menyatakan kekecewaaan terhadap manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan baru-baru ini.

Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy berkata, manifesto pakatan pembangkang itu jelas meminggirkan keperluan serta kepentingan masyarakat India di negara ini dalam banyak aspek.

Menurut beliau, manifesto tersebut masih lagi dibatasi kekangan kaum walaupun Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji pakatan tersebut akan bersifat sama rata.

"Hindraf berasa sungguh kecewa dengan manifesto pakatan pembangkang yang memilih untuk mengabaikan sepenuhnya keperluan serta kepentingan masyarakat India di negara ini dalam ikrar pilihan raya mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN
Malaysia, Thai tandatangani perjanjian lintas batas

PUTRAJAYA, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Malaysia dan Thailand hari ini menandatangani Perjanjian Lintas Batas untuk menggantikan 'Traffic Across the Boundary Between the Malay States and Thailand' yang ditandatangani di Bangkok pada 24 Jun 1940.

Perjanjian itu ditandatangani sempena lawatan Perdana Menteri, Thailand Yingluck Shinawatra ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beberapa elemen telah diperbaharui dalam perjanjian baharu itu bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

"Perjanjian Lintas Batas itu menjelaskan isu berkenaan pengeluaran pas sempadan di antara kedua-dua negara dan negeri bersempadan sahaja layak menggunakan pas sempadan itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di Malaysia, pintu-pintu masuk yang dipersetujui ialah Kedah di Bukit Kayu Hitam, Kota Putra, Durian Burung, Kuah Langkawi, Telok Ewa Langkawi, Kuala Kedah, Jetty Harbour Park Langkawi; Kelantan (Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga); Perak (Bukit Berapit); dan Perlis (Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis).

Sementara di Thailand ialah Pusat Pemeriksaan Imigresen Tamalung Seaport dan Wangprachan di Satun; Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadoa, Padang Besar, Songkhla Seaport dan Ban Brakop di Songkhla; Pusat Pemeriksaan Imigresen Betong di Yala; Pusat Pemeriksaan Imigresen Su-ngai Golok, Takbai dan Ban Bukheta di Narathiwat; dan Pusat Pemeriksaan Imigresen Pattani Seaport di Pattani.

Hishammuddin berkata, pas sempadan yang dikeluarkan sah digunakan untuk tempoh setahun dengan setiap kali kemasukan tidak melebihi 30 hari.

"Ia hanya dibenarkan untuk tujuan melawat saudara mara, pelancongan, sukan, latihan jangka pendek (tidak melebihi enam bulan), menghadiri seminar, mesyuarat dan persidangan, sidang akhbar atau membuat liputan serta tujuan-tujuan yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata, pas sempadan itu juga hanya dibenarkan untuk kegunaan di negeri-negeri yang dipersetujui, sekiranya hendak melangkau sempadan selain negeri ditetapkan, maka perlu menggunakan Pasport Antarabangsa negara masing-masing. - BERNAMA
Tiada halangan wartawan asing buat liputan PRU-13 - Rais Yatim

JEMPOL KHAMIS, 28 Febbruari, 2013: Tidak ada halangan bagi wartawan dari luar negara untuk membuat liputan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, bagaimanapun jika mereka datang dengan tujuan politik, pihak berkuasa tidak dapat melayan permohonan mereka keseluruhannya.

"Kita tidak ada halangan, malah wakil Reuters, CNN, CNBC, New York Times dan Herald Tribune, semua ini memang ada wakil mereka di sini dan saya tidak nampak kenapa lawatan mereka jika dirancang perlu ditolak. Kementerian akan bekerjasama dengan mereka.

"Setakat ini tidak ada wartawan yang diusir atau disuruh keluar dari negara ini kecuali seorang senator dari Australia baru-baru ini, tetapi itu bab lain, tidak berhubung dengan wartawan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Dewan Undangan Negeri Lui peringkat Parlimen Jelebu di padang Felda Lui Muda dekat sini hari ini.

Rais yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, wartawan tidak perlu mempunyai satu visa khas wartawan atau penulisan, tetapi jika mereka melanggar undang-undang negara ini, mereka akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata, setakat ini tidak ada permohonan daripada wartawan luar negara untuk membuat liputan PRU-13. - BERNAMA
Staf Kuin dedah isu Pentas Bersih Kuin 1.0

 *PENSYARAH Mohd. Farid Alias (kanan) berucap di Forum Pentas Bersih Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Ops Gempur Jazan 1.0 di Alor Setar semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

ALOR SETAR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Staf Kolej Universiti Insaniah (Kuin) hari ini membuat pendedahan berhubung isu membabitkan institusi itu pada perhimpunan

'Pentas Bersih Kuin 1.0' yang dihadiri lebih 200 orang awam, staf dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tampil mendedahkan isu yang didakwa telah menjejaskan kebajikan warga kerja KUIN itu ialah Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Usuluddin, Mohd. Baihaqi Hassan; Ketua Program Kuliah Muamalat, Ahmad Faizal Asmy Mohd. Yunus dan Pensyarah Kuliah Hospitaliti dan Perkhidmatan Halal, Mohd. Farid Alias .

Pada perhimpunan lebih sejam yang diadakan di kawasan Jalan Suka Menanti di sini, mereka turut mendesak Rektor Kuin, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman supaya meletak jawatan.

Antara isu didedahkan pada 'Pentas Bersih KUIN 1.0' itu ialah dakwaan salah laku Rektor seperti membuat dokumen palsu, lantikan kroni dalam pengurusan tertinggi Kuin, kegagalan pembayaran gaji mengikut waktu dan kelewatan bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mohd. Baihaqi dalam ucapannya berkata, pelajar KUIN turut teraniaya apabila diarah berpindah segera ke kampus induk di Kuala Ketil sedangkan kolej kediaman tidak disediakan oleh pihak pengurusan kolej universiti itu.

"Sebelum ini dijanjikan ada penginapan untuk tampung 7,000 pelajar di Kuala Ketil, tapi pembinaan dibatalkan sebab nak potong kos, masjid pun tidak dibina.

"Rumah sewa di Kuala Ketil yang dulunya hanya RM250 sebulan naik hingga RM1,500 dan pelajar terpaksa menyewa kerana tiada tempat tinggal selain harga roti canai (dan makanan lain) pun dah naik mendadak," kata Mohd. Baihaqi.

Ahmad Faizal Asmy pula berkata, warga kerja Kuin terpaksa mengadakan perhimpunan seperti ini kerana pintu rundingan dengan kepimpinan tertinggi iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Kuin yang juga Menteri Besar, Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sudah tertutup.

"Sebab itulah kami terpaksa memilih jalan ini (bertemu media dan mengadakan perhimpunan) bagi menegakkan kebenaran," katanya.

Mohd. Farid pula berkata, walaupun menerima tekanan daripada pihak pengurusan tertinggi KUIN kerana berjuang habis-habisan untuk menuntuk hak mereka, beliau tetap menjalankan tugas dengan baik kerana menyedari tanggungjawabnya sebagai pendidik.

"Kuliah Hospitaliti diletakkan di bawah Insaniah Holdings (anak syarikat Kuin) secara terpaksa namun kami tetap buat kerja... sepatutnya anak syarikat buat untung untuk KUIN tapi yang berlaku sebaliknya sebab Insaniah Holdings tak buat untung langsung," katanya.

Penolong Pendaftar Kanan Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim pula memberitahu, sembilan warga kerja yang mendedahkan isu-isu Kuin sebelum ini telah diminta menyediakan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari atau akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak pengurusan.

"Kami menerima surat itu sejak semalam dan hari ini dan jika gagal sediakan surat tunjuk sebab dalam tempoh 14 hari kami akan menghadapi tindakan buang kerja atau digantung perkhidmatan.

"Perkara ini berlaku selepas kami mula membuat pendedahan kepada media secara lebih agresif baru-baru ini," katanya.

Muhammad Azki Hafizi berkata, pihaknya akan menganjurkan 'Pentas Bersih Kuin 2.0" dalam masa terdekat bagi mendesak Jamil dan Azizan berundur daripada KUIN. - BERNAMA
Guru dinasihat tak salah guna keistimewaan dalam PRU-13

REMBAU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Guru yang mahu terlibat dalam politik atau berkempen dalam pilihan raya umum akan datang dinasihatkan tidak menyalahgunakan keistimewaan itu dengan melakukannya di kawasan sekolah atau sewaktu menjalankan tugas sebagai pendidik.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata mereka juga diminta mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dengan membuat permohonan daripada pihak kementerian.

"Kerajaan sudah benarkan, tapi mereka kena mohon kebenaran daripada kementerian seperti yang diumumkan Perdana Menteri. Jadi kalau mahu berpolitik mohon kebenaran dan isi borang. Mereka tidak perlu takut kerana dasar kita amat terbuka.

"Tapi kita tidak benar politik di kawasan sekolah dan mereka tidak boleh menggunakan sekolah mendidik pelajar membenci kerajaan. Kita mahu mendidik anak-anak kita dengan pendidikan yang murni maka tidak perlulah kita tanamkan dengan unsur-unsur kebencian di sekolah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Jabatan Pelajaran Daerah Rembau, di sini hari ini.

Katanya, bagaimanapun sebarang permohonan bergantung kepada kelulusan kementerian dan mereka boleh dikenakan tindakan seperti amaran, gantung tugas dan gaji, jika melibatkan diri dalam politik setelah permohonan mereka ditolak. -
- BERNAMA
Peguam Negara batal pelantikan Kalam Hisham sebagai Notari Awal JB

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah membatalkan pelantikan Kamal Hisham Ja'afar sebagai notari awam bagi Johor Bahru, Johor.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, pembatalan yang dibuat semalam itu perlu kerana Kamal Hisham tidak berkhidmat untuk penduduk Johor Bahru, yang menjadi asas kepada pelantikan beliau pada 13 Feb, 2013.

"Ia juga demi kepentingan awam berikutan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Kamal Hisham atas pertuduhan jenayah dan dengan itu pelantikannya dibatalkan bagi mendukung kesucian institusi notari awam," katanya.

Menurut kenyataan itu, pelantikan itu dibuat oleh Abdul Gani selepas merundingi Majlis Peguam sebagaimana ditetapkan dalam subseksyen 3(3) Akta Notari Awam 1959 (Akta 115).

Katanya, dalam permohonannya, Kamal Hisham menyatakan beliau bercadang menjalankan praktik notari awam di Johor dan selepas menimbangkan bahawa beberapa notari awam sudahpun menjalankan praktik di negeri itu, Abdul Gani membataskan tempat praktiknya di Johor Baharu untuk kemudahan penduduk Johor Bahru.

"Langsung tidak diketahui bahawa semasa memproses permohonan pelantikan itu, Kamal Hisham telah tidak tinggal Johor Baharu untuk tempoh yang agak lama.

"Pemeriksaan dengan jabatan polis mendedahkan Kamal Hisham telah meninggalkan negara dan mengelakkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya," kata Abdul Gani.

Beliau berkata Majlis Peguam telah dirujuk serta merta mengenai perkembangan itu dan pada 25 Februari telah menarik balik sokongan yang dibuat pada 8 Jan berhubung permohonan Kamal Hisham. - BERNAMA
TPM sertai penduduk cat blok kediaman di Setiawangsa

 *MUHYIDDIN Yasin mengecat dinding pangsapuri pada majlis pelancaran program Tabung Penyelenggaran 1Malaysia peringkat Parlimen Setiawangsa di Apartment Mahsuri, Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Cuaca panas terik hari ini tidak menghalang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada menyertai penduduk Apartmen Mahsuri di Setiawangsa di sini mengecat semula bahagian luar blok kediaman berusia lebih 20 tahun itu.

Turut menyertai beliau pada program mengecat di bawah Tabung Penyelengaraan 1Malaysia (TP1M) itu ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Ia menyaksikan Muhyiddin menggunakan alat pengecat untuk menyaluti bangunan yang kelihatan kusam itu dengan cat berwana kelabu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Zulhasnan berkata, kos untuk mengecat semula Apartmen Mahsuri yang mempunyai lima blok kediaman itu ialah RM888,000.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Mahsuri, Mat Nasri Baba melahirkan penghargaan kepada TP1M kerana melalui inisiatifnya bangunan yang diduduki sejak 1987 itu bakal berwajah baharu.

"BN (Barisan Nasional) ni memang cukup baik, banyak bantu rakyat," katanya.

Zulhasnan menjelaskan, RM6.32 juta diperuntukkan TP1M dan projek Nadi Kasih kelolaan Parlimen Setiawangsa untuk membiayai kerja mengecat semula dan membaiki lif di 12 pangsapuri di sekitar kawasan Parlimen itu.

Beliau berkata, ia terdiri daripada Sri Kayangan, Seksyen 10; Sri Mercu, Seksyen 10; Kelompok Bunga Raya, AU3; Kelompok Pinang, Keramat Wangsa; Kelompok Mawar, AU3; dan Kelompok Embun Emas, AU3.

Lima lagi ialah Menara Merak Kayangan, AU3; Menara Jentayu, AU3; Apartmen Mahsuri, Taman Setiawangsa; Menara Sri Cendana, Keramat Wangsa; dan Apartmen Intan, Taman Setiwangsa.

Projek membaiki lif dan bumbung akan dilaksanakan di Menara Rajawali, AU3. - BERNAMA
Pergerakan tiang punca jambatan Science Park 2 runtuh - Shaziman

 *KEADAAN jambatan yang runtuh di persimpangan bertingkat Science Park 2,
 Kilometer 2.4 Lebuh Raya Putrajaya tengah hari ini. - UTUSAN/SAFIYANA SALIM

Oleh ROSALINDA MD.SAID
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Insiden jambatan runtuh di Persimpangan Bertingkat Science Park 2 yang dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) petang ini adalah berpunca daripada pergerakan pada salah satu tiangnya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kepada beliau semasa sesi lawatan yang diadakan pada 7 Disember tahun lalu.

"Semasa lawatan tersebut, saya telah diberi taklimat mengenai keadaan jambatan itu dan saya telah membuat keputusan untuk menutup jambatan itu dan laluan di bawahnya kepada lalu-lintas sepenuhnya atas faktor keselamatan.

"Bagi saya, keselamatan pengguna tidak boleh dikompromi dan wajib diberi keutamaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jambatan yang menjadi laluan utama ke Putrajaya dan Cyberjaya itu mula dibuka kepada lalu-lintas pada Mac 2012.

Mengulas lanjut, Shaziman berkata, jambatan dan laluan itu telah ditutup kepada lalu-lintas berkuat kuasa 7 Disember lalu bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab.

"Saya juga telah menandatangani satu warta (gazet) di mana jalan ini ditutup sehingga 31 Disember 2013 tertakluk kepada tarikh siap sebenarnya kerja-kerja membaiki jambatan ini," katanya.

Sehubungan itu, menurut Shaziman, satu lencongan jalan telah diwujudkan di KM P2.4 melibatkan Persimpangan Bertingkat Science Park 2 (di antara Plaza Tol Putrajaya dan Putrajaya/Cyberjaya) di laluan Lingkaran Putrajaya. - UTUSAN
Zaidi Buluh Perindu meninggal dunia ketika persembahan sambut Noh Omar

*PENYANYI dikir barat tersohor Kelantan, Zaidi Mohamad yang terkenal sebagai Zaidi Buluh Perindu pitam dan rebah semasa persembahan pada majlis perasmian Restoran Sri Nelayan Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. Turut kelihatan Noh Omar (memegang bahu Zaidi, bersongkok) yang hadir merasmikan majlis itu. Zaidi disahkan meninggal dunia di Hospital Tumpat pagi ini. - UTUSAN/ROSNI MASRI

TUMPAT, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Penyanyi lagu-lagu dikir barat terkenal Kelantan, Zaidi Mohamad, 46, yang lebih dikenali sebagai "Zaidi Buluh Perindu", meninggal dunia di Hospital Tumpat akibat serangan jantung di sini hari ini.

Zaidi jatuh dan pengsan ketika membuat persembahan dikir barat untuk menyambut ketibaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting, di sini, pada 10.35 pagi dan disahkan meninggal dunia di hospital itu pada 11 pagi.

Allahyarham yang menetap di Kampung Bunut Sarang Burung di sini, meninggalkan seorang isteri, Zaharina Mohamad, 47, dan tujuh anak berusia antara 11 hingga 28 tahun.

Allahyarham turut merakamkan lebih 100 album sejak berkecimpung dalam dunia dikir barat sejak 20 tahun lepas, dan mula terkenal selepas lagu dikir barat bertajuk 'Juwita' mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk negeri ini.

Zaharina ketika ditemui di rumahnya berkata, beliau reda dengan pemergian suaminya namun terkilan kerana hajat Zaidi untuk menunaikan umrah pada April ini tidak tercapai.

"Pagi ini arwah sempat bersarapan sebelum turun membuat persembahan dikir barat di Kompleks LKIM itu. Saya tidak syak apa-apa sehinggalah menerima panggilan mengatakan arwah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Noh turut meluangkan masa melawat keluarga Zaidi selepas selesai merasmikan Restoran Sri Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat serta menyampaikan elaun sara hidup tunai Parlimen Tumpat dan Pengkalan Chepa di LKIM Geting di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar; Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Wan Hanapi Wan Yaakob dan Pengarah LKIM Kelantan, Wan Mohd Adnan Wan Ibrahim.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunut Sarang Burung selepas solat Asar. - BERNAMA
70 penduduk terima notis kosongkan rumah, kedai dalam 3 hari

Oleh FATIN AINAA FAUDZI
TANJONG KARANG, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Seramai 70 masyarakat India yang tinggal di rizab jalan di Batu 6, Jalan Raja Musa di sini berasa mereka dizalimi apabila diarahkan keluar dari rumah dan kedai masing-masing dalam tempoh tiga hari oleh kerajaan PKR Selangor.

Notis pengosongan tersebut dikeluarkan pada 22 Februari lalu kerana kerajaan negeri mahu meroboh rumah dan kedai yang dibina di situ sejak 40 tahun lalu untuk memberi laluan kepada projek pelebaran dan naik taraf jalan di kawasan tersebut.

Salah seorang penduduk, K. Anjali Dewi, 57, berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri memberikan notis singkat adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

"Mereka sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal, bukannya menyuruh kami mengosongkan kediaman dalam tempoh tiga hari sahaja.

"Ke mana kami mahu pergi selepas rumah dirobohkan nanti? Inikah sikap kerajaan yang kami pilih pada Pilihan Raya Umum Ke-12, sedangkan kami mengharapkan kerajaan yang bertimbang rasa dan membantu menyelesaikan masalah di penempatan ini," kata ibu tunggal itu ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Sulaiman Abd. Razak berkata, kerajaan negeri sepatutnya memberi tempoh yang munasabah kepada penduduk di situ untuk berpindah.

Tambahnya, notis tersebut juga tidak diberikan secara menyeluruh kepada semua penduduk terlibat, sebaliknya hanya dimaklumkan kepada mereka yang datang ke Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor untuk mendapatkan makluman berhubung projek tersebut

"Bagaimana pula notis tidak diberikan secara menyeluruh? Inikah yang dinamakan kerajaan telus yang mengutamakan kebajikan rakyat? Pendekatan yang diambil kerajaan negeri ini agak kejam," katanya.

Sehubungan itu, Sulaiman berkata, pihaknya akan menulis surat berserta senarai nama penduduk yang terlibat kepada kerajaan negeri, selain berusaha untuk membantu penduduk sebaik mungkin bagi menyelesaikan perkara itu. - UTUSAN
Thailand, puak pembebasan tandatangan perjanjian hasil inisiatif  Malay

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Dalam usaha mengukuhkan keamanan dan kestabilan di rantau ini, Malaysia berjaya mengusahakan perjanjian persetujuan bersama yang hari ini ditandatangani antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pejuang pembebasan Islam di selatan Thailand.

Perjanjian bertujuan membuka ruang kepada dialog untuk proses damai di sempadan wilayah-wilayah selatan Thailand, ditandatangani kedua-dua pihak di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, di sini.

Ia adalah usaha kedua Malaysia membantu mewujudkan kestabilan di rantau Asia Tenggara selepas kejayaan mengusahakan perjanjian damai bersejarah bagi Mindanao di selatan Filipina.

Pada majlis perjanjian Khamis, kerajaan Thailand diwakili Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC), Lt. Jen. Pharadorn Phatthanatabutr dan kumpulan pemberontak diwakili Ketua Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib.

Majlis perjanjian itu disaksikan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Wakil lain Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan Thailand, Jen. Nipat Thonglek; Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah, Kol. Tawee Sodsong dan Pesuruhjaya Cawangan Khas Thailand, Lt. Jen. Saridchai Anakevieng.

BRN pula diwakili Setiausaha Pejabat Perhubungan Luar, Awang Jabat; Ketua Hal Ehwal Ulama, Abdullah Sawa dan Ketua Bahagian Keselamatan Dalaman, Abdul Rahman Jabat.

Malaysia diwakili Panglima Angkatan Tentera, Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sidang akhbar dijadual diadakan di Putrajaya semasa lawatan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra ke Malaysia hari ini untuk rundingan tahunan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap kepada pemberita, Mohamed Thajudeen berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam perjanjian itu dan butiran lanjut akan diumumkan di Putrajaya.

Najib dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Thailand, telah menyatakan kesanggupan untuk membantu menamatkan pemberontakan yang telah lama berlarutan di wilayah selatan Thailand.

Beliau dilaporkan berkata, Malaysia bersedia bertindak selaku orang tengah dalam proses itu.

Dilaporkan lebih 5,000 orang terbunuh di tiga wilayah di selatan Thailand sejak pemberontakan meletus pada 2004. - BERNAMA
Siasatan tergendala, DAP gagal hantar dokumen lengkap kes pemilihan CEC 

 
ABDUL RAHMAN 
Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Siasatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) kini terganggu dan tergendala berikutan kegagalan DAP mengemukakan dokumen lengkap bagi membolehkan siasatan berhubung kes penyelewengan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC), 15 Disember lalu.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, DAP pada 8 Februari lalu cuma menyerahkan Penyata Tahunan dan keputusan pemilihan CEC itu kepada ROS, tetapi tidak menghantar maklumat proses pemilihan, bagaimana kesilapan berlaku dan tempat pemilihan.

"Sebelum ini, kita telah memaklumkan kepada DAP mengenai senarai dokumen yang diperlukan mengikut syarat di bawah Akta Pertubuhan. Selagi tidak lengkap bermakna siasatan juga tidak dapat dijalankan sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan mendakwa, beliau difahamkan DAP tidak menyerahkan dokumen-dokumen yang lengkap seperti yang dituntut oleh pertubuhan sebaliknya hanya mengemukakan beberapa helaian dokumen dan tindakan itu dilihat sekadar 'melepaskan batuk di tangga'. - UTUSAN
Keluarga daif: ADUN DAP berang dengan wartawan

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
PULAU PINANG, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Wakil rakyat DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang, Koid Teng Guan berang apabila wartawan mengajukan soalan mengenai kerajaan negeri tidak mengambil perhatian terhadap kedaifan keluarga Katihja Bee Latiff yang disiarkan media baru-baru ini.

Dia yang mengelak daripada mengulas sebaliknya mula meninggikan nada suara dengan alasan mereka ada bantu keluarga berkenaan.

"Saya tidak mahu komen, kita bantu dia, tapi setiap kali jumpa dia tidak pernah beritahu saya dia ada masalah, kalau saya tahu mesti saya sudah menolong dia," katanya ketika melawat keluarga berkenaan di sini hari ini.

Ketika dinyatakan bahawa Katihja sendiri yang mengaku bahawa ada pihak dari pejabat ADUN mengatakan "Yang Berhomat lupa mengenai bantuan diminta pada bulan November lepas", Koid enggan melayan pertanyaan wartawan. - UTUSAN
Mulai esok, harga barangan asas seragam di Semenanjung, Sarawak, Sabah

KUCHING, KHAMIS 28 Februari, 2013; Bermula esok, harga barangan keperluan asas di Sarawak, Sabah dan Labuan diseragamkan dengan Semenanjung di bawah program 1Malaysia 1Harga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara barangan keperluan asas yang akan diseragamkan harganya ialah gula, minyak masak dan tepung gandum kegunaan am.

"Selain itu penyeragaman ini akan turut melibatkan 304 produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM), 89 produk COOP 1Malaysia, dan 69 produk keluaran Fama.

"Penyeragaman ini berjaya kita lakukan apabila kerajaan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung ke Sarawak, Sarawak, dan Labuan termasuk penghantaran barangan keperluan ke kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi peruntukan sebanyak RM386 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program 1Malaysia 1Harga dan perasmian KR1M di Medan Hamidah di sini, hari ini.

Mengulas perkara itu, Ismail Sabri berkata, program 1Malaysia 1Harga merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat khususnya di Sarawak, Sabah dan Labuan bagi mendapatkan barangan keperluan asas.

"Melalui penyeragaman ini juga, peniaga tiada alasan lagi untuk menaikkan harga barangan keperluan kerana kos penghantaran yang menjadi antara sebab kenaikan harga barang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

"Untuk memastikan penyeragaman ini berjaya, kita akan buat pemantauan, dan dalam masa sama kita minta orang ramai (pengguna) turut membuat laporan berkaitan harga barangan yang telah diseragamkan itu. Pengguna perlu mainkan peranan dengan beritahu kita, pengguna perlu lindungi diri dan jangan terima saja apa yang berlaku," katanya.

Menjawab soalan berhubung tindakan yang bakal diambil ke atas peniaga yang gagal menurunkan harga barang keperluan itu, Ismail Sabri berkata tiada akta khusus yang membolehkan tindakan diambil sebaliknya tindakan menyenarai hitam peniaga dan menghentikan pengedaran barang kepada peniaga boleh dilakukan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meneruskan cadangan membina 57 KR1M di Sarawak, Sabah dan Labuan.

"Tahun ini, kerajaan bercadang membina 57 buah KR1M lagi di Sarawak, Sabah dan Labuan. Ketika ini di Sarawak ada empat buah KR1M, tiga buah di Sabah, baki 54 KR1M lagi sedang dalam proses perancangan dan pembangunan," katanya. - BERNAMA
Banjir: 80 orang masih di pusat pemindahan di Setiu

 *ROMLAH Mohd. Ali sedang membersihkan kawasan dapurnya akibat banjir di
 Kampung Penarik, Setiu hari ini . - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Ketika mangsa banjir meningkat di Kelantan, jumlah mangsa di Terengganu pula mencatatkan penurunan ketara apabila hanya 80 orang daripada 18 keluarga di daerah Setiu masih ditempatkan di dua pusat pemindahan di daerah itu.

Sehingga pukul 5 petang ini, lebih 3,000 mangsa yang kebanyakannya dari daerah Besut selain Hulu Terengganu dan Dungun telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Kesemua pusat penempatan mangsa banjir di daerah Besut, Hulu Terengganu dan Dungun telah ditutup berikutan keadaan banjir beransur pulih.

Berbanding petang semalam, seramai 3,156 mangsa daripada 805 keluarga dipindahkanke 42 pusat pemindahan berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. Daripada jumlah itu, daerah Besut mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,177 disusuli Setiu (618), Hulu Terengganu (339) dan Dungun (22). - UTUSAN
Petani terjejas banjir akan dibantu - Noh Omar

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
TUMPAT 2, KHAMIS,8 Februari, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengenal pasti petani di negeri ini yang hasil tanaman mereka terjejas akibat banjir gelombang ketiga, yang sedang melanda, untuk diberikan bantuan.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, pada masa sekarang pihaknya akan melaksanakan bancian terlebih dahulu terhadap kerosakan tanaman petani terlibat.

Beliau berkata, pada banjir gelombang pertama dan kedua yang berlaku tahun lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta di bawah Wang Ihsan untuk disalurkan kepada petani yang terjejas sumber pendapatannya akibat bencana alam tersebut.

"Kemungkinan ada padi yang baru tenggelam dan kita akan tengok ada kerosakan berlaku atau tidak terhadap padi ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Sri Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat dan majlis penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini. - UTUSAN
Malaysia jadi perantara dialog proses damai selatan Thai

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan dialog proses ke arah damai antara kerajaan Thailand dengan puak pemisah di selatan negara itu akan diadakan dalam masa dua minggu lagi.

Katanya, Malaysia akan menjadi perantara untuk proses perundingan tersebut dengan seorang fasilitator bakal dilantik oleh Malaysia dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri berkata demikian di dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di bangunan Perdana Putra di sini. - UTUSAN
Kalimah Allah: Nik Aziz dolak dalik, kini kata iblis dan syaitan pun guna

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya bahawa kalimah Allah boleh digunakan semua orang termasuk bukan Islam kecuali bagi terjemahan God dan Lord dan pada masa sama menegaskan, kalimah itu diguna 'iblis dan syaitan' sendiri ketika menjadi penghuni syurga.

"Kalimah Allah ini kita dah putuskan sebulan lepas, saya tak payah ulanglah benda ini, benda yang tak patut dijadikan isu dijadikan isu, nama Allah ni telah diguna oleh syaitan dan iblis dalam syurga lagi, iblis jumpa Nabi Adam dalam syurga dia telah guna nama Allah, ayah Nabi Muhammad nama Abdullah, dia belum Islam, jadi apa susah kita? Cuma masalah terjemah God dan Lord kepada Allah ini, ini tidak betul.

"Saya sebut sekali lagi, tuan-tuan boleh tengok balik keputusan yang kami buat di Majlis Syura, tapi nak sebut umumnya memang boleh orang bukan Islam guna kalimah Allah, saya ulangi balik, iblis masuk dalam syurga jumpa Nabi Adam dia sebut nama Allah masa nasihat Nabi Adam supaya makan buah (khuldi), jadi kalimah Allah diguna oleh semua orang, baki lagi terjemah Lord dan God kepada Allah memang tidak betul, God lain, Allah lain," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di Ketereh bahawa keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang pada 8 Januari lalu mengenai penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah disediakan dan ditandatangani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri. - UTUSAN
Ibaratkan haiwan: Hati Nik Aziz sudah tertutup rapat - Noh Omar

TUMPAT, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Tindakan Musyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada Kerajaan Pusat umpama 'haiwan' membuktikan hati beliau kini tertutup rapat untuk menilai kebaikan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membela rakyat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, hati pemimpin Pas itu tertutup kerana terus memandang negatif segala bentuk bantuan yang diberikan kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat selama ini.

"Saya nampak Pas ini mula rasa bimbang dan goyang bahawa mereka kini sudah tidak mendapat sokongan sebab itu mereka mengaitkan penerima bantuan umpama haiwan. Kita tengok sekarang ceramah Pas juga tidak mendapat sambutan kerana rakyat dan muak dengan permainan politik mereka ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan Restoran Sri Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat dan majlis penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini. - UTUSAN
Berhenti kutuk bangsa sendiri - Rais

KUALA KLAWANG, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dalam proses mencapai kemajuan, orang Melayu hendaklah menghentikan perbuatan mengutuk bangsa sendiri dan agama Islam.

Beliau berkata, tentunya sifat dan perangai yang ditunjukkan oleh presiden parti tertentu dan mursyidul amnya (jelas merujuk kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) memperkecilkan hak mutlak orang Melayu.

(Mereka berdua telah memperlekeh penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia) "Jangan sebab dia Tok Guru, kita takut, membisu seribu bahasa. Apa yang disebut (Tok Guru) semuanya menjadi suatu yang harus diikuti sesebuah pihak," katanya pada majlis perasmian program Komuniti 1Malaysia daerah Jelebu dan perasmian surau di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Jelebu di sini hari ini.

Katanya, orang Melayu perlu bangkit menyatakan yang salah tetap salah.

Sehubungan itu, Rais yang juga ahli Parlimen Jelebu meminta para pegawai kerajaan agar memberi penerangan dan penjelasan dasar kerajaan yang banyak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Kita mesti bercakap benar, yang menjadi budi harus dikatakan budi," katanya.

Rais juga meminta masyarakat agar menggunakan Internet sebaiknya untuk menambah ilmu pengetahuan.

"Dengan Internet kita boleh pelajari bagaimana kita boleh mencedok ilmu dan memperbaiki akhlak kita serta mencipta sesuatu untuk faedah kita. Mari kita cari jalan supaya masyarakat kita terbina dengan baik.

"Keluarkan yang lebih baik dalam tamadun kita daripada pengeluaran yang memecah-belahkan bangsa. Mari kita menegakkan kesatuan menerusi akidah dan agama. Mari kita mencari pendekatan, asalkan boleh membaiki kedudukan kita bersama," katanya.

Pada majlis itu, Rais turut menyampaikan Bantuan RM250 Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 188 orang bujang untuk kawasan Parlimen Jelebu. - BERNAMA
Muhyiddin lawat Kelantan esok

KOTA BHARU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman akan mengadakan lawatan kerja sehari ke Kelantan esok.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha berkata, Muhyiddin dan isteri akan menghadiri majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, pada pukul 10 pagi.

Muhyiddin kemudiannya akan menunaikan solat Jumaat bersama penduduk di Masjid Aril, Melor di sini dan diikuti menghadiri jamuan rakyat di Masjid Kampung Tegayung juga di Melor pada pukul 2.20 petang, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Makhtar berkata, timbalan perdana menteri dan isteri kemudiannya akan menghadiri Himpunan Anak Muda Kelantan di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di Tanjung Chat di sini pada pukul 3.50 petang.

Beliau berkata, dijangka kira-kira 20,000 orang terdiri daripada anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini akan menghadiri perhimpunan tersebut.

Katanya Muhyiddin dan isteri dijangka berlepas pulang ke ibu negara pada 5.30 petang. - BERNAMA
'Pas masuk perangkap Anwar' - Ahmad Maslan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Pas telah terperangkap ke dalam agenda peribadi Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul

Hadi Awang bertindak menyediakan dan menandatangani syarat serta persetujuan bersama yang digunakan pakatan pembangkang dalam membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, perangkap yang dipasang itu akhirnya dimanipulasi oleh Anwar untuk meredakan kemarahan orang Islam terutama ahli Pas dengan mendedahkan bahawa persetujuan berkenaan telah dibuat dan ditandatangani oleh Abdul Hadi.

Katanya, pendedahan Anwar itu adalah untuk memastikan Pas turut bertanggungjawab menghadapi kemarahan rakyat, bukannya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semata-mata.

"Saya kira Anwar sudah melihat isu ini tidak popular dalam kalangan Melayu dan Islam khasnya, jadi dia pun ingin menjadikan tidak popular dirinya dan Lim

Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) turut dirasai oleh Pas.

"Dia tidak mahu Pas lepas tangan terhadap perkara ini, kerana tentunya beliau
kesal apabila Pas pusing 360 darjah sedangkan persetujuan sudah dicapai danmembuktikan persepakatan dalam pakatan pembangkang adalah rapuh.

"Daripada apa yang dilaporkan memang benar dia mahu bantahan itu sama-sama ditanggung oleh Pas. Dia tidak mahu diri sendiri turun, DAP turun tetapi Pas juga perlu turun memberi penjelasan bahawa mereka yang menyokong isu ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Barisan 1Malaysia
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan di sini hari ini. - UTUSAN
Perkasa gesa MPPP kaji semula arahan OKU daif keluar PPRT

GEORGE TOWN, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang hari ini menggesa kerajaan negeri mengkaji semula notis arahan pengosongan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terhadap seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang hidup dalam kedaifan.

Ketua Wira Perkasa Negeri, Mohd. Rizuad Mohd. Azudin berkata, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah mengarahkan seorang ibu tunggal yang juga OKU, Katihja Bee Latiff, 46, keluar dari PPRT Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini sekiranya gagal melangsaikan tunggakan bayaran lesen sebanyak RM1,836.

"Makcik ni nak makan pun tak ada duit, mereka pula nak halau makcik ni keluar dari rumah. Macam ini ke sikap sebagai seorang pemimpin yang sering melaung-laungkan kerajaan negeri yang telus, cekap dan adil.

"Saya minta MPPP lebih berhati perut dalam menyelesaikan masalah ini. Kalau mereka halau, mana makcik ni nak duduk dengan tiga orang anak dan dua cucu serta semuanya tak bekerja, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan berupa wang tunai, kerusi roda dan barangan keperluan harian kepada Katihja Bee di rumahnya di sini hari ini.

Mohd. Rizuad berkata, pihaknya juga akan berunding dengan Tenaga Nasional Berhad untuk membolehkan bekalan elektrik dapat disalurkan semula ke rumah Katihja Bee.

Katihja Bee ketika ditemui berkata, kehidupannya bersama tiga orang anak berusia antara 20 dan 25 tahun dan dua cucu berubah selepas kematian suaminya pada tahun 2010 akibat penyakit jantung.

Katanya, selepas kematian suami, mereka sekeluarga hilang sumber pendapatan kerana beliau tidak mampu bekerja selepas menghidap kencing manis yang menyebabkan kakinya terpaksa dipotong.

"Kami tidak mampu bayar sewa rumah sebanyak RM102 sebulan dan bil elektrik...kerana masih mempunyai tunggakan bil elektrik rumah ini juga tiada bekalan elektrik sejak dua tahun lepas.

"Ketiga-tiga anak makcik juga tidak bekerja kerana mereka juga ada kencing manis dan masalah kulit. Anak perempuan makcik yang sulung kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan daripada Pusat Urus Zakat sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Katihja Bee boleh menyalurkan sumbangan anda menerusi akaun Bank Islam 07-016-02-034576-2 atau menghubunginya di talian 016- 451 3188. - BERNAMA
Tiada duti import kereta dari Jepun, Australia pada 2016

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
PUTRAJAYA, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Semua jenis model kereta yang diimport dari Jepun dan Australia tidak akan dikenakan sebarang duti import menjelang 2016.

Berikutan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan kini sedang menurunkan duti tersebut secara berperingkat bagi mengelakkan kesan buruk terhadap industri automotif negara.

"Sebenarnya, harga beberapa model kereta baru sudah diturunkan antara tiga hingga lima peratus sejak suku akhir tahun lalu, di mana kebanyakan harga model pengeluar peralatan tulen (OEM) sudah dikurangkan antara RM2,200 hingga RM17,000," katanya pada sidang akhbar mengumumkan Pelan Penurunan Harga Kereta di sini hari ini.

Mustapa berkata, penurunan harga itu hasil daripada langkah kerajaan untuk menjadikan industri automotif lebih efektif dan kompetitif.

Katanya, satu daripada faktor yang menyumbang ialah pelaksanaan perjanjian Zon Perdagangan Bebas ASEAN. - UTUSAN
Terima kasih kerajaan BN tak pinggir kami - Nelayan Melaka Tengah

 *SEBAHAGIAN nelayan kawasan Melaka Tengah menunggu giliran untuk menerima cek pada majlis penyampaian cek bayaran saguhati daripada Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh, hari ini. - UTUSAN/MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
MELAKA, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Seramai 239 nelayan dari Melaka Tengah hari ini mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri yang menyalurkan bayaran saguhati berjumlah RM670,400 meringankan beban mereka.

Bayaran itu bagi membantu nelayan sepenuh dan separuh masa yang terjejas sumber rezeki ekoran projek penambakan laut di Kampung Portugis, Parit Cina dan Banda Hilir dekat sini untuk membolehkan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut.

Seorang nelayan, Dennis Rudolf De Costa, 34, dari Kampung Portugis berkata, dia menganggap bayaran saguhati itu adalah sebagai menghargai nelayan yang sanggup berkorban sumber rezeki mereka bagi membolehkan pembangunan dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya kos sara hidup yang semakin meningkat dapat ditanggung dengan wang saguhati ini dan inilah bukti bahawa kerajaan sangat prihatin kepada nasib rakyat," katanya.

Dennis adalah salah seorang daripada 239 nelayan yang menerima bayaran saguhati itu daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara di sini hari ini.

Perasaan dan rasa terima kasih sama kepada kerajaan BN turut dikongsi oleh nelayan lain. Ini termasuk Androse Lazaroo, 82.

"Tindakan murni ini patut mendapat pujian kerana memberi situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak. kebajikan kami tetap terbela walaupun periuk nasi kami sedikit terjejas," katanya.

Bagi Tony Monterio, 47, pula berkata: " Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kerana sentiasa memahami hasrat dan kehendak para nelayan dan memberikan khidmat terbaik dalam membela nasib dan kebajikan nelayan." - UTUSAN
Kalimah Allah: Abdul Hadi perlu beri penjelasan

 *DR. MOHD. PUAD Zarkashi menyampaikan Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) kepada 299 penerima di Dewan Jubli Intan di Batu Pahat hari ini. - UTUSAN/ZAINAL AZHAR MOHAMED

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
BATU PAHAT, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tampil mendedahkan isi kandungan kenyataan dan persetujuan pakatan pembangkang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islan yang turut ditandatanginya.

Menurutnya, pendedahan terbaru Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah politik di Ketereh, Kelantan semalam menimbulkan keraguan berhubung pendirian sebenar Pas dalam isu berkenaan.

"Abdul Hadi perlu menjelaskan isi kandungan kenyataan yang ditandatanginya bagi mendedahkan kisah sebenar mengenai pendirian Pas dalam isu kalimah Allah. Saya pasti akar umbi Pas juga ingin mengetahui cerita sebenar yang dijaja oleh rakan sekutu dalam pakatan itu," katanya pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) kepada 299 penerima di Dewan Jubli Intan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramah politik di Kelantan mendedahkan Abdul Hadi memberi persetujuan dan menandatangani kenyataan membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah. - UTUSAN
8 sekolah agama di KL, Putrajaya

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Kerajaan telah mengenal pasti dan akan membuka lapan buah Sekolah Agama di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya melalui fasa pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, langkah itu sebagai memenuhi permintaan tinggi golongan ibu bapa yang mahukan anak mereka memiliki asas agama yang kukuh. - UTUSAN
Rakyat Sabah mahu Najib kekal PM - Salleh Said Keruak

SINGAPURA, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak, arkitek pelbagai program transformasi kerajaan dan konsep 1Malaysia, adalah pilihan rakyat Sabah untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, sambil mengulangi bahawa "tidak akan berlaku tsunami politik yang akan melanda Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13".

Beliau berkata, ini terbukti daripada sokongan kuat di peringkat akar umbi dengan kehadiran sejumlah besar yang hadir bagi menyambut Najib semasa lawatannya ke Sabah baru-baru ini bagi menarik sokongan menjelang pilihan raya umum yang digelar "ibu segala pertempuran".

Salleh berkata, ia adalah konsisten dengan hasil kaji selidik Merdeka Centre baru-baru ini dengan meletakkan pemeringkatan populariti Najib pada tahap yang selesa iaitu lebih daripada 70 peratus.

"Dengan sentuhan ajaib konsep 1Malaysia oleh Najib dalam mentransformasikan negara untuk masa depan yang lebih baik, saya percaya pengundi akan memilih BN untuk terus memerintah Sabah dengan majoriti selesa dalam PRU-13.

"Dengan menyatakan demikian, saya tidak fikir tsunami pilihan raya akan melanda Sabah," katanya dalam syarahannya bertajuk 'Malaysian 2013 General Election: Will Polls Tsunami Hit Sabah' di S. Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura, hari ini.

Teks penuh syarahannya dikeluarkan kepada Bernama Sabah.

Salleh berkata, pilihan raya umum ke-13 adalah pilihan raya yang penting bagi BN kerana ia "dianggap satu ujian kepada populariti Najib memandangkan beliau memerlukan mandat yang kuat untuk terus memerintah Malaysia".

Bekas ketua menteri itu melahirkan keyakinan bahawa walaupun parti-parti komponen BN negeri - PBS (Parti Bersatu Sabah), LDP (Parti Demokratik Liberal, UPKO (Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu), PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) MCA dan Gerakan berkemungkinan berdepan cabaran sengit dengan pembangkang di sesetengah kawasan, BN akan memenangi pilihan raya negeri Sabah, dengan "UMNO dijangka mengekalkan kesemua 32 kerusi yang disandangnya".

Menurut Salleh, seorang saintis politik yang terkenal, keyakinannya berdasarkan beberapa faktor termasuk kegagalan pembangkang di Sabah membentuk pakatan yang kuat dan ketiadaan seorang pemimpin Cina yang kuat dalam pembangkang.

Salleh mendapati bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga kekurangan pemimpin Kadazandusun yang berwibawa dan "tiada pemimpin Bumiputera-Islam berwibawa bagi menguatkan sokongan orang Islam dalam PKR".

Selain Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP), terdapat dua parti pembangkang iaitu SAPP (Parti Maju Sabah) yang berpangkalan di Sabah dan Parti Reformasi Negeri Sabah yang berpangkalan di Sarawak (Star), dan buat masa ini, ia kelihatan Pakatan Rakyat dan SAPP atau Star akan berbalah antara satu sama lain daripada satu lawan satu ke atas parti gabungan yang memerintah pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pada masa ini 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertaruhkan di Sabah, daripada 25 kerusi Parlimen itu 20 daripadanya disandang BN dengan lima lagi oleh pembangkang.

Salleh berkata, daripada 25 kerusi Parlimen itu, 11 daripadanya adalah majoriti Bumiputera-Islam, lapan kerusi Kadazandusun Murut (KDM), masing-masing dua Cina dan empat kerusi bercampur manakala daripada 60 kerusi DUN itu, 31 daripadanya adalah majoriti Bumiputera-Islam, 17 majoriti KDM, lapan majoriti Cina dan empat kerusi bercampur.

Semasa pilihan raya umum 2008, BN Sabah hampir menyapu bersih dengan memenangi 59 daripada 60 DUN dan 24 daripada 25 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, SAPP meninggalkan BN pada 17 Sept, 2008.

Beliau berkata, dengan sumbangan Sabah untuk 24 kerusi Parlimen, sejak itu negeri itu dianggap sebagai "kubu kuat atau simpanan tetap" BN dan ia dijangka menjadi medan pertempuran barisan depan bagi PRU-13, terutama di kawasan pinggir bandar dan bandar. - BERNAMA
BPA selesai 95.6 peratus aduan tahun lepas

LANGKAWI, khamis, 28 FebRUARI, 2013: Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri menerima sebanyak 12,546 aduan sepanjang tahun lepas dengan 11,994 aduan atau 95.6 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Bagi tahun ini iaitu dari 1 Januari hingga 15 Februari, sebanyak 1,609 aduan diterima dengan 952 aduan atau 59 peratus daripadanya telah diselesaikan.

Ketua Pengarah BPA, Datin Mahani Tan Abdullah berkata, pada 2011 pula mereka menerima 13,356 aduan dengan 13,045 atau 97.7 peratus diselesaikan.

Beliau berkata, penurunan ketara aduan yang diterima BPA pada 2012 berbanding 2011 memperlihatkan kesungguhan jabatan dan agensi kerajaan untuk menyelesaikan sendiri aduan yang mereka terima tanpa melibatkan BPA.

"Kebanyakan aduan yang tak dapat diselesaikan adalah disebabkan masalah bajet dan yang memerlukan pindaan undang-undang. Aduan seperti ini tidak boleh diselesaikan segera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kaunter Aduan Bergerak Bersepadu (KABB) di Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Program anjuran BPA dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) melibatkan 32 jabatan dan agensi itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli.

Mahani berkata, mulai sekarang, BPA menyasarkan untuk mencatatkan penyelesaian sepenuhnya melebihi 90 peratus bagi aduan yang mereka terima.

"Kita mahu aduan-aduan dapat diselesaikan sepenuhnya dan bukannya bersyarat seperti memerlukan bajet. Ada sesetengah jabatan dan agensi cakap boleh selesai kalau ada bajet. Kita nak selesai terus, tak ada syarat.

"Kita akan lebih banyak turun padang. Kita ada tiga program. Kita ada kaunter aduan bergerak yang melibatkan BPA sahaja. Kita ada kaunter aduan bergerak bersepadu bersama agensi. Kita juga ada program mesra, kita jemput pemimpin untuk bersama berdialog. Ini dilakukan sepanjang tahun," katanya.

Beliau berkata, orang ramai mempunyai dua cara untuk membuat aduan mengenai perkhidmatan kerajaan iaitu sama ada membuat aduan kepada agensi dan jabatan berkenaan atau terus kepada BPA.

"Bagi aduan yang tidak diambil tindakan oleh jabatan dan agensi, orang ramai boleh mengadu kepada BPA dan kita akan minta jabatan dan agensi tersebut ambil tindakan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahani berkata kerajaan telah melakukan perubahan demi perubahan dalam meningkatkan pengurusan aduan awam.

"Kalau dahulu, aduan diberi maklum balas sehingga 41 hari tetapi kini setiap aduan akan diselesaikan dalam masa 15 hari. Tempoh penyelesaian ini bergantung kepada jenis aduan sama ada aduan tersebut rumit atupun mudah," katanya.

Beliau berkata aduan bukanlah sesuatu yang sedap untuk didengar namun ia tidak seharusnya dipandang remeh ataupun dilihat sebagai satu bebanan. - BERNAMA
RM120,000 rawat sungai Bentayan bermula

MUAR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: J-Biotech Environment Sdn. Bhd. akan melakukan kerja-kerja merawat Sungai Bentayan yang merentangi bandar ini sepanjang 9.5 kilometer bermula esok menggunakan teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO) yang melibatkan kos RM120,000.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chriss Lee Ching Yong berkata, langkah memulihara dan memelihara sungai itu dilakukan kerana keadaan airnya kini yang tercemar teruk.

Beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar di DUN Bentayan berkata, pencemaran itu mengakibatkan keadaan airnya berwarna hitam dan mengeluarkan bau busuk selain mendakan yang sudah mengeras di bahagian dasarnya.

"Melalui kaedah ini, pembersihan dan perawatan secara total dapat dilakukan tetapi hasilnya bukan dalam masa singkat kerana perlu mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk memulihkan kandungan airnya.

"Pencemaran ini berpunca daripada sampah-sarap dan sisa buangan yang datang dari taman perumahan dan kawasan industri berdekatan Jalan Dato Haji Kosai dan Jalan Haji Jaib selain Medan Selera Bentayan di Jalan Bakri," katanya ketika ditemui semasa gimik pelancaran kerja-kerja pembersihan itu di Medan Selera Bentayan, di sini hari ini.

Beliau berkata, masalah berkenaan sudah diadukan sejak setahun lalu dan rentetan itu pihaknya mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk merawat sungai tersebut sebelum diluluskan tahun lalu oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sebelum ini katanya, usaha membersihkan sungai tersebut sudah dilakukan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) tetapi kotoran yang mendap di bahagian dasarnya masih tidak dapat dibersihkan dan keadaan itu membuatkannya terus tercemar.

Kata Ching Yong lagi, usaha memulihkan sungai berkenaan dijangka mengambil masa selama setahun dan pihak J-Biotech akan sentiasa memantau perkembangan kualiti airnya dari semasa ke semasa bagi memastikan usaha itu berjaya di samping kempen kesedaran kepada orang ramai dalam usaha meningkatkan imej Bandar Diraja ini. - UTUSAN
Ketuanan Melayu mesti 'dihumban' keluar - Nizar

LUMUT, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan konsep ketuanan Melayu yang diamalkan di negara ini sejak 55 tahun lalu mesti dihapuskan serta 'dihumban' keluar daripada arus politik negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu mendakwa, konsep ketuanan Melayu hanya menanam sifat kebencian terhadap kaum sekali gus membawa kepada ketidakadilan dan kezaliman.

Sambil menggunakan petikan Surah Al-Maidah ayat 8, Mohammad Nizar ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Surau Fasa 3B Manjung di sini malam semalam berkata, konsep ketuanan Melayu tidak dibenarkan Islam.

"Allah kata Aku tidak terima ketidakadilan. Melayu ditanam sifat benci kepada Cina dan India, Cina ditanam sifat benci kepada Melayu dan India, India ditanam sifat benci kepada Cina dan Melayu.

"Setelah 55 tahun berlalu, kita lihat ketidakadilan ini berlaku. Kalau hendak bawa kembali kepada takwa, hilangkan ketuanan Melayu. Dalam Islam, yang hanya dibenarkan adalah ketuanan syarak," katanya.

Mohammad Nizar turut mendakwa, prinsip ketuanan Melayu tidak tercatat dalam sumber berasaskan al-Quran mahupun as-Sunnah, justeru konsep itu harus 'dihumban keluar'.

Mengambil contoh kaum 'Ad dan Thamud, pemimpin Pas itu menegaskan, sesuatu bangsa itu tidak pernah mempertahankan agama, sebaliknya agama yang sepatutnya membela bangsa.

Dalam kuliah maghrib itu, Mohammad Nizar juga mengambil kesempatan menyeru orang ramai supaya membuat keputusan yang betul pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dengan memilih kerajaan yang tidak mengamalkan rasuah.

"Di akhirat nanti, Allah nak tanya kita. Soalan pertama siapa tuhan kamu? Soalan kedua siapa kerajaan yang memerintah hari ini? Boleh semak surah ke-40 ayat 16," ujarnya. - UTUSAN
Balasubramaniam gagal kemuka bukti, akui benci kerajaan

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR 
KUALA LUMPUR. KHAMIS, 28 Februari, 2013: Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang pulang ke negara ini Ahad lalu dengan disambut oleh beberapa pemimpin pembangkang gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebaliknya, `ceramah’ yang disampaikan Balasubramaniam menimbulkan lebih banyak persoalan kepada hadirin yang berada di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu kota malam ini serta para pengikut di Internet serta pengguna twitter di `hashtag’ #tanyabala.

Apa yang jelas, penyiasat persendirian yang pernah membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa Najib terlibat dalam kes itu, tetapi kemudiannya menarik balik tuduhan berkenaan dalam SD kedua, mengakui membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dia berumur 14 tahun.

Walaupun berucap dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin selama kira-kira satu jam setengah, Balasubramaniam dilihat seolah-olah hanya melontarkan tohmahan dengan `bermodalkan air liur’.

Dengan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kurang baik, penyiasat persendirian itu juga dilihat gugup apabila terhenti menyampaikan ucapan dan beberapa kali berkata: “Minta maaf, sudah lama (kes ini) jadi saya lupa."

Sebagai contoh, dia mendakwa pernah mengambil gambar Altantuya sewaktu wanita itu berada di hadapan Bangunan Getah Asli di ibu kota pada sekitar 2006 sewaktu dia berkhidmat dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda namun tidak pula menunjukkan gambar tersebut.

Penyiasat persendirian yang pernah lari ke luar negara selama kira-kira tiga tahun selepas membuat SD kedua berkenaan turut mendakwa pernah membuat rakaman perbualannya dengan peniaga permaidani, Deepak Jaikishnan berkenaan tawaran Deepak sebanyak RM100,000 bagi menarik balik SD pertama, namun rekod tersebut tidak diperdengar kepada hadirin.

Selain itu, Balasubramaniam juga tidak menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan para pengikut twitter di #tanyabala berkenaan secara terus tetapi Badrul Hisham bertindak menyaring serta memilih soalan yang perlu dijawab penyiasat persendirian tersebut.

Salah seorang pengguna twitter @lisajariffin turut mencabar Badrul Hisham yang menggunakan nama @chegubard supaya bekas calon Ketua Angkatan Muda Keadilan itu bertanya kesemua soalan yang dikemukakannya di twitter bagi membuktikan keikhlasan mereka dalam pendedahan kes tersebut.

Balasubramaniam serta Badrul Hisham juga tidak membuka ruang kepada hadirin untuk bertanya soalan dan kemudiannya penyiasat persendirian itu `melarikan diri’ ke kereta yang sedia menunggunya bagi mengelakkan diri daripada ditemui para pemberita selepas selesai ceramah. - UTUSAN
Manifesto pembangkang keluar kereta RM25,000 tak realistik - Dr. Mahathir

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Pakatan pembangkang tidak realistik dan mahu membunuh punca rezeki penjual kereta terpakai menerusi cadangan mengeluarkan kereta serendah RM25,000 seperti dinyatakan dalam manifestonya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemilik kereta yang ingin membeli kereta baharu sudah tentu mencari penjual kereta terpakai untuk menjual kereta sedia ada.

"Kalau serendah RM25,000 sebuah, pertamanya kereta-kereta terpakai tak akan laku. Apabila ini berlaku, penjual kereta terpakai akan rugi dan tutup kedai. Oleh itu kereta baharu pun tidak akan terjual kerana pemilik kereta terpaksa mencari penjual kereta terpakai bagi menjual keretanya nak dapat duit beli kereta baharu.

"Nak kurang sampai RM25,000, mudah kata tapi siapa nak buat (kereta)? Kalau dia (pembangkang) sanggup beri modal kepada pihak tertentu tanpa faedah, itu pun tak boleh dapat harga itu," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan Dasar Pandang ke Timur di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, di sini hari ini. - UTUSAN
Selepas haiwan, Firaun, Bob Lokman pula kata lebih jahat daripada iblis

                         Oleh ROKIAH ABDULLAH dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
 *BOB Lokman berucap di pentas ceramah Pas di Pasir Salak, Perak malam tadi. Dalam ceramah itu, Bob Lokman menyamakan program 'Janji Ditepati' BN sebagai lebih jahat daripada iblis. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

PASIR SALAK, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Pembangkang terutama Pas tidak sudah-sudah menyamakan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai gelaran hina yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Ia dimulakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyamakan pemberian Batuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti 'memberi hampas kelapa dan jerami kepada ayam dan lembu', disusuli Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyamakan BR1M dengan apa yang pernah dilakukan oleh Firaun.

Malam tadi, bekas pelawak dan penulis lirik lagu, Mohd. Hakim Lokman, 47, atau Bob Lokman yang kini menjadi aktivis Pas menyifatkan program 'Janji Ditepati' kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika ini "lebih jahat daripada iblis".

Bob Lokman turut menyifatkan tindakan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan segala janji-janji kepada rakyat dalam program itu juga sama seperti perangai iblis .

Bob mengibaratkan program murni itu dengan cerita iblis yang diusir Allah akibat enggan tunduk kepada Nabi Adam lalu meminta supaya diberi peluang melakukan godaan dan hasutan menyesatkan manusia dan janji itu ditepati iblis sehingga kini.

"Di sini saya nak bagi tahu betapa jahatnya Janji Ditepati (program BN) ini. Bila mana iblis tak mahu tunduk kepada Nabi Adam, maka Allah SWT halau dia (iblis) dari syurga. Tapi, boleh dia minta dengan Allah untuk menyesatkan umat manusia yang merupakan anak, cucu, cicit Nabi Adam ini.

"Itu sebablah semenjak hari itu hingga hari ini iblis menggoda dan menyesatkan manusia. Ini menunjukkan dia tepati janji. Jadi apa nak heran kalau tambah lagi seorang buat karnival pulak, lagi jahat dari iblis,'' katanya dalam satu ceramah yang dihadiri kira-kira 40 hadirin di Kampung Pulau Tiga di sini malam tadi.

Yang turut memberi ceramah ialah Ishak Shaari iaitu pemimpin yang disebut-sebut bakal calon Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah; Yang Dipertua Pas Pasir Salak, Muhaimin Sulam dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim. - UTUSAN
Keputusan kaji selidik bukan bukti tahap sokongan kepada BN 

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyangkal dakwaan kononnya sokongan rakyat terutama orang Melayu kepada kerajaan hari ini semakin merosot.

Katanya, kaji selidik oleh Merdeka Center tidak semestinya memberi gambaran yang tepat walaupun kemerosotan itu hanya mencatatkan penurunan dua peratus sahaja daripada 63 peratus melalui kajian yang dibuat pada awal Februari lepas.

"Kajian itu tidak semestinya tepat kerana kita mendapat respons yang lain pula. Kita juga bergantung pada kajian kita dan kita mendapat banyak petunjuk bahawa golongan anak muda sudah mula menyokong kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pra pelancaran Skuad BN sempena program Rakyat Bersatu, Negara Maju di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Katanya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat Malaysia termasuk BR1M untuk orang bujang telah menyentuh hati rakyat Malaysia.

"Rakyat gembira kerana kerajaan prihatin terhadap mereka," katanya.

Tengku Adnan berkata, pembangkang mempermainkan emosi rakyat dengan menanam kebencian terhadap BN dan dasar kerajaan.

"Musuh kerajaan menggunakan pembohongan, fitnah untuk mengelirukan orang ramai dan anak muda, pembangkang sebenarnya sangat bijak bermain dengan psikologi," katanya.

Beliau berkata, sebetulnya, rakyat dikelirukan oleh pembangkang yang memberi gambaran bahawa golongan muda tidak menyokong kerajaan.

Beliau juga menyelar tanggapan bahawa 'perang media sosial' sebenarnya dimenangi pembangkang yang dikatakan mempunyai lebih banyak laman blog berbanding blog atau laman Facebook yang mempertahankan kerajaan.

"Sebenarnya dalam dunia maya, terdapat banyak laman sosial yang mempertahankan kerajaan dan menjawab tuduhan dan fitnah pembangkang tetapi kita ini tetap mencari laman pembangkang kerana semata-mata memenuhi tuntutan emosi kita," katanya.

Mengenai penubuhan Skuad BN, yang merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan, beliau berkata ia dicetuskan hasil idea bekas ketua-ketua pergerakan Pemuda Umno yang menjalankan kerjasama dengan Persatuan Warga Kuala Lumpur dan Selangor.

Ia merupakan skuad untuk mewujudkan komuniti BN yang berani menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan melalui pemakaian pelekat kenderaan dan t-shirt.

Skuad ini akan dilancarkan secara rasmi minggu depan di Rapat Setia, Ipoh, Perak. - BERNAMA
Doa 'hancur BN/UMNO' makan diri, perjuangan Islam Pas makin tersasar

Laporan khas AMRIZAN MADIAN (BERNAMA)

 *ANTARA sepanduk dipasang Pas yang meminta ahli-ahlinya
 mendoakan supaya UMNO dan BN dihancurkan.

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 28 Februari, 2013: Perjuangan PAS semakin tersasar apabila Pas lebih sanggup mengetepikan matlamat asal kononnya untuk memperjuangkan Islam, semata-mata ingin menjaga hubungannya dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Usaha melaksanakan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam kini semakin lenyap daripada sebutan pemimpin parti itu lebih-lebih lagi untuk menjaga hati pemimpin DAP.

Pengerusi Pembangunan Parlimen Marang, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, apa yang Pas buat selama kini sudah memakan dirinya sendiri bermula dengan isu Amanat Haji Hadi, Kalimah Allah, Doa Hancur BN/Umno dan yang terbaharu menyamakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan haiwan.

"Amanat Haji Hadi telah menyebabkan berlaku perpecahan umat Islam di Malaysia hari ini dan amanat ini makan diri Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) begitu juga dengan isu kalimah Allah, ini semua hasil kerjasama Pas dengan DAP sehingga sanggup untuk menggugurkan prinsip Islam," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, perjuangan Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam kini turut dilupakan dengan menukar ia daripada penubuhan negara Islam kepada negara kebajikan, semata-mata untuk menjaga hati Pengerusi DAP, Karpal Singh yang kurang senang dengan matlamat Pas sebelum itu.

Katanya, pemimpin Pas iaitu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan Mursyidul Am Pas sanggup menghina penerima BR1M dengan mengumpamakannya seperti 'menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu'.

Bercakap tentang sokongan rakyat kepada Pas, beliau berkata, kini semakin ramai pengikut Pas yang kecewa dan meninggalkan parti itu kerana tidak lagi yakin dengan perjungan sebenar Pas untuk menegakkan negara Islam.

Katanya, Pas akan menerima akibatnya pada PRU-13 dan tidak mustahil rakyat juga akan menolak Abdul Hadi di kawasannya sama ada di Marang (Parlimen) dan Rhu Rendang (Dewan Undangan Negeri).

Pada PRU-12 Abdul Hadi hanya menang dengan majoriti 2,747 di Marang manakala 2,686 di Rhu Rendang dan beliau sebenarnya pernah kalah di tangan Abdul Rahman yang digelar 'Giant Killer' pada 1984 dan 2004.

"Saya yakin PRU-13 kali ini adalah peluang terbaik kepada rakyat untuk menolak Pas yang telah banyak membawa perpecahan dan menjatuhkan maruah umat Islam," katanya yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Menurutnya, kerjasama Pas bersama DAP dan PKR langsung tidak memberi apa-apa keuntungan kepada Pas malah penyokongnya melihat parti Islam itu hanya menjadi kuda tunggang DAP dan PKR untuk mencapai matlamat mereka menumbangkan BN dan UMNO.

Katanya, Pas pernah diberi peluang memerintah Terengganu untuk tempoh sepenggal, namun hakikatnya tidak ada apa-apapun yang Pas buat sepanjang tempoh pemerintahan selain hanya mengaut kekayaan daripada hasil balak untuk kepentingan pemimpin Pas sahaja.

"Apa yang Pas buat, tiada, di kawasan Marang sendiri, kawasan Abdul Hadi hanya satu masjid yang Pas buat berbanding 54 yang kerajaan BN buat," katanya.

Menurutnya, rakyat hari ini sudah tahu permainan politik Pas yang hanya lantang bersuara untuk menegakkan Islam dan menuduh BN dan UMNO parti yang menolak Islam sedangkan apabila bersama DAP, isu tersebut langsung tidak ditimbulkan.

Bekas anggota Pas (cikgu) Zainon Ismail atau juga dikenali dengan nama CN AL-Afghani mendakwa, Pas ada menandatangani perjanjian rahsia dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan terus perjuangan berkaitan hudud dan negara Islam.

Beliau berkata, perjanjian yang dipersetujui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Hadi dan Penasihat DAP Lim Kit Siang itu ditandatangani pada Disember 2009.

"Hudud tidak akan dilaksana jika pakatan pembangkang menawan Putrajaya sebaliknya mereka kata, memadailah guna undang-undang persekutuan sedia ada," katanya dalam ceramah umum di Kampung Seberang Takir di sini malam tadi.

Zainon berkata, Pas hari ini sudah jauh melencong daripada perjuangan asal mereka dan mereka lebih rela tunduk kepada pemimpin bukan Islam berbanding berhadapan dengan kekalahan kerana mahu menegakkan kerajaan Islam.

"Jangan kata kerajaan BN/Umno itu tidak menegak Islam, sejak merdeka Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia Pertama) telah meletakkan asas Islam di peringkat paling tinggi iaitu sebagai agama Persekutuan," katanya.

Katanya, selepas rakyat Terengganu menolak Pas pada 2004, kini giliran rakyat di Kedah pula yang bangkit dan kecewa dengan pemerintahan Pas yang gagal membawa perubahan di negeri itu sejak sepenggal lalu. - BERNAMA
Nizar diselar guna surau untuk ceramah politik

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
LUMUT, RABU, 27 Februari, 2013: Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diselar menggunakan kuliah maghrib sebagai pentas ceramah politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Wira Perkasa Perak, Mohd. Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu amat tidak wajar kerana mencampuradukkan agama dan politik, lebih-lebih lagi ketika berada di rumah Allah.

"Sultan sebelum ini telah menitahkan supaya jangan berpolitik dalam masjid kerana ia boleh menyebabkan perpecahan umat Islam. Ini jelas menunjukkan Mohammad Nizar telah derhaka kepada Sultan.

"Kami juga ingin mempersoalkan sama ada beliau mempunyai sijil kelayakan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk memberi ceramah di masjid-masjid atau di surau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Mohammad Nizar ketika menyampaikan kuliah maghrib di Surau Fasa 3B Seri Manjung pada malam tadi menceritakan sejarah Islam termasuk Firaun, namun majlis santapan rohani itu dicemari unsur-unsur politik apabila beliau menyentuh dan mempersoalkan konsep ketuanan Melayu.

Beliau yang pada mulanya secara berkias-kiasan mengaitkan kerajaan Firaun dengan 'ketuanan Firaun', akhirnya menyamakannya dalam konteks Malaysia pada penghujung kuliahnya.

Mohammad Nizar antara lain menyeru supaya semangat ketuanan Melayu dihapuskan kerana mendakwa prinsip tersebut tidak dibenarkan oleh Allah. - UTUSAN
Dokumen DAP ke ROS tak lengkap?

KUALA LUMPUR, RABU, 27 Februari, 2013: Isu pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP terus diselubungi kontroversi berikutan dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini dikatakan tidak lengkap dan dibuat sekadar 'melepaskan batuk di tangga'.

Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan berkata, pihaknya difahamkan DAP hanya mengemukakan 'beberapa helaian' dokumen yang dikehendaki ROS untuk membolehkan siasatan berhubung kesilapan pengiraan undi pemilihan CEC dilakukan.

Sehubungan itu, tegas beliau, ROS perlu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa parti itu tidak dapat memberi penjelasan apa yang sebenarnya berlaku dalam pemilihan CEC Disember lalu.

"Saya difahamkan hanya beberapa helaian yang dihantar ke ROS dan dokumen ini 100 peratus tidak lengkap.

"Tabiat berdiam diri DAP dalam isu ROS-CEC ini agak mencurigakan sedangkan selama ini parti itu sering buat 'bising' dalam isu-isu lain.

"Dalam hal ini, DAP mesti membantu siasatan ROS kerana kalau selepas ini berlaku apa-apa implikasi termasuk kemungkinan parti itu digantung dari segala kegiatan politik atau dibubarkan, jangan pula nanti salahkan ROS atau Barisan Nasional (BN)," kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kedua-dua penyata kewangan dan keputusan pemilihan CEC itu perlu dan penting untuk diperoleh ROS bagi membolehkannya menjalankan siasatan berhubung kesilapan pengiraan undi pemilihan CEC.

Ini terutamanya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam pemilihan berkenaan yang dilaporkan oleh ahli-ahli DAP sendiri.

DAP baru-baru ini mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam pengiraan undi CEC yang menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih menganggotai jawatankuasa tersebut.

Namun selepas kiraan semula dilakukan, keputusan pemilihan itu menyaksikan Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berada di tangga ke-20 meskipun sebelum itu tidak tersenarai dalam CEC.

Tindakan itu menyebabkan ahli-ahli DAP termasuk Naib Pengerusi Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham membuat laporan kepada ROS kerana tidak berpuas hati dengan kesilapan tersebut.

Ramanan turut mempersoalkan apakah sikap berdiam diri dan membisu pemimpin utama DAP disebabkan semua aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP terhadap isu pemilihan CEC itu benar.

Kata beliau: "Saya yakin aduan yang dibuat oleh ahli DAP kepada ROS memang ada asas, maka ROS mesti bertindak segera." - UTUSAN
Setiausaha Agung DAP wajar letak jawatan - Ravi

KUALA LUMPUR, RABU, 27 Februari, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diberi dua pilihan sama ada mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) atau meletak jawatan selaku pemimpin tertinggi dalam parti berkenaan ekoran kesilapan pengiraan undi baru-baru ini.

Setiausaha DAP Bahagian Pantai Sepang Putra, Sungai Pelek, Ravi Ramdas berkata, Guan Eng harus dipersalahkan dalam isu tersebut kerana beliau merupakan sebahagian daripada jawatankuasa berkenaan serta gagal memastikan pemilihan CEC berjalan dengan lancar dan telus.

Malah, beliau mendakwa, pemilihan CEC itu juga tidak melibatkan semua perwakilan kerana terdapat perwakilan yang tidak menerima surat menghadiri konvensyen parti yang diadakan di Pulau Pinang.

"Ini jelas menunjukkan Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang hanya berminat dalam politik sahaja tanpa menghiraukan kebajikan dan pendapat ahli-ahli parti yang lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon Pendaftar Pertubuhan (ROS) segera menyiasat dan sekiranya terdapat unsur-unsur manipulasi dalam pemilihan tersebut, kepimpinan DAP harus mengadakan pemilihan CEC semula.

"Hal ini kerana konvensyen dan pemilihan CEC akan terbatal dan tidak sah tanpa kehadiran dan undi daripada semua ahli parti," katanya.

Menurut Ravi, beliau bersedia dilucutkan jawatan dan digantung keahlian ekoran tindakannya mengkritik kepimpinan parti itu kerana malu menjadi sebahagian daripada parti yang tidak mematuhi peraturan sendiri. - UTUSAN
KM Pulau Pinang kian terdesak - Kheng Sneah

PULAU PINANG, RABU, 27 Februari, 2013: Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilihat semakin terdesak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas 'mengugut' mahu menyaman Kerajaan Persekutuan sekiranya gagal membenarkan negeri ini melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Apa yang menghairankan, menurut Setiausaha Gerakan negeri, Goh Kheng Sneah, perkara itu turut dijanjikan DAP dalam manifesto pilihan raya umum 2008 namun tidak dilaksanakan sehingga kini.

"Sekarang Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP pula begitu mudah meletakkan kesalahan ke atas Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng mendesak Kerajaan Pusat dan SPR melaksanakan pilihan raya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Jika tidak, tegas beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang tiada pilihan selain membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan seperti yang dilakukan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Kerajaan Pas Kelantan.

Menurutnya, Tommy Thomas akan menjadi peguam kerajaan negeri untuk memfailkan saman tersebut di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh dua minggu lagi.

Kheng Sneah memberitahu, beliau terkejut dengan tindakan Guan Eng itu dan menggesa Ketua Menteri berkenaan berhenti memberi maklumat tidak tepat kepada rakyat.

Apatah lagi, jelas beliau, manifesto pakatan pembangkang baru-baru ini tidak menyebut Pulau Pinang mahu mengadakan pilihan raya PBT jika berjaya menawan Putrajaya selepas pilihan raya umum akan datang.

"Adakah isu pilihan raya PBT yang sengaja dimainkan Guan Eng dan DAP untuk meraih sokongan rakyat ini tiada kaitan langsung dengan pakatan pembangkang?" katanya. - UTUSAN
Kerajaan Pas dipersoal

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU, RABU, 27 Februari, 2013: Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mempersoalkan tindakan kerajaan Pas Kelantan yang meluluskan tanah seluas 45.6 hektar di Pasir Pekan Hilir kepada Liziz Standaco Sdn. Bhd. (Liziz Standaco) meskipun syarikat tersebut gagal menjayakan projek dan perjanjian yang dibuat sebelum ini.

Presidennya, Azmi Ali berkata, urus niaga itu sepatutnya tidak berlaku, sebaliknya masih banyak syarikat bumiputera dan agensi kerajaan negeri yang berupaya memajukan tanah tersebut sekiranya diberi peluang.

Selain itu, beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob yang mendakwa tanah tersebut bukan milik rakyat sedangkan kebanyakan kawasan di situ telah diusahakan dengan aktiviti pertanian, malah ada mengemukakan permohonan geran sejak 1990-an.

"Dia telah mengaku bahawa tanah itu milik kerajaan. Kita tidak menafikan itu tanah kerajaan kerana persoalan yang timbul sekarang adalah kenapa beri pada syarikat sama sedangkan sudah terbukti projek di Lembah Sireh tidak berjaya?

"Selain itu, rakyat juga sudah memohon geran tanah sejak berpuluh tahun dulu. Mereka sudah bayar premium dan mengusahakan pertanian di situ, malah kerajaan negeri kata bertani satu ibadah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad yang mengesahkan kerajaan Pas Kelantan telah meluluskan 286.4 hektar tanah di Lembah Sireh kepada syarikat berkenaan termasuk kawasan seluas 45.6 hektar di Pasir Pekan Hilir.

Pada Jumaat lalu, lebih 100 penduduk dan peneroka tanah di Pasir Pekan Hilir mengemukakan bantahan terhadap tindakan kerajaan Pas Kelantan yang memindah milik tanah seluas 400 hektar di tebing Sungai Kelantan kepada tiga syarikat swasta bukan milik bumiputera.

Sebelum itu, Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad tampil mengemukakan bukti berhubung tindakan kerajaan negeri memindah milik sebidang tanah di Lembah Sireh kepada syarikat itu dengan perancangan projek bernilai RM2 bilion.

Lembah Sireh merupakan projek kerjasama antara kerajaan negeri dengan Liziz Standaco yang mana kerajaan negeri bersetuju menyerahkan kira-kira 400 hektar tanah di tebing Sungai Kelantan untuk dimajukan.

Walau bagaimanapun, penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 sehingga Disember 2011 mendapati Liziz Standaco belum melaksanakan komponen projek fizikal yang dijanjikan.

Selain itu, LKAN turut mendedahkan imbuhan kewangan dan pembangunan fizikal bernilai lebih RM350 juta yang perlu diberikan syarikat itu kepada kerajaan negeri seperti dijanjikan juga masih belum ditunaikan.

Sementara itu, Azmi berkata, Ahmad perlu bertanggungjawab dengan meletak jawatan serta memberikan penjelasan kepada rakyat apa tujuan tanah itu diserahkan kepada syarikat berkenaan.

"Ini adalah tragedi kepada rakyat Kelantan kerana kita tidak melihat apa rasionalnya. Timbalan Menteri Besar perlu meletak jawatan atau berdepan dengan kemarahan rakyat," tegas beliau. - UTUSAN
Janji sekadar 'syok sendiri'

ALOR SETAR, RABU, 27 Februari, 2013: Pemuda Gerakan negeri menyifatkan janji kerajaan Pas Kedah membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah serta sederhana di negeri ini sebagai 'syok sendiri' kerana sehingga kini projek tersebut gagal dimulakan.

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, projek yang dimaksudkan ialah pembinaan apartmen kos rendah di Bandar Darul Aman, Jitra dan rumah kos rendah serta mampu milik Bandar Tunku Puteri Pokok Sena yang masing-masing dilancarkan hampir empat tahun lalu.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak telah mengumumkan dan melancarkan kedua-dua projek itu pada 2009 dan 2010 tetapi kawasan projek di Bandar Darul Aman kini menjadi tapak pembuangan sampah manakala papan tanda projek di Bandar Tunku Puteri tidak lagi kelihatan.

"Mereka membuat pelancaran tetapi sekadar syok sendiri kerana masih gagal dimulakan walaupun masalah melibatkan kedua-dua projek tersebut pernah dibangkitkan Pemuda Gerakan Kedah Jun tahun lalu.

"Pembinaan rumah kos rendah dan mampu milik merupakan projek yang kritikal untuk rakyat kerana kemudahan asas itu perlu disediakan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Keng Liang, pihaknya kesal dengan kegagalan kerajaan Pas Kedah memula dan menyiapkan kedua-dua projek berkenaan walaupun telah dibawa ke pengetahuan mereka hampir sembilan bulan lalu.

Malah, katanya, Azizan memberi alasan tidak kukuh kerana sebelum ini ada menyatakan kelewatan pelaksanaan projek di Bandar Darul Aman berikutan perubahan perancangan iaitu dari segi reka bentuk dan pelan pembangunan rumah.

"Sekali pun hendak mengubah reka bentuk rumah perlu mendapat kelulusan perancangan dan pelan, tempoh yang diperlukan bagi tujuan itu lazimnya mengambil masa sekitar dua bulan sahaja.

"Projek tersebut sepatutnya sudah boleh dimulakan kerana hampir sembilan bulan dibangkitkan tetapi tinjauan kami di tapak projek kelmarin masih tiada sebarang tanda akan bermula," katanya.

Menurut beliau, siasatan pihaknya mendapati kerajaan negeri pada masa ini didakwa dibebani hutang hampir RM3 bilion iaitu yang tertinggi sejak pakatan pembangkang menerajui negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gerakan negeri menggesa kerajaan Pas Kedah memberikan penjelasan kepada rakyat sama ada menghadapi krisis kewangan sehingga kedua-dua projek itu gagal dilaksanakan.

"Apakah ketidakmampuan kerajaan negeri melaksanakan projek perumahan tersebut kesan daripada beban hutang tinggi yang meningkat hampir RM1 bilion iaitu hampir 50 peratus sejak di bawah pentadbiran pakatan pembangkang?" soalnya. - UTUSAN
Penceroboh datang atas jemputan pembangkang?

KUALA LUMPUR, RABU, 27 Februari, 2013: Agensi berita antarabangsa, Reuters pada 14 Februari lalu, mendakwa pencerobohan kumpulan bersenjata asing di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah berlaku atas jemputan pembangkang di negara ini.

Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai tentera Filipina dilaporkan berkata, kumpulan 150 orang diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzumudie itu mendarat di Lahad Datu bagi membincangkan isu tuntutan tanah ekoran jemputan tersebut.

"Kumpulan diketuai Raja Muda Azzimudie datang ke Sabah atas jemputan pihak pembangkang Malaysia bagi membincangkan isu tanah," dakwa pengawai tentera Filipina yang dirahsiakan identitinya sebagaimana dipetik daripada Reuters.

Sementara itu, akhbar dalam talian, The Manila Times menerusi koresponden mereka, Al Jacinto, pencerobohan tersebut juga ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan.

"Pencerobohan tersebut berlaku setelah bekas pemimpin Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pemimpin defacto pakatan pembangkang mencadangkan Sabah akan diberikan autonominya kepada pemerintahan Kesultanan Sulu," dakwa Al Jacinto.

Laporan tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat apakah benar pembangkang terbabit sehingga tercetusnya kejadian tersebut memandangkan Anwar ketika ini membuat penafian sekadar menuduh berita itu dibuat oleh UMNO.

Tambah mencetuskan persoalan apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan cubaan mensabotaj perjanjian damai kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Perkara itu kemudian bertambah hangat apabila gambar pertemuan sulit melibatkan Anwar dengan bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari didedahkan oleh banyak blog tempatan. - UTUSAN