My Add

Thursday 31 May 2012

Cubaan bunuh anggota polis: 3 lelaki dicari

BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Tiga lelaki dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes cubaan membunuh seorang anggota polis 2 Mei lepas, yang dipercayai bermotifkan dendam kerana pernah menahan mereka.

Mereka ialah N.Santhiramogan, 39, beralamat terakhir di No 6044, Pokok Machang, Tasek Gelugor dan M.Kartik Raj, 21, beralamat di No 1357, Pokok Sena serta B.Vijendren, 28, alamat terakhir di 67, Lorong 2/2, Taman Kijang, Lunas, Kedah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Azman Abd Lah berkata, dalam kejadian itu, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim diserang lima lelaki ketika menuju ke keretanya selepas keluar dari sebuah premis dekat Perai.

"Mangsa ditetak dengan parang di kepala dan perut, anggota polis itu masih berehat di rumah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Hasan Mohamad Salih di talian 019-4642952.— BERNAMA

Edar dadah: Lelaki selamat hukuman gantung

SHAH ALAM, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seorang bekas pemandu sebuah syarikat dikenakan hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan dari mengedar kepada memiliki dadah seberat 85.1 gram, 12 tahun lepas.

Bagaimanapun, Ng Chong Wan, 55, mengaku bersalah atas tuduhan pilihan itu sebelum perbicaraan bermula dan Hakim Datuk Siti Matiah Ahmad menjatuhkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 9 Mac, 2004.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Ng atas tuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Ng kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman tersebut tetapi rayuannya ditolak.

Tertuduh kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 13 Dis 2011, Mahkamah Persekutuan memutuskan supaya tertuduh dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi atas tuduhan pilihan iaitu memiliki dadah.— BERNAMA

PKR kecewa SPRM buka kes Azmin, bebaskan Shahrizat

SHAH ALAM, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Dua pemimpin kanan PKR kesal dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - mengisytiharkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersih daripada tuduhan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) manakala kes rasuah 17 tahun lalu Azmin Ali mahu dibuka semula.

"Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat SPRM pada hari ini berhubung kes NFC dan penglibatan Shahrizat serta tuduhan terhadap Azmin Ali," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar) dan Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, kedua-dua mereka berkata, sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Shahrizat dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

"Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Azmin walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

"Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Shahrizat walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Shahrizat didapati tidak terbabit dalam proses perolehan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan Persekutuan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), yang dimilki suami dan anaknya.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil hari ini berkata kertas siasatan SPRM dan laporan Pejabat Peguam Negara mendapati Shahrizat tidak terlibat dan kes itu ditutup.

Katanya, Ketua Wanita Umno itu tidak terlibat langsung dalam proses perolehan pinjaman yang dibuat oleh suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang juga pengerusi NFC.

Berikutan isu pinjaman itu, Shahrizat telah meletakkan jawatan menteri berkenaan apabila tempoh beliau sebagai senator tamat pada 8 April lepas.

Suaminya kini menghadapi perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta dan dua tuduhan melanggar Akta Syarikat 1965.

Perbicaraan akan bermula 5 hingga 9 November ini disusuli antara 3 dan 14 Disember ini. - Sinar Harian

Tsunami politik PRU13 dari selatan, kata Pas

SHAH ALAM, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Jika perubahan senario politik empat tahun lalu dikaitkan dengan tsunami politik dari utara, perkembangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) didakwa akan bertolak dari selatan Semenanjung - yang Pas mengatekorikan sebagai "tsunami dari selatan."

"Pada PRU kali ini, saya melihat kecenderungan tsunami muncul dari arah selatan di mana sokongan di negeri Johor khususnya semakin meningkat, tidak seperti dahulu di mana kita sering hilang deposit. Kita nampak peningkatan kali ini," kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali (gambar) dalam temu bual dengan Sinar Harian dan Sinar Harian Online semalam.

Ekoran tsunami politik 8 Mac 2008, Pas-DAP-PKR yang membentuk kerjasama politik, menawan kuasa kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kelantan diterajui Pas sejak 1990. Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak tumbang awal 2009 ke tangan Barisan Nasional (BN).

Selain lima kerajaan negeri itu, ketiga-tiga parti itu turut memperoleh 84 kerusi Parlimen, sekali gus menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN.

Selepas kejayaan itu, ketiga-tiga parti tersebut membentuk kerjasama politik atas nama Pakatan Rakyat (PR).

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, pihaknya yakin bahawa tsunami politik kali ini akan muncul dari selatan sebab "tsunami dari arah utara sudah kering, sudah tepu."

"Jadi tsunami dari arah selatan pula," katanya secara berseloroh tetapi memperlihatkan keyakinan perikatan berusia empat tahun itu.

Dilihat ada kaitan dengan tanggapan itu, Pas mahu menurunkan Naib Presidennya, Salahuddim Ayub bertanding di Johor.

Sebelum ini, Salahuddin mengesahkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan ia akan menjadi keutamaan beliau.

Sebelum ini, Salahuddin, anak kelahiran Johor, bertanding kerusi Parlimen Kuala Krai.

Bertolak dari itu, menjawab soalan berapa negeri yang PR yakin akan menang pada PRU13, Mustafa berkata, negeri-negeri yang dimenangi sebelum ini akan dikekalkan.

"PR yakin untuk menang (balik) di Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, (manakala) Johor, Melaka dan negeri yang lain akan berlaku peningkatan sokongan terhadap PR.

"Di Pahang, keluasannya besar dan merupakan negeri (kelahiran) Perdana Menteri, tidak mudah bagi PR tetapi yakin akan berlaku peningkatan sokongan," kata pemimpin dari Terengganu ini.

Polis ambil kenyataan Nizar waktu terdekat

Ketua-Polis-Johor,-Datuk-Mohd-Mokhtar-Mohd-Shariff
NORSHIKIN MOHD SALLEH
SENAI, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Rakaman percakapan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya mengenai pembiadaan nombor WWW 1, oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, akan direkodkan dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (gambar) mengesahkan menerima 14 laporan polis terhadap Nizar berhubung isu tersebut, sehingga hari ini.

“Saya sahkan kita menerima 14 laporan polis dan pegawai DSP Senawi telah menghubungi beliau (Nizar) untuk menetapkan tarikh untuk rakamkan percakapan.

“Kita akan lakukan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Akta Hasutan.

Kelmarin, Nizar mengeluarkan permohonan maaf atas kenyataannya menerusi mesej Twitter oleh yang mempertikaian pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 bernilai RM520,000 oleh Sultan Johor.

Dalam permohonan maaf oleh Nizar dituju kepada mereka yang berasa terluka dan kecewa berikutan mesej twitter miliknya yang dibuat Isnin lalu dan menegaskan apa yang ditulisnya itu lahir dari niat ikhlas selaku rakyat biasa dan bukan berniat memalukan mana-mana pihak.

Dalam mesej tersebut, Nizar menulis bahawa "RM520 ribu untuk plat nombor pendaftaran WWW 1. Tak akan hendak letak kat kereta Proton atau motor kut?"

"Ramai lagi rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang!" kata beliau.

Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri itu juga menulis bahawa "RM520 ribu boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah PPRT," katanya lagi.

Susulan itu, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim bertitah mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.

"Kerabat diraja Johor tidak ambil wang kerajaan. Sejak era Almarhum Sultan Ibrahim dan bertitah wang yang diperuntukkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan baginda sendiri dimasukkan ke dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim.

Mesej balas Tunku Ibrahim menyusul pandangan diutarakan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin semalam Laporan media menyebut nombor plat kenderaan WWW 1 berjaya dibida oleh Sultan Johor dengan tawaran tertinggi sebanyak RM520,000.

Sultan Ibrahim Ismail mendahului 9,999 pembida lain termasuk Yang di-Pertuan Agong, yang memenangi nombor plat WWW 5 (RM220,000); Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memenangi nombor plat WWW 15 (RM24,200).

Wanita UMNO mahu 3 pemimpin PKR minta maaf

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Pergerkan Wanita UMNO mahu Pakatan Rakyat khususnya tiga pemimpin kanan PKR memohon maaf kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) yang telah dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada sebarang salah laku rasuah berhubung kes Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ketua Penerangannya, Datuk Hamidah Osman berkata, pengumuman SPRM hari ini juga membuktikan bahawa pihak pembangkang sengaja membuat tuduhan liar bagi mengaitkan Shahrizat dalam isu NFC kerana bermotifkan politik.

"Ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan penganiayaan besar yang telah dilakukan oleh pihak pembangkang kepada Shahrizat yang telah mencemarkan nama baik beliau serta menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang menteri dan Ketua Wanita UMNO," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Hamidah yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, beliau merasakan Shahrizat telah menjadi mangsa mainan politik kotor pembangkang.

"Walau bagaimanapun, saya yakin keputusan SPRM ini pasti tidak akan diterima oleh pembangkang kerana itu sudah menjadi sikap mereka.

"Apa sahaja yang tidak memihak kepada mereka, mereka akan pasti membuat pelbagai tuduhan lain pula," katanya lagi.

Oleh itu kata beliau, dengan terbuktinya Shahrizat tidak bersalah dan tidak terbabit dalam kes NFC, "saya mendesak pihak Pakatan Rakyat terutama Saifuddin Nasution, Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli supaya memohon maaf secara terbuka bagi menebus maruah dan nama baik Shahrizat yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO."

Guantanamo: Malaysia, ICRC cuba bawa balik 2 rakyat kita

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Malaysia sedang mengusahakan bersama Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bagi membolehkan dua rakyatnya yang ketika ini ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo dibebaskan dan dihantar pulang ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, beliau dimaklumkan kedua-dua tahanan itu, yang ditahan tanpa dibicarakan sejak 2006, berkeadaan baik dan usaha dilakukan bagi memastikan hak mereka dilindungi.

"ICRC mempunyai kredibiliti antarabangsa, mereka mempunyai rangkaian, mereka boleh memastikan, sebagai contoh, standard yang mereka harapkan turut ada pada Malaysia, dan turut didukung oleh negara yang menahan rakyat Malaysia," katanya. 

Dua minggu lalu, Sinar Harian ada menyiarkan laporan khas Bicara Isnin mengenai isu ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Operasi ICRC bagi Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Alain Aeschlimann.

Mohd Farik Amin, 36, dari Kajang dan Mohd Nazir Lep, 35, dari Muar, ditahan di Thailand pada Ogos 2003, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, dan dipindahkan ke pusat tahanan Teluk Guantanamo pada 2006.

Hishammuddin berkata, selain kes tahanan Guantanamo, kerjasama dengan ICRC turut meliputi kes membabitkan rakyat Malaysia yang ditahan di negara lain kerana didakwa berperanan sebagai keldai dadah.

"Disebabkan globalisasi, disebabkan taruhan tinggi yang terlibat, disebabkan jenayah yang merentas sempadan sekarang, manusia dieksploitasi dan mereka mungkin rasa menyesal tetapi ditahan di sebuah negara asing, mereka juga mempunyai hak yang kita perlu lindungi," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata beliau gembira dengan seluruh kerjasama antara kementerian itu dan ICRC, dan beliau akan memastikan kerjasama itu diteruskan.

Katanya, bidang kerjasama itu antara lain merangkumi isu kesihatan, menghubungkan antara keluarga yang mungkin berubah tempat tinggal, tahanan kanak-kanak di bawah umur yang tidak ditemani dan perkongsian untuk membantu dalam menanda aras Malaysia dengan standard antarabangsa, katanya.

Sementara itu, Aeschlimann berkata kerjasama antara ICRC dan kementerian berkembang dengan baik, dan mereka turut menyediakan beberapa khidmat langsung bagi memastikan tahanan di negara ini dilayan mengikut standard antarabangsa. - BERNAMA

Video menyeluruh Bersih 3.0 akan ditayang

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menayangkan kepada umum rakaman video yang menyeluruh mengenai perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakaman video akan disiarkan menerusi laman web rasmi KDN atau pun diedarkan kepada media penyiaran tempatan.

Beliau memberi jaminan rakaman itu tidak mempunyai sebarang tapisan, superimpose atau lain-lain aspek yang boleh menimbulkan sebarang kesangsian dalam kalangan masyarakat umum.

``Saya mahu rakyat melihat dalam keadaan yang menyeluruh, sebab ada beberapa video atau imej yang dikeluarkan kini hanya melibatkan masa dan tempat tertentu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Ketua Operasi Palang Merah Antarabangsa (ICRC) bagi Asia Timur, Asia Selatan dan Pasifik, Alain Aeschlimann di sini hari ini. - UTUSAN

SPRM diarah sambung siasatan dakwaan rasuah Azmin

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan siasatan dijalankan terhadap bekas Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, yang didakwa memiliki aset dan harta melebihi pendapatan penjawat awam, antara 1995 dan 1997.

Pengerusinya Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata, panel mengarahkan SPRM menyambung siasatan berdasarkan kertas laporan siasatan yang dibuka pada 2009.

"Kertas siasatan itu disambung semula berdasarkan maklumat tambahan yang terbaru dan ia disiasat untuk memastikan kebenaran dakwaan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA

Himpunan hijau: Polis bertindak terhadap sesiapa buat kecoh

ALOR SETAR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang mencetuskan kekacauan sepanjang berlangsungnya 'Himpunan Hijau Ke Putrajaya' anjuran PAS di Stadium Darul Aman di sini, esok. 

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rejab berkata, pihaknya akan menghalang sebarang demontrasi oleh pihak lain di tempat sama bagi mengelak berlaku pergaduhan akibat provokasi itu.

Beliau berkata, setakat ini hasil risikan pihaknya mendapati tidak ada mana-mana pihak atau individu yang merancang melakukan provokasi terhadap himpunan tersebut.

Katanya, pada masa sama pihaknya akan menempatkan 550 anggota polis yang akan mengawal ketenteraman awam, keselamatan, trafik dan jenayah di sekitar stadium yang bakal disertai 30,000 hingga 40,000 anggota dan penyokong PAS. 

"Kita juga telah bentuk satu pasukan untuk memantau di sekitar kawasan stadium tersebut daripada berlaku kejadian yang tidak diingini seperti letupan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini. 

Abdul Ghafar berkata, pihaknya menjangkakan tiga jalan utama iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Stadium dan Lebuhraya Darul Aman akan sesak dan akan menempatkan anggota trafik untuk mengawal lalu lintas di kawasan tersebut bagi memudahkan mereka ke stadium. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai yang akan berkunjung ke pusat bandar supaya mengambil jalan alternatif lain bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan trafik di tiga jalan tersebut.

"Bagi mereka yang datang dengan bas, mereka boleh menurunkan penumpang di sekitar stadium dan meletakkan bas di Kompleks Pendidikan Negeri, Dataran Masjid Zahir, Stadium Sultan Abdul Halim, Wisma Darul Aman dan Taman Jubli Emas. 

"Kita turut menempatkan anggota trafik di Pekan Rabu kerana orang ramai dan peserta himpunan tersebut mungkin akan berkunjung di situ," katanya. 

Himpunan Hijau itu akan bermula 9 pagi esok di Kompleks PAS negeri, Kota Sarang Semut dekat sini manakala jam 4.30 petang hingga 12 tengah malam pula akan berlangsung di Stadium Darul Aman. 

Pada perhimpunan itu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan beberapa pemimpin parti itu turut hadir. - BERNAMA

Tipu: Bekas pengurus kanan syarikat dilepas, dibebaskan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas pengurus kanan pemasaran dan jualan Majuikan Sdn Bhd, Mohd Khairuddin Abu Bakar daripada pertuduhan menipu sebuah bank Amerika Syarikat membabitkan wang 10 juta (RM40.35 juta).

Hakim Rosenani Abd Rahman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Mohd Khairuddin, 55, membela diri bagi pertuduhan kedua iaitu menggunakan dokumen cagaran palsu.
Rosenani menetapkan 10 Julai untuk Mohd Khairuddin membela diri.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Khairuddin bersama Gazali Rashid, yang sudah meninggal dunia, didakwa menipu Naib Presiden Bank HSBC USA, New York, Stephen Ferrera, dengan memperdayakan dia untuk mempercayai bahawa Majuikan bersetuju menjadi penjamin terhadap permohonan pinjaman 10 juta oleh Malaysian Seabest Sdn Bhd.

Penipuan terbabit mendorong pihak Bank HSBC membuat pembayaran sebanyak 10 juta kepada Malaysian Seabest.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 37 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Khairuddin bersama Gazali didakwa menggunakan tiga dokumen cagaran palsu iaitu sekeping 'Resolusi Lembaga Pengarah Majuikan Sdn Bhd' bertarikh 14 Feb 2006, sekeping 'Promissory Note Malaysian Seabest Sdn Bhd' dan sekeping surat iringan yang kedua-duanya bertarikh 1 Mac 2006 untuk tujuan penipuan terbabit.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majuikan adalah anak syarikat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di No 22, Tingkat 33, Jalan 4/146, Metro Centre, Bandar Tasik Selatan, Cheras, antara 14 Februari dan 22 Mac 2006.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 9 Mei 2011, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya C.Vignesh Kumar mengemukakan seramai 25 saksi.

Mohd Khairuddin diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Datuk Dr Mohd Radzuan Ibrahim.

Ketika ditanya pemberita mengenai punca kematian Gazali, peguam Shamsul memberitahu Gazali dipercayai meninggal dunia akibat angin ahmar, tiga hari sebelum tarikh perbicaraan. - BERNAMA

608 anggota ATM terbabit istiadat mengarak Panji-panji Agong

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seramai 586 anggota lain-lain pangkat dan 22 pegawai dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terbabit dalam istiadat mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Kem Perdana Sungai Besi Sabtu ini. 

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan berangkat menghadiri istiadat itu.

Istiadat sembah ikrar taat setia ATM kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi ATM itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 2 Jun ini.

Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan, Mejar Abd Rais Esa berkata, anggota perbarisan yang terbabit dalam perarakan telah mula berlatih sejak dua minggu lepas. 

"Hari ini raptai penuh dan persiapan individu sudah engkap sepenuhnya, hanya persiapan logistik seperti persiapan pentas dan bendera-bendera yang masih dalam 80 peratus, namun akan diselesaikan sebelum istiadat," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Abd Rais berkata, anggota yang terlibat dengan perarakan pada hari terbabit adalah anggota yang biasa terbabit dalam istiadat perbarisan dan mereka akan memakai pakaian khas untuk sambutan keputeraan. 

Beliau berkata, orang ramai juga dijemput hadir ke Kem Perdana Sungai Besi untuk menyaksikan secara dekat istiadat terbabit atau menonton siaran langsung melalui TV1 Radio Televisyen Malaysia. - BERNAMA

Isu air tidak sepatutnya dibincang melalui media: Peter Chin

DENGKIL, KHAMIS, 31 Mei, 2012:: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan Selangor sepatutnya membincangkan isu air, termasuk mengenai tarif, secara terus dengan kerajaan persekutuan dan bukannya berdebat melalui media. 

"Jika Selangor ingin bercakap mengenai tarif, mereka boleh datang dan berbincang dengan kami di meja rundingan.

"Perkara ini kena diteliti dalam satu mesyuarat membabitkan semua pihak baru boleh berbincang dengan berkesan, kalau diutarakan di media, kita tidak akan dapat penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Aeon Malaysia Cheers Club' di Paya Indah Wetlands di sini, hari ini.

Chin mengulas, kenyataan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, bahawa projek loji rawatan air Sungai Langat 2 akan menyebabkan tarif air tinggi. 

Chin meminta kerajaan negeri supaya lebih pragmatik mengenai isu tarif air, kerana tarif air pasti akan meningkat dari masa ke semasa disebabkan faktor-faktor tertentu seperti kos penyelenggaraan termasuk gaji pekerja dan bahan kimia yang digunakan. 

"Jangan beritahu saya jika kita tidak mencampuri isu air Selangor, kadar air tidak akan naik selama-lamanya. Kadar air akan sentiasa meningkat tetapi persoalannya sama ada kadar itu munasabah atau tidak," katanya. 

Chin berkata, air dari kolam lombong lama hanya boleh diguna sebagai langkah akhir, berikutan faktor kesihatan kerana ia mengandungi beberapa bahan kimia.

Sementara itu, Chin berkata, lebih banyak syarikat di negara ini, terutama syarikat-syarikat asing digalak untuk menjalankan program mengenai isu alam sekitar di kalangan kanak-kanak sebagai satu daripada aktiviti tanggungjawab sosial mereka. 

'Aeon Malaysia Cheers Club' adalah kesinambungan 'Aeon Cheers Club Jepun' yang menanam perasaan cinta kepada alam semula jadi di peringkat awal kanak-kanak untuk membolehkan mereka mempelajari secara lebih berkesan mengenai alam sekitar. - BERNAMA

Suspek curi kereta larikan motosikal polis

BUTTERWORTH, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seorang lelaki dipercayai anggota geng curi kereta bertindak melarikan motosikal anggota polis yang sedang memeriksa BMW di Jalan Raja Uda, di sini semalam. 

Dalam kejadian pada 11.20 malam itu, empat anggota polis dari Unit Pencegah Jenayah Balai Polis Mak Mandin menahan kenderaan yang dipandu lelaki berusia lingkungan 50-an itu selepas mendapatinya dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Zulkifli Alias, berkata ketika anggota polis terbabit memeriksa kenderaan milik lelaki itu, dia bertindak mencuri motosikal jenis Yamaha Lagenda dan melarikan diri.

"Dua anggota polis dan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan cuba mengejar lelaki itu yang memecut motosikal ke arah Butterworth, bagaimanapun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Katanya, berdasarkan maklumat awal, pihaknya berjaya mengenal pasti identiti lelaki yang melarikan motosikal anggota polis berkenaan dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. 

"Pemeriksaan juga mendapati kereta dipandu lelaki yang berasal dari Kepala Batas dekat sini itu dilaporkan hilang di Cheras, Kuala Lumpur, tiga bulan lalu. 

"Polis percaya lelaki itu melarikan diri kerana tidak mahu ditahan kerana memandu kereta curi," katanya. - BERNAMA

Chong Wei perlu lebih masa untuk sembuh

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak mungkin pulih daripada kecederaan buku lali kanannya dalam masa empat minggu seperti diramalkan sebelum ini, kata pakar fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN), Sandra Fiedler. 

Beliau berkata, pemain perseorangan nombor satu dunia itu harus diberi tempoh sekurang-kurangnya lima hingga enam minggu untuk sembuh sepenuhnya.
"Saya tidak fikir (boleh pulih dalam tempoh minggu). Kecederaan itu boleh bertambah teruk sekiranya beliau memaksa dirinya terlalu kuat.

"Bagaimanapun, beliau dalam keadaan fizikal yang baik...jadi pemulihan boleh dipercepatkan sedikit," katanya kepada pemberita selepas sesi fisioterapi atlet itu di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, hari ini. 

Beliau berkata, Chong Wei juga harus sentiasa mengekalkan tahap kecergasannya bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan. 

Chong Wei yang berada di situ, enggan ditemu ramah oleh media. 

Tendon buku lali kaki kanan juara All England tiga kali itu koyak ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade, pada peringkat kumpulan Piala Thomas di Wuhan, China, minggu lalu.

Kecederaan itu menjejaskan persiapan atlet itu dalam menghadapi Sukan Olimpik London Julai ini, apatah lagi beliau adalah sandaran emas pertama negara dalam kejohanan sukan terbesar dunia itu. 

Sementara itu, Fiedler juga tidak menolak kemungkinan Chong Wei mengalami trauma akibat kecederaan tersebut. 

"Saya mengandaikan bahawa selalu ada semacam ketakutan mengimbas kembali kejadian itu tetapi ia adalah sebahagian daripada latihan fisio yang anda cuba untuk memulihkan kembali kenyakinan atlet berkenaan," katanya. 

Chong Wei dijangka mengikuti semula latihan ringan esok. - BERNAMA

BAM perlu bertanggungjawab jika gagal raih emas Olimpik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bertanggungjawab jika gagal membawa pulang emas pertama negara pada Sukan Olimpik London Julai ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Beliau berkata, badminton masih menjadi sandaran utama negara untuk meraih emas pada temasya itu menerusi perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong walaupun harapan juga diletakkan pada acara sukan lain.

"Jika gagal memenangi emas di Olimpik, seluruh BAM perlu bertanggungjawab. Bukan saja BAM, malah saya dan rakan di MSN (Majlis Sukan Negara) serta ISN (Institut Sukan Negara) juga harus bertanggungjawab.

"Ini kerana pencapaian emas di London menerusi program 'Road to London' adalah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan BSN Maraton Malam Putrajaya 2012, di sini hari ini. 

Ahmad Shabery berkata, pada masa ini BAM perlu menumpukan kepada Sukan Olimpik dan mengetepikan dahulu perancangan jangka panjang seperti melakukan rombakan jurulatih dan lain-lain. 

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi, Salleh turut menolak cadangan untuk merombak barisan jurulatih badan induk badminton negara itu pada masa sekarang. 

Sebaliknya, beliau berkata jurulatih sedia ada perlu mengenal pasti kaedah berkesan dalam melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Chong Wei. 
"Kita tak perlu emosional. Rombakan jurulatih tidak semestinya mendatangkan hasil. Yang penting seluruh sistem termasuk pihak pengurusan perlu berjalan dengan baik," katanya. 

Mohd Nadzmi berkata, BAM juga kini sedang memantau proses persediaan pemain-pemain negara lain yang akan bersaing dengan pemain Malaysia pada Sukan Olimpik kelak. - BERNAMA

Wartawan NST, Utusan dihalang buat liputan

GEORGETOWN: Wartawan New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia dihalang daripada membuat liputan operasi penguatkuasaan kebersihan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Batu Ferringhi hari ini. 

Operasi bermula jam 11 pagi itu membabitkan enam pegawai dari Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan lapan pegawai dari jabatan pelesenan MPPP.
Dalam sidang media yang diadakan selepas operasi itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP Ong Ah Teong memohon maaf dan memberitahu bahawa sidang media tidak akan dimulakan selagi wartawan dari Utusan dan NST berada di situ.
Wartawan NST, Predeep Nambiar yang ditemui Bernama selepas sidang media diadakan, berkata sebelum operasi itu bermula, beliau ada bertemu Ong untuk berjabat tangan dan beramah mesra tetapi pegawai itu bersikap dingin terhadapnya. 

"Pada mulanya beliau tidak menyambut huluran tangan saya dan berkata MPPP telah mendapat pekeliling daripada kerajaan negeri untuk tidak membenarkan wartawan Utusan dan NST daripada membuat sebarang liputan mengenai program mereka," katanya. 

Bimbang waktu rakan dari media lain terbuang begitu sahaja, kedua-dua wartawan berkenaan meninggalkan majlis sidang akhbar itu tanpa sebarang bantahan. 

Terdahulu dalam operasi hampir dua jam itu, seorang pemilik restoran diberi arahan menutup sementara premis miliknya selama 14 hari ekoran tahap kebersihan yang rendah. 
Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Timur Laut Wong Kee Poh berkata, arahan itu terpaksa dikeluarkan kerana peremis itu hanya memperoleh markah sebanyak 45.68 peratus dan tidak memenuhi kriteria kebersihan yang ditetapkan. 

Beliau berkata, pemilik restoran nasi kandar itu turut dikenakan kompaun sebanyak RM350 kerana kesalahan pencemaran air dan kegagalan mencegah pembiakan vektor mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. 

"Jika sabit kesalahan pengusaha restoran berkenaan boleh didenda maksimum RM3,000 dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun," katanya. - BERNAMA

16,000 petugas Kemas berusia 58 tahun disambung kontrak

KUALA LIPIS, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seramai 16,000 pegawai dan petugas kontrak Kemas berusia 58 tahun, disambung perkhidmatan mereka untuk dua tahun lagi, berkuatkuasa serta merta. 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan kontrak itu melalui surat yang dihantar kepada kementerian dua hari lalu.

Katanya, KKLW membuat permohonan kepada JPA dua bulan lalu dan ia meluluskannya berdasarkan Skim Saraan Malaysia (SSM).

"Mereka yang disambung perkhidmatannya adalah dalam kalangan yang lama berkhidmat dengan Kemas dan mempunyai pengalaman dalam memajukan anak bangsa, masyarakat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. 

"Penyambungan kontrak kakitangan terbabit adalah wajar dan bukan dibuat kerana politik atau pilihan raya seperti dakwaan pembangkang," katannya kepada pemberita selepas majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Padang Sekolah Kebangsaan Tanjung Gahai, Lipis di sini hari ini. 

Shafie berkata, Kemas memainkan peranan penting bukan sahaja mendidik anak-anak di bawah umur, malah ia secara tidak langsung membantu kerajaan bagi meningkatkan taraf kehidupan penduduk di kawasan luar bandar. 

Beliau berkata, walaupun sebahagian besar guru dan petugas Kelas Taman Bimbingan Kanak Kanak (Tabika) Kemas berkelulusan tingkatan 5 dan 6, tetapi kerajaan berusaha meningkatkan tahap pendidikan.

Hingga kini, katanya, terdapat 3,000 petugas dan guru Kemas berkelulusan Diploma dan mereka digalakkan meningkatkan kelulusan itu untuk jaminan masa depan apabila berhenti berkhidmat dengan Kemas. 

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa kerajaan memperuntuk RM18 juta bagi sumbangan dan mengenang jasa khidmat bakti kira-kira 6,000 bekas petugas Kemas di seluruh negara. 

Pada majlis itu, Shafie turut meluluskan peruntukan hampir RM1 juta bagi pembinaan sebuah masjid di Kampung Gahai, menaik taraf jalan luar bandar Kampung Rabak ke Kampung Bertang, dewan orang ramai Kampung Bukit Kota, 10 buah rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin dan jambatan di Kampung Tengka Jeram ke Beletik. - BERNAMA

Polis pantau pergerakan suspek utama kes culik Nayati

GEORGETOWN, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) sedang memantau pergerakan seorang suspek yang melarikan diri ke Eropah dan disyaki dalang dalam kes penculikan kanak-kanak rakyat Belanda, Nayati Shamelin Moodliar. 

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata pihaknya juga sudah mengenalpasti lokasi lelaki berusia 24 tahun itu bersembunyi.

"Kami sedang memantau pergerakan dia dan kami percaya lelaki itu akan pulang ke Malaysia dalam tempoh terdekat berikutan kos yang tinggi untuk tinggal di sana (Eropah)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan 'High Profile Policing' di Quensbay Mall, di sini hari ini.

Suspek utama yang berusia 24 tahun itu melarikan diri ke Eropah bersama isterinya selepas menyedari dia diburu polis. 

Nayati, 12, diculik pada 27 April lepas ketika berjalan berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara berhampiran rumahnya. Kanak-kanak lelaki itu ditemui selamat di kawasan Rehat dan Rawat Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan pada pukul 7.55 pagi, 3 Mei. 

Sementara itu, Hadi berkata polis akan terus meningkatkan usaha mengurangkan kadar jenayah, terutama di kawasan tumpuan melalui kerjasama dengan komuniti setempat di seluruh negara menerusi pelaksanaan High Profile Policing. 

"Kami mahu kurangkan jenayah dan program ini (High Profile Policing) sudah berjaya mengurangkan indeks jenayah kerana kehadiran polis di semua tempat terutama kawasan berisiko jenayah boleh dilihat," katanya. 

Beliau berkata, orang ramai juga berpuas hati dengan program itu kerana mereka percaya tahap keselamatan meningkat berikutan kehadiran polis di tempat awam. 

"Maklum balas yang kami terima daripada orang ramai juga mendapati mereka berasa selamat dengan kehadiran polis, itulah matlamat kami dan usaha ini akan diteruskan," katanya. - BERNAMA

KBS tubuh jawatankuasa siasat insiden acara drag

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden kemalangan semasa sesi ujian perlumbaan drag sempena sambutan Hari Belia Negara baru-baru ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jawatankuasa itu akan turut dianggotai wakil Persatuan Permotoran Malaysia.

"Perkara itu telah dibincangkan dan mendapat persetujuan Kabinet semalam jadi sehingga hasil siasatan dikeluarkan, saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA

ATM cadang MALCON ISAF terus khidmat di Afghanistan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya pasukan MALCON ISAF terus berkhidmat di Afghanistan walaupun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dijangka berundur dari negara bergolak itu pada 2013.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pihaknya berharap kerajaan akan mempertimbangkan khidmat pasukan MALCON ISAF di Afghanistan kerana rakyat negara itu masih memerlukan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.

"ATM mempunyai beberapa cadangan antaranya cuba meminta bantuan daripada kerajaan Afghanistan dan negara asing lain dalam aspek keselamatan selain menambah bilangan anggota bagi melindungi pasukan MALCON ISAF di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis khas meraikan pasukan MALCON 3 ISAF, yang pulang ke tanah air dari Afghanistan pada 5 Mei lepas, di sini hari ini.

Zulkifeli, bagaimanapun berkata pihaknya akan menerima sebarang keputusan daripada kerajaan sama ada pasukan MALCON ISAF akan terus dihantar berkhidmat di Afghanistan atau sebaliknya. - BERNAMA

Lelaki nyaris maut kereta terjunam dari jalan bertingkat

GEORGETOWN, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seorang lelaki nyaris maut apabila pacuan empat roda yang dipandunya terjunam dari jalan bertingkat berhampiran bulatan Tunku Kudin menghala ke Bayan Lepas, di sini hari ini. 

Jurucakap bahagian trafik negeri berkata, dalam kejadian 2.40 petang itu, pemandu berusia 20-an berkenaan gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh besi pembahagi jalan sebelum terjunam ke laluan bawah Jalan Sultan Azlan Shah.

"Semasa kejadian, hujan renyai dan lelaki itu pula memandu laju, mujurlah tiada kenderaan lain yang melalui jalan itu ketika itu," katanya kepada pemberita.
Sebuah jentera bomba turut dikejarkan ke tempat kejadian dan anggota penyelamat terpaksa memotong sebahagian kereta berkenaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Penghantar surat dipenjara 7 tahun rompak usahawan

PETALING JAYA, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Seorang penghantar surat dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merompak seorang usahawan dengan menggunakan sebilah parang, tujuh tahun lalu. 

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap S Arokiasamy, 31, dari Brickfields, dekat sini, selepas tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah ketika dipanggil membela diri.

Arokiasamy didakwa bersama seorang rakan yang masih bebas, merompak 11 keping kad kredit milik Kong Teck Wei, 49, di stesen minyak Shell Jalan 21/1 SEA Park, Petaling Jaya, pada jam 4.10 pagi, 6 Disember 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan. 

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil seramai lima saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi. 

Tertuduh diwakili oleh peguam R Murugan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah. - BERNAMA

Kerajaan sedia bantu mahasiswa: Shafie Apdal

BANGI, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Kerajaan sedia membantu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

Namun begitu, beliau berkata, pelajar IPT menerusi persatuan pelajar harus berdikari bagi menjana pendapatan supaya mereka tidak hanya bergantung kepada sumbangan kerajaan semata-mata.

"Selaku pemimpin, kita tidak keberatan untuk memberi bantuan tetapi dengan adanya penganjuran aktiviti melalui persatuan pelajar, pendapatan yang dikutip boleh disalurkan kapada tabung untuk membantu pelajar pada waktu kecemasan.

"Ini secara tidak langsung akan mendidik pelajar berdikari dan tidak bergantung langsung kepada sumbangan sahaja," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi. 

Sebelum itu, beliau menghadiri Program Konvensyen Mahasiswa Sabah dan Makan Malam Amal Kinabalu anjuran Persatuan Mahasiswa Sabah (PERMIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Hadir sama ialah 30 orang anak-anak yatim dari Persatuan Anak Yatim Darul Fuqaha. - BERNAMA

Kabinet setuju buka permohonan jual rumah PPR

SHAH ALAM, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk membuka permohonan bagi penjualan unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada golongan berpendapatan rendah khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan beban yang ditanggung Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menguruskan kediaman berkenaan.

"Kabinet semalam meluluskan permintaan saya untuk menjual unit PPR kepada pemohon yang layak daripada membiarkan Pihak Berkuasa Tempatan menguruskannya.

"Pihak Berkuasa Tempatan mendapati sukar untuk mengurus PPR kerana banyak fi sewaan dan penyeliaan tidak dibayar pada masanya oleh penduduk," katanya kepada pemberita selepas melancarkan komponen ketiga pembangunan di i-City di sini hari ini.

Namun Chor berkata, pemohon yang ingin membeli kediaman PPR harus mengikut syarat yang ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan di bawah RM2,500 sebulan, telah berkahwin dan tidak mempunyai rumah lain serta pemastautin tetap di Selangor dan Kuala Lumpur.

Permohonan boleh dibuat menerusi sistem terbuka PBT berkaitan, katanya.

Beliau berkata harga PPR yang bakal dijual berharga RM35,000 seunit termasuk PPR Lembah Subang, Selangor yang bakal dibina kira-kira 1,500 buah unit. - BERNAMA

Program kemahiran kepada golongan pekerja di politeknik

IPOH, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Tiga puluh buah politeknik di seluruh negara menawarkan program ”reskilling and upskilling” kepada golongan pekerja untuk mengikuti 35 kursus jangka pendek, panjang dan spesfik bagi meningkat kemahiran mereka serta mendapat ilmu pengetahuan baru.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menyasar 15,000 pekerja akan mengambil peluang mengikuti kursus yang ditawarkan itu dengan kos latihan paling rendah berbanding kursus yang ditawarkan swasta.

"Kita perluaskan program ini supaya dapat mengukuhkan dan memberi peluang kepada golongan pekerja serta membantu meningkatkan lagi kemahiran mereka. Ini penting, kita bukan hanya mahu memenuhi tuntutan negara malah kita mampu tingkatkan kemampuan negara untuk bersaing dalam dunia global di mana rakyat perlu melalui proses pembaharuan dan pencapaian kemahiran dan ilmu pengetahuan baru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan program ”Reskilling and Upskilling” Politeknik di Politeknik Ungku Omar di sini.

Mohamed Khaled berkata, pada masa sekarang, 23 daripada 30 politeknik bersedia menawarkan 35 program kepada golongan pekerja dan jumlah politeknik itu akan bertambah apabila setiap politeknik menentukan program masing-masing.

Beliau berkata, negara memerlukan sebanyak 33 peratus pekerja mahir pada 2015, iaitu peningkatan sebanyak lima peratus daripada 28 peratus jumlah pekerja ketika ini, dengan jumlah pekerja keseluruhan adalah sebanyak 11.8 juta pada 2010.— BERNAMA

8,000 tenaga mahir dilatih dalam program SLDN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Kementerian Sumber Manusia mensasarkan untuk melatih 8,000 pekerja syarikat perindustrian menerusi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) tahun ini dalam usaha menghasilkan tenaga kerja mahir yang diperlukan negara.

Timbalan Menteri, Datuk Maznah Mazlan berkata, daripada jumlah itu, 3,000 pelatih adalah golongan belia sama ada yang baru mendapat pekerjaan, tidak mempunyai pekerjaan atau tidak cukup syarat kelayakan kerja.

"Kita akan tingkatkan lagi sistem (SLDN) ini mengikut kaedah yang lebih praktikal sesuai dengan keperluan industri supaya pelatih dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang sebenar,” katanya selepas melancarkan Simulator Tren RapidKL dan program SLDN di LRT Ampang di sini hari ini.

SLDN adalah satu konsep latihan yang dijalankan di dua tempat iaitu 70 peratus di industri dan 30 peratus di pusat latihan yang merupakan kaedah latihan kemahiran yang komprehensif dan terkini berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

Maznah berkata, sasaran itu dijangka dapat dicapai memandangkan kementerian telah mengadakan pertemuan dengan 1,000 syarikat industri sejak program SLDN diwujudkan lima tahun lepas.— BERNAMA

Najib harap MITE 2012 menjadi pameran pelancongan terbaik

SERDANG, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Malaysia International Tourism Exchange (MITE) 2012, akan muncul sebagai pameran pelancongan terbaik di rantau ini ataupun dunia.

Najib berkata, dengan sasaran untuk secara strategiknya mengumpulkan vendor dan pembekal perkhidmatan di bawah satu bumbung untuk meneroka dan meraih peluang daripada industri pelancongan dunia, MITE juga membuka pintu kepada pelabur berpotensi untuk menimbangkan Malaysia sebagai ruang pelaburan dalam perniagaan berkaitan pelancongan.

“Dalam hubungan ini, MITE tentunya mewujudkan landasan bagi perangkaian dan kerjasama dari segi pembangunan perkhidmatan sokongan tambah nilai dan perkongsian idea," katanya pada pelancaran MITE 2012 di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.

Acara empat hari itu menarik lebih 600 pempamer dari 33 negara, 120 pembeli khusus dari 23 negara dengan jangkaan 600,000 pengunjung. - BERNAMA

Saham FGVH beri keutamaan kepada peneroka: Najib

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Peneroka Felda tetap mendapat keutamaan dalam langkah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) apabila lebih 70 peratus saham terbitan penawaran runcit FGVH diperuntukkan kepada golongan peneroka, warga pekerja Felda dan individu yang menyumbang kepada organisasi itu. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melancarkan prospektus FGVH hari ini sempena penyenaraian gergasi perladangan itu, mengumumkan daripada 255,371,000 saham terbitan penawaran runcit, sebanyak 182,408,000 saham terbitan diperuntukkan kepada peneroka, pekerja dan mereka yang telah memberi sumbangan kepada organisasi tersebut manakala 72,963,000 saham selebihnya adalah untuk pelabur awam.

Sehubungan itu, Najib berkata dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa kerajaan akan memanipulasikan golongan peneroka dengan penyenaraian tersebut sebagai tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa apa yang kita lakukan ini adalah sebagai menepati amanah yang ditinggalkan oleh ayahanda saya, Tun Abdul Razak Hussein. 

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda, saya dan rakan-rakan berjanji tidak akan sekali-kali membiarkan kemudaratan bukan sahaja kepada warga Felda tetapi juga kepada generasi terkemudian dan negara. Kita tetap akan memperjuangkan Felda sebagai institusi lambang kejayaan rakyat Malaysia," katanya di sini. 

Saham FGVH dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun ini. - BERNAMA

NFC: Siasatan SPRM ditutup, dapati Shahrizat tidak terbabit

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai pemberian pinjaman kerajaan RM250 juta kepada National Feedlot Corporation NFCorp ditutup selepas mendapati tiada pembabitan bekas menteri itu.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil dalam sidang akhbar di sini, sebentar tadi.
“Kami mendapati beliau (Sahrizat) tidak terbabit dalam proses pemberian pinjaman itu.

“Keputusan untuk memberi kontrak kepada syarikat berkenaan dan pemberian pinjaman tidak membabitkannya (Shahrizat)," katanya.

Tindakan denda tidak wajar: PERKASA Pulau Pinang

GEORGETOWN, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Pulau Pinang tidak gentar dengan denda yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana dikatakan membuat pembakaran terbuka pada 25 Mei lalu di bawah bangunan Komtar di sini. 

Pada masa yang sama, Ketua Wira Perkasa Timur Laut, Mohd Rizuad Mohd Azudin menyifatkan tindakan yang diarahkan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng menerusi MPPP itu adalah tidak masuk akal.

"Kita tidak gentar dan tetap akan meneruskan perjuangan yang dilakukan sebelum ini. PERKASA mendapat banyak sokongan dari rakyat yang rasa semakin terhimpit sekarang.

"Tindakan beliau (Lim) adalah tidak wajar kerana saya hanya seorang pemandu teksi. Kalau tidak ada duit untuk pilihan raya nanti, saya rela serahkan teksi saya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Dalam kejadian itu, Mohd Rizuad bersama 20 ahli PERKASA yang lain dilaporkan berhimpun selepas solat Jumaat untuk membakar 10 helai baju-T berwarna kuning yang dikatakan dipakai peserta Perhimpunan BERSIH 3.0 yang sudah insaf. 

Berikutan itu mereka berdepan hukuman denda sebanyak RM500,000 mengikut Akta 29 (a) Bahagian Alam Sekitar (DEO). - BERNAMA

Pameraan Al-Quran bersadur emas dan perak

KOTA BAHARU, KHAMIS, 31 Mei, 2012: Al-Quran bersadur emas dan perak berusia lebih 600 tahun dari zaman Dinasti Ming adalah dua daripada 100 jenis khazanah Islam dari China yang dipamerkan di Muzium Negeri Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini.

Pengarah Muzium Negeri, Abdul Rahman Abdullah berkata, pameran bertemakan ”Pameran Al-Quran Emas & Perak, Khazanah Islam dari China” yang akan berlangsung sehingga 31 Ogos ini, turut mempamerkan pelbagai alat kesenian tradisi Islam dari negara tembok besar itu yang berusia antara 300 dan 600 tahun.

“Ini adalah antara pameran terbesar melibatkan artifak peringkat antarabangsa yang dibawa khas dari salah sebuah negara tertua yang mempunyai ramai umat Islam,” katanya.

Abdul Rahman berkata, pengunjung dikenakan bayaran RM5 bagi dewasa manakala remaja dan murid sekolah masing-masing RM3 dan RM2. — BERNAMA

Dr Mahathir: 'Demokrasi hari ini bukannya demokratik'

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Mei, 2012: Kerajaan perlu bijak melayan tuntutan pelbagai pihak tanpa mengabaikan pegangan terhadap prinsip tertentu, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dulu bila kita (kerajaan Barisan Nasional) kuat, tak ada banyak sangat cabaran. Tapi bila lemah orang anggap kita akan layan mereka. Maka mereka buat tuntutan. Jadi bila tuntutan ini dibuat kita perlu kecekapan yang lebih daripada zaman dulu untuk tangani masalah ini.

"Saya tak kata kerajaan sekarang tak cekap. Cuma perlu ada kecekapan yang lebih," katanya kepada pemberita selepas berucap pada mesyuarat Meja Bulat Asia Pasifik ke-26 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya bertajuk "Governance in Asia: What's Best and What Works", Dr Mahathir berkata kerajaan sekarang perlu mempunyai kemahiran yang lebih tinggi dalam menguruskan negara.

Beliau berkata demokrasi bukan satu sistem yang mudah untuk mentadbir urus dan melaksanakan dasar-dasar kerana banyak perkara turut mengiringinya termasuk hak asasi manusia dan pelbagai bentuk kebebasan yang boleh membawa kepada kemusnahan dan ketidakstabilan.

"Sedikit demokrasi adalah baik. Hari ini golongan minoriti amat berkuasa hinggakan golongan majoriti terpaksa mengalah. Mereka tidak suka melakukan perkara tertentu tetapi mereka takutkan golongan minoriti yang boleh menjadi sangat ganas.

"Demokrasi pada hari ini bukannya demokratik. Demokrasi pada hari ini dilihat seolah-olah dikuasai golongan minoriti dan bukannya oleh golongan majoriti. Kita tidak boleh terima ini," katanya.

Dr Mahathir berkata satu-satunya yang baik mengenai demokrasi ialah rakyat boleh memilih kerajaan menerusi peti undi.

Semasa sidang media itu juga, Dr Mahathir turut ditanya pendapatnya mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir selaku pengarah urusan Proton Holdings Bhd berkuatkuasa 4 Julai ini.

"Tiap-tiap perubahan mesti ada pergolakan. Itu tak dapat elak tapi kita harap pergolakan itu tak berterusan dan tak berpanjangan," katanya.

Berhubung dakwaan penulis blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin bahawa berlaku amalan rasuah oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali semasa menjadi setiausaha sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir berkata Raja Petra perlu mengemukakan bukti mengenai perkara itu. - BERNAMA

Arahan Anwar bukan luar biasa

*DR. MAHATHIR Mohamad menjawab soalan daripada peserta sambil diperhatikan oleh pengerusi majlis, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan (kiri) pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-26 di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Mei, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengarahkan pegawai tinggi kerajaan melakukan sesuatu bukanlah perkara yang luar biasa.

Menurut Dr. Mahathir, Anwar ketika didakwa di mahkamah sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri pada penghujung 1990-an, pernah mengarahkan polis untuk menakutkan beberapa saksi yang terlibat dalam pertuduhan salah guna kuasa dan liwat dihadapinya.

"Kalau dia mengarah itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana dia biasa mengarah pegawai polis untuk menakutkan orang, itu pun dia biasa buat juga.

"Dia (Anwar) suruh polis 'gempaq' (menakutkan) pakar pergigian, (Allahyarham) Dr. Ristina Majid dan Ummi Hafilda (adik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali) yang terlibat dalam perbicaraan. Dia guna kuasa polis dengan cara salah," katanya.

Dr. Mahathir yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-26 di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin tentang bagaimana Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri bertindak menutup kes rasuah membabitkan setiausaha sulitnya, Azmin Ali.

Dalam pendedahan itu, Raja Petra mendakwa Anwar pada 1995, mengarahkan pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghentikan siasatan berhubung kekayaan luar biasa bernilai jutaan ringgit yang dimiliki Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin walaupun hanya bergaji RM2,442 sebulan selaku setiausaha sulit ketika itu.

Kata Dr. Mahathir, Raja Petra atau sesiapa sahaja yang membuat dakwaan rasuah perlu tampil kepada pihak berkuasa dengan bukti kukuh.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir yang juga Penasihat Proton Holdings Bhd. (Proton) memberitahu, tindakan Pengarah Urusan syarikat, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir meletak jawatan berkuat kuasa 4 Julai ini merupakan satu keputusan wajar.

Katanya, keputusan itu mampu mengelakkan syarikat pengeluar kereta nasional tersebut dibelenggu dengan konflik akibat pengambilalihan oleh DRB-Hicom Bhd.

"Kalau nak letak (Syed Zainal) di atas (jawatan tinggi), (pemilik) baru ini akan tidak berpuas hati kerana yang baru tidak boleh kawal, jadi Syed Zainal sendiri buat keputusan nak letak jawatan," katanya.

Semalam, Proton dalam satu kenyataan memberitahu perletakan jawatan Syed Zainal berkuat kuasa 4 Julai ini atas keputusan sendiri setelah berkhidmat dengan syarikat itu sejak enam tahun lalu. - UTUSAN

UM tangga teratas IPT Malaysia

Dr. Ghauth Jasmon
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Mei, 2012: Universiti Malaya (UM) mengekalkan kedudukan sebagai universiti premier untuk tahun keempat berturut-turut apabila menduduki tangga ke-35 keseluruhan dalam QS Asian University Rankings 2012 dan tangga teratas dalam kalangan institusi pengajian tinggi di negara ini.

UM mengekalkan penguasaannya sebagai universiti terulung di Malaysia sejak QS Asian University Rankings diperkenalkan empat tahun lepas dan mencatat penambahbaikan daripada segi ranking tahun demi tahun.

"Dalam ranking Asia yang dikeluarkan QS, UM mendapat mata keseluruhan 71.4 daripada kemungkinan 100 dan menduduki tempat keempat bagi pertukaran keluar masuk pelajar.

"Ia juga menduduki tangga teratas di Malaysia daripada segi reputasi akademik dan majikan," kata Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dalam kenyataan 

Sementa iu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ke-31 carta universiti terbaik dunia mengikut Quacquarelli Symonds (QS) QS-World University Ranking 2012/2013.

Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, pengiktirafan QS iaitu syarikat penarafan berpangkalan di London itu adalah bagi kategori universiti berusia bawah 50 tahun. - UTUSAN

PM prihatin nasib nelayan

PULAU PINANG, RABU, 30 Mei, 2012: Nelayan di negara ini bertuah kerana masalah mereka sentiasa mendapat perhatian daripada Perdana Menteri.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohad Khazin Hamzah berkata, ini kerana di kawasan parlimen yang diwakili Datuk Seri Najib Tun Razak juga terdapat kumpulan nelayan yang besar.

"Setiap kali Perdana Menteri turun ke Pekan, golongan nelayan seperti di Nenasi akan bertemunya dan menyuarakan masalah yang dihadapi mereka.

"Jadi, beliau 'masak' dan memahami keluhan nelayan dan berusaha membantu melalui pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Pulau Pinang ke-27 di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah LKIM negeri, Raja Kahalid Raja Ariffin. Menurutnya, atas faktor itulah kebajikan golongan itu sentiasa dijaga kerana mereka turut memberi sumbangan penting dalam ekonomi negara.

Mohad Khazin berkata, pelbagai bantuan seperti elaun sara hidup berjumlah RM200 sebulan dan pemberian subsidi diesel turut melambangkan keprihatinan Najib terhadap nasib nelayan.

"Sebelum ini, kerajaan menerusi LKIM meluluskan RM74 juta untuk membaik pulih serta membina rumah bagi manfaat 7,635 keluarga nelayan di seluruh negara.

"Pengenalan insurans bernilai RM100 setahun pula merupakan persediaan kepada nelayan yang mungkin mengalami kecederaan atau kemalangan ketika mereka berada di laut," katanya. - UTUSAN

Laporan sistem pilihan raya akan dibentang

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Mei, 2012: Satu pasukan antarabangsa dianggotai tujuh ahli politik dan ahli akademik asing, melawat Malaysia pada April bagi menilai keadilan proses pilihan raya, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang umumnya dijangka diadakan tahun ini.

Pasukan International Fact-Finding Mission on Elections in Malaysia itu dijadual mengeluarkan laporan mengenai sistem pilihan raya dalam waktu terdekat.

Misi pencarian fakta itu dijangka menyentuh mengenai pelbagai isu termasuk kredibiliti senarai pemilih, integriti sistem undi pos, dan akses pengundi kepada maklumat.

Bercakap pada sidang akhbar di sini pada April, Senator Nick Xenophon dari Australia, seorang daripada tujuh anggota pasukan misi pencarian fakta itu berkata: "Kami mahu menyediakan satu laporan yang adil, berdasarkan fakta dan seimbang."

Beliau menyifatkan misi itu sebagai fiercely independent atau 'sangat bebas'. Pendirian itu amat dialu-alukan untuk memastikan demokrasi benar-benar didukung.

Bagaimanapun, terdapat beberapa isu yang menimbulkan tanda tanya iaitu sama ada misi pencarian fakta itu benar-benar bebas dan sama ada laporan muktamadnya akan benar-benar bebas daripada pengaruh politik.

Apa yang jelas, misi pencarian fakta itu dijemput oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut terlibat dalam menetapkan terma rujukan misi itu. Amalan ini adalah di luar kebiasaan.

Di negara-negara lain, badan pilihan raya kebiasaannya akan menjemput pemerhati atau misi pencarian fakta dan membantu menetapkan terma rujukan.

Satu lagi amalan di luar kebiasaan ialah anggota misi itu dipilih secara khusus. Standard protokol di negara-negara lain ialah menjemput institusi terhormat seperti Komanwel, Kesatuan Eropah atau badan serantau seperti ASEAN untuk menjalankan misi itu.

Xenophon ialah antara 50 penggubal undang-undang di Australia yang mendesak supaya pertuduhan liwat terhadap Anwar digugurkan pada Februari 2010.

Penggubal undang-undang Australia itu juga sering mengkritik sistem perundangan Malaysia, merujuk sebuah jawatankuasa Parlimen sebagai 'mahkamah kanggaru'.

Dalam misi pencarian fakta pada April, Xenophon telah turut serta dalam perhimpunan Bersih di Dataran Merdeka dan mengadu gas pemedih mata disembur ke arahnya dan berkata cara polis mengendalikan perhimpunan itu membuktikan kerajaan Malaysia ialah kerajaan 'autoritarian'.

Selain mengkritik sistem politik Malaysia, Xenophon juga mengkritik industri minyak sawit negara. Senator itu berulang kali mendakwa minyak sawit tidak baik untuk kesihatan orang ramai dan menuduh rakyat Malaysia yang bekerja dalam industri sawit telah memusnahkan hutan tropika yang merupakan habitat Orang Utan.

Pendirian berkenaan membuatkan orang tertanya-tanya sama ada misi pencarian fakta antarabangsa mengenai pilihan raya di Malaysia itu akan menjadi sebuah badan yang benar-benar bebas, berwibawa dan boleh dipercayai. Rumusannya mungkin ia tidak bebas, adil atau objektif dalam erti kata sebenarnya. - BERNAMA

Diabetes semakin serius

KLANG, RABU, 30 Mei, 2012: Kajian Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) Cawangan Selangor mendapati serangan penyakit itu di negeri ini semakin membimbangkan dengan seorang daripada dua rakyat didapati menghidap penyakit tersebut.

Pengerusinya, Datin Dr. Santha Kumari berkata, antara faktor penyebab keadaan itu adalah amalan pemakanan yang tidak sihat.

Beliau memberitahu, kajian juga mendapati 22 peratus rakyat di negara ini yang berusia di bawah 30 tahun terdedah dengan risiko penyakit kencing manis.

"Kami memandang serius perkara ini kerana diabetes adalah penyakit berbahaya yang boleh mendatangkan pelbagai komplikasi. Justeru, kami meminta supaya rakyat mengamalkan cara hidup sihat, sekali gus dapat mencegah daripada menghidapi penyakit ini," katanya pada sidang akhbar berhubung penganjuran Majlis Makan Malam Amal di Hotel Premier di sini semalam. - UTUSAN

SPAD teliti hapus had usia bas sekolah

KUALA LUMPUR, 30 Mei, 2012: Cadangan untuk menghapuskan syarat had usia bas sekolah yang dituntut oleh para pengusaha bas akan diteliti oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya bersedia untuk mengkaji semua cadangan yang dikemukakan itu jika ia mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.

Katanya, SPAD bersimpati dengan kekangan yang dihadapi pengusaha bas dan pihaknya berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.

''Berhubung cadangan penghapusan syarat had usia bas sekolah berusia 30 tahun, ia bakal mengambil kira faktor keselamatan dan keuzuran kenderaan tersebut selain menerima respons ibu bapa yang risau dengan perkara berkenaan.

''Kita juga akan melihat kemampuan kewangan para pengusaha untuk membeli bas baru,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor (PPBSBKLS) di sini hari ini. - UTUSAN

Ahli minta Peguam Negara siasat Majlis Peguam

PUTRAJAYA, RABU, 30 Mei, 2012: Seorang Ahli Majlis Peguam hari ini menyerahkan notis kepada Pejabat Peguam Negara supaya mengambil tindakan menyiasat dan seterusnya membatalkan keanggotaan ahli majlis itu yang terlibat dengan penganjuran perhimpunan haram Bersih.

Notis tersebut disampaikan oleh Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz mengikut Seksyen 46A, Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan notis itu, beliau berkata, sebuah panel siasatan hendaklah ditubuhkan untuk menyiasat penglibatan ahli Majlis Peguam dalam penganjuran perhimpunan haram tersebut.

"Di bawah Seksyen 46A ini Peguam Negara dengan kuasa yang ada boleh memberikan perintah membatalkan keahlian mana-mana ahli sebagai ahli Majlis Peguam.

"Ini kerana Peguam Negara mempunyai kuasa untuk membatalkan keahlian mana-mana yang terlibat dengan aktiviti, kumpulan dan badan bersifat politik," katanya. - UTUSAN

Pembinaan lebuh raya cetus kontroversi

KOTA BHARU, RABU, 30 Mei, 2012: Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer bernilai RM1.8 bilion yang hendak dibangunkan oleh kerajaan Pas Kelantan mula menimbulkan pelbagai kontroversi.

Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussin mendakwa pengerusi kepada syarikat yang dilantik untuk menjayakan projek tersebut, Menta Construction Sdn. Bhd. merupakan Ahli Lembaga Pengarah kepada syarikat Genting Berhad yang diterajui bukan anak jati negeri ini.

Jelas beliau, ia bertentangan dengan tindakan Pas selama ini mendakwa kerajaan Pusat menggunakan duit haram membangunkan negara ini kerana wang itu kononnya diambil daripada Genting Berhad yang memiliki kasino di Genting Highlands.

"Kenapa selama ini mereka mendakwa Barisan Nasional (BN) menggunakan wang haram dalam pengurusan negara kerana sumber diperolehi adalah melalui duit judi, sedangkan syarikat dilantik ini juga diterajui oleh salah seorang individu penting dalam syarikat itu. - UTUSAN

Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 1- 30 Jun

PUTRAJAYA, RABU, 30 Mei, 2012: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Kempen Bulan Semakan Daftar Pemilih 2012 mulai bulan depan bagi membolehkan 12,658,803 pemilih yang mendaftar sehingga 31 Dis 2011 membuat semakan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kempen bermula 1 hingga 30 Jun itu bertujuan meningkatkan kesedaran betapa pentingnya pemilih menyemak status masing-masing sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

"Kempen itu akan memberi lebih banyak ruang kepada pemilih membuat semakan dan mengemaskini maklumat pendaftaran masing-masing jika terdapat sebarang kesilapan dan ketidaktepatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - BERNAMA

BN tunai janji di Ampangan tidak sampai empat bulan

*TAPAK gerai perniagaan di Ampangan, Negeri Sembilan yang akan di robohkan untuk pembinaan gerai baru.

SEREMBAN, RABU, 30 Mei, 2012: Semasa majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Ampangan di Gerai Perniagaan dan Pasar Ampangan dekat sini pada 15 Oktober tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta bagi menaik taraf serta menyelenggara tiga lokasi awam di kawasan berkenaan.

Daripada peruntukan itu, sebanyak RM4 juta bagi menaik taraf gerai perniagaan Ampangan, RM950,000 menyelenggara Rumah Pangsa Ampangan dan RM500,000 (pasar Ampangan).

Peruntukan itu disalurkan oleh kerajaan yang mahu melihat penduduk di kawasan berkenaan menikmati kehidupan lebih sejahtera meskipun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan dikuasai pembangkang yang menang buat pertama kali dalam pilihan raya umum lalu.

Tidak sampai empat bulan selepas pengumuman itu, janji tersebut telah pun ditunaikan.

Projek menaik taraf gerai perniagaan pula dijangka bermula pada Julai ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Ampangan, Anuwar Alabahas mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup penghuni rumah pangsa berkenaan.

"Saya dan penduduk kawasan ini tidak menyangka apa yang telah kami harap dan doakan selama ini termakbul akhirnya.

"Kami amat gembira dengan perubahan besar yang dilakukan di tempat tinggal kami. Kini kami boleh tinggal dalam keadaan lebih selesa dan harmoni," katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kata Anuwar, tanpa bantuan kerajaan, penduduk di kawasan tersebut mungkin tidak mampu membaiki kerosakan rumah termasuk kemudahan awam di kawasan perumahan itu.

"Sebelum ini kawasan ini boleh dikatakan sudah tidak bermaya kerana banyak masalah yang dihadapi penduduk selepas segala kemudahan termasuk saluran air rosak akibat terlalu usang.

"Tetapi kini semua telah berubah apabila longkang, tingkap, kawasan pembuangan sampah, paip air, termasuk taman permainan telah dibaiki.

"Bukan itu sahaja, rumah kami juga telah dicat, jalan ditar malah bumbung termasuk surau sudah dibaiki dan diganti," ujarnya.

DUN Ampangan adalah salah satu daripada enam DUN yang terletak dalam Parlimen Seremban.

Kawasan yang mengandungi sebanyak lapan kampung Melayu dan 20 taman perumahan ini mempunyai sembilan pusat mengundi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rashid Latif menewaskan muka baru Barisan Nasional (BN), Mohd. Nor Awang dengan majoriti 165 undi.

Jika diteliti pada keputusan tersebut, terdapat 236 undi rosak manakala 29 kertas undi lagi tidak dikembalikan.

"Walaupun calon PKR diangkat sebagai wakil rakyat, hakikatnya rakyat lebih mudah dan senang meminta pertolongan daripada Pusat Khidmat Masyarakat BN DUN Ampangan," kata Pegawai Penyelaras pusat tersebut, Ros Shahar Mustafa.

Jelasnya, wakil rakyat sedia ada sering memberi cadangan yang tidak munasabah apabila sesuatu masalah dibangkitkan kepadanya.

Kata Ros Shahar lagi, apabila penduduk mengadu masalah banjir kilat yang sering melanda kampung mereka, ADUN Ampangan itu hanya menyarankan supaya diadakan piket di depan Wisma Negeri yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini bukan menyelesaikan masalah tetapi hanya menambah masalah," ujarnya.

Beliau menarik perhatian, Pusat Khidmat Masyarakat BN DUN Ampangan menjadi begitu terkenal hingga ada rakyat dari DUN yang berjiran seperti Paroi dan Sikamat yang turut dikuasai pembangkang datang ke situ meminta bantuan.

Ros Shahar memberitahu, pelbagai bantuan disalurkan oleh kerajaan kepada rakyat di kawasan Ampangan selepas pilihan raya umum lalu.

Antaranya kata beliau, jika sebelum pilihan raya umum lalu jumlah penerima bantuan bulan Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah kira-kira 60 orang tetapi kini bertambah kepada 600 orang.

Sebanyak 50 buah rumah di kawasan itu juga telah dibaik pulih melalui Skim Baik Pulih Rumah melibatkan perbelanjaan kira-kira RM500,000.

Salah seorang penduduk Ampangan, Rosly Abu Bakar, 62, berharap para pengundi di situ akan membuat keputusan tepat pada pilihan raya umum akan datang.

"Apa yang kita lihat sejak pilihan raya umum lalu adalah bukti jelas pihak yang mana sebenarnya berkhidmat tanpa jemu.

"Janganlah diulangi kesilapan lalu dan buatlah keputusan demi masa depan kita semua," katanya. - UTUSAN

Pasukan khas siasat kenyataan Nizar

*MOHD. Fadil Muskon (tengah) menunjukkan laporan polis terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar berkenaan kenyataan yang dianggap biadab kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim di Balai Polis Sentral, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/nasirruddin yazid


Oleh IFQDAR A. RAHMAN
JOHOR BAHRU, RABU, 30 Mei, 2012: Polis negeri ini akan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd Shariff berkata, sehingga petang ini pihaknya telah menerima lapan laporan berhubung kenyataan pemimpin Pas Perak itu dan siasatan mengenainya akan dibuat mengikut Akta Hasutan 1948.

“Pihak kami akan meneliti dan melengkapkan kertas siasatan terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya. Justeru, saya berharap semua pihak dapat menghormati undang-undang negara ini dan tidak membuat sebarang kenyataan tidak berasas," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN

Bekas MB Perak digesa mohon ampun kepada Sultan

JOHOR BAHRU, RABU, 30 Mei, 2012: Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memohon ampun kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ekoran kenyataan biadab dikeluarkan bekas Menteri Besar Perak itu baru-baru ini.

Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, sebagai seorang Melayu dan beragama Islam, Mohammad Nizar tidak sepatutnya membuat kenyataan yang boleh menyinggung bukan sahaja perasaan keluarga diraja, malah tempiasnya turut dirasai rakyat negeri ini yang kasih kepada sultan.

Menurutnya, keceluparan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu yang tidak pernah serik dan sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan melampau perlu dipandang serius oleh kerajaan sekali gus PPPMM mahu tindakan tegas diambil terhadap beliau supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain. - UTUSAN

Kedah nafi naikkan kuota bumiputera bagi projek komersial

ALOR SETAR, RABU, 30 Mei, 2012: Kerajaan Pas Kedah menafikan telah menaikkan kuota bumiputera bagi projek komersial melibatkan bangunan perniagaan dari 30 peratus kepada 50 peratus hingga menyebabkan ramai pemaju beralih arah ke negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan negeri mengekal dan menggunakan dasar sedia ada yang diumumkan sejak 2008.

Katanya, menerusi dasar berkenaan, 30 peratus adalah kuota bumiputera dan 70 peratus bukan bumiputera bagi tanah bukan rizab Melayu yang diubah syarat untuk membangunkan projek perumahan dan komersial.

"Tanah membabitkan rizab Melayu bagi tujuan swapping termasuk perumahan dan komersial, kuota adalah 50-50 sejak 2008 dan kekal hingga ke hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini hari ini. - UTUSAN