My Add

Friday 28 February 2014


Ketua Wanita UMNO Felda Semanchu ditemui mati disyaki dibunuh

Oleh FAIZAL LUQMAN

KOTA TINGGI, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Semanchu, Zalifah Jamaluddin ditemui mati disyaki dibunuh di kediamannya dalam kejadian samun hari ini.

Kejadian itu disedari anak mangsa pukul 12.20 tengah hari setelah penggilannya tidak dijawab.
,
Kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman dan mayat telah dibawa ke hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat. - UTUSAN ONLINE 
Pengawal keselamatan dipenjara, sebat rogol adik kandung

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Seorang pengawal keselamatan hari ini dihukum penjara 16 tahun dan dikenakan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol adik kandungnya dua minggu lalu.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berumur 28 tahun dan memerintahkannya menjalani hukuman itu secara berturut-turut bermula hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan itu.

Ketika menjatuhkan hukuman, Manira menasihati tertuduh agar bertaubat dan insaf dengan perbuatannya itu.

Tertuduh didakwa merogol adik perempuannya yang berumur 22 tahun di rumah mereka di sini pada 8 pagi, 14 dan 16 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan kerana dia perlu menanggung ibu dan adik beradiknya yang tidak bekerja.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzlin Abd Zawawi memohon hukuman berat atas alasan tertuduh sepatutnya menjaga dan melindungi keselamatan adiknya. - BERNAMA 
Keselamatan: Malaysia-Filipina sedia wujudkan hotline

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Malaysia dan Filipina kemungkinan mewujudkan satu talian hotline bagi memudahkan tindakan segera daripada pasukan keselamatan antara kedua-dua negara sekiranya berlaku insiden.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut sejajar dengan komitmen Malaysia dan Filipina untuk meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah negara dalam bidang keselamatan.

Malah beliau berkata, rancangan itu juga berkait rapat dalam konteks mengukuhkan lagi usaha-usaha pencegahan daripada pasukan keselamatan Malaysia dan Filipina.

"Kami telah membincang mengenai soal keselamatan kerana ia amat penting untuk kedua-dua negara, paling penting kami akan berkerjasama rapat antara pasukan polis dan tentera (kedua-dua negara) terutama mengenai maklumat perisikan.

"Dalam soal ini juga kemungkinan Malaysia dan Filipina akan wujudkan talian hotline antara pasukan keselamatan kerana jika berlaku sebarang insiden, kita amat memerlukan tindakan segera sama ada daripada pihak Malaysia mahupun Filipina," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III di bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
2.2 juta penduduk Lembah Klang terbabit catuan air mulai Ahad ini

CYBERJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Kira-kira 2.2 juta penduduk di Lembah Klang terbabit catuan bekalan air yang bermula Ahad ini sehingga 31 Mac susulan paras air semua empangan di Selangor kini pada tahap kritikal.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim berkata, peringkat kedua pengagihan air berjadual itu membabitkan 260 kawasan di Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur.

Peringkat kedua ini membabitkan 358,342 akaun atau 431,617 isi rumah dengan jumlah keseluruhan pengguna kira-kira 2.2 juta, katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPAN di sini hari ini.

Katanya, seperti peringkat pertama, catuan peringkat kedua ini juga membabitkan penyaluran bekalan air selama dua hari dan catuan dua hari berikutnya mengikut zon.

"Bekalan air tidak terjejas di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, pusat pentadbiran persekututan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor di Shah Alam, Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Subang, hospital kerajaan dan swasta serta kawasan zon bebas cukai.

"Syabas turut menyediakan lori tangki dan tangki air statik untuk acara tertentu dan premis yang memerlukannya seperti majlis kenduri, pusat dialisis, rumah kebajikan dan kematian," katanya.

Beliau juga berkata, tempoh catuan sehingga 31 Mac itu akan diteliti semula bergantung kepada paras air di semua empangan yang terjejas.

Peringkat pertama catuan air yang bermula semalam melibatkan 60,000 isi rumah di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang susulan pencemaran amonia di Sungai Langat.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau menerusi SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222.

Sementara itu, mengulas agihan air berjadual di Kluang, Johor, Ismail berkata tempoh akan dilanjutkan susulan paras Sungai Sembrong Kiri semakin menyusut.

Di Negeri Sembilan, paras Empangan Gemencheh yang membekalkan air untuk daerah Tampin dan Rembau turut berada pada tahap membimbangkan, katanya. - BERNAMA 
PDRM bakal perkenal kaedah membuat laporan melalui e-mel

DUNGUN, JUMAAT, 28 Feruari, 2014: Orang ramai tidak lama lagi boleh membuat laporan kepada pihak polis melalui e-mel yang bakal diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sedang melakukan persiapan rapi serta langkah sistematik sebelum orang ramai boleh memanfaatkan kemudahan itu.

"Ini merupakan sebahagian dari proses permodenan siasatan, namun sekarang ini kita masih mengalami sedikit masalah teknikal dan sedang berusaha untuk menyelesaikannya.

"Sebaik kesemuanya selesai, kita akan gerakkan sistem ini dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menutup kursus penataran jurulatih program Belia Remaja Berwawasan di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui sistem laporan menerusi e-mel, kerja siasatan kes akan segera dilakukan sejurus laporan diterima. - BERNAMA 
Malaysia, Filipina setuju selesai pertikaian laut secara aman

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Malaysia dan Filipina bersetuju menyelesaikan pertikaian mengenai Laut Filipina Barat dan Laut China Selatan secara aman dengan berlandaskan keluhuran undang-undang dan Konvensyen mengenai Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS), kata Presiden Filipina Benigno S. Aquino III.

Dalam sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini, Aquino berkata sebagai negara anggota Asean, Filipina dan Malaysia percaya potensi mereka untuk terus maju hanya boleh dicapai dalam konteks antarabangsa yang berpegang teguh kepada keluhuran undang-undang.

"Kami percaya, pematuhan kepada keluhuran undang-undang, musyawarah dan dialog secara jujur perlu dijadikan asas sekiranya kita ingin membina sebuah Asia Tenggara yang makmur dan aman, yang tidak meminggirkan mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata untuk menjamin wujudnya keselamatan berterusan, kedua-dua pemimpin telah mengkaji semula pelbagai aspek dalam hubungan pertahanan, terutama pertukaran pendidikan dan latihan antara pegawai tentera dan pertahanan serta kegiatan latihan bersama dan pertukaran hasil risikan.

Aquino, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke ke sini, berkata kedua-dua negara akan menilai kemajuan yang dicapai oleh beberapa inisiatif dan kerjasama antara Malaysia dan Filipina dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Filipina-Malaysia kelapan yang akan berlangsung tahun ini. - BERNAMA 
Dua pegawai polis hadapi tuduhan rasuah

IPOH, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Dua pegawai polis masing-masing berpangkat penolong penguasa dan inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan rasuah dua tahun lepas.

Shuib Abdl Samad @ Zainul, 51, yang bertugas sebagai penolong penguasa Polis di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menghadapi tiga pertuduhan melibatkan rasuah berjumlah RM1,100.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Madihah Hairullah.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta RM500 secara bulanan daripada Tan Tiong An untuk mengelak daripada gangguan terhadap kerja nombor ekor haram yang dijalankan oleh Tan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Dila Tomyam, No 5, Gerai MPKK Medan Selera, Stesen Keretapi, Jalan Raja Idris, Kuala Kangsar pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 5 Julai 2012.

Bagi pertuduhan kedua, Shuib didakwa bersetuju untuk menerima RM300 secara bulanan daripada Tan untuk tujuan yang sama pada tempat dan tarikh yang sama. - BERNAMA 
Peniaga tidak letak tanda harga dihadap ke mahkamah, mulai esok

ALOR SETAR, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Peniaga pasar basah dan barangan runcit di negeri ini yang ingkar atau gagal meletakkan tanda harga pada barang jualan akan dihadapkan ke mahkamah.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah, Mohd. Sakri Saleh berkata, tindakan diambil menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan ini kita akan ambil bermula esok. Penguat kuasa PPDNKK akan buat pemantauan dari semasa ke semasa di semua pasar basah, pasar tani dan kedai runcit di negeri ini," katanya kepada pemberita ketika meninjau Pasar Besar di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada lagi notis amaran dikeluarkan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mereka yang ingkar kerana PPDNKK sudah mengeluarkan notis kempen mengingatkan peniaga agar mematuhi undang-undang. - BERNAMA 
Pengundi marah Anwar arah Chin Cheah letak jawatan

Oleh HUSSAINI AMRAN

HULU LANGAT, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Sebahagian besar pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang marah dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mereka juga kesal dengan tindakan Chin Cheh itu semata-mata kerana mahu memberi laluan kepada Anwar menjadi Menteri Besar Selangor.

"Ini tidak boleh diterima penduduk di kawasan Kajang," katanya pada sidang akhbar selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga di sekitar Jalan Kwan Tung, Kajang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Nilai pelaburan langsung Malaysia RM216.5 bilion tahun lepas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Malaysia mencatatkan nilai pelaburan langsung yang diluluskan sebanyak RM216.5 bilion pada 2013 iaitu memecah rekod tertinggi pada tahun sebelum itu yang berjumlah RM167.8 bilion.

Daripada jumlah itu, 72.5 peratus merupakan pelaburan langsung domestik manakala 27.5 peratus pelaburan langsung asing.

Kesemua pelaburan yang diluluskan itu membabitkan 5,669 projek dengan 14 daripadanya berstatus mega yang nilainya melebihi RM1 bilion.

Kesemua projek yang diluluskan itu berupaya mewujudkan kira-kira 192,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan. - UTUSAN ONLINE 
Aquino adakan pertemuan dengan PM

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III tiba di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kedua-kedua pemimpin itu akan membincangkan isu-isu dua hala dan meninjau peluang untuk mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia. - UTUSAN ONLINE 
MoU penstrukturan semula air Selangor tidak boleh diubah

HULU LANGAT, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air negeri tidak boleh diubah sekali pun jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan menjadi Menteri Besar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemungkinan tersebut telah diambil kira dalam MoU yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kelmarin.

"Jadi, dalam perbincangan antara Kerajaan Pusat menerusi kementerian dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri, kita telah nyatakan bahawa dalam perjanjian ini tidak boleh diubah.

"Ini bermakna komitmen dan jaminan dalam perjanjian kontrak itu mesti disempurnakan. Tidak boleh diubah baik melibatkan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan mesra ke sekitar Pusat Perniagaan Kwan Tung, Sungai Chua di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai dan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun. - UTUSAN ONLINE 
6, 7 Mac tarikh pendengaran rayuan keputusan kes liwat

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 6 dan 7 Mac ini untuk pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. - UTUSAN ONLINE 
Yang Dipertua Negeri Sarawak tamat perkhidmatan hari ini

KUCHING, JUMAAT, 28 Februari, 2014:Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menamatkan tempoh perkhidmatan secara rasmi hari ini.

Majlis perpisahan Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah diadakan di pekarangan Astana Negeri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Muhammad Azri perlu bayar ganti rugi RM800,000

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarang KL Pos Media & Production Sdn. Bhd., Wan Muhammad Azri Wan Deris adalah penulis blog Papagomo.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop ketika membenarkan saman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Wan Muhammad Azri yang difailkan pada 21 Mac 2013 kerana mengaitkan beliau dengan siri imej berhubung video seks.

Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 kepada Anwar dan RM50,000 kos. - UTUSAN ONLINE 
Darurat di Riau akibat jerebu tebal

JAKARTA, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Riau semalam mengisytiharkan darurat selepas jerebu tebal ekoran kebakaran hutan, melumpuhkan wilayah tersebut.

Jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho. berkata, wilayah yang mempunyai lima juta penduduk itu mengalami jerebu sejak beberapa minggu lalu ekoran kegiatan pembersihan tanah secara haram dan cuaca panas yang membelenggu wilayah berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, kebakaran yang berlaku menjadi semakin teruk dan perlu dipadam menggunakan pesawat pengebom air dan tindakan tersebut akan diambil," katanya - Reuters/UTUSAN 
Adenan Satem angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak kelima

KUCHING, JUMAAT, 28 FebRUARI, 2014: Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Barieng di Astana Sarawak di sini.

Baru menyambut ulang tahun ke-70 kelahirannya bulan lepas, Adenan yang berbaju Melayu gelap, melafazkan sumpah memegang jawatan kira-kira 9.38 pagi, melakar satu lagi detik bersejarah bagi Sarawak.

Pelantikan beliau hari ini menyusul selepas pendahulunya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, mengemukakan peletakan jawatannya pada 11 Februari selepas 33 tahun menjadi ketua menteri di negeri terbesar di Malaysia.

Adenan memulakan kerjaya politiknya pada 1979 apabila beliau bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Muara Tuang dalam satu pilihan raya kecil dan mengalahkan calon daripada Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) Razali Sabang dengan majoriti 2,797 undi.

Beliau mengekalkan kerusi DUN Muara Tuang dalam enam pilihan raya negeri berikutnya sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen ke-11 bagi kerusi Batang Sadong dan mengetepikan Adam Ahid daripada PAS dengan majoriti 9,371 undi. - BERNAMA 
MoU penstrukturan semula air Selangor tidak boleh diubah

HULU LANGAT, JUMAAT, 28 Februari, 2014: Perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor berhubung penstrukturan semula industri bekalan air negeri tidak boleh diubah sekali pun jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan menjadi Menteri Besar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemungkinan tersebut telah diambil kira dalam MoU yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kelmarin.

"Jadi, dalam perbincangan antara Kerajaan Pusat menerusi kementerian dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri, kita telah nyatakan bahawa dalam perjanjian ini tidak boleh diubah.

"Ini bermakna komitmen dan jaminan dalam perjanjian kontrak itu mesti disempurnakan. Tidak boleh diubah baik melibatkan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan mesra ke sekitar Pusat Perniagaan Kwan Tung, Sungai Chua di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai dan calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Kajang, Datin Paduka Chew Mei Fun. - UTUSAN ONLINE 
Perangi ketidaksaksamaan

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 * NAJIB Tun Razak melihat model bangunan Unitar selepas merasmikan kampus baharu Universiti Antarabangsa Unitar di Kelana Jaya, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Idris Jusoh (tiga dari kiri), Mohamed Nizam Tun Razak (dua dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Unitar, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi dan Pengerusi Unitar, Datuk Seri Suleiman Mohamed (kiri).
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Kerajaan memberi jaminan akan terus memerangi situasi pendapatan dan peluang kepada rakyat yang tidak saksama dan seimbang bagi membolehkan perpaduan nasional dicapai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, di sebalik pertumbuhan pendapatan dan ekonomi yang memberangsangkan, negara masih berdepan dengan cabaran terbabit.

"Sesetengah daripada kita kaya manakala ramai lagi masih bergelut untuk hidup. Salah satu punca pendapatan yang tidak seimbang adalah ketidaksaksamaan dalam mendapatkan peluang.

"Situasi ini jika dibiarkan, jurangnya akan bertambah lebar. Malah, ini akan menyebabkan perpaduan nasional yang tulen sukar untuk dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kampus baharu Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) di Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Canselor Unitar, Datuk Mohamed Nizam Tun Razak.

Najib memberitahu, selain itu, kerajaan juga sentiasa menggalakkan soal pendidikan yang merupakan alat untuk memerangi kemiskinan serta cabaran-cabaran berkenaan.

"Pada 1959, ketika Universiti Malaya (UM) menerima kemasukan penuntut sulungnya, cuma ada 300 orang yang mendapat pendidikan tinggi di negara ini. Pada 1967 pula, bilangan ini meningkat kepada 4,500 orang.

"Dengan peningkatan peluang pendidikan, dianggarkan satu daripada empat rakyat Malaysia berusia 18 hingga 24 tahun berpeluang mendapatkan pengajian tinggi. Untuk itu, kita akan sentiasa meningkatkan peluang pendidikan di setiap tahap pendidikan," jelas beliau.

Beliau berkata, pendidikan mampu meningkatkan kejayaan terutama bagi mereka yang dilahirkan dalam keadaan kurang bernasib baik.

"Dengan pendidikan juga, sosioekonomi masyarakat dapat ditingkatkan. Hari ini, kita lihat ramai anak-anak nelayan, penoreh getah dan petani pulang dengan kejayaan sebagai doktor, jurutera dan peguam," katanya.

Dalam pada itu, ketika bercakap mengenai Unitar, beliau berkata, perkembangan institusi pengajian tingi swasta (IPTS) itu amat berkait rapat dengan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Sebagai pengasas kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan Laporan Razak 1956, itu adalah antara usaha perjuangan legasi Allahyarham kepada negara," ujarnya.

Beliau mahu Unitar terus maju berdasarkan tiga kriteria iaitu sebagai universiti yang melahirkan penuntut yang mendapat akses kepada pendidikan berkualiti; universiti virtual yang merupakan pelopor dalam bidang utama; serta sistem pendidikan yang memberi nilai kepada penuntutnya. - UTUSAN 
Iktibar kepada pembangkang ketepikan kepentingan politik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Kerajaan negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang perlu mengambil iktibar daripada penangguhan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) di Selangor supaya mengetepikan kepentingan politik dalam isu melibatkan masalah rakyat.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, isu tersebut perlu dijadikan iktibar kepada pembangkang supaya mengutamakan kepentingan rakyat sebelum membuat sebarang polisi.

Beliau berkata, pakatan pembangkang harus menerima secara konsisten usaha kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah rakyat seperti mengelakkan kelewatan pelaksanaan Projek Langat 2 itu.

"Isu Langat 2 juga menunjukkan kerajaan Pusat tidak pernah mengetepikan mana-mana pihak mereka yang tinggal di negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang," katanya ketika menyampaikan memorandum kepada Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Shukri Md. Saad di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil Anwar hari ini antara lain meminta beliau mengambil iktibar daripada tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah itu.

"Anwar harus mengkaji semula polisi pakatan pembangkang untuk lebih menerima usaha-usaha kerajaan Pusat terutama projek yang menguntungkan rakyat.

"Ini jelas menunjukkan negeri pembangkang tidak diketepikan selagi mereka dapat menerima inisiatif kerajaan Pusat. Jadi, pada masa depan, kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang serta Selangor perlu konsisten menerima usaha baik kerajaan Pusat untuk rakyat.

"Projek Langat 2 misalnya penting kepada rakyat kerana dapat menambah sebanyak 1.9 bilion liter lagi kapasiti simpanan air daripada 4.3 bilion liter di negeri Selangor sekarang," katanya. - UTUSAN 
RBA bermaharajalela jika tiada tindakan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Red Bean Army (RBA) akan menjadi parasit yang boleh menjejaskan kestabilan dan perpaduan rakyat jika tiada sebarang tindakan tegas dikenakan terhadap tentera siber propembangkang itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, pendedahan pihak berkuasa yang menyatakan adalah sukar untuk mengenal pasti dalang di sebalik RBA hanya memberi ruang kepada mereka untuk bertindak melampau.

"Apabila polis beritahu susah nak kesan siapa RBA sebenarnya, itu beri jalan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab melancarkan lebih banyak propaganda jahat untuk runtuhkan negara.

"Sudah sampai masanya pihak berkuasa negara cari alternatif yang lebih berkesan untuk mencari mereka yang terlibat dalam RBA sekali gus mengenakan tindakan tegas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sumber polis memberitahu identiti individu di sebalik RBA masih belum dikenal pasti kerana kumpulan itu sering menggunakan pelbagai nama samaran dan akaun laman sosial palsu.

RBA terkenal dengan propaganda dan perbuatan kurang ajar mereka menyerang pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan kerajaan, semasa, sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Turut senada ialah Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang berkata, kemudahan dan kebebasan penggunaan Internet di negara ini seharusnya tidak disalah guna untuk tujuan merosakkan negara.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya menyokong semua propaganda jahat RBA kerana mereka secara jelas mahu menjejaskan kestabilan negara.

"Takkan kita mahu jadi seperti China yang melaksanakan polisi sekatan Internet. Jika itu dilakukan di negara ini, pasti ramai yang tidak puas hati," katanya.

daripada semua pihak.

"Sehubungan itu, masyarakat negara ini seharusnya menggunakan semua kemudahan yang disediakan oleh kerajaan secara bijak dan berhemah," ujarnya. - UTUSAN 
Abdul Khalid terhimpit isu air?

 Mohd. Ridzuan Abdullah
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersetuju meneruskan pembinaan Lori Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) semalam setelah hampir enam tahun tertangguh, menunjukkan keadaan beliau yang semakin terhimpit dengan pelbagai tekanan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya percaya persetujuan Langat 2 dibuat itu setelah Abdul Khalid mendapati kedudukannya dalam kerajaan negeri semakin goyah.

"Hampir enam tahun tertangguh, kenapa sekarang baharu hendak teruskan projek Langat 2?.

"Ini menunjukkan dalam tempoh itu kerajaan negeri sebenarnya boleh meneruskan pembinaan projek tersebut tapi sikap tamak dan tidak mengutamakan rakyat," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu Mohd. Ridzuan berkata, jika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar, Selangor bakal berdepan dengan pelbagai lagi krisis.

"Sebelum terlambat, Ikhlas ingin menasihatkan para pengundi di Kajang agar tidak tersalah pilih pemimpin," katanya. - UTUSAN 
Ambil tindakan terhadap Lim Kit Siang

PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil tindakan terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang didakwa menipu berhubung isu Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia.

Pengerusi Persatuan Pengukuhan Perpaduan Rakyat Pulau Pinang, Peter Chew berkata, Kit Siang selaku Ahli Parlimen DAP Gelang Patah didakwa membuat gambaran palsu dengan menyatakan Malaysia mengisi kedudukan paling bawah dalam CPI.

"Kit Siang menuduh sepanjang sembilan tahun semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, CPI negara jatuh daripada tangga 17 kepada 37 dan turun lagi kepada kedudukan ke-47 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Dia juga mendakwa CPI tercorot lagi dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga kedudukan ke-54 pada 2012," katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan bukti penipuan tersebut di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Peter menjelaskan kesemua tuduhan yang dibuat Kit Siang dalam sidang akhbar adalah tidak berasas memandangkan bilangan negara bertambah dan berbeza pada setiap kali CPI dilakukan. - UTUSAN 
JMM beri tempoh 10 hari Teresa Kok mohon maaf

 Teresa Kok
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) memberi tempoh 10 hari kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung penerbitan klip video 'ONEderfull Malaysia CNY 2014' sempena sambutan Tahun Baharu Cina Januari lalu.

Pengerusi JMM Selangor, Omar Saleh berkata, Teresa juga didesak membuat permohonan maaf di atas tindakannya mempersendakan Perdana Menteri dan isteri; kepimpinan tertinggi kerajaan serta keluarga mangsa pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah.

"Kita tidak boleh menerima tindakan biadab itu yang secara terang-terangan mempersendakan bukan sahaja kerajaan malah keluarga mangsa Lahad Datu yang masih bersedih dengan kejadian itu.

"Sekiranya Teresa enggan memohon maaf dalam tempoh 10 hari, kami bersama-sama ahli-ahli persatuan lain akan mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabatnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Omar bersama pemimpin pertubuhan tersebut sebelum itu menyerahkan memorandum bantahan berhubung penerbitan klip video itu kepada Pegawai Khas Teresa, Alice Lan Suet Ling di pejabat Ahli Parlimen itu.

Beliau dalam pada itu turut mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas semua pihak yang terlibat dalam penerbitan klip video tersebut.

"Penerbitan klip video tersebut dilihat sengaja mencetuskan provokasi yang berniat jahat sedangkan negara kini dalam keadaan aman dan harmoni.

"JMM berharap kerajaan segera melucutkan kerakyatan Teresa sebagai hukuman di atas tindakan biadab beliau," tegasnya. - UTUSAN 
PKR urus penyelesaian isu saman

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 27 Februari, 2014 Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu hari ini mengadakan pertemuan dengan ahlinya, Mohd. Shamsul Mat Amin berhubung isu saman terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjejaskan hubungan parti itu dengan Pas.

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, setelah mendengar penjelasan pendirian bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Besi itu dan hasil daripada perbincangan, kata sepakat telah dicapai yang dibayangkannya sebagai penyelesaian terhadap isu itu.

"Kita mencapai keputusan positif setelah meneliti segala aspek, kepentingan kedua belah pihak, juga hubungan ukhuwah dalam pakatan pembangkang dan usaha mengukuhkan lagi di semua peringkat," ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mengumumkan keputusan yang dicapai sama ada saman itu ditarik balik atau penyelesaian dibuat di luar mahkamah.

Katanya, adalah lebih baik keputusan yang dicapai dalam mesyuarat berhubung isu ini diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekembalinya dari luar negara.

Mohd. Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Dungun tidak berada bersama barisan kepemimpinan PKR negeri dalam sidang media itu dan beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.

Menurut Azan, PKR sebelum ini melihat perkara tersebut (saman) merupakan persoalan peribadi dan parti tidak memberi tekanan terhadap beliau (Mohd. Shamsul).

"Namun setelah berlaku (penghakiman ingkar) baharu kita semua rasa ia sepatutnya diuruskan lebih awal. Ini menjadi pengajaran kepada semua pihak," ujarnya. - UTUSAN 
Suasana sedih selubungi hari terakhir Abdul Taib

KUCHING, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Tan Sri Abdul Taib Mahmud gagal menyembunyikan perasaan sedih ketika meninggalkan pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini secara rasmi sebagai Ketua Menteri hari ini.

Beliau yang memegang jawatan itu selama 33 tahun diiringi isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib pada mulanya turun dari pejabatnya di tingkat 22 dalam keadaan tersenyum.

Bagaimanapun, riak wajah bakal Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh itu mulai berubah sedih apabila melihat sambutan luar biasa kakitangannya.

Rata-rata wajah kakitangan awam yang hadir sedih, malah ada yang mengalirkan air mata sebaik sahaja melihat Abdul Taib menghampiri mereka untuk bersalaman dalam suasana cuaca redup yang seolah-olah turut bersedih.

Mereka turut dilihat memegang sepanduk yang bertulis 'I Love Pehin Sri', 'I Love Ketua Menteri', 'Terima Kasih Pehin Sri' dan pantun-pantun Melayu sebagai penghargaan.

Menariknya, bakal Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem membaca rangkap-rangkap pantun tersebut sambil diperhatikan oleh Abdul Taib.

Sebelum meninggalkan bangunan tersebut, Abdul Taib bersalaman dengan semua ketua jabatan dan sempat memberikan beberapa lagi nasihat terakhir.

Abdul Taib, 78, melakar sejarah dalam dunia politik Sarawak sebagai tokoh termuda yang mengangkat sumpah sebagai Menteri pada 22 Julai 1963.

Ketika usianya baharu 27 tahun, Abdul Taib terus mencurah bakti dan dedikasi sebagai Menteri Persekutuan selama 13 tahun dan seterusnya menjadi Ketua Menteri Sarawak pada 26 Mac 1981.

Adenan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri akan mengambil alih tugas beliau secara rasmi selepas upacara mengangkat sumpah yang dijadual berlangsung di Astana Negeri Sarawak pada pukul 10 pagi esok. - UTUSAN 
Tidak maklum isu air, bukti Anwar dan Khalid tidak serasi

KAJANG, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaaan Persekutuan bagi penstrukturan semula industri air Selangor semalam, tanpa memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan tiada penyelarasan dan koordinasi antara kedua-dua pemimpin itu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyifatkan Khalid mempunyai keberanian dalam berpolitik kerana tidak membincangkan perkara itu dengan Ketua Pembangkang serta mendahulukan kepentingan rakyat di Selangor.

"Saya akui bahawa pemeteraian MoU menunjukan keikhlasan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Khalid dalam mencari satu penyelesaian meskipun ia (isu air) telah lama berlarutan.

"Sekurang-kurangnya, ia demi masa depan yang lebih baik bagi memastikan bekalan air tidak terputus di negeri ini," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Taman Berjaya, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mewakili Kerajaan Persekutuan bersama Khalid menandatangani MoU penstrukturan semula industri air Selangor di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya.

Namun, Anwar memberitahu media bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai MoU berkenaan. - BERNAMA 
Riau dilanda jerebu teruk

 * GAMBAR fail bertarikh 16 Februari lalu merakamkan seorang penduduk tempatan menyemburkan air di kawasan kebakaran hutan tanah gambut di daerah Pekanbaru, wilayah Riau, Indonesia. - AFP
JAKARTA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Riau, hari ini mengisytiharkan darurat ekoran keadaan jerebu tebal yang melumpuhkan wilayah tersebut berikutan kebakaran hutan di kawasan berkenaan.

Agensi Pencegahan Bencana Nasional berkata, wilayah yang mempunyai penduduk seramai 5 juta orang dan menjadi pusat perladangan kelapa sawit itu dilanda jerebu sejak beberapa minggu lalu susulan kegiatan pembersihan tanah secara haram dan cuaca panas yang melanda wilayah berkenaan.

“Kebakaran yang berlaku dilaporkan semakin teruk dan perlu dipadam menggunakan pesawat untuk mengebom air," kata jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Nasional, Sutopo Purwo Nugroho.

Imej yang dipaparkan oleh Reuters TV menunjukkan asap dari kawasan tanah yang terbakar memenuhi udara, manakala beberapa orang anggota bomba yang berusaha memadamkan kebakaran itu mengadu mereka mengalami masalah kekurangan peralatan dan bekalan air.

Pihak berkuasa di wilayah tersebut turut mengedarkan topeng muka dan menggesa penduduk di kawasan terlibat supaya berada di dalam rumah.

“Situasi sekarang sangat membimbangkan dengan 22,000 kes membabitkan masalah pernafasan dilaporkan berbanding 5,000 kes pada Januari lalu," kata Ketua Jabatan Kesihatan Riau, Zainal Arifin kepada wartawan.

Agensi Pencegahan Bencana Nasional berkata, beberapa penerbangan dibatalkan atau dialihkan dari lapangan terbang di Riau kerana tahap jarak pemandangan yang semakin merosot kepada kurang satu kilometer.

Persatuan Minyak Sawit Indonesia memberitahu Reuters keadaan jerebu itu telah menyebabkan beberapa pengangkutan dari lapangan terbang dan pelabuhan di negara jiran dan wilayah Sumatera Utara tertunda.

Minggu lalu. polis menahan 26 suspek yang disyaki terlibat dengan aktiviti pembakaran dan pembersihan hutan di wilayah tersebut membaitkan kawasan seluas 2,000 hektar. - REUTERS/UTUSAN 
Parlimen Crimea ditawan

 * ETNIK Rusia dan Crimea menolak antara satu sama lain ketika berlakunya pertempuran sesama mereka berhampiran bangunan Parlimen Crimea di Simferopol, kelmarin. - REUTERS
KIEV, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Sekumpulan lelaki bersenjata pro-Rusia dilapor menawan bangunan Parlimen di wilayah autonomi Crimea, selatan Ukraine dan mengibarkan bendera Rusia, hari ini.

Perdana Menteri Crimea, Anatoliy Mohilyov berkata, sebanyak 50 lelaki bersenjata menyerbu bangunan Parlimen di Simferopol, ibu wilayah Crimea pada awal pagi dan menghalang petugas awam memasuki bangunan itu.

Mohilyov berkata, pihak berkuasa tempatan sedang membuat persiapan untuk bertindak, namun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang tindakan yang akan diambil.

Agensi berita Ukraine, Interfax melaporkan, kumpulan bersenjata itu yang lengkap berpakaian perang memasuki bangunan tersebut dengan menembak pintu kaca dan mengarahkan pegawal keselamatan meninggalkan premis itu.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri sementara Ukraine, Arsen Avakov berkata, pasukan keselamatan negara ini telah dikerah ke wilayah itu untuk menangani krisis tersebut.

“Pasukan khas Kementerian Dalam Negeri dan polis telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut," katanya.

Sementara itu, kerajaan wilayah Crimea dalam satu kenyataan meminta semua penjawat awam agar tidak bekerja pada hari ini.

Beberapa media melaporkan sejumlah kereta kelihatan berpusu-pusu menuju ke Simferopol dari pekan pro-Rusia, Sevastopol.

Ada laporan mendakwa bangunan kerajaan dikawal oleh kumpulan militia pro-Rusia yang dibentuk oleh penduduk setempat.

Kejadian itu berlaku ketika kebimbangan yang semakin meningkat terhadap gerakan kumpulan pemisah pro-Rusia yang beroperasi di semananjung Laut Hitam ekoran penggulingan Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych yang disokong Moscow. - AFP/UTUSAN 
Robert Kuok kekal terkaya - Forbes

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Buat kali kesembilan berturut-turut, Tan Sri Robert Kuok, 90, berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai rakyat Malaysia terkaya, menurut Senarai Orang Kaya terkini oleh majalah Forbes.

Kuok kekal di kedudukan itu sejak 2006, apabila majalah itu mula menyenaraikan rakyat Malaysia dalam keluarannya. Nilai kekayaan beliau ialah AS$11.5 bilion (RM37.67 bilion), tetapi menurun AS$1 bilion (RM3.28 bilion) berbanding tahun lalu.

Beliau memiliki rangkaian perniagaan dalam sektor minyak sawit, perkapalan, media, hotel dan hartanah.

Rakyat Malaysia kedua terkaya ialah Tan Sri Ananda Krishnan yang juga berjaya mengekalkan kedudukannya dengan nilai kekayaan AS$11.3 bilion (RM37.01 bilion). Kekayaan beliau juga merosot berbanding AS$11.7 bilion (RM38.32) sebelum ini.

Beliau mempunyai kepentingan di dalam syarikat telekomunikasi, Maxis, stesen televisyen berbayar Astro dan tenaga.

Ketiga ialah jutawan kasino, Lim Kok Thay, yang mengetuai Genting Group dengan mempunyai rangkaian pusat peranginan beserta kasino di Bahamas, London, Singapura, Malaysia, Filipina dan New York. Kekayaannya bernilai AS$6.5 bilion (RM21.29 bilion), juga merosot daripada AS$6.6 bilion (RM21.62 bilion) tahun lalu.

Pengerusi Hong Leong Co. (Malaysia), Tan Sri Quek Leng Chan berjaya menduduki tempat keempat dengan nilai kekayaan AS$6.4 bilion (RM20.96 bilion) iaitu peningkatan mendadak daripada AS$1.6 billion (RM5.24 bilion) sebelum ini.

Dengan itu, beliau merupakan individu yang berjaya meningkatkan kekayaannya terbesar dalam tempoh setahun. Antara rangkaian perniagaannya ialah Hong Leong Financial Group, Guoco Group dan Lam Soon.

Selain itu, adik-beradik Shahril dan Shahriman Shamsuddin yang berada di tempat ke-11 berjaya meningkatkan kekayaan mereka kepada AS$1.4 bilion (RM4.59 bilion) daripada AS$1.05 bilion (RM3.44 bilion) sebelum ini.

Peningkatan itu didorong oleh perolehan SapuraKencana Petroleum yang dijangka mencecah RM996 juta bagi tahun 2014 selain pasaran sahamnya yang meningkat 55 peratus dalam tempoh setahun lalu.

Meskipun tahun lalu menyaksikan prestasi Ringgit Malaysia jatuh, namun bilangan orang kaya yang tersenarai dari Malaysia telah meningkat berbanding tahun lalu.

Antara individu yang baharu tersenarai ialah Surin Upatkoon yang mempunyai kerakyatan Thailand tetapi telah lama menetap di Malaysia. Beliau berada di tempat ke-13 dengan kekayaan sebanyak AS$1.3 bilion (RM4.26 bilion). Kekayaannya meningkat 61 peratus selepas menjual sebahagian besar keptningannya di dalam Thai Telecom InTouch.

Datuk Mokhzani Mahathir berada di tempat ke-15 dengan nilai kekayaan AS$1.2 bilion (RM3.93 bilion) selepas nilai saham minyak dan gas yang dimilikinya meningkat 22 peratus.

Individu lain yang tersenarai ialah ahli perniagaan hartanah, Danny Tan Chee Sing di tempat ke-16 dengan nilai kekayaan AS$1.15 bilion (RM3.77 bilion), Goh Peng Ooi di tempat ke-17 dengan AS$1.1 bilion (RM3.6 bilion), disumbangkan oleh peningkatan nilai saham syarikat perisiannya, Silverlake Axis.

Kebanyakan orang kaya yang baru tersenarai terlibat di dalam sektor pengeluaran sarung tangan dan perkhidmatan minyak dan gas (O&G).

Sementara itu, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berada di tempat ke-31 dengan kekayaan AS$560 juta (RM1.84 bilion) yang mengetuai syarikat penyedia perkhidmatan helikopter kepada industri O&G, Weststar Aviation.

Diikuti Lim Kuang Sia (ke-34, RM1.41 bilion, Kossan Rubber) Ling Chiong Ho (ke-35 RM1.4 bilion, Shin Yan Group), Teoh Beng Seng (ke-41, RM1.03 bilion, Zhulian Corp), Tan Chin Nam (ke-46, RM792 juta, Wah Seong), Lim Han Weng (ke-47, RM775 juta, Yinson Holdings), Freddy Lim Nyuk Sang (ke-48, RM759 juta Kretam Holdings), Stanley Thai (ke-49, RM742 juta, Supermax) dan Robert Tan (ke-50, RM726 juta, IGB Corp). - BERNAMA 
Empat sahabat rentung kereta terbakar

KLANG, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Empat sahabat mati rentung selepas kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki terbakar dalam kemalangan di hadapan Balai Polis Kapar di Batu 10, Jalan Kapar di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, seorang lagi rakan mereka terselamat selepas berjaya merangkak keluar dari kenderaan itu.

Difahamkan, sebelum terbakar, kereta itu dipercayai terbabas dan melanggar lampu isyarat serta tiang lampu seterusnya menghentam dinding sebuah kedai emas.

Mangsa yang maut ialah pemandu, Ang Chin Fu, 18; Lee Boon Huat, 19; Chong Chee Seng, 21, dan Chew Yee Ying, 19.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, ketika kejadian, Perodua Myvi itu datang dari arah Klang menghala ke Kapar.

Menurutnya, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati laluan di situ mempunyai tiga lorong dari kedua-dua arah, berlampu dan tidak hujan.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan tidak menolak kemungkinan kereta tersebut dipandu laju selain mereka dipercayai di bawah pengaruh alkohol," katanya di sini hari ini.

Tambah Mohd. Shukor, kesemua mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, mangsa yang terselamat, Chai Chee Seng, 18, yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar di HTAR memberitahu, dia diajak keluar minum oleh keempat-empat mangsa pada kira-kira pukul 1 pagi.

Jelasnya, dalam perjalanan pulang, kereta mereka terbabas lalu melanggar lampu isyarat seterusnya hilang kawalan sehingga merempuh sebuah kedai emas.

"Saya berjaya keluar dari kereta manakala empat lagi pengsan.

"Saya mahu menarik mereka keluar tetapi pintu tidak dapat dibuka dan kereta terus terbakar," jelasnya. - UTUSAN 
Empat pelajar KTAR terbunuh kereta bertembung lori

 * KEADAAN kereta Perodua Viva dan lori selepas bertembung dalam kemalangan yang mengorbankan empat pelajar KTAR di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Kampar, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS
KAMPAR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Empat pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) Kampar di sini terbunuh apabila kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori membawa tar di Kilometer 26, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, Thomas Loh Tet yang merupakan pemandu kereta dan tiga rakan wanitanya, Koh Suet Mun dari Lahat, Wong Pei Pei dari Lumut dan Ling Yok Sue dari Batu Gajah, meninggal dunia serta-merta.

Kesemua mangsa yang berusia 20 tahun merupakan pelajar pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di KTAR.

Difahamkan, kejadian kira-kira 500 meter dari persimpangan Gua Tempurung itu berlaku ketika kesemua pelajar berkenaan dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kampar untuk ke kolej mereka.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ng Kong Soon berkata, kemalangan berlaku apabila pemandu Perodua Viva itu gagal memotong sebuah kenderaan lain di selekoh tempat kejadian dan bertembung dengan lori berkenaan.

"Akibat pertembungan itu, Perodua Viva berkenaan diseret sehingga ke laluan bersebelahan menyebabkan kenderaan tersebut remuk teruk dan kesemua mangsa di dalamnya tersepit serta meninggal dunia.

"Pihak bomba mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan kesemua mayat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kong Soon, pemandu lori terlibat, Balvinder Singh Indar, 32, yang tidak cedera ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujar beliau, semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 28 kesalahan lalu lintas dan mempunyai satu waran tangkap yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik kerana gagal mempamerkan cukai jalan.

"Pemandu lori berkenaan ditahan sehingga siasatan selesai sebelum diserahkan kepada pihak IPD Gerik," ujarnya.

Tambah Kong Soon, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga masing-masing. - UTUSAN 
'Tuhan Harun' minta dilepas dengan jaminan

KUANTAN, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Ketua ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat yang menghadapi tuduhan berhubung pembunuhan Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk dibebaskan dengan jaminan.

Peguam Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili Harun, 48, menyatakan, permohonan itu dibuat atas faktor kesihatan anak guamnya yang diserang angin ahmar menyebabkannya memerlukan pengawasan dan rawatan rapi.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Khalmizah Salleh pula memohon tuduhan bunuh yang dihadapi oleh Sumustapha Suradi dan tuduhan subahat membunuh ke atas Harun serta dua lagi pengikutnya dibicarakan secara serentak.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman kemudian menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan kedua-dua permohonan itu.

Beliau turut berharap pengurusan kes itu dapat dipercepatkan supaya tarikh perbicaraan dapat ditetapkan.

Harun yang diserang angin ahmar sejak Jun tahun lalu, hadir di mahkamah dengan berbaju putih dan berkerusi roda diiringi isterinya, Azida Mohd. Zol, 31.

Pada 16 Disember tahun lalu, Sumustapha, 40, didakwa membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di Nombor 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November tahun lalu.

Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara Harun, Azida dan seorang lagi pengikut ajaran sesat itu, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 38, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.

Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori. - UTUSAN 
Empat sekeluarga maut nahas

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN

JEMPOL, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Empat sekeluarga termasuk seorang anggota Askar Wataniah maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 22, Jalan Bahau-Keratong, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Mohd. Fauzan Abu Bakar, 32, yang bertugas di Port Dickson dekat sini maut di tempat kejadian bersama isteri, Nur Hidayah Ngah, 28, serta dua anak perempuan mereka, Nur Ain Shahiera, 6, dan Nur Aina Shahmiera, 10 bulan.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta Proton Saga dari arah Keratong menuju ke Bahau.

Beliau berkata, sampai di lokasi kemalangan, sebuah kereta Proton Waja yang datang dari arah Bahau tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta mangsa.

"Pertembungan itu mengakibatkan kereta Mohd. Fauzan terbalik. Dia serta keluarganya cedera parah akibat tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pemandu Proton Waja, Muhammad Fairahall Abbas, 45, yang memandu berseorangan pula patah kaki kanan dan dikejarkan ke hospital," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Hamzah, kesemua mayat mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bandar Seri Jempol sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Pemandu kereta Proton Waja itu adalah adik kepada wakil TV3 negeri ini, Muhammad Faizal Abbas. - UTUSAN 
Iktibar kepada pembangkang ketepikan kepentingan politik

KUALA LUMPUR, KGAMIS, 27 Februari, 2014: Kerajaan negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang perlu mengambil iktibar daripada penangguhan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) di Selangor supaya mengetepikan kepentingan politik dalam isu melibatkan masalah rakyat.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, isu tersebut perlu dijadikan iktibar kepada pembangkang supaya mengutamakan kepentingan rakyat sebelum membuat sebarang polisi.

Beliau berkata, pakatan pembangkang harus menerima secara konsisten usaha kerajaan Pusat untuk menyelesaikan masalah rakyat seperti mengelakkan kelewatan pelaksanaan Projek Langat 2 itu.

"Isu Langat 2 juga menunjukkan kerajaan Pusat tidak pernah mengetepikan mana-mana pihak mereka yang tinggal di negeri di bawah pemerintahan pakatan pembangkang," katanya ketika menyampaikan memorandum kepada Setiausaha Politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Shukri Md. Saad di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Memorandum yang diserahkan kepada wakil Anwar hari ini antara lain meminta beliau mengambil iktibar daripada tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah itu.

"Anwar harus mengkaji semula polisi pakatan pembangkang untuk lebih menerima usaha-usaha kerajaan Pusat terutama projek yang menguntungkan rakyat.

"Ini jelas menunjukkan negeri pembangkang tidak diketepikan selagi mereka dapat menerima inisiatif kerajaan Pusat. Jadi, pada masa depan, kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang serta Selangor perlu konsisten menerima usaha baik kerajaan Pusat untuk rakyat.

"Projek Langat 2 misalnya penting kepada rakyat kerana dapat menambah sebanyak 1.9 bilion liter lagi kapasiti simpanan air daripada 4.3 bilion liter di negeri Selangor sekarang," katanya. - UTUSAN 
Bidas tuduhan 'Myanmar' undi di Kajang

 Kiri Wan Junaidi, Tian Chua
PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan portal-portal pembangkang didakwa sengaja menimbulkan kekeliruan dengan memainkan isu kononnya warga asing akan mengundi di Kajang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, selain Tian Chua yang membangkitkan isu tersebut dalam akaun Facebook miliknya, blog Milo Suam turut melakukan pembohongan sama.

Menurutnya, portal www.selangorkini.com.my dalam artikelnya melaporkan '40,000 Warga Myanmar Bersiap Sedia Mengundi di DUN Kajang', The Malaysian Insider 'Pusat Pelindungan Pelarian di Kajang Cetus Kejutan' dan Presiden Solidiriti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham memainkan isu 'Kajang Sudah Jadi Yangoon'.

Tegas beliau, semua laporan tersebut sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan salah faham demi kepentingan pembangkang ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Sebenarnya, apa yang berlaku pada 21 Februari lalu, pukul 8 pagi hingga 3 petang, bertempat di pejabat Pertubuhan Kebajikan Pelindungan Pelarian (POR) di no. 94, 95 dan 96 di Jalan Bukit, Taman Bukit, Kajang, telah berlangsung pendaftaran bagi pelarian Myanmar dan Sri Lanka.

"Pendaftaran tersebut telah dilakukan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Februari lalu dan akan diteruskan dari semasa ke semasa oleh penyelaras POR, R. Ravindran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen kepada 928 penerima, di sini hari ini.

Wan Junaidi menjelaskan, POR bertujuan mendaftarkan warga Myanmar dan Sri Lanka atas platform sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Negeri Selangor sejak 24 Julai tahun lalu.

POR yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) bergiat cergas dalam aktiviti pendaftaran warga Myanmar dan Sri Lanka untuk didaftarkan bagi mendapatkan status pelarian selepas ditemuduga oleh UNHCR.

POR turut mengendalikan rumah pelindungan kepada pelarian yang memerlukan bantuan selain membantu Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan UNHCR memperoleh statistik serta butir-butir peribadi para pelarian.

"Pada 21 Februari lalu 2,000 orang warga Myanmar dan Sri Lanka dari seluruh negara datang ke pejabat POR namun siasatan mendapati mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya pendaftaran akan ditutup.

"Pihak POR telah menafikannya dan mengesyaki ada pihak yang sengaja mencetuskan suasana panik sehingga ramai warga asing dari kedua-dua negara itu datang ke Kajang," ujar beliau. - UTUSAN 
Guan Eng, Anthony gagal?

 * G. ASOGHAN menunjukkan helaian siaran akhbar yang dibuatnya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar mendesak kepemimpinan DAP menghormati ROS di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

BUTTERWORTH, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Semua Pengerusi DAP negeri diminta mengemukakan senarai perwakilan yang menghadiri pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu pada 29 September lalu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bekas Ketua Cawangan DAP Jalan Bagan Luar, G. Asoghan berkata, langkah itu perlu kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook yang jawatan mereka belum disahkan didapati gagal memberikan kerjasama kepada ROS apabila diminta menyerahkan dokumen senarai 985 cawangan pada pemilihan CEC berkenaan.

"Kedua-dua mereka telah gagal mengemukakan salinan dokumen senarai 985 cawangan yang telah diberi status Sijil A dan salinan 500 surat yang ditandatangani oleh perwakilan tidak hadir.

"Mereka sengaja berlengah-lengah sehingga ROS terpaksa menulis surat baharu bertarikh 18 Februari lalu yang meminta Guan Eng mengemukakan dokumen bagi membolehkan siasatan terperinci mengenai CEC dibuat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Asoghan berkata, kedua-dua pemimpin DAP itu harus bertanggungjawab dan mereka tidak boleh menyalahkan ROS kerana hanya meminta dokumen pemilihan tersebut.

Katanya, ROS bukan ejen kerajaan dan parti politik di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya ingin mengetahui status saman yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo terhadap ROS.

"Gobind Singh kena beritahu apa yang dia failkan kerana ahli DAP hendak tahu juga," katanya. - UTUSAN 
Langkah proaktif pastikan rakyat nikmati kemakmuran ekonomi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran ekonomi dengan adil dan saksama terutama melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hasil penjimatan subsidi petrol.

Perdana Menteri berkata, ternyata BR1M dan langkah-langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan sekarang akan memberi lebih manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya, subsidi petrol yang merupakan subsidi pukal sebenarnya menguntungkan orang tanpa mengira tahap pendapatan yang lebih menjurus kepada pembaziran dan ketirisan.

"Bandingkan manfaat yang diterima oleh seorang pemilik kereta berkuasa rendah dengan seorang pemilik kereta mewah. Dengan subsidi petrol RON95 sebanyak 63 sen bagi setiap liter, seorang pemilik kereta Kancil diandaikan membuat perjalanan sejauh 50 kilometer sehari atau 350 kilometer seminggu.

"Beliau akan menggunakan 30 liter petrol seminggu atau 120 liter petrol sebulan. Maka, beliau hanya menikmati subsidi petrol sebanyak RM19 seminggu, RM76 sebulan dan RM900 setahun," katanya dalam entri terbaharu bertajuk BR1M 2014: fakta yang anda perlu tahu di laman blog www.1malaysia.com hari ini.

Najib kemudian membandingkan subsidi petrol yang diterima mereka yang berpendapatan tinggi yang menggunakan kereta mewah berkapasiti 2,500 cc yang akan menggunakan sekurang-kurangnya 80 liter petrol seminggu bernilai RM50 atau 320 liter petrol sebulan dengan jumlah RM200.

"Dalam setahun individu tersebut akan menikmati subsidi berjumlah RM2,400, jauh lebih banyak daripada pemilik kereta Kancil yang lebih layak menerima subsidi. Jelaslah bahawa struktur subsidi petrol sedia ada lebih menguntungkan golongan berkemampuan, termasuk pelancong luar dan warga asing," katanya.

Dalam pada itu, Najib turut memuji tindakan 17,000 penerima BR1M 2014 yang menolak secara sukarela apabila tahap pendapatan mereka melebihi julat yang ditetapkan.

"Contohnya, saudara Nurikram Bahari dari Parit Buntar, Perak yang menerima BR1M sejak tahun 2011 sewaktu beliau masih bujang. Kini, Nurikram telah berkeluarga dan pendapatan bulanan beliau dan isteri telahpun melebihi RM4,000 (had kelayakan menerima BR1M). Jadi, Nurikram merasakan bantuan tersebut seharusnya diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Saya hargai ketelusan yang ditunjukkan oleh rakyat seperti Nurikram dan berharap ia dicontohi, agar bantuan jadi lebih bersasar dan tepat," katanya.

Najib berkata, BR1M diberikan atas semangat untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dengan lebih efektif, malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Untuk sebilangan orang, saya akui jumlah BR1M tidak mencukupi namun bagi saudara Foo Kok Lim dari Taman Maluri, yang merupakan salah seorang penerima BR1M di Kampung Pandan Sabtu lepas, wang ini benar-benar membantu. Khususnya bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau stabil," katanya.

Najib berkata, BR1M diberikan atas semangat untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup dengan lebih efektif dan bukan sahaja membantu golongan sasaran malah turut membantu pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Jaringan kedai runcit di luar bandar turut menerima manfaat dari bantuan tunai ini. Malah, sektor swasta juga menyaksikan perkembangan 7.7 dan 7.6 peratus, masing-masing pada tahun 2012 dan 2013," katanya. - UTUSAN 
Jangan cari untung melampau

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

 * MUHYIDDIN Yassin mendengar penerangan daripada Hasan Malek mengenai tanda harga selepas melancarkan Gerakan Pematuhan Tanda Harga di Pasar Presint 8, Putrajaya, semalam. Turut hadir Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) dan Alias Ahmad (tiga, kiri). - BERNAMA
PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana peniaga yang mencari keuntungan melampau sehingga sanggup mengingkari peraturan perniagaan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan akan terus memantau secara langsung tindakan para peniaga yang menggunakan pelbagai taktik bagi memanipulasi kos serta harga barangan dalam pasaran termasuk aktiviti-aktiviti anti persaingan seperti amalan monopoli dan kartel.

Beliau berkata, aktiviti anti persaingan merupakan amalan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan terhadap keadaan pasaran sehingga menyumbang kepada kenaikan kos barangan serta perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat khususnya pengguna.

"Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mendenda 26 syarikat pengeluar ais pada 20 Februari lalu kerana melanggar Akta Persaingan 2010 atas kesalahan bersekongkol menetapkan jualan ais tiub dan ais blok

"MyCC pada tahun lalu juga telah mengambil tindakan serupa terhadap Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia Bhd. di bawah Akta Persaingan 2010 kerana berpakat untuk menetapkan harga tiket. Saya difahamkan masing-masing didenda sebanyak RM10 juta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Gerakan Pematuhan Tanda Harga yang bertujuan mendidik para peniaga supaya mematuhi undang-undang berkaitan penandaan harga di Pasar Presint 8 di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Seri Alias Ahmad.

Muhyiddin berkata, perlanggaran Akta Persaingan merupakan satu perbuatan yang amat menyalahi undang-undang negara.

"Saya ingin ucapkan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan MyCC kerana telah bertindak tegas terhadap 26 syarikat ais tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, berdasarkan pemerhatiannya sewaktu Ops Harga dilaksanakan bermula Julai 2013 sehingga sekarang, kerajaan mengenal pasti isu kenaikan kos berpunca daripada amalan-amalan tidak bertanggungjawab oleh pelbagai pihak.

"Antara perkara yang sering berlaku adalah sebilangan besar peniaga kurang mengambil berat malah memandang remeh akan tanggungjawab mereka mempamerkan tanda harga dengan sempurna," ujarnya.

Malah, beliau berkata, di dalam beberapa lawatan mengejutnya, ada peniaga dan peruncit yang tidak mematuhi peraturan dan garis panduan terutama dalam mempamerkan tanda harga bagi barangan dan jualan mereka.

"Oleh itu, untuk menimbulkan kesedaran yang tinggi selain memperkasa amalan perniagaan yang murni dan dalam masa sama menyampaikan mesej keseriusan kerajaan melindungi kepentingan semua pihak, kerajaan melancarkan Gerakan Pematuhan Tanda Harga bermula bulan ini hingga Julai depan," katanya. - UTUSAN 
Ops Bersepadu 6P fasa 2 bermula

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Ops Bersepadu 6P yang sebelum ini hanya menumpukan untuk memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) kini memasuki fasa baharu apabila kerajaan akan melancarkan operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang dikuasai warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemeriksaan akan dilakukan di semua premis perniagaan dikuasai warga asing sama ada menggunakan lesen rakyat tempatan atau kaedah lain untuk menjalankan perniagaan bermula hari ini.

"Saya tidak berhajat untuk memberi amaran tetapi jika ada antara mereka masih berniaga dengan lesen rakyat tempatan atau tidak mempunyai dokumen sah atau sekadar mempunyai dokumen lawatan sosial tetapi melakukan perniagaan saya nasihatkan hentikan segera aktiviti ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Persatuan Penerbit al-Quran Malaysia (PQM) di pejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid memberi amaran keras kepada semua warga asing yang masih menjalankan perniagaan secara haram itu supaya menghentikannya dan meninggalkan negara ini dengan segera.

Katanya, beliau tidak akan bertoleransi dengan keadaan tersebut dan berjanji untuk menyelesaikan masalah itu dengan tegas.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi kali ini juga akan dilaksanakan dengan pengawasan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak timbul isu rasuah ketika penguatkuasaan dilaksanakan.

"Dalam fasa kedua ini saya sendiri akan turun bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen di samping bantuan polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan SPRM untuk tentukan tiada unsur rasuah membeli pegawai kami.

"Mereka yang ditahan dalam operasi ini kemudiannya akan ditahan di kem tahanan kita seperti tahanan PATI dalam operasi lalu," katanya.

Mengulas mengenai lesen perniagaan milik rakyat tempatan yang diberikan kepada peniaga asing, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan.

"Oleh sebab lesen dikeluarkan PBT saya minta kerjasama mereka tarik balik lesen yang disewa itu kerana tujuan peluang perniagaan diberikan bukan untuk mendapatkan komisen atau menjatuhkan maruah dengan memberi lesen pada rakyat asing," katanya. - UTUSAN 
Konflik politik: Thailand minta bantuan PBB

BANGKOK, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Kerajaan Thailand akan meminta Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mencari jalan untuk menamatkan krisis politik yang sedang melanda negara ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar kerajaan sementara Thailand, Surapong Tovichakchaikul berkata beliau akan mengutus surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berhubung perkara itu.

Surapong, yang juga ketua penasihat Pusat Memelihara Keamanan dan Ketenteraman (CMPO), dilaporkan berbincang dengan Ban tentang perkara itu, semalam.

"Ban patut menjadi orang tengah dalam rundingan yang diadakan kerana beliau benar-benar berkecuali," kata Surapong kepada media tempatan hari ini sebelum menghadiri mesyuarat CMPO.

Sebelum ini, Ban menyuarakan kebimbangannya tentang konflik di Thailand, yang telah meragut 22 nyawa, termasuk empat kanak-kanak sejak 30 November tahun lepas. - BERNAMA 

Thursday 27 February 2014

Ops Bersepadu fasa kedua tumpu premis perniagaan

PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Kerajaan akan menumpukan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang dikuasai rakyat asing dalam fasa kedua Ops Bersepadu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi itu akan turut ditumpukan pada premis perniagaan rakyat tempatan yang memberi sewa kepada rakyat asing. - UTUSAN ONLINE 
Hadi Awang fail permohonan ketepikan perintah penghakiman ingkar

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memfailkan permohonan bagi mengenepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Mohd. Shamsul Mat Amin di Mahkamah Tinggi, di sini.

Permohonan itu difailkan melalui peguamnya, Asmuni Awi pada pukul 11.20 pagi ini.

Mahkamah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 30 Mac depan. - UTUSAN ONLINE 
Anwar fail permohonan ketiga gugur Shafee

Oleh SUWARNI MOKHTAR

PUTRAJAYA, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali ketiga memfailkan permohonan untuk menggugurkan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat membabitkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Permohonan yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 3 Mac ini dibuat atas alasan peguam terbabit pernah didapati bersalah melanggar peruntukan di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam pada 5 Oktober 2012.

Permohonan tersebut difailkan pada Selasa lalu. - UTUSAN ONLINE 
Syabas rugi RM1.5 juta kes curi air tahun ini

PELABUHAN KLANG, KHAMIS, 27 Februari, 2014: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerugian kira-kira RM1.5 juta membabitkan 45 kes curi air sejak Januari hingga Isnin lepas (24 Februari), majoritinya melibatkan kawasan komersial.

Pengarah Eksekutif Projek dan Air Tanpa Hasil (NRW) Syabas, Yusof Badawi berkata, pihaknya telah mengambil tindakan lanjut terhadap kesemua kes itu dengan memberi notis pemberitahuan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan bagi menuntut ganti rugi.

"Rekod menunjukkan sepanjang tempoh itu Syabas menerima dan menyiasat 481 aduan kes curi air. Daripada jumlah itu, 45 kes diklasifikasikan sahih dengan anggaran kehilangan 746,000 meter padu (m3) air," katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan dan pemotongan sambungan paip haram di sebuah gudang menyimpan baja di kawasan Jalan Pelabuhan Klang di sini hari ini. - BERNAMA
Krisis air: Ambil iktibar persetujuan MB Selangor

Oleh MOHD. HAZLI HASSAN

PETALING JAYA, RABU, 27 Februari, 2014: Kerajaan negeri yang ditadbir pakatan pembangkang seharusnya mengambil iktibar persetujuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap projek Loji Air Langat 2 dengan kerajaan Pusat semalam.

Ketua Pemuda parti Gerakan, Tan Keng Liang berkata, walaupun terlewat lima tahun, persetujuan Abdul Khalid dengan projek berkenaan membolehkan satu usaha untuk kepentingan rakyat diteruskan.

"Kita seharusnya mengetepikan hal-hal politik buat sementara waktu jika ia melibatkan kepentingan rakyat.

"Projek Langat 2 membolehkan bekalan air lebih banyak dan baik kepada keseluruhan penduduk Lembah Klang, namun 'kedegilan' pakatan pembangkang agak menyusahkan kita sekarang.

"Pemuda Gerakan menyanjung usaha Tan Sri Khalid yang akhirnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian persefahaman projek Loji Langat 2 yang telah dicadangkan kerajaan pusat sebelum 2008 lagi. Kami ucapkan tahniah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berkenaan krisis bekalan air di Selangor kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Menurut Keng Liang lagi, memorandum itu diserahkan kepada Anwar bagi membolehkan ketua pembangkang itu mengambil iktibar terhadap usaha yang dijalankan kerajaan pusat terhadap kepentingan rakyat.

"Kami berharap Datuk Seri Anwar dapat menjadikan usaha Tan Sri Abdul Khalid sebagai contoh kepada negeri-negeri pakatan pembangkang yang lain agar tidak mempolitikkan hal-hal yang membabitkan kepentingan rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE 
Tidak maklum isu air, bukti Anwar dan Khalid tidak serasi

KAJANG, RABU, 27 Februari, 2014: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaaan Persekutuan bagi penstrukturan semula industri air Selangor semalam, tanpa memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunjukkan tiada penyelarasan dan koordinasi antara kedua-dua pemimpin itu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyifatkan Khalid mempunyai keberanian dalam berpolitik kerana tidak membincangkan perkara itu dengan Ketua Pembangkang serta mendahulukan kepentingan rakyat di Selangor.

"Saya akui bahawa pemeteraian MoU menunjukan keikhlasan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Khalid dalam mencari satu penyelesaian meskipun ia (isu air) telah lama berlarutan.

"Sekurang-kurangnya, ia demi masa depan yang lebih baik bagi memastikan bekalan air tidak terputus di negeri ini," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan MCA bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang di Taman Berjaya, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili mewakili Kerajaan Persekutuan bersama Khalid menandatangani MoU penstrukturan semula industri air Selangor di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya.

Namun, Anwar memberitahu media bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai MoU berkenaan. - BERNAMA 
Tukang emas dakwa lelaki badan gempal jual lima barang kemas

SHAH ALAM, RABU, 26 Februari, 2014: Seorang tukang emas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang lelaki berbadan gempal dan berkulit cerah datang ke kedainya untuk menjual lima jenis barang kemas dengan alasan dia memerlukan wang kerana ibunya sedang sakit.

Lim Eng Huat, 55, berkata, lelaki yang datang seorang diri itu membawa lima barang kemas iaitu dua utas rantai leher dan tiga urat gelang tangan daripada jenis emas paun dan emas 916.

Menurut saksi pendakwaan ke-10 itu, sebelum itu, dia ada meminta resit asal pembelian barang kemas tersebut daripada lelaki berkenaan namun lelaki itu menyatakan, barang itu sudah lama dibeli dan tiada resit disimpan.

Oleh kerana kasihankan lelaki itu, Eng Huat berkata, dia bersetuju membeli emas berkenaan pada harga RM6,200 dengan syarat lelaki itu menyerahkan salinan kad pengenalan sebagai rekod dan menandatangani borang jualan.

Pemilik kedai emas yang terletak di Pandan Indah itu menyatakan demikian ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56.

Mengikut pertuduhan, empat bekas pelajar KTAC, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh dua beranak tersebut di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong.

Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012 dan bapanya yang juga pesara syarikat kewangan antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Eng Huat kemudian diminta mengecam wajah lelaki yang dimaksudkannya itu dan saksi itu membuat pengecaman bahawa lelaki itu adalah tertuduh ketiga, Azizi Aizat Ibrahim atau dikenali sebagai Boy.

Disoal mengenai apa yang dilakukan dengan barang kemas itu selepas dibeli, Eng Huat berkata, lebih kurang seminggu kemudian, dia meleburkan dua daripada gelang tangan itu menjadi ketulan emas.

Ujarnya, beberapa minggu selepas itu, sepasukan pihak polis datang ke kedainya bersama Boy bertanyakan tentang semua barang kemas tersebut.

"Saya cam lelaki yang datang menjual sebelum ini ada bersama polis ketika itu. Ketika itu saya tidak tahu kenapa mereka datang.

"Pihak polis mahu melihat rekod saya, saya mengesahkan ada membeli barang daripada lelaki itu selain menunjukkan barang kemas yang sudah dileburkan sebelum ia diambil oleh pihak polis,'' katanya.

Perbicaraan di hadapan Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-11, Pegawai Operasi CIMB Bank, K. Sashi, 42, memberitahu, dia ada dimaklumkan oleh pekerja bawahannya yang Zara Eleena beberapa kali mengadu secara lisan berhubung kehilangan wang daripada akaun bank miliknya.

Bagaimanapun menurutnya, tiada sebarang siasatan dijalankan oleh pihaknya kerana aduan berkenaan tidak dibuat secara rasmi.

Menurut Sashi, berdasarkan rekod, Zara Eleena beberapa kali menukar kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta menutup akaun lama dan membuka akaun baharu selepas mengadu wangnya hilang.

Menjawab pertanyaan Aidatul Azura, Sashi mengakui bahawa CIMB mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) bagaimanapun tiada sesiapa tampil untuk melihat rakaman berkaitan.

Saksi pendakwaan ke-12, pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Inspektor Mohd. Nassrul Safre Mohd. Nasir dalam keterangannya pula berkata, tertuduh ketiga yang memaklumkan kepadanya, barang kemas itu dijualnya di sebuah kedai di Pandan Jaya.

"Selepas mendapat arahan daripada pihak atasan, saya bersama sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD Serdang pergi ke kedai emas yang dimaksudkan dengan berpandukan maklumat oleh tertuduh ketiga.

"Sampai di hadapan kedai saya sekali lagi mendapat kepastian daripada tertuduh mengenai kedai tersebut dan dia mengakuinya. Saya bertanya kepada pemilik kedai emas itu dan dia mengakui cam tertuduh,'' katanya. - UTUSAN 
FDI Malaysia dijangka positif tahun ini

Oleh azman ibrahim

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Februari, 2014: Pelaburan langsung asing (FDI) pada tahun ini dijangka terus positif pada waktu ini dan dijangka melepasi prestasi yang dicapai pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Citibank Bhd. (Citibank), Sanjeev Nanavati berkata, eksport Malaysia juga dijangka aktif walaupun mata wang ringgit lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Katanya, pada waktu kelemahan mata wang ringgit, aktiviti pelaburan meningkat bagi memastikan keseimbangan.

"Pada tahun lalu, Malaysia amat bergantung kepada pasaran domestik, tetapi pada tahun ini, kadar itu dijangka sedikit menyusut. Namun, alirannya positif," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat mengenai pelaburan Citi bagi tahun 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Strategi Pelaburan untuk Pengurusan Kekayaan Citi Asia Pasifik, Haren Shah.

Bercakap mengenai prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada tahun ini, kata Sanjeev, aliran yang ditunjukkan adalah meningkat walaupun berlaku kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar AS.

Katanya, fenomena kejatuhan mata wang adalah di peringkat seluruh dunia dan Malaysia antara negara yang tidak terjejas teruk ekoran daripada kejatuhan itu.

Setakat ini, mata wang Malaysia berbanding dolar AS masih stabil dan ekonomi Malaysia akan terus kukuh dengan aktiviti-aktiviti pelaburan baharu.

Haren pula menambah, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka mencecah 4.9 sehingga lima peratus pada tahun ini.

Beliau memberitahu, Malaysia merupakan salah sebuah negara baharu muncul yang berpotensi dalam pertumbuhan ekonomi yang mengalami lebihan dalam akaun semasa.

"Selain Malaysia, Filipina dan China turut dijangka nmenunjukkan lebihan dalam akaun semasa sepanjang tahun ini,’’ ujarnya. - UTUSAN 
2 beradik ke tali gantung

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
 
 * MOHD. Shamsul Abdul Aziz @ Abdul Azis (kiri) bersama adiknya, Tuti Adayu dibawa keluar dari mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung setelah didapati bersalah membunuh seorang warga emas empat tahun lalu. - UTUSAN/AZLI ADLAN
SHAH ALAM, RABU, 26 Februari, 2014: Dua beradik dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh seorang warga emas dalam satu kejadian samun di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu terhadap pekerja kedai telefon, Mohd. Shamsul Abdul Aziz @ Abdul Azis, 46, dan adik perempuannya, Tuti Adayu, 34, selepas mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mereka didapati bersalah membunuh Nen Ariffin, 75, di No. 35, Jalan Kembojasari 12, Bandar Sungai Buaya, Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pada pukul 8.15 malam, 27 Februari 2010.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hakim Ghazali turut menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan sebatan tiga kali ke atas Mohd. Shamsul serta hukuman penjara lapan tahun terhadap Tuti Adayu selepas mendapati mereka bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau ke atas isteri Nen, Siti Aminah Lateh, 73.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hukuman penjara ke atas Mohd. Shamsul, anak kedua daripada lapan beradik dan Tuti Adayu, anak keempat dan merupakan suri rumah, diperintah berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 2 Mac 2010.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Siti Aminah yang hadir ke mahkamah untuk membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) menyatakan, dia kehilangan tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia.

Dalam kejadian samun itu, dua rantai emas dan dua gelang tangan milik Siti Aminah telah dilarikan.

Punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman di bahagian abdomen.

Hakim Ghazali dalam penghakimannya berkata, versi pembelaan kedua-dua tertuduh tentang kemungkinan terdapat pasangan lain yang datang ke rumah mangsa, merompak serta membunuhnya tidak pernah ditimbulkan oleh saksi-saksi pendakwaan khususnya Siti Aminah.

Justeru, beliau berpuas hati bahawa pembelaan kedua-dua tertuduh hanya rekaan semata-mata dan difikirkan kemudian.

Menurut beliau, pembelaan mereka mengenai kereta Proton Saga berwarna merah yang dikatakan milik orang lain hanya ditimbulkan semasa kes pembelaan bermula.

"Saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu niat bersama kedua-dua tertuduh untuk melakukan jenayah itu seperti dalam pertuduhan dan ia jelas daripada keterangan Siti Aminah yang mengatakan kedua-dua tertuduh datang bersama, masuk rumah mangsa dan melakukan jenayah bersama-sama," kata beliau.

Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, Siti Aminah serta empat daripada lima anaknya yang hadir di mahkamah dilihat menangis tanda kesyukuran manakala anggota keluarga kedua-dua tertuduh dilihat saling berpelukan dan menangis.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar memanggil 34 saksi sementara pembelaan yang diwakili peguam V. Aravindhaksan mengemukakan tiga saksi termasuk kedua-dua tertuduh. - UTUSAN 
Mufti Perlis akur jika jadi calon

Oleh MD. AZRIN ROSLY

MUKAH, RABU, 26 Februari, 2014: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, Jumaat ini.

Notis pengosongan kerusi DUN itu telah diserahkan kepada Speaker DUN, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Abdul Taib turut menyerahkan sepenuhnya kepada penggantinya, Tan Sri Adenan Satem untuk memilih calon bagi DUN tersebut.

"Pada hujung bulan ini selepas sahaja saya meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri, kerusi DUN Balingian akan dikosongkan.

"Siapa yang akan menggantikan tempat saya di situ, semuanya akan diumumkan oleh Tan Sri Adenan," katanya.

Abdul Taib berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan kerusi DUN Balingian, namun enggan mengulas lanjut ketika ditemui pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kingwood Resort, di sini hari ini.

Pada 12 Februari lalu, Abdul Taib mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri berkuat kuasa 28 Februari dan akan digantikan oleh Adenan yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.

Beliau juga sebelum ini memberi jaminan peletakan jawatannya tidak bermakna bahawa semua yang dirancang semasa pentadbirannya akan dihentikan oleh kepemimpinan baharu.

Sementara itu,Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya ketika ditemui sama ada bersedia menjadi calon mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, sebagai orang yang telah dididik oleh Abdul Taib, beliau akur dan sentiasa bersedia jika diperlukan.

"Sebagai orang yang dididik oleh Abdul Taib selama ini, saya sentiasa akur dan taat kepada apa sahaja arahan beliau termasuk saya sendiri ke Perlis enam tahun lalu pun adalah atas arahan beliau sendiri.

"Maka saya sentiasa ingin menyumbang sebagai mana beliau mahu menyumbang kepada negeri dan negara," jelasnya.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, soal calon dibincangkan oleh peringkat tertinggi PBB dan bukan tempatnya bagi memberi lebih penjelasan. - UTUSAN 
Bukti Penasihat PKR iktiraf SPR

 Hussein Ahmad

KUALA LUMPUR, RABU, 26 Februari, 2014: Kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini membuktikan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan Ketua Pembangkang itu terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini tidak benar.

Perkara tersebut dinyatakan veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang menegaskan, tindakan Anwar itu sekali gus mengiktiraf dan meyakini peranan SPR sebagai sebuah badan bebas dan adil.

Malah jelasnya, jika Anwar berpegang pada prinsip dan penegasan bahawa SPR tidak bebas dan adil termasuk dakwaan wujudnya lebih 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi Barisan Nasional (BN), Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sudah pasti tidak akan bertanding dalam pilihan raya tersebut.

"Kalau beliau bertanding, ini membetulkan fitnah terhadap SPR yang dikatakan sebagai tidak betul, tak telus. Ini juga membuktikan beliau yakin dan mengesahkan SPR itu adil serta demokratik.

"Jadi, segala tuduhan selama ini tidak betul. Kalau kata SPR tak adil, sudah pasti beliau tidak akan bertanding," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hussein yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO berkata, sekiranya memenangi PRK itu, 'kemasukan' Anwar ke dalam DUN Selangor bakal mengancam kedudukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jika ini berlaku apa yang diperjuangkan Abdul Khalid selama ini untuk negeri dan parti akan menjadi sia-sia, ibarat 'habis madu, sepah dibuang'," jelasnya.

Atas dasar itu katanya, pengundi di Kajang perlu 'mengajar' Anwar dengan memberikan kemenangan kepada calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun yang memiliki pengalaman serta memahami nasib masyarakat.

Dalam perkembangan yang sama katanya, PRK itu juga memberi peluang kepada masyarakat Cina yang selama ini dikatakan memboikot BN untuk kembali ke pangkal jalan.

"Saya yakin perubahan akan berlaku iaitu BN kembali mendapat kepercayaan masyarakat Cina," katanya.

Sementara itu, beliau memberikan nasihat berikut kepada Anwar: "Kalau kalah, jangan hendak kata macam-macam, tuduh itu ini. Kalau kalah, terima kekalahan itu." - UTUSAN 
Elak beri pandangan tidak berasas - Zahid

 * AHMAD Zahid Hamidi (tengah), Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua dari kiri) dan Mohamad Khalid Sharif (dua dari kanan) ketika hadir Majlis Makan Malam Apresiasi KDN di Putrajaya, malam semalam.
PUTRAJAYA, RABU, 26 Februari, 2014: Pesara kerajaan perlu mengelak daripada memberi pandangan tidak berasas yang boleh menggugat keamanan negara dalam laman sosial.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka perlu membuat penilaian dan kajian terlebih dahulu sebelum memberikan pandangan bagi mengelak daripada memberikan maklumat yang tidak tepat.

"Sebagai pesara kita perlu matang dan bijak menguruskan idea serta pendapat terutamanya di media dalam talian.

"Kebebasan internet pada masa ini membolehkan penggunanya melontarkan apa sahaja bentuk pandangan, kaedah penyampaian dan nada bahasa. Ada yang berguna namun ada juga kesan negatif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Apresiasi Kementerian Dalam Negeri di sebuah hotel di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mohamad Khalid Sharif dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan pengguna internet agar tidak menjadikan forum di laman web sebagai medan untuk menyalakan api permusuhan.

"Terma keyboard warrior yang menjadi jolokan telah dimanipulasi sehingga tidak ubah seperti hantu 'keyboard' kerana sifat baling batu sembunyi tangan," katanya.

Sementara itu, beliau melihat golongan pesara merupakan aset pemikir berdasarkan pengalaman mereka di dalam organisasi.

Sehubungan itu beliau berkata, pengalaman berkenaan perlu dikongsi dengan generasi baharu.

"Saya percaya sulaman pengalaman dan tenaga serta idea baharu boleh membentuk pentadbiran organisasi yang lebih berkesan.

"Pintu kementerian ini sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja termasuklah pesara memberikan idea dan pandangan kepada kita serta mengikuti perkembangan KDN dari semasa ke semasa," katanya. - UTUSAN 
Kerajaan Selangor ambil alih 4 syarikat konsesi air

PUTRAJAYA, RABU, 26 Februari, 2014: Kerajaan Selangor akan mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri itu yang melibatkan kos berjumlah RM9.65 bilion berikutan penstrukturan semula industri bekalan air di negeri berkenaan.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan tersebut dilakukan secara pemilikan ekuiti dan akan dilaksanakan oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Beliau berkata, tawaran mengenai pengambilalihan itu akan bermula hari ini dan prosesnya pula berlangsung selama dua minggu.

"Secara ringkas dan dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan, KDEB akan ditugaskan untuk melaksanakan penyusunan semula ini dengan menawarkan kepada pemilik-pemilik konsesi sejumlah RM9.65 bilion sebagai pampasan kepada penyusunan semula tersebut.

"Kita jangka tawaran pengambilalihan ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili selepas menandatangani memorandum persefahaman penstrukturan semula industri bekalan air Selangor di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Empat syarikat konsesi air di Selangor yang terlibat dengan proses tersebut adalah Puncak Niaga Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn. Bhd.

Abdul Khalid berkata, kesemua syarikat itu akan diletakkan di bawah sebuah anak syarikat yang dimiliki 100 peratus oleh KDEB.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata, berikutan pengambilalihan itu dilakukan secara pemilikan ekuiti, kedudukan kakitangan dalam syarikat tersebut tidak akan terjejas.

"Saya ingin jelaskan disebabkan pengambilalihan secara pemilikan ekuiti iaitu saham-saham ditukar pemiliknya, semua tenaga kerja dalam syarikat berkenaan tidak akan berubah," ujarnya.

Abdul Khalid berkata, tujuan sebenar pengambilalihan itu dibuat adalah untuk memastikan pengurusan air di Selangor lebih efisien, sekali gus memastikan penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat perkhidmatan air yang terbaik.

Selain itu, beliau turut memberi penekanan pentingnya mengurangkan masalah kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) yang pada masa ini mencatatkan 33 peratus.

"Di bawah penyusunan semula industri air di Selangor, kita berhasrat untuk mengurangkan masalah ini daripada 33 peratus kepada 20 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM900 juta bagi program mitigasi sebelum Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) siap sepenuhnya. - UTUSAN