My Add

Friday 31 January 2014

FAMA perkenal Pasar Bergerak 1Malaysia

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkenalkan satu perkhidmatan baharu iaitu Pasar Bergerak 1Malaysia bermula Februari ini.

Timbalan Pengarah FAMA negeri Johor, Mohd. Sharizan Mansur berkata, projek tersebut masih berada dalam fasa percubaan dan Johor Bahru akan menjadi salah satu lokasi projek berkenaan selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Pengenalan pasar bergerak ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai khususnya yang berada di kawasan perumahan berkepadatan tinggi untuk membeli barangan keperluan harian mereka."Barangan yang akan dijual pula selain daripada produk asas tani, pasar bergerak ini akan turut menjual barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)," katanya dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-29 yang diadakan di Pasar Tani Datin Halimah di sini semalam. - UTUSAN
Gerakan sedia bantu kempen

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Gerakan menegaskan untuk tidak `merebut’ atau meletakkan calon bagi bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, sebaliknya berpegang kepada prinsip menyokong `hak milik’ sedia ada iaitu MCA.

Presidennya, Datuk Mah Siew Keong berkata, bagaimanapun perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan mengenai soal calon.

Namun jelasnya, gerak kerja Gerakan untuk berdepan pilihan raya berkenaan sudah bermula dengan pembentukan Jawatankuasa PRK DUN Kajang parti.

"Kita (Gerakan) menyokong penuh siapa pun yang bertanding. Tetapi, yang membuat keputusan (meletak calon) terpulang kepada Pengerusi BN (Najib).

"Namun, secara prinsipnya, biarlah kekal MCA sebab sebelum ini pun calon MCA yang bertanding. Walaupun MCA, kita akan turun padang menyokong kerana itulah semangat BN,’’ katanya ketika ditemui dalam majlis Rumah Terbuka Gerakan sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik, Menara PGRM di sini hari ini. - UTUSAN






7,240 kemalangan sepanjang 7 hari Op Selamat 4

JITRA, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Op Selamat 4 sempena Tahun Baharu Cina yang masuk hari ketujuh semalam mencatatkan 7,240 kes iaitu menurun sebanyak 12.5 peratus berbanding 8,273 kes bagi tempoh yang sama pada perayaan itu tahun lepas.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, pengurangan sebanyak 1,033 kes menunjukkan kempen itu memberi kesan positif dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sempena musim perayaan.

Katanya, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya juga berkurangan iaitu daripada purata 19 peratus (daripada jumlah kemalangan) sehari kepada 11.6 peratus.

"Kes pecah rumah (yang juga dalam Op Selamat) juga berkurangan, menampakkan Op Selamat ini memberi kesan," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi Op Selamat 4 di Pekan Tunjang di sini hari ini. - BERNAMA 
Syukur dengan perkembangan terbaharu

KUCHING, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bersyukur dengan keputusan yang dibuat kerajaan Sweden tentang penempatan kanak-kanak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden baru-baru ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan Sweden memberi perhatian terhadap pandangan kerajaan Malaysia berhubung penjagaan terbaik kanak-kanak tersebut.

"Ini selaras dengan Perkara 3 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang menekankan kepentingan terbaik kanak-kanak.

"Kementerian juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Luar yang telah membantu keluarga pasangan ini sehingga membawa kepada penempatan anak-anak pasangan bersama keluarga muslim," katanya - UTUSAN
Kenyataan Rafizi berniat jahat

ALOR SETAR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyifatkan kenyataan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkonspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berniat jahat.

Menurut Pergerakan Pemuda UMNO negeri, kenyataan Rafizi itu juga dibuat dalam situasi terdesak dan melulu.

"Pemuda UMNO Kedah percaya kenyataan ini dibuat untuk meredakan kemarahan penyokong PKR dan ahli-ahli pakatan pembangkang terhadap perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh.

"Kami percaya Rafizi cuba mengheret UMNO menjadi 'kambing hitam' bagi mengaburi kelemahan pakatan pembangkang yang mempunyai krisis dalaman yang meruncing sekarang," kata kenyataan itu.

Berikutan itu, Pemuda UMNO negeri mendesak pimpinan PKR mengkaji semula kedudukan Rafizi sebagai Pengarah Strategik kerana sering mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan berniat untuk mengadu-domba. - UTUSAN 
Anwar jadi MB, pakatan pecah belah

KUALA TERENGGANU, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Percaturan politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung peletakan jawatan calonnya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan usaha melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor akan membawa kepada perpecahan serius dalam pakatan pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, jangkaan itu berdasarkan bantahan serta kecaman daripada parti lain dalam pakatan pembangkang, khususnya Pas yang amat kecewa dengan perkembangan itu yang jelas lebih `menguntungkan' PKR dan Anwar.

Beliau memberitahu, lebih-lebih lagi reaksi daripada Pemuda Pas Selangor yang cukup kecewa dengan kemelut itu dan mereka merasakan seolah-olah telah dipermainkan oleh sekutu sendiri, PKR.

Pada masa sama, beliau turut yakin hasrat Anwar menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang nanti sehingga dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menunjukkan pemimpin pembangkang itu `desperate' setelah cita-citanya menjadi Perdana Menteri berkubur. - UTUSAN
Satu lagi lakonan PKR di Kajang - Zambry

LUMUT, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyifatkan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang secara sewenang-wenangnya bagi memberi laluan kepada Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) sebagai satu lagi lakonan parti itu.

Menurutnya, apa yang berlaku di Kajang adalah 'drama' yang boleh diolah oleh PKR kerana mereka beranggapan rakyat boleh 'dicandukan' atau diperbodohkan.

Beliau berkata, PKR bertindak sedemikian kerana beranggapan apa sahaja yang mereka lakukan, rakyat akan terus menyokong mereka.

"Cuba lihat apa alasan Pengarah Strategik PKR (Rafizi Ramli) kononnya apa yang mereka lakukan ini adalah untuk menukar taktik dan strategi atau pun 'game changer'. Tetapi hakikatnya ini (PRK) melibatkan soal pembaziran wang rakyat, namun bagi mereka ini tiada masalah.

"Perkara sebegini mereka (PKR) sahaja yang boleh buat tetapi jika Barisan Nasional (BN) yang melakukannya, seolah-olah satu dosa besar. Namun jika mereka, ini seolah-olah berpahala besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika mengunjungi Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina di kediaman bekas Menteri Pengangkutan yang juga Ketua Bahagian MCA Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha di sini hari ini. - UTUSAN 
Beri peluang MCA berkhidmat di Kajang - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang supaya memberikan peluang kepada MCA untuk berkhidmat dan mewakili mereka semula di peringkat negeri.

Beliau berkata, parti itu berhak diberikan peluang kerana telah berjuang bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk membela nasib rakyat selepas mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada tahun lalu.

"Saya berpendapat Barisan Nasional (BN) wajar bertanding dan tidak memberikan laluan mudah kepada pihak lawan untuk menang di DUN Kajang.

“Apa yang dilihat kini, MCA mahu menarik semula sokongan daripada pengundi dan parti itu wajar diberikan peluang," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka MCA sempena Tahun Baharu Cina di Wisma MCA di sini hari ini. - UTUSAN 
Rakyat perlu tolak Anwar di Kajang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Rakyat perlu bangkit menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana pilihan raya tersebut sengaja diwujudkan demi mencapai agenda peribadi dan menyelesaikan masalah dalaman parti.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai berkata, tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sengaja mengosongkan kerusi DUN tersebut adalah satu langkah yang silap dan telah menyakitkan hati rakyat yang sedang menghadapi kemelut ekonomi dan kos sara hidup.

Katanya, di dalam keadaan sekarang, sepatutnya semua pihak berusaha meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat dan bukannya mengutamakan agenda peribadi atau parti.

"Kita tidak boleh membiarkan perkara seperti ini terus berlaku. Rakyat perlu bangkit supaya perkara ini tidak terus diulangi kerana Anwar telah mengulanginya.

"Dahulu, dia gunakan Parlimen Permatang Pauh dan sekarang dia gunakan DUN Kajang. PKR telah mengabaikan hasrat rakyat untuk berkhidmat di DUN Kajang," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita di majlis Rumah Terbuka MCA sempena Tahun Baharu Cina yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Wisma MCA di sini hari ini. - UTUSAN 
Lima sahabat harumkan nama Ma'ahad Muhammadi Perempuan

KOTA BHARU, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Lima sahabat melonjakkan kembali nama Ma'ahad Muhammadi Perempuan (P) apabila berjaya mendapat keputusan 10 Mumtaz dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013, sekali gus menjadi antara calon STAM cemerlang negara.

Kelima-lima mereka ialah Amy Nadirah Yacob, 19; Bazilah Khairiyah Mohd. Jaafar, 19; Fatin Nurul Qistina Abdullah, 19; Hanani Che Kamarudin Kamel, 19 dan Sholehah Omar, 19.

Lima sahabat tersebut memperoleh Mumtaz dalam 10 mata pelajaran diambil iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid; Fiqh; Tauhid dan Mantiq; Tafsir dan Ulum Tafsir; Hadis dan Mustolah; Nahu dan Sarf; Insya dan Mutalaah; Adab dan Nusus; Arudh dan Qafiah serta Balaghah.

Mereka ialah sebahagian daripada 24 orang pelajar sekolah itu yang mencatat pangkat tertinggi iaitu Mumtaz (cemerlang), meningkat daripada hanya 14 orang tahun lalu termasuk enam orang yang mencatat sembilan Mumtaz. - UTUSAN 
Anak pasangan Malaysia di Sweden pulang ke tanah air

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Empat orang anak pasangan Malaysia yang ditahan reman di Sweden berlepas pulang ke Malaysia dari Stockholm pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, Jumaat bersama-sama Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin.

Hamzah memberitahu Bernama sebelum berlepas pulang yang mereka akan tiba di tanah air esok. - BERNAMA 
Najib harap rakyat terus usaha kekalkan keamanan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat Malaysia akan terus berusaha untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan keamanan negara.

Beliau berkata, perayaan seperti Tahun Baharu Cina yang disambut hari ini juga diharap dapat mengingatkan rakyat betapa beruntungnya mereka berada di negara yang aman dan damai.

"Saya harap kita semua akan terus berusaha untuk mengekalkan keadaan ini sampai bila-bila," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Beliau juga berharap Tahun Baharu Cina akan membuka lembaran baharu bagi rakyat Malaysia untuk terus melakukan transformasi kepada ekonomi negara. - BERNAMA 
Legenda bola sepak, Choon Wah meninggal dunia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Legenda bola sepak negara, Wong Choon Wah, 68, yang pernah beraksi menyarung jersi pasukan kebangsaan dalam Olimpik 1972 meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur pagi tadi. - UTUSAN ONLINE 
Bapa kelar anak direman seminggu

KUALA LUMPUR,JUMAAT, 31 Januari, 2014: Bapa yang mengelar leher tiga anaknya dalam kejadian di rumahnya di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi di sini semalam ditahan reman seminggu bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, suspek akan ditahan reman sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Akhbar hari ini melaporkan suspek berusia 44 tahun tersebut bertindak di luar batas kemanusiaan apabila mengelar leher tiga anaknya sehingga mengakibatkan seorang daripada anak perempuan berusia tujuh tahun mati manakala dua lagi parah.

Kejadian menyayat hati tersebut berlaku di rumah keluarga berkenaan ketika suspek berada di tingkat bawah bersama ketiga-tiga anaknya itu termasuk dua kakak mangsa berusia 10 dan 12 tahun.

Kedua-dua kakak mangsa yang cedera parah di belakang leher dan seorang lagi putus beberapa batang jari tangan, dikejarkan ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Semasa tragedi pukul 4.15 petang itu, seorang lagi anak suspek berusia 17 tahun yang berada di tingkat atas rumah berkenaan tidak menyedari kejadian tersebut. - UTUSAN ONLINE 
Helikopter PUTD terhempas, 4 anggota tentera selamat

JOHOR BAHRU, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Sebuah helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) jenis Agusta A-109 LUH terhempas di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok, Segamat di antara pukul 9 hingga 10 Khamis malam, menurut sumber ketenteraan.

Bagaimanapun, empat anggota tentera termasuk juruterbang dalam helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan itu selamat dan dihantar ke Hospital Daerah Kluang untuk rawatan, katanya.

"Helikopter itu sedang melaksanakan latihan penerbangan malam sebelum terhempas di hutan berhampiran Empangan Bekok di Segamat," kata sumber itu kepada Bernama.

Katanya pasukan penyelamat daripada PUTD yang digerakkan ke lokasi kejadian berjaya membawa keluar kesemua mangsa yang disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum dihantar ke hospital berkenaan kira-kira 1 pagi.

Seorang daripada empat anggota tentera terbabit ialah seorang pegawai tentera asing berpangkat Lt Kolonel yang bertindak sebagai jurulatih penerbangan, katanya.

Bernama difahamkan pegawai tentera asing itu berasal dari Perancis, manakala tiga yang lain ialah Mejar, Kapten dan Sarjan.

Menurut sumber itu, impak daripada kemalangan itu telah menyebabkan ekor serta kipas helikopter itu putus dua serta tayarnya rosak teruk.

"Helikopter itu disifatkan sebagai 'total loss'," katanya.

Menurutnya, latihan penerbangan malam agak berisiko kerana juruterbang terpaksa bergantung kepada "Night Vision Goggle" serta instrumen penerbangan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pihak tentera pada pagi ini mengenai kejadian itu.

Katanya beliau dimaklumkan yang helikopter itu tidak terhempas tetapi membuat pendaratan cemas ekoran masalah penerbangan.

Beliau berkata tiada kecederaan serius dilaporkan dialami mangsa yang terlibat. - BERNAMA 
PM, TPM meriahkan rumah terbuka Gerakan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri sambutan rumah terbuka Gerakan sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Wawasan, Menara PGRM dekat sini.

Perdana Menteri yang tiba pada pukul 11.40 pagi diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Yang turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sambutan rumah terbuka Gerakan yang dihadiri hampir 5,000 orang tetamu itu diserikan dengan tarian singa dan tarian naga.

Memulakan acara, Perdana Menteri serta kenamaan lain menggaul Yee Sang, menu wajib setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina. - UTUSAN 
PM, TPM hadir rumah terbuka MCA

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai lebih 10,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan majlis Rumah Terbuka MCA sempena Tahun Baharu Cina di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba ke majlis tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Ketibaan mereka disambut Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Liow Tiong Lai dan timbalan beliau, Datuk Dr. Wee Ka Siong serta barisan kepimpinan tertinggi parti itu. - UTUSAN 
Bangunan kementerian Iraq diserang

BAGHDAD, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Seramai lapan orang anggota militan Iraq menyerang sebuah bangunan kerajaan di bandar raya ini dan menahan beberapa kakitangan awam sebagai tebusan semalam.

Serangan itu dilakukan ke atas pejabat kementerian pengangkutan di sepanjang Jalan Canal di kawasan timur laut ibu kota negara ini, apabila pasukan keselamatan bergelut dengan pejuang antikerajaan di barat wilayah Anbar.

Terdahulu, Washington telah menyediakan senjata tambahan kepada Baghdad untuk membantu negara tersebut memerangi kumpulan militan dan merancang untuk menjual 24 buah helikopter Apache kepada Iraq.

Bagaimanapun, beberapa diplomat dan penganalisis berkata, kerajaan Syiah yang memimpin Iraq mesti berusaha lebih untuk mendekati masyarakat Sunni yang setia untuk melemahkan sokongan untuk militan. - AFP/UTUSAN 
Lagi anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin ditahan

KAHERAH, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Menteri Dalam Negeri Mesir berkata, pihaknya menahan 11 orang pengikut pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dituduh menggunakan laman sosial Facebook untuk menghasut supaya melakukan keganasan terhadap polis.

Kumpulan tersebut didakwa menggunakan laman sosial untuk 'menghasut kepada kekejaman, menghasilkan bom dan menghantar mesej-mesej berunsur ugutan'.

Pihak berkuasa Mesir sering memantau situasi semasa pergerakan itu sejak bekas Presiden, Mohammed Mursi digulingkan oleh tentera pada 3 Julai tahun lalu. - AGENSI/UTUSAN 
Lima peratus bahan kimia Syria dipindahkan

THE HAGUE, JUMAAT, 31 Januari, 2014: Hanya kira-kira lima peratus bahan kimia berbahaya dalam program senjata Syria telah dipindahkan dari negara itu dan Damsyik digesa untuk mempercepatkan tindakan tersebut.

Sumber rapat Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) berkata, hanya dua penghantaran yang membawa kira-kira 16 metrik tan bahan kimia Kategori 1 meninggalkan pelabuhan Lattakia, Syria pada bulan ini dalam sebahagian daripada pelan pemusnahan senjata diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan OPCW.

"Ini bermakna kurang daripada lima peratus daripada 700 tan bahan kimia yang sepatutnya dikeluarkan dari Syria menjelang 31 Disember lalu,’’ kata sumber itu.

Sumber itu turut berkata, Majlis Eksekutif POCW akan memberi tekanan kepada Syria dalam pertemuan di sini semalam untuk memenuhi tanggungjawab mereka sebelum tarikh akhir rancangan tersebut iaitu pada 30 Jun ini. - AFP/UTUSAN 
PRK Kajang bebankan rakyat

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
 
* NAJIB Tun Razak (sembilan dari kanan) mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil 34 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam bagi membincangkan isu semasa negara di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan merupakan tindakan yang membebankan rakyat.

Malah, Perdana Menteri turut percaya pengosongan kerusi DUN tersebut semata-mata merupakan satu usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman serta kemelut yang agak serius sedang melanda parti berkenaan.

Dalam masa sama, Najib secara sinis menempelak saranan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali supaya beliau bertanding di Kajang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan masalah saya, ini PKR punya masalah, saya tak ada apa-apa masalah dan masalah yang berhubung kait dengan pengosongan Dewan Undangan Negeri Kajang ini membabitkan PKR.

"Mesej saya jangan libatkan saya dalam isu ini kerana ia merupakan masalah dalaman PKR," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Kerusi DUN Kajang kosong setelah Chin Cheh meletakkan jawatannya Isnin lalu.

Berikutan kekosongan tersebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili pakatan pembangkang di kerusi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, rata-rata pengundi Kajang tidak senang hati dengan pilihan raya kecil yang akan diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyatnya.

"Rata-rata (pengundi) tidak senang hati apabila terpaksa mengadakan pilihan raya dan sebab itu jika kita lihat reaksi-reaksi sekarang ini kebanyakan lebih negatif daripada positif," ujarnya. - UTUSAN 
4 anak dijaga keluarga Islam

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK

 * SHEIKH Nafiq Alfirdaous (tengah) bersama Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat (dua dari kanan) berbual dengan empat anak pasangan rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalluddin dan Shalwati Nurshal sebelum kanak-kanak itu diserahkan kepada keluarga angkat baharu beragama Islam di Rumah Pematuhan Syariah di Stockholm, Sweden, semalam. Bagaimanapun, identiti keluarga angkat baharu itu tidak didedahkan kepada media. - Gambar ihsan sukaguam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Kebimbangan terhadap nasib dan akidah empat anak pasangan Malaysia di Sweden yang dijaga oleh keluarga angkat bukan Islam sejak bulan lalu selepas ibu bapa mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara itu, berakhir apabila mereka diserahkan kepada keluarga Islam hari ini.

Keempat-empat anak kepada pasangan Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal berusia tujuh hingga 14 tahun itu diserahkan kepada keluarga Islam berketurunan Melayu di negara tersebut, kira-kira pukul 3.30 petang ini (10.30 malam tadi waktu Malaysia).

Penyerahan hak penjagaan mereka kepada keluarga angkat baharu beragama Islam itu berlangsung di sebuah rumah pematuhan syariah (syariah compliance home) di Stockholm yang tidak didedahkan kepada media.

Bagaimanapun, hasrat pasangan itu dibebaskan dan kembali bersama anak-anak mereka tidak kesampaian apabila Mahkamah Daerah Solna melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap Azizul Raheem selama 11 hari manakala nasib Shalwati ditentukan esok (Jumaat).

Selama 44 hari ini, iaitu sejak penahanan pasangan tersebut pada 18 Disember lalu kerana didakwa memukul anak yang enggan bersolat, keempat-empat anak mereka diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam oleh pihak berkuasa Sweden.

Proses memindahkan hak penjagaan mereka kepada keluarga angkat Islam itu dilakukan hasil usaha diplomasi kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra dengan pihak berkuasa Sweden.

Majlis penyerahan anak-anak Azizul Raheem dan Shalwati itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin yang mengetuai misi rundingan memindahkan hak penjagaan kanak-kanak tersebut kepada keluarga angkat baharu beragama Islam.

Sebelum majlis tersebut, Hamzah turut melawat Azizul Raheem dan Shalwati di pusat tahanan mereka. Ketika itu, pasangan tersebut menyatakan persetujuan untuk menyerahkan keempat-empat anak mereka kepada keluarga angkat baharu tersebut.

Ketika di bawah penjagaan keluarga angkat sebelum ini, keempat-empat kanak-kanak itu dikatakan tidak gembira dan kurang selesa, sehinggakan anak sulung pasangan tersebut, Aisyah, 14, merayu supaya mereka dijaga oleh keluarga Islam.

Misi menyelamatkan empat kanak-kanak tersebut turut digerakkan oleh Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) yang berlepas ke Sweden pada 24 Januari lalu.

Pengerusi Biro Pengaduan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous berkata, pertemuan tiga penjuru di Kedutaan Besar Malaysia di Sweden sebelum ini ternyata membuahkan hasil.

Menurut beliau, empat anak pasangan itu diserahkan kepada keluarga Islam yang dipilih mengikut kriteria tertentu.

"Kriteria ini tertakluk kepada undang-undang dan syarat-syarat daripada Jabatan Sosial Masyarakat sendiri. Pemilihan dibuat secara konsensus antara pihak berkuasa Sweden, ibu bapa kanak-kanak dan kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra. Bagaimanapun, maklumat keluarga baharu itu dirahsiakan.

"Kegembiraan kanak-kanak ini jelas dapat dilihat dan kejayaan ini satu usaha kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra yang terbukti tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Stockholm, malam ini.

Azizul Raheem merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isterinya, Shalwati, seorang guru yang mengambil cuti tanpa gaji.

Berikutan penahanan mereka, empat anak pasangan itu dipisahkan daripada ibu bapa mereka dan pihak berkuasa Sweden melantik satu keluarga bukan Islam untuk menjaga empat beradik terbabit.

Sementara itu Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Rahmat ketika dihubungi berkata, susulan penahanan pasangan terbabit, barisan peguam mereka akan tetap mempertahankan hujah bagi pembelaan suami isteri itu.

Menurut beliau, terdapat perbezaan jelas antara dakwaan penderaan kanak-kanak dengan kaedah mendidik akhlak anak bagi seorang Muslim.

"Kita yakin bahawa mahkamah Sweden akan mempertimbangkan elemen perbezaan agama dan budaya sebagai alasan kukuh untuk membebaskan pasangan ini.

"Kita percaya kes ini merupakan satu jihad besar untuk membuka mata masyarakat dunia supaya dapat mengiktiraf perbezaan agama dan budaya," katanya. - UTUSAN 
Tabung Haji umum bonus 8 peratus

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan FADZIL ZAINOL

*  JAMIL Khir Baharom (kanan) bersama Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) dan Ismee Ismail semasa melakukan gimik dalam Majlis Pengumuman Bonus Pendeposit Tabung Haji 2013 di Menara TH, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan bonus sebanyak lapan peratus bagi tahun kewangan 2013, merangkumi bonus tahunan enam peratus dan Bonus Haji dua peratus kepada 8.3 juta pendepositnya.

Bagaimanapun, Bonus Haji itu hanya diagihkan kepada 7.7 juta pendeposit yang belum menunaikan haji dan kesemua bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pada 3 Februari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, TH memperuntukkan RM2.6 bilion bagi membayar bonus itu dengan RM2.4 bilion untuk bonus tahunan dan RM223 juta bagi Bonus Haji.

"Kadar bonus yang diberikan itu adalah kompetitif memandangkan pelaburan TH hanya terhad kepada pelaburan yang berlandaskan syariah.

"Malah, bonus tahunan ini adalah lebih tinggi berbanding kadar pulangan akaun deposit tetap perbankan Islam dan konvensional tempatan," katanya dalam sidang akhbar pengumuman bonus itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail.

Tahun lalu, TH melakukan agihan bonus sebanyak lapan peratus iaitu yang tertinggi dalam sejarah 50 tahun penubuhannya.

Jumlah bayaran keseluruhan bonus bagi 2013 itu turut mengatasi jumlah tahun 2012, iaitu sebanyak RM2.4 bilion.

Sementara itu, Ismee berkata, dana pendeposit TH juga telah meningkat kepada RM43 bilion daripada RM38 bilion pada setahun yang lalu.

Dalam pada itu katanya, tujuan TH memberikan Bonus Haji dua peratus adalah untuk membantu pengembangan simpanan pendeposit yang belum mengerjakan haji, memandangkan kos haji yang semakin meningkat. - UTUSAN 
Sistem ekonomi Islam alternatif yang ideal - Ku Li

 * TENGKU Razaleigh Hamzah (tengah) dan Ibrahim Ali dalam Persidangan Pemimpin-pemimpin Kerajaan anjuran Institut Kepemimpinan dan Keusahawanan Madinah (MILE) di Bandar Ilmu Ekonomi Madinah, semalam. Turut sama Gabenor Madinah, Putera Faisal Salman.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Sistem ekonomi Islam adalah alternatif yang ideal kepada sistem ekonomi kapitalis dan sosialis yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sistem itu beroperasi berlandaskan prinsip perkongsian keuntungan serta risiko antara pemberi pinjaman dan peminjam.

Menurut beliau, aspek-aspek seperti pengumpulan dan pengagihan kekayaan turut diperincikan dalam sistem ekonomi Islam dengan berdasarkan prinsip-prinsip syariah.

"Sistem ekonomi Islam bersifat seimbang dan segala aspek yang terkandung dalam sistem itu diletakkan pada tempat yang sepatutnya.

"Kesemuanya adalah untuk kemaslahatan ummah melalui prinsip setiap orang bertanggungjawab dan jujur dalam memenuhi keperluan jasmani serta rohani," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Pemimpin-pemimpin Kerajaan anjuran Institut Kepemimpinan dan Keusahawanan Madinah (MILE) di Bandar Ilmu Ekonomi Madinah, Arab Saudi hari ini.

Yang turut hadir wakil ASEAN di MILE, Datuk Ibrahim Ali.

Sementara itu, Tengku Razaleigh memberitahu, kewujudan Bandar Ilmu Ekonomi Madinah akan memberi lonjakan besar dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan Islam.

Beliau menambah, bagi mencapai matlamat tersebut, generasi baharu cendekiawan dan saintis Islam boleh dihimpunkan di Bandar Ilmu Ekonomi Madinah.

"Kita memerlukan cendekiawan dan pemikir yang lebih berwibawa daripada yang dihasilkan Universiti Oxford, Universiti Cambridge serta universiti ternama yang lain.

"Para cendekiawan serta pemikir Islam itu seharusnya berpengetahuan dalam aspek fizikal dan spiritual," ujarnya.

Tengku Razaleigh juga yakin inisiatif Bandar Ilmu Ekonomi Madinah akan memperbaharui harapan umat Islam di seluruh dunia untuk kembali cemerlang sebagai ummah yang komited dalam usaha mencari ilmu pengetahuan. - UTUSAN 
PM tidak akan benarkan isu pecah belahkan rakyat

PUTRAJAYA, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan timbulnya sebarang isu yang akhirnya boleh memecah-belahkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih mementingkan perpaduan walaupun ada kalanya berlaku perbezaan pendapat dalam satu-satu isu.

"Kita mungkin ada perbezaan pendapat tetapi tidak seharusnya melebarkan jurang perpecahan sesama kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Kira-kira 40 NGO Islam dan Melayu terlibat di dalam pertemuan itu dan mereka telah berpeluang berinteraksi dengan Perdana Menteri dalam sesi mesyuarat berkenaan.

Antara NGO terlibat ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Ditanya mengenai hasil pertemuan bersama NGO tersebut Najib berkata, beliau telah menjelaskan mengenai isu-isu semasa, antaranya peningkatan kos sara hidup dan penggunaan kalimah Allah selain langkah-langkah kerajaan untuk menangani setiap isu berbangkit.

"Mereka (NGO) telah memberi sokongan kepada kerajaan dan insya Allah berdasarkan kepada pertemuan ini, kita bersama-sama mencari kebaikan untuk negara.

"Saya jelaskan beberapa isu semasa, antaranya harga barang naik dan bagaimana kerajaan menangani isu tersebut, begitu juga dengan masalah media sosial serta kalimah Allah.

"Namun matlamatnya adalah untuk mencari satu bentuk kefahaman yang lebih jelas lagi dalam menentukan hala tuju serta masa depan negara kita," ujarnya. - UTUSAN 
Anwar licik alih tumpuan rakyat

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai seorang pemimpin licik yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mengalih tumpuan rakyat daripada masalah dalaman yang semakin meruncing dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Anwar akan melakukan apa sahaja bagi mengalih tumpuan rakyat, termasuk menawarkan dirinya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang walaupun Pilihan Raya Umum Ke-13 baru diadakan tidak sampai setahun.

Beliau berkata, tindakan terbaharu Anwar ini sebenarnya semata-mata ingin mengalih tumpuan rakyat berikutan perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali serta isu tuntutan fasakh anaknya, Nurul Izzah.

Katanya lagi, tindakan Anwar menawarkan diri untuk bertanding itu jelas merupakan satu helah politik dan pengkhianatan besar kerana mandat yang diberikan oleh pengundi DUN Kajang begitu mudah ditukar ganti.

"Berdasarkan latar belakangnya sebelum ini, tidak mustahil Anwar akan menggunakan pendekatan populis seperti ini bagi memastikan agenda untuk memegang jawatan tertinggi dalam negara tercapai.

"Dia berani bertindak sedemikian walaupun perlu berbohong kerana menyedari penyokongnya telah dididik untuk menerima dan menganggap pembohongan itu sesuatu yang benar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhammad Rahimi Osman yang mendakwa tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.

Dalam pada itu Zainal Abidin berpendapat, tindakan Anwar itu sengaja dirancang bagi mewujudkan konflik dalam kalangan rakyat terhadap Sultan Selangor.

"Ini kerana beliau perlu mendapat perkenan Sultan, dan jika Sultan mengambil laluan kiri, pastinya Anwar akan mengajak orang ramai turun menentang Sultan," katanya.

Sementara itu Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir berkata, tindakan PKR mencadangkan Anwar untuk bertanding kerusi DUN berkenaan seolah-olah mempersia-siakan mandat yang diberikan oleh rakyat sekali gus memperlekehkan sistem demokrasi negara.

Menurutnya, walaupun terdapat dalam kalangan parti komponen pembangkang yang membantah tindakan Anwar, perkara itu tidak akan dipedulikan oleh PKR demi mempertahankan kuasa parti itu.

"PKR kini dalam keadaan terdesak. Atas sebab itu mereka tidak berbincang dengan parti pakatan lain kerana jika mereka berbincang terlebih dulu, pasti hasrat Anwar untuk bertanding ini akan dibantah," katanya. - UTUSAN 
DUN boleh dibubar jika MB letak jawatan

 
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mempunyai kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor jika Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan.

Pada masa yang sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga harus meletak jawatan sekiranya Abdul Khalid berbuat demikian.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Kamal Nik Mahmod (gambar) berkata, Perkara 70 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor menyatakan Sultan mempunyai kuasa membubarkan DUN namun tidak disebut keadaan-keadaan yang membolehkan baginda berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, tafsiran keseluruhan Perlembagaan Negeri Selangor pada pandangannya adalah baginda boleh membubarkan DUN dalam tiga keadaan iaitu apabila hampir sampai hayat DUN, maka Menteri Besar akan menasihatkan Sultan.

Kedua, kata beliau, ialah dalam keadaan lain apabila Menteri Besar telah hilang keyakinan daripada majoriti Ahli DUN dan meletak jawatan, Sultan akan membubarkan DUN.

"Satu lagi keadaan apabila tiada satu parti pun yang mendapat majoriti dalam DUN, maka Sultan akan membubarkan DUN untuk mencari mandat baharu bagi parti politik yang bertanding dalam pilihan raya.

"Pada pandangan saya kalau Menteri Besar Selangor sekarang meletakkan jawatan, tidak semestinya Sultan akan membubarkan DUN kerana tiada krisis keyakinan dalam kerajaan atau DUN.

"Baginda boleh melantik Menteri Besar baharu kerana pakatan pembangkang masih mempunyai kerusi majoriti. Namun perlu diingat bahawa kuasa membubarkan DUN itu memang terletak di tangan Sultan. Jadi, kalau baginda membubarkan DUN maka itu dalam kuasa baginda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Kamal berkata, sekiranya Abdul Khalid meletakkan jawatan, barisan Exco yang dilantik oleh Sultan atas nasihat Menteri Besar seharusnya turut meletakkan jawatan.

Katanya, terdapat peruntukan dalam Perlembagaan negeri bahawa Exco 'collectively responsible' terhadap DUN.

"Oleh itu, jika Menteri Besar sudah meletakkan jawatan, maka secara kolektif barisan Exco juga harus meletakkan jawatan.

"Perlu diingat bahawa Sultan boleh memecat Exco pada bila-bila masa seperti dalam Perlembagaan negeri," katanya. - UTUSAN 
100 kenderaan musnah terbakar

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
 
 * ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran beberapa buah kereta di sebuah stor bengkel kenderaan di Parit Bakar, Muar, Johor, semalam.
MUAR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Sebanyak 100 daripada 150 buah kenderaan di stor penyimpanan sebuah bengkel di Parit Bakar di sini, musnah terbakar, mengakibatkan kerugian lebih RM2.2 juta.

Dalam kejadian pukul 9.45 pagi itu, kira-kira 70 buah kereta termasuk kereta mewah, 10 buah lori dan treler serta selebihnya van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) gagal diselamatkan.

Stor yang bersebelahan bengkel utama dan terletak kurang satu kilometer dari pekan Parit Bakar merupakan tempat menyimpan kenderaan terlibat kemalangan yang hendak dibaik pulih pelanggan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kegiatan membakar kertas upacara keagamaan oleh penduduk berdekatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina sebelum merebak ke rumput kering di luar stor berkenaan.

Katanya, disebabkan keadaan panas dan berangin, api menyambar bahagian stor tersebut.

"Siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur khianat dalam kejadian itu dan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi," tegasnya ketika dihubungi di sini.

Pekerja kilang terbabit, Mohd. Munir Sain, 20-an, berkata, dia terdengar bunyi beberapa letupan sebelum melihat beberapa kereta sudah terbakar lalu mengejutkan tujuh lagi rakannya yang sedang tidur.

"Kami berusaha memadamkan api tetapi kebakaran merebak cepat ditambah kedudukan kenderaan terlalu rapat. Semasa kejadian, kami sedang tidur manakala pekerja kaum Cina sudah pulang ke kampung untuk sambutan perayaan.

"Banyak kenderaan meletup kerana dalam kereta terdapat tong yang diisikan dengan petrol," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Ismail Mahmud berkata, seramai 16 anggota dari daerah ini dan Bukit Gambir berserta tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima laporan pukul 10 pagi.

"Kami mengalami masalah ketiadaan air kerana paip utama di Jalan Salleh, dilaporkan pecah kira-kira pukul 7 pagi ini. Kami menggunakan tangki air yang dibawa jentera bomba sebelum mengepam air parit untuk memadam kebakaran," katanya.

Menurut beliau, kebakaran cepat merebak kerana terdapat semak samun kering kerana baru diracun selain berlaku tumpahan minyak kenderaan di kawasan tersebut.

Katanya, pihaknya berjaya memindahkan kira-kira 50 kenderaan yang terselamat dengan menggunakan sebuah jentera angkut susun dan kebakaran dapat dikawal setengah jam kemudian apabila punca air pulih semula. - UTUSAN 
Pengawal cuba rompak eksekutif AirAsia dipenjara tiga tahun

 * MOHAMAD Faiz Amirol Mohamad yang dihukum penjara tiga tahun diiringi oleh anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan cuba merompak eksekutif syarikat penerbangan AirAsia, yang maut akibat dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah kereta ketika pemandunya cuba membantu mangsa, tahun lalu.

Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Faiz Amirol Mohamad, 23, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan pindaan itu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes terhadap seorang lagi tertuduh, Azizee Ishak, 26, yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah, dipindahkan ke Mahkamah Majistret setelah lelaki itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa bersama-sama cuba merompak Shahrinawati Abu Bakar, 30, di hadapan Kondominium Palm Villa City Garden, Taman Nirwana, Ampang dekat sini kira-kira pukul 2.45 pagi, 29 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan terhadap Mohamad Faiz dan Azizee yang diwakili Dony Abdullah dikemukakan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff yang mengendalikan pendakwaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kekerapan berlakunya jenayah tersebut kebelakangan ini dan sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Peguam Abdul Hoqq Abd. Razak yang mewakili Mohamad Faiz pula memohon agar hukuman penjara terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh telah mengaku bersalah dan tindakan itu menjimatkan masa mahkamah.

"Selain itu, anak guam saya merupakan pesalah pertama dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian itu, Mohamad Faiz cuba meragut beg tangan mangsa sementara seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal.

Sebaik sahaja mendengar jeritan mangsa, dua lelaki yang kebetulan melalui jalan tersebut bertindak mengundurkan kenderaan mereka dan melanggar Mohamad Faiz serta rakannya menyebabkan kedua-dua mereka jatuh sebelum melarikan diri.

Berdasarkan dompet yang ditemui di tempat kejadian, polis menahan Mohamad Faiz pada 29 Ogos tahun lalu dan Azizee pula diberkas empat hari kemudian.

Akhbar sebelum ini melaporkan Shahrinawati yang bakal mendirikan rumah tangga menemui ajal secara tragis apabila dia dilanggar sebuah kenderaan dinaiki dua rakan secara tidak sengaja ketika mereka cuba membantu mangsa yang disamun dua lelaki bermotosikal.

Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles dekat sini pada pukul 3.15 pagi, kira-kira setengah jam selepas kejadian.

Sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari tempat kerja di Sepang sedang berjalan menuju ke rumahnya selepas meletakkan kenderaan di luar pagar kondominium berkenaan. - UTUSAN 
Cabul: Doktor diarah berkelakuan baik

SHAH ALAM, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Seorang doktor berusia 56 tahun diperintah berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah mencabul kehormatan pesakitnya, empat tahun lalu.

Majistret Nor Kamilah Aziz turut memerintahkan Wan Azman Wan Adnan membayar wang cagaran sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin.

Beliau memutuskan demikian setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Namun beliau turut mengambil kira masalah kesihatan tertuduh yang mengalami penyakit diabetis kronik dan gangguan mental serta faktor usia tertuduh.

Wan Azman didapati bersalah mencabul seorang pelajar perempuan sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 26 tahun di sebuah klinik, Pusat Komersial Seksyen 7 di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 17 Julai 2010.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

Terdahulu peguam, Dir Kheizwan Kamaruddin yang mewakili Wan Azman memohon hukuman yang ringan terhadap tertuduh dengan mengambil kira usia anak guamnya di samping masalah kesihatan yang dialami.

"Anak guam saya menghidap penyakit kencing manis yang kronik di samping pernah menghadapi gangguan mental sehingga menyebabkan perceraian dengan isteri pertamanya," ujar beliau.

Katanya, anak guamnya yang kini seorang pensyarah perubatan di sebuah kolej swasta merupakan penanggung tunggal keluarganya iaitu isteri dan tiga anak berusia antara enam dan 11 tahun melalui perkahwinan sekarang.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Husnita Mohd. Radzi memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam kerana tertuduh seorang doktor yang melakukan perbuatan salah terhadap pesakit yang mahu mendapatkan rawatan.

Sebanyak tujuh saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

Dalam pada itu, sebaik sahaja selesai prosiding, Noor Husnita memberitahu pemberita, pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut. - UTUSAN 
Dilarang guna GST dalam resit

Oleh NABILA YASMIN MOHD. RAZIB
 
 * AhHMAD Maslan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor membaca risalah mengenai GST pada Seminar Memperkasa Ekonomi Nasional Peringkat Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Kementerian Kewangan mengarahkan semua hotel atau restoran yang mengenakan Cukai Perkhidmatan Kerajaan (Goverment Services Tax) di dalam resit supaya menghentikan perbuatan berkenaan kerana mengelirukan pengguna.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, tiada istilah Cukai perkhidmatan Kerajaan dan istilah GST yang sebenar ialah Cukai Barang dan Perkhidmatan yang masih belum dilaksanakan. Tindakan pihak tertentu yang meletakkan GST di dalam resit merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata, penggunaan istilah GST hanya boleh dilakukan setelah pelaksanaan sistem GST yang sebenar dikuatkuasakan pada 1 April 2015.

"Ada sesetengah tempat menggunakan istilah GST, apabila ditanya, mereka mengatakan itu adalah Government Sevices Tax, ini tidak betul.

"Ini merupakan satu kesalahan, jadi saya minta mereka menghentikan penggunaan istilah GST di dalam resit kerana GST yang mereka guna itu bukan Cukai Barang dan Perkhidmatan,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada masa ini restoran atau hotel hanya mengenakan Cukai Perkhidmatan (Services Tax) dan Cukai Jualan (Sales Tax) kepada pelanggannnya.

Sementara itu Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan mengeluarkan panduan pengguna dalam masa tiga bulan sebelum pelaksanaan GST bagi memudahkan mereka membuat perbandingan.

"Panduan tersebut akan mengandungi senarai barangan serta harga sama ada mengalami kenaikan atau penurunan harga.

Senarai yang dijangka dikeluarkan pada Januari 2015 itu akan dapat diakses melalui laman web, akhbar dan media elektronik.

Langkah itu katanya, bertujuan supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan setelah GST dilaksanakan. - UTUSAN 
Harap urusan eksport nanas ke China diselesaikan

* MOHAMAD Khaled Nordin (dua dari kiri), menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara Sahdan Salim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn. Bhd., Hamsan Saringat (tiga dari kiri) di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Malaysia berharap dapat menyelesaikan masalah dengan China berkaitan urusan untuk mengeksport nanas ke negara tersebut dalam masa terdekat, sekali gus merancakkan lagi ekonomi kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sahdan Salim berkata, perkara itu diharap diselesaikan apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melawat negara berkenaan hujung Februari ini.

Menurutnya, usaha mengeksport nanas ke China sepatutnya boleh dilakukan, namun tidak dapat berbuat demikian ekoran beberapa halangan peraturan negara itu.

"Kita harap perkara ini selesai kerana projek yang dimulakan dalam usaha mengeksport nanas ke China pada hujung 2012 sudah mula menampakkan hasil, malah kita kini mampu mengeksport satu kontena nanas setiap minggu.

"Justeru, kita harap masalah birokrasi di pihak negara berkenaan dapat diselesaikan dan jika semuanya berjalan lancar, 100 kontena nanas dapat dieksport ke negara itu setiap bulan menjelang 2015," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPNM dan YPJ Holdings Sdn. Bhd. dan MoU antara Johor Corporation (JCorp) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), di sini hari ini.

Kedua-dua majlis MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Yang turut hadir Pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, Johor kini dalam usaha mengembalikan kegemilangan industri nanas di negara ini menerusi kerjasama dengan pihak tertentu termasuk melatih belia yang berminat untuk menjadi usahawan tani.

"Ini yang sedang kita lakukan seperti MoU hari ini dapat menyediakan peluang kepada mereka yang berminat terutama golongan belia menceburkan diri dalam bidang pertanian yang diyakini dapat memberi pulangan lumayan," katanya. - UTUSAN 
BN buat keputusan selepas mesyuarat

PUTRAJAYA, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Keputusan Barisan Nasional (BN) akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil (PRK) Kajang akan ditentukan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Perdana Menteri berkata, tarikh mesyuarat itu belum ditetapkan lagi tetapi kemungkinan selepas pengumuman tarikh PRK Kajang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Februari ini.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

Thursday 30 January 2014

Warga Libya didakwa rogol remaja berusia 15 tahun

BALIK PULAU, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Seorang lelaki warga Libya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun di Bayan Lepas di sini, pada 21 Disember tahun lepas.

Mahmoud M. Mukhtar Bagaeigaa, 20, mengangguk tanda faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Dia dituduh merogol gadis bawah umur itu di padang permainan Taman Sri Nibong, Jalan Bukit Kecil 1, Bayan Lepas di sini pada 12.30 tengah malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Najib Ismail tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Mac untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh, manakala Mahmoud tidak diwakili peguam. - BERNAMA 
Khalid Samad akui kepimpinan PKR alami krisis

SHAH ALAM, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini mengakui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dikosongkan bagi menyelesaikan krisis dalaman yang berlaku dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, tindakan Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat Kajang dilihat sebagai wajar dalam usaha mengatasi masalah PKR.

"Masalah dalaman PKR itu memerlukan penyelesaian yang cepat dan segera. Maka, perletakan jawatan Lee itu saya lihat bukan dilakukan secara saja-saja atau main-main tanpa adanya matlamat dan objektif yang lebih besar," kata Khalid yang juga anggota Jawatankuasa Kerja PAS dalam sidang berita di pejabatnya di sini.

Khalid berkata, perletakan jawatan Lee dan pemilihan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon untuk bertanding kerusi DUN Kajang mampu menangani perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali. - BERNAMA 
Bot karam: Dua selamat, dua lagi hilang

SARIKEI, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Dua selamat, manakala dua lagi dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki mereka karam di kawasan Rumah Buda, Batang Rajang di sini hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.22 petang sebelum tiga anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti dan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan. - UTUSAN ONLINE 
Rafizi jangan letak kelemahan di bahu orang lain

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli diingatkan supaya tidak meletakkan kelemahan diri sendiri di atas bahu orang lain apabila mengaitkan tindakan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang oleh wakil rakyat parti itu dengan UMNO.

Ingatan itu disuarakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin ketika merujuk kenyataan Rafizi yang secara ‘tiba-tiba’ meletakkan UMNO di sebalik tindakan berkenaan.

“Bagi menutup kesilapan dan tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang tanpa sebarang alasan yang kukuh, Rafizi membuat tuduhan tanpa asas dengan meletakkan kesalahan tersebut kepada UMNO.

“Jangan sampai kerosakan rumah tangga sendiri, orang lain yang dituduh, kerana amalan politik kotor seperti ini tidak akan mampu mematangkan fikiran rakyat. Permohonan maaf yang keluar dari mulutnya hanyalah sebagai ulam politik semata-mata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Budak perempuan 7 tahun mati dikelar bapa

BANGI, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Seorang lelaki mengelar hingga mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata dalam kejadian 4.15 petang itu, lelaki berkenaan mencederakan anak-anak perempuannya yang berusia 10 dan 12 tahun di tengkuk dan tangan hingga menyebabkan seorang daripadanya putus jari.

"Polis masih lagi mencari jari itu di dalam rumah suspek," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, seorang lagi anak perempuannya yang berumur 15 tahun dan anak lelakinya yang berusia 17 tahun dapat menyelamatkan diri daripada bapa mereka, yang bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian itu.

Menurutnya, anak perempuannya berusia 15 tahun itu, yang baru pulang dari sekolah menengah agama, terkejut apabila melihat bapanya sedang berdiri dengan memegang sebilah parang di dalam rumah. - BERNAMA 
Suspek kes bunuh Nursyafiqah didakwa Isnin ini

 NURSYAFIQAH Adawiyyah Abdullah

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Suspek kes pembunuhan Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah, 2, yang ditemui mati di sebuah rumah kosong di Taman Permint, Seberang Paka, Dungun akan dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, siasatan berhubung kes itu hampir selesai dan perkara tersebut sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Tempoh tahanan reman terhadap suspek yang dilanjutkan akan berakhir pada Isnin ini dan pertuduhan akan dibuat di mahkamah di sini pada hari yang sama," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
ASEAN masih jauh untuk hos Piala Dunia

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Banyak aspek perlu diteliti sebelum negara-negara ASEAN bersepakat mahu meneruskan cadangan membida Piala Dunia 2034 sebagai tuan rumah bersama, menurut bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan.

Beliau berkata, rancangan 10-negara ASEAN tersebut disulami dengan pelbagai kesukaran dan cabaran, antaranya daripada aspek logistik, standard bola sepak di rantau ini, cabaran diplomatik dan kemampuan ekonomi.

Selain itu, rancangan membida itu mengundang pelbagai perbahasan, antaranya tugas rumit untuk memutuskan di manakah perlawanan pembukaan diadakan, negara mana menjadi tuan rumah perlawanan final dan negara mana layak secara automatik.

Velappan, yang memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung AFC dari 1977 hingga bersara pada 2007, merupakan Pengarah Koordinasi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2002 ketika Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama.

Beliau menegaskan negara pembida juga perlu merangka satu rangka kerja khusus meliputi penyediaan kemudahan awam seperti pengangkutan selain kemampuan negara berkenaan menampung kedatangan pelancong luar yang hadir menyaksikan Piala Dunia. - BERNAMA 
Tanda Putera antara 4 filem Malaysia ditayang di Berlin

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: 'Tanda Putera', sebuah filem keluaran Pesona Pictures adalah antara empat filem cereka yang bakal membuat penampilan sulung di Pasaran Filem Eropah Berlin, Jerman, minggu depan.

Filem lain ialah 'Laga' keluaran Business Leader Film Production, 'The Great Lion Kun Seng Keng' (Asia Tropical Film) dan 'Amir dan Loqman Pergi ke Laut' (Astro Shaw), kata Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM) Datuk Mohd Mahyidin Mustakim.

Beliau berkata, tayangan filem terbabit, yang diurus oleh CCAM, bermula dari 7 hingga 9 Feb di pelbagai pawagam di Potsdamer Platz, Berlin.

"Kesemua filem cereka ini adalah luar biasa dan dibuat dengan teliti serta penuh semangat, oleh itu, semua rakyat Malaysia harus berbangga meraikan kepelbagaian kandungannya selain kualiti penghasilan yang amat baik.

"Mempunyai sebuah filem yang ditayang di pasaran filem berprestij yang disertai golongan profesional industri berkenaan di peringkat antarabangsa amat membanggakan, dan pengeluar serta penggiat industri hiburan tanah air seharusnya gembira dengan kejayaan ini," katanya. - BERNAMA 
Tempoh tahanan reman Azizul dilanjutkan

STOCKHOLM, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Pihak pendakwaan memperoleh perintah Mahkamah Daerah Solna hari ini bagi melanjutkan tahanan reman Azizul Raheem Awalludin selama 11 hari lagi sehingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anak lelakinya.

Mahkamah itu mengeluarkan perintah berkenaan bagi membolehkan pihak pendakwaan yang diwakili Anna Arnelle, terus menyiasat kes itu.

Difahamkan mahkamah sama akan bersidang esok bagi memutuskan penahanan reman isteri Azizul, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji.

Prosiding selama sejam itu dijalankan dalam bahasa Sweden dan diterjemah ke bahasa Inggeris untuk Azizul, pegawai Tourism Malaysia di Sweden, dan peguamnya, Jonas Tamm.

Anggota keluarga pasangan itu dari Malaysia dan seorang pegawai Tourism Malaysia turut hadir di mahkamah.

Azizul dan Shalwati direman sejak 18 Dis lepas dan penahanan mereka sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali.

Tiada had penahanan reman di Sweden. - BERNAMA 
Polis guna kereta berkuasa tinggi kejar raja dadah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2015: Bagi membanteras aktiviti 'raja dadah' atau 'kingpin dadah', Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik Polis Diraja Malaysia (STING) akan menggunakan kereta berkuasa tinggi untuk mengejar mereka dalam operasi yang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, pembelian kenderaan seumpama itu dibuat menerusi peruntukan Kementerian Dalam Negeri berjumlah RM5 juta.

Sebanyak RM4 juta lagi diperuntukkan bagi membeli pakaian seragam khas dan peralatan kelengkapan penguat kuasa narkotik.

"Raja dadah melarikan diri daripada polis menggunakan kereta mewah dan laju seperti Mercedes Benz. Mana kita mampu kejar mereka dengan kereta Proton Waja polis. Jadi pasukan ini akan dijadikan unit khas untuk menangkap mereka," katanya.

Beliau berkata, selain kereta jenis BMW, terdapat juga kenderaan lain yang dibeli untuk digunakan bagi penyamaran dan perisikan.

Mengenai penubuhan Sting, Noor Rashid berkata, ia ditubuhkan atas saranan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Malaysia bebas daripada dadah menjelang 2015, seperti yang dipersetujui dalam kalangan negara ASEAN.

Ahmad Zahid hari ini melancarkan STING di Pusat Latihan Polis di sini. - BERNAMA 
Mekanik mengaku tidak bersalah bunuh janda

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Seorang mekanik di sebuah kedai basikal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan masing-masing cubaan membunuh seorang janda dan dua anak perempuan wanita itu dengan membakar mangsa di Perumahan Awam, Desa Rejang, Setapak, di sini, minggu lalu.

Mahkaman bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap Mohd. Afizi Abdul Rahman, 27. - UTUSAN ONLINE 
Isu Sweden: Penyerahan anak kepada keluarga Islam malam ini

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Satu majlis penyerahan hak penjagaan anak-anak pasangan suami isteri rakyat Malaysia yang ditahan di Sweden kepada keluarga angkat beragama Islam akan berlangsung pada pukul 3 petang ini waktu tempatan (10 malam ini waktu Malaysia).

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin selepas melawat pasangan tersebut, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Nurshal tersebut di Sweden hari ini.

Menurut Hamzah, dalam pertemuan itu, pasangan tersebut yang ditahan pihak berkuasa Sweden kerana didakwa memukul anak lelaki kerana enggan bersolat, telah bersetuju untuk menyerahkan hak penjagaan anak-anak mereka kepada keluarga angkat beragama Islam.

"Persetujuan untuk menyerahkan hak penjagaan itu telah dinyatakan kepada saya ketika melawat pasangan tersebut hari ini," katanya kepada media.

Yang turut menyertai kunjungan beliau itu ialah Pengerusi Biro Pengaduan Masyarakat Pemuda UMNO, Sheikh Nafiq Alfirdaous dan timbalannya, yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat. - UTUSAN ONLINE
Pelajar Malaysia cedera ditikam 14 kali di Nottingham

 * AHMAD IZAT Ahmad Mazni, pelajar Malaysia yang ditikam 14 kali dalam kejadian di Nottingham, United Kingdom kelmarin.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Seorang pelajar Malaysia terpaksa menerima 11 jahitan selepas cedera ditikam 14 kali oleh tiga remaja dalam satu kejadian di Nottingham, United Kingdom kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa, Ahmad Izat Ahmad Mazni dikatakan baru pulang daripada menonton perlawanan bola sepak.

Ahmad Izat dalam Twitternya memaklumkan, dia telah dirompak dalam kejadian itu dan penjenayah telah mengambil telefon bimbit, jam tangan serta dompetnya.

"Saya juga terkena tikaman di kepala, di dada, belakang badan, kaki kiri, celah paha, kaki kanan, lengan dan dikelar di beberapa tempat di badan.

Saya telah keluar hospital semalam dan kini sedang berehat kerana pergerakan terhad," ujarnya. - UTUSAN ONLINE 
Tentera Libya rampas semula pangkalan udara

TRIPOLI, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Tentera Libya merampas semula sebuah pangkalan udara di selatan negara ini selepas bertempur dengan penyokong diktator, Muammar Gaddafi, yang sebelum ini mengusai kawasan itu selama dua minggu.

Jurucakap tentera, Kolonel Ali al-Chikhi berkata, tentera berjaya menguasai semula pangkalan udara Tamenhant, di selatan bandar Sebha, di sini.

"Unit tentera kini mengadakan kawalan ke atas pangkalan seluas 15 kilometer persegi itu dan kami sedang mengesan penyokong diktator tersebut," katanya.

Sebanyak dua orang terbunuh dan enam yang lain cedera dalam kejadian tersebut, menurut laporan hospital. - AFP/UTUSAN 
IAEA lawat lombong uranium Gachin di Iran

TEHERAN, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), hari ini melawat lombong uranium Gachin di Iran, lawatan pertama ke lombong itu dalam tempoh beberapa tahun, kata seorang pegawai Iran.

"Tiga orang pemeriksa IAEA itu telah melakukan lawatan ke lombong Gachin," kata Behrouz Kamalvandi, jurucakap Pertubuhan Tenaga Atom Iran, seperti dipetik agensi berita Mehr.

Lawatan pakar-pakar ke lombong di selatan Iran itu adalah sebahagian daripada rangka perjanjian yang dicapai antara Teheran dan pasukan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada November lalu.

Di bawah fasa pertama perjanjian itu, pakar-pakar PBB sebelum ini telah melawat loji air berat di reaktor Arak pada 8 Disember lalu, ketika kesemua objektif teknikal IAEA dipenuhi, kata agensi itu, yang berpangkalan di Vienna.

Reaktor Arak yang masih dalam pembinaan merupakan satu sumber utama yang menjadi perhatian kuasa-kuasa Barat, bimbang pengeluaran plutonium di situ akan digunakan oleh Iran untuk membuat bom atom.

Kali terakhir pakar-pakar IAEA melawat lombong itu ialah pada 2005.

Di bawah perjanjian itu, Iran dikehendaki memaklumkan kepada IAEA tiga bulan sebelum ia memindahkan bahan radiaktif ke dalam kemudahan nuklearnya.

Kamalvandi berkata, pada minggu lalu keadaan 'tidak jelas' dalam rundingan antara Iran dan IAEA berhubung pelaksanaan fasa kedua perjanjian itu, yang akan bermula pada 8 Februari ini.

Iran juga mencapai perjanjian dengan kumpulan negara P5 1, terdiri daripada negara-negara anggota tetap Majlis Keselamatan Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat campur Jerman, pada November lalu -- berhubung program nuklearnya, yang didakwa Barat untuk tujuan ketenteraan, dan dinafikan oleh Teheran. - AFP/UTUSAN 
Jumlah calon berjaya peroleh sijil STAM menurun
PUTRAJAYA, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Bilangan calon yang berjaya memperoleh Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 menurun berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, jumlah calon yang berjaya memperoleh sijil iaitu perlu mendapat pangkat maqbul (lulus) hingga mumtaz (cemerlang) menurun sebanyak 414 calon iaitu daripada 3, 927 calon pada tahun sebelumnya kepada 3, 513 calon untuk tahun ini. - UTUSAN ONLINE 
Israel dakwa al-Qaeda punya pangkalan di Turki

TEL AVIV, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Anggota militan al Qaeda yang berjuang di Syria mempunyai beberapa pangkalan di negara jiran Turki dan mempunyai akses mudah memasuki Eropah dari negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor Ketua Perisikan Tentera Israel, Mejar-Jeneral Aviv Kochavi di sini semalam.

Beliau memberitahu persidangan keselamatan bahawa anggota militan al-Qaeda dari seluruh dunia memasuki Syria setiap minggu, namun mereka tidak terus tinggal di sana.

Jurucakapnya turut menunjukkan peta kedudukan tiga pangkalan al-Qaeda itu di wilayah Karaman, Osmaniye dan Sanliurfa dalam Turki.

Bagaimanapun, wakil Kementerian Luar Turki enggan mengulas perkara tersebut, tetapi Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya negara itu memberi perlindungan kepada kumpulan militan al-Qaeda untuk memasuki Syria. - REUTERS/UTUSAN 
Taliban lancar 3 letupan di pusat pemeriksaan polis

KARACHI, Pakistan, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Tiga letupan bom termasuk satu serangan berani mati dilaporkan di pusat pemeriksaan polis, di sini hari ini, menyebabkan empat orang terbunuh.

Tiga askar serta seorang penduduk terkorban, manakala empat yang lain cedera dalam serangan yang dipercayai dilakukan oleh militan Taliban.

Menurut seorang pegawai kanan polis, Amir Farooqi, peralatan peranti letupan ditanam di sebuah pondok keselamatan, sebelum ia diletupkan di kawasan penempatan Nazimabad, manakala pengebom berani mati melancarkan serangan tidak lama selepas itu.

Jurucakap militan Taliban di Pakistan, Shahidullah Shahid mengaku bertanggungjawab ke atas serangan yang dianggap sebagai tindak balas terhadap kematian anggotanya yang di sebuah penjara negara ini, baru-baru ini. - AFP/UTUSAN 
TPM Libya selamat cubaan bunuh

TRIPOLI, KHAMIS, 30 Januari, 2014: Timbalan Perdana Menteri Libya terselamat daripada satu cubaan bunuh di sini semalam.

Menurut laporan agensi berita tempatan, LANA, Seddik Abdelkarim sedang berada dalam keretanya apabila beberapa orang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah kenderaannya.

Tiada kecederaan dilaporkan.

Menteri berkenaan sedang dalam perjalanan ke Parlimen ketika kejadian itu berlaku, lapor agensi berita itu. - AFP/UTUSAN 
Kempen turun harga 70 peratus

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

* NAJIB Tun Razak meninjau harga barang keperluan harian di pasar raya Econsave Balakong dekat Cheras, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR, RABU, 29 Januari, 2014: Kerajaan melancarkan kempen penurunan harga barang antara 15 hingga 70 peratus secara serentak di seluruh negara sebagai bukti komitmen dalam menangani masalah kos sara hidup yang kini membelenggu rakyat.

Penurunan harga itu melibatkan sehingga 4,000 jenis produk keperluan harian terutama makanan segar, makanan sejuk beku, makanan kering, makanan dalam tin, produk bayi dan kanak-kanak, minuman serta produk bukan makanan.

Kempen enam bulan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan melibatkan penyertaan 10 pasar raya iaitu, Econsave, AEON, Mydin, NSK, 99 Speedmart, AEON BIG, Segi Fresh Mart, Giant, KK Mart dan Tesco.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib berkata, kempen itu sebahagian pendekatan kerajaan bagi menangani masalah peningkatan kos sara hidup walaupun dalam sesetengah isu, kenaikan harga barang berada di luar kawalan pihak berkuasa.

"Kempen ini turut membabitkan lebih 741 cawangan pasar raya yang terlibat dan sudah tentu dengan pengurangan sehingga 70 peratus harga barang akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

"Bagi pihak kerajaan, kita mengambil tanggungjawab ini untuk membantu rakyat menangani masalah kos sara hidup dan saya juga mengucapkan terima kasih kepada peniaga yang terlibat dalam kempen ini," katanya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek serta timbalannya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira sejam meninjau harga barang keperluan harian di Econsave Balakong serta AEON Cheras Selatan.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, kerajaan menggunakan empat pendekatan dalam menangani masalah kos sara hidup dengan salah satu daripadanya ialah menjalinkan kerjasama dengan pihak peniaga untuk menurunkan harga.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memperbanyakkan program bersifat kemahiran tambahan kepada rakyat agar mereka mampu menikmati pendapatan lebih tinggi serta turut memperkenalkan penetapan gaji minimum.

Kerajaan juga, katanya, mengambil pendekatan mempelbagaikan bantuan kepada rakyat dan mengarahkan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab. - UTUSAN 
Muslihat Anwar elak dihukum?

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan HUSSAINI AMRAN
 
 Muhammad Rahimi
KUALA LUMPUR, RABU, 29 Januari, 2014: Keputusan mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkan Ketua Pembangkang tersebut daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.

Ini memandangkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dijadualkan didengar di Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini.

Kejadian hampir sama seperti berulang apabila pada 26 Ogos 2008, Anwar bertanding sebagai calon PKR di Permatang Pauh selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas tuduhan tersebut pada 7 Ogos tahun sama.

Pada 15 April 1999, Anwar Ibrahim dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Kemungkinan strategi itu sekali lagi digunakan oleh Anwar didedahkan oleh bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad Rahimi Osman yang mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada sumber dalaman PKR.

Menurut beliau, perbalahan antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali cuma perkara biasa yang tidak akan menyebabkan Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan pakatan pembangkang.

"Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa dalam rayuan kes liwat beliau.

"Melalui pertandingan dalam pilihan raya kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada pihak berkuasa dalam kes liwat beliau," dakwanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh wakil rakyat PKR, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan kelmarin selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.

Semalam, Abdul Khalid mengumumkan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang dikosongkan oleh Chin Cheh.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berpandangan, jawatan Menteri Besar Selangor bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Kajang.

Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) malah menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai 'mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum'.

"Saya tidak hairan dengan 'drama' Anwar kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008," dakwanya.

Yang berbeza cuma wakil rakyat yang menjadi 'korban' iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundur diri untuk memberi laluan kepada suaminya di Permatang Pauh manakala Chin Cheh meletakkan jawatan agar Anwar boleh bertanding sebagai calon PKR di Kajang.

"Memang benar pilihan raya kecil DUN Kajang bukan berkisar tentang soal Anwar mahu menjadi Menteri Besar Selangor, sebaliknya tentang kes liwat beliau," dakwanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari percaya Anwar tahu laluannya untuk menjadi Menteri Besar Selangor adalah proses yang rumit.

"Terdapat banyak faktor yang boleh menghalang Anwar daripada dilantik ke jawatan itu terutama kemungkinan tidak mendapat perkenan Sultan Selangor," jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, Anwar berkemungkinan akan memainkan persepsi jika gagal menjadi Menteri Besar Selangor bahawa semua itu adalah berpunca daripada rayuan kes liwat yang kononnya didalangi oleh UMNO dan BN. - UTUSAN 
Amaran pencetus ketegangan kaum

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Januari, 2014: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran akan mengenakan tindakan serta-merta terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan kaum sebagai tindak balas berhubung isu kalimah Allah.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau rapi isu itu dan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini yang boleh mengancam ketenteraman dan kestabilan awam, tindakan tegas akan diambil.

Menurutnya, setakat ini polis membuka lima kertas siasatan berhubung isu kalimah Allah termasuk yang melibatkan isu Pengarang The Herald, Lawrence Andrew serta bom petrol dicampak ke sebuah gereja di Pulau Pinang.

"Polis memandang serius isu itu dan apa yang berlaku dalam tempoh 48 jam ini tidak sepatutnya terjadi. Kita berharap perkara-perkara yang boleh menggugat keselamatan seperti itu tidak akan berulang lagi.

"Saya beri amaran tegas kepada mereka yang berkaitan supaya tidak membangkitkan isu-isu sebegini kerana kita tidak mahu sebarang provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam,'' katanya dalam majlis penyerahan tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis juga sedang aktif meneliti kes itu bersama Jabatan Peguam Negara untuk melihat tindakan yang akan diambil.

Khalid meminta semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mempersendakan penghakiman negara memandangkan penggunaan perkataan Allah dalam teks bahasa Melayu The Herald sedang dihakimi Mahkamah Rayuan Malaysia.

Tambahnya, polis juga telah menerima sejumlah 462 laporan polis di seluruh negara berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Sementara itu, Khalid berkata, PDRM tidak akan menubuhkan satu unit khas yang digelar 'Polis Syariah' dalam melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan berkaitan isu syariah dan agama.

Katanya, cadangan membentuk satu unit yang bertindak sebagai penguasa agama sebenarnya telah disalah tafsir oleh beberapa pihak kerana PDRM hanya bertindak sebagai sokongan kepada jabatan agama.

"PDRM hanya akan membantu jabatan agama dalam beberapa aspek terutama sekali dari segi penguatkuasaan dan siasatan.

"Apa yang dimaksudkan ialah kita menawarkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk meminjam pegawai polis bagi membantu mereka meningkatkan tahap penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang syariah," katanya. - UTUSAN  
Pelan perdamaian nasional berasaskan empat teras

KUALA LUMPUR 29 Januari, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelan perdamaian nasional yang diusahakan kerajaan akan berasaskan empat teras iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa.
, RABU,
Beliau berkata, dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Jemaah Menteri telah meneliti satu pelan untuk membangunkan dan menggalakkan persekitaran kondusif untuk dan dapat membantu menggalakkan perdamaian nasional menerusi perpaduan dan konsensus di dalam negara.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, pelan diusahakan kerajaan itu adalah berasaskan prinsip-prinsip demokrasi.

Najib, bagaimanapun menegaskan pelan itu tidak termasuk penubuhan sebarang bentuk kerajaan perpaduan.

"Kami telah diberikan mandat besar oleh rakyat untuk mentadbir pada pilihan raya umum lepas dan kami berhasrat melakukannya. Bagaimanapun, kami perlu lihat untuk menjadi lebih inklusif dalam aktiviti-aktiviti dan acara-cara kami.

"Kami terbuka untuk berbincang dengan semua pihak dan kami boleh gunakan Parlimen, termasuk menubuhkan jawatankuasa dwi partisan untuk membincangkan isu-isu yang menjejaskan perpaduan nasional," katanya.

Najib berkata, beliau mengilhamkan idea perdamaian nasional selepas pilihan raya umum lepas, namun beberapa pihak tidak responsif terhadap rayuannya untuk bekerjasama.

"Kesahihan pilihan raya malah dipersoalkan oleh mereka dan ia terbukti tidak berasas. Saya kini menjadi lebih bersemangat apabila melihat pembangkang menggesa bagi satu konsensus dan saya percaya mereka akan mengalu-alukan perkembangan baharu ini.

"Tidak seperti idea-idea yang kabur mengenai konsensus, pelan perdamaian nasional yang diusahakan kerajaan akan berasaskan empat teras utama iaitu sosial, politik, kerajaan dan hubungan antarabangsa dan terus maju.

"Saya akan mengetuai pelaksanaan perubahan-perubahan yang kita harap akan menjadikan semua rakyat Malaysia lebih rapat," katanya.

Najib berkata, kebebasan seseorang untuk menyuarakan pandangan akan terus dipertahankan, tetapi ini juga mesti diiringi dengan tanggungjawab.

"Bagi membolehkan semua ini berjaya, kita semua mesti berjanji untuk mengelak daripada menyebarkan pembohongan dan fitnah, yang akhirnya dapat menghentikan politik kebencian," katanya.

Najib berkata, terdapat keperluan untuk kembali semula kepada akar umbi dan mendekati rakyat bagi membina komitmen mereka ke arah mencapai visi bersama bagi sebuah negara Malaysia yang aman, berjaya dan harmoni.

"Kita juga perlu melibatkan belia kita dalam inisiatif-inisiatif ini untuk menyatukan rakyat. Kita perlu mengusahakan dan merumuskan Model Perpaduan Sosial yang akan dapat membantu menjamin perpaduan kekal menjadi objektif bersama dalam aktiviti-aktiviti generasi akan datang. - BERNAMA

"Dalam beberapa bulan akan datang, anda akan menyaksikan perubahan-perubahan yang akan membantu menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih bersatu dan sebuah negara yang padu. Saya menjemput semua rakyat Malaysia untuk menyertai saya dalam perjalanan ini," katanya. - BERNAMA 
Lagi pimpinan Pas kecam PKR

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU, RABU, 29 Januari, 2014: Seorang pemimpin Pas negeri mengecam peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengkhianati mandat dan sokongan rakyat terutama yang menyokong pakatan itu.

Menurutnya, kepemimpinan PKR seolah-olah mempermainkan undi rakyat selain membawa kepada pembaziran wang rakyat untuk mengadakan pilihan raya ketika usaha mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) berjimat cermat.

"Bahkan pengkhianatan itu berlaku pada rakan pakatan kerana peletakan jawatan ADUN Kajang dilakukan tanpa perbincangan dan persetujuan bersama," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, sikap tidak jujur dan tidak telus dalam usaha menukar Menteri Besar Selangor juga mengundang kecurigaan dan kecemburuan oleh rakan dalam pakatan pembangkang kerana jawatan itu bukan milik mutlak PKR, sebaliknya milik bersama.

Justeru itu, beliau yang juga ADUN Bukit Payong berpendapat, pelantikan dan pertukaran Menteri Besar Selangor itu mesti diputuskan dan dibincang dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Menurutnya, PKR sepatutnya tidak mengkhianati rakan dalam pakatan pembangkang dalam menentukan apa juga keputusan.

Beliau juga berpendapat Pas sepatutnya tidak melibatkan diri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang kepada PKR.

"PKR begitu angkuh dengan kemenangan dan menganggap kemenangan hanya dengan sebab sokongan dan kekuatan PKR sahaja. Kita menghargai dan menghormati pimpinan PKR dengan membiar mereka bersendirian dalam pilihan raya kecil kali ini," katanya. - UTUSAN 
PKR cemari tahaluf siyasi, undang pengkhianatan

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Januari, 2014: Pas menempelak Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai mencemari tahaluf siyasi atau pakatan politik dalam kalangan pembangkang apabila bertindak merancang di sebalik tabir untuk mengadakan pilihan raya kecil di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, pengumuman PKR yang mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan DUN Kajang dibuat tanpa perbincangan dan kesepakatan antara Pas dan DAP.

Katanya, perkara itu boleh mengundang pengkhianatan seperti perjanjian Yahudi bersama Nabi Muhammmad SAW yang bermula dengan 'perancangan belakang tabir'.

"Sebagai contoh peperangan Bani Nadhir apabila kaum Yahudi melakukan perancangan belakang tabir untuk mengkhianati perjanjian atau kesepakatan dengan Islam.

"Mereka turut berkomplot untuk membunuh Rasulullah SAW., malah Yahudi Bani Nadhir itu sekali lagi melakukan perancangan sedemikian apabila bersepakat dengan musyrikin Makkah dalam Peperangan Ahzab, sedangkan dalam perjanjian bersama Islam telah melarang untuk bekerjasama dengan musuh kepada rakyat Madinah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan keras Norazli adalah senada dengan kata dua Jabatan Pilihan Dewan Pemuda Pas Pusat yang mahu memboikot pilihan raya kecil DUN Kajang jika Chin Cheh gagal memberikan alasan munasabah berhubung peletakan jawatannya.

Sementara itu, Norazli berkata, antara tujuan kesepakatan atau tahaluf yang diputuskan adalah untuk menolak kezaliman dan bukannya dibuat tanpa tujuan seperti yang dilakukan Chin Ceh yang meletak jawatan walaupun tiada keuzuran sehingga pilihan raya kecil terpaksa dibuat.

Sedangkan sebelum ini katanya, setiap kali diadakan pilihan raya, semua jentera parti pembangkang akan mengerahkan ahli untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

"Malah, kemenangan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Ceh dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) juga hasil kesepakatan bersama dan tolong-menolong antara Pas, DAP dan PKR.

"Tetapi perancangan PKR dilakukan tanpa perbincangan bersama PAS, menyebabkan tiada kesepakatan bersama," katanya. - UTUSAN 
Mayat mangsa langgar diseret 43km

Oleh ASLIZA MUSA
 
 
IPOH, RABU, 29 Januari, 2014: Seorang penunggang motosikal menemui ajal dalam keadaan mengerikan apabila mayatnya ditemui hampir hancur selepas diseret sejauh 43 kilometer oleh sebuah kenderaan dari Kilometer 274.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat susur Simpang Pulai di sini sehingga ke Tapah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi itu, mangsa, Ahmad Mahmud, 25, yang berasal dari Kampung Baru Majidi, Serdang, Kedah dipercayai dilanggar dari arah belakang sebelum diseret oleh kenderaan berat tersebut yang dipercayai lori.

Semasa kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang Proton di Proton City, Tanjung Malim dekat sini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, selepas dilanggar, mangsa dipercayai tersangkut di bawah kenderaan tersebut lalu diseret sehingga ke Kilometer 317.2 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Tapah.

''Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan terdapat seorang penunggang motosikal telah dilanggar dan digilis dalam kemalangan di susur Simpang Pulai di sini pada pukul 2.15 pagi.

 * MOTOSIKAL mangsa langgar lari, Ahmad Mahmud, ditemui oleh orang awam di Kilometer 274.2 arah selatan Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Simpang Pulai, semalam.
''Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan cebisan daging dan tulang manusia, kasut hitam sebelah kanan dan sebuah motosikal yang rosak teruk di bahagian hadapan," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Wan Sharudddin, kira-kira pukul 3 pagi, pihaknya telah menerima maklumat bahawa terdapat cebisan daging manusia ditemui di Tapah dipercayai milik mangsa.

Kata beliau, pihaknya yang bergegas ke tempat kejadian, menemukan kasut hitam sebelah kiri, cincin, jam tangan dan beg sandang yang mengandungi maklumat peribadi mangsa termasuk lesen memandu dan kad kerja Proton.

''Anggota Unit Peronda Lebuh Raya (HMPV) sedang mengesan kenderaan berat yang melalui sepanjang lebuh raya itu bagi membantu siasatan.

''Ketika kejadian keadaan jalan licin ekoran hujan sebelum itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga mangsa. - UTUSAN 
Kanak-kanak dirogol, liwat

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

 * LOKASI seorang murid berusia 10 tahun dalam perjalanan ke sekolah yang diculik sebelum dirogol serta dicederakan di Bukit Batu dekat Bakri, Muar, Johor, semalam.
MUAR, RABU, 29 Januari, 2014: Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.

Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3 petang.

Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun, kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki kereta lalu melarikannya.

Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.

Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam kereta.

"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak menahannya kira-kira pukul 5 petang.

Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.

Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit dan kebun getah.

Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.

Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat. - UTUSAN