My Add

Wednesday 31 October 2012

91  terjejas banjir dipindah


*

*KEADAAN rumah penduduk dilanda banjir di Kampung *Gantong, Parit Sulong sejak kelmarin.

BATU PAHAT, 31 Oktober, 2012: Seramai 91 penduduk daripada 27 keluarga di Kampung Parit Gantong, Parit Sulong, dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir sejak awal pagi kelmarin selepas penempatan mereka ditenggelami air.

Pusat Pemindahan Bencana Sekolah Rendah (SK) Sri Tiga Serangkai di kampung itu menjadi kemudahan pertama dibuka untuk mangsa banjir di negeri ini. Semua mangsa mula dari kampung itu dipindahkan sejak awal pagi Isnin lalu paras banjir semakin membimbangkan berikutan hujan lebat sejak dua hari sebelum itu.

Bersiap sedia

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai, berkata 678 Pusat Pemindahan Bencana di seluruh negeri yang mampu menampung lebih 170,000 mangsa sudah bersiap sedia sepenuhnya menghadapi musim tengkujuh.

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bersedia mengerah 700 kakitangannya bersama 350 sukarelawan menghadapi bencana berkenaan, manakala 158 pembekal makanan yang dilantik, bersedia membekalkan keperluan terutama makanan basah kepada mangsa.

“Penduduk di kawasan rendah dinasihatkan bersedia dan membuat persiapan awal terutama menyimpan dokumen penting dan barangan berharga di tempat selamat selain mengikut arahan pihak berkuasa,” katanya. - BH
Kanser payudara ancam 700,000 wanita Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Oktober, 2012: Seramai 700,000 wanita di Malaysia berisiko mendapat kanser payudara dalam hayat kehidupan mereka.

Maklumat berkenaan dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak, menerusi laman Facebook beliau semalam.

Menurut paparan maklumat bertajuk ‘Kanser Payudara di Malaysia’ itu, jumlah berkenaan bersamaan dengan seorang daripada setiap 20 wanita, malah penyakit berkenaan adalah ancaman utama kepada 14 juta penduduk wanita di negara ini.

Pemeriksaan mamogram penting

Justeru, pengesanan kanser payudara pada peringkat awal membolehkan penyakit itu dirawat dengan lebih berkesan, yang mana empat kaedah untuk tujuan itu ialah pemeriksaan sendiri, melaporkan perubahan payudara kepada doktor, pemeriksaan oleh doktor dan mamogram atau x-ray payudara.

Mamogram amat berguna bagi wanita berumur antara 50 dan 69 tahun, ia disyorkan dibuat sekali setiap dua tahun dengan kos sekitar RM180 hingga RM250 bagi setiap pemeriksaan.

Dalam Bajet 2013, kerajaan mengumumkan perkhidmatan pemeriksaan mamogram percuma bagi wanita berumur 40 tahun dan ke atas untuk meringankan beban kos rakyat membabitkan peruntukan RM25 juta.

Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada 100,000 wanita di negara ini. - BH
Dewan Rakyat: Lindungi pemberi maklumat

Akta jaga keselamatan penyampai rahsia, bukan seperti kes NFC

KUALA LUMPUR, 31 Oktober, 2012: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 digubal untuk melindungi pemberi maklumat, bukan melindungi trumpetblower termasuk dalam kes berkaitan NFCorp (NFC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata dalam kes NFC, mereka adalah “peniup trumpet” bukannya pemberi maklumat (whistleblower).

“Bagaimana kita memberi perlindungan sedangkan perkara itu (isu NFC) dihebohkan kepada semua orang sehingga seluruh dunia tahu mengenainya.

Isu kerahsiaan

“Asalnya ia adalah isu kerahsiaan, iaitu elemen yang penting. Kalau dia ‘tiup trumpet’ seluruh dunia, orang sudah kenal, orang sudah tahu dia, hendak lindungi apa lagi,” katanya secara berseloroh bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak).

Abdul Khalid ingin tahu sejauh mana pihak kerajaan dapat menilai keberkesanan akta berkenaan membabitkan penyaluran maklumat sahih.

Nazri berkata, akta berkenaan tidak boleh melindungi orang yang melakukan kesalahan, sebaliknya ia digubal untuk melindungi pemberi maklumat.

Katanya, jika melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA), akta terbabit tidak boleh memberi perlindungan kepada golongan terbabit kerana mereka tergolong dalam tertuduh.

“Bandar Tun Razak (Khalid) kena tahu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 hanya melindungi pemberi maklumat dan bukannya pihak yang melanggar undang-undang seperti BAFIA,” katanya. - BH
10 projek EPP tingkat sektor bioteknologi

*NAJIB mempengerusikan mesyuarat ICM di Putrajaya, semalam yang turut dihadiri Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (kiri) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Oktober, 2012: Sebanyak 10 Projek Permulaan (EPP) khusus bagi meningkatkan sektor bioteknologi negara dikenal pasti bakal melahirkan 20 projek pencetus yang mampu meningkatkan pendapatan negara kasar RM3.6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua EPP itu bertujuan meningkatkan sektor bioteknologi negara meliputi tiga bidang utama iaitu pertanian, penjagaan kesihatan dan perindustrian akan mewujudkan 13,600 peluang pekerjaan baharu berkualiti tinggi.

Serentak itu, beliau melahirkan rasa gembira dengan pencapai Inisiatif Bioekonomi Malaysia (IBM) yang diwujudkan kerajaan di bawah Dasar Bioteknologi Negara (NBP) kerana memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara.

“Sebagai contoh pelaksanaan fasa kedua NBP dari 2011 hingga 2015 yang memfokus industri menjurus kepada bidang perniagaan dan pengkomersilan dengan sasaran pelaburan sebanyak RM9 bilion sehingga menjelang 2015.

“Sukacita saya maklumkan bahawa pencapaian kita setakat ini sudah mencapai sasaran terbabit dengan jumlah pelaburannya mencecah RM12.7 bilion dengan 64,753 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM), di sini, semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan Program Transformasi Bioekonomi (BTP) bagi melonjakkan industri bioteknologi ke tahap lebih tinggi.

Strategi BTP dilihat sebagai pemangkin meningkatkan dan juga menjadi pelengkap kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan memberi fokus utama kepada usaha meningkatkan pelaburan swasta dan mengurangkan kebergantungan industri kepada sektor awam, pada masa depan.

Najib berkata, mesyuarat ICM memutuskan untuk menukar dasar bagi membantu syarikat BioNexus SME dalam negara.

Beliau berkata berdasarkan maklum balas dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), insentif dalam bentuk pinjaman bagi tahap maksimum RM3 juta dengan kadar faedah lima peratus didapati tidak memberi banyak manfaat.

Keputusan serta-merta

“Sebagai kerajaan yang mendengar maklum balas dan suara rakyat dan industri, ICM memutuskan untuk menukar dasar ini kepada RM1 juta geran maksimum dan RM2 juta pinjaman maksimum, tertakluk kepada had maksimum RM3 juta.

“Keputusan ini dibuat serta-merta dan saya berharap ini akan memberi rangsangan dan galakan yang kuat kepada industri untuk membuat permohonan supaya syarikat itu dapat dikategorikan BioNexus. Keputusan ini akan memberi impak kepada perkembangan industri bioteknologi dalam negara,” katanya.

Najib berkata, pembangunan bioteknologi mewujudkan industri baharu dalam negara, sebagai contoh, Gevo Inc yang akan melabur RM1.69 bilion untuk membina kilang yang menghasilkan produk terbitan biokimia, biobahan dan biobahan api.

“Projek ini akan menjadikan Jerantut sebuah pusat pengeluaran kaviar sedunia, satu inisiatif yang mungkin sukar untuk kita bayangkan selama ini, namun dapat dijayakan melalui I-Caviar menerusi pelaburan bernilai RM475 juta dalam tempoh lima tahun.

“Ini adalah contoh bagaimana aplikasi teknologi boleh melakukan perubahan besar kepada satu kawasan yang tidak dapat kita bangunkan. Kita dapat juga mewujudkan satu industri baharu yang bukan berasal dari negara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata mesyuarat juga memutuskan bahawa peruntukan dana untuk R&D seperti diumumkan dalam Bajet 2013, termasuk RM600 juta untuk universiti penyelidikan, boleh digunakan untuk mendaftar Hak Harta Intelektual (IP) bagi R&D yang berpotensi untuk dikomersialkan.

INFO: Syarikat BioNexus SME

Majlis Pelaksanaan Bioteknologi memutuskan menukar insentif dalam bentuk pinjaman bagi tahap maksimum RM3 juta dengan kadar faedah lima peratus kepada RM1 juta geran maksimum dan RM2 juta pinjaman maksimum, tertakluk kepada had maksimum RM3 juta. - BH
Langkawi sebaris 10 destinasi pelancongan dunia

LANGKAWI, RABU, 31 Oktober, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan penjenamaan baru Langkawi, "Naturally Langkawi" (Langkawi Serba Asli), yang menonjolkan rangkaian pulaunya sebagai kawasan semula jadi serba indah yang menjadi pilihan utama pelancong.

Penjenamaan "Naturally Langkawi" menandakan inisiatif baru Langkawi bagi menjadikan destinasi pelancongan ini antara 10 pulau destinasi utama di dunia menjelang 2015, selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Langkawi 2011-2015.

Naturally Langkawi dipilih memandangkan flora dan fauna yang mengelilingi Langkawi seperti pembentukan batuan berusia 550 juta tahun, 99 pulau yang membentuk Geopark pertama di rantau ini, pelengkap semula jadi hutan hujan, pantai-pantai, air terjun, paya bakau, keunikan hidupan liar dan serangga seperti 500 spesies dan sub-spesies rama-rama dan lebih daripada 226 spesies burung.

Yang paling utama, sikap ramah mesra penduduk Langkawi merupakan kekuatan dan denyutan nadi Naturally Langkawi.

Langkawi kini berada di ranking pulau keempat terbaik di Asia melalui tinjauan pendapat yang dijalankan Conde Nast Traveller, Langkawi yang bermatlamat menjadikannya sebagai 10 destinasi terbaik eko-destinasi di dunia pada 2015. - BERNAMA
Pentaksiran berasaskan sekolah akan dilaksana secara adil

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Kementerian Pelajaran memberi jaminan bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) akan dilaksana secara adil terutama dalam menentukan penempatan pelajar ke sekolah berasrama penuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata walaupun kedua-dua peperiksaan utama, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) akan berubah ke PBS, kementerian akan memastikan kualiti pelajar kekal baik selain memastikan sukatan pelajaran tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Di bawah PBS, pelajar akan dinilai melalui empat komponen yang merupakan pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik," katanya ketika menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini.

Wee berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia akan memantau standard kertas soalan dan kualiti markah yang dibuat oleh guru.

Guru dikehendaki untuk mengikuti Dokumen Standard Prestasi (DSP) dan tidak semata-mata bergantung kepada markah yang diterima dalam peperiksaan, katanya.

Menjawab soalan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar), Wee berkata menjelang 2016, murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambah baik berasaskan pelaksanaan PBS dan bagi peringkat sekolah menengah pula, dijangkakan menjelang 2014, PBS dapat dilaksanakan sebagai penambahbaikan kepada PMR.

Beliau berkata pentaksiran pendidikan dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kemajuan pendidikan pelajar, keberkesanan strategi pengajaran dan pembelajaran dan keberkesanan kurikulum yang dijalankan di sekolah. - BERNAMA
Malaysia bukan pangkalan rekrut pengganas

KUALA LUMPUR, rabu, 31 oKTOBER, 2012: Malaysia bukan sarang bagi kegiatan merekrut pengganas di rantau ini, demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

"Pengganas ini bergerak bukan sahaja di Malaysia tapi ke negara-negara Timur Tengah. Mereka boleh direkrut di mana-mana sahaja kesan daripada globalisasi dan teknologi hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas perkembangan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda 18 Oktober lalu.

Hishammuddin sebelum itu menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian (DTF) ke-22 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai jenayah, di bangunan Parlimen.

Hishammuddin berkata isu keganasan merupakan realiti global dan pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan aktiviti pengganas tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya hasil kerjasama dan perkongsian maklumat dengan agensi perisikan antarabangsa mendedahkan terdapat pengganas yang keluar masuk negara ini.

Namun, katanya, kebimbangan terhadap ancaman kegiatan pengganas di negara ini tidak perlu kerana hasil siasatan mendapati mereka tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai sasaran.

"Ia (siasatan) lebih menumpukan kepada kaitan rakyat Malaysia dengan pengganas kerana merupakan fenomena yang perlu kita teliti dan pantau secara dekat dan ia membuktikan bahawa dunia tanpa sempadan hari ini dan perjalanan manusia, wang ringgit dan maklumat sebenarnya membawa ancaman yang begitu serius kepada semua negara, bukan sahaja kepada Malaysia,"

Hishammuddin berkata apa yang perlu dibimbangkan ialah penglibatan pengganas melalui jenayah transnasional seperti penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

"Ekonomi gelap, dana haram (jenayah rentas negara) jika jatuh ke tangan pengganas, maka kewangan mereka akan terlalu besar hingga kita berdepan dengan perang terhadap keganasan," katanya.

Selain itu, katanya, akta baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut mempunyai peruntukan bagi menangani aktiviti pengganas.

Beliau berkata usaha juga sedang dilakukan untuk memantapkan hubungan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta pihak perisikan India, Pakistan termasuk China bagi membendung aktiviti pengganas.

Mengenai perkembangan terkini penahanan dua rakyat Malaysia itu, beliau berkata kedua-dua mereka berada di bawah pemantauan dan risikan pihak berkuasa sejak setahun lalu.

"Namun kita (pihak berkuasa) tidak boleh umumkannya terlalu awal kerana kita perlu mengumpulkan maklumat yang mencukupi," katanya. - BERNAMA
2 rakyat Bulgaria dihukum gantung edar dadah

JOHOR BAHRU, RABU, 31 Oktober, 2012:: Dua lelaki rakyat Bulgaria dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengedar dadah, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ivan Kirov Kostov, 27, dan Georgi Dinev Bakalov, 26, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Kostov dituduh mengedar methamphetamine seberat 1,945.6 gram di perhentian bas, Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, di sini pada jam 4.15 petang, 18 Mei 2011.

Bakalov pula dituduh mengedar methamphetamine seberat 2,176.85 gram di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya Abdul Halim berkata, keterangan pembelaan tertuduh adalah penafian semata-mata dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan itu.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohamad Ramli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pritam Singh Doal. - BERNAMA
3 pekerja ladang warga Indonesia maut

KUANTAN, RABU, 31 Oktober, 2012: Tiga lelaki warga Indonesia maut manakala tiga lagi parah selepas lori yang dinaiki sepuluh pekerja ladang kelapa sawit terbabas ke dalam longkang di Jalan Ladang Timur Oil Palm dekat Maran, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mansur, 31, Badrul, 39, dan Nasrudin, 39, manakala rakan mereka yang parah ialah Zanwadi, 26, Ahyar, 26, serta Rosedi Suhaidi, 28.

Beliau berkata, mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Mohamed Fauzi berkata, dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, semua pekerja ladang berkenaan yang merupakan warga Indonesia duduk di bahagian belakang lori dan dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di kawasan berhampiran.

"Sampai tempat kejadian, ketika menuruni bukit, tiba-tiba brek lori yang dinaiki mereka gagal berfungsi menyebabkan pemandunya hilang kawalan,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan lori yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam longkang menyebabkan tiga mangsa mati di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera parah di kepala dan badan.

"Pemandu bersama tiga lagi penumpang hanya mengalami cedera ringan dan mereka dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hoshas,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — BERNAMA
Kraf inspirasi alam serlah bakat usahawan

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: — Seramai 200 usahawan dari pelbagai bidang kraf menyertai program promosi ”Kraf Inspirasi Alam (PKIA) 2012” anjuran Kraftangan Malaysia bermula hari ini hingga 11 November ini di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini.

Promosi kraf yang berteraskan alam dan terbahagi kepada lima pameran utama iaitu Kraf Taman dan Laman, Seni Ukiran Senjata Tradisional, Kraf Pelajar Institut Kraf Negara, Lukisan dan Busana Kraf Tekstil itu bertujuan menonjolkan nilai perpaduan, komersil dan pendidikan dari pelbagai kaum di negara ini.

Pameran yang julung kali diadakan itu bertujuan menonjolkan hasil kreativiti pengusaha kraf dengan menggabungkan unsur seperti hasil tanah, hasil rimba dan logam dalam produk masing-masing.

Bagi pengusaha aksesori manik Juliana Anak Embrose, 45, dari Sarawak, pameran seperti ini adalah saluran yang paling baik untuk memperkenalkan hasil kraf tradisional negeri itu.

Selain itu, ia juga menggalakkan pengusaha kraf tempatan supaya lebih kreatif dalam menghasilkan produk mereka, katanya.

Beliau yang mula terlibat dalam bidang aksesori manik sejak 25 tahun lepas dan mula menceburkan diri dalam perniagaan itu tiga tahun lalu, berkata untuk terlibat dalam bidang kraf ini ia memerlukan minat dan kemahiran. — BERNAMA
FAMA Terengganu belanja RM1juta

KUALA TERENGGANU, RABU, 31 Oktober, 2012: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu telah memeterai 31 perjanjian persefahaman (MoU) ladang kontrak dengan petani di negeri ini dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Pengarah Fama negeri, Hasan Jusoh berkata, perjanjian itu melibatkan 112 peserta dengan kawasan seluas 152.47 hektar dan pembelian kuantiti hasil tanaman sebanyak 1,200 metrik tan.

"Komoditi utama pembekalan dalam kontrak itu ialah tembikai, ubi vitato dan sayur-sayuran.

"Malah Fama akan memperbanyak dan mengadakan beberapa lagi MoU ladang kontrak sebelum akhir 2012 bagi menampung keperluan dan permintaan yang meningkat,” katanya selepas Majlis Penyerahan sembilan Motosikal Roda Tiga kepada peniaga dan usahawan terpilih seluruh Terengganu di sini hari ini.

Tahun lepas, Fama menandatangani 45 MoU ladang kontrak di Terengganu.

Menyentuh mengenai pencapaian jualan pasar tani di Terengganu tahun ini, Hasan berkata, sehingga Ogos lepas, ia telah mencapai RM21.5 juta.

Beliau berkata, pencapaian Agro Bazar tahun ini juga dilihat memberangsangkan apabila sembilan Agro Bazar yang ada di Terengganu mencatat jualan bernilai RM15 juta sehingga bulan ini. — BERNAMA
Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 fokus sektor pendidikan

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012 Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2012 yang memberi fokus kepada sektor pendidikan dilihat mampu mememartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran 1, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, proses memartabatkan bahasa Melayu menjadi lebih mudah dengan menggunakan pendidikan sebagai pendekatan dan bukan secara paksaan.

Tambah beliau, program berkenaan dapat memupuk rasa cinta akan bahasa kebangsaan di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingannya.

"Sambutan ini juga dapat memantapkan lagi jati diri dan citra kita sebagai bangsa Malaysia.

"Kita perlu sedar bahawa penggunaan bahasa kebangsaan oleh pelbagai kaum mampu mengeratkan perpaduan bangsa dan menyemarakkan peranan bahasa sebagai tonggak pembinaan negara," katanya ketika melancarkan program berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Way hari ini.

BBK 2012 bertemakan "1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara". - UTUSAN
Keuntungan TNB naik kepada RM2.94 bilion

Oleh FAIRUS KASSIM
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencatat keuntungan sebanyak RM2.94 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos lalu, meningkat berbanding RM2.19 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Kenaikan tersebut disokong oleh penerimaan pampasan kos bahan bakar daripada Petronas bernilai RM750 juta bagi tempoh April hingga Ogos 2012.

Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, bagi suku keempat berakhir 31 Ogos lalu, TNB mencatat keuntungan yang tinggi iaitu sebanyak RM1 bilion berbanding RM600 juta pada suku sebelumnya. - UTUSAN
Deejay Hot FM Terengganu disamun, wang hantaran lesap

KUALA TERENGGANU, RABU, 31 Oktober, 2012: Seorang penyampai radio Hot FM Terengganu mengalami detik cemas setelah disamun dua lelaki bersenjatakan pisau lipat di Jalan Pusara di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian 12.15 pagi tadi, mangsa Mohd Hermansani Aminudin, 29, yang memandu keretanya bersendirian dalam perjalanan untuk minum bersama beberapa rakannya di sebuah kedai di Jalan Kamaruddin di sini.

Menurut mangsa, ketika kejadian dia baru pulang dari sebuah bank untuk memasukkan duit hantaran perkahwinannya namun operasi bank ATM telah tutup.

Namun ketika melalui kawasan Jalan Pusara, beliau didatangi sebuah motosikal dan menjatuhkan motosikalnya di hadapan keretanya.

"Masa tu saya agak panik. Ingatkan saya yang langgar motosikal yang dinaiki dua lelaki itu, saya pun beranikan diri keluar dari kereta.

"Masa saya keluar dari kereta, seorang daripada mereka bertindak menyerang saya dengan menekan dada dan mengacukan pisau di perut manakala seorang lagi menggeledah kereta," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Hermansani berkata, akibat daripada kejadian itu, beliau kerugian kira-kira RM5,000 yang diletakkan di dalam dashboard keretanya yang merupakan duit hantaran wang perkahwinan yang dijadualkan 10 November ini.

Menurutnya selepas menggeledah kereta kira-kira lima minit, kedua-dua lelaki berkenaan bertindak menolaknya ke belakang kereta. Bagaimanapun mangsa tidak mengalami kecederaan akibat kejadian itu.

"Kejadian berlaku amat pantas dan saya tidak dapat mengecam suspek kerana kedua-duanya menutup muka dengan topi keledar," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata. - BERNAMA
Pelaksanaan AES sesuatu yang baik - Mohamad Hasan

SEREMBAN, RABU, 31 Oktober, 2012: Apa juga usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya di negara ini termasuk pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah sesuatu yang baik dan berkesan.

Demikian menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan bahawa pemasangan AES ini bukan seperti tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan melaksanakanya kerana hendak mengutip duit daripada orang ramai.

"Jadi, orang ramai jangan terperangkap dalam peperangan minda yang mana propaganda menyatakan bahawa alat ini dipasang untuk pungut duit daripada orang ramai.

"Saya tak fikir kerajaan mempunyai niat begitu. Tujuan sebenarnya pihak berkuasa ingin memastikan kadar kemalangan jalan raya di negara ini dapat dikurangkan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelaksanaan AES yang menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan orang ramai termasuk kritikan yang mendakwa ia hanya menguntungkan syarikat pengendali.

Katanya, Malaysia antara negara yang mencatat kadar kemalangan tertinggi di dunia, justeru sesuatu perlu dilakukan bagi membendung masalah tersebut dan perlaksanaan AES adalah tepat pada masanya.

"Mengapa perlu kita takut dengan pelaksanaan AES dengan kompaun yang akan dikenakan. Jika tidak mahu dikenakan kompaun, janganlah pandu laju dan patuhilah undang-undang jalan raya," tegas beliau. - BERNAMA
Lori terbabas: Tiga buruh Indonesia maut

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
KUANTAN, RABU, 31 Oktober, 2012 Tiga buruh ladang warga Indonesia maut selepas `lori hantu’ yang dinaiki mereka bersama tujuh lagi pekerja terbabas ke dalam longkang di Jalan Ladang Timur Oil Palm dekat Maran semalam.

Ketiga-tiga mereka yang maut dikenali sebagai Mansur, 31; Badrul, 39; dan Nasrudin, 39, manakala tiga lagi rakan senegara mereka turut parah dalam kejadian yang berlaku pukul 5.40 petang.

Mangsa yang parah dikenali sebagai Zanwadi, 26; Ahyar, 26; serta Rosedi Suhaidi, 28, dan mereka kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. - UTUSAN
Tiga senator terkandas di New York akibat Sandy

NEW YORK, rabu, 31 OktOBER, 2012: Tiga senator yang sepatutnya pulang ke tanah air selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan akibat taufan Sandy.

Mereka ialah Datuk Boon Som Inong, Datuk Muhammed Najeeb Abdulah dan A.P.S.Bagiam yang tiba di kota raya ini, 17 Oktober lalu.

Boon semasa dihubungi Bernama berkata kesemua mereka dijadualkan berlepas pulang dengan penerbangan Emirates Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Keneddy pada 11.20 pagi, Isnin lepas.

"Kami dihubungi melalui e-mel oleh ejen syarikat penerbangan, yang memaklumkan bahawa penerbangan kami itu ditangguh kerana semua penerbangan keluar dan masuk ke New York City dibatalkan pada hari Ahad, dan sehingga kini mereka tidak dapat memastikan bila penerbangan kami yang seterusnya," katanya yang berada di sini bersama isteri beliau.

Bagaimanapun beliau berkata Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke PBB, juga sedang berusaha menghubungi ejen syarikat penerbangan berkenaan untuk membolehkan kesemua mereka mendapat penerbangan paling awal berlepas pulang sebaik sahaja keadaan kembali pulih.

Kota raya New York, hampir tenggelam dan bergelap selepas dibadai taufan Sandy, semalam.

Kesemua penerbangan keluar dan masuk di kedua-dua lapangan terbangnya dibatalkan manakala lapangan terbangnya ditutup selepas dinaiki air akibat banjir. - BERNAMA
PM lulus projek lebuh raya sungai untuk pengairan sawah

Oleh OPAT RATTANACHOT
SUNGAI PETANI, RABU, 31 Oktober, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan projek pembinaan 'lebuh raya sungai' bagi memudahkan air disalurkan ke kawasan sawah padi seluas 38,000 hektar di kawasan Kedah tengah.

Dengan pelaksanaan projek tersebut, kira-kira 3,000 petani dijangka meraih manfaat dan meningkatkan hasil pengeluaran padi sedia ada daripada 2.8 matrik tan sehektar kepada 10 metrik tan sehektar.

"Kerajaan sentiasa memahami denyut nadi rakyat lebih-lebih lagi golongan petani. Ini kerana mereka merupakan antara wira yang banyak berjasa kepada negara. Melaluli hasil titik peluh merekalah, kita ada nasi untuk makan setiap hari.

"Justeru, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan projek lebuh raya sungai ini demi memastikan kualiti hidup petani dapat ditingkatkan pada masa akan datang,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah di Pantai Merdeka, dekat sini.

Lebih 15,000 peladang, penternak dan nelayan seluruh negeri hadiar memeriahkan majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Industrri Asas Tani itu. - UTUSAN
Kedutaan di AS gerak jawatankuasa urus bencana

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 20`2: Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam bagi memantau perkembangan Taufan Sandy dan kesannya kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata terdapat kira-kira 1,500 rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas akibat taufan itu iaitu Washington, Maryland dan Virginia.

"Kira-kira 1,200 pelajar juga berada di kawasan terjejas. Jabatan Pelajar (kedutaan) telah berhubung dengan Pejabat Pelajar Antarabangsa di universiti-universiti di kawasan itu untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan pelajar kita.

"Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York melaporkan tidak menerima apa-apa laporan rakyat Malaysia dalam bahaya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata hanya satu keluarga Malaysia terkandas di Lapangan Terbang LaGuardia dan mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Queens.

"Semua rakyat Malaysia yang lain, termasuk pelajar, adalah selamat," katanya.

Anifah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC ditutup pada Isnin lepas ekoran pengisytiharan keadaan kecemasan di Washington.

"Semua warganegara Malaysia telah dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri dan sentiasa berwaspada terhadap amaran taufan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Wisma Putra akan terus memantau perkembangan taufan tersebut dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini," katanya. - BERNAMA
NLFCS diperintah bayar ganti rugi RM2.02 juta

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad (NLFCS) membayar RM2.02 juta sebagai ganti rugi kepada sebuah syarikat pengurusan projek selepas didapati melanggar kontrak melibatkan sebuah projek perumahan di Sungai Petani, Kedah.

Jumlah ganti rugi itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron di dalam kamar hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memerintahkan plaintif dibayar ganti rugi khas RM305,500 dan kos guaman RM70,000 selepas mendapat terdapat alasan munasabah dalam tuntutan Westingmont Holdings Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Abdul Aziz membenarkan dua tuntutan balas NLFCS, termasuk berhubung pinjaman RM150,000 yang diperoleh plaintif untuk memindahkan hampir 100 penduduk setinggan di kawasan tanah seluas 5.28 hektar di Kampung Tukang, kira-kira 3 kilometer dari bandar Sungai Petani.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Westingmont memberitahu Bernama timbalan pendaftar juga memerintahkan NLFCS membayar faedah 8 peratus setahun dari tarikh perjanjian, 24 Jan 1999 hinggalah ke tarikh kes itu diselesaikan.

Beliau berkata, mahkamah menilai ganti rugi am itu selepas mengambil kira jumlah keseluruhan jualan projek pembangunan itu seperti yang dinyatakan di dalam pelan susun atur projek yang diluluskan, yang dianggarkan RM16.3 juta dan selepas ditolak jumlah kos pembinaan berjumlah hampir RM13.8 juta.

Plaintif memfailkan tuntutan itu pada Ogos lepas setelah NLFCS memaklumkan kepadanya perjanjian yang ditandatangani pada 1998 untuk memajukan tanah berhampiran bandar yang pesat membangun itu, telah habis tempoh.

Setelah Westingmont berkali-kali mengemukakan tuntutan ganti rugi, NLFCS memaklumkan kepada syarikat itu bahawa pihaknya tidak bersedia untuk membayar sebarang ganti rugi bagi kerja yang telah dilakasanakan.

Berikutan itu, pada 23 Ogos 2010, Westingmont memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi khas dan ganti rugi am berjumlah RM8 juta.

Defendan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan Mahkamah Rayuan menetapkan Khamis depan untuk mendengar kes itu. - BERNAMA
Rakyat perlu hargai pemimpin amanah dan tepati janji

SUNGAI PETANI, RABU, 31 Oktober, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menghargai pemimpin yang sentiasa amanah dengan tanggungjawab yang diberikan serta menepati janji.

Beliau berkata, pemimpin yang tidak pernah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan, wajib disokong oleh rakyat demi kesejahteraan negara.

"Kita (pemimpin yang) tidak pernah bercakap bohong, kita bercakap benar, jadi kita mesti faham bahawa apa yang kita lakukan itu memang menepati kehendak agama kita, menepati hadis Rasulullah SAW.

"Ini amanah yang kita galas, tidak pernah khianati dan setiap janji kepada rakyat kita tepati," katanya dalam ucapan pada majlis Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kedah di Pantai Merdeka di sini hari ini.

Kira-kira 15,000 orang menghadiri majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu. - UTUSAN
Malaysia-Thailand setuju tubuh persatuan industri halal

HATYAI, Thailand, RABU 31 Oktober, 2012: Malaysia dan Thailand bersetuju untuk menubuhkan persatuan industri halal di negara masing-masing dalam waktu terdekat bagi memudahkan industri berkenaan berkembang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedua-dua persatuan itu akan diletakkan di bawah satu payung dan akan dibantu oleh kerajaan masing-masing.

Beliau berkata, penubuhan persatuan itu juga untuk mempercepatkan lagi kolaborasi antara usahawan Malaysia dan Thailand dalam sektor berkenaan setelah ia tidak menunjukkan hasil yang memberangsangkan biarpun kedua-dua kerajaan telah menjalin kerjasama untuk membangunkan industri berkenaan sejak sekian lama.

"Ini adalah hasil daripada misi perdagangan dan seminar yang diadakan hari ini serta perbincangan dengan rakan sejawat saya dari Thailand. Persatuan ini akan ditubuhkan secepat mungkin dan akan mengadakan mesyuarat pertama sama ada di Thailand atau Malaysia dalam masa dua bulan. "Sebelum ini kerajaan kedua-dua negara telah mewujudkan kerjasama yang amat erat tetapi ia tidak menunjukkan hasil yang memberangsangkan, justeru itu, kita mahu penglibatan pemain industri dengan penubuhan persatuan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama dalam Seminar Potensi Industri Halal dan Peluang Kerjasama Malaysia -Thailand di Hotel Hansa JB di sini hari ini. - UTUSAN
Bomba wujud pasukan ronda hadapi banjir

KOTA BHARU, RABU, 31 Oktober, 2012: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku dari November ini hingga Januari tahun hadapan.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, sebagai persediaan pihaknya bakal mewujudkan pasukan ronda yang akan bertindak membuat rondaan di beberapa lokasi yang sering dinaiki air di seluruh negeri.

Menurutnya, pasukan tersebut akan membuat pemantauan secara berkala bagi membolehkan maklumat terperinci disalurkan ke bilik operasi negeri dengan lebih berkesan.

"Saya yakin dengan adanya pasukan ronda ini, ia akan memudahkan pihak kami mengambil tindakan dan mengulurkan bantuan kepada mangsa banjir,'' katanya kepada pemberita dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di Tunjong dekat sini hari ini. - UTUSAN
35,000 labur dalam Genneva babit pelaburan RM10 bilion

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.

"Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas kerana emas ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

"Kedua, BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.

"Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya rasa kita semua akan belajar daripada pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA). - BERNAMA
Penjenayah mati ditembak selepas samun kereta

MACHANG, RABU, 31 Oktober, 2012: Seorang daripada dua penjenayah yang diburu polis berhubung kes tembak anggota keselamatan di Paloh, Gua Musang semalam mati ditembak polis di Kampung Kemumin, Machang pagi ini.

Terdahulu, dalam kejadian pukul 6.30 pagi, suspek melarikan sebuah kereta milik sepasang suami isteri yang berhenti solat di sebuah masjid di Paloh serta melarikan kenderaan itu bersama anak pasangan terbabit. - UTUSAN
Curi komputer RM1.2 juta: Polis edar gambar 2 suspek

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 3012: Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi komputer berteknologi tinggi bernilai RM1.2 juta di tiga lokasi di Lembah Klang antara Jun hingga September lalu.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Aziz Zakaria, polis hari ini mengedarkan gambar dua individu berkenaan bagi memudahkan orang ramai mengesan mereka. - UTUSAN
Anak tempatan isi jawatan kosong di Sarawak

KUCHING, RABU, 31 Oktober, 2012: Berkuatkuasa serta merta, jawatan kosong dalam perkhidmatan awam Persekutuan bagi kumpulan sokongan gred satu hingga gred 40 di Sarawak akan diisi oleh anak tempatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat SPA bersama wakil jabatan Persekutuan di Sarawak, dan wakil-wakil badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Persatuan Kayan Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak diadakan di sini, pada Selasa.

"Hasil mesyuarat tersebut, kita telah berjanji jawatan kosong Persekutuan melalui lantikan oleh SPA di Sarawak, akan diisi orang Sarawak sendiri.

"Keputusan yang dibuat bukan satu masalah besar untuk dilaksanakan, kerana jika kita lantik orang Semenanjung untuk mengisi jawatan sokongan contohnya seperti kerani, masalah logistik dan penempatan mungkin pula akan timbul, jadi lebih baik lantikan dibuat berdasarkan lokaliti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga SPA Malaysia cawangan Kuching di sini hari ini. - BERNAMA
Anak tempatan isi jawatan kosong di Sarawak

KUCHING, RABU, 31 Oktober, 2012: Berkuatkuasa serta merta, jawatan kosong dalam perkhidmatan awam Persekutuan bagi kumpulan sokongan gred satu hingga gred 40 di Sarawak akan diisi oleh anak tempatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat SPA bersama wakil jabatan Persekutuan di Sarawak, dan wakil-wakil badan bukan kerajaan antaranya Persatuan Graduan Dayak Sarawak, Persatuan Kayan Sarawak, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak diadakan di sini, pada Selasa.

"Hasil mesyuarat tersebut, kita telah berjanji jawatan kosong Persekutuan melalui lantikan oleh SPA di Sarawak, akan diisi orang Sarawak sendiri.

"Keputusan yang dibuat bukan satu masalah besar untuk dilaksanakan, kerana jika kita lantik orang Semenanjung untuk mengisi jawatan sokongan contohnya seperti kerani, masalah logistik dan penempatan mungkin pula akan timbul, jadi lebih baik lantikan dibuat berdasarkan lokaliti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pusat Temuduga SPA Malaysia cawangan Kuching di sini hari ini. - BERNAMA
Najib lahir penghargaan kepada golongan petani, nelayan

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012:Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan sehari ke Kedah hari ini, melahirkan penghargaan kepada golongan petani dan nelayan atas jasa mereka kepada negara.

"Saya ke Kedah pagi ini berjumpa petani dan nelayan. Mereka juga berjasa kepada negara," katanya dalam tweet terbaharu beliau pagi ini.

Dalam lawatannya, Najib mengadakan walkabout mendekati penduduk di petempatan nelayan pekan Tanjung Dawai, beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga.

Perdana menteri juga akan menghadiri Program Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah di Pantai Merdeka dengan menaiki bot Polis Marin dari jeti Tanjung Dawai dan diiringi 40 buah bot nelayan.

Pada sebelah petang pula, Najib dijadual menghadiri majlis Pelancaran Penjenamaan dan Pemasaran Baharu Langkawi dan majlis bersama rakyat Pulau Tuba, perasmian Klinik Rakyat 1Malaysia dan melawat Sub Station Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Langkawi sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA
Najib lahir penghargaan kepada golongan petani, nelayan

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012:Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan sehari ke Kedah hari ini, melahirkan penghargaan kepada golongan petani dan nelayan atas jasa mereka kepada negara.

"Saya ke Kedah pagi ini berjumpa petani dan nelayan. Mereka juga berjasa kepada negara," katanya dalam tweet terbaharu beliau pagi ini.

Dalam lawatannya, Najib mengadakan walkabout mendekati penduduk di petempatan nelayan pekan Tanjung Dawai, beramah mesra dengan orang ramai dan peniaga.

Perdana menteri juga akan menghadiri Program Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah di Pantai Merdeka dengan menaiki bot Polis Marin dari jeti Tanjung Dawai dan diiringi 40 buah bot nelayan.

Pada sebelah petang pula, Najib dijadual menghadiri majlis Pelancaran Penjenamaan dan Pemasaran Baharu Langkawi dan majlis bersama rakyat Pulau Tuba, perasmian Klinik Rakyat 1Malaysia dan melawat Sub Station Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Langkawi sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA
Siling klinik di Hospital Raja Permaisuri Bainun runtuh

IPOH, RABU, 31 Oktober, 2012: Sebahagian siling di ruang hadapan Klinik Dermatologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) runtuh jam 6.30 pagi tadi.

Bahagian siling runtuh dianggarkan berkeluasan tujuh meter panjang dan dua meter lebar.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkaN. - BH
Siling klinik di Hospital Raja Permaisuri Bainun runtuh

IPOH, RABU, 31 Oktober, 2012: Sebahagian siling di ruang hadapan Klinik Dermatologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) runtuh jam 6.30 pagi tadi.

Bahagian siling runtuh dianggarkan berkeluasan tujuh meter panjang dan dua meter lebar.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkaN. - BH
Taufan Sandy: Perancis tawarkan bantuan kepada AS

PARIS, RABU, 31 Oktober, 2012:: Perancis menawarkan bantuan pemulihan kepada wilayah Pantai Timur Amerika Syarikat selepas negara itu dilanda bencana terburuk, Taufan Sandy awal pagi semalam.

Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius berkata, pihaknya turut menyuarakan “sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat AS.”

Perancis bersedia untuk menawarkan AS semua jenis bantuan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. - AFP
Gempa bumi kecil gegar Filipina

MANILA, RABU, 31 Oktober, 2012: Gempa bumi kecil berukuran 3.8 magnitud menggegarkan bangunan di ibu negara Filipina hari ini tetapi tiada kerosakan dilaporkan, kata kerajaan.

Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina berkata, gempa bumi itu melanda wilayah Bulacan kira-kira 50 kilometer utara Manila.

"Kami tidak jangka berlaku sebarang kerosakan. Kami juga tidak terima sebarang laporan kematian," kata Ketua Pertahanan Awam, Benito Ramos. - AFP
Guru prasekolah perlu miliki diploma: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyarankan supaya guru prasekolah memiliki sekurang-kurangnya Diploma dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi memastikan kualiti guru setara di semua pusat asuhan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sentiasa mengkaji bagaimana guru pra sekolah dapat merealisasikan aspirasi ini termasuk membenarkan permohonan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk melanjutkan pelajaran.

"Kementerian Pelajaran juga sudah mengambil inisiatif dengan menyediakan satu kursus selama tiga minggu secara percuma bagi melatih guru pra sekolah sektor swasta. Dianggarkan seramai 20,000 guru prasekolah terbabit hingga hujung tahun ini.

"Saya berharap lebih ramai lagi yang dapat dilatih di masa akan datang," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Minggu Kebangsaan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Malaysia (ECCE) 2012 di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini.

Muhyiddin berkata, kualiti program ECCE bergantung kepada kualiti guru yang harus memperolehi pengetahuan dan kecekapan dalam bidang ini.

"Satu daripada kriteria atau syarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran adalah guru pra sekoah mesti mempunyai ijazah dalam Pendidikan Awal Kanak-kanak," katanya. -BH
86 rumah rosak dilanda ribut di Melaka

MELAKA, RABU, 31 Oktober, 2012: Sebanyak 86 buah rumah di Taman Ayer Keroh Heights di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Lokman Hakim Sulaiman berkata pihaknya yang menerima panggilan pada kira-kira 2.59 petang bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.

Beliau berkata bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati kesemua rumah tersebut mengalami kerosakan bumbung dan pecah cermin nako akibat angin kuat sebelum hujan lebat.

"Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang penduduk taman tersebut, Salbiah Sariat, 56, berkata dia yang sedang mengambil baju di ampaian melihat atap rumahnya berterbangan.

"Pada masa itu hujan belum lebat namun angin kencang yang berlaku sekelip mata itu mangakibatkan 13 keping atap rumah saya tercabut,” katanya.

Salbiah bagaimanapun bersyukur kejadian tersebut tidak menyebabkan kecederaan kepada tiga anaknya yang berada di dalam rumah— BERNAMA
86 rumah rosak dilanda ribut di Melaka

MELAKA, RABU, 31 Oktober, 2012: Sebanyak 86 buah rumah di Taman Ayer Keroh Heights di sini mengalami kerosakan akibat dilanda ribut semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka Lokman Hakim Sulaiman berkata pihaknya yang menerima panggilan pada kira-kira 2.59 petang bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera dan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh.

Beliau berkata bomba yang tiba sembilan minit kemudian mendapati kesemua rumah tersebut mengalami kerosakan bumbung dan pecah cermin nako akibat angin kuat sebelum hujan lebat.

"Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang penduduk taman tersebut, Salbiah Sariat, 56, berkata dia yang sedang mengambil baju di ampaian melihat atap rumahnya berterbangan.

"Pada masa itu hujan belum lebat namun angin kencang yang berlaku sekelip mata itu mangakibatkan 13 keping atap rumah saya tercabut,” katanya.

Salbiah bagaimanapun bersyukur kejadian tersebut tidak menyebabkan kecederaan kepada tiga anaknya yang berada di dalam rumah— BERNAMA
8.1 juta penduduk AS terputus bekalan elektrik

WASHINGTON, RABU, 31 Oktober, 2012:Lebih daripada 8.1 juta penghuni rumah dan premis perniagaan di pantai Timur Amerika Syarikat terputus bekalan elektrik ekoran ribut Sandy yang melanda di negara ini, sejak semalam.

Kawasan paling teruk terjejas ialah di New Jersey, New York dan Pennsylvania di mana jutaan penduduk terpaksa tinggal dalam keadaan yang gelap.

Menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat, New Jersey merupakan kawasan paling teruk dengan 2.5 juta penduduk yang terpaksa bergelap diikuti dengan New York 1.9 juta orang dan Pennsylvania sebanyak 1.2 juta penduduk, turut berlaku gangguan ialah di daerah Columbia. - AFP
Taufan Sandy mengganas di AS


 *OMBAK besar dibawa Taufan Sandy menghempas pantai di Shinnecock
Hills, New York, kelmarin. - Reuters
NEW YORK, SELASA, 30 Oktober, 2012: Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh di tujuh buah negeri apabila Taufan 

Sandy mengganas, membadai kawasan persisiran pantai timur Amerika Syarikat (AS), awal hari ini menyebabkan lebih sejuta penduduk di beberapa negeri terpaksa dipindahkan.

Antara negeri yang mencatat kematian termasuklah New York, New Jersey, Maryland, Pennsylvania, West Virginia dan North Carolina apabila taufan itu melanda AS sejak pukul 8 malam tadi (8 pagi waktu Malaysia hari ini, menjejaskan lebih 50 juta penduduk di wilayah itu.

Kira-kira sejuta penduduk yang terjejas teruk turut dipindahkan.

Taufan gergasi itu membawa kelajuan angin 130 kilometer sejam, melanda kawasan persisiran pantai sejauh beratus-ratus kilometer dengan beberapa negeri dilanda hujan lebat dan bandar-bandar utama lumpuh dengan bandar raya New York paling teruk terjejas.

Presiden Barack Obama mengisytiharkan dekri kecemasan di New York dan New Jersey, selepas taufan tersebut mengakibatkan kira-kira 13,500 penerbangan di seluruh negara dibatalkan semalam dan hari ini.

Bandar raya New York lumpuh apabila sistem pengangkutan kereta api bawah tanah terjejas teruk, terburuk dalam tempoh 108 tahun, sementara kira-kira tujuh juta penduduk di seluruh negara turut mengalami masalah terputus bekalan elektrik.

Satu kebakaran besar di kawasan penempatan di New York City yang banjir, menyebabkan 50 buah rumah musnah, namun hanya dua orang mengalami kecederaan ringan.

Suasana di sekitar pusat bandar Manhattan turut panik apabila banjir setinggi 3.9 meter menenggelamkan terowong-terowong dan stesen kereta api bawah tanah, selain menyebabkan pelancong serta pesakit-pesakit di hospital terpaksa mencari tempat berlindung.

Dalam perkembangan berkaitan taufan gergasi itu, dua buah loji kuasa nuklear masing-masing di New Jersey dan New York ditutup awal hari ini, namun operator loji menyatakan, ia tidak mendatangkan risiko terhadap keselamatan awam.

Pusat Taufan Kebangsaan menyatakan, Sandy yang berubah lemah kini bergerak ke kawasan pedalaman, namun masih mampu menghasilkan angin kencang serta banjir di sepanjang pantai timur.

Sejak membadai Caribbean beberapa hari lalu, taufan tersebut telah mengorbankan sekurang-kurangnya 67 nyawa.

Firma pengurusan bencana, Eqecat meramalkan, Sandy boleh menjejaskan kira-kira satu perlima atau 60 juta penduduk AS dan mengakibatkan kerugian berjumlah AS$20 bilion (RM60 bilion). - AGENSI
Anggota polis parah ditembak

*MAISARAH Hashim menunjukkan gambar Mohd. Shamsul Anuar Mohd. Adnan yang ditembak penjenayah dan kini dirawat di HRPZII, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU 30 Okt. - Jika pertengahan bulan lalu, seorang anggota polis parah akibat dirempuh kereta penjenayah ketika mengelak sekatan jalan raya di ibu negara, satu lagi kejadian berlaku dan kali ini melibatkan seorang anggota polis parah ditembak ketika mengadakan sekatan jalan raya.

Kejadian berlaku di Paloh, Gua Musang pada pukul 1 pagi ini mengakibatkan Lans Koperal Mohd. Shamsul Anuar Mohd. Adnan, 27, cedera parah selepas terkena tembakan di dada.

Mangsa ketika itu cuba mengejar dua penjenayah berkenaan yang dipercayai baru menyamun dua kereta dan wang tunai di sebuah rumah di Taman Tropika di bandar Gua Musang. - UTUSAN
 
Tentera Syria lancar 60 serangan

 *GAMBAR dikeluarkan agensi berita SANA, menunjukkan orang ramai berkumpul
di lokasi letupan di Damsyik, Syria, kelmarin. - AFP
DAMSYIK, SELASA, 30 Oktober, 2012: Tentera Syria melancarkan lebih 60 serangan udara di beberapa lokasi di seluruh negara ini semalam, pada hari terakhir gencatan senjata sempena Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, serangan terbaru itu merupakan antara yang terburuk sejak konflik tercetus di negara ini 19 bulan lalu.

"Serangan hari ini merupakan yang paling buruk pernah dilancarkan. Tentera Syria kelihatan seperti mahu meraih kemenangan segera sehingga hampir kesemua kawasan (kubu pemberontak) diserang," katanya.

Serangan tersebut diikuti ledakan dua bom kereta dengan letupan pertama berlaku di Jaramana, di luar Damsyik, yang mengakibatkan 11 orang maut dan berpuluh anggota tentera cedera.

Letupan kedua berlaku beberapa jam kemudian di selatan daerah al-Hajar al-Aswad, yang mengundang pertempuran hebat antara kedua-dua pihak, namun angka korban tidak dilaporkan.

Di Moscow, Rusia, Utusan Khas Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi berkata, serangan terbaru itu meletakkan konflik di Syria menjadi bertambah meruncing.

"Saya sudah menegaskan berulang kali, krisis di Syria sangat berbahaya dan situasi sekarang semakin buruk dan meruncing," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Moscow, semalam mengulas mengenai krisis di Syria.

Beliau dijangka mengunjungi China selepas ini bagi membincangkan isu yang sama.

Dalam perkembangan lain di Syria, pemberontak mengakui mereka menerima bekalan senjata daripada ejen kerajaan.

Memandangkan negara Barat menolak untuk membekalkan senjata kepada mereka, ejen itu merupakan jalan terakhir bagi mereka mendapatkan bekalan senjata untuk terus berjuang, kata Mejar Abu Mahar, yang mendakwa mengetuai kira-kira 200 ahli dalam misi khas menentang pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad.

"Kami membelinya daripada perisik Assad di pasaran gelap," katanya. - AFP/DPA
 
Kedutaan Malaysia di AS pantau bencana taufan

KUALA LUMPUR, SELASA, 31 Oktober, 2012: Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam bagi memantau perkembangan Taufan Sandy dan kesannya kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata terdapat kira-kira 1,500 rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas akibat taufan itu iaitu Washington, Maryland dan Virginia.

"Kira-kira 1,200 pelajar juga berada di kawasan terjejas. Jabatan Pelajar (kedutaan) telah berhubung dengan Pejabat Pelajar Antarabangsa di universiti-universiti di kawasan itu untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan pelajar kita.

"Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York melaporkan tidak menerima apa-apa laporan rakyat Malaysia dalam bahaya," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata hanya satu keluarga Malaysia terkandas di Lapangan Terbang LaGuardia dan mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Queens.

"Semua rakyat Malaysia yang lain, termasuk pelajar, adalah selamat," katanya.

Anifah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC ditutup pada Isnin lepas ekoran pengisytiharan keadaan kecemasan di Washington.

"Semua warganegara Malaysia telah dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri dan sentiasa berwaspada terhadap amaran taufan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Wisma Putra akan terus memantau perkembangan taufan tersebut dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini," katanya. - BERNAMA
Pahang pengeluar minyak, gas
 
    *NAJIB Tun Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan 
     Bioteknologi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut sama 
     MenteriSains Teknologidan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (kiri) 
     danMenteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan). -  
     BERNAMA   

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
PUTRAJAYA, SELASA, 30 Oktober, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Pahang bakal menjadi negeri sumber pengeluaran minyak dan gas terbaharu di Malaysia berikutan penemuan pertambahan rizab minyak di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Perdana Menteri berkata, medan minyak itu terletak kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan dengan negeri Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Petronas salah satu usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran terdiri daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil telah menemui rizab minyak tambahan itu baru-baru ini.

Menurut Perdana Menteri, dengan pertambahan rizab tersebut, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isipadu asal keseluruhan atau minyak yang tersedia di situ sebanyak 64 juta tong.

''Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersial dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu, ini merupakan kejayaan besar.

''Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komesial, pengeluaran minyak dijangka dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 hingga 20,000 tong sehari," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Penemuan itu, kata Najib, membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Penyu Basin.

Medan minyak itu, katanya, terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepasi tiga batu dan di dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, berasaskan pertimbangan yang adil dan saksama, dan mengambil kira negeri-negeri yang telah dibayar wang ehsan sebelum ini, kerajaan komited untuk terus memastikan pembangunan serta manfaat dapat dirasai oleh negeri-negeri.

''Dalam hal ini, bergantung kepada anggaran pengeluaran, negeri Pahang dijangka menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014," katanya.

Perdana Menteri berkata, adalah menjadi dasar kerajaan untuk mengagih-agihkan kekayaan minyak dengan lima peratus pembayaran tunai kepada Pahang.

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Petroleum, Penerokaan & Pengeluaran Perniagaan, Petroliam Nasional Berhad, Ramlan A. Malek berkata, kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial itu dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

Menurut beliau, kerja-kerja cari gali akan dilaksanakan oleh operator blok, Lundin Oil. - UTUSAN
 
Konflik Rohingya boleh ancam Selat Melaka - Surin

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Selat Melaka bakal terancam dan tidak stabil sekiranya komuniti antarabangsa gagal mengambil tindakan pantas serta efektif dalam usaha menangani konflik penindasan etnik Rohingya di Myamar.

Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan berkata, disebabkan etnik Rohingya kini berada dalam keadaan tekanan dan penderitaan yang teruk, tidak mustahil mereka bertindak radikal.

"Sekiranya mereka menjadi radikal, seluruh rantau akan menjadi tidak stabil termasuk Selat Melaka.

"Perkara ini amat dibimbangi dan kalau perkara sebegini berlaku, bermakna semua (ASEAN) bakal terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Peningkatan Nilai ASEAN Melalui Konsep Pergerakan Kesederhanaan Global anjuran Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di sini hari ini. - UTUSAN
Fasa kedua Dasar Bioteknologi Negara sudah tercapai

PUTRAJAYA, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kerajaan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan dalam fasa kedua, Dasar Bioteknologi Negara jauh lebih awal berbanding sasaran asal apabila berjaya mencatatkan pelaburan bernilai RM12.72 bilion dalam bidang berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, fasa kedua dasar tersebut menetapkan matlamat untuk mencapai pelaburan bernilai RM9 bilion dalam tempoh 2011 hingga 2015 tetapi kerajaan sudah berjaya mengatasi sasaran tersebut pada tahun ini.

‘‘Sasaran dari segi bilangan pekerjaan yang dijana bagi tempoh sama (2011-2015) adalah sebanyak 80,000 dan setakat ini kita telah wujudkan 64,753 pekerjaan.

‘‘Kita mengenal pasti 10 buah projek permulaan perniagaan (EPP) yang akan melahirkan 20 projek pemangkin. Ia dijangka meningkatkan pendapatan kasar negara (GNI) sebanyak RM3.6 bilion di samping 16,300 peluang pekerjaan baru," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Bioekonomi Kebangsaan yang sebelum ini dikenali Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

10 EPP di bawah Program Transformasi Bioekonomi (BTP) merangkumi input bioteknologi, bahan biokimia daripada sumber boleh diperbaharui, hasil ladang tempatan berasaskan bio, kepelbagaian sumber makanan tempatan bernilai tinggi, biosimilars, khidmat praklinikal dan penemuan ubatan, saringan molekul dan khidmat diagnostik serta sel tunjang dan perubatan regeneratif Malaysia.

Dalam majlis sama, Najib turut berkongsi mengenai beberapa projek dan pelaburan bioteknologi yang sedang dilaksanakan termasuk projek pengeluaran udang galah di perairan Lahad Datu dan Semporna, Sabah. - UTUSAN
Sandy: Pelajar diminta waspada

KUALA LUMPU, SELASA, 30 Oktober, 2012: Penuntut Malaysia yang berada di negeri timur laut Amerika Syarikat diminta sentiasa berwaspada menghadapi taufan Sandy.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, mereka turut diingatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa berhubung amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di setiap bandar dan negeri berkenaan.

"Berdasarkan maklumat dari bahagian pendidikan Malaysia di Washington, terdapat kira-kira 1,200 penuntut Malaysia yang dilaporkan berada di kawasan terjejas.

"Jabatan Pelajar juga telah berhubung dengan Pejabat Pelajar Antarabangsa di universiti kawasan berkenaan bagi memastikan tindakan yang perlu diambil dalam menjamin keselamatan pelajar," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini. - UTUSAN
Hab industri minyak, gas


 *MUHYIDDIN Yassin diiringi Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri) melawat
pameran teknologi penapisan pada Pelancaran Ekspo Minyak Dan Gas Asia di
Labuan, semalam.

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LABUAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menaruh keyakinan potensi yang ada di Sabah, Labuan dan Johor akan membolehkan tiga destinasi itu muncul sebagai antara hab industri minyak dan gas utama di rantau ini.

Beliau menjelaskan, pembangunan telaga minyak laut dalam yang besar di Labuan dan pelaksanaan projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) bernilai RM3.8 bilion serta Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) bernilai RM1.5 bilion akan melonjakkan Labuan dan Sabah sebagai peneraju industri minyak dan gas di negara ini.

"Saya difahamkan berdasarkan cadangan kerangka utama minyak dan gas Labuan, Asian Supply Base merancang membangunkan jeti baru bernilai RM250 juta sebagai sebahagian daripada pengembangan perniagaan mereka.

"Kerajaan juga turut mengalu-alukan rancangan Labuan Shipyard and Engineering untuk menaiktaraf fasiliti limbungannya yang melibatkan pelaburan sebanyak RM263 juta," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Minyak dan Gas Asia 2012 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal; Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Zainur Abidin Abdullah.

Tambah Muhyiddin, sebanyak RM2.4 bilion pelaburan swasta dijangka diwujudkan di Labuan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan menghasilkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, beliau berkata, Johor yang terletak berhampiran Singapura akan mendapat faedah daripada situasi negara jiran yang berhadapan penggunaan bekalan minyak dan gas di tahap maksimum.

Katanya, pada masa ini, Johor berada pada landasan yang betul bersama Singapura dalam merealisasikan hab minyak dan gas pertengahan seperti mana Amsterdam-Rotterdam-Antwerp.

"Kedudukan pelabuhan Johor di laluan-laluan utama dan pelbagai kemudahan diyakini mampu memenuhi pasaran logistik simpanan minyak dan gas di rantau ini.

"Tanjung Bin dan Tanjung Langsat telah berjaya menarik beberapa syarikat petroleum global seperti Vitol, Trafigura, Royal Vopak, MISC dan Dialog untuk menjalankan perniagaan di Johor," katanya.

Tambahnya, cadangan pembangunan kilang penapisan dan Petrokimia Integrasi di Pengerang akan mengubah Selatan Johor kepada hab baru industri pertengahan dan hiliran minyak, gas serta petrokimia.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kepada permintaan dan pertumbuhan ekonomi semasa, sumbangan daripada industri minyak dan gas kepada negara dijangka mencecah RM81.9 bilion pada 2015.

Katanya, aktiviti huluan dijangka menyumbangkan RM43 bilion manakala, aktiviti hiliran memberi sumbangan sebanyak RM39 bilion pada 2015.

"Signifikan sektor minyak, gas dan tenaga (OGE) tidak boleh dipandang rendah, untuk suku pertama tahun ini OGE telah menyumbang RM82.8 bilion atau 18.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara," ujarnya. - UTUSAN
Kemukakan laporan terperinci - TPM

LABUAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kementerian Pengangkutan diarah mengemukakan laporan terperinci kepada Kabinet mengenai insiden lampu landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang tidak berfungsi pada minggu lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan perkara itu disiasat sehingga ke akar umbi bagi mengenal pasti punca sebenar, sekali gus mengelak perkara itu tidak kembali berlaku.

"Yang penting kita nak tahu apa kesilapan utama, siapa yang bertanggungjawab dan apakah yang perlu dibuat supaya insiden itu tidak berulang.

"Benda ini amat malang kerana penumpang banyak terjejas, saya akan tunggu mungkin dalam mesyuarat Kabinet akan datang pada Jumaat ini," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke Labuan di sini hari ini.

Ditanya mengenai kaedah pengurangan sehingga 50 peratus tambang feri dari Labuan ke Menumbok, Muhyiddin berkata, mekanisme terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Ia tidak sukar kerana Perdana Menteri telah umumnya dalam Bajet 2013. Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan bersama dengan pengusaha bot akan membincangkannya," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dua lelaki rakyat Malaysia yang disyaki anggota kumpulan al-Qaeda yang ditahan di Beirut Hamra, Lebanon baru-baru ini, Muhyiddin berkata, sehingga kini, kerajaan tidak menerima sebarang maklumat terkini mengenai status mereka berdua.

"Malang sekali anak muda kita terlibat, kita kena pantau mengapa terpengaruh dan siapa yang mengajar mereka. Saya harap ia adalah kes terpencil dan bukannya kes yang menjadi satu permulaan kerana kesan dan impaknya tidak baik untuk negara," katanya.

Dalam pada itu, mengenai bencana alam taufan Sandy yang membadai Amerika Syarikat (AS), Muhyiddin meminta pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sana supaya mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Kedutaan dan Kementerian Luar memantau dan mendapat maklumat berkala mengenai situasi di sana daripada pentadbiran AS. Rakyat kita yang memerlukan sebarang bantuan boleh hubungi kedutaan atau wakil kita di sana," katanya. - UTUSAN
Pahang sambut baik wang ihsan

KUANTAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Pahang menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan sekitar RM100 juta setahun kepada negeri ini berikutan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri akan menggunakan wang ihsan itu sebaik mungkin.

“Kita tidak akan membazirkan wang ihsan yang diberikan oleh kerajaan. Jadi kerajaan negeri akan membina lebih banyak projek- projek yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

“Oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemberian wang ihsan ini dan membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan adil kepada semua negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Kecemerlangan kokurikulum Negeri Pahang 2012 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Najib hari ini mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan hasil usahasama Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.

Pengeluaran minyak tersebut dijangka dibuat pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 hingga 20,000 tong sehari. - UTUSAN
Suspek terpengaruh blog al-Qaeda?

Oleh ANGELINA SINYANG
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Dua rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Beirut pada 18 Oktober lalu dikatakan terpengaruh dengan blog militan yang cuba merekrut pengikut di seluruh dunia untuk menyertai kumpulan al-Qaeda.

Razif Mohd. Ariff, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, yang ditangkap dan dibicarakan di Beirut Hamra, Lebanon disyaki terpengaruh dengan blog berkenaan sehingga dikatakan terlibat dalam rancangan untuk melakukan serangan ganas di negara berkenaan.

Menurut sumber, kumpulan pengganas kini bergerak seiring dengan perkembangan semasa apabila menggunakan laman sosial seperti blog dan Facebook untuk merekrut pengikut baru dari seluruh dunia.

Katanya, taktik kumpulan pengganas ini berbeza dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiah (JI) yang pernah mengancam keselamatan negara suatu ketika dahulu. - UTUSAN
Rakyat Malaysia jangan panik - Anifah Aman

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kementerian Luar meminta semua pihak tidak panik atau membuat sebarang spekulasi yang boleh memudaratkan kestabilan negara berhubung penahanan dua rakyat Malaysia di Lebanon minggu lepas.

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, orang ramai tidak harus terus membuat kesimpulan terhadap penahanan itu yang masih dalam proses penyiasatan dan perbicaraan mahkamah.

"Jangan panik dahulu, jangan buat spekulasi bukan-bukan sehingga negara berdepan dengan keadaan yang tidak aman. Kita harus tunggu keputusan perbicaraan.

"Selagi mahkamah belum membuktikan penglibatan mereka dengan kumpulan pengganas itu, kita jangan buat sebarang kesimpulan sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lepas, dua rakyat Malaysia, Rafik Mohammed Ariffin, 28, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, ditahan di Beirut oleh pihak berkuasa negara itu selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas al-Qaeda. - UTUSAN
2 suspek al-Qaeda berkenalan melalui Facebook

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Dua lelaki rakyat Malaysia disyaki anggota al-Qaeda yang ditahan di Lebanon baru-baru ini dipercayai sepakat menyertai perjuangan kumpulan militan itu selepas berkenalan menerusi laman sosial Facebook.

Razif Mohd. Ariff, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, tidak mengenali antara satu sama lain sehinggalah mereka berkenalan di Facebook pada pertengahan tahun ini.

Menurut sumber, hasil perkenalan itu mereka sering berbincang mengenai blog-blog militan termasuk milik kumpulan al-Qeada sehingga terpengaruh untuk berjihad di Asia Barat seperti Syria.

"Razif merupakan seorang kontraktor pendawaian, masih bujang dan merupakan anak kepada pasangan bekas tentera.

"Anak kelahiran Kuala Lumpur ini tinggal bersendirian di sebuah pangsapuri di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan mula terpengaruh dengan fahaman ekstremis semasa menuntut pengajian agama di Karachi, Pakistan pada awal 2000 hingga 2002," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN
Keluarga bayar RM10,000 kos guaman

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Keluarga dua rakyat Malaysia yang ditahan di Lebanon kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas al-Qaeda terpaksa membayar kos guaman sebanyak RM10,000 seorang.

Duta Besar Malaysia ke Lebanon, Ilango Karuppannan berkata, Razif Mohd. Ariff, 30, dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 21, akan diwakili oleh empat peguam warga Lebanon.

"Kedua-dua mereka akan mengaku tidak bersalah dan minta untuk dibicarakan pada sebutan kes ini esok di Tribunal Tentera Beirut.

"Mengikut penjelasan peguam ketika ditemui oleh kedutaan, kes ini mungkin akan memakan masa kurang dari tempoh sebulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia ke Lebanon.

Minggu lepas, dua rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Lebanon selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas al-Qaeda. - UTUSAN
PKNS pindah aset untuk tingkat kecekapan

SHAH ALAM, SELASA, 30 Oktober, 2012: Langkah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memindahkan aset-aset komersialnya kepada sebuah anak syarikat penuhnya, Private Real Estate Company (PREC) adalah bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan pengurusan aset-aset tersebut.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, perbadanan tersebut perlu menggunakan pelbagai pendekatan dan lebih kreatif dalam meningkatkan tahap ekonomi orang Melayu dan bumiputera di negeri ini.

Justeru, beliau berkata, langkah pemindahan aset-aset tersebut kepada PREC bukan bermakna perbadanan tersebut telah lari daripada tujuan asal penubuhannya pada 1964 dalam usaha meningkat taraf kehidupan orang Melayu.

''Salah satu inisiatif korporat yang dilaksanakan oleh PKNS adalah menerusi pelaburan dan pengurusan hartanah secara lebih efektif serta cekap. - UTUSAN
Projek balak: Siasat salah guna kuasa

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
 PUTRAJAYA, SELASA, 30 Oktober, 2012: Isu projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea melibatkan kerajaan Pas Kedah hari ini dilaporkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Pemuda Gerakan Kedah.

Laporan itu dibuat Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang di ibu pejabat SPRM di sini pada pukul 11 pagi ini.

Keng Liang berkata, laporan itu dibuat bagi mendesak SPRM menjalankan siasatan kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan oleh kerajaan Pas Kedah untuk memperoleh projek itu .

Kata beliau, banyak keraguan timbul apabila Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyebut bahawa terdapat pembayaran goodwill (sogokan/penghargaan) kepada vendor bagi kerja-kerja yang dilakukan di Papua New Guinea seperti meneroka tanah, melobi menteri, tuan tanah dan sebagainya. - UTUSAN
Wakil 'Pak Lurah' serah Norshahira

PASIR SALAK, SELASA, 30 Oktober, 2012: Selepas 11 hari menempuh derita hidup berjauhan dengan keluarga gara-gara mengikut kekasihnya ke Indonesia, Norshahira Zaman Huri, 17, akhirnya berjaya dibawa pulang ke pangkuan keluarganya di Kampung Jawa, di sini hari ini.

Misi menyelamatkan remaja itu bermula petang semalam apabila rombongan diketuai Ketua Kampung Jawa, Zara'al Na'mat bersama bapa Norshahira, Zaman Huri Tan, 51, bergegas ke Larkin, Johor kira-kira pukul 4 petang.

Difahamkan, usaha membawa Norshahira mendapat bantuan seorang lelaki dikenali sebagai 'Pak Lurah' iaitu individu yang pernah menghubungi Zaman Huri pada Sabtu lalu memaklumkan bahawa anaknya itu selamat.

Penantian mendebarkan keluarga Norshahira berakhir apabila remaja itu diserahkan oleh seorang lelaki mendakwa wakil 'Pak Lurah' yang tiba dari Pulau Batam menaiki perahu di Jeti Larkin kira-kira pukul 8.20 pagi. - UTUSAN
Johor negeri pertama dilanda banjir

Oleh HAMDAN TAWADI
 BATU PAHAT, SELASA, 30 Oktober, 2012: Johor menjadi negeri pertama dilanda banjir apabila 91 orang daripada 27 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Parit Sulong di sini hari ini.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tiga Serangkai, Parit Gantong.

Banjir itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat, lokasi kampung yang terletak di kawasan rendah dan masalah sistem saliran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai bagaimanapun berkata, kerajaan negeri telah bersedia menghadapi banjir yang sering berlaku pada musim tengkujuh.

"Kita telah mengenal pasti 638 tempat untuk dijadikan pusat pemindahan yang mampu menampung sehingga 170,861 orang. - UTUSAN
Ahmad calon paling sesuai jadi MB

 Ahmad Yakob
 Oleh ASMA HANIM MAHMOOD 
KOTA BHARU, SELASA, 30 Oktober, 2012: Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dilihat calon paling layak menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekiranya Menteri Besar itu berundur.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah turut mengakui ketokohan Ahmad sebagai pengganti Nik Abdul Aziz kelak.

"Malah Ahmad ialah calon yang amat molek sekali kerana beliau seorang ulama dan merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Amar mengulas calon Pas yang sesuai menggantikan Menteri Besar sekarang setelah lebih 22 tahun jawatan tersebut disandang Nik Abdul Aziz.

Ura-ura dalam kalangan pemerhati politik menyatakan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah terakhir ditandingi Nik Abdul Aziz, namun sekiranya Pas kembali menguasai negeri, jawatan Menteri Besar akan beralih kepada Ahmad. - UTUSAN
‘Pas Kelantan akan bertanggungjawab‘ skandal Projek Lembah Sireh

KOTA BHARU, SELASA, 30 Oktober, 2012: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kerajaan Pas Kelantan akan bertanggungjawab terhadap skandal Projek Lembah Sireh bernilai RM2 bilion yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan sepenuhnya sedangkan tempoh perjanjian akan berakhir pada 2015.

Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya turut tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau hendak menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat projek tersebut.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan tindakan pihak berkenaan yang tidak pula membuat laporan berhubung isu Felda Golden Venture (FGV) dan projek Jambatan Sultan Yahya Petra 2 yang telah tertangguh selama empat tahun.

“Tak ada apa buatlah, tak ada apa, kami terima kalau benda sebenar tapi kita ada perjanjian ada positif, negatifnya. Jadi bila kita buat sesuatu kita bersedia untuk bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - UTUSAN
Nik Aziz tak layan desakan berundur

KOTA BHARU, SELASA, 30 Oktober, 2012: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan pihak yang meminta beliau berundur, sebagai ‘orang menganggur’ yang tidak ada pekerjaan melainkan suka membuat kacau.

Nik Abdul Aziz turut menyifatkan pihak berkenaan sengaja melemparkan tuduhan mengenai tahap kesihatannya sebagai alasan untuk mendesak beliau supaya berundur atau meletakkan jawatan.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, beliau tidak akan melayan sebarang desakan untuk berbuat demikian melainkan datang daripada orang Pas sendiri.

“Tak segar (tak sihat) macam mana, saya segar, tak ada apa, orang tuduh saya orang menganggur tak ada benda dia buat bising macam-macam, puak-puak menganggur.

“Kalau soalan (desakan berundur) daripada orang Pas insya-Allah saya layan, tapi kalau daripada orang UMNO lebih lagi daripada orang UMNO buangan pula, tak apalah," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat negeri 2012 di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim di sini. - UTUSAN
DAP P. Pinang tidak layan tuntutan JMPP

PULAU PINANG, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan melayan tuntutan yang dikemukakan oleh Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) seperti diputuskan dalam Majlis Silaturrahim Ummah pada Ahad lalu selagi tidak menerimanya secara rasmi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima tuntutan tersebut daripada penganjur majlis berkenaan.

“Saya tidak diberi tahu mengenai tuntutan berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui akhbar.

“Oleh itu, tidak perlu untuk saya memberikan sebarang komen berhubung tuntutan-tuntutan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN
Serah pelantikan kepada Agong

KUALA LUMPUR, SLASA, 30 Oktober, 2012: Tokoh-tokoh agama di negara ini turut menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang menyerahkan pelantikan jawatan mufti dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam serta perkara berkaitan agama kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut mereka, jawatan tersebut bukan untuk dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana pelantikan itu membabitkan agama Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, kuasa pelantikan mufti oleh Yang di-Pertuan Agong atau sultan perlu dipertahankan kerana jawatan itu bukan untuk tujuan politik.

“Kalau mufti dilantik oleh kerajaan negeri, pelantikan itu akan dipolitikkan, kalau tidak suka bila-bila masa jawatan berkenaan boleh ditarik balik.

“Mufti bukan ahli politik dan seharusnya jawatan berkenaan diperkukuhkan selaras dengan fungsinya sebagai penasihat agama,’" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tuesday 30 October 2012

Pasukan kelab tidak dibenar sertai Piala Presiden

SHAH ALAM, SELASA, 30 Oktober, 2012: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan penyertaan pasukan berstatus kelab bagi saingan Piala Presiden bermula tahun depan sehingga 2016.

Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, keputusan itu dibuat Jawatankuasa Eksekutif FAM baru-baru ini yang bertujuan memberi peluang kepada pasukan negeri melahirkan lebih ramai pemain pelapis untuk diserapkan ke dalam skuad utama negeri masing-masing pada masa akan datang.

"Piala Presiden musim depan hanya dihadkan kepada 16 pasukan serta dua pasukan jemputan iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar dan format kejohanan itu akan diadakan secara liga.

"Pasukan kelab bagaimanapun masih boleh bersaing dalam kejohanan lain seperti Liga Super, Liga Perdana dan Liga FAM pada musim hadapan," katanya pada sidang media khas selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-Astro Arena-FAM di sini, hari ini.

Afandi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua pasukan negeri dan kelab yang bersaing dalam Piala Presiden musim ini. - UTUSAN
Generasi kedua Felda terima durian runtuh mulai 10 Nov.

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Generasi kedua peneroka Felda bakal menerima "durian runtuh" sebanyak RM5,000 mulai 10 November ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menyerahkan cek contoh pada Himpunan Generasi Baharu Felda di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, yang berlangsung tiga hari bermula 9 November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata pemberian fasa ketiga itu melibatkan peruntukan sebanyak RM563 juta.

Beliau berkata kaedah pemberian "durian runtuh" itu adalah sama seperti dua fasa sebelumnya.

"Bagaimanapun, mereka boleh memilih untuk menerima wang itu atas nama perseorangan atau dibahagikan kepada adik-beradik yang lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - BERNAMA
PRU13: Wan Azizah belum pilih DUN

RUZY ADILA IDRIS & NOR ATIEYAH YUSOFF
SHAH ALAM, SELASA, 30 Oktober, 2012: Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau Pulau Pinang.

Menurutnya, kedua-dua negeri itu dipilih berdasarkan kepada pilihan peribadi.

“Saya boleh memilih mana-mana DUN tetapi belum mengetahui kawasan mana yang akan bertanding.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, parti itu juga sedang memikirkan di mana kawasan yang sesuai untuknya bertanding.

“PKR akan meneruskan perjuangan sama ada menang mahupun kalah pada PRU13 akan datang.

“Malah, tiada sebarang persiapan untuk pilihan raya ini kerana jentera PKR sudah lama bersedia,” katanya kepada Sinar Harian ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidiladha Karangkraf di sini, semalam.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa beliau yang melepaskan kerusi Permatang Pauh pada 2008 akan bertanding kerusi DUN.
PRU13: Hasan Ali belum buat keputusan

 SHAH ALAM, SELASA, 30 Oktober, 2012: Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali masih merahsiakan pendirian sama ada bersedia untuk bertanding pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) atau tidak

“Memandangkan jangkaan pilihan raya akan diadakan pada Februari (tahun) depan, sekarang masih banyak masa untuk menentukan sama ada saya bertanding atau tidak, di kawasan mana nak bertanding dan peluang yang ada,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Ditanya jika membuat keputusan bertanding, beliau akan memilih tiket parti mana, Hasan berkata, perkara itu bukan isu.

“Tiket mana boleh saja, apa pun tak penting. Yang penting perjuangan meneruskan agenda iaitu memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dipecat keahliannya oleh Pas kini aktif menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga (Jati) yang memperjuangkan agama Islam, hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. - Sinar Harian
Laporan Audit: PAC panggil 6 kementerian

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil enam kementerian untuk siasatan lanjut berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011. 

Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw (gambar) berkata kementerian itu adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya.

"Siasatan awal kita mendapati ada kelemahan. Contohnya mengenai ubat, farmasi di Kementerian Kesihatan, masalah dalam Jabatan Kerja Raya, 'double tracking' dalam Kementerian Pengangkutan dan kelemahan kuarters perumahan di Kastam," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan dan aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri tahun lepas diedarkan kepada anggota Parlimen pada 15 Okt lepas, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tan berkata PAC akan berbincang lebih lanjut berhubung kementerian mana yang akan lebih dahulu dipanggil bergantung pada keutamaan sesuatu kes.

Beliau juga berkata kelemahan koordinasi antara jabatan dan agensi kerajaan dalam menerima dan melaksanakan arahan daripada peringkat atasan didapati antara punca kepada wujudnya masalah berhubung projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

"Sebagai contoh, jika Kementerian Kewangan (MOF) telah membuat sesuatu keputusan mengenai sesuatu perkara, dengan itu semua jabatan sepatutnya tahu mengenainya, tetapi dalam beberapa kes, ia (keputusan) tidak sampai kepada mereka. Ini bermakna akan berlaku kesilapan.

"Jadi mereka perlu teliti kenapa apabila menteri buat keputusan tetapi ia (keputusan) tidak sampai kepada jabatan di bawah kementerian itu... saya fikir perlu dedahkan prosedur bagaimana keputusan dibuat di MOF dan sampai kepada semua jabatan," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun beberapa perkara berhubung siasatan terhadap kes itu tidak boleh didedahkan memandangkan PAC terikat dengan Peraturan Mesyuarat Parlimen. - BERNAMA
Polis: Himpunan 3 Nov di Seremban langgar akta

NUR SHARIEZA ISMAIL
SEREMBAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Program Himpunan Kebangkitan Rakyat anjuran Pakatan Rakyat (PR) yang dijadualkan Sabtu ini melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dikenakan tindakan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin (gambar) berkata, ini kerana, sehingga petang semalam, tiada sebarang permit di bawah akta undang-undang tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur.

“Sekiranya penganjur mengadakan juga perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Taman Seremban Jaya, mereka akan melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dipetik Sinar Harian

Beliau berkata, polis sebelum ini sudah memberi peluang kepada penganjur untuk melengkapkan semula borang permohonan mengikut peruntukan undang-undang, bagaimanapun tiada maklum balas penganjur diterima dalam tempoh diberikan.

"Saya telah berjumpa dengan wakil penganjur kelmarin dan memaklumkan secara rasmi mengenai dua perkara.

"Satu, polis mengambil maklum akan program perhimpunan tersebut dan kedua, permohonan penganjur tidak dapat diproses memandangkan pengisian borang tidak mengikut kepada peruntukan dikehendaki,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, di sini, hari ini.