My Add

Thursday 30 June 2011

Rakus, gelojoh, lahapnya pakatan pembangkang



INI kisah benar, bukan dongeng atau direka-reka. Ceritanya berlaku di Selangor Darul  Ehsan, negeri jajahan takhluk pakatan pembangkang. Menteri Besarnya orang Melayu dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) bernama Abdul Khalid Ibrahim

Kisahnya tidaklah menarik atau pelik sangat, tetapi nampak benar kerakusan, gelojoh dan lahapnya pakatan pembangkang apabila mereka dapat kuasa.  Angkara sama terjadi dan dilakukan, baik oleh  PKR mahupun Pas, lebih-lebih lagi DAP seperti di Perak tidak lama dahulu, kini berleluasa di Pulau Pinang pula

 Seorang wanita kampung, ketua cawangan Pegerakan Wanita UMNO, menceritakan perihal apa yang dialami oleh penduduk kampungnya. Menurutnya, selang beberapa hari PKR berkuasa, Kerajaan Selangor serta merta tunjuk kuasa dan sikap gelojohnya tanpa timbang rasa dan belas kasihan.  

Tindakan awal merampas balairaya, kemudian mengambil-alih pusat kegiatan wanita atas alasan pusat itu terletak di tanah kerajaan walaupun pembinaannya dari wang derma penduduk tempatan.

 Sungguh bagai dikata pakatan pembangkang tidak ubah seperti si kudung mendapat cicin!
              

Lebih baik berhimpun di stadium


PERHIMPUNAN terbuka boleh dielak jika pihak berkaitan sanggup bertolak ansur dan bersedia  berhimpun di stadium sahaja.
  
Bersih 2.0 buat di Shah Alam, Pemuda UMNO dan Perkasa berhimpun di Bukit Jalil. Andai kekusutan ini dirungkai dengan bijak, masalah yang dihadapi selesai.

Tetapi jika masing-masing pihak berkeras juga, bermakna mereka keras kepala menyimpan niat durjana. Ingatlah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Jangan cemari nama baik negara sendiri!

Khayalan Kit Siang PR tawan 11 negeri

TIDAK mustahil Pakatan Rakyat (PR) mahu menguasai 11 negeri di semenanjung pada pilihan raya umum akan datang sebagai mana yang diidam-idam oleh Lim Kit Siang.

Harapan dan khayalan Penasihat DAP itu boleh tercapai apabila rakyat yang layak mengundi buta hati, tidak cukup waras dan tidak cukup suku.

Usah berangan-angan sangat Kit Siang.  Jaga baik-baik empat negeri yang dikuasai PR cukuplah. Jangan satu dua negeri terbang, balik kepada Barisan Nasional (BN) semula.  

Kit Siang dan konco-konconya patut hayati pepatah Melayu ini: Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Hairan juga PR tidak pula mengidam Sabah dan Sarawak!   
                        
   

Monday 27 June 2011

Tanggungjawab bersama, bukan UMNO sahaja

SEBARANG usaha untuk melakukan pembaharuan mengikut landskap politik semasa tidak sepatutnya dipikul oleh UMNO sendirian, malah ia adalah urusan dan tanggungjawab bersama anggota komponen Barisan Nasional yang lain.

Tidak wajar pula UMNO sahaja yang bekerja kuat dan berhempas pulas mengatur berbagai kegiatan serta strategi, sedangkan angggota komponen BN lain selesa berpeluk tubuh serta kurang melakukan gerak kerja bagi membolehkan BN menang bergaya dalam pilihan raya umum kelak.

Barangkali Pengerusi BN, Najib Razak sengaja belum mahu sentuh perkara berkaitan sekalipun dia sendiri tahu kedudukan sebenarnya. 

Hal ini disentuh kerana jarang dilihat atau ada usaha ke arah mencari formula yang boleh membantu serta menjamin kemenangan BN nanti. Entahlah, mungkin usaha ke arah itu dilakukan secara senyap-senyap hingga tidak boleh dilihat.

Cabaran yang dilontatrkan oleh Najib, BN tidak boleh lagi sepeti biasa dan memerlukan perubahan, hendaklah dihadapi dengan pelaksanaan penuh bertanggungjawab oleh ahli dan pimpinan parti komponen BN.

Jangan letak cabaran Najib, BN memerlukan pendekatan baru yang lebih segar, hanya di bibir sahaja, seperti angin lalu, tetapi ia perlu disusuli dengan perbuatan sekali.

Wednesday 22 June 2011

Jangan beri muka pada pakatan pembangkang

SAYA tidak fikir kerajaan snaggup membiarkan pakatan pembangkang bertindak tanpa sempadan. Sebarang kegiatannya yang melanggar undang-undang negara wajar ditentang habis-habisan.

Hendaknya perhimpuan Bersih 2.0, 9 Julai depan ditangani secara berani dan telus. Kerajaan tidak boleh lagi beri muka kepada Parti Keadilan Rakya (PKR) dan Pas.

Kita mengerti PKR dan Pas merancnag hendak menjadikan perhimpuan haram itu sebagai platform untuk menaikkan isu yang akan menjadi perhatian rakyat dan akhirnya membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Usah bimbang, PKR dan Pas kini berada dalam dilema apabila sokongan daripada orang Melayu terhadap parti tersebut semakin berkurangan.

Monday 20 June 2011

Khalid Ibrahim mungkir janji

SAMBIL menuduh Menteri Besarnya mungkir janji, rata-rata rakyat Selangor amat kesal sikap bermuka-muka Khalid Ibrahim.

Kebanyakan mereka bertanya dan menagih janji Khalid, bila lagi kerajaan negeri yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengeluarkan Kertas Putih mengenai kedudukan Talam Coporation.

Kerajaan Selangor telah membeli hutang Talam Corporation bernilai RM392 juta. Tidak pula diketahui secara jelas dari mana sumber kewangan diperolehi oleh kerajaan negeri membeli syarikat koporat tersebut.

HELAH ANWAR SAHAJA

BERBAGAI helah Anwar Ibrahim lakukan untuk mengabui mata rakyat.

Dia kata, konon perhimpunan Bersih 2.0 boleh dibatalkan jika Perdana Menteri, Najib Razak berjanji akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 secara telus.

Alasannya bukan sahaja tidak menasabah, malah nampak benar seolah-olah ketua pembangkang itu hendak gertak Najib supaya menyahut kemahuannya sekalipun dia sendiri tahu kehendaknya itu tidak akan tercapai. 

Nampak jelas mainan politik Anwar. Dia tidak habis-habis mecanang fitnah liar kepada rakyat  dengan harapan apa sahaja yang dihamburnya ke sana kemari mudah diterima umum.

Dengan kata lain, ini bererti pilihan raya sebelum ini tidak telus dan adil. Jika benar bagai dikata, bermakna pilihan raya lalu tidak telus. Jadi, macam mana PKR boleh menang PRU ke-12?

Boleh pakai lagi cakap Anwar?

Sunday 19 June 2011

Cakapan Nik Aziz keliru ramai

PADA pandangan umum tidak banyak pendapat Nik Aziz Nik Mat betul dan bukan pula semua buah fikirannya salah.

Kebelakangan ini ramai keliru. Cakapan Mursyidul Am Pas itu bercelaru  dan berubah-rubah 

Ada kenyataannya sampai ke tahap mengelirukan. Contohnya, baru-baru ini Nik Aziz dipetik sebagai berkata 'kebajikan' yang dibawa Pas menuju ke syurga, bukan yang boleh ke neraka.

Memang banyak kenyataan Nik Aziz yang meragukan dan bercanggah ajaran Islam sebenar.

Antaranya: + Menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, + menjanjikan syurga kepada sesiapa yang undi Pas, + mendakwa Tuhan boleh mencarut, + orang UMNO kafir, + wanita tidak boleh keluar bekerja dan banyak lagi yang mengelirukan ramai.

Konsep 'berkebajikan'' Pas menuju ke syurga

TOK Guru  Haji Nik Aziz Nik Mat tidak boleh mengelak lagi dan akhirnya terpaksa mengaku ada ahli Pas tidak puas hati dengan konsep baru perjuangan parti itu, dilihat bukan lagi berlandaskan Islam, tetapi untuk membentuk negara berkebajikan.

Alasannya, mungkin ahli parti yang berkenaan tidak faham tentang perubahan hala tuju baru parti dan penjelasan Mursyidul Am Pas itu tidak pula dihurai lanjut sama ada benar ahli parti  tidak faham konsep berkenaan atau mungkin mereka tidak setuju atau menolaknya.  

Kenyataan lain Nik Aziz ternyata mengelirukan apabila disentuh mengenai  dasar Islam Pas tetap tidak berubah dan kebajikan yang dibawa Pas menuju ke syurga, bukan yang boleh ke neraka.
Menteri Besar Kelantan itu secara terbuka pula menyebut komunis pun buat kebajikan, tetapi tidak sampai ke mana-mana.

Menurutnya, apa yang UMNO buat negara kebajikan, bukan negara berkebajikan. UMNO tidak boleh buat 'berkebajikan' kalau tidak melalui Islam.

Bagaimanapun Nik Aziz tetap berjanji. Pas tidak akan menggugurkan nama Islam pada parti tersebut kerana ia sudah menjadi identiti Pas semakin mengukuhkan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Friday 17 June 2011

Fatwa baru Pas himpunan Bersih wajib

PARTI Pas mengeluarkan fatwa baru...perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, 9 Julai, sebagai wajib dilaksanakan berdasarkan Islam dan mengikut sunnah kerana diadakan secara aman.

Fatwa baru itu, bukan seperti selalunya datang daripada Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat atau daripada Presidennya, Haji Abdul Hadi Awang. Kali ini fatwa yang mengelirukan itu dibuat oleh Ketua Ulama Pas, Harun Taib.

Harun dipetik sebagai berkata, perhimpunan itu adalah saluran dibenarkan oleh Islam kerana agama itu mahu kemungkaran dicegah dengan tangan, lidah dan hati.

Menurut laporan akhbar Sinar Harian (Jumaat,17 Jun 2011), Harun berkata, perhimpunan Bersih 2.0 mencegah kemungkaran kerajaan dengan menggunakan tangan yang menuntut sistem pentadbiran negara lebih adil.

Manakala Setiausaha Majlis Syura Pas, Nik Zawawi Nik Saleh pula menyifatkan demonstrasi aman adalah satu daripada kaedah memperjuangkan hak kerana kerajaan tidak akur dengan kehendak majoriti.

Sambil meminta ahli Pas jangan membawa senjata semasa perhimpunan, Nik Zawawi mendakwa jika berlaku kekacauan, ia disebabkan anasir luar yang cuba menghuru-harakan perhimpunan itu.

Usah buat dosa kering Zawawi, menunding jari kepada orang lain!

Thursday 16 June 2011

PUTERI UMNO LEMAH LONGLAI

SEJAK kebelakangan ini Pergerakan Puteri UMNO dilihat agak lesu. Ini seolah-olah ia tidak mampu bergerak dengan perancangan strategik untuk memperkuatkan parti.

Sebab itu, menurut setengah pihak, Puteri kurang menyerlah, tidak seligat Pergerakan Wanita UMNO.

Pada pendapat umum, Puteri hanya aktif semasa pilihanraya sahaja.

Ramai masih kabur. Ramai juga kurang tahu fungsi Puteri sebenarnya dan secara meluas. Mungkin Puteri  mahu bergerak secara senyap-senyap. Tidak mahu heboh-heboh.

Dari perbulan saya dengan  beberapa orang pemimpin peringkat bahagian dan cawangan Puteri, saya dapat menyelami perasaan mereka.  Secara jujur mereka melahirkan rasa kurang senang masing-masing ekoran perkembangan kurang sihat yang tidak sepatutnya berlaku.

Rata-rata mereka mengakui, Puteri tidak lagi serancak dan selancar pimpinan lampau.

Jika begitu, ini bermakna peranan Puteri belum berkesan untuk membantu UMNO memperkasa perjuamgannya..

Ketua Puteri, Rosnah Abdul Rashid Shirlin tahu jawapannya!

MACAM-MACAM KARENAH MAT SABU

NAMPAKNYA Mohamad Sabu sudah terlepas cakap. Dia kata Pas tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan UMNO walaupun atas nama perpaduan Melayu.

Jangan cakap bukan-bukan wahai pemimpin nombor 2 Pas. Jangan celupar sangat: Terlajak perahu boleh undur, terlajak cakap buruk padahnya.

Dalam politik macam-macam hal boleh berlaku. Hari ini kawan, besok musuh. Musuh boleh jadi kawan dan sebaliknya.

Dalam satu ceramahnya di Alor Setar (Rabu, 14 Jun 2011), Mat Sabu kata, Pas tidak mahu kejadian 1969 berulang kerana bertanding atas tiket Barisan Barisan Nasional (BN) dan apabila "mereka berjaya kita ditendang keluar menjelang pilihan raya umum selepas itu,".

Betulkah begitu?  Setahu saya, jika tidak silap BN tidak tendang Pas keluar, tetapi Pas sendiri  minta keluar dari BN.

Bukan setakat itu sahaja, malah Mat Sabu juga anggap pemimpin UMNO sekarang cuba berbaik dengan Pas, "apabila dihulur tangan ku tampar tangan mereka,".
.
Tampar tangan tidak mengapa, jangan tampar muka sudahlah.Marah betul Mat Sabu kepada UMNO.

JAMINAN MAT SABU TAK BOLEH PAKAI

PEMIMPIN nombor 2 Pas, Mohamad Sabu jamin perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur, di Sabah dan di Sarawak, 9 Julai depan  akan berjalan secara aman, tidak akan berlaku kekacauan dan tiada harta benda rosak.

Bolehkah kita terima bulat-bulat jaminan Mat Sabu  itu?  Sebab, setahu kita, pada perhimpunan Bersih tidak lama dahulu, berlaku suasana tidak tenteram, perasaan takut para peniaga sama ada besar atau kecil dan banyak harta benda mereka rosak.

Kita tidak yakin perhimpunan tanpa mendapat kelulusan pihak berwajib itu, terjamin risikonya. Mat Sabu bolehlah  cakap lepas. Tetapi mampukah dia mengawal tindak-laku 'liar' pengikut-pengikut yang lain.

Inilah antara beberapa perkara yang kita khuatiri, terutama keselamatan orang ramai.
Contohnya, semasa  perhimpunan lalu, banyak gedung perniagaan, terutama di Jalan Tuanku Abdul Rahman terpaksa ditutup. Perniagaan peniaga-peniaga kecil di lorong-lorong sekitarnya turut terjejas dan banyak juga harta benda mereka rosak akibat 'tingkah-laku ganas' peserta-peserta perhimpuan.

Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Andai peritiwa serupa itu berulang, andalah orang yang bertanggungjawab dan dipersalahkan.

Alahai Mat Sabu, elokah renung jauh-jauh dan  fikir masak-masak rancangan hang tu. Nanti terjebak makan diri sendiri.

Kini, pelbagai pihak telah bersuara, mereka mengutuk dan menentang perhimpunan  tersebut kerana mereka bimbang bakal timbul sesuatu yang tidak baik nanti.

Dengarlah nasihat Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar supaya penganjur perjumpaan tersebut membatalkan rancangan mereka kerana ia mengancam keselamatan.

Menurut Khalid (Berita Harian, Rabu 15 Jun 2011), polis khuatir dengan keselamatan dan ketenteraman awam yang akan tergugat dan aktiviti perniagaan  terpaksa dihentikan berikutan perhimpuan itu.

Katanya, selain polis tidak akan mengeluarkan sebarang permit untuk perjumpaan itu, pihaknya menerima 418 laporan daripada pelbagai pihak termauk peniaga, pengusaha kereta sewa  dan pengusaha pelancongan  yang membantah perjumpaan itu diadakan.

Khalid  memberitahu, polis juga menerima laporan, pada hari yang sama ada kumpulan lain yang berlainan ideologi merancang untuk mengadakan perjumpaan.Ini mengudang kebimbangan sekiranya berlaku pertembungan antara dua kumpulan, tegasnya.

Khalid berkata, polis akan mengambil langkah pencegahan termasuk tangkapan jika perlu, sambil megingatkan orang ramai jangan menyertai perjumpaan kerana banyak cara lain yang boleh dilakukan sekiranya untuk membangkitkan sesuatu permasalahan.






,

Tuesday 14 June 2011

ANWAR NOMBOR SATU, GUAN ENG NAK JADI APA?

PELIK dan lucu mengikuti cerita dongeng  Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

DAP, katanya memberi kepercayaan penuh kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Meneri SEKIRANYA Pakatan Rakyat (PR) berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya,  di sebalik berbagai tuduhan dilemparkan terhadap Ketua Pembangkang itu, parti-parti komponen PR telah sepakat sejak awal untuk meletakkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai orang nombor 1.

Menurut laporan akhbar Sinar Harian, Selasa (14 Jun 2011) lalu. Guan Eng menyatakan demikian di majlis dialog dan makan tengah hari anjuran Bankers Club di Kuala Lumpur.

Guan Eng ditanya apakah dia akan melaksanakan formula kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang  sekiranya diberi peluang  untuk mentadbir di Putrajaya sebagai Perdana Menteri.

Guan Eng menjawab, soal dia menjadi Perdana Menteri tidak timbul sama sekali, sebab jawatan tersebut telah diperuntukkan kepada Anwar dan "kita telah sepakat sejak awal lagi perkara ini,"

Guan Eng berharap rakyat tidak perlu bimbang untuk memilih PR dalam pilihan raya umum akan datang sebab anak Lim Kit Siang itu memberi jaminan sekiranya PR berjaya menguasai Putrajaya semuanya akan menjadi lebih baik untuk rakyat.

Saya ingin bertanya Guan Eng, anda tidak mahu jadi Perdana Menteri, anda  nak jadi apa?  Bohong, kalau Guan Eng kata dia tak teringin jawatan tertinggi itu.

Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang pun tak mahu jawatan itu. Dia awal-awal lagi menolaknya kerana seperti tulisan saya dahulu, memang sudah tersedia orang yang begitu lama 'mengidam' jawatan tersebut.

Monday 13 June 2011

HARAPAN NAJIB KEPADA AHLI UMNO

 HARAPAN Presiden UMNO kepada jentera parti, mereka hendaklah bekerja keras dan merangka strategi baru sebagai langkah untuk meningkatkan persepsi serta aspirasi rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kehendak Mohamad Najib Razak itu sewajarnya ditunai dengan penuh keiklasan dan dilaksanakan dengan sepenuh hati serta bertanggungjawab.

Nasihat Perdana Menteri kepada ahli-ahli UMNO dan BN, mereka perlu bijak mempengaruhi minda rakyat serta cita rasa rakyat supaya bersedia menberi sokongan padu kepada BN sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum kelak.
Demikianlah harapan  besar Najib, diluahkannya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ampang, Ahad lalu.

Secara terbuka, Najib menegur kepimpinan UMNO, mereka tidak seharusnya memberi tumpuan mengukuhkan sokongan ahli parti semata-mata untuk menjaga kedudukan masing-masing  sahaja, tetapi mereka hendaklah memberi perhatian terhadap rakyat.

Kata Najib, UMNO dan BN tidak dapat melakukan sesuatu, melakukan perubahan, melaksanakan wadah perjuangan dan memenuhi aspirasi rakyat jika tiada kuasa politik.

Mengikutnya, dalam sisstem demokrasi berparlimen, kuasa politik datang daripada rakyat. Jangan bertelagah sesama sendiri. Rapatkan barisan.  Kuatkan azam dan UMNO bersama BN mesti menyusun strategi dan pasti melakukan sesuatu  lebih berkesan.

Menurut Najib UMNO dan BN mesti menunjukkan keupayaannya, lebih mampu, lebih baik dan berkesan  serta tidak sekadar retorik sahaja.

Najib berpesan kepada rakyat, parti pembangkang hanya pandai menabur janji berbanding dengan kerajaan BN yang sudah pun melaksanakan pelbagai program untuk rakyat.

Sunday 12 June 2011

UMNO GAGAL DAN LESU

SERONOK betul  mengikuti celoteh Nik Aziz Nik Nik Mat mengenai UMNO dan Pas. Macam-macam perkara disentuhnya terutama, tentu sekali tentang keburukan UMNO.

Menurut laporan akhbar Sinar Harian pada 12 Jun 2911, Mursyidul Am Pas itu mendakwa UMNO semakin lesu kerana perjuangannya memburukkan dasar Islam yang diperjuangkan Pas gagal.

Katanya UMNO gagal mempraktikkan (dasar) Islam yang diperjuangkan parti sehinga tidak lena tidur.
Nik Aziz begitu yakin Pas dapat memintas UMNO kerana dasar memperjuangkan negara berkebajikan.


Mengikutnya, UMNO sudah tua dan tertekan dengan bebanan yang banyak kerana dulu  memperjuangkan rakyat didahulukan, kini sebalikya sehingga memakan diri sendiri.

Berhubung video seks, Menteri Besar Kelantan itu mendakwa isu tersebut telah menimbulkan  suasana politik negara bertambah buruk.

Video seks itu  tiada bukti, mengarut dan membusukkan nama negara, demikian pandangan Nik  Aziz.

NIK AZIZ TAK BENCI UMNO

APA puncanya Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat tidak senang hati dengan UMNO? Soalan ini sekian lama terpendam dalam benak kepala saya.

Oleh itu dalam kesempatan ini saya ingin bertanya, Tok Guru marah atau benci kepada UMNO?
Jika benar Tok Guru marah atau benci kepada UMNO, mengapa? Saya harap Tok Guru tidak keberatan dan sudi menjawab pertanyaan itu.

Setahu saya baik UMNO mahupun PAS, arus perjuangan juga sama demi negara tercita, demi bangsa Melayu yang dikasihi dan untuk agama Islam yang dimuliakan.

Para pemimpin dan pengikut kedua-dua parti juga sama, Melayu Islam berpegang teguh kepada Sunnah Waljemaah.

Jadi, alangkah molek Tok Guru, Pas dan UMNO kembali merapatkan hubungan dan kerjasama politik. Perjuangan kita mantap dan bangsa kita kuat.

PAS HANYA MENANG SORAK...

SUNGGUH malangnya nasibku... Demikian sebaris lirik sebuah lagu nyanyaian Allahyarham P. Ramle. Begitulah juga nasib yang menimpa ahli dan pengikut-pengikut Pas sekarang. Mereka umpama menang sorak kampung tergadai.

Inilah bahana tindakan 'gelojoh' para pemimpin Pas hingga tergamak dan sanggup menggadaikan prinsip perjuangannya membentuk negara Islam.

Isu ini semakin hangat dibincangkan oleh masyarakat umum dengan berbagai reaksi baik secara terbuka atau dalam media cetak atau media elektronik setiap hari.

Mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad sendiri dengan tegas menuduh Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat sanggup menggadai perjuangan membentuk negara Islam dan hukum hudud kerana Pas mahu 'tidur sebantal' dengan sekutu pembangkang DAP dengan harapan mendapat sokongan bukan Melayu.

Kata Dr. Mahathir, perubahan itu membuktikan Nik Aziz tunduk kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh yang pernah suatu ketika dulu menentang pembentukan negara Islam.

Dr. Mahathir juga kecewa kerana Pas tidak bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO yang didukung oleh Melayu Islam.

Jika ada usaha merapatkan hubungan dan kerjasama politik dengan UMNO, Nik Aziz dengan tegas menolak kerana UMNO tidak Islam, jelas bekas Presiden UMNO itu. (Untuk rekod, Nik Aziz pernah mendakwa UMNO tidak Islam).

Saturday 11 June 2011

RAMAI TERKEJUT PAS TERPESONG

RAMAI masyarakat Melayu Islam terkejut dengan keputusan Pas menukar haluan perjuangannya.

Lebih 50 responden yang ditemui sekitar Lembah Kelang melahirkan kekesalan mereka di atas keterlanjuran parti itu hingga terpesong dari konsep perjuangan asalnya untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Dalam perbualan singkat dengan mereka, kebanyakannya merasakan pucuk pimpinan Pas yang baru sudah terseret dalam kancah khayalan 'kuasa'.

Kata mereka, Pas bukan lagi parti Islam. Pas bukan seperti berpuluh tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa dan Islam.

Kebanyakan mereka berpendapat, Pas sudah terjerumus masuk gelanggang politik rakan sekutunya dalam pakatan rakyat, iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mereka juga merasa janggal, seolah-olah parti Melayu Islam itu tidak berpendirian kukuh hingga boleh diperkuda oleh parti lain.

Telahan mereka, Pas bukan sahaja termakan pujukan DAP dan PKR, malah sudah tenggelam dalam lamunan mimpi untuk berkuasa selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Kata seorang responden, harapan dan impian Pas untuk tumpang sekaki bersama DAP dan PKR ke Putrajaya, mungkin tidak kesampaian.

Rata-rata respondan setuju impian Pas hanya umpama untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

UMNO-PAS MAMPU BERSATU

PERTUBUHAN bukan kerajaan (NGO) tetap yakin UMNO dan Pas mampu bersstu demi kemajuan dan pembentukan keharmonian dalam negara.

Presiden Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Profesor Dr Kamarudin Kachar, meminta NGO Melayu, berusaha dalam menyatupadukan dua entiti politik bangsa Melayu ini.

Usaha itu menurut perhetongan Dr Kamarudin bukan atas dasar polittik tetapi lebih kepada penyatuan Melayu dalam memperkukuhkan perpaduan sedia ada.

Dr Kaamarudin menjelaskan bahawa perpaduan itu bukan untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk masyarakat lain. Jika Melayu bersatu kaum lain juga akan beruntung di samping negara juga akan mendapat manfaatnya.

Dengan jelas Dr Kamarudin menyebut bahawa penyatuan ini bukan menunjukkan Melayu lemah tetapi perpaduan itu perlu bagi mengorak langkah ke hadapan.

NGO Melayu, kataanya tidak lemah, sebagai contoh dalam Majlis Perundingan Melayu sendiri sudaah ada 168 pertubuhan Melayu yang mempunyai 2.3 juta ahli. Semoga usaha yang baik ini akan membuahkan hasil yang berfedah kepada kita semua.

MAHUKAH PAS MINTA MAAF PADA UMNO?

PAS baru sahaja menukar kiblat perjuangannya. Kini berdepan pula dengan tuntutan supaya minta maaf kepada UMNO. Sebabnya, kerana beberapa pemimpin parti itu pernah menuduh UMNO tidak memperjuangkan penubuhan negara Islam sebelum ini.

Tuntutan tersebut dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohamad Khaled Nordin, seperti dilaporkan oleh media ialah atas dakwaan bahawa tindakan Pas konon mahu memperjuangkan negara Islam tetapi akhirnya menafikan konsep itu kepada perjuangan negara berkebajikan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Mengikut Menteri Pelajaran Tinggi itu, Pas perlu berbuat demikian kerana selama ini pelbagai tohmahan dilemparkan kepada UMNO termasuk melebelkan parti itu sebagai kafir.

Alasan Khaled itu kukuh. Akibat tindakan Pas itu, katanya berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu yang salah faham asas perjuangan Pas menerusi penubuhan negara Islam sehingga timbul isu dua imam dan pertelagahan mengenai hukum hudud.

Apa Pas nak komen tuntutan Khaled itu? Sama-samalah kita tunggu!

PRESIDEN PAS MAIN WAYANG

KENYATAAN Haji Abdul Hadi Awang, tidak berhasrat menjadi Perdana Menteri seperti yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini boleh dianggap pelek, bercakap umpama pelakon baca skrip drama atau filem.

Presiden Pas itu, dipetik sebagai berkata, cita-citanya ialah: Pertama, Pas akan mendahulukan perkara yang diterima oleh masyarakat majmuk, kedua perlu menghormati perbezaan antara kaum dan ketiga, perlu tangani dengan cara saksama.

Pada hemat saya, Haji Hadi bukan tidak mahu jadi Perdana Menteri. Tetapi mungkin dia sendiri rasa was-was peluang itu tertutup. Khabarnya sudah tersedia orang tertentu yang sekian lama 'mengidam' jawatan itu.

Kerana itu Haji Hadi awal-awal lagi berlakon, berpura-pura 'main wayang' untuk tontonan umum, atau Haji Hadi terpaksa beraksi demikian kerana dia sendiri terasa dirinya tidak berpeluang, atau cuma nak uji sokongan pengikut-pengikut Pas terhadap dirinya.

Kita akur dakwaannya bahawa Pas tidak sama dengan UMNO. Bagaimanapun UMNO adalah parti keramat orang Melayu dan masih relevan sebagai tunggak Barisan Nasional(BN) serta terbukti banyak berjasa kepada negara, bangsa dan Islam.

Kita ucapkan syabas kepada Ustaz Haji Hadi di atas pendiriannya. Tetapi jangan pula bercakap tak serupa bikin!

Wednesday 8 June 2011

MAT SABU TUNJUK BELANG

NAMPAKNYA Timbalan Presiden Pas yang baru, Mohamad Sabu mula tunjuk belang. Selang beberapa jam sahaja sah menang jawatan, dia ajak rakyat turut serta dalam perhimpunan gerakan bersih kedua yang dirancang pada 9 Julai depan.

Dia juga meminta ahli-ahli dan para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beramai-ramai menghadiri perhimpunan yang diatur untuk mendesak kerajaan melaksanakan sistem demokrasi dan adil dalam proses pengundian pilihan raya

Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, dengan tegas menyifatkan perhimpunan itu sebagai tindakan terdesak pakatan pembangkang. Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Apa yang pasti perhimpunan tersebut tentu tidak akan diberi kelulusan oleh kerajaan. Sebab itu Hishamuddin mahu pihak penganjur bertanggungjawab sekiranya perhimpunan itu diadakan mengganggu ketenteraman awam.

Jadi, sebagai rakyat yang sudah matang dan berfikiran waras, pandai-pandailah membuat congakan sendiri wajarkah anda ikut serta dalam perhimpunan tersebut. Jangan mudah terpengaruh dan terjebak sehingga menyusahkan diri sendiri.

Jangan harapkan yang disokong nanti membawa rebah!!

PAS KETINGGALAN 60 TAHUN

KENYATAAN Mohamed Nazri Aziz menarik bahawa UMNO tidak bimbang dengan penguasaan golongan Anwarinas dalam Pas. Pandangan itu boleh diterima kerana UMNO sudah sekian lama bertahan sebagai tunjang Barisan Nasional memerintah negara ini.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga yakin tugas untuk mengalahkan Pas lebih mudah lagi. Apa yang dibimbanginya jika golongan ulama menerajui Pas kerana golongan itu mendapat sokongan rakyat berbanding golongan profesional
Memetik pandangan Nazri, UMNO tidak bimbang malah, ia memudahkan lagi kerja UMNO pada pilihan raya umum nanti.

Menurutnya,UMNO tidak bimbang, malah ia memudahkan tugas pada pilihan raya umum. UMNO lebih bimbang kepimpinan ulama kerana sedar masih wujud elemen dalam masyarakat Melayu bahawa perjuangan Pas untuk negara Islam adalah betul.

Pada pendapat Nazri, sekiranya Pas masih mengekalkan kepimpinan ulama, UMNO akan menghadapi perlawanan yang sukar dan sengit , tetapi apabila pucuk pimpinan beralih kepada golongan profesional, UMNO yakin tugas akan menjadi semakin mudah.

Bak kata Nazri, Pas baru sahaja mengubah perhatian untuk membina sebuah negara berkebajikan walhal sebenarnya telah dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sejak 60 tahun yang lalu.

Hujah Ahli Parlimen kawasan Padang Rengas itu masuk akal, Pas mengubah konsep perjuangannya adalah kerana yakin akan memnangi pilihan raya umum kelak.

Ulasan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, terbukti Pas akhirnya mengakui apa yang dilakukan oleh UMNO dalam membangunkan negara ini adalah tepat.

UMNO PERLU IMEJ BARU?

SUATU saranan yang menarik bagi UMNO merubah imej luarannya supaya rakyat khususnya di kalangan bukan Islam memberi keyakinan penuh kepada kepimpinan parti untuk terus menerajui negara.

Menurut Senator Dr Mashitah Ibrahim, yang membuat saranan itu, walaupun pada dasarnya, UMNO tidak lari dari konsep memperjuangkan Islam, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada keperibadian parti.

Adalah diakui seperti yang diperkatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, memang UMNO sejak dahulu lagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara sebagai tunggak utama, namun dilihat imej itu boleh ditukar supaya bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan.

Dr Mashitan menjelaskan Islam yang dibawa UMNO adalah Islam sederhana dan tidak menakutkan golongan bukan Islam dan Islam dibawa UMNO adalah Islam yang boleh diterima umum.

Walaupun Dr Mashitah tidak berhasrat mencadangkan perkara berkaitan kepada pihak atasan, tetapi dirasakan molek bagi pucuk pimpinan UMNO mengkaji dan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya.