My Add

Thursday 31 January 2013

Mustahil bersih 100 peratus: SPR


PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Januari, 3013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa berusaha memastikan daftar pemilih dibersihkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagaimanapun berkata, mustahil untuk daftar pemilih dibersihkan 100 peratus.

“Setiap hari kita memang akan bersih daftar pemilih. Namun, tiada negara di dunia ini yang daftar pemilihnya bersih sepenuhnya.

“Jika hari ini SPR membersihkan daftar pemilih, esok lusa mungkin ada yang meninggal dunia atau dilucutkan kewarganegaraan. Maka, kita sentiasa berusaha mengemaskini maklumat pemilih,” katanya selepas melancarkan laman web www.pru13.gov.my, hari ini.

Katanya, SPR juga tidak boleh mengubah daftar pemilih sewenangwenangnya, sebaliknya perlu mengikut undang-undang.

“Kita hanya akan mengubah maklumat jika mendapat permohonan daripada pengundi. Misalnya, mereka perlu memaklumkan kepada SPR jika sudah bertukar alamat.

“Sekiranya semua pengundi mengemaskini maklumat masing-masing, saya yakin daftar pemilih akan lebih bersih dan telus. Setakat ini jumlah pengundi yang telah mendaftar ialah sebanyak 13.3 juta orang,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, sebanyak RM400 juta diperuntukkan bagi persediaan menghadapi PRU13 kelak berbanding RM250 juta pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).

“Kos ini termasuk tempahan dakwat kekal yang akan dilaksanakan dalam PRU13 dan pelbagai persediaan-lain.

"Tidak boleh bandingkan kos ini dengan PRU12 kerana ia dilakukan lima tahun lalu. Banyak perubahan yang berlaku, malah kita juga telah menambah jumlah petugas SPR seramai 240,000 orang," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas sambutan Chap Goh Mei, Abdul Aziz berkata, semuanya tertakluk kepada izin Sultan Selangor.

“Sudah tertakluk dalam undang-undang, jika Sultan Selangor memberi keizinan maka Dun Selangor boleh dibubarkan.

“Namun, Kerajaan Negeri Selangor perlu ingat bahawa tarikh pilihan raya masih dibawah kuasa SPR,” katanya. - Sinar Harian
Nama Datuk Eddy Choong akan diabadikan di Akademi Badminton

GEORGETOWN, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Kementerian Belia dan Sukan bercadang mengabadikan nama lagenda badminton negara, Datuk Eddy Choong Ewe Beng pada gelanggang di Akademi Badminton di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat peringkat kementerian dan kabinet akan datang.

"Kita di peringkat terakhir untuk membina Akademi Badminton di Bukit Kiara. Mungkin di sana banyak tempat sama ada gelanggang, gelanggang utama yang boleh kita namakan di atas nama tokoh badminton dan sudah tentu nama Datuk Eddy Choong tidak boleh ditinggalkan.

"Sebelum ini pun kita telah abadikan nama Datuk Nicol Ann David bagi pusat squash iaitu Arena Nicol David," katanya selepas memberi penghormatan terakhir di rumah mendiang di Jalan Bell di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak bagi menghargai jasa lagenda badminton negara itu.

Ahmad Shabery menyifatkan mendiang sebagai seorang penggerak semangat rakyat Malaysia kerana berjaya mengubah pemikiran bahawa sukan badminton merupakan sukan yang boleh diterokai dan dikuasai orang Asia.

"Beliau mengubah pemikiran dunia badminton yang selama ini mengganggap permainan ini dikuasai oleh orang Eropah kerana orang Eropah menganggap mereka mempunyai kelebihan dari segi ketinggian, saiz badan yang besar.

"Tetapi Eddy Choong yang dianggap kecil pada waktu itu dan tidak mungkin dapat mengalahkan orang yang berbadan besar berjaya mengalahkan mereka. Orang kecil, tetapi bersemangat besar mampu mengalahkan kuasa besar," katanya.

Eddy Choong, 83, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pendarahan di dalam perut di pusat pakar Loh Guan Lye di sini, Isnin lalu.

Mayat mendiang dijadual dibakar di Krematorium Batu Gantung, esok pada 2 petang. - BERNAMA
CUEPACS mahu pegawai kontrak diserap, tidak perlu kajian

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu penjawat awam berstatus kontrak yang sudah lama berkhidmat diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, tidak perlu sebarang kajian dibuat terhadap masalah yang mereka hadapi kerana pekerja terbabit sudah lama berkhidmat sehingga ada yang melebihi 10 tahun.

"Ini bukan lagi zaman kajian kerana isu itu sudah diperjuangkan sejak sekian lama," katanya selepas menghadiri bengkel bersama Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-Pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mula mengadakan perbincangan dengan wakil pegawai berkaitan dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Jawatankuasa itu akan mengemukakan pandangan dan membuat syor tertentu kepada kerajaan sekiranya ia dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah pegawai kontrak.

Menurut Omar, nasib kira-kira 50,000 pegawai lantikan kontrak ini perlu diberi perhatian kerana mereka berhak mendapat keistimewaan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam lain.

"Berikan mereka keceriaan, lantik mereka ke jawatan tetap kerana mereka ada tanggungjawab, ada keluarga," katanya. 

Selain itu, Omar berkata, CUEPACS turut menerima laporan berhubung kekosongan jawatan di sesuatu jabatan, namun ia akhirnya diisi 'orang luar' sama ada graduan atau calon yang mempunyai 'orang dalam', sekali gus menafikan hak pekerja berstatus kontrak.

Tegas beliau, pekerja berstatus kontrak perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan bertaraf tetap.

Sementara itu, CUEPACS katanya, sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk diadakan satu perhimpunan penjawat awam bersama Perdana Menteri bagi membincangkan beberapa isu.

Antara isu yang akan dibangkitkan termasuk gaji maksimum, imbuhan tetap perumahan, skim bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan menaikkan taraf gred.

Dalam pada itu, CUEPACS akan mengadakan perjumpaan bersama jurufoto dan jurukamera dalam perkhidmatan awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan pada 5 Februari depan bagi membincangkan masalah berbangkit, katanya.

"Sebelum ini banyak janji nak naik taraf gred mereka. Tetapi sehingga ke hari ini tidak tahu (keputusannya). Akhirnya mereka berbalik kepada CUEPACS.

"Mereka memerlukan skim yang lebih baik dan diberi insentif khas kerana cabaran jurufoto, jurukamera dan juruteknik bukan seperti dulu," kata Omar. - BERNAMA
Rogol: Bekas anggota tentera kekal dipenjara 20 tahun, tujuh sebatan

KUALA LUMPUR. KHAMIS, 31 Januari, 2013: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan yang dikenakan terhadap bekas anggota tentera yang didakwa merogol seorang kerani selepas melanggarnya dengan sebuah kereta, dua tahun lalu.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak rayuan tertuduh, Che Mohd Sufian@Che Bastian Che Rashid, 31, dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya P.Viknesvaran dan peguam Adenan Ismail.

Amelia, dalam penghakimannya berkata Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid tidak terkhilaf ketika mensabitkan tertuduh atas pertuduhan yang dihadapi dan menjatuhkan hukuman terhadapnya pada 13 Disember 2011.

Beliau berkata, faktor mitigasi yang dikemukakan Adenan bahawa anak guamnya kehilangan pekerjaan selepas disabitkan bersalah bukanlah faktor mitigasi yang diambil kira mahkamah kerana ia adalah akibat perbuatan yang dilakukannya sendiri.

Tertuduh didakwa merogol wanita berusia 31 tahun itu di sebuah rumah di Jalan AU 25/26, Ampang antara jam 7.20 pagi dan 8.30 pagi, 20 November 2011.

Berdasarkan perbicaraan kes, ketika mangsa sedang berjalan di Jalan Gurney untuk ke tempat kerja, tiba-tiba dia dilanggar sebuah kereta milik tertuduh dan kemudian mangsa jatuh lalu tertuduh mempelawa untuk membawanya ke hospital.
Namun, mangsa tidak dibawa ke hospital sebaliknya dibawa ke rumah tertuduh.

Sejurus tiba di rumah itu, tertuduh membenamkan muka mangsa di atas tilam dan mengikat tangan mangsa ke belakang dengan menggunakan pita pelekat lalu merogolnya.

Pada 7 Ogos tahun lalu tertuduh memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengurangkan hukuman. - BERNAMA
Dadah bernilai RM100,000 dirampas di Kuala Perlis

KANGAR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis merampas 1,744.5 gram dadah termasuk 1,725 gram disyaki ketamin dan 19.5 gram disyaki heroin yang dianggarkan bernilai RM100,000 di sebuah rumah di Kuala Perlis, semalam.

Turut ditahan ialah lima lelaki termasuk seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Kampung Tandiap, Seberang Ramai kira-kira jam 4.45 petang.

Ketua Polis Negeri, Superitendan Asisten Zull Aznam Harun, berkata rampasan dan tangkapan itu dibuat hasil intipan kira-kira sebulan berdasarkan maklumat tentang kegiatan mengedar dadah di sekitar negeri ini dan di luar Perlis.

Beliau berkata, selain pelajar berkenaan, yang lain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.

Zull Aznam berkata, empat dari suspek didapati positif morfin sementara seorang lagi positif methamphetamine.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,160 dan empat telefon bimbit yang semuanya disyaki hasil dari jualan dan aktiviti dadah. - BERNAMA
Pekerja kafe siber bebas tuduhan bakar pintu rumah pengarah syarikat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Januari, 2013:: Seorang pekerja pusat internet dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada tuduhan melakukan khianat dengan membakar pintu sebuah rumah pengarah syarikat, tahun lalu.

Majistret Nurul’Ain Abdul Rahim membuat keputusan itu terhadap Mohd Abu Barzah Ahmad Zakki, 29, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ketika membuat keputusan itu, Nurul’Ain berkata keterangan tertuduh yang menyatakan dia berada di tempat kerja pada masa kejadian merupakan fakta yang benar.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Abu Barzah didakwa melakukan khianat dengan cara membakar pintu rumah milik Ahmad Shahrizal Ya Shak, 34, menyebabkan kerugian RM50 di Seksyen 4, Wangsa Maju dekat sini pada jam 8.30 pagi, 28 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni manakala tertuduh diwakili peguam Wan Mohd Shamril Afzam Mohamed Hasim. - BERNAMA
Banjir di Queensland ragut nyawa pekerja ladang warga Malaysia, Taiwan

MELBOURNE, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Seorang warga Malaysia dan seorang warga Taiwan yang memandu berasingan masing-masing menuju ke sebuah ladang jagung di Queensland, maut selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai yang melimpah di Lockyer Valley, awal pagi Ahad lalu.

Andrew Leong, 34, dari Subang Jaya, Selangor dan Pan Yukun, 25, dari Taiwan memandu melintasi Sandy Creek berhampiran Gatton, beberapa minit sebelum anak sungai itu melimpah, dalam tragedi berganda yang menjadikan jumlah kematian kepada enam orang, akibat banjir di Queensland.

Mayat Leong ditemui di dalam keretanya selepas ditarik keluar dari Sandy Creek, menurut laporan akhbar The Australian.

Inspektor Polis Queensland, Richard Kroon, berkata tidak dapat dipastikan sama ada kereta itu dipandu berturutan, atau sama ada kedua-dua kenderaan itu memasuki anak sungai itu pada waktu berbeza, namun pemandunya gagal menyedari bahaya sehinggalah keadaan sudah terlambat.

Kroon memberitahu akhbar berkenaan tambak itu terkenal sebagai kawasan banjir kilat, yang memang dimaklumi penduduk setempat, namun mungkin tidak kepada pekerja asing yang menuruni kawasan itu untuk memetik buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Aliran air di situ agak deras," katanya. "Saya rasa ini mungkin andaian yang munasabah, bahawa mereka yang tidak biasa dengan kawasan ini, mungkin akan berdepan satu kejutan.

"Hujung minggu lalu, hujan lebat mencurah-curah membasahi Lockyer Valley, mengingatkan penduduk setempat kepada banjir besar yang melanda wilayah ini pada Januari 2011, mengorbankan 19 orang," katanya.

Dalam tempoh 10 jam sebelum Leong dan Yukun memulakan perjalanan masing-masing, Sandy Creek, anak sungai yang lazimnya tenang dan aman dengan aliran air perlahan, tiba-tiba meningkat hingga ke paras 3.2 meter. - BERNAMA
Syukurlah nikmat keamanan: Rosmah

KUANTAN, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Rakyat Malaysia perlu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang mereka kecapi kerana di negara tertentu, rakyatnya hanya mampu mengecapi keamanan dan kemakmuran dalam mimpi, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Berkongsi pengalamannya ketika menjejakkan kaki ke Semenanjung Gaza bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, beliau berkata golongan ibu di sana tidak pernah dapat memastikan anak-anak mereka yang pergi ke sekolah, akan pulang dengan selamat ke rumah.

"Saya dimaklumkan keadaan di sana, apabila anak hendak ke sekolah, ibu-ibu akan cium anak, memeluk anak dengan erat sehingga menangis, kenapa begitu? Kerana mereka tidak pasti anak mereka akan pulang ke pangkuan," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung ke-13, Kelab Kebajikan dan Pendidikan Al-Wardah Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat di negara ini seharusnya bersyukur dengan apa yang dikecapi dan melihat kesengsaraan rakyat Palestin sebagai tanggungjawab bersama membantu mereka.

"Di sana anak-anak membesar dengan makan tak cukup, hospital tidak selesa, jalan raya berlubang, bangunan sekolah tidak selesa.

"Mereka tidak pernah boleh memilih, tidak boleh memilih apa yang hendak dimakan, tidak boleh memilih sekolah. Di negara kita, anak-anak sampai kena paksa makan," katanya.

Beliau berkata, apa saja kerumitan dan kesulitan yang dihadapi rakyat di negara ini tidaklah seberat yang dihadapi rakyat Palestin.
"Di sini, kalau bas atau teksi lambat pun kita dah marah, di sana (Palestin), bas dan teksi tak ada pun," katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu rasional dan tidak beremosi dalam memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti dan tidak mudah terpedaya dengan agenda pihak tertentu yang tidak pernah bersyukur dengan nikmat hidup di negara Malaysia yang aman ini.

"Di sana (Palestin), hanya keamanan di fikiran mereka, di negara kita, janganlah hanya fitnah di fikiran kita," katanya.

Mengenai pilihan raya umum, Rosmah berkata sekalipun beliau insan paling rapat dengan Perdana Menteri namun beliau tidak pernah dimaklumkan berkenaan tarikh pilihan raya itu.

Secara berseloroh, Rosmah berkata: "Masa tidur pun (Perdana Menteri) tak cakap tarikh pilihan raya, saya pun tak tahu bila pilihan raya, saya ingatkan PM akan cakap-cakap masa tidur, tapi tak juga," katanya. - BERNAMA
Guru perlu bantu hindar penularan LGBT: Mohd Puad

BUKIT MERTAJAM, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Timbalan Menteri Pelajaran, Mohd Puad Zarkashi berkata, guru-guru perlu membantu memberi penjelasan dan pemahaman mengenai gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kepada pelajar agar mereka tidak mudah terjerumus dengan gejala negatif yang kian berleluasa itu.

Beliau berkata, walaupun tiada mata pelajaran khusus disediakan, tetapi guru-guru boleh menggunakan mata pelajaran kesihatan dan reproduktif sosial secara kreatif, untuk memberi penjelasan mengenai kesan negatif gejala itu.

"Tugas dan tanggungjawab seorang guru hari ini bukan sekadar memahami cabaran dalam isu-isu pendidikan atau mendidik pelajar di dalam bilik darjah, tetapi perlu memahami dan menangani cabaran isu-isu sosial seperti penularan gejala LGBT.

"LGBT bukan masalah bagi satu kelompok bangsa atau agama sahaja tetapi ia telah menjadi masalah global, pelbagai usaha mengekang gejala ini masih diteruskan bagi menghindar budaya songsang itu terus memusnahkan struktur sosial," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di Dewan Mutiara, Politeknik Seberang Perai, Permatang Pauh di sini hari ini.

Mohd Puad berkata, seminar kali kedua diadakan di peringkat negeri Pulau Pinang itu adalah yang ke-21 untuk seluruh negara. Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan Kementerian Pelajaran Malaysia mengalu-alukan penganjuran seminar seperti itu.

"Saya yakin dengan adanya seminar seperti ini, pengetahuan mengenai gejala LGBT dapat diperluas, dan gejala ini dapat dicegah daripada terus menular hingga merosakkan struktur sosial sesebuah negara," katanya. 

Seminar sehari anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu dihadiri lebih 1,000 peserta terdiri daripada guru kaunseling, guru hal ehwal pelajar, guru pendidikan kesihatan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan oleh tiga orang ahli panel iaitu Ketua Pengarah Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Arif Raja Ali (Liberalisasi - Cabaran Masa Kini) dan Perunding Kaunseling dan Motivasi Hushim Salleh (Pengenalan LGBT- Overview dan Simptom LGBT).

Turut diadakan ialah sesi perkongsian pengalaman dengan individu yang pernah terbabit dengan gejala LGBT yang dikendalikan oleh Hushim. - BERNAMA
Insurans RM15,000 lindungi bomba sukarela

Oleh AZRAI MOHAMMAD

PUTRAJAYA,  KHAMIS, 31 Januari, 2013:Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan melaksanakan skim insurans perlindungan bernilai RM15,000 kepada setiap ahli bomba sukarela sekiranya mereka ditimpa kemalangan atau meninggal dunia ketika bertugas.

Pengarahnya, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan jabatan tersebut dan skim insurans itu dijangka mula dilaksanakan pada Mac ini.

“Langkah ini merupakan inisiatif jabatan untuk memperkasakan perkhidmatan bomba sukarela yang sentiasa berkerjasama dengan bomba," katanya selepas merasmikan perbarisan tahunan JBPM di sini hari ini. - UTUSAN
Ops Bantu IV sempena Tahun Baharu Cina

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melancarkan Ops Bantu VI di beberapa kawasan di jalan persekutuan dan negeri bagi membantu pengguna jalan raya yang ditimpa kemalangan atau mengalami kesulitan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sulaiman Keling berkata, rondaan bagi fasa pertama Ops itu akan bermula pada 6 hingga 9 Februari ini sementara fasa kedua mulai 13 hingga 17 Februari.

Katanya, seramai 3,144 anggota akan terlibat dalam operasi itu menggunakan 194 buah kenderaan terdiri daripada 144 kenderaan pacuan empat roda dan 50 buah motosikal. - UTUSAN
Surat arahan hantar MyKad ke Sabah, palsu

PUTRAJAYA, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menjelaskan surat arahan yang didakwa kononnya dikeluarkan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta pengarah bahagian dan daerah menghantar kad pengenalan yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan ke Sabah, adalah surat palsu.

Beliau berkata JPN tidak pernah mengeluarkan surat arahan seumpama itu dan menyifatkan tindakan itu lebih bermotif politik bagi menjejaskan imej kerajaan, lebih-lebih lagi dalam suasana menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Justeru katanya satu laporan polis berhubung surat palsu itu akan dibuat Ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said hari ini.

"Ia merupakan surat palsu, tuduhan yang dibuat oleh pihak tertentu. Itulah suasana landskap politik hari ini. Saya minta orang ramai yang majoritinya tiada kepentingan politik supaya jangan terikut-ikut dengan tuduhan seperti itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Semalam Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar meminta penjelasan JPN serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat yang didakwa dikeluarkan pengarah bahagian kad pengenalan JPN kepada semua pengarah negeri dan daerah di seluruh negara.

Menurut Mahfuz surat arahan yang didakwa ditandatangani Pengarah Bahagian Kad Pengenalan, Md Solehan Omar dari ibu pejabat JPN di Putrajaya bertarikh 14 Disember 2012 dan dihantar kepada semua pengarah JPN peringkat negeri dan daerah. - BERNAMA
Malaysia perlu tumpu eksport khusus

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Malaysia yang berpotensi besar bersaing dengan negara maju perlu memberi penumpuan kepada eksport produk khusus.

Pemegang Kerusi Kehormat Tun Ismail Mohamed Ali dalam bidang Pelaburan dan Kewangan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Erik S. Reinert berkata, adalah tidak baik bagi sesebuah negara terlalu bergantung kepada skop eksport yang besar untuk jangka masa panjang.

"Malaysia perlu membangunkan produk unik yang masih belum berkembang dan cuba untuk membawanya ke luar. Contohnya seperti panel solar yang ketika ini dibangunkan oleh China.

"Fokus dan penumpuan pada segmen tertentu dilihat lebih berjaya. Contohnya seperti Jerman yang menjadi pengeluar terbesar makanan ikan akuarium dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk Kejatuhan Barat dan Kebangkitan Asia anjuran Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI), di sini hari ini. - UTUSAN
Malaysia perlu agresif dalam promosi produk di Bahrain

MANAMA, RABU, 30 Januari, 2013: Malaysia perlu lebih agresif dalam mempromosi produknya di Bahrain untuk mengimbangi lebihan dagangan yang kini memihak kepada negara kepulauan ini.

Duta Malaysia ke Bahrain, Datuk Ahmad Shahizan Abd. Samad berkata, perdagangan dua hala setakat November tahun lepas berjumlah AS$290 juta (RM873 juta) dengan eksport Bahrain ke Malaysia bernilai AS$220 juta (RM662 juta) manakala eksport Malaysia ke Bahrain hanya bernilai AS$60 juta (RM181 juta).

Eksport utama dari Bahrain ialah aluminium, bijih dan tembaga manakala eksport Malaysia ialah makanan diproses, perabot serta barangan elektrik dan elektronik, katanya kepada pemberita dalam satu wawancara.

Ahmad Shahizan berkata, minyak sawit Malaysia masih belum berjaya memasuki pasaran di sini manakala Petronas juga tidak menyertai industri minyak dan gas negara teluk ini.

Beliau menyarankan agar Petronas dan syarikat-syarikat Malaysia yang lain menggunakan Bahrain sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam pasaran negara-negara teluk, terutamanya Arab Saudi yang kaya dengan minyak.

Kata beliau, perniagaan Malaysia boleh memanfaatkan kelebihan Bahrain sebagai negara yang paling mudah dijadikan tapak untuk menjalankan perniagaan di Timur Tengah dan untuk meneroka rantau ini, terutama Arab Saudi.

"Ada banyak peluang bagi Bahrain menjadi hab di rantau teluk dan Utara Afrika," katanya.

Ahmad Shahizan juga menyentuh tentang perlunya perjalanan udara di antara kedua-dua negara ditambah baik termasuk menyambung semula penerbangan terus dari Malaysia ke Bahrain berikutan penggantungan perkhidmatan terus Gulf Air ke Malaysia pada Mac tahun lepas.

Duta itu berkata, beliau berhasrat untuk membincangkan perkara itu dengan kerajaan Bahrain dan meyakinkan pihak-pihak berkuasa untuk menyambung semula penerbangan terus syarikat penerbangan nasional negara itu ke Malaysia.

Malaysian Airline System Bhd. juga disarankan untuk mempertimbangkan perkhidmatan yang sama untuk mengekalkan kemudahan perjalanan di antara kedua-dua negara.

Mengenai pembangunan pelaburan Malaysia di Bahrain, beliau berkata, pada masa ini ada beberapa syarikat Malaysia yang beroperasi di Bahrain dalam perkhidmatan kewangan Islam dan pembinaan serta sektor tenaga.

Antaranya, Maybank dan CIMB telah mengadakan operasi di sini, masing-masing pada 2002 dan 2007 untuk menyertai sektor perkhidmatan kewangan negara ini.

Dalam sektor pembinaan, kata beliau, Chase Perdana Sdn. Bhd. sedang membina 3,000 hingga 5,000 unit perumahan rakyat di Bahrain manakala Malakoff Corp. Bhd. bertapak kukuh dalam sektor tenaga melalui anak syarikat milik 40 peratusnya, Hidd Power Company BSC.

Beberapa pelabur dari Malaysia juga akan menubuhkan perniagaan masing-masing di negara ini tidak lama lagi dalam sektor pelayanan, pendidikan dan pengurusan sisa buangan. - BERNAMA
RDA tarik minat pelabur Indonesia


JAKARTA, RABU, 30 Januari, 2013: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memperkenalkan potensi wilayah berkenaan kepada pelabur-pelabur Indonesia.

Program memperkenalkan Iskandar Malaysia kepada pelabur-pelabur Indonesia dilihat akan memberi manfaat kepada golongan berkenaan yang selama ini memilih meluaskan empayar perniagaan mereka di negara jiran, Singapura.

Sehubungan itu, usaha menarik pelabur Indonesia akan membuka ruang kerjasama yang lebih mudah dengan rakan kongsi mereka di Singapura untuk mengintai peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Iskandar Malaysia.

Untuk tahun ini, IRDA akan menggandakan usaha mempromosi wilayah itu di beberapa bandar lain di seluruh Indonesia.

Sebagai permulaan, satu misi mempromosikan Iskandar Malaysia diketuai oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim bermula esok dan 1 Februari ini diadakan di kota Surabaya. - UTUSAN
AS didakwa beri 'lampu hijau'

 *BANGUNAN di Jouret al-Shayah, Homs musnah teruk akibat serangan tenteraSyria, kelmarin. - REUTERS

WASHINGTON, RABU, 30 Januari, 2013: Satu e-mel yang bocor oleh penggodam Malaysia, mendedahkan kononnya White House telah memberi 'lampu hijau' kepada penggunaan senjata kimia dalam serangan di Syria, yang kemudiannya akan dipersalahkan kepada tentera Presiden Bashar al-Assad, bertujuan menarik negara lain menyertai tindakan ketenteraan antarabangsa di negara itu.

Satu laporan yang dikeluarkan pada Isnin lalu mengandungi pertukaran e-mel antara dua pegawai kanan di Britam Defence, syarikat kontraktor yang beribu pejabat di Britain di mana satu skim 'yang diluluskan oleh Washington' itu mendedahkan Qatar akan membiayai pasukan pemberontak di Syria untuk menggunakan senjata kimia itu.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada bulan lalu memberi amaran kepada Assad bahawa AS tidak akan berkompromi jika Syria menggunakan senjata kimia ke atas rakyatnya sendiri.

Menurut Infowars.com, e-mel bertarikh 25 Disember itu dihantar daripada Pengarah Pembangunan Perniagaan Britam, David Goulding kepada pengasas syarikat, Philip Doughty.

E-mel itu berbunyi: "Phil...Kita telah menerima satu tawaran baharu. Kali ini tentang Syria lagi. Qatar mencadangkan satu perjanjian yang menarik yang telah mendapat kelulusan Washington.

"Kita perlu menghantar senjata kimia yang berasal dari (Kesatuan) Soviet dari Libya ke Homs, senjata sama yang dimiliki Assad.

"Mereka juga mahu kita menempatkan anggota Ukraine kita yang boleh bercakap Rusia dan membuat rakaman video.

"Saya tidak fikir ini idea yang baik, tetapi jumlah bayaran yang tawarkan agak besar. Apa pendapat anda?. Yang benar, David."

Britam Defence dan Jabatan Negara AS yang dihubungi MailOnline enggan mengulas tentang laporan itu.

E-mel itu dikatakan didedahkan oleh penggodam Malaysia yang turut memiliki resume eksekutif kanan dan salinan pasport Britam Defence melalui pelayan syarikat yang tidak dilindungi, menurut Cyber War News.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), Ban Ki-moon hari ini mengecam 'kedahsyatan berterusan' dalam perang Syria dan menggesa supaya keganasan dihentikan dan lebih banyak bantuan diberi.

"Berapa banyak lagi orang yang akan dibunuh jika situasi ketika ini berterusan. Saya merayu semua pihak, terutamanya kerajaan Syria menghentikan pembunuhan atas nama kemanusiaan," katanya ketika menghadiri sidang derma di Kuwai bagi meningkatkan dana untuk kerja kemanusiaan PBB. - AGENSI
Kemesraan Karpal, Nik Aziz lakonan semata-mata

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Kemesraan yang diperlihatkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh, disifatkan tidak lebih daripada lakonan kedua-dua belah pihak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berpendapat, agak sukar untuk melihat keikhlasan dalam kerjasama politik kedua-dua pemimpin parti pembangkang itu kerana masing-masing mempunyai ideologi yang terlalu berbeza dan penyokong fanatik tersendiri.

"Mereka boleh berlakon supaya masyarakat tengok tiada masalah tetapi realitinya saya fikir mereka susah untuk menyelesaikan dan menyelaraskan pendirian mereka.

"Dalam hal ini, mereka tidak lagi mengira untung rugi kerana matlamat mereka hanya satu iaitu untuk menjatuhkan UMNO, kehendak masing-masing memang berbeza tetapi mereka berpakat asalkan UMNO hancur," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN
Desak Pas Kelantan perjelas dakwaan penemuan minyak di daratan

KOTA BHARU, RABU, 30 Januari, 2013: Kerajaan Pas Kelantan diminta menjelaskan secara terperinci dakwaan penemuan minyak di daratan di beberapa kawasan di negeri ini kerana menimbulkan kebimbangan penduduk.

Perkara itu berikutan tindakan pihak tertentu menampal notis perpindahan peniaga dan penjaja bagi aktiviti cari gali sumber alam tersebut di Pasar Siti Khadijah di sini.

Timbalan Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan, Amir Mukhtar berkata, meskipun Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menafikan menaikkan notis tersebut namun perkara itu masih menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk di negeri ini.

Beliau berkata, ura-ura penemuan minyak itu bukan perkara baharu malah Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa pernah mengeluarkan kenyataan sama pada 2006. - UTUSAN
Sindiket penipuan Love Scam tumpas, 9 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Polis menumpaskan sindiket penipuan internet (Love Scam) yang dikendalikan oleh tujuh lelaki warga Afrika dan dua wanita Filipina selepas seorang wanita warga Hong Kong kerugian hampir RM200,000 ditipu sindiket terbabit tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kesemua mereka berumur antara 25 dan 37 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sebuah pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka pada pukul 12.25 pagi ini.

Syed Ismail berkata, mangsa berumur 37 tahun dan menetap di Hong Kong itu berkenalan dengan seorang anggota suspek yang menyamar sebagai lelaki Inggeris melalui sebuah laman web sejak awal tahun lepas.

"Suspek berjanji untuk mengahwini mangsa dan menggunakan 'ayat-ayat manis' dan cinta untuk memperdaya mangsa sebelum mangsa membuat transaksi pertama sebanyak AS$6,000 (RM18,467) pada Mac tahun lepas ke sebuah akaun bank tempatan milik warga tempatan," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu beberapa bulan selepas berkenalan dengan suspek sebelum membuat laporan polis melalui e-mail kepada JSJK Bukit Aman pada 27 Disember tahun lalu.

"Mangsa juga datang ke Malaysia semalam untuk memberi segala maklumat tentang suspek sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek," katanya.

Dalam serbuan malam tadi, polis merampas sembilan unit komputer riba, 23 buah telefon bimbit pelbagai jenama serta pasport.

Kata Syed Ismail, siasatan mendapati kesemua suspek merupakan pelajar kolej swasta di Melaka dan Kuala Lumpur telah tamat tempoh menginap di Malaysia.

"Suspek ditahan reman bermula hari ini bagi siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA
BN Kedah perlu mandat besar

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR, RABU, 30 Januari, 2013: Melihat senario yang berlaku di Kedah sejak berada di bawah pentadbiran pakatan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum 2008, dengan pelbagai masalah kerana pentadbiran yang lemah, Barisan Nasional (BN) Kedah menjanjikan harapan baru buat rakyat negeri ini sekiranya diberi mandat kembali.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, parti itu memerlukan mandat rakyat sekali lagi, supaya dapat menerajui negeri ini kembali kepada zaman gemilang.

"Kita sedang berada pada satu zaman yang hebat dan serba mencabar, serta peluang yang sangat terbuka luas tetapi sayangnya kerana negeri ini mempunyai pentadbiran yang lemah kekuatan rakyat negeri ini tidak dicetus bagi melonjakkan negeri.

"Rakyat Kedah mahukan perkara yang menjadikan hidup mereka lebih bermakna yang dalam tempoh hampir lima tahun lepas gagal ditunai kerajaan yang memerintah negeri ini sekarang. - UTUSAN
Harga rumah mampu milik tidak munasabah

PULAU PINANG, RABU, 30 Januari, 2013: Barisan Nasional (BN) negeri menyelar tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang menjual rumah mampu milik pada harga mencecah RM400,000 seunit.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata, harga berkenaan tidak menepati matlamat asal projek berkenaan yang mahu melihat rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri.

"Ini menimbulkan persoalan mengapa kerajaan negeri menjual rumah mampu milik pada harga di luar mampu milik. Adakah rakyat mampu membelinya?

"Kerajaan negeri perlu sedar tujuan pembinaan rumah mampu milik bukan bermotifkan keuntungan seperti pihak swasta, tetapi matlamat asalnya adalah untuk membantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada 381 pelajar sekitar daerah Timur Laut yang mendapat keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lepas di sini hari ini - UTUSAN
Penggerak ekonomi global

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *NAJIB Tun Razak melihat replika bangunan Four Seasons Place pada majlis pelancaran Four Seasons Place di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir. - utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berhasrat untuk meletakkan negara sebagai nadi penggerak kepada infrastruktur ekonomi global abad ke-21.

Menurut Perdana Menteri, selaras dengan itu, kerajaan berikrar untuk memacu negara sebagai nadi pasaran dunia yang kukuh selain memiliki sumber kewangan stabil dan kelestarian pembangunan.

"Kita juga mahu menjadi jambatan dalam merapatkan jurang antara dunia barat dan timur. Hasrat-hasrat ini bersandarkan kepada kejayaan program-program transformasi khususnya Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Tahun lalu, kita menyaksikan lebih ramai pelabur memberikan fokus kepada Bursa Kuala Lumpur dan tertarik dengan tawaran awam permulaan (IPO). Sejumlah AS$7.3 bilion (RM22.5 bilion) diperolehi sepanjang sesi IPO manakala pasaran saham ditutup lebih tinggi sehingga 10 peratus berbanding 2011," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan projek pembangunan Four Seasons Place di Jalan Ampang di sini malam ini.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Four Seasons Place yang turut merangkumi Four Seasons Hotel Kuala Lumpur merupakan pembangunan integrasi pertama di Asia Tenggara dan diuruskan oleh Four Seasons Hotel & Resorts.

Pembangunan itu mengandungi ruang niaga mewah, 231 bilik hotel serta kediaman mewah.

Four Seasons Place dijangka siap pada 2017 dan bakal menjadi mercu tanda baharu berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Projek berkenaan merupakan usaha sama antara Sultan Selangor; Pengerusi Venus Assets Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir dan dua individu lain.

Najib memberitahu, berdasarkan matlamat ETP, program transformasi itu meletakkan sasaran pendapatan kasar negara kepada AS$530 bilion (RM1.63 trilion) menjelang 2020 dan menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Selaras dengan itu, kita mahu merancakkan kemasukan pelaburan asing selain meningkatkan permintaan domestik. Oleh itu, transformasi itu juga mampu menjadikan Malaysia berdaya saing dalam rangkaian global dan menjadi lokasi menarik pelabur serta pelancong," tambahnya.

Terdahulu dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin dan Najib menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Venus Assets Sdn. Bhd. dan Four Seasons Hotels & Resorts Asia Pacific Pte. Ltd. sebagai kerjasama membangunkan projek Four Seasons Place Kuala Lumpur. - UTUSAN
Pembangkang dikutuk politikkan kematian William

IPOH, RABU, 30 Januari, 2013: Ketika seluruh negara bersimpati dengan insiden malang yang menimpa William Yau Zhen Zhong, 6, parti pembangkang pula terus mempolitikkan isu tersebut sehingga pada tahap dilihat menghina kematian kanak-kanak malang itu.

Sebuah portal berita propembangkang, Malaysia Chronicle dalam satu artikelnya semalam menggunakan ayat dari kitab Matius 24:28 yang bermaksud 'di mana ada bangkai, di situ burung-burung hering akan berkumpul' bagi memperlekehkan belas kasihan pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap William.

Malah perasaan simpati yang ditunjukkan pemimpin BN digambarkan sebagai mengambil kesempatan meraih keuntungan politik dan menyalahkan kerajaan atas kematian tersebut.

Artikel itu kemudiannya dikongsi Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitternya berbunyi: The Carcass Gatherers: BN politicians rush to cash in on William's death (Himpunan bangkai: Ahli-ahli politik BN berkejar raih keuntungan politik atas kematian William)." - UTUSAN
Undang-undang perkahwinan sejenis Perancis terus dibantah

*BERIBU-RIBU penduduk Perancis mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran anjuran parti haluan kanan, Parti Barisan Kebangsaan (FN) di Paris pada 13 Januari lalu bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan undang-undang perkahwinan sejenis. - AFP

PARIS, RABU, 30 Januari, 2013: Parlimen Perancis, semalam mula memeriksa draf undang-undang perkahwinan sejenis yang dicadangkan, selepas beberapa bulan isu itu mencetuskan debat dan bantahan besar-besaran di seluruh negara ini.

Dalam masa yang sama, beberapa bantahan terhadap cadangan undang-undang itu masih diteruskan, termasuk di jalan-jalan raya di bandar raya ini yang dipenuhi kain rentang, ketika anggota Parlimen mula berbahas tentang undang-undang itu.

Bantahan itu dilihat menjadi benteng terakhir bagi pergerakan anti-homoseksual untuk mempengaruhi Parlimen supaya menyekat reformasi yang dicanang oleh Presiden Perancis, Francois Hollande itu dan berkemungkinan bakal dilaksanakan tahun ini.Menteri Keadilan, Christiane Taubira memberitahu Parlimen ketika perbincangan dimulakan terhadap cadangan itu bahawa pengenalan undang-undang perkahwinan sejenis merupakan suatu 'perlakuan kesaksamaan' untuk semua.

Kerajaan Perancis telah membenarkan isu itu dibahaskan sehingga 10 Februari ini dan undian dijangka diadakan dua hari selepas itu.

Berdasarkan tinjauan pendapat yang dijalankan sebelum ini, cadangan itu menerima pelbagai reaksi daripada penduduk Perancis.

Walaupun majoriti penduduk Perancis menyokong perkahwinan sejenis, Hollande dijangka sukar melaksanakan undang-undang itu seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya pada tahun lalu berikutan kontroversi yang tercetus daripada isu itu.

Satu kempen yang dipimpin oleh gereja Katholik dan disokong oleh kumpulan hak asasi arus perdana mengadakan perhimpunan besar-besaran membantah cadangan itu di Paris dua minggu lalu.

Kira-kira 340,000 dan 800,000 penunjuk perasaan memenuhi ibu negara dalam bantahan besar-besaran tersebut, dua kali ganda jumlah mereka yang menyertai perarakan pro-perkahwinan sejenis yang diadakan di Paris, Ahad lalu. - AFP
Kalimah Allah hak Islam

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


*AHMAD Fairuz Sheikh Abdul Halim (depan, dua kanan) bersama Dr. Hasan Ali (kanan), Nasharudin Mat Isa dan Ismail Mina Ahmad beramah mesra selepas majlis perjumpaan wakil wakil NGO Islam mempertahankan kalimah Allah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Penganut-penganut agama lain tidak mempunyai hak untuk menuntut kesamarataan dalam soal beragama termasuk penggunaan kalimah suci Allah kerana tindakan seumpama itu amat bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan negara ini.

Sehubungan itu bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim meminta penganut-penganut bukan Islam sedar tentang kedudukan tersebut terutama kedaulatan Islam sebagai Agama Persekutuan supaya mereka lebih bijak membawa diri dengan tidak menyentuh isu-isu sensitif. - UTUSAN
DAP 'jaguh' sekat media

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 213: DAP akan menjadi jaguh dalam menyekat kebebasan bersuara terutama melibatkan media jika pakatan pembangkang dapat menguasai Kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengingatkan perkara itu, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) berkata, DAP tidak kisah atau melompat jika media menyiarkan laporan yang 'menghentam' Pas atau PKR.

Tetapi katanya, kepemimpinan parti itu akan melenting kalau mereka diusik meskipun laporan itu berlandaskan fakta.

"Kebebasan media ala Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pulau Pinang memperlihatkan cara beliau mendominasi satu-satu media.

"Itu bukan pendirian beliau sahaja tetapi sebenarnya kepemimpinan DAP. Dia bagi alasan semua media arus perdana adalah alat UMNO untuk menjatuhkan Kerajaan DAP Pulau Pinang, sedangkan media membuat tugas hakiki mereka melaporkan kebenaran. - UTUSAN
Kathavarayan nafi ada peranan dalam pembunuhan Sosilawati

SHAH ALAM 30 Jan. - Walaupun berada di Ladang Gadong pada 30 dan 31 Ogos 2010, R. Kathavarayan menafikan dia mempunyai sebarang peranan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada hari tersebut.

Satu-satunya peranan yang dilakukan pada masa tersebut hanyalah menangkap pemandu kepada pengasas produk kecantikan itu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di samping berada bersama majikannya, N. Pathmanabhan ketika lelaki itu membuang beberapa buah telefon bimbit.

Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes tersebut berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Hakim Datuk Akhtar Tahir pada penghujung pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Hasshahari Johari Mawi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Tertuduh didakwa membunuh Sosilawati, 47; Kamaruddin; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. - UTUSAN
Polis edar gambar 14 individu

Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS

 
 KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Polis mengedarkan 14 keping gambar individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kerana membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun dalam Himpunan Shamsidar di ibu negara pada 12 Januari lalu.

Kesemua individu itu diperlukan sebagai saksi bagi melengkapkan siasatan polis mengikut Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, keterangan 14 saksi itu penting bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan tersebut.

"Kita minta saksi yang gambar mereka telah kita siarkan agar tampil membantu polis. Tindakan membawa kanak-kanak bawah 15 tahun adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kanak-kanak 2001," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini. - UTUSAN
Guan Eng pandang rendah wartawan

PULAU PINANG, RABU, 30 Januari, 2013: Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow menyifatkan tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng enggan menjawab soalan media secara lisan disifatkan memandang rendah keupayaan wartawan.

Beliau menegaskan, sebagai ahli politik, Guan Eng perlu menyalahkan diri sendiri jika apa yang dilaporkan media tidak mencapai maksud sebenar.

"Kalau tidak mahu jawab, saya sarankan beliau jangan berjumpa dan jangan bercakap dengan media.

"Jadi, tidak ada masalah yang akan timbul," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Guan Eng baru-baru ini menyatakan beliau tidak akan menjawab soalan yang diajukan kepadanya secara lisan sebaliknya memilih mengeluarkan kenyataan secara bertulis jika terdapat sesuatu isu.

Minggu lalu dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Guan Eng menjelaskan, langkah itu perlu diambil kerana musim pilihan raya umum semakin hampir dan banyak pihak menunggu peluang 'membelasahnya'. - UTUSAN
'Saya lega digugurkan calon Pas'

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berasa lega dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau akan digugurkan sebagai calon Pas bagi mempertahankan kawasan Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya satu daripada tanggungjawabnya selama ini tidak lagi perlu dipikul selepas pilihan raya umum akan datang.

''Menjadi calon bukan agenda besar bagi saya dan bagi saya juga sama ada kita dicalonkan atau tidak, segala tugas yang diamanahkan hendaklah ditunaikan dengan baik.

''Mudah-mudahan sesiapa sahaja yang diangkat menjadi calon selepas ini dan di mana sahaja mereka dicalonkan, mereka akan dapat meneruskan agenda parti,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam sesi taklimat dan pembentukan Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan di Masjid Negara di sini hari ini.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz mengesahkan Nasharudin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bachok pada PRU-13 nanti.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Nasharudin tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi itu selepas namanya tidak dicalonkan oleh Pas kawasannya sendiri.

Sementara itu menjawab satu soalan, Nasharudin berkata, setakat ini berdasarkan laporan media beliau hanya dipecat sebagai ahli majlis syura dan bukannya ahli parti.

Ditanya desas-desus yang beliau akan dipecat sebagai ahli parti, beliau berkata;

''Saya tidak pasti. Semacam petunjuk saya dipecat itu ada tetapi saya tidak pasti.''

Beliau berkata, setakat hari ini surat pemecatannya secara rasmi sebagai Ahli Majlis Syura Ulama Pas masih belum diterima.

''Saya tidak berbohong jika saya telah terima surat tersebut,'' katanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan tindakan merugikan parti itu ada kaitan dengan tindakannya mengiringi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini.

''Ada kemungkinan, sebab kenyataan terbuka ini (pemecatan sebagai ahli majlis syura ulama) dibuat selepas saya pulang dari Gaza,'' katanya. - UTUSAN
Lagi kematian perusuh di Mesir

*KETIBAAN Morsi (kiri) disambut Canselor Jerman, Angela Merkel di Berlin semalam.

KAHERAH, RABU, 30 Januari, 2013: Seramai dua orang dilaporkan mati dalam pertempuran yang berlaku melibatkan para penunjuk perasaan dan anggota polis berhampiran Dataran Tahrir semalam, kata polis.

Kematian itu menjadikan jumlah kematian akibat keganasan di Mesir menyebabkan lebih 60 orang mati.

Keganasan tersebut berlaku sejak Khamis lalu selepas sejumlah penduduk berhimpun di Kaherah bagi meraikan ulang tahun kedua kebangkitan rakyat.

Kebangkitan rakyat itu menyebabkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden pada 11 Februari 2011.

Identiti kedua-dua mangsa itu masih belum dikenal pasti.

Seorang mangsa dipercayai meninggal di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Keganasan itu juga merebak menjadi tentangan terhadap pemerintahan Presiden Mohamed Morsi yang dipilih menerusi pilihan raya pada pertengahan tahun lalu.

Berikutan kegawatan politik yang dicetuskan para penentang Morsi termasuk parti politik pembangkang berhubung dasar-dasar pemerintah, seorang pemimpin pembangkang, Mohamed ElBaradei menggesa dialog kebangsaan diadakan.

Beliau yang merupakan pemenang Hadiah Nobel Keamanan berkata, semua kumpulan dan parti politik perlu menghentikan kekacauan yang berlaku di Mesir.

Sementara itu, Morsi menegaskan di negaranya akan diperintah berdasarkan kedaulatan undang-undang dan bukannya undang-undang tentera.

Menurutnya, Mesir sedang menuju ke arah pentadbiran yang baik dan mengikut undang-undang dalam negara yang moden.

Beliau berkata, pilihan raya Parlimen akan diadakan dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi.

Morsi berada di Jerman dalam lawatannya ke nagara itu.

Menurutnya, perintah berkurung yang dikenakan di tiga buah bandar di Mesir merupakan satu langkah yang sementara.

Morsi berkata, ia akan ditarik balik selepas situasi stabil kembali semula di Mesir. - Agensi
Bank Rakyat lancar Tutor.com lahir generasi berpengetahuan

 *SABARUDDIN Chik menunjukkan cara pembelajaran secara online kepada sebahagian pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri selepas melancarkan pakej pembelajaran online Tutor.com di Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/MOHD NOOR MAT AMIN

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Bank Rakyat dengan kerjasama Perfisio Solutions Sdn. Bhd. melancarkan laman portal Tutor.com dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan demi melahirkan generasi berpengetahuan dan inovatif.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik berkata, pembinaan laman portal tersebut bertujuan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara di samping memartabatkan pendidikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di negara ini.

"Tutor Online adalah satu pakej pembelajaran dan penilaian dalam talian yang memberi galakan kepada pelajar untuk belajar selepas waktu persekolahan. - UTUSAN
Masalah 50,000 kakitangan kontrak ditangani

PUTRAJAYA, RABU, 30 Januar, 2013: Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani masalah kira-kira 50,000 penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan kerajaan mulai bulan depan.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, usaha itu perlu kerana hanya tiga jabatan itu mempunyai pegawai dan kakitangan kontrak bagi tempoh perkhidmatan sehingga tiga tahun berbanding jabatan lain yang berstatus sambilan atau sementara.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Tiga jabatan tersebut, katanya, adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Penerangan. - UTUSAN
Penguatkuasaan imigresen berasaskan data biometrik

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Jabatan Imigresen Malaysia akan melaksanakan sistem penguatkuasaan berasaskan data biometrik sepenuhnya mulai tahun ini selain beberapa inisiatif sempena sambutan Hari Imigresen Ke-14 esok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Alias Ahmad berkata, tindakan di bawah Pelan Transformasi Jabatan Imigresen Malaysia Fasa ke-2 itu merangkumi pemantapan dan penambahbaikan kesemua aspek jabatan secara menyeluruh termasuk penguatkuasaan.

''Jabatan Imigresen juga akan menubuhkan Bahagian Intelligence dan Analisis yang berfungsi mengumpul maklumat risikan dan membuat analisis data.

''Langkah itu bertujuan untuk membuat tindakan lebih berkesan dalam menjalankan penguatkuasaan termasuk menangani masalah jenayah rentas sempadan serta pemerdagangan dan penyeludupan manusia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN
UPR: Negara dalam pusingan kedua

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Malaysia kini dalam pusingan kedua dalam penyediaan Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) sebelum diserahkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Julai ini.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, Suhakam yang turut terlibat dalam penilaian itu masih mengumpul cadangan dan pandangan awam untuk dijadikan satu bentuk laporan terhadap syor-syor yang telah diterima oleh kerajaan.

UPR adalah satu mekanisme Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) yang mana rekod hak asasi manusia kesemua 192 negara anggota dinilai semula setiap empat tahun setengah.

HRC pula merupakan badan antara kerajaan yang terdiri daripada 47 negara yang peranannya memperkukuhkan promosi dan perlindungan hak asasi manusia di seluruh negara. - UTUSAN
AES beroperasi di musim perayaan

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sebanyak 14 kamera AES akan beroperasi bagi menyokong strategi-strategi penguatkuasaan lain yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak polis.

"Sejak AES dilaksanakan, pemandu telah menunjukkan perubahan sikap terutama semasa memasuki zon operasi kamera AES yang kebanyakannya di kawasan kerap kemalangan.

"Pelaksanaannya juga menunjukkan AES berkesan dalam menyelamatkan nyawa pengguna jalan raya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, seramai 1,500 anggota penguat kuasa JPJ ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan di terminal-terminal dan depoh bas. - UTUSAN
3,925 calon STAM dapat sijil lulus

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

PUTRAJAYA, RABU, 30 Januari, 2013: Seramai 3,925 calon atau 67.4 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 memperoleh sijil sekurang-kurangnya peringkat maqbul (lulus).

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 505 calon atau 3.9 peratus berbanding 3,420 calon pada tahun sebelumnya.

Katanya, calon yang mendapat mumtaz (cemerlang) bertambah seramai 59 orang atau 0.5 peratus, iaitu daripada 326 calon pada 2011 kepada 385 calon pada tahun lepas.

"Calon yang mendapat jayyid jiddan (sangat baik) adalah seramai 1,263 calon, jayyid (baik) seramai 1,868 calon, manakala seramai 409 calon mendapat maqbul.

"Bilangan yang gagal memperoleh sijil STAM juga berkurang seramai 70 calon atau 3.9 peratus, iaitu daripada 1,963 calon pada 2011 kepada 1,893 pada 2012," katanya dalam sidang akhbar pengumuman STAM di sini hari ini. - UTUSAN
Malaysia negara pertama

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, RABU, 30 Januari, 2013: Bahagian Halal Hab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakar sejarah dalam industri halal global apabila muncul sebagai badan persijilan halal pertama di dunia mengguna dan mengesahkan pengeluaran produk farmaseutikal berdasarkan standard farmaseutikal halal pertama dunia, MS2424:2012.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sijil halal tersebut dianugerahkan kepada tiga anak syarikat Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM).

Syarikat tersebut ialah CCM Pharmaceuticals Sdn. Bhd., Upha Pharmaceutical Mfg. (M) Sdn. Bhd. dan Duopharma (M) Sdn. Bhd.

"Lebih 200 produk farmaseutikal CCM berjaya memperoleh pensijilan berprestij tersebut. Ini mewujudkan satu era baru dalam pengeluaran produk farmaseutikal di pasaran di mana elemen halal dapat dikenalpasti dan disahkan melalui logo Halal Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menganugerahkan pensijilan halal berdasarkan standard farmaseutikal halal terulung dunia kepada Pengerusi CCM, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir menjelaskan, logo tersebut dipamerkan pada barangan di kaunter seperti suplemen kesihatan dan ubat-ubatan, produk terapeutik yang tidak memerlukan sebarang preskripsi daripada doktor atau ahli farmasi.

"Sebagai perintis dalam penggunaan sistem baharu ini, kami berharap lebih banyak syarikat dalam industri farmaseutikal serta badan persijilan yang diiktiraf di seluruh dunia turut serta membekalkan produk yang selari dengan kehendak Islam," katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam memahami bidang perubatan dan farmaseutikal serta bijak membuat keputusan kerana mereka telah diberikan mandat untuk menjauhi produk yang haram serta mengandungi bahan diragui.

Jelasnya, pensijilan halal merupakan inisiatif sukarela dan terpulang kepada syarikat farmaseutikal untuk mendapatkan pensijilan halal bagi memenuhi kehendak umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia yang berjumlah 1.8 bilion.

"Semua pemegang sijil 'Halal Malaysia' harus komited dalam mengekalkan nilai standard yang tinggi sepanjang masa, bukan pada waktu penilaian atau pembaharuan sijil setiap dua tahun.

"Bagaimanapun, Bahagian Hab Halal Jakim melakukan pengawasan audit sepanjang tempoh sah laku sijil halal, jaminan seharusnya datang daripada syarikat itu sendiri," katanya.

Tambahnya, nilai eksport produk halal kini meningkat 5.1 peratus daripada RM35.5 bilion nilai import negara pada 2011 dan dengan adanya pensijilan halal farmaseutikal, kerajaan yakin jumlah tersebut akan meningkat. - UTUSAN
Susu ibu penyelamat anak gajah 'Baby Joe'

KOTA KINABALU, RABU, 30 Januari, 2013: Antara punca utama anak gajah spesies Pygmy Borneo berusia tiga bulan terselamat berbanding 10 ekor yang lain kerana haiwan itu masih menyusu badan.

Pegawai Veterinar Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Dr. Rosa Sipangkui berkata, penemuan awal itu berdasarkan kelebihan susu ibu gajah yang mengandungi antibodi mencukupi.

Walau bagaimanapun beliau menambah, keputusan sebenar sama ada haiwan yang diberi nama 'Baby Joe' itu bebas daripada racun tikus atau sebaliknya hanya dapat diketahui selepas keputusan pemeriksaan menyeluruh dilakukan.

"Baby Joe seberat 120 kilogram itu kini berada dalam keadaan selamat walaupun berat badannya sedikit susut kerana kurang minum susu, berkemungkinan masih trauma akibat tragedi itu.

"Kemungkinan juga haiwan itu penat kerana perjalanan jauh kira-kira 800 kilometer untuk memindahkannya dari Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau ke sini," katanya ketika ditemui di taman hidupan liar itu di sini hari ini. - UTUSAN
Heret ke muka pengadilan

KOTA KINABALU, RABU, 30 Januari, 2013: Kerajaan Negeri Sabah memandang serius tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang meracun 10 ekor gajah spesies terancam, Pygmy Borneo berusia antara empat dan 20 tahun beberapa minggu lalu di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau dekat sini.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Musa Aman yang amat sedih dengan kejadian itu telah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar membuat siasatan segera secara terperinci dan menyeluruh.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab ini perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan tegas," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, tujuh gajah betina dan tiga jantan berusia antara empat dan 20 tahun itu ditemui mati dalam beberapa kejadian sejak 29 Disember tahun lalu dan terbaru pada 25 Januari lalu.

Musa berkata, kerajaan negeri selama ini amat komited dalam usaha memelihara dan melindungi spesies terancam kerana haiwan itu merupakan sebahagian daripada kekayaan khazanah dan keunikan hidupan liar di negara ini. -  UTUSAN
Kabinet lulus PPPM 2013-2025

 *MOHYIDDIN Yassin bersama para jemputan melakukan 'Yee Sang' pada majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-21 dan Sumbangan Untuk Tabung Bangunan Hua Zong di Sunway Resort, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Kabinet hari ini meluluskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi ke arah memperkasakan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kandungan terperinci laporan itu akan disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dalam waktu terdekat.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa hari ini Kabinet telah menerima dan meluluskan PPPM 2013-2025," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-21 dan Kempen Rayuan Derma Untuk Mengisi Tabung Pembinaan Bangunan Hua Zong di sini malam ini.

Dalam majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan penyampaian replika cek sumbangan beberapa syarikat korporat antaranya daripada Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berjumlah RM5 juta.

Yang turut hadir Presiden Hua Zong, Tan Sri Pheng Yin Huah, Duta Besar China ke Malaysia, Datuk Chai Xi, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum tertentu di negara ini mempunyai peranan penting dalam mengekalkan keharmonian.

Walaupun mereka kerap kali menyuarakan hasrat sesuatu kaum dan mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan, namun usaha itu perlu dilakukan dengan kaedah yang betul.

"Pintu perundingan kerajaan sentiasa terbuka untuk mencari penyelesaian terbaik bagi sesuatu isu dalam usaha menjaga kepentingan semua kaum.

"Namun hari ini ada pihak tertentu yang cenderung melakukan provokasi, termasuk melakukan demonstrasi, bantahan atau rapat umum untuk menuntut hak sesuatu kaum atau agama," ujar beliau.

Tambah Muhyiddin, pendekatan perundingan dalam semangat muhibah adalah cara terbaik untuk menghasilkan keputusan yang boleh diterima semua pihak. - UTUSAN
Dakwat kekal untuk PRU-13 telah ditempah

PUTRAJAYA, RABU, 30 Januari, 2013: Dua jenis dakwat kekal yang berbeza untuk dicalitkan pada jari pengundi awal dengan pengundi biasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah ditempah oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, dakwat itu yang akan dibekalkan oleh syarikat luar negara memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk disiapkan sebelum dihantar.

Walau bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh mendedahkan tarikh sebenar dakwat kekal itu ditempah serta negara pengeluarnya.

"Saya tidak boleh beritahu bila dan negara mana dakwat ini diambil tetapi memerlukan masa antara dua hingga empat bulan untuk ditempah.

"Kemudian dakwat itu akan diserahkan kepada Ibu Pejabat SPR sebelum dihantar ke setiap negeri seterusnya kepada pegawai bertugas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Portal Online PRU-13 di Ibu Pejabat SPR, di sini hari ini. - UTUSAN
 Selangor ambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari

 SHAH ALAM, RABU, 30 Januari, 2013: Kerajaan Selangor akan mengambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari dan perkara itu telah pun dimaklumkan kepada Putrajaya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

"Kerajaan Selangor telah mtempoenulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin untuk memaklumkan bahawa kita akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari.

"Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini yang menyatakan Kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalihperkhidmatan air," kata beliau dalam satu kenyetaan.

Justeru, katanya, dalam surat tersebut pihaknya telah memaklumkan bahawa pengambilalihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberi sebarang maklum balas.

Wednesday 30 January 2013

SPR lancar laman web khas untuk PRU-13

*ABDUL Aziz Yusof menunjukkan laman web khas Pilihan Raya Umum ke-13 pada majlis pelancarannya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, di Putrajaya hari ini. - UTUSAN

PUTRAJAYA, RABU, 30 Januari, 2013: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memperkenalkan laman web khas www.pru13.gov.my yang akan memuatkan segala informasi serta proses berhubung perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selain menjadi panduan kepada pengundi yang pertama kali mengundi, laman web itu turut memuatkan peraturan yang baru diperkenalkan pada PRU kali ini.

"Antara yang akan dimuatkan dalam laman web berkenaan ialah maklumat terkini proses pe, RABUnamaan calon, tempoh berkempen, proses mengundi, urusan mengundi sehingga pengumuman keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran portal itu di sini hari ini.

Beliau berkata laman web berkenaan akan menjadi sumber rujukan utama bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga media terutamanya semasa pilihan raya berlangsung.

Katanya ia dapat membantu orang ramai dan media mendapatkan maklumat seperti jumlah atau peratus terkini pengundi yang keluar mengundi tanpa perlu menghubungi SPR.

"Setiap maklumat yang dimasukkan adalah terkini dan pegawai SPR akan memastikan ia sentiasa dikemaskini. Kita juga akan pastikan tahap keselamatan untuk mengelak laman web digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab," kata Abdul Aziz.

Beliau berkata antara lain, laman web itu diwujudkan bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat dan sahih kerana sudah menjadi kebiasaan setiap kali pilihan raya diadakan pelbagai khabar angin akan timbul.

SPR, katanya, mengalu-alukan sebarang maklum balas.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan sekali lagi SPR sentiasa berusaha memastikan senarai nama pengundi dibersihkan, namun berkata mana mungkin ia dapat dibersihkan seratus peratus.

"Sebagai contoh jika hari ini SPR memberi jaminan senarai pemilih bersih mungkin esok ada ada berlaku kematian dan ada yang dilucutkan kewarganegaraan," katanya.

Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah, beliau berkata empat pegawai SPR sedang dalam senarai menunggu untuk menjadi saksi. - BERNAMA
BN dijangka menang PRU-13, Najib calon PM popular: Kaji selidik

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Kira-kira 63 peratus mahasiswa di seluruh negara menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat tahun ini.

Ia berdasarkan kajian dilakukan Yayasan Ehwal Siswa (YES) bulan lalu di tiga universiti utama di Lembah Klang membabitkan 3,000 responden terdiri mahasiswa daripada pelbagai kursus pengajian dan negeri, termasuk negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Universiti terbabit ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengerusi YES, Datuk Mohd Radzi Abd Latif, berkata kajian yang turut membabitkan responden daripada negeri di bawah pimpinan pembangkang turut menunjukkan Datuk Seri Najib Razak adalah calon Perdana Menteri popular untuk terus memimpin Malaysia.

"Secara keseluruhannya, 57 peratus responden yang mewakili UKM dengan 75 peratus, UPM (67.4 peratus) dan UM (41.4 peratus) mengatakan kepimpinan Perdana Menteri baik dan popular.

"Manakala, secara purata dengan 59 peratus daripada responden berasal dari negeri pembangkang termasuk Selangor dan Pulau Pinang mengakui Najib pilihan utama sebagai Perdana Menteri" katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, media sosial seperti Facebook dan Youtube adalah sumber utama yang paling kerap dilayari dan dipercayai oleh mahasiswa untuk mendapatkan berita politik serta perkembangan semasa.
"Dengan sampel yang besar serta kebolehpercayaan yang tinggi, BN dijangka menang," katanya. - BH
Musa arah siasat kematian gajah Pygmy

KOTA KINABALU, RABU, 30 Januari, 2013: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mahu Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan segera membuat siasatan menyeluruh berhubung kematian 10 gajah di Tawau, baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan memandang serius perkara itu kerana gajah Pygmy Borneo merupakan spesis terancam.

"Ia tidak boleh diterima. Saya mahu siasatan menyeluruh tentang perkara ini. Pihak terbabit perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk
Laurentius Ambu semalam bahawa 10 ekor gajah Borneo ditemui mati dalam tempoh dua minggu di hutan simpan di Tawau.

Laurentius dipetik sebagai berkata tujuh daripada gajah itu adalah jantan dan tiga betina dari satu kumpulan, yang seekor anak gajah berumur kira-kira tiga bulan didapati masih hidup di sisi seekor gajah yang dipercayai ibunya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun dilapor sebagai berkata penemuan kematian gajah-gajah itu di Hutan Simpan Gunung Rara merupakan hari paling sedih buat usaha pemeliharaan Sabah.
"Kematian gajah Borneo yang hebat dan terancam ini merupakan kehilangan besar kepada negeri ini. Walaupun agak awal untuk menunjuk sebab kematian, racun mungkin merupakan sebabnya," katanya.

Melahirkan rasa terkejut, Musa berkata gajah berkenaan adalah sebahagian hidupan liar Sabah yang kaya dan eksotik dan perlu dilindungi.

"Orang ramai dari seluruh dunia datang semata-mata mahu melihat gajah-gajah ini. Adalah malang terdapat orang yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini," katanya. - BERNAMA
78 mayat remaja lelaki ditemui di sungai Syria

ALEPPO (Syria), RABU, 30 Januari, 2013:: 78 mayat remaja lelaki ditemui di sebuah sungai di bandar Aleppo hari ini dengan kesan satu tembakan dipercayai dibunuh.

Pejuang pemberontak berkata, 78 mayat itu ditemui di Sungai Quweiq dan 30 mayat lain masih di dalam sungai itu, tetapi sukar untuk dikeluarkan berikutan penembak tepat rejim kerajaan yang sukar dikesan. - AP

Guan Eng pandang rendah keupayaan wartawan

GEORGETOWN, RABU, 30 Januari, 2013:: Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dilaporkan hanya akan mengeluarkan kenyataan bertulis kepada sebuah akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris menunjukkan beliau memandang rendah keupayaan wartawan.

Lim kini enggan menjawab soalan wartawan dari akhbar The Star atas alasan akhbar itu membuat laporan yang tidak tepat mengenai isu penggunaan nama negeri Pulau Pinang dalam penganjuran sesuatu program atau acara oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata tindakan Lim itu seakan-akan memandang rendah keupayaan wartawan dalam melaporkan kenyataan pemimpin-pemimpin yang dibuat secara lisan.

"Jika berlakunya laporan yang tidak tepat, itu bermakna kemampuan untuk berkomunikasi lemah dan kita tidak mampu untuk menyampaikan maklumat dengan betul," katanya.

Teng berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) kepada kira-kira 387 orang daripada sekolah-sekolah di kawasan Timur Laut, di sini hari ini.

Katanya pilihan perkataan yang digunakan itu mungkin disalah tafsir oleh wartawan dan terpulang kepada pemimpin untuk menerima laporan yang dibuat dengan hati terbuka.

Sementara itu, Teng berkata program insentif pelajar cemerlang PMR dan UEC itu adalah inisiatif BN Pulau Pinang yang sedar dengan peningkatan kos
pembelajaran selain menggalakkan pelajar untuk terus tekun berusaha. 

Program seumpama itu adalah pertama kali dilancarkan hasil kerjasama antara BN negeri dan pihak swasta termasuk badan korporat dan pemaju di Pulau Pinang yang memberi sumber kewangan.

Teng berkata program ini akan diteruskan dan diperluaskan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia bergantung kepada penaja-penaja yang terlibat.

Sebanyak RM400,000 diperuntukkan untuk program ini yang melibatkan kira-kira 2,340 pelajar. Setiap pelajar mendapat wang tunai RM200, anugerah dan sijil penghargaan. - BERNAMA
Bapa, dua anak perempuan dipenjara perdagang amah

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013:: Seorang bapa dan seorang anak perempuannya dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Kemboja dua tahun lalu.

Hukuman setahun penjara turut dijatuhkan ke atas seorang lagi anak perempuan tertuduh kerana kesalahan sama.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Yeow Kim Bok, 54, dan anaknya Yeow Sheh Yan, 25, dan Yeow Sheh Li, 33, selepas mendapati mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Yeow, seorang jurujual dan Sheh Yan yang merupakan penuntut didakwa memperdagangkan Neak Ban, 25, bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau paksaan terhadap wanita itu di sebuah rumah di Taman Sri Sinar Segambut, Sentul di sini pada 1.30 petang, 3 Ogos 2011, mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Sheh Li, ibu tunggal kepada dua anak, didakwa memperdagangkan Neak bagi maksud eksploitasi di tempat dan waktu sama, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.

Hakim Ahmad Zamani turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 terhadap Yeow yang didakwa mencederakan pembantu rumahnya dengan menumbuk serta menghentak muka wanita itu pada dinding rumah pada 9 pagi, 3 Ogos 2011.

Sheh Yan turut dikenakan hukuman sama kerana didakwa mencederakan Neak dengan menumbuk dan menampar muka serta menendang belakang badan wanita itu di lokasi sama antara 6 petang pada 2 Ogos dan 9 pagi, 3 Ogos 2011.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Sheh Yan turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan didenda RM3,000 kerana didakwa menghalang Inspektor M.Sathiyaseelan daripada melakukan tugasannya dengan menendang kaki pegawai polis itu di tempat sama pada 1.30 tengah hari, 3 Ogos 2011.

Sementara itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang penuntut, Mona Ooi Jia Yi, 22, yang didakwa menghalang Lans Koperal Noor Diana Nasaruddin daripada menggari tangan rakannya, Sheh Yan pada tempat dan waktu sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Hakim Ahmad Zamzani turut memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Yeow dan Sheh Yan berjalan serentak dan kesemua tertuduh perlu menjalani hukuman itu berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Saranjeet Kaur Sidhu yang mewakili keempat-empat tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Henry Tan mengemukakan seramai lima saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan mengemukakan lapan saksi termasuk kesemua tertuduh. - BERNAMA
SUHAKAM mahu terus jadi pemerhati bebas pilihan raya

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) akan menjadi pemerhati bebas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan bukan sebagai pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Presiden SUHAKAM, Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata demikian ketika ditanya media sama ada SUHAKAM akan bekerjasama dengan SPR bagi memastikan sebuah pilihan raya yang bebas dan adil dengan mengambil peranan sebagai pemerhati rasmi.

Setakat ini SPR tidak membuat sebarang pelawaan kepada SUHAKAM ataupun SUHAKAM menyatakan minat untuk berbuat demikian.

"Mereka mengambil tindakan yang betul dengan tidak mempelawa kami," katanya kepada media ketika Perundingan Semakan Berkala Sejagat (UPR) Kedua mengenai Hak Asasi Manusia Malaysia di sini, hari ini.

Khaw menarik perhatian adalah penting untuk SUHAKAM memantau sendiri proses pilihan raya, terutamanya dalam isu berkaitan hak asasi manusia.

“SUHAKAM harus mengekalkan sikap tidak berat sebelah memandangkan pihak yang terkilan boleh merujuk isu berkaitan hak asasi manusia kepada suruhanjaya itu, terutamanya ketika pilihan raya,” katanya. - BERNAMA
 ,Termaktub dalam undang-undang negeri

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 013: Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seharusnya tidak timbul kerana ia termaktub di bawah undang-undang di 10 negeri yang menetapkan penggunaannya hanya untuk orang Islam saja.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, berkata semua pihak harus menghormati peruntukan undang-undang berkenaan dan tidak mempersoal mahupun membangkitkan perkara itu sama sekali.

Tegasnya, Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi negara, justeru semua pihak termasuk bukan Islam perlu memahaminya serta tidak menuntut perkara yang tidak sepatutnya.

"Perlembagaan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman damai, namun apa yang berlaku sekarang ada pihak yang mahu menggunakan kalimah Allah untuk bukan Islam.

"Ini bermakna bukan Islam tidak mengamalkan agama mereka secara aman damai dan ini boleh mencetuskan perbalahan... kita juga tidak tahu apa motif mereka (pihak yang menuntut penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Taklimat draf asas Memorandum kepada Majlis Raja-Raja berhubung Isu Memepertahankan Kesucian Nama Allah di sini, hari ini.

Sehubungan itu, selaku Pengerusi Sekretariat Mendaulatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menyelesaikan isu berkaitan Islam, Ahmad Fairuz berkata, pihaknya akan menyiapkan satu memorandum untuk diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau berkata, memorandum itu dirangka untuk memohon dan merayu Majlis Raja-Raja yang dianggotai Sultan dan Raja Melayu selaku ketua agama Islam di setiap negeri supaya mengeluarkan satu ketetapan khusus untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh mencemarkan kesucian agama itu. 

"Memorandum ini juga mengandungi petisyen daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang menolak sama sekali sebarang cubaan untuk mengganggu gugat kesucian Islam dan jika tiada sebarang halangan (memorandum) akan diserahkan kepada pihak Majlis Raja-Raja pada penghujung Februari ini," katanya. - BERNAMA
Polis Marin rampas diesel subsidi bernilai hampir RM100,000

PELABUHAN KLANG, RABU, 30 Januari, 2013: Polis Marin berjaya menggagalkan cubaan menyeludup diesel subsidi bernilai hampir RM100,000 yang dibawa di dalam sebuah lori tangki berwarna putih dalam rampasan di Persiaran Selatan, Pandamaran di sini.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said, berkata dalam rampasan kira-kira jam 6.30 petang semalam, sepasukan Unit Rondaan Marin (URB) mengekori lori berkenaan, hasil maklumat dan risikan yang diterima berhubung aktiviti menyeludup diesel bersubsidi.

"Anggota URB mengekori lori berkenaan dan menahan serta menjalankan pemeriksaan, seterusnya mendapati tangki lori itu mengandungi 10,920 liter diesel bernilai RM98,392," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori warganegara tempatan itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen jual beli yang sah berkaitan muatan diesel berkenaan.

Norzaid berkata, lelaki berumur 30 tahun itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan bekalan 1961.

“Kami tidak menolak kemungkinan diesel berkenaan dibeli daripada pembekal berlesen dan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan tetap di sekitar Lembah Klang,” katanya. - BERNAMA
SYABAS serbu pawagam buat sambungan air haram

 KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Sebuah pawagam di Jalan Raja Laut di sini dikesan menjalankan kegiatan mencuri bekalan air dari paip utama Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), membabitkan kerugian RM221,748.

Syabas dalam satu kenyataan berkata, berikutan aduan yang diterima pada 21 Disember lalu, satu operasi membanteras sambungan haram di lokasi berkenaan dilakukan hari ini.

"Premis itu turut menjalankan beberapa perniagaan lain seperti pusat Internet, snuker serta perkhidmatan cuci kereta. Kesemua perniagaan itu dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat sama," kata SYABAS.

Semakan menunjukkan pawagam itu mempunyai akaun bekalan air dengan SYABAS yang didaftarkan atas nama syarikat berkenaan, namun ia ditamatkan sekitar Julai 2012.

"Berikutan penyambungan tidak sah yang dibuat dari paip utama, Syabas menganggarkan kerugian air terawat yang tidak direkodkan penggunaannya adalah selama 195 hari dengan kerugian RM221,748.70," kata syarikat bekalan air itu.

SYABAS akan mengeluarkan notis tuntutan ganti rugi manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara akan membuat tuntutan sivil ke atas pihak yang melakukan kesalahan itu.

Dalam pada itu, SYABAS berkata, sepanjang tahun lalu, 730 kes curi air sahih direkodkan dengan anggaran tuntutan ganti rugi keseluruhan yang dituntut syarikat itu berjumlah RM6.72 juta. - BERNAMA
PERHILITAN Kelantan salur RM1 juta kawal ancaman gajah

KOTA BHARU, RABU, 30 Januari, 2013: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menerima peruntukan lebih RM1 juta daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan program pembangunan terutama mengawal ancaman gajah liar di seluruh Kelantan tahun ini.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Rahmat Topani, berkata pihaknya sedang meningkatkan usaha mengawal serangan gajah liar daripada memasuki kawasan perkampungan dan tanaman penduduk, khasnya di kawasan hulu Kelantan.

“Sebahagian besar daripada peruntukan itu untuk membina pagar elektrik, penyelenggaraan, pemindahan dan pengawalan haiwan itu daripada menceroboh kawasan pertanian dan perkampungan penduduk di kawasan terbabit,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, jabatannya sedang memberi tumpuan melaksanakan projek pembinaan pagar elektrik di kawasan Batu Melintang di Jeli.

"Setakat ini, kita bekerjasama dengan wakil rakyat kawasan berkenaan sudah bina pagar elektrik sepanjang 15 kilometer membabitkan beberapa kampung, membabitkan kos antara RM300,000 hingga RM400,000. Projek itu hanya membabitkan 15 kilometer saja lagi untuk disiapkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengusaha ladang sama ada di bawah pemilikan syarikat atau individu supaya mengambil inisiatif membina pagar elektrik di kawasan masing-masing.

"Kerjasama pihak berkenaan perlu bagi membanteras kegiatan ancaman gajah liar daripada memasuki kawasan kediaman dan pertanian penduduk di kawasan terbabit dengan lebih berkesan," katanya. 

Pembinaan pagar elektrik itu dipercayai lebih berkesan berbanding kaedah lain, kerana ia memberi impak kepada haiwan daripada menghampiri kawasan yang menjadi tumpuannya.

Katanya, dalam kes terbaru minggu lalu, PERHILITAN menerima aduan penduduk Jeli terdapat sekumpulan gajah liar memasuki kawasan pertanian mereka.

Rahmat berkata, pihaknya mengambil tindakan dengan mengarahkan renjer PERHILITAN membuat pemantauan dan sedang mengatur strategi untuk menangkap kumpulan gajah berkenaan. - BERNAMA
Miliki rokok seludup: suami isteri didenda RM11,000

KUANTAN, RABU, 30 Januari, 2013: Akibat memiliki rokok seludup, sepasang suami isteri didenda RM11,000 setiap seorang atau penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah menjatuhi hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhan berkenaan.

Mohd Sukeri Md Kaya, 36, dan isterinya, Azizah Sharip, 35, didakwa bersama-sama memiliki rokok import pelbagai jenama bernilai RM996.52 di premis Azkrie Enterprise di Jalan Kampung Pelindung Indah, Taman Beserah Indah di sini pada 11 pagi, 9 Julai 2012.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum menurut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suami isteri itu yang diwakili peguam Nur Munirah Mustaffa merayu supaya mahkamah meringankan hukuman memandangkan mereka terpaksa menanggung empat anak berumur dua hingga enam tahun dengan pendapatan sebagai peniaga kedai runcit sebanyak RM2,000 sebulan.

Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam, Mohd Khairuddin Niesha Mohd Shafee. - BERNAMA
MRT Corp beri kontrak RM19.5 juta kepada kontraktor Bumiputera

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Sebanyak 44 pakej kerja bernilai RM19.5 juta diberikan kepada kontraktor Bumiputera kelas G1, G2 dan G3 bagi projek MRT Lembah Klang.

Semasa mengumumkannya hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Sdn Bhd Datuk Azhar Abdul Hamid berkata kontrak tersebut merupakan sebahagian sasaran kerajaan mencapai 43 peratus penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek infrastruktur mega negara itu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pengundian, beliau berkata undian hari ini merupakan kali kedua diadakan melibatkan 541 pemohon.

Undian pertama diadakan pada akhir tahun lepas dengan sembilan kontraktor diberikan RM7.5 juta nilai kontrak.

MRT Corp memperuntukkan 250 pakej kerja, bernilai RM200 juta terutamanya bagi kontraktor Bumiputera.

"Kami menjangka kebanyakan kontrak akan diberikan tahun ini dan bakinya pada permulaan tahun depan," katanya.

Beliau berkata MRT Corp akan mengadakan undian setiap suku tahun untuk memberikan kontrak bagi pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang.

Skop kerja untuk kontraktor Bumiputera dalam kelas G1, G2 dan G3 termasuk penyenggaraan jalan sedia ada; kerja permukaan perparitan; landskap; pagar dan pintu pagar; pembinaan tempat menunggu teksi dan bas.

"Kontrak Bumiputera yang berjaya akan menjalani latihan mandatori selama dua hari sebelum memulakan kerja pembinaan.

"Modul latihan ini disediakan oleh Pusat Khidmat Kontraktor di bawah Kementerian Kerja Raya, Institut Kerja Raya Malaysia, Unit Penyelaras Agenda Bumiputera dan MRT Corp," katanya.

Pembinaan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer kini berjalan sepenuhnya dan dijangka siap pada 2016 dan memulakan operasi pada Januari 2017. - BERNAMA
Perhimpunan 12 Januari: Polis minta 14 saksi tampil

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Polis hari ini mengedarkan gambar 14 saksi bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan di ibu negara 12 Januari lalu yang didakwa membawa kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dalam perhimpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata keterangan 14 saksi itu

penting bagi membantu polis melengkapkan siasatan berhubung pelanggaran syarat oleh penganjur perhimpunan berkenaan. "Kita minta saksi yang gambar mereka telah kita siarkan agar tampil segera bagi membantu pihak polis. Perbuatan membawa kanak-kanak di bawah usia 15 tahun adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mohmad berkata jika disabit kesalahan melanggar syarat itu, penganjur boleh dihukum denda maksimum RM20,000 mengikut Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 21(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Beliau berkata 14 saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Tony Lunggan di talian 014-6225262 atau 03-90516222 atau tampil di mana-mana balai polis.

Katanya, orang ramai yang mengenali 14 saksi yang gambar mereka diedarkan melalui media dan lama Facebook itu, boleh memberikan maklumat kepada polis atau memaklumkan di balai polis berhampiran. 

Sementara itu, Mohmad berkata polis memburu enam suspek berumur 24 hingga 35 tahun berhubung kes serangan ke atas seorang lelaki di Flat Sri Johor di Cheras di sini, awal pagi semalam.

Katanya dalam kejadian 6.20 pagi itu, mangsa berumur 25 tahun telah diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika dia sedang menggunakan telefon awam. 

"Siasatan awal kita mendapati suspek telah menunggu mangsa di dalam dua buah kereta sebelum bertindak menyerang mangsa. Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada dendam di antara dua kumpulan kongsi gelap," katanya.

Katanya mangsa kini dirawat di sebuah pusat perubatan kerana mengalami kecederaan parah akibat ditetak di bahagian kepala dan telinga kiri.
"Mangsa kini dilaporkan stabil namun terpaksa menerima 158 jahitan di bahagian kepala dan telinga," katanya. - BERNAMA
Perdagang kanak-kanak: 2 tertuduh bayar jaminan RM100,000

BUTTERWORTH, RABU, 30 Januari, 2013:: Dua daripada lima tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 25 Januari lalu atas dakwaan memperdagang kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi membayar wang jaminan masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin hari ini.

Tertuduh Lim Soo Chin, 52, yang menghadapi satu tuduhan manakala D.C. Chin, 57, berdepan enam pertuduhan, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Kedua-dua wanita itu bersama dua lagi wanita dan seorang lelaki iaitu Ooi Ah Imm, 47, Lim Choon Liang, 63, dan Bahtiar Abas, 51, didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 607) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan kesalahan itu di Taiping, Pantai Remis, dan Ipoh, Perak; Juru dan Teluk Kumbar, Pulau Pinang; serta Lunas di Kedah antara 28 Disember 2009 hingga 16 Januari lalu.

Mahkamah menetapkan 15 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 24 Januari lalu, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri itu, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Mereka ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember 2012, dan antaranya ialah penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta. 

Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

Sindiket yang aktif sejak 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta
mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka.

Semalam Mahkamah Majistret Bukit Mertajam melanjutkan tempoh perintah reman selama tujuh hari terhadap dua wanita dan seorang lelaki yang ditahan kerana terlibat dengan sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Semua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu turut dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah jagaan sementara di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang. - BERNAMA