My Add

Tuesday 8 July 2014

Felcra agih dividen interim RM135.6 juta

JELEBU, USNIN 07 Julai, 2014: Felcra Berhad (Felcra) hari ini mengagihkan hampir RM135.6 juta dividen interim pertama tahun ini kepada 77,510 orang peserta Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pemberian dividen itu bertepatan dengan polisi kekerapan agihan dividen sebanyak tiga kali.

“Sehingga Mei lalu, terdapat 1,460 buah Projek P&P yang terdiri daripada tanah kerajaan dan tanah milik peserta seluas 134,657 hektar yang telah mengeluarkan hasil.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,460 buah projek berhasil seluas 127,175 hektar telah memperoleh keuntungan bersih berjumlah hampir RM193.7 juta," katanya.

Mohd. Shafie berkata demikian dalam Majlis Pengisytiharan Dividen Interim 1/2014 Felcra Berhad dan Berbuka Puasa di pekarangan Masjid Felcra Lakai, Simpang Durian dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Pesawat AirAsia tergelincir dari landasan di Brunei

KUALA LUMPUR, ISNIN 07 Julai, 2014: Pesawat AirAsia AK278 tergelincir dari landasan selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandar Seri Begawan di sini, petang ini.

Menurut AirAsia, semua 102 penumpang dan tujuh krew yang menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Brunei itu dilaporkan selamat.

"Kesemua penumpang dan krew selamat mendarat, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan. - UTUSAN ONLINE
Serangan seksual: Diplomat dihantar ke New Zealand dalam masa terdekat

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, ISNIN 07 Julai, 2014: Diplomat Malaysia yang didakwa melakukan pecah rumah dan serangan seksual ke atas seorang wanita sewaktu bertugas di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan dihantar semula ke negara tersebut dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, buat masa ini pejabat Peguam Negara Malaysia dan New Zealand masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai penghantaran diplomat berkenaan.

"Diplomat ini masih lagi memegang jawatan beliau. Dia tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya dan biarlah mahkamah yang menentukan. Tarikh bila beliau akan dihantar masih belum ditentukan lagi tetapi ia akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan bungkusan Hari Raya kepada kontinjen Malbatt 850-1 ke Lebanon di sini hari ini. Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain.

Pasukan Malbatt mengandungi 850 anggota dan turut disertai oleh Anggota Bersenjata Brunei Darussalam (ABBD) seramai 26 orang.

Abdul Rahim berkata, diplomat berkenaan masih lagi berada di hospital untuk pemeriksaan lanjut. - UTUSAN ONLINE
Mahkamah perintah penerbit drama bayar RM170,000

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

KUALA LUMPUR, ISNIN 07 Julai, 2014: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan pengarah, Mohd. Javed Mohd. Nizar dan syarikat penerbitan drama dan filem, Juara Filem Production Sdn. Bhd. membayar RM170,000 sebagai kos kecederaan kepada Johan Raja Lawak dan isterinya, Ozlyn Wati ekoran kecederaan dan trauma yang dialami akibat dibaling dengan gelas kaca setelah terlibat dalam pergaduhan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Su Geok Yiam yang membuat keputusan itu bagaimanapun tidak membenarkan sebarang perintah berkenaan ganti rugi kepada Johan dan isterinya berhubung kehilangan pendapatan ekoran yang dialami kerana mereka gagal mengemukakan bukti pendapatannya selepas kejadian itu. - UTUSAN ONLINE

Monday 7 July 2014

ATM sahkan anggota dituduh jenayah sedang terima rawatan

Oleh SOFIAN BAHAROM dan NORHIDAYAH ABDUL MANAF

KUALA LUMPUR, ISNIN 07 Julai,  2014: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan anggota tentera yang dituduh melakukan jenayah pecah rumah dan jenayah seksual di New Zealand masih menerima rawatan di hospital.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, bagaimanapun anggota tersebut tetap akan dihantar ke negara itu dalam waktu terdekat untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE
MB Selangor nafi letak jawatan

SHAH ALAM, ISNIN  07 Julai, 2014; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan akan meletakkan jawatan dan telah menyerahkan surat peletakan jawatan seperti yang disebarkan dalam mesej aplikasi WhatsApp sejak malam tadi.

Beliau yang ditemui pemberita pagi ini juga meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin mengenai peletakan jawatannya itu segera menghentikannya.

Sejak malam semalam, tersebar mesej di aplikasi Whatsapp yang menyatakan Abdul Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya dan pagi ini satu lagi mesej yang kononnya memetik laporan Bernama menyatakan beliau telah melakukan demikian.

Bagaimanapun, agensi Berita Nasional (BERNAMA) telah menafikan penyebaran berita peletakan jawatan Abdul Khalid itu. - UTUSAN ONLINE
Pengusaha perabot Sarawak digesa teroka pasaran luar

KUCHING, ISNIN 07 Julai, 2014: Pengusaha perabot di Sarawak disaran meneroka pasaran di luar negara, terutama di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, berdasarkan kos dan kualiti, perabot yang dihasilkan di negeri ini berpotensi besar untuk dieksport.

"Tahun lalu, nilai eksport perabot Malaysia ke luar negara melebihi RM5.7 bilion, bagaimanapun nilai eksport perabot Sarawak hanya RM30 juta.

"Kita harap pengusaha dapat memanfaatkan potensi yang ada dan mengembangkan pasaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jualan Mega Perabot Hari Raya bertempat d'Galeri PUSAKA, Jalan Satok hari ini. - BERNAMA
Penawar Kedah mohon rumah perantaraan untuk bekas banduan

ALOR SETAR, ISNIN 07 Julai, 2014: Persatuan Membantu Bekas-bekas Banduan Negeri Kedah (Penawar) memohon kerajaan negeri untuk menyediakan sebuah rumah perantaraan untuk dijadikan tempat persinggahan bagi membantu bekas banduan.

Pengerusinya, Idris Ismail berkata, rumah perantaraan itu perlu disediakan bagi membantu bekas banduan yang tidak mempunyai tempat tinggal atau dipinggirkan keluarga apabila dibebaskan selepas tamat menjalani hukuman penjara.

"Setiap hari dianggarkan seramai 20 banduan di Kedah akan dibebaskan. Apabila dibebaskan, ada di antara mereka yang tidak mempunyai rumah dan keluarga, jadi Penawar ingin sediakan tempat tinggal bagi mengelakkan mereka menjadi gelandangan.

"Jadi kita mohon kerajaan negeri sediakan satu kawasan yang sesuai bagi membolehkan rumah perantaraan Penawar ini dibina bagi membantu bekas banduan untuk menjalani kehidupan seperti insan lain selepas keluar dari penjara nanti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata rumah perantaraan boleh dihuni secara percuma dan dalam masa yang sama mereka perlu mencari kerja bagi membolehkan mereka mencari tempat tinggal sendiri untuk meneruskan kehidupan. - BERNAMA
Elak jadi mangsa penipuan peniaga online di musim raya

KUALA LUMPUR, ISNIN 07 Julai, 2014: Keseronokan membeli barang di atas talian atau 'online', membuatkan ramai yang memilih cara berkenaan, yang dianggap mudah, cepat dan menjimatkan, bagi mendapatkan produk mahupun perkhidmatan.

Lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ini, pembelian secara online meningkat berkali-kali ganda dengan pelbagai promosi oleh peniaga yang mengambil peluang sempena kedatangan Aidilfitri ini.

Trend pembelian melalui online, yang menjadi sebahagian gaya hidup masyarakat hari ini turut diakui Pos Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan penghantaran melalui Pos Laju.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat dan Penjagaan Pelanggan Pos Malaysia, Datuk Rohaiza Hashim berkata, trend itu semakin ketara sejak tiga tahun lepas, apabila jumlah pengeposan barangan meningkat dalam tempoh itu.

Pada tahun 2011 sebanyak 29 juta pengeposan barang dibuat meningkat kepada 30 juta pada tahun 2012 dan terus meningkat kepada 40 juta pada tahun lepas.

Kebiasaannya pada bulan Ramadan akan berlaku peningkatan pengeposan antara 25 hingga 30 peratus terutama dua minggu terakhir sebelum hari raya, katanya.

Sebut sahaja apa yang diinginkan, produk pakaian dan tudung, barangan bayi, makanan, pakej percutian, barangan elektronik segala-galanya ada. Tidak perlu bersesak di pusat membeli-belah dan meredah kesesakan di jalan raya, semuanya boleh dibeli di hujung jari dan akan sampai terus ke tangan pembeli.

Selain mudah dan menjimatkan masa, pengguna juga mempunyai banyak pilihan untuk "mencuci mata" mencari barangan yang diperlukan dengan lambakan laman-laman sosial yang digunakan peniaga seperti Facebook, Twitter, Blog, Instagram mahupun WhatsApp. - BERNAMA
Muhyiddin beri penghormatan terakhir kepada Tunku Osman

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD dan HANIZA HASSAN

JOHOR BAHRU, ISNIN 07 Julai, 2014: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Ayahanda saudara kepada Sultan Johor, Tunku Osman Almarhum Tunku Temenggong Ahmad, di kediaman almarhum di Jalan Abdul Samad, di sini kira-kira pukul 12.20 tengah hari ini.‎

Turut kelihatan memberi penghormatan terakhir kepada almarhum adalah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.‎

Tunku Osman, 82, mangkat di Hospital Pakar Johor, di sini kira-kira pukul 7.30 petang semalam akibat sakit tua. - UTUSAN ONLINE
Kerajaan rujuk langkah negara lain atasi isu gelandangan

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA LUMPUR, ISNIN 07 Julai, 2014: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak dalam mengatasi isu gelandangan termasuk melihat pendekatan yang dilaksanakan di negara lain.

Timbalan menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, langkah itu perlu agar pendekatan yang diambil tepat dan mampu menyelesaikan isu berkenaan dengan baik dan tidak timbul isu berbangkit.

"Memang kita telah mesyuarat Jumaat lalu namun kita akan terus menerima pandangan daripada semua pihak agar isu ini dapat diselesaikan dengan bijak," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Cabaran Keusahawanan Sosial Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Bapa pukul anak sampai mati direman seminggu

ALOR GAJAH, ISNIN 07 Julai , 2014: Polis mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu bermula hari ini daripada Mahkamah Majistret terhadap seorang lelaki yang dipercayai membunuh anaknya dengan sebatang kayu, semalam.

Suspek berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah rumah sewa di Jalan Melekek, Kampung Padang kira-kira pukul 2.30 pagi ini. - UTUSAN ONLINE
Raja Perlis berkenan kurnia tauliah anggota MAIPs

KANGAR,ISNIN 07 Julai, 2014: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mengurniakan tauliah kepada 58 anggota Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan jawatankuasa di bawah agensi itu, petang semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs mendahului penerima disaksikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Puan Muda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menteri Besar, Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Romli Dai, Exco Agama Islam Negeri, Khairi Hassan, Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya dan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menerima tauliah anggota MAIPs.

Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan mengurniakan tauliah pelantikan anggota Jawatankuasa Kewangan MAIPs dan anggota Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis, masing-masing kepada 10 orang dalam majlis di Hotel Seri Malaysia di sini.

Antara penerima lain ialah enam anggota Jawatankuasa Pengurusan Zakat MAIPs serta 13 anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan MAIPs dan tujuh dan lapan anggota Jawatankuasa Ihya' Sunnah, Dakwah dan Tarbiah MAIPs.

Raja Perlis, Raja Perempuan serta Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis berkenan berbuka puasa bersama penerima tauliah itu serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih. - BERNAMA
Melaka sasar penembusan jalur lebar 75 peratus

MELAKA, ISNIN 07 Julai, 2014: Melaka menyasarkan penembusan jalur lebar pada tahap 75 peratus menjelang akhir tahun depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, penembusan jalur lebar kini pada tahap 65 peratus dan percaya sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan pesat sektor teknologi maklumat di negeri itu.

"Hasrat saya ialah seorang ibu di dapur rumahnya boleh memantau gerak-geri anaknya di sekolah selain berinteraksi secara terus dengan guru hasil kemajuan telekomunikasi dinikmati rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Idris berkata semua jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini diarah meluaskan liputan internet tanpa wayar (wi-fi) mereka dan tidak terhad di dalam bangunan semata-mata. - BERNAMA
Kementerian Kesihatan pertimbang pemberian vaksin JE

BALIK PULAU, ISNIN 07 Julai, 2014: Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pemberian vaksin di kawasan berisiko terdedah jangkitan Ensefalitis Jepun (JE) sebagai langkah untuk mengawal penularan virus itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pemberian vaksin melibatkan kos tinggi dan kementerian perlu menilai pelbagai aspek sebelum melaksanakan pendekatan itu.

"Terdapat dua cara untuk kawal JE, satu dengan menghapuskan perumahnya yang telah dikenal pasti, satu lagi dengan pemberian vaksin. Memandangkan ujian sampel darah babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor baru-baru ini didapati negatif, kita boleh pertimbangkan kaedah kedua.

"Jabatan Kesihatan, Jabatan Veterinar dan kerajaan negeri akan berbincang tindakan lanjut yang sesuai dengan keperluan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Watikah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penyerahan sumbangan kewangan kepada kariah masjid serta surau peringkat Parlimen Balik Pulau, di sini malam tadi. - BERNAMA
Perusuh Buddha bakar sekolah asrama, rosakkan masjid

MANDALAY, ISNIN 07 Julai, 2013: Penduduk Islam di Mandalay mendakwa pihak polis hanya mendiamkan diri apabila perusuh Buddha mengamuk dan membakar sebuah sekolah serta beberapa bangunan lain ketika perintah berkurung yang dikuatkuasakan memasuki hari kedua, semalam.

Saksi kejadian, Win Naing berkata, kejadian rusuhan itu berlaku selepas majlis pengebumian seorang lelaki berusia 36 tahun yang menjadi mangsa konflik terbaharu persengketaan agama di negara ini yang telah meragut 19 nyawa.

Naing berkata, lebih 70 anggota polis berada di kawasan rusuhan tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghalang sebuah sekolah dan asrama pelajar Islam dibakar oleh kumpulan perusuh terbabit. - AFP/UTUSAN
30,000 penduduk di timur Syria dihalau keluar

BEIRUT, ISNIN 07 Julai, 2014: Kumpulan militan daripada Kumpulan Negara Islam (IS) telah menghalau lebih daripada 30,000 penduduk di timur negara ini, di bandar Shuheil, semalam.

Badan Pemantau Hak Asasi Manusia berkata, IS telah memaksa kira-kira 30,000 penduduk meninggalkan rumah mereka selepas merampas bandar Shuheil Khamis lalu, daripada Barisan Al-Nusra.

“Kira-kira 30,00 penduduk telah dipaksa meninggalkan rumah di bandar Khosham dan Tabia Jazeera dan juga Deir Ezzor, wilayah timur negara ini," kata jurucakap badan pemantau hak asasi manusia yang berpangkalan di Britain. - AFP/UTUSAN
Ayahanda saudara kepada Sultan Johor mangkat

Oleh Haniza Hassan dan Maznah Arshad

JOHOR BAHRU, ISNIN 07 Julai, 2014: Ayahanda saudara kepada Sultan Johor, Tunku Osman Almarhum Tunku Temenggong Ahmad mangkat petang semalam kerana sakit tua.

Utusan Malaysia difahamkan Tunku Osman, 82, mangkat di Hospital Pakar Johor, di sini kira-kira pukul 7.30 petang.

Almarhum yang pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor merupakan suami kepada Almarhumah Tunku Tun Maimunah Almarhum Sultan Ismail yang mangkat pada tahun 2012.

Laman Facebook dipercayai milik anakanda almarhum, Tunku Jalil Tunku Osman turut dihujani dengan ucapan takziah daripada pelbagai pihak.

Difahamkan, jenazah almarhum akan disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah, di sini selepas solat Zuhur. - UTUSAN ONLINE

Thursday 26 June 2014

La Ode tunjuk isyarat diam kepada kerani bank

 * LA Ode Ardi Rasila diiringi anggota polis di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM, RABU 25 Jun, 2014: Seorang kerani AmBank Subang Jaya memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bekas pengawal keselamatan La Ode Ardi Rasila menunjukkan isyarat diam menggunakan tangan kepadanya sebelum melarikan diri dalam insiden rompakan dan pembunuhan pegawai bank, Norazita Abu Talib.

Menurut Laila Azwa Samingan, 28, selain isyarat tangan, La Ode Ardi atau Ardi turut berkata diam sebanyak dua kali kepadanya semasa lelaki itu hendak keluar melalui pintu utama bank tersebut.

Ketika itu, ujar saksi pendakwaan ke-10 itu, dia berada di pintu gelongsor berhampiran kawasan bilik simpanan wang (bilik kebal) bank untuk melihat kejadian bunyi letupan yang berlaku di situ.

Laila Azwa memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan terhadap La Ode iaitu pengawal keselamatan yang berasal dari Sulawesi, Indonesia yang menghadapi tuduhan membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita, 37.

La Ode, 36, didakwa membunuh Norazita di dalam bangunan AmBank, No. 5 & 7 Jalan Sentral 2, USJ Sentral, Subang Jaya, dekat sini di antara pukul 6 petang dan 6.30 petang 23 Oktober 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. - UTUSAN 
Dijel 4 hari, denda RM2,000 kerana kurang ajar

 * GOH Guo Quan (tengah) keluar dari Mahkamah Majistret Melaka selepas dijatuhi hukuman, semalam.
MELAKA, RABU 25 Jun, 2014: Sikap kurang ajar dan celupar seorang lelaki terhadap seorang anggota polis trafik yang menahannya kerana tidak memakai tali pinggang keledar, akhirnya menjerat dirinya sendiri.

Lelaki terbabit, Goh Guo Quan, 22, hari ini dihukum penjara empat hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam, Ahad lalu.

Tertuduh didakwa mencemuh dan bertindak tidak memberhentikan kenderaan ketika ditahan oleh anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas kerana didapati tidak memakai tali pinggang keledar.

Kesalahan tersebut dilakukan tertuduh dari Mersing, Johor itu di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya di sini pada pukul 3 petang, 22 Jun lalu.

Guo Quan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syazwani Ishak manakala tertuduh diwakili peguam Faized Razali.

Majistret Mohd. Firdaus Saleh memerintahkan tertuduh dipenjara empat hari bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada hari kejadian dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dihukum penjara lagi empat bulan. - UTUSAN 
Politik wang haram - MUI

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA

 * GAMBAR pada 1 April lalu merakamkan sebahagian kotak undi, dibawa ke Pelabuhan Paotere, Makassar, untuk diagihkan sempena Pemilu 2014. MUI mengingatkan semua pihak bahawa rasuah politik adalah haram sempena Pilihan Raya Presiden Indonesia pada bulan depan. - AGENSI
JAKARTA, RABU 25 Jun, 2014: Menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden 2014 pada bulan depan, Majlis Ulama Indonesia (MUI) kembali mengeluarkan fatwa bahawa politik wang merupakan amalan yang haram di sisi agama Islam.

MUI memberi peringatan, pemberi dan penerima wang suapan merupakan golongan yang dilaknat oleh Allah dan akan mendapat balasan di neraka kelak.

Sehubungan itu, MUI menggesa semua pihak yang terlibat dalam politik khususnya pada pemilihan Presiden 9 Julai ini supaya berusaha menghindarkan diri daripada melakukan perkara cela dan terlarang itu.

Ketua Umum MUI, Din Syamsudin menegaskan, fatwa sama juga pernah dikeluarkan ketika Pemilu Legislatif pada 9 April lalu.

"Dalilnya sangat jelas bahawa pihak yang menyuap dan disuap dilaknat oleh Allah dan kedua-dua pihak itu jelas bakal berdepan seksaan neraka,’’ jelas Din pada mesyuarat bersama sekumpulan tokoh organisasi masyarakat Islam di ibu pejabat MUI di sini.

Menurut Din, MUI hanya mampu menjalankan tugas dengan menyampaikan fatwa dan nasihat kepada masyarakat untuk menjauhi rasuah, sebaliknya usaha dan tindakan bersepadu untuk membasmi hal yang dilarang dalam Islam itu terserah pada kebijaksanaan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu).

Din juga memberitahu, amalan rasuah dari sisi politik berupaya menjejaskan nilai demokrasi selain bertentangan dengan norma sosial.

Sementara itu, anggota pasukan kemenangan Joko Widodo (Jokowi)-Jusuf Kalla, Aria Bima berkata, amalan politik wang telah mencalar imej demokrasi.

Bagaimanapun, katanya, politik wang merupakan amalan yang tidak boleh dipisahkan dalam iklim demokrasi di Indonesia.

"Faktanya seperti itu. Ini yang menjadi musuh kami. Belajar dari Pemilu Legislatif sebelum ini yang menyaksikan amalan politik wang berleluasa. Sekalipun politik wang berlaku dengan begitu marak, penyelenggara Pemilu dan penegak undang-undang masih belum memberikan maklum balas yang maksimum," jelasnya.

Bagi ketua pasukan kemenangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa, Mahfud MD pula, pasukan berkenaan tidak akan sesekali melakukan amalan politik wang atau pelanggaran peraturan lain.

Ini kerana, katanya, amalan itu hanya akan memberikan imej yang tidak baik kepada kesahihan keputusan seandainya Prabowo-Hatta memenangi Pemilu 2014.

"Ruang politik wang pada Pemilu Presiden kali ini sangat sempit dan sulit untuk dilakukan. Kami dari pasukan kemenangan Prabowo-Hatta komited tidak akan melakukan dan menghindari politik wang," tegas Mahfud lagi. - UTUSAN 
PM gembira MCA, Gerakan kembali

PUTRAJA, RABUYA 25 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira wakil MCA dan Gerakan yang mewakili kaum Cina kembali menyertai Kabinet sekali gus dapat mengukuhkan semula konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran yang melibatkan semua kaum di negara ini.

Perdana Menteri berkata, perubahan tersebut perlu dilakukan untuk melonjakkan lagi pendirian Barisan Nasional (BN) yang mendukung prinsip perpaduan, kerjasama dan kesatuan dalam memerintah negara.

"Lebih-lebih lagi sejarah negara ini sejak dahulu telah menyaksikan penglibatan pemimpin-pemimpin dari kaum Cina, India dan lain-lain kumpulan minoriti yang mewakili parti komponen BN yang turut berperanan mentadbir negara.

"Negara kita memiliki kepelbagaian dari segi kaum, agama dan budaya tetapi perbezaan ini dapat kita tangani menjadi kekuatan kepada kita," katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan pelantikan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri baharu di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Tegas beliau, kebolehan bertolak ansur, menghormati antara satu sama lain dan berjaya menyelesaikan konflik dengan aman adalah antara teras bangsa di negara ini, sekali gus menjadi antara resipi kejayaan pada masa depan.

Beliau berkata, pengumuman pelantikan anggota baharu Kabinet hari ini berkait rapat dengan hasrat untuk membentuk pasukan yang jitu untuk memimpin rakyat dari pelbagai kaum dan ragam dengan jayanya.

"Saya yakin barisan Kabinet ini merupakan satu pasukan yang mampu menterjemahkan akujanji kita kepada rakyat seperti yang dilafazkan semasa pilihan raya umum lalu, seterusnya membawa kemajuan lebih besar kepada negara," katanya. - UTUSAN 
MCA, Gerakan sertai Kabinet

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SAIFULIZAM MOHAMAD
 
 * NAJIB Tun Razak ketika mengumumkan pelantikan menteri dan timbalan menteri baharu di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Muhyiddin Yassin. - BERNAMA
PUTRAJAYA, RABU 25 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan tiga menteri dan tiga timbalan menteri baharu dalam barisan Kabinet yang menyaksikan kemasukan semula pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) daripada MCA dan Gerakan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan; Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga Naib Presiden MCA yang dilantik ialah Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Dengan pelantikan Liow itu, Perdana Menteri mengesahkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi memangku jawatan itu.

"Saya gembira wakil MCA kembali dalam Kabinet, begitu juga Gerakan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang hadir sama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

MCA dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu pada Februari lalu memutuskan untuk kembali menyertai Kabinet dan menduduki jawatan dalam kerajaan selepas mendapat sokongan majoriti daripada ahli-ahlinya.

Pelantikan Siew Kiong dibuat selepas Perdana Menteri mengumumkan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei lalu untuk melantiknya sebagai menteri jika menang. Beliau menang dengan majoriti 238 selepas menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud.

Najib berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenan untuk majlis angkat sum­pah dan simpan rahsia anggota Kabinet baharu itu pada pukul 11. 30 pagi Jumaat ini di Istana Negara.

Mengulas saiz Kabinet kali ini yang semakin besar, Perdana Menteri berkata, keadaan itu berlaku disebabkan MCA telah membuat keputusan untuk menyertai semua Kabinet selepas enggan menerimanya sebelum ini.

"Ya, memang berlaku pertambahan dan kita terpaksa membuat perubahan berikutan keputusan MCA. MCA pada mulanya tidak mahu menyertai kerajaan tetapi kemudian berfikir semula dan melihat bahawa perlunya mereka menyertai Kabinet.

  Chua Tee Yong, Chew Mei Fun, Lee Chee Leaong
"Saya juga sedar saiz Kabinet kali ini lebih besar dari dahulu tetapi keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana situasi yang agak luar biasa," ujarnya.

Ditanya sama ada pertambahan Kabinet itu memberi jaminan bahawa perkhidmatan akan bertambah baik kepada rakyat, beliau secara berseloroh berkata:"Tidak semestinya tetapi saya harap begitulah dan ini saya katakan di luar jangkaan. Saya mula-mula tidak bercadang mempunyai Kabinet yang begini besar tetapi setakat ini tiada sesiapa pula yang secara sukarela mahu keluar dari Kabinet''.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib yakin saiz Kabinet yang terbaharu itu akan menggalakkan perbincangan serta pandangan yang lebih sihat daripada semua wakil komuniti di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengenai pelantikan tiga timbalan menteri daripada MCA, beliau berkata, mereka mempunyai tugas tertentu antaranya menjelaskan tentang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada peneraju industri kecil dan sederhana daripada kaum CIna.

"Begitu juga dengan pelantikan (Mei Fun) sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

"Ini kerana terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada kaum Cina yang perlu ada timbalan menteri untuk menyelesaikan kehendak dan tuntutan mereka yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan,'' ujarnya.

Mengenai satu-satunya wakil Gerakan di dalam Kabinet, Perdana Menteri menjelaskan itu melibatkan kuota dan beliau juga telah berjanji memberikan satu tempat kepada Siew Keong.

Berhubung kedudukan Hishammuddin dalam proses pencarian pesawat MH370 Najib berkata, perkara itu akan dibincangkan selanjutnya berdasarkan kedudukan terkini Menteri Pertahanan itu dengan Tiong Lai.

Sementara itu, beliau tidak bercadang untuk mengisi kekosongan jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ekoran peletakan jawatan P. Waythamoorthy.

"Kita ada satu jawatankuasa Kabinet yang menjaga hal ehwal kaum India dan saya sendiri mempengerusikan secara keseluruhannya dan menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri yang mewakili kaum India juga telah diberi tugas dan tanggungjawab secara terperinci,’’ katanya. - UTUSAN 
Satu amanah menambah baik dasar negara

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Tiga Naib Presiden MCA yang dilantik sebagai timbalan menteri hari ini menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah untuk menambah baik dasar negara selain mengembalikan undi masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN).

Mereka juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi peluang kepada parti itu untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan Pusat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, mandat kepada MCA untuk menyertai Kabinet itu menjadikan tanggungjawab yang dipikul oleh parti berke­naan semakin berat dan penting.

Katanya, dengan pelantikan tersebut, sejarah hitam MCA sejak dua pilihan raya umum lalu perlu diperbetulkan pada pilihan raya umum akan datang.

"Semua kesilapan akan diperbetulkan dan kegemilangan MCA juga akan dikembalikan dengan penyertaan kami dalam Kabinet.

"MCA juga akan menghasilkan strategi-strategi yang lebih baik dalam memastikan sokongan daripada masyarakat Cina," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun menjelaskan, beliau gembira dan bersyukur dengan kepercayaan Perdana Menteri yang memberikan platform kepadanya untuk memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada rakyat.

"Berhubung tanggungjawab saya sebagai timbalan menteri, saya sudah biasa dengan kementerian ini kerana saya pernah berkhidmat selama enam tahun dengan portfolio sama sebelum ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lee Chee Leong berkata, beliau berikrar untuk menarik seberapa banyak pelaburan luar ke negara ini apabila memulakan tugasnya.

Beliau juga berharap dapat membantu transformasi polisi ekonomi negara di samping membawa lebih ramai delegasi luar untuk melihat kemakmuran negara ini. - UTUSAN 
PM arah KDN bentang segera akta bahaya ketum

JOHOR BAHRU, RABU 25 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Dalam Negeri membentangkan segera akta tentang bahaya ketum di Dewan Rakyat supaya tindakan tegas dapat diambil bagi membanteras bahaya ketagihan bahan tersebut.

Perdana Menteri turut mengarahkan kementerian berkenaan memusnahkan segera ladang-ladang ketum di seluruh negara.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Ke-39 di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE V
Panas dan pelik di sana sini

Oleh Rohami Shafie

 * USAHLAH kita berperang dan berbunuhan sesama sendiri seperti di Iraq sehingga menyebabkan rakyatnya terpaksa mencari perlindungan di kem pelarian yang diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - GAMBAR HIASAN
BUMI Malaysia tidak pernah sunyi dengan isu-isu panas. Kadangkala isu-isu ini pelik tetapi benar-benar berlaku.

Tidak kira waktu meskipun tatkala penduduk dunia sedang mengalami demam Piala Dunia dan dengan kedatangan fenomena El Nino yang menghangatkan lagi muka bumi Malaysia ini. Akibat tangan-tangan manusia yang mencemari suasana nyaman dan damai Malaysia, isu-isu panas ini seolah-olah tidak ada titik noktahnya.

Dimulai dengan isu kebocoran dan ketirisan di sana-sini melibatkan kisah penyeludupan diesel ke negara-negara jiran, disusuli pula isu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI). Bayangkan penyeludupan manusia boleh berlaku walhal 'barang' yang diseludup itu sukar untuk disembunyikan berbanding diesel.

Sekiranya tidak berlaku kemalangan yang melibatkan warga negara Myanmar tempoh hari, rasanya kisah ini tidak begitu hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Selepas kemalangan itu berlaku, tragedi tongkang karam di perairan Sepang dan Air Hitam, Pulau Carey membongkar kisah penyeludupan manusia yang nampaknya amat mudah berlaku di negara kita. Malang sekali kerana akhirnya imej negara juga yang terpalit akibat kisah-kisah sebegini.

Kisah penculikan di Sabah yang nampaknya tiada penyelesaian kukuh membangkitkan satu lagi situasi panas kepada imej pelancongan negara. Dikhabarkan bahawa dalangnya PATI. Pelik kerana acap kali berlaku tetapi itulah kenyataannya.

Mungkinkah kerana para pemimpin terlalu sibuk 'bertelagah' berebut kuasa dan berpolitik sepanjang masa sampaikan isu-isu besar negara dikesampingkan? Tidakkah sepatutnya isu-isu yang melibatkan keselamatan negara, semua pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat bersatu untuk menjaga negara? Usah hanya mendengar penasihat-penasihat yang mendendangkan kisah-kisah khayalan yang indah-indah belaka.

Ambillah iktibar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159. Pemim­pin perlu menyempurnakan ikrar Amirul Mukminin dengan menjaga kebajikan seluruh orang yang dipimpin. Bukannya hanya menjaga kebajikan segelintir golongan yang rapat dengan pemimpin.

Begitu juga, jangan sesekali hanya bertindak membantu segelintir golongan hanya kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri sebagai pemimpin. Walhal, ramai lagi orang yang dipimpin lebih memerlukan bantuan pemimpin. Lebih ramai golongan yang lemah seperti orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan bantuan seperti memudahkan mereka ini berurusan di semua kaunter sektor awam mahupun swasta.

Tetapi adakah perkara ini cuba diselesaikan secara menyeluruh berbanding mempolemikkan semua isu sehingga menjadi isu panas demi kepentingan diri sendiri?

Usahlah semua perkara ingin digunakan sebagai peluang politik untuk mendapatkan perbatuan politik yang lebih baik. Banyak lagi isu rakyat yang perlu ditangani dengan kadar segera. Misalnya, dalam kita menuju ke arah negara maju, apakah kita mudah terlupa sahsiah dan akhlak juga cukup penting. Dalam kita terlalu taksub dengan ranking, adakah kita mudah terlupa dengan nasib rakyat kita sendiri?

Apalah gunanya kita menjadi sebuah negara maju yang hebat dengan bangunannya dan gah dengan kekayaannya tetapi itu hanya sekadar luaran. Sahsiah rakyat semakin mundur. Akhlak semakin dipinggirkan. Kita pula terlebih barat berbanding orang barat itu sendiri. Adakah ini yang kita mahukan sebagai penduduk bagi sebuah negara yang maju?

Pelik tapi itulah kenyataannya, tanda-tanda 'kemajuan' itu sudah kelihatan. Lagi pelik apabila golongan majoriti pula yang dilanyak hak-hak mereka kononnya tiada keadilan, kesaksamaan atau istilah yang lebih panas lagi kesamarataan!

Walhal terdapat seribu satu bukti bahawa golongan majoriti di Malaysia melayan sebaik mungkin golongan minoriti. Cuba cabut semua bangunan komersial di Lembah Klang milik bukan bumiputera, berapa banyakkah bangunan yang dimiliki oleh golongan bumiputera? Boleh dibilang dengan jari! Bumiputera, majoriti dari segi penduduk tetapi dari sudut lain serba-serbi minoriti.

Itu baru secebis bukti sahaja. Belum lagi dinyatakan, jumlah pinjaman yang diberikan kepada mereka ini berbanding golongan minoriti yang menguasai ekonomi. Belum juga disebut bilangan akauntan dalam kalangan mereka berbanding golongan minoriti. Tetapi kenapa masih dipusingkan fakta seolah-olah ketidakadilan berlaku?

Sebuah institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) pun mahu diserang habis-habisan hanya kerana tujuan penubuhan institusi ini untuk membantu golongan majoriti yang lemah dalam pelbagai bidang. Di kolej-kolej swasta yang dikuasai oleh sesuatu pihak tidak pula diperdebatkan. Apa yang tidak adil dengan wujudnya UiTM? Adakah dengan adanya UiTM, pihak-pihak lain dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan tertinggi?

Sekali lagi, usahlah 'memusing' fakta sebenar. Berpijaklah pada realiti bahawa model pembangunan yang dilaksanakan selama ini tidak menindas mana-mana pihak. Kalau tidak, mana mungkin anak-anak orang miskin seperti penoreh getah dan nelayan boleh menjadi pegawai tertinggi dalam sektor awam dan swasta. Belum lagi diambil kira ada di antara mereka menjadi jutawan dan usahawan yang berjaya.

Isu panas melibatkan kaum sering diperdebatkan seolah-olah tiada langsung keadilan di muka bumi Malaysia walhal yang peliknya mereka jugalah yang mendapat nikmat yang cukup besar sampaikan harta kekayaan boleh diwarisi untuk tujuh keturunan!

Menjelang bulan Ramadan ini, diharapkan isu-isu panas ini 'disejukkan', manakala umat Islam Malaysia berusaha untuk mengeratkan hubungan persaudaraan tanpa mempedulikan latar belakang politik masing-masing. Terlalu banyak percakaran melemahkan kekuatan ummah dan ini akan diambil kesempatan oleh pihak lain.

Buktinya, tahun lalu, terdapat isu panas yang sengaja diciptakan semasa Ramadan membangkitkan kemarahan umat Islam Malaysia. Majoriti rakyat mahukan kehidupan aman dan damai. Usahlah menjadi seperti negara Asia Barat yang pada awalnya gembira dengan 'bantuan' barat kononnya mene­gakkan demokrasi tetapi akhirnya berperang dan berbunuh sesama sendiri. Negara barat hanya lepas tangan.

Tidakkah kita mendapat pengajaran yang cukup besar daripada apa yang berlaku di negara-negara berkenaan. Atau kita masih selesa dengan kemewahan yang dikecapi di negara kita sehingga kita lupa bahawa kemewahan ini boleh pergi selama-lamanya tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Bersyukurlah atas kemewahan yang diberikan oleh Allah SWT. Semoga Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi memadamkan api permusuhan sesama Islam dan menghilangkan 'kepanasan' yang melanda negara dengan memberi keinsafan kepada kita dalam menghayati keperitan orang lain.

* PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia. 
Semua orang salah, kecuali diri sendiri!

Oleh Fauziah Arof

JIKA kita tidak boleh membuat kebaikan di dunia ini, di manakah lagi kebaikan itu akan dilakukan?

Dan jika tidak melakukan perkara yang baik-baik ketika hayat masih ada, berkesempatan lagikah melakukannya ketika sudah tiada?

Melihat pada banyak respon kes seorang remaja, orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah yang ditemui dalam sebuah bilik di rumah pangsa di Nilai, Negeri Sembilan, terlintas dalam fikiran saya, adakah rasa simpati yang sama akan ditunjukkan apabila kita berdepan dengan orang yang mengadu kesusahan kepada kita?

Sedangkan, apabila datang tidak kira kanak-kanak, orang buta atau orang tua yang meminta derma mahupun sedekah kepada kita ketika menjamu selera atau di stesen minyak, ramai yang berpaling, bukan saja tidak menolong tetapi bising-bising, mencebik dan menuduh ini semua satu sindiket penipuan.

Tidakkah kita pernah terfikir mungkin di rumahnya ada anak serupa Muhammad Firdaus yang perlu diberi makan, ada anak-anak yang pergi ke sekolah dengan perut yang lapar dan ada ibu yang sakit-sakit tetapi hanya mampu menelan pil Panadol?

Ya betul, semua orang ada kesusahannya sendiri tetapi jika keperitan hidup seperti ini tidak diambil peduli oleh masyarakat sekeliling termasuk pihak yang memegang macam-macam dana bantuan, tidak mustahil akan ada banyak lagi isu dan kejadian yang menyedihkan timbul kerana kemiskinan dan kedaifan ini.

Dan masa itu, kita juga akan mengutuk dan memaki-maki di laman sosial me­nyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.

Bila isu itu membabitkan OKU, kita pun mengaku kasihan dan simpati dengan nasib mereka tetapi segala kemudahan mereka, kita juga yang guna seperti tandas dan tempat letak kereta khas OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka. Tandas dikunci oleh pihak pengurusan premis dan mereka terpaksa bertongkat berjalan jauh dari tempat letak kereta.

Sebenarnya, jika kita sendiri tidak mampu memberi bantuan wang ringgit kerana tahap kewangan sendiri pun hanya mampu bertahan beberapa hari sebelum cukup bulan, kita boleh membantu dengan mengemukakan masalah mereka yang hidup susah dan mengadu kepada kita ini kepada yang orang yang mampu atau pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan lain-lain.

Baru-baru ini saya ditunjukkan satu mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh anak saya yang dihantar oleh kawannya, mengadu dia berasa lapar tetapi ibunya seorang ibu tunggal yang punya enam lagi anak tidak ada duit untuk membeli makanan. Anak yang berusia 14 tahun itu, memberitahu bahawa dia malu untuk meminta-minta tetapi dia dan adik-adiknya lapar.

Lalu saya pergi ke rumahnya di flat kos rendah, Seksyen 8 Shah Alam. Ibunya tidak bekerja, hanya membuat kuih jika ada modal. Dia pun baru keluar hospital.

Dia memberitahu banyak prosedur untuk mendapatkan bantuan. Sama ada betul atau tidak dakwaannya itu, pihak berkenaan perlulah jawab.

Maklumlah, sebab ada juga orang susah yang mendakwa tidak tahu meminta bantuan JKM, sebab tak tahu cara-caranya.

Saya pun tidak pasti apakah prosedur yang perlu dilalui oleh orang yang susah ini untuk mendapat bantuan, tetapi kalau orang itu benar-benar hidup susah tidak payahlah merumitkan lagi proses untuk dia mendapat bantuan.

Permudahkanlah, sebabnya wang peruntukan sudah ada. Bukan perlu tunggu untuk mendapatkannya. Tujuan wang itu diperuntukkan pun untuk membantu orang susah, apa lagi mahu macam-macam kerenah birokrasi.

Kita tidak mahu, kita ada wang kutipan zakat yang berjuta-juta ringgit dan wang bantuan JKM yang berjuta-juta ringgit juga tetapi yang hidup miskin melarat pun masih ramai tidak dapat bantuan.

Mereka ini tetap dibiarkan hidup kesempitan, sudah biasa berlapar atau makan nasi dengan kicap. Yang kasihannya jika anak-anak dan orang tua yang menanggung keperitan ini.

Dan kepada syarikat-syarikat korporat, tidak perlulah menunggu bulan Ramadan untuk mencari orang susah untuk bersedekah dan memohon liputan media. Mereka ini susah sepanjang tahun bukan pada masa Ramadan sahaja.

Marilah kita jadikanlah Malaysia ini, negara yang bertuah untuk diduduki bukan saja kepada yang berada tetapi ju­ga kepada yang tidak punya apa-apa termasuk OKU. - UTUSAN 

Wednesday 25 June 2014

112,635 peneroka bakal terima duit raya

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara bakal menerima duit raya pada tahun ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, jumlah wang yang bakal diterima setiap peneroka telah ditetapkan dan akan diumum tidak lama lagi.

"Setiap tahun kita memang akan beri duit raya kepada peneroka dan sama juga seperti tahun ini, sama ada jumlahnya bertambah, berkurang atau sama dengan tahun lalu, nanti kita akan umum.

"Kita jangka minggu pertama atau kedua kita akan mula agihkan," katanya pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 
Najib umum nama panda Xing Xing dan Liang Liang

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menamakan dua beruang panda yang menjadi ikonik hubungan antara Malaysia dengan China, sebagai Xing Xing dan Liang Liang.

Menurut Perdana Menteri, Xing Xing (panda jantan) membawa maksud kemewahan manakala pasangannya, Liang Liang, pula bererti cantik - . UTUSAN ONLINE 
MCA ikrar komitmen penuh bantu PM tadbir negara

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: MCA hari ini menyatakan komitmen penuh untuk membantu kerajaan mentadbir negara selepas kembali menyertai Kabinet hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong berkata, mereka memberi jaminan akan berusaha gigih dalam membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan agenda transformasi negara.

Menurut beliau, pelantikan mereka ke dalam Kabinet menunjukkan Najib ingin melihat MCA mewakili masyarakat Cina bagi memastikan proses pembangunan negara berjalan lancar.

"Kami berterima kasih atas kepercayaan ini. Saya yakin MCA dapat melaksanakan pembangunan dan menambah baik dasar serta polisi negara," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong bersama dua Naib Presiden parti itu iaitu Datuk Lee Chee Leong dan Datin Paduka Chew Mei Fun.

Penambahan barisan Kabinet yang diumumkan Najib menyaksikan Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Ka Siong (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Chee Leong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) serta Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) manakala seorang lagi Naib Presiden, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan. - UTUSAN ONLINE 
Siew Keong ucap terima kasih dilantik menteri

Oleh AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN, RABU 25 Jun, 2014: Presiden Gerakan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong menyifatkan perlantikannya serta rakan-rakan lain dari Gerakan dan MCA dalam Kabinet mampu memberi lebih keyakinan kepada semua rakyat untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan pelantikannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Siew Keong berkata, penyertaan mereka juga satu penambahbaikan yang amat baik untuk kepentingan semua rakyat.

"Perlantikan kami sebenarnya untuk kepentingan semua kaum kerana kami bekerja untuk semua dan bukan hanya untuk masyarakat Cina sahaja,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, Siew Keong berkata, pelantikannya itu juga merupakan satu penghormatan buat beliau, parti dan rakyat Teluk Intan.

Sehubungan itu, beliau berjanji untuk memberi perkhidmatan terbaik dan berusaha membantu semua rakyat termasuk pengundi yang telah memilihnya pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan, 31 Mei lalu.

"Saya berjanji akan bekerja lebih kuat untuk semua rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE 
Ejen hartanah haram: RM91 bilion transaksi pembelian 2013

Oleh FADZIL ZAINOL

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Kira-kira 60 peratus atau RM91 bilion nilai transaksi pembelian hartanah, direkodkan sepanjang 2013 dilakukan menerusi ejen hartanah haram.

Tahun lalu, 381,130 transaksi pembelian hartanah telah direkodkan dengan nilai berjumlah RM152 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, keadaan itu merisaukan kerana kerana ejen hartanah haram melaksanakan pemasaran hartanah secara tidak beretika dan mengelirukan pembeli.

"Sejak tahun lalu, sesiapa sahaja boleh menjadi ejen hartanah (secara haram) tanpa sebarang kelayakan," katanya kepada pemberita pada program kempen kesedaran ejen dan perunding hartanah di sini hari ini.

Ejen hartanah haram jika didapati bersalah boleh dikenakan denda RM300,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Antara langkah awal yang boleh dilakukan pembeli semasa berhadapan ejen-ejen hartanah ialah bertanyakan kad pendaftaran ejen tersebut yang mengandungi pelbagai maklumat selain mengandungi kod respon pantas (Kod QR) yang boleh disemak menggunakan telefon pintar. - UTUSAN ONLINE 
SP1M perkenal lapan segmen menarik sempena Ramadan

Oleh NORAZLINA ISMAIL

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Bagi menghayati ketibaan Ramadan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan program Selamat Pagi 1Malaysia (SP1M) dengan pengisian lapan segmen baharu.

Ketua Penolong Pengarang Seksyen Ehwal Semasa RTM, Noraini Mohd. Idris berkata, program bertemakan 'Syukur Ramadan' itu direka khas bagi memberi kelainan kepada penonton program bual bicara pagi itu.

"Antara pengisian SP1M sempena bulan Ramadan adalah Segmen Ramadan Bumi Anbiya, Sekudus Ramadan, Berkorban Apa Saja, Sayu Ramadan, 3 Minit, Setulus Kasih Ramadan, Juadah Puasa Bersama VIP dan Persiapan Menjelang Raya.

"Segmen Sayu Ramadan contohnya akan mendekati insan atau keluarga yang merasai kesepian dan kehilangan ahli keluarga dalam tragedi kehilangan pesawat MH370 dan balu-balu mereka yang terkorban di Lahad Datu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mesra Bersama Media Program Selamat Pagi 1Malaysia di Tropicana Golf & Country Resort, Damansara di sini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa RTM, Zainab Yusof dan Penyelaras Siaran Pagi, Rauyah Marzuki.

SP1M dibarisi sembilan ikon pengacara terdiri daripada Syahril Sarapudin, Taufik Mahmud, Hanum Dzuliasreen, Nurata Amin, Wan Aliazar Wan Halim, Hanie Hamid, Iesya Toh, dan Tun Nadia Aminuddin.

Program itu bakal bersiaran setiap hari pada pukul 7.30 pagi di TV1. - UTUSAN ONLINE 
Strategi baharu produk BioNexus

Daripada HASNURUL MOHAMED

SAN DIEGO, RABU 24 Jun, 2014: Pelancaran logo baharu produk syarikat BioNexus merupakan strategi pemasaran BioTechCorp Malaysia bagi membantu meningkatkan keyakinan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif BioTechCorp Malaysia, Datuk Mohd. Nazlee Kamal berkata, sudah tiba masanya produk 234 syarikat BioNexus diiktiraf sebagai produk yang menepati cita rasa dan kepuasan pengguna, berkualiti dan bertaraf tinggi dari aspek pengkajian sains.

"Logo baharu ini juga representasi kepada produk berkualiti syarikat berstatus BioNexus dalam bidang bioperubatan, bioteknologi pertanian dan bioindustri.

"Ketiga-tiganya boleh menyumbang lebih RM3.3 bilion kepada sektor pelaburan negara," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pavilion Malaysia sempena Persidangan Antarabangsa Bio 2014 di Pusat Konvensyen San Diego, California di sini hari ini.

Turut dilancarkan, logo baharu BioNexus yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin dan dihadiri juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu; Pengerusi BioTechCorp Malaysia, Tan Sri Zakri Abdul Hamid; serta delegasi Malaysia terdiri daripada Exco Kerajaan Negeri Kedah, menteri-menteri negeri Sabah dan Sarawak serta wakil dari pelbagai agensi.

Mohd. Nazlee berkata, BioTechCorp yang menyertai Persidangan Antarabangsa Bio 2014 kali ke-10 turut menyasarkan perkembangan industri bioekonomi menerusi rangkaian global serta mencari jalinan kerjasama berpotensi dengan syarikat-syarikat bio dari Amerika Syarikat dan negara lain.

Beliau menambah, dengan menghadiri persidangan tersebut, ia merupakan satu platform yang amat strategik bagi Malaysia untuk mempamerkan dan memberitahu negara luar bahawa Malaysia mampu memberikan satu kelebihan kepada para pelabur yang berminat.

"Malaysia boleh menjadi pintu masuk kepada para pelabur kerana berdasarkan kedudukan kita di rantau Asia Pasifik, negara kita dilihat berada di landasan yang betul.

"Oleh itu, sejajar dengan pengkomersialan produk bioteknologi dan dimensi baharu dalam dunia inovasi teknologi, maka bioekonomi adalah faktor penarik untuk tembusi pasaran global," katanya. - UTUSAN ONLINE 
PM umum tambahan barisan Kabinet

PUTRAJAYA, RABU 25 Jun, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tambahan dalam barisan Kabinet yang menyaksikan kemasukan semua wakil-wakil daripada MCA dan Gerakan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai Menteri Pengangkutan manakala Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong pula dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong turut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tiga lagi Naib Presiden MCA turut dilantik sebagai timbalan menteri.

Mereka ialah Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Chew Mei Fun (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). - UTUSAN ONLINE 
PPDNKK tumpas 97 kes penyelewengan diesel

KOTA TINGGI. RABU 25 Jun, 2014: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri ini berjaya menumpaskan 97 kes penyelewengan minyak diesel subsidi membabitkan rampasan bernilai RM4.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa PPDNKK negeri, V. Ravichandran berkata, kesemua rampasan itu membabitkan serbuan ke atas setor simpanan haram, kenderaan yang telah diubah suai, stesen minyak dan kapal dagang.
Katanya, 161 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu telah didakwa di mahkamah. - UTUSAN ONLINE1 
Lebih 50,000 pemandu diperiksa dalam Op Warta Khas

BACHOK, RABU 25 Jun, 2014: Polis telah melakukan sebanyak 50,694 pemeriksaan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan di seluruh negara menerusi Op Warta Khas sehingga petang semalam dalam usaha menjejaki 1.9 juta pesalah trafik yang terlibat dengan waran tangkap.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Sri Salleh Mat Rasid berkata, sehingga kini sebanyak 2,290 pesalah trafik tersebut telah ditangkap menerusi 989 operasi yang dijalankan di seluruh negara.

Beliau berkata, Op Warta Khas yang berkuat kuasa pada 16 hingga 27 Jun ini bertujuan mengesan pesalah trafik yang masih enggan menyelesaikan waran tangkap mereka, di samping menumpukan perhatian terhadap pemeriksaan nombor plat kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi undang-undang.

Beliau berkata, operasi tersebut telah memberi impak yang positif kepada pesalah trafik tegar yang telah tampil secara sukarela untuk menyelesaikan saman yang dikenakan sebelum ini.

"Kutipan bayaran nampaknya semakin bertambah termasuk kesedaran pesalah trafik baharu yang tidak berlengah membayar saman untuk mendapatkan kadar potongan yang berpatutan sebagaimana ditetapkan dalam sistem pembayaran.

"Polis akan terus melancarkan Op Warta Khas secara besar-besaran di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) dan jalan raya utama yang dikenal pasti bagi memburu pesalah trafik berikutan jumlah waran tangkap yang belum diselesaikan adalah masih banyak," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan khas Standard Pelaksanaan Tugasan di IPD Bachok, dekat sini petang semalam. - UTUSAN ONLINE 
Malaysia gesa Indonesia segera padam kebakaran di Sumatera

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Malaysia menggesa pihak berkuasa Indonesia melaksanakan segera tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah yang menyumbang kepada jerebu di negara ini sejak Ahad lepas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, gesaan itu disampaikan menerusi surat yang dihantar oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan kepada rakan sejawatannya di Indonesia semalam.

"Surat itu ditulis bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan bilangan titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia yang telah menyebabkan jerebu di Semenanjung Malaysia semenjak 22 Jun lalu," kata Palanivel dalam kenyataan hari ini. - Bernama 
Yakin mampu tingkatkan tahap risikan

KUBANG PASU, RABU 25 Jun, 2014: Pelancaran Unit Risikan Sempadan (URS) Pangkalan Utara, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini diyakini mampu meningkatkan tahap risikan di sempadan Malaysia dan Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, unit tersebut akan menumpukan kepada empat kegiatan jenayah yang sering berlaku di sempadan iaitu penyeludupan senjata api, kenderaan curi, pemerdagangan manusia dan mengesan penjenayah dikehendaki. - UTUSAN ONLINE 
Pesawat penumpang ditembak ketika mendarat, 1 maut

PESHAWAR, RABU 25 Jun, 2014: Seorang penumpang wanita terbunuh dan dua kru penerbangan cedera apabila sebuah pesawat komersial Pakistan ditembak kumpulan lelaki bersenjata tidak dikenali ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bacha Khan di sini hari ini.

Rangkaian berita Al-Jazeera yang memetik kenyataan jurucakap Syarikat Penerbangan Antarabangsa Pakistan (PIA), Mashud Tajwar berkata, lima das tembakan dilepaskan dari luar kawasan lapangan terbang ke arah pesawat PK-756 jenis Airbus A310 yang membawa 178 penumpang.

Jelasnya, pesawat terbabit bagaimanapun selamat mendarat walaupun terkena empat das tembakan.

Dalam pada itu, pegawai kanan polis yang menyiasat kes tersebut, Muhammad Faisal berkata, operasi penerbangan di lapangan terbang berkenaan ditangguhkan buat sementara.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu buat masa ini. -AFP/UTUSAN 
Abdel Fattah bimbang ekonomi Mesir

KAHERAH, RABU 25 Jun, 2014: Presiden baharu Mesir bertindak menyerahkan separuh daripada gaji dan hartanya, serta menyeru rakyat negara ini untuk melakukan pengorbanan sama dalam usaha memperbaikan keadaan ekonomi negara.

Ketika berucap dalam satu majlis tamat pengajian tentera, Abdel Fattah al-Sisi berkata, beliau enggan menandatangani kertas cadangan bajet 2014/15 selepas mendapati Mesir sangat bergantung kepada pinjaman untuk menjalankan pentadbiran.

"Kami akan melihat semula bajet ini kerana saya tidak dapat terima keadaan defisit yang tinggi. Saya mahu generasi akan datang hidup dalam keadaan baik, namun jika masalah hutang ini terus membelenggu saya bimbang masa depan kita akan menjadi buruk," jelas Abdel. - REUTERS/UTUSAN 
Kumpulan pemisah langgar gencatan senjata

KIEV, RABU 25 Jun, 2014: Presiden Ukraine, Petro Poroshenko mendakwa kumpulan pemisah pro-Rusia telah melanggari perjanjian gencatan senjata, selepas bertindak melancarkan serangan malam semalam sehingga menyebabkan seorang anggota tentera terkorban.

Kumpulan pemisah dan kerajaan Ukraine sebelum ini berjanji akan melakukan gencatan senjata selama seminggu sehingga 27 Jun ini, namun kerajaan melaporkan pro-Rusia menembak mati anggota tenteranya.

"Malang apabila berlaku pelanggaran perjanjian, malam semalam. Seorang tentera terbunuh dan tujuh lagi cedera," kata Poroshenko ketika melakukan pertemuan bersama Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier. - REUTERS/UTUSAN 
Tentera Iraq gempur kawasan penempatan militan

BAGHDAD, RABU 25 Jun, 2014: Sekurang-kurangnya 32 orang terkorban, selepas kerajaan Iraq bertindak melancarkan serangan udara di kawasan yang didiami oleh kumpulan militan, semalam.

Pegawai berkata, dalam serangan udara di Baiji, utara Baghdad, sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dan 17 lagi cedera, namun berdasarkan maklumat kesemua mangsa yang terkorban merupakan penduduk awam.

Sementara itu, menurut saksi, serangan udara di Husseibah berdekatan wilayah Anbar di barat Baghdad, tujuh orang anggota militan dan enam orang awam terbunuh. - AFP/UTUSAN
Militan Anti-Balaka serang penduduk Islam

BANGUI, RABU 25 Jun, 2014: Seramai 17 orang penduduk Islam terbunuh selepas sekumpulan lelaki beragama Kristian yang lengkap bersenjata melancarkan serangan ke atas sebuah kem penempatan berhampiran Bambari, sebuah bandar di Republik Afrika Tengah, semalam.

"Mereka yang terkorban merupakan penduduk minoriti Fulani, tindakan tersebut dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka dari kumpulan Anti-Balaka.

"Ada diantara mayat yang dibakar atau dicacatkan," kata seorang pegawai Kesatuan Afrika, sambil menambah kejadian turut mengakibatkan kumpulan militan Seleka bertindak balas dengan menyerang bandar berkenaan.

Kata pegawai itu lagi, serangan menyebabkan beberapa orang terkorban dan memaksa lebih 6,000 orang penduduk melarikan diri. - AFP/UTUSAN 
Mahkamah tangguh keputusan terhadap Musharraf

PAKISTAN, RABU 25 Jun, 2014: Mahkamah Agung Pakistan menangguhkan keputusan mahkamah rendah membenarkan bekas Perdana Menteri, Pervez Musharraf daripada ke luar negara, semalam.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Nawaz Sharif membuat rayuan terhadap keputusan yang membatalkan pengharaman perjalanan ke luar negara yang dikenakan ke atasnya ekoran kemungkinan bekas pemimpin berumur 70 tahun mungkin melarikan diri daripada tindakan undang-undang ke atasnya.

Jurucakap mahkamah, Shahid Komboh berkata, keputusan itu hanya bersifat sementara dan Mahkamah Agung dijangka membicarakan kes tersebut dalam tempoh empat minggu.

Musharraf berkata, beliau mahu pengharaman perjalanan itu dibatalkan supaya boleh melawat ibunya yang sakit di Dubai. - AFP/UTUSAN 
Kementerian Luar tidak keluarkan sijil kematian di luar negara

KUALA LUMPUR, RABU 25 Jun, 2014: Kementerian Luar tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sijil kematian untuk rakyat Malaysia yang meninggal dunia di luar negara.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan, kuasa mengeluarkan sijil bagi kematian yang berlaku di luar negara hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

“Kenyataan bahawa keluarga seorang pengebom berani mati yang mereka belum menerima sijil kematian daripada Wisma Putra adalah tidak benar," kata kenyataan itu malam tadi.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam bertajuk `Suicide bomber not from religious school’ menyiarkan kenyataan sumber bahawa keluarga seorang rakyat Malaysia, Ahmad Tarmimi Maliki, 26, masih tidak menerima sijil kematian dari Wisma Putra.

Ahmad Tarmimi maut setelah menjadi pengebom berani mati pertama dalam serangan di Ibu Pejabat Skuad Emas Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) di daerah Al-Anbar, Iraq pada 26 Mei lalu.

Tambah kenyataan itu, Malaysia adalah negara yang cintakan keamanan, mengamalkan kesederhanaan dan pada masa yang sama tidak menyokong mana-mana tindakan keganasan atau ekstremis, termasuk melibatkan rakyatnya sendiri.

“Berhubung dakwaan bahawa seorang warga Malaysia terlibat dalam pengeboman berani mati, kementerian sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa luar negara untuk mengesahkan dakwaan ini," kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE     
Tiga langkah penjimatan sektor awam

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
 
 ALI HAMSA
PUTRAJAYA, SELASA 24 Jun, 2014: Bermula 1 Julai ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan semula tiga daripada 11 langkah penjimatan perbelanjaan sektor awam seperti diumumkan pada hujung tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, tiga perkara tersebut melibatkan imbuhan tetap keraian, kemudahan bayaran tol dan kelayakan tiket penerbangan ekoran pindaan Pekeliling Perbendaharaan Bil.2 Tahun 2014.

Sehubungan itu, katanya, pegawai kanan kerajaan gred 54 ke atas akan menikmati semula imbuhan tetap keraian pada kadar asal tanpa sebarang pengurangan mulai bayaran emolumen pada bulan hadapan.

"Selain itu, mereka juga bakal menerima semula nilai maksimum bayaran tol sebanyak RM500 seperti ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan Bil.5 Tahun 2013.

"Berkenaan kelayakan tiket penerbangan, pegawai gred 53 sehingga Jawatan Utama Sektor Awam C (JUSA C) atau setaraf dengannya berkelayakan dinaik taraf ke kelas perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Ketua Setiausaha Negara dengan Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah.

Pada 30 Disember 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam bermula 1 Januari lalu.

Antara kesebelas langkah itu adalah pengurangan sebanyak lima peratus kos utiliti elektrik di kesemua agensi kerajaan dan mengurangkan penyediaan makanan dan minuman semasa penganjuran sebarang acara rasmi kerajaan.

Ali menambah, pegawai gred 54 dan ke bawah layak mendapat kemudahan dinaik taraf kepada kelas perniagaan bagi penerbangan luar negara melebihi empat jam yang menggunakan perkhidmatan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Ujarnya, perkara itu mengikut harga yang ditawarkan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ketika menjelaskan pengumuman itu, beliau berkata, kerajaan mengkaji semula langkah berkenaan memandangkan ekonomi negara telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh suku pertama 2014 iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus.

Katanya, perkembangan itu dijangka membolehkan ekonomi negara terus mencapai sasaran melebihi lima peratus bagi keseluruhan tahun ini selaras unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 5.2 peratus. - UTUSAN 
Tiada masalah bantu Menteri Pengangkutan baharu'

SEPANG, SELASA 24 Jun, 2014: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sedia membantu Menteri Pengangkutan yang baharu dan tidak mempunyai masalah bagi meneruskan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, tugas pencarian pesawat MH370 itu bukan mudah dan sedia meneruskan khidmat tersebut sekiranya masih diperlukan.

Katanya, beliau juga sudah bersedia menghadapi situasi tersebut sejak hari pertama memangku jawatan itu dan telah menyiapkan struktur yang tersusun bagi penggantinya.

"Berhubung pencarian pesawat MH370, saya akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi saya sudah melakukan persiapan awal dengan mewujudkan empat jawatankuasa dalam operasi pencarian ini iaitu melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

"Kalau diminta terus memantau, menentukan hala tuju dan mengkordinasikan pencarian pesawat ini, juga saya dapat fahami kerana sukar bagi sesiapa pun untuk mengambil-alih serta-merta," katanya.

Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri dalam majlis perasmian terminal klia2 di sini hari ini yang membayangkan bahawa majlis perasmian itu merupakan tugas rasmi terakhirnya sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan.

Mengulas perkembangan terbaharu operasi pencarian pesawat itu, Hishammuddin berkata, Australia menerusi Timbalan Perdana Menterinya akan mengumumkan kawasan pencarian baharu pesawat itu pada Khamis ini.

Katanya, kawasan pencarian baharu itu yang dibuat oleh pakar telah mendapat persetujuan bersama Malaysia, China dan Australia.

Hishammuddin berkata, kerja-sama tiga negara itu juga menolak sebarang teori konspirasi yang mendakwa kerajaan menyembunyikan maklumat berhubung kehilangan pesawat MH370. - UTUSAN 
Jerebu kembali melanda negara

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

 * BEGINILAH keadaan jerebu yang dirakamkan sekitar pukul 12 tengah hari di kawasan Lebuh Raya Utara Selatan susur keluar ke Nilai, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Krisis jerebu yang melanda negara beberapa bulan lalu kini berulang apabila enam kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat dengan bacaan melebihi 100.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga pukul 5 petang, Banting mencatatkan IPU tertinggi iaitu 127 diikuti Batu Muda (122), Putrajaya (114), Pelabuhan Klang (110), Nilai (105) dan Cheras (102).

Sebanyak 25 kawasan pula mencatatkan bacaan IPU di tahap sederhana manakala 18 berada di tahap baik.

Antara lokasi yang mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana ialah Shah Alam iaitu 97, Petaling Jaya (92), Port Dickson dan Seremban masing-masing 85, Kuala Selangor (84) serta Paka di Terengganu (72).

Bacaan IPU antara 0-50 menggambarkan kualiti udara yang baik manakala 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya).

Dalam pada itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dalam kenyataan di sini berkata, bacaan IPU yang tidak sihat dipengaruhi oleh pencemaran jerebu merentas sempadan berikutan musim Monsun Barat Daya yang dialami pada ketika ini dan dijangka berterusan sehingga bulan September.

Katanya, menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berpusat di Singapura semalam menunjukkan, pergerakan asap jerebu sederhana dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia dan tiupan angin dari arah barat daya membawa asap berkenaan ke kawasan tengah Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

"Malah, pihak ASMC juga melaporkan bilangan titik panas yang dikesan melalui imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) di Sumatera, Indonesia semalam terus meningkat iaitu sebanyak 129 titik panas berbanding 116 titik panas yang dicatatkan pada kelmarin.

"Selain itu, sebanyak 23 titik panas turut dikesan dalam negara iaitu di negeri Johor (1), Kelantan (3), Terengganu (1), Selangor (4), Pahang (6), Sarawak (5) dan Sabah (3).

"Dalam cuaca panas dan kering serta keadaan atmosfera yang statik (tenang), habuk-habuk terampai yang dibawa merentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan kekal berkumpul dalam ruang udara dan menyebabkan keadaan sedikit berjerebu," katanya.

Jelas beliau, kesemua titik panas yang dikesan di negara ini akan disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

Sementara itu, Palanivel berkata, berdasarkan siasatan JAS, sebanyak 3,936 kes pembakaran terbuka telah dikesan dari awal tahun sehingga 22 Jun ini.

Jelasnya, bilangan tersebut membabitkan pembakaran di kawasan hutan iaitu sebanyak 833 kes, kawasan pertanian (1,275 kes), kawasan industri (31 kes), pembinaan (117 kes), tapak pelupusan sampah (69 kes), kawasan belukar (913 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (716 kes).

"Bagi tempoh yang sama, sebanyak 276 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun dan 87 kes telah dikeluarkan notis amaran.

"Selain itu, sebanyak 43 Kertas Siasatan bagi kesalahan melakukan pembakaran terbuka telah dibuka bagi tindakan pendakwaan di mahkamah," katanya.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa memantau bagi mencegah pembakaran terbuka.

Katanya, 194 pegawai JAS diberi kuasa menangkap penjek alam sekitar di bawah peruntukan Seksyen 37 C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, (Pindaan) 2012. - UTUSAN 
Penggunaan elektrik dijangka meningkat

 
KUALA LUMPUR, SELASA,  24 Jun, 2014: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan peningkatan jumlah penggunaan elektrik berikutan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino yang melanda negara.

Menurut Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) TNB, Omar Sidek (gambar), suhu atmosfera yang tinggi akan menyebabkan peningkatan kepada penggunaan elektrik terutama penggunaan pendingin hawa dan kipas secara ekstrem di kilang-kilang, premis perniagaan serta kawasan kediaman.

"Bahang El Nino sudah pun dirasai pada masa ini dengan cuaca panas melampau dan kurangnya taburan hujan. Berdasarkan pengalaman semasa El Nino melanda pada 2009, beban penggunaan elektrik bakal meningkat dua peratus daripada jangkaan.

"Penggunaan elektrik biasanya berada pada tahap puncak antara pukul 2 hingga 5 petang setiap hari dan negara mencatatkan permintaan untuk elektrik pada waktu puncak yang tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 16,583 megawatt (mW) pada 28 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Omar turut menasihatkan para pengguna supaya mengamalkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik ketika keadaan cuaca panas dan kering sekarang.

"Pengguna disaran menggosok pakaian pada waktu malam serta memasak air atau mengguna mesin basuh di luar waktu puncak. Mereka yang menggunakan pendingin hawa dinasihatkan untuk melaraskan suhu sistem di antara 23 hingga 25 darjah Celsius serta menukar atau membersihkan alat penapis secara kerap.

"Industri yang menggunakan elektrik secara besar-besaran seperti kilang keluli dan simen juga disaran menjalankan operasi pada waktu malam," katanya - UTUSAN. 
Semua negeri diarah sedia laporan bekalan air

 Mahdzir Khalid
TANJONG KARANG, SELASA 24 Jun, 2014: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengarahkan semua negeri menyediakan laporan lengkap mengenai kedudukan terkini paras air empangan untuk dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menghadapi cuaca kering dan fenomena El Nino yang akan bersidang pada 30 Jun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, laporan itu perlu bagi membolehkan jawatankuasa khas berkenaan meneliti kedudukan semasa paras air mentah di negeri-negeri supaya satu tindakan khusus dapat dilaksanakan sekiranya negara dilanda fenomena tersebut yang diramalkan berlaku selama enam bulan bermula pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun katanya, keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini bukanlah berpunca daripada fenomena El Nino sebaliknya perubahan angin Monsun Barat Daya dari Lautan Hindi.

"Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai fenomena El Nino ini akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Kita di peringkat kementerian selaku sekretariat jawatankuasa meminta semua negeri menyediakan maklumat dan laporan terkini mengenai kedudukan bekalan air mentah di semua empangan masing-masing.

"Maklumat dan laporan itu termasuk paras air mentah di empangan untuk bekalan air pengguna, empangan pertanian, empangan hidroelektrik dan empangan untuk tebatan banjir. Laporan ini adalah untuk mengetahui berapa jumlah paras air empangan di negeri masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mahdzir lagi, pada masa sama, laporan kedudukan paras air empangan dari setiap negeri diperlukan bagi membolehkan jawatankuasa khas berkenaan meneliti kesan yang mungkin berlaku sekiranya musim kering dan fenomena El Nino berlaku secara berterusan untuk tempoh tiga bulan dan seterusnya.

"Sekiranya paras air mentah di empangan berada pada kadar 80 peratus, kita mahu tahu peratusan penurunan yang akan berlaku jika musim kering dan fenomena El Nino berlaku berterusan selama tiga bulan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan hari ini mengenai aktiviti penerokaan Hutan Simpan Lentang dipercayai untuk pembinaan projek menara elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, pembinaan itu dilaporkan mengikut syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Menurutnya, pembinaan menara berkenaan melibatkan talian penghantaran elektrik utama sejauh 20 kilometer iaitu talian 500 kV (kilovolt) dari Bentong South ke pencawang utama Lenggeng, Negeri Sembilan manakala satu lagi talian 275 kV dari Bentong South ke Ampang East, Selangor.

"TNB telah dapat kelulusan dasar daripada kerajaan negeri Pahang untuk pembinaan talian dan struktur menara tersebut selepas kerja-kerja pengeluaran balak melibatkan kawasan yang terlibat selesai.

"Dimaklumkan tiada pelanggaran dibuat mengikut arahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam projek tersebut," ujarnya.

Terdahulu, Mahdzir melakukan lawatan kerja ke kilang pengeluaran pelet bahan bakar biomas, Detik Aturan Sdn. Bhd. di Kampung Sungai Gulang-Gulang di sini yang telah berjaya menghasilkan serta mengeksport bahan bakar daripada bahan buangan kelapa sawit untuk kegunaan janakuasa tenaga di Korea Selatan.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Detik Aturan Sdn. Bhd., Khairil Annuar Khalid. - UTUSAN 
Aset Maritim perlu ditambah

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan SITI ROHAIZAH ZAINAL
 
 Ahmad Puzi Ab. Kahar
PUTRAJAYA, SELASA 24 Jun, 2014: Penambahan aset operasi dan anggota akan dapat meningkatkan keupayaan serta kecekapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menguatkuasakan undang-undang laut di negara ini.

Sehingga kini agensi itu memiliki 77 buah kapal peronda, 162 bot laju pelbagai kelas dan lapan unit pesawat udara bagi menggalas tugas rondaan serta pengoperasian melibatkan zon maritim negara yang berkeluasan 614,000 kilometer persegi, namun kira-kira 62 peratus daripadanya berusia melebihi 30 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, jumlah keanggotaan Maritim Malaysia pada masa ini pula ialah kira-kira 5,000 orang dengan agensi penguatkuasaan berkenaan menyasarkan untuk memiliki 10,500 anggota menjelang 2020.

"Keluasan kawasan perairan negara adalah dua kali ganda daripada darat. Melihat daripada segi itu, kita perlu maju ke hadapan dengan menambah atau menggantikan aset-aset usang dan meningkatkan jumlah keanggotaan bagi mengukuhkan keberkesanan pelaksanaan tugas,’’ katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Ahmad Puzi, sebagai agensi tunggal penguatkuasaan di perairan negara, kerajaan memutuskan agensi-agensi lain menyerahkan kapal, bot, jeti dan pangkalan kepada Maritim Malaysia bagi tujuan penguatkuasaan.

Beliau berkata, mengikut piawaian antarabangsa, aset-aset lama sudah tidak ekonomi dan sesuai digunakan bagi tujuan pengoperasian manakala kebanyakan aset yang diterima agensi tu perlu dibaik pulih berikutan mengalami kerosakan di bahagian-bahagian tertentu.

"Maritim Malaysia mempunyai 77 kapal, namun satu perkara perlu diakui bahawa kebanyakan aset tersebut telah berusia kerana kita menerima aset yang telah lama digunakan. Kapal paling baharu disumbangkan oleh kerajaan Jepun enam tahun lalu.

"Generasi pada masa ini memerlukan aset yang boleh dijadikan sebagai tempat bekerja yang selari dengan peredaran masa.

Kapal-kapal ini mesti sesuai untuk kegunaan anggota bagi mengharungi pelbagai cabaran getir ketika menjalankan tugas di perairan negara yang amat strategik untuk aktiviti perdagangan sekali gus menyebabkan perlakuan jenayah merentasi sempadan boleh berlaku pada bila-bila masa,’’ ujar beliau.

Ahmad Puzi berkata, cabaran lain yang dihadapi agensi berkenaan ialah tidak mempunyai ibu pejabat pusat, pejabat wilayah dan jeti sendiri sebaliknya menyewa atau menumpang kemudahan daripada agensi lain.

Beliau menegaskan, meskipun Maritim Malaysia terpaksa mengharungi pelbagai kerumitan namun ia bukan penghalang bagi anggota agensi tersebut menjalankan tugas dengan kental menerusi kemampuan yang ada dan menerimanya sebagai satu cabaran.

"Peranan Maritim Malaysia dalam menjaga perairan negara juga diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menerima anugerah Agensi Keselamatan Maritim Terbaik 2009 dari Frost & Sullivan di Singapura dan International Quality Summit Award for Excellence and Business Prestige dari Business Initiative Directions di New York pada 28 Mei 2012,’’ katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha untuk membanteras kegiatan haram seperti penyeludupan diesel bersubsidi menerusi perairan negara akan lebih berkesan jika ia dikekang awal semasa di daratan.

‘Agensi-agensi yang terlibat perlu meningkatkan kerjasama untuk mencegah di peringkat awal kerana ia lebih berkesan berbanding apabila sudah memasuki perairan negara yang luas,’’katanya. - UTUSAN 

Seleweng diesel subsidi menurun


Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
 
 ALIAS Ahmad
KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Ketegasan pihak berkuasa dalam memerangi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di seluruh negara mula menampakkan hasil apabila pihak-pihak yang terlibat mula ‘gerun’ sehingga menyebabkan kegiatan itu menurun sebanyak 30 peratus.

Hal ini kerana, terdapat pengusaha stesen minyak yang tidak lagi memberikan kerjasama kepada pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meneruskan kegiatan penyelewengan itu khususnya di Kelantan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, impak paling memberangsangkan sejak pihak kementerian bertindak proaktif dalam memerangi sindiket tersebut adalah tiada lagi isu kekurangan bekalan minyak di semua stesen minyak.

Sebelum ini, jelasnya, semua stesen minyak sering mengadu jumlah bekalan yang ditetapkan oleh kerajaan tidak mencukupi malah sentiasa perlu ada penambahan bekalan.

"Pegawai penguat kuasa yang bertugas di Kelantan memaklumkan suasana di stesen-stesen minyak di negeri itu terutama di kawasan sempadan mula lengang daripada kelibat pemborong penyelewengan diesel. Ini kerana operator stesen tidak lagi bekerjasama dengan penyeludup," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia sejak 10 Mei lalu mendedahkan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi, mengakibatkan negara mengalami kerugian jutaan ringgit dan berdasarkan maklumat, dalang utama kegiatan haram itu terdiri daripada pemborong dengan memanipulasi kelemahan agensi penguat kuasa.

Rentetan itu, kementerian berkenaan bertindak aktif membanteras kegiatan tersebut dan mengingatkan pemborong serta pengusaha stesen minyak yang didapati bersubahat dalam kegiatan penyelewengan bahan api itu akan digantung lesen dan dibatalkan serta-merta sekiranya ada bukti.

Sejajar dengan itu pada 31 Mei lalu, kementerian telah mengehadkan penjualan minyak diesel dan petrol di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand kepada 600,000 liter untuk tempoh sebulan.

Alias dalam pada itu memberitahu, hasil pemerhatian dan pemantauan menyeluruh pasukan penguat kuasa di kawasan sempadan mendapati tiada kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia yang dipercayai bertindak sebagai pemborong sindiket berulang-alik dari Thailand memasuki negara ini.

Malah, jelas beliau, turut tidak kelihatan di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan adalah kumpulan motosikal yang sebelum ini dilaporkan sering membeli diesel yang dimasukkan ke dalam botol dipercayai untuk dibawa ke Thailand.

"Pejabat kita di Kelantan juga sudah tidak menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung kesukaran orang awam untuk mengisi minyak di stesen minyak di kawasan sempadan.

"Kita lihat sehingga hari ini semua syarikat dan stesen minyak yang terletak antara 1 hingga 25 kilometer dari sempadan Thailand mematuhi arahan menjual minyak mengikut kuota seperti yang ditetapkan," katanya.

Bagaimanapun kata beliau, pemantauan tegas dan kawalan ketat masih diteruskan di kawasan sempadan oleh pasukan penguat kuasa kementerian bersama-sama dengan Kastam, Unit Pencegah Penyeludupan, Pasukan Gerakan Marin, Pasukan Gerakan Am dan Angkatan Tentera Malaysia. - UTUSAN 
Rasionalisasi subsidi minyak untungkan rakyat

KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan program rasionalisasi subsidi minyak yang bakal dilaksanakan kerajaan kelak akan menguntungkan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, segala cadangan daripada tujuh syarikat berhubung program berkenaan akan digembleng bagi mendapatkan formula terbaik dalam menangani penyalahgunaan subsidi dan meningkatkan kecekapan pelaksanaannya kepada kira-kira 10 juta rakyat Malaysia.

Menurutnya, tidak wujud sebarang isu berhubung penglibatan syarikat berkaitan Singapura dalam proses pemberian cadangan kerana beliau optimis syarikat berkenaan juga mampu memberi input terbaik, lebih-lebih lagi kerajaan bersikap terbuka dalam menerima sebarang cadangan konkrit.

"Kementerian juga membuka ruang kepada penglibatan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran berkaitan untuk memberi cadangan. Semua ini sebahagian daripada proses keterbukaan kita bagi memastikan kepentingan pengguna terjamin.

"Mengenai penglibatan syarikat berkaitan Singapura itu, sebenarnya syarikat tempatan selama ini juga menggunakan kemahiran teknikal dari luar, kita tidak boleh menghalang perkembangan ini terutama dengan landskap perdagangan bebas zaman ini.

"Apa yang penting, kita akan mengkaji balik proses pengagihan subsidi ini dan hasil pemilihan pasti akan menguntungkan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa terdapat tujuh syarikat telah mengemukakan cadangan program rasionalisasi subsidi minyak kepada kerajaan melalui pelbagai pihak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan KPDNKK.

Tujuh syarikat berkenaan termasuk sebuah syarikat berpangkalan di luar negara, sebuah syarikat berkaitan Singapura dan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri.

Utusan Malaysia juga difahamkan, setiap syarikat mengemukakan skim mereka sendiri untuk program rasionalisasi subsidi bahan api dengan matlamat menangani penyalahgunaan subsidi dan meningkatkan kecekapan pelaksanaannya kepada kira-kira 10 juta rakyat Malaysia.

Cadangan sistem dan platform subsidi yang dikemukakan daripada setiap syarikat adalah pelbagai termasuk penggunaan platform seperti MyKad, Kad Pintar, Kad Minyak 1Malaysia, Kad Subsidi, biometrik dan kupon atau tunai.

Mengulas lanjut, Hasan berkata, pada tahap ini, beliau amat berpuas hati dengan perkembangan penguatkuasaan terhadap penyelewengan bahan api itu terutama Ops Titik yang menyaksikan pelbagai tindakan diambil termasuk menarik balik lesen bunkering dan jeti persendirian.

"Pada tahap ini saya yakin jawatankuasa kajian berkaitan cadangan program rasionalisasi subsidi minyak akan membuat keputusan tepat dengan matlamat untuk menjaga kepentingan rakyat dalam isu penyelewengan subsidi ini," katanya. - UTUSAN 
Tolak permohonan syarikat luar, Singapura

KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Kerajaan diminta menolak permohonan daripada syarikat berpangkalan di luar negara dan syarikat berkaitan Singapura yang telah memberi cadangan untuk program rasionalisasi subsidi minyak di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu bertujuan mengelak daripada timbul isu keselamatan memandangkan syarikat yang menerima hak itu mempunyai akses kepada maklumat peribadi lebih 10 juta rakyat Malaysia melalui MyKad.

Tegas beliau, rasionalisasi subsidi perlu disegerakan untuk mengelak berlaku ketirisan namun pelaksanaannya mestilah dilakukan secara berkesan dan tepat untuk mengelak daripada timbul masalah lain.

"Tidak wajar bagi syarikat asing menyimpan data dan maklumat peribadi rakyat Malaysia mengenai MyKad, baik syarikat swasta mahu pun syarikat asing tidak boleh dibenarkan memiliki sistem yang mempunyai maklumat itu.

"Kerajaan perlu beri keutamaan kepada syarikat tempatan yang ada kebolehan untuk menjayakan program rasionalisasi subsidi dalam masa terdekat, malah difahamkan kerajaan berbelanja RM1 bilion sebulan bagi subsidi minyak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, tujuh syarikat telah mengemukakan cadangan program rasionalisasi subsidi minyak kepada kerajaan melalui pelbagai pihak seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tujuh syarikat berkenaan termasuk sebuah syarikat berpangkalan di luar negara, sebuah syarikat berkaitan Singapura dan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri.

Cadangan sistem dan platform subsidi yang dikemukakan daripada setiap syarikat adalah pelbagai termasuk penggunaan platform seperti MyKad, Kad Pintar, Kad Minyak 1Malaysia, Kad Subsidi, biometrik dan kupon atau tunai.

Sementara itu, Mohd. Puad turut menggesa sistem rasionalisasi disegerakan terutama minyak petrol RON95 dengan menghapuskan sistem pukal agar bahan bakar itu betul-betul hanya dinikmati golongan sasar.

"Tahun lalu, kerajaan mengagihkan 18.6 bilion liter petrol RON95 untuk rakyat Malaysia namun hasil kajian mendapati enam bilion daripadanya digunakan oleh orang asing.

"Jadi kalau masalah ini tidak diselesaikan rakyat pula akan menuduh kerajaan tidak adil sebabnya setiap hari 90 peratus pengguna stesen minyak membeli RON95 dan lebih separuh adalah pemilik kenderaan mewah," jelas beliau. - UTUSAN 
Aduan sektor automotif meningkat 12 peratus

KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 4,915 aduan daripada pengguna terhadap pengeluar kereta tempatan membabitkan jumlah kerugian RM22.2 juta sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai kerugian RM9.5 juta.

Pengerusi NCCC, Datuk N. Marimuthu berkata, kebanyakan aduan berkaitan kereta baharu yang mengalami kerosakan dan tidak ada langkah sewajarnya diambil pihak pengeluar kenderaan bagi mengatasinya menyebabkan ia berlarutan dalam tempoh lama.

"Kami juga menerima aduan berhubung khidmat selepas jualan yang tidak mencapai tahap memuaskan, tidak menepati jaminan malah pengguna kesal kerana syarikat-syarikat itu hanya mementingkan keuntungan semata-mata," katanya dalam sidang akhbar pada seminar dan pelancaran Laporan Tahunan Aduan NCCC 2013 di sini hari ini.

Laporan itu antara lain mengandungi analisis, tindakan undang-undang, kaedah penyelesaian dan pertikaian yang dilaksanakan oleh NCCC.

Marimuthu yang juga Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, NCCC mengendalikan 20 jenis aduan pengguna dari pelbagai industri termasuk pembelian barang dan perkhidmatan.

Tambah beliau, aduan tertinggi adalah berkaitan produk am, diikuti sektor telekomunikasi, perkhidmatan peruncitan dan e-dagang, automotif dan industri pelancongan.

"Mana-mana syarikat yang memberi perkhidmatan atau produk perlu proaktif dalam menangani aduan pengguna mereka.

"Sekiranya mereka tidak beri perhatian terhadap aduan pelanggan, pengguna akan mencari syarikat lain atau memboikot dan akhirnya menjejaskan perniagaan mereka sendiri," katanya. - UTUSAN 
Aduan sektor automotif meningkat 12 peratus

KUALA LUMPUR, SELASA 24 Jun, 2014: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 4,915 aduan daripada pengguna terhadap pengeluar kereta tempatan membabitkan jumlah kerugian RM22.2 juta sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan nilai kerugian RM9.5 juta.

Pengerusi NCCC, Datuk N. Marimuthu berkata, kebanyakan aduan berkaitan kereta baharu yang mengalami kerosakan dan tidak ada langkah sewajarnya diambil pihak pengeluar kenderaan bagi mengatasinya menyebabkan ia berlarutan dalam tempoh lama.

"Kami juga menerima aduan berhubung khidmat selepas jualan yang tidak mencapai tahap memuaskan, tidak menepati jaminan malah pengguna kesal kerana syarikat-syarikat itu hanya mementingkan keuntungan semata-mata," katanya dalam sidang akhbar pada seminar dan pelancaran Laporan Tahunan Aduan NCCC 2013 di sini hari ini.

Laporan itu antara lain mengandungi analisis, tindakan undang-undang, kaedah penyelesaian dan pertikaian yang dilaksanakan oleh NCCC.

Marimuthu yang juga Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, NCCC mengendalikan 20 jenis aduan pengguna dari pelbagai industri termasuk pembelian barang dan perkhidmatan.

Tambah beliau, aduan tertinggi adalah berkaitan produk am, diikuti sektor telekomunikasi, perkhidmatan peruncitan dan e-dagang, automotif dan industri pelancongan.

"Mana-mana syarikat yang memberi perkhidmatan atau produk perlu proaktif dalam menangani aduan pengguna mereka.

"Sekiranya mereka tidak beri perhatian terhadap aduan pelanggan, pengguna akan mencari syarikat lain atau memboikot dan akhirnya menjejaskan perniagaan mereka sendiri," katanya. - UTUSAN