My Add

Thursday, 26 September 2013

Dua lelaki ditahan miliki barangan berkaitan PKM dibebas

PULAU PINANG, RABU, 25 September, 2013: Seorang lelaki tempatan bergelar Datuk Seri dan seorang rakyat Hong Kong yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang malam tadi kerana membawa beberapa barangan berkaitan Parti Komunis Malaya (PKM) telah dibebaskan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Hatta Mohd. Zain berkata, polis membebaskan kedua-duanya yang masing-masing berusia 66 dan 59 tahun setelah selesai merekodkan keterangan mereka.

"Kita bebaskan mereka dengan jaminan polis dan siasatan kes itu masih dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Polis Pulau Pinang menahan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan bergelar Datuk Seri dan seorang lagi rakyat Hong Kong kerana disyaki memiliki beberapa bahan berkaitan komunis dan bekas pemimpin komunis Chin Peng.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, hasil pemeriksaan ke atas bagasi mereka, polis menemukan 13 buah buku berkaitan komunis selain 11 cenderahati dan lapan cakera video digital (DVD) bertemakan Chin Peng selain gambar mendiang Chin Peng.

Sementara itu Hatta menambah, kes itu disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Chin Peng, 89, meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok minggu lalu akibat sakit tua. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment