Tindakan tegas jika cuba hidupkan fahaman komunisme
KUALA LUMPUR, RABU, 25 September, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada orang ramai termasuk ahli politik agar tidak cuba menghidupkan kembali fahaman komunisme di negara ini.
Tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, tindakan menyebar fahaman itu bukan sahaja melalui sebarang kenyataan, tetapi juga melalui perbuatan yang mempunyai unsur berkaitan seperti membawa masuk bahan-bahan buku, cakera padat video (VCD) atau dengan apa cara sekalipun.
Beliau berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak yang ingkar dengan arahan tersebut.
"Kebimbangan ini rentetan daripada dua kes termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam apabila dua lelaki ditahan kerana cuba membawa masuk bahan-bahan berkaitan Parti Komunis Malaya.
"Pemeriksaan terhadap kedua-dua mereka menemui bahan-bahan seperti buku-buku dan VCD berkaitan fahaman ini. Semua bukti ini boleh dianggap sebagai barangan yang jelas menunjukkan hubung kait PKM dan fahaman komunisme," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Peringkat Tertinggi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 8, komunikasi bersama PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak hari ini.
Yang turut hadir, Panglima ATM, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Tambah Khalid, pihaknya sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada cubaan menghidupkan fahaman dan perjuangan tersebut.
"PKM dan fahaman ini telah lama berkubur dan berakhir di negara ini, jadi jangan sesekali ada pihak cuba menghidupkan kembali perjuangan ini.
"Begitu juga dengan Chin Peng. Dia bukan warganegara dan adalah pengkhianat negara, jadi tidak layak mayat atau abunya masuk ke negara ini," katanya lagi.
Sementara itu, Zulkifeli berkata, beliau yang melihat perkembangan itu bimbang dan khuatir seolah-olah ada yang cuba menghidupkan kembali perjuangan yang dibawa oleh PKM dahulu.
"Sekiranya objektif menanam fahaman secara umum oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini gagal pada peringkat awal, saya risau akhirnya akan wujudnya pula perancangan membentuk ancaman militan kelak.
"Ini adalah isu keselamatan yang wajar kita bimbangkan dan perlunya persiapan dalam menangani perkara ini dari peringkat awal lagi," ujarnya.
Kata Zulkifeli, seluruh pejuang ATM baik yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia pasti sesekali tidak menerima walaupun abu mayat Chin Peng untuk dibawa masuk ke negara ini.
"Chin Peng telah mendatangkan banyak penderitaan kepada rakyat di negara ini suatu ketika dahulu. Dia boleh dianggap musuh negara," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment