MUHYIDDIN Yassin melihat replika buku The Competition Act 2010 Compliance Guidelines semasa merasmikan Persidangan Undang-Undang Persaingan Malaysia Pertama di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek (kiri) dan Pengerusi MyCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob (kanan). - utusan/Abdul Razak Latif |
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua ahli UMNO yang terlibat dalam pemilihan parti perlu menjauhi amalan tidak sihat dan bertentangan dengan tataetika tersebut.
Menurutnya, sebahagian calon baharu dan perwakilan perlu diingatkan semula tentang tataetika yang digunakan sejak pemilihan parti lalu.
"Amalan politik wang dan perkara-perkara berkaitan fitnah serta tohmahan memang dilarang sama sekali.
"Saya minta Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Undang- Undang Persaingan Malaysia Pertama anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di sini hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini pernah mengingatkan kesemua ahli parti supaya tidak menyalahgunakan kuasa, mengamalkan politik wang atau menyerang secara peribadi dalam usaha mendapatkan mana-mana jawatan dalam pemilihan UMNO bulan depan.
Muhyiddin menambah, mana-mana calon atau perwakilan yang kurang pasti sama ada perbuatan mereka selari atau tidak dengan tataetika pemilihan boleh merujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Beliau memberitahu, langkah itu perlu bagi mengelak mereka berdepan tindakan disiplin sekiranya dibuktikan melanggar tataetika pemilihan.
"Walaupun mereka menang, keputusan boleh ditarik balik kerana melakukan amalan bertentangan dengan tataetika," katanya.
Beliau memberitahu, pucuk pimpinan mahu melihat tataetika dipatuhi sepenuhnya supaya proses pemilihan parti kali ini berjalan rapi, tertib dan tersusun.
"Kita berharap perjalanan pemilihan itu akan menghasilkan sesuatu yang baik dan memberi peluang kepada para perwakilan membuat keputusan tanpa diganggu amalan tidak sihat," katanya.
Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, tindakan banyak calon menarik diri daripada persaingan di peringkat bahagian dan Pusat sebelum tempoh bertenang berakhir semalam dibenarkan mengikut peraturan pemilihan.
Menurut beliau, mereka mungkin membatalkan hasrat meneruskan saingan setelah melihat senarai calon lain yang turut bertanding jawatan sama.
"Kalau mereka lihat pencabar lebih berkelayakan, berpengalaman dan berwibawa, itu hak mereka untuk memberi laluan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment