Perkembangan Bioekonomi mengubah Malaysia jadi maju
SAN FRANCISCO, RABU, 25 September, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau gembira terhadap perkembangan Bioekonomi yang telah berkembang dan mengubah Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, Bioekonomi akan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dalam usaha menjadikan ekonomi lebih produktif, berdaya saing serta inovatif.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Panel Penasihat Bio-Antarabangsa (BIO-IAP) 2013 di sini, Perdana Menteri berkata, beliau bangga menyatakan bahawa status Bioekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan mencatat prestasi yang membanggakan.
"Setakat ini, Biotech Corp berjaya memperoleh pelaburan yang diluluskan sebanyak US$4.5 bilion (RM13.8 bilion) yang merupakan 53 peratus melepasi sasaran fasa 2 sebanyak US$3 bilion (RM9 bilion)," katanya.
Najib berkata, industri bioteknologi telah mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan langsung dan tidak langsung.
Katanya, industri itu berkembang dan mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang diperlukan untuk rakyat Malaysia.
Mengenai pembangunan syarikat berstatus BioNexus, beliau berkata, ia kekal sebagai asas yang menjadi sandaran industri bioteknologi negara.
"Pada masa ini terdapat 225 syarikat berstatus BioNexus.
Pelaburan syarikat-syarikat seperti Verdezyne Inc, sebagai contoh telah membantu meningkatkan angka pelaburan untuk syarikat BioNexus melepasi AS$1 bilion (RM3.2 bilion).
"Ini merupakan perkembangan yang sangat positif dalam pembangunan industri bioteknologi Malaysia," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya Najib berkata, Malaysia mencatat kemajuan besar dan sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menyokong BTP, beliau mengumumkan peruntukan hampir US$27 juta (RM85 juta) untuk menyokong pembangunan Bioekonomi Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment