My Add

Thursday, 26 September 2013

Wujudkan suasana kompetitif

Oleh HUSSAINI AMRAN dan KAMIL MASLIH

 *MUHYIDDIN Yassin berucap ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang Persaingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 25 SeptEMBER, 2013: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang persaingan perlu dipatuhi setiap syarikat bagi mewujudkan suasana perniagaan kompetitif dengan rakyat mendapat perlindungan lebih adil.

Menurut beliau, Akta Persaingan 2010 bukan kekangan dalam amalan perniagaan kerana banyak negara maju turut mempraktikkan undang-undang tersebut.

"Selama ini, sebelum ada akta ini, seolah-olah pasaran itu bebas untuk apa sahaja yang hendak dibuat oleh peniaga dan mereka boleh lakukan apa sahaja walaupun bertentangan dengan etika dan undang-undang.

"Kita mahu supaya dengan adanya undang-undang ini, rakyat mendapat perlindungan yang lebih adil kerana harga yang mereka boleh dapatkan daripada barangan dan perkhidmatan itu adalah lebih kompetitif, mesti mungkin lebih rendah dari biasa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Undang-Undang Persaingan anjuran Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) di sini hari ini.

Yang turut hadir dalam persidangan yang pertama kali itu adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek, Pengerusi MyCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Shila Dorai Raj.

Menurut Muhyiddin, tiada syarikat terkecuali daripada akta tersebut sama ada syarikat gergasi, syarikat luar negara mahupun syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, amalan-amalan seperti kartel, monopoli dan berpakat untuk menetapkan harga bertentangan dengan semangat akta tersebut dan pemilik syarikat harus mengelak melakukan perkara menyalahi undang-undang.

"Bila ada undang-undang mesti ada penguatkuasaan, pihak yang melanggar undang-undang mesti ada hukuman seperti yang ditetapkan tetapi mereka ada ruang untuk merayu kepada tribunal rayuan," katanya.

Tambah beliau, undang-undang persaingan juga adalah antara perkara pokok dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana tiada negara yang mahukan amalan-amalan tidak sihat dalam perdagangan mereka.

"Dengan adanya akta ini, Malaysia boleh berbincang dengan soal-soal berkaitan perdagangan atau perniagaan kerana akta ini sudah pun dikuatkuasakan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment