Dua dituduh buat laporan palsu
PARIT, RABU, 25 September, 2013: Dua anggota polis dari Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah yang menghadapi tuduhan rasuah minggu lalu, hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membuat laporan palsu untuk menyelamatkan seorang lelaki yang disyaki memiliki dan menjual mercun serta rokok seludup, tahun lalu.
Inspektor Mohd. Shahrul Nizam Kaswadi, 29, dan Lans Koperal Mohd. Daniel Chris Iman Raynold, 31, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepada mereka di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.
Jumaat lalu, kedua-dua tertuduh serta seorang lagi rakan mereka, Lans Koperal Mohamad Hijan Ismail, 25, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dekat sini atas atas tiga tuduhan meminta dan bersetuju menerima rasuah berjumlah RM7,400 daripada lelaki yang sama bagi tujuan serupa.
Dalam prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh yang ditugaskan untuk menyediakan satu laporan polis terhadap Rosnizal Badri Shah, 30, didakwa telah membuat laporan palsu untuk menyelamatkan lelaki itu yang melakukan kesalahan memiliki dan menjual mercun dan rokok seludup.
Mereka berdua didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.12 pagi, 8 Ogos tahun lalu di IPD Perak Tengah, Seri Iskandar dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan oleh pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yang Ah Lay mengikut Seksyen 218 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Ah Lay mencadangkan kepada mahkamah supaya kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 setiap seorang.
Beliau juga memohon agar pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk tujuan perbicaraan kerana melibatkan saksi dan pengadu yang sama.
Peguam Kulvinder Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh pula memohon anak guamnya hanya dikenakan ikat jamin RM2,000 setiap seorang memandangkan mereka telah berkhidmat antara dua dan 11 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penanggung tunggal keluarga masing-masing.
"Sebaik sahaja didakwa, kedua-dua mereka digantung kerja dan keadaan ini menyebabkan keluarga mereka hilang sumber pendapatan.
"Mereka berdua juga tidak akan melarikan diri. Ini terbukti hari ini apabila kedua-dua mereka yang sedang berada dalam jaminan tetap datang ke sini hari ini untuk menghadapi tuduhan," katanya.
Siti Hafiza kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 berserta seorang penjamin.
Beliau juga memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh dan kes itu akan disebut semula di mahkamah tersebut pada 23 Oktober ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment