My Add

Sunday, 1 June 2014

Tahniah BN tetapi perjuangan belum selesai

SEMEMANGNYA tiada siapa pun boleh menafikan bahawa Barisan Nasional (BN) berhak bergembira atas kejayaan calon parti itu, Datuk Mah Siew Keong merampas kerusi Parlimen Teluk Intan apabila menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dengan majoriti 238 undi dalam pilihan raya kecil kawasan itu, semalam.

Siew Keong mendapat 20,157 undi berbanding Dyana Sofya yang memperoleh 19,919 undi. Jumlah undi yang diperolehi oleh Siew Keong tidak jauh bezanya dengan 20,089 undi yang beliau perolehi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Maknanya tidak kurang daripada 20,000 pengundi Teluk Intan terus setia bersama BN.

Bagi DAP pula, jumlah undi yang diperolehi Dyana Sofya sudah pasti mengecewakan mereka memandangkan pada PRU-13 jumlah undi calon mereka pada masa itu ialah 27,399 undi.

Dengan jumlah peratusan keluar mengundi 66.50 peratus dalam pilihan raya kecil kali ini berbanding 80.74 peratus pada PRU-13, ia memberi isyarat kepada BN, bahawa terlalu banyak ‘pekerjaan’ yang perlu dilakukan jika parti itu berhasrat untuk terus kekal di Teluk Intan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Apatah lagi, keseluruhan pengundi Cina yang majoritinya penyokong DAP dikatakan tidak keluar menunaikan tanggungjawab mereka atas beberapa sebab termasuklah tidak bersetuju dengan pemilihan Dyana Sofya sebagai calon dan merasakan sebarang keputusan pilihan raya kecil itu tidak memberi apa-apa kesan politik kepada pakatan pembangkang mahupun BN.

Inilah antara faktor yang turut menyumbang kepada kemenangan BN dan fakta ini tidak boleh diketepikan oleh BN biarpun kita sama sekali tidak menafikan kerja keras jentera parti itu dalam memastikan kemenangan memihak kepada Siew Keong.

Namun begitu kita perlu mengakui ada sedikit perubahan sikap dalam kalangan sesetengah pengundi Cina untuk memihak kepada BN apabila di peti undi Batu 12 contohnya yang dianggap kubu kuat DAP, BN berjaya menguasai 51.53 peratus undi sedangkan dalam PRU-13 DAP menang di peti undi tersebut dengan 68.5 peratus undi. Begitu juga ada peningkatan sokongan masyarakat itu kepada BN di peti undi Pasir Bedemar.

Bagaimanapun fakta-fakta ini belum membolehkan untuk BN terus bergembira dan berasa selamat di Teluk Intan. Cabaran bagi mengekalkan kerusi itu dalam Pilihan PRU-14 akan lebih getir. Tambahan pula jika mahu dibandingkan dengan majoriti 238 undi yang diperoleh BN, undi awal telah menjadi ‘penyelamat’ kepada parti itu memandangkan BN mendapat 375 undi dari peti undi tersebut.

Justeru BN perlu mengatur strategi daripada sekarang dan tidak lagi bergantung kepada pendekatan lapuk termasuk menyerang peribadi calon lawan untuk meraih sokongan seperti mana berlaku dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan.

Sebaliknya BN harus terus berusaha menaruh keyakinan kepada pengundi-pengundi khususnya pengundi Melayu dan India untuk kekal bersama parti itu dan menyakinkan pengundi Cina bahawa sokongan mereka kepada DAP dan parti pembangkang tidak akan membawa apa-apa faedah demi masa depan mereka.

Tidak perlulah lagi BN bercakap atau bernostalgia dengan jasa-jasa parti itu kerana ia sememangnya sudah tercatat dalam sejarah tetapi apa yang lebih penting memberi keyakinan kepada pengundi-pengundi di seluruh negara bahawa hanya parti itu paling layak memerintah negara ini.

Sesungguhnya, sementara kejayaan di Teluk Intan berhak diraikan namun janganlah sampai ia menjadi medan untuk BN berasa kembali kukuh kerana pembangkang tidak pernah ‘tidur’ dalam agenda mereka memerintah negara ini. - UTUSAN
Kemenangan BN ‘sangat manis' - Najib

BEIJING, SABTU 31 Mei, 2014: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, malam ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Siew Keong, beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang sangat manis di akhir lawatan rasmi enam harinya ke China.

Perdana Menteri turut mengucapkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai jentera pilihan raya serta seluruh jentera parti yang bekerja keras dan bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan Siew Keong.

“Ini berita yang sangat manis bagi saya, lebih-lebih lagi berlaku pada malam terakhir lawatan saya ke sini.

“Walaupun menang dengan majoriti kecil, dalam sistem demokrasi kelebihan satu undi pun dikira menang, apatah lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, kita kalah dengan majoriti lebih 7,000 undi," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Teluk Intan yang kembali memberi kepercayaan kepada BN.

Katanya, walaupun masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung trend mengundi, BN akan mengkaji apa faktor-faktor positif yang membawa kepada peralihan sokongan yang begitu besar itu.

Mengenai jawatan dalam Kabinet yang dijanjikan kepada Presiden Gerakan itu jika menang, Najib berkata, beliau berpegang kepada prinsip ‘janji ditepati’.

Ditanya adakah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga akan diberikan jawatan dalam Kabinet, Perdana Menteri dalam nada ceria berkata, MCA dan parti-parti komponen BN yang lain turut menjadi penyumbang kepada kemenangan calon daripada Gerakan itu.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Muhyiddin dalam kenyataannya turut menyifatkan pengundi Teluk Intan telah membuat pilihan yang tepat dengan memilih Siew Keong sebagai wakil rakyat mereka.

“Saya percaya kemenangan yang memihak kepada calon BN adalah satu petanda penting bahawa keyakinan dan sokongan rakyat semakin kukuh.

“Pengundi Teluk Intan telah membuat keputusan yang matang dengan menilai prestasi baik dan pengalaman Siew Keong yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dan Ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ini.

“Kita bersyukur kerana kemenangan ini juga membuktikan BN terus mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum di negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan itu adalah kepercayaan yang dimartabatkan semula oleh para pengundi Teluk Intan kepada BN.

“Kerja-kerja yang tersusun dan terselaras telah menghasilkan kejayaan, biar pun dengan majoriti yang kecil namun cukup bermakna," katanya. - UTUSAN
BN rampas Parlimen Teluk Intan

Oleh SAYED HESHAM IDRIS, KHAIRUL ABIDIN NUAR dan ROKIAH ABDULLAH

 * MAH Siew Keong dijulang oleh penyokong Barisan Nasional (BN) selepas diisytihar memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan dalam pilihan raya kecil kawasan itu di Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Teluk Intan, Perak, malam tadi. - MINGGUAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
TELUK INTAN, SABTU 31 Mei, 2014: Percaturan DAP meletakkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd. Daud bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan tidak menjadi apabila Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berjaya memenangi hati pengundi dengan memperoleh majoriti 238 undi.

Siew Keong memperoleh 20,157 undi manakala Dyana Sofya meraih 19,919 undi.

Keputusan PRK itu yang turut menyaksikan sebanyak 543 undi ditolak diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ibrahim Ahmad pada pukul 9.40 malam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini.

Peratusan jumlah pengundian bagaimanapun merosot kepada 66.67 peratus iaitu 40,236 daripada 59,927 pemilih berdaftar yang keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka di 120 saluran melibatkan 35 pusat mengundi.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada DAP, Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Leong Peng, 48, menewaskan calon BN, Siew Keong dan calon Bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Kali terakhir BN memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan ialah pada tahun 2004 dengan majoriti 9,836 undi menerusi Siew Keong.

Kemenangan hari ini juga merupakan yang ketiga dicapai oleh BN dalam enam PRK yang diadakan selepas PRU-13.

Yang turut meraikan kejayaan BN ialah Setiausaha Agung UMNO dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Pada PRU-13, satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Teluk Intan telah berjaya dirampas kembali oleh BN.

BN menawan DUN Changkat Jong dengan majoriti 1,118 undi tetapi tewas di Pasir Bedamar yang sememangnya menjadi kubu kuat DAP selama empat penggal bermula 1999.

Difahamkan DAP memperoleh undi daripada pengundi Cina dan segelintir pemimpin Pas peringkat cawangan manakala BN menguasai undi daripada masyarakat Melayu dan kaum India.

Dalam pada itu, Siew Keong menyifatkan kejayaannya itu hasil kerjasama antara parti-parti komponen BN seperti UMNO, MIC, MCA, PPP dan Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang banyak memberi nasihat dan bimbingan pada perjuangan kali ini.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kemenangan itu membuktikan rakyat tahu bahawa hanya BN yang mampu membela mereka.

Shahrizat pula menyifatkan, PRK Teluk Intan sebagai antara yang paling mencabar, justeru beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam satu sidang akhbar di sini memberitahu, beliau kecewa kerana peratusan keluar mengundi tidak mencapai sasaran pihaknya iaitu sebanyak 70 peratus.

“Peratusan keluar mengundi PRK Teluk Intan sebanyak 66.67 peratus adalah kedua terendah selepas PRK Bukit Gelugor iaitu 56 peratus, baru-baru ini.

“Kami tidak tahu kenapa keadaan itu berlaku sedangkan cuaca amat baik sehingga pukul 5 petang, malah keadaan lalu-lintas dan ketenteraman berada dalam keadaan terkawal, jadi kita akan buat kajian," katanya. - UTUSAN