My Add

Thursday, 26 September 2013

Tiga didakwa cuai sebabkan tahanan lolos

SEREMBAN, RABU, 25 September, 2013: Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan bersubahat dan cuai sehingga menyebabkan seorang tahanan kes dadah berjaya meloloskan diri dari tahanan polis di kawasan rehat di Plaza Tol Setul, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Nilai dekat sini pada awal bulan ini.

Lans Koperal Nizar Azizi Alwi, Koperal Ismail Jamil dan Konstabel Nashrul Azlan Mohammad masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Majistret Mohamad Izman Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, Nizar Azizi, 30, didakwa bersubahat dengan seorang tahanan polis, B. Kishminderjit Singh, 39, dengan menyerahkan wang RM1,000 kepada tahanan itu untuk diberi kepada Ismail dan Nashrul Azlan sebagai sogokan bagi membolehkan suspek dengan sengaja melarikan diri daripada tahanan polis.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokap Balai Polis Mantin di Nilai dekat sini antara pukul 11 malam, 31 Ogos dan pukul 3 pagi, 1 September lalu.

Nizar Azizi didakwa mengikut Seksyen 109 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Ismail, 50, dan Nashrul Azlan, 24, pula didakwa secara bersama dengan cuai menyebabkan Kishminderjit terlepas dari kurungan polis di hadapan tandas kawasan rehat di Plaza Tol Setul, Lekas berhampiran Nilai dekat sini antara pukul 7.50 pagi dan 10.55 pagi pada hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mohd. Izman kemudian membenarkan Nizar Azizi diikat jamin RM3,000 manakala dua lagi tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM1,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan sebutan kes pada 28 Oktober ini.

Ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Balai Polis Mantin diwakili peguam Ardelliza Izmaryanti Shafie dan Siti Huzaifah Abdul Talib manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Mohammed Zainudin.

Utusan Malaysia pada 3 September lalu melaporkan Kishminderjit yang dalam perjalanan untuk dibawa ke Penjara Simpang Renggam, Johor berjaya meloloskan diri ketika dua anggota polis yang mengiringinya berhenti di hentian rehat berkenaan selepas lelaki itu mengadu sakit perut.

Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, Kishminderjit yang bergari di belakang menolak anggota polis yang membuka pintu van lalu masuk ke dalam sebuah kereta Proton Satria dan beredar.

Bagaimanapun, suspek yang merupakan tahanan kes dadah berjaya ditangkap semula dua hari kemudian di sebuah rumah di Semenyih, Selangor. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment