My Add

Friday 29 November 2013

Ekonomi dunia sederhana

Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 28 November, 2013: Prospek pertumbuhan bagi ekonomi global dijangka terus sederhana untuk jangka masa yang lebih panjang, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Dengan ekonomi global sedang dalam pemulihan, kewangan Islam menawarkan potensi yang luas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih menyeluruh dan berdaya tahan, kata beliau.

"Ekonomi membangun dan baru muncul terutamanya akan mendapat manfaat daripada potensi ini," katanya ketika menghadiri Siri Syarahan Bank Pembangunan Islam di Jeddah, hari ini.

Zeti berkata, keutamaan kawal atur dalam mengukuhkan kestabilan kewangan dengan mengambil kira kewangan Islam akan memastikan daya maju dan potensinya untuk memberi perkhidmatan yang berkesan kepada fungsi ekonomi dan kesejahteraan ekonomi masyarakat.

"Beberapa pelajaran penting telah didapati daripada krisis sistem kewangan global baru-baru ini. Yang pertama berkaitan dengan perkembangan pesat sistem kewangan yang tidak setara dengan perkembangan aktiviti ekonomi.

"Ini telah mengakibatkan jurang antara sektor kewangan dan peranannya dalam ekonomi. Sejumlah faktor menyumbang kepada kerapuhan hubungan antara perantaraan kewangan dan aktiviti ekonomi yang produktif," kata beliau.

Dalam usaha untuk membina pertahanan yang lebih kukuh daripada perkara-perkara yang mengakibatkan krisis kewangan global 2008, Zeti berkata, agenda reformasi kawal selia global telah memberikan tumpuan kepada menangani elemen sistem kawal selia yang mengakibatkan lebihan.

Beliau berkata, elemen ini termasuk inovasi yang tidak terbatas oleh institusi kewangan dan sistem insentif semasa.

"Kejuruteraan kewangan telah menyebabkan jurubank dan pelabur kehilangan tumpuan terhadap pendedahan risiko mereka apabila mereka gagal untuk memahami produk yang semakin kompleks yang dikatakan mengurangkan risiko itu.

"Rejim kawal selia yang lemah juga gagal mengekang inovasi yang tidak terkawal. Insentif tidak sejajar kemudian mendorong pengambilan risiko yang berlebihan di peringkat institusi dan individu, "katanya.

Zeti berkata, agenda reformasi global telah mencapai kemajuan yang ketara dalam usaha mengurangkan kerapuhan sistem kewangan dan untuk mengukuhkan daya tahan.

Beliau berkata, banyak perkembangan telah dicapai dan diselesaikan dalam pembangunan piawaian kecairan global, penggunaan nisbah leveraj, dan peraturan modal yang diperkukuhkan yang merupakan komponen penting dalam usaha reformasi.

"Lebih tumpuan telah diberikan kepada penyeliaan, rejim penyelesaian yang berkesan," katanya.

"Sementara perlaksanaan berkesan reformasi ini adalah penting, dunia terus mencari penyelesaian yang akan mengukuhkan peranan institusi kewangan dalam masyarakat," kata beliau.

Di beberapa negara, kata beliau, perubahan struktur asas sedang dilaksanakan untuk mengurangkan kerumitan perbankan dan untuk melindungi perkhidmatan perbankan daripada aktiviti pengambilan risiko yang lebih tinggi.

"Cabarannya, bagaimanapun, adalah bagaimana ini boleh dicapai dengan cara yang berdaya tahan tanpa menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan dan menghapuskan kecekapan dalam pengurusan kewangan," tambah beliau. — BERNAMA 

No comments:

Post a Comment