My Add

Friday 29 November 2013

Tiga sekeluarga maut nahas

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

 * KEADAAN kereta Perodua Kancil yang remuk teruk selepas bertembung dengan lori dalam kemalangan di Nenasi, Pekan, Pahang, kelmarin.
KUANTAN, KHAMIS, 28 November, 2013: Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah setelah kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kilometer 40, Jalan Pekan-Rompin, Nenasi dekat sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa yang terbunuh ialah Rosmah Othman, 47, yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta Perodua Kancil bersama dua anaknya iaitu pemandu, Mohd. Haikal Syukri Razali, 19, dan penumpang belakang, Norzafirah, 11.

Seorang lagi anak Rosmah, Nurul Najila, 7, cedera parah dan kini ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan lanjut. Mereka berasal dari Taman Wawasan Endau, Rompin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahya Othman berkata, kejadian berlaku apabila kereta dinaiki empat beranak dari Kuantan menghala pulang ke Rompin tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori dari arah hadapan.

"Pertembungan itu menyebabkan mereka tersepit dalam kereta dan tiga daripadanya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Yahya berkata, pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan dengan kenderaan tersebut rosak di bahagian depan.

Katanya, mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya pada pukul 1 pagi bagi urusan pengebumian.

"Siasatan kini masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Difahamkan, kesemua mangsa dibawa ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Tanjung Gemok, Rompin untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Gemok di situ.

Dalam pada itu, menurut adik ipar Rosmah, Mohamad Shafie Mohd. Arifin, 55, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Rompin selepas menukar kereta dengan anak kedua wanita itu yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang di Jengka, Maran.

"Rosmah memberi pinjam kereta Nissan Almeera yang baru dibelinya dua bulan lalu kepada anaknya itu di Kuantan dan mengambil kereta Perodua Kancil untuk pulang bersama tiga lagi anaknya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment