My Add

Thursday 28 November 2013

Polis bantuan ganti pengawal?

Oleh NORAZRIN MARZUKI

 * AHMAD Zahid Hamidi (tengah) beramah mesra dengan pegawai dan anggota Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia dalam Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara di Pulapol, Jalan Semarak di Kuala Lumpur, semalam. Yang turut hadir Wan Junaidi Tunku Jaafar (kiri) dan Khalid Abu Bakar (dua, kiri). - BERNAMA
KUALA LUMPUR, RABU, 27 November, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji cadangan beberapa pihak supaya menggantikan khidmat pengawal keselamatan swasta dengan polis bantuan atau polis sukarelawan (PVR) khususnya di pejabat kerajaan dan kawasan perumahan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kajian menyeluruh serta maklum balas daripada pihak berkaitan amat diperlukan kerana melibatkan implikasi terhadap kewangan kerajaan dan pemindaan undang-undang.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan membawa perkara itu ke Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen untuk menggubal satu undang-undang yang lebih khusus terhadap aspek keselamatan dan tatacara.

"Syarikat kawalan keselamatan tertakluk pada Akta Syarikat Persendirian dan semestinya melibatkan kajian semula akta ini yang mungkin terpaksa memerlukan pindaan undang-undang.

"Perkara ini akan kita teliti dari pelbagai sudut pandangan oleh agensi berkaitan seperti pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum dibawa ke Parlimen," katanya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 156 anggota polis yang terlibat dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah, pada Februari lepas.

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ahad lalu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencadangkan agar khidmat pengawal keselamatan di semua pejabat kerajaan digantikan dengan polis bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment