My Add

Thursday 28 November 2013

Setiap IPT perlu miliki monumen - Tun Abdullah

KUBANG PASU, RABU, 27 November, 2013: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyarankan setiap institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini memiliki monumen memperingati jasa mereka yang pernah berkhidmat di institusi tersebut.

Kata beliau, monumen seperti itu juga akan memberi inspirasi kepada seluruh warga universiti terutama pelajar untuk menempa kejayaan selain memberi nilai tambah kepada institusi tersebut.

''Bukan semua universiti mempunyai monumen seperti ini, malah ada pegawainya yang sampai pencen pun dilihat tidak ada hubung kait dengan institusi itu," katanya pada majlis Pemasyhuran Kompleks Ahmad Fawzi Basri di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok di sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Abdullah berkata, usaha menamakan bekas Naib Canselor, Allahyarham Ahmad Fawzi bagi kompleks Hal Ehwal Pelajar UUM itu tepat kerana beliau merupakan tokoh akademik yang hebat dan sangat berjasa

"Kita harap sejarah ketokohan beliau akan menjadi inspirasi kepada warga UUM kerana beliau seorang yang sangat bersemangat dan mementingkan universiti ini," katanya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa memberitahu, usaha itu dilakukan sebagai mengenang jasa dan sumbangan Ahmad Fawzi yang merupakan Naib Canselor UUM kelima pada 2001.

"Peruntukan pembinaan bangunan Kompleks Hal Ehwal Pelajar ini disalurkan oleh kerajaan berjumlah RM21.3 juta dan siap dibina pada 2010.

"Kita berasa bangga dengan kehadiran bekas Perdana Menteri yang juga merupakan sahabat baik kepada Allahyarham Ahmad Fawzi memasyhurkan bangunan itu," katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri isteri Allahyarham Ahmad Fawzi, Datin Aishah Ibrahim. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment