My Add

Thursday 28 November 2013

Ahli DAP cabar pemecatan

 * S. Rajashegher (kanan) berbincang dengan peguamnya, Norliana Ali Othman selepas mengemukakan saman terhadap Tan Kok Wai dan DAP di Mahkamah Tinggi, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
SEREMBAN, RABU, 27 November, 2013: Permohonan Naib Pengerusi DAP Cawangan Nilai, S. Rajashegher untuk mencabar pemecatan keahliannya dalam parti itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Januari ini.

Penolong Kanan Pendaftar, Zuhair Rosli menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes berkenaan di hadapan beliau hari ini.

Permohonan itu dijadualkan didengar oleh Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad.

Rajashegher, 57, yang juga ahli seumur hidup DAP memfailkan saman berkenaan pada 1 Ogos lalu dengan menamakan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai defendan pertama dan DAP defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rajashegher selaku plaintif menyatakan, beliau pada 6 Julai lalu telah menerima surat pemecatan keahliannya daripada Kok Wai bertarikh 28 Jun.

Beliau bagaimanapun mendakwa, tindakan jawatankuasa disiplin dan parti itu membatalkan keahliannya daripada DAP adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Plaintif menyatakan, ini kerana jawatankuasa disiplin itu adalah tidak sah selepas Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak mengiktiraf Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dipilih pada pemilihan bertarikh 15 Disember 2012.

Berikutan itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa keputusan defendan pertama dan kedua memecat keahliannya adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut kedudukannya sebagai Naib Pengerusi Cawangan Nilai dipulihkan dan dibenarkan menghadiri serta terlibat dalam hal ehwal DAP. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment