My Add

Saturday 30 November 2013

PPD diberi lebih kuasa

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA

 * IDRIS Jusoh (tengah) bersalaman dengan para peserta Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah dan Pelancaran Program Transformasi Pendidikan, di Kuala Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/Shaifudin Mohd. Nor
KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 28 November, 2013: Kementerian Pendidikan akan memperkasakan perkhidmatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara agar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dapat dilaksanakan lebih berkesan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, antara lain PPD akan diberikan lebih kuasa agar pegawainya dapat menjalankan tugas tanpa menghadapi banyak kerenah birokrasi.

"Inilah antara sebab kita mengadakan transformasi daerah ini agar kita boleh memberi kuasa yang lebih kepada PPD untuk melaksanakannya.

"Dengan cara itu, kita akan melihat program-program di peringkat akar umbi dapat berjalan dengan lancar tanpa banyak birokrasi dan pada masa sama, kita akan memastikan pendidikan dinaik taraf menjadi lebih baik dan inilah pelan transformasi pendidikan negara yang sedang dilaksanakan pada masa kini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah dan Pelancaran Program Transformasi Pendidikan di sini malam tadi.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Md. Zin; Yang Dipertua Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia (MPPDM), Azwar Iqbal Mohd. Tahir serta beberapa kenamaan lain.

Persidangan selama dua hari itu anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MPPDM, melibatkan kira-kira 1,000 peserta termasuk PPD di seluruh negara, para pengetua serta guru besar di seluruh negeri ini.

Dalam perkembangan berasingan, Idris memberitahu, kementeriannya bercadang mengguna pakai kaedah pembelajaran berasaskan program Ulul Albab yang dilaksanakan di sekolah-sekolah Imtiaz di negeri ini di tiga negeri lain tahun depan sebagai langkah permulaan sebelum dilaksanakan di seluruh negara kelak.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini, negeri-negeri tersebut masih belum dikenal pasti, namun antara negeri yang dijangka terpilih dan disenarai pendek ialah di Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

"Ini antara negeri yang telah menyatakan persetujuan mereka kerana perkara itu (pelaksanaan program Ulul Albab) memerlukan persediaan rapi termasuk di segi kesediaan sekolah-sekolah untuk melaksanakan program tersebut," ujar beliau.

Tambahnya, jika program tersebut berkesan, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya satu sekolah di setiap negeri mengguna pakai program tersebut menjelang tahun 2015 nanti. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment