My Add

Thursday 28 November 2013

Muneandy mahu terus perjuang nasib masyarakat India

KUALA LUMPUR, RABU, 27 November, 2013: Calon Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk N. Muneandyberazam untuk terus memperjuangkan nasib masyarakat India di negara ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Suratkhabar Tamil Selangor dan Wilayah Persekutuan berkata, sejak menyertai MIC, niatnya adalah untuk memperbaiki nasib golongan India.

“Saya menyertai MIC sejak usia remaja dan telah mengharungi onak dan duri demi masa depan masyarakat saya selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Muneandy, beliau perlu terlebih dahulu mempunyai kedudukan dalam MIC bagi meneruskan agenda utama memperkasakan komuniti India seperti yang diharapkannya.

“Saya membuat keputusan untuk bertanding kerana hanya melalui kuasa politik, suara anda akan didengari. Saya telah berkhidmat dengan masyakarat India khususnya di Selangor, ramai yang mengenali saya," katanya.

Beliau berkata, sebagai orang yang mempunyai latar belakang kewangan yang kukuh, penyertaannya dalam politik bukanlah untuk mencari kedudukan atau kerana wang seperti andaian sesetengah pihak terhadap mereka yang menyertai politik.

“Saya tidak perlu semua itu. Saya tidak boleh duduk rumah dengan kesenangan yang telah dikecapi hasil usaha saya bersama keluarga sahaja. Keupayaan saya memperkasa diri ini perlu dikongsi dengan golongan di luar sana," ujarnya yang juga Pengerusi MIC Cawangan Ampang Jaya.

Antara agenda beliau sekiranya menang pada pemilihan CWC Sabtu ini ialah, pendidikan dan sekolah Tamil yang masih jauh ketinggalan ke belakang berbanding sekolah Kebangsaan dan Cina.

“Kita mempunyai kerajaan yang prihatin untuk menaik taraf sekolah Tamil, mengapa sehingga hari ini masih ada isu ini menghantui kita?

“Saya akan mencadangkan kepada parti dan kerajaan supaya menubuhkan institusi seperti Dong Zong khusus untuk membantu sistem pembelajaran kita dengan mewujudkan lebih banyak sekolah dan tadika," katanya - UTUSAN. 

No comments:

Post a Comment