My Add

Thursday 28 November 2013

Kerajaan tidak rayu kes Pulau Batu Puteh
PUTRAJAYA, RABU, 27 November, 2013: Kerajaan tidak berhasrat membuat rayuan semula di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, selepas kalah dalam kes tuntutan Pulau Batu Puteh kepada Singapura pada 2007.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil berikutan ketiadaan bukti kukuh dan fakta lengkap bagi menyokong semula tuntutan tersebut.

"Kita sekarang tidak mempunyai komitmen untuk merayu semula biar pun banyak pihak yang meminta supaya dibuat rayuan semula selepas kalah dalam kes itu kerana kita tidak mahu ke sana tanpa bukti kukuh dan kalah lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Persidangan Undang-Undang Kebangsaan 2013 anjuran Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang meminta kerajaan membuat rayuan semula terhadap kes tersebut berdasarkan dakwaan yang didedahkan oleh bekas Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mat Zain Ibrahim melalui akuan bersumpahnya yang mendakwa wujud sogokan wang hingga menyebabkan Malaysia kalah dalam kes Pulau Batu Puteh.

Menurut Nancy, bagaimanapun kerajaan tetap berusaha mencari bukti dan maklumat baru mengenai kes Pulau Batu Puteh untuk persediaan masa hadapan.

Katanya, proses yang dilakukan secara berterusan itu mendapat kerjasama daripada Arkib Negara yang membantu negara mengumpul bukan sahaja maklumat mengenai pulau tersebut malah perkara lain juga. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment