My Add

Friday 29 November 2013

Kedudukan Yingluck tidak dicabar

 * SEBAHAGIAN penunjuk perasaan, duduk di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kebangsaan dalam tunjuk perasaan di Bangkok, Thailand, semalam. - Reuters
BANGKOK, KHAMIS, 28 NovEMBER, 2013: Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen ketika penunjuk perasaan terus mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara dalam usaha melumpuhkan kerajaan.

Menurut Speaker Dewan Rendah, Somsak Kiatsuranont, usul tidak percaya itu ditolak dengan 297 undi, sementara 134 lagi undian menyokong beliau disingkirkan.

Undi tidak percaya itu dikemukakan oleh parti pembangkang, Parti Demokrat yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam kerajaan dan menuduh Yingluck bertindak sebagai boneka kepada abangnya, Thaksin yang digulingkan dan kini hidup dalam buangan.

Yingluck yang menafikan dakwaan tersebut, menggesa penunjuk perasaan menamatkan kepungan mereka di beberapa bangunan kementerian.

"Mereka mahu terus berdemonstrasi sehingga hujung bulan ini. Saya rasa cukup-cukuplah dengan tindakan menzahirkan pendirian politik mereka,'' katanya.

Dalam ucapan beberapa jam selepas terselamat daripada undi tidak percaya itu, Yingluck mengajak pemimpin pembangkang mengadakan dialog untuk mengelak konfrontrasi jalanan.

Beliau berkata, demonstrasi itu mengancam ekonomi negara dan menggesa pembangkang bersetuju menyertai satu panel untuk mencari penyelesaian.

Penunjuk perasaan hari ini mula berarak ke Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan, sehari selepas memasuki sebuah bangunan pusat pentadbiran di utara Bangkok dan memaksa pemindahan operasi agensi perisikan, Jabatan Siasatan Khas.

Mereka turut bertindak memotong bekalan elektrik di Ibu Pejabat Polis Kebangsaan, sekali gus tidak menghiraukan rayuan Perdana Menteri yang mahu penunjuk perasaan menamatkan perhimpunan tersebut.

Yingluck menolak penggunaan tindakan kekerasan untuk menamatkan demonstrasi tersebut, bagi mengelak kejadian pertumpahan darah pada 2010 berulang.

Satu pilihan yang boleh diambil oleh Yingluck adalah membubarkan Dewan Rendah dan mengadakan pilihan raya umum.

Kemungkinan campur tangan tentera juga menjadi kebimbangan di Thailand yang dilihat berlaku sebanyak 18 kali sejak 1932, namun sehingga kini pasukan keselamatan itu tidak menunjukkan tanda-tanda akan berbuat demikian. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment