My Add

Thursday 28 November 2013

Hishammuddin kecewa prestasi mySIKAP

KUALA LUMPUR, RABU, 27 November, 2013: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melahirkan kekecewaan terhadap prestasi perkhidmatan sistem pengkomputeran mySIKAP di kaunter urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mula beroperasi awal bulan ini.

Walau bagaimanapun beliau berkata, JPJ tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana masalah utama berpunca daripada kapasiti komputer atau rangka utama sistem itu.

"Ini bukan salah sesiapa. Sistem itu sendiri yang perlu dipertingkatkan. Kita akan cuba atasi kelemahan itu melalui perbincangan dengan IBM Malaysia mengenai cara untuk meningkatkan kapasiti rangka utama sistem berkenaan.

"Usaha akan dijalankan bagi memastikan kelancaran sistem itu dapat beroperasi dengan baik pada masa akan datang demi kepuasan pelanggan dan kelancaran penyampaian perkhidmatan JPJ," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad sebelum ini berkata, pihaknya mendapati berlaku sedikit gangguan dalam sistem itu namun dijangka pulih sepenuhnya akhir tahun ini selepas beberapa langkah dikenal pasti untuk menstabilkannya semula.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, laporan penuh siasatan tragedi kemalangan bas di Genting Highlands yang mengorbankan 37 penumpang akan dimaklumkan kepada pengetahuan umum pada hujung tahun ini.

Katanya, pihaknya mengambil pendekatan yang lebih telus dan terbuka dalam menyiapkan laporan itu tanpa menyembunyikan kelemahan mana-mana pihak.

"Difahamkan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah menyiapkan laporan penuh nahas itu manakala pihak syarikat bas itu masih lagi dalam proses menyiapkannya. Kementerian Kerja Raya juga telah membuat audit dan ini semua telah dikaji dan diteliti oleh panel bebas yang dipimpin oleh Tan Sri Lee Lam Thye.

"Kita mahu masyarakat tahu punca nahas dan bagaimana untuk mengelakkannya daripada berulang pada masa depan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment