My Add

Saturday 30 November 2013

Gaji Menteri Besar Selangor tidak munasabah - Khaled

KLUANG, JUMAAT, 29 November, 2013: Kenaikan gaji Menteri Besar Selangor, Speaker Dewan Undangan Negeri dan barisan Exco negeri itu sebanyak 373.3 peratus dianggap sebagai tidak munasabah dan keterlaluan.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah gaji Menteri Besar Selangor yang akan dinaikkan bermula tahun depan agak keterlaluan jika gajinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dicampur dengan gaji Menteri Besar.

Menurutnya, gaji ADUN yang dicadangkan ialah sebanyak RM11,250 manakala Menteri Besar RM29,250 dan jika kedua-duanya dicampur akan menjadi RM40,500, iaitu satu jumlah yang agak keterlaluan.

"Di negeri Johor, kita tidak mempunyai rasa cemburu atau apa-apa niat, tetapi kenaikan yang dibuat biarlah berpadan dan mampu memberi kesan positif kepada rakyat. Sepatutnya biarlah gaji ADUN sahaja yang dinaikkan bukan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri.

"Itupun bukanlah dalam jumlah yang keterlaluan kerana secara automatik, Menteri Besar dan juga barisan Exco juga akan merasai kesan kenaikan itu kerana mereka merupakan ADUN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Agro Johor sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di Projek Pertanian Kluang di sini hari ini.

Mohamed Khaled memberitahu, kerajaan negeri ini juga dijangka menaikkan gaji ADUN namun tidak melibatkan Exco dan Menteri Besar serta dalam jumlah yang munasabah.

"Kerajaan negeri sedang menimbang untuk menaikkan gaji ADUN tetapi bukanlah dalam jumlah yang tinggi seperti Selangor. Pertimbangan ini dibuat kerana ADUN merupakan individu yang bekerja kuat untuk masyarakat di kawasannya.

"Bagaimanapun, pertimbangan itu hanya di peringkat awal dan tiada keputusan lagi bila dan berapa gaji ADUN di negeri ini akan dinaikkan. Jika gaji ADUN dinaikkan kita akan mengumumkannya kemudian," katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan kerajaan negeri akan memberikan bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 untuk penjawat awam bagi tahun 2013 sama seperti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan.

Pembayaran bonus itu dijangka akan dibuat pada Disember ini bagi meringankan beban penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment