14 bekas AJK Wanita UMNO Kalabakan dilarang bertanding?
TAWAU, SABTU, 02 November, 2013: UMNO Bahagian Kalabakan telah memohon kepada UMNO pusat supaya 14 Ahli Jawatankuasa Wanita UMNO Bahagian itu, yang meletak jawatan bulan lepas, tidak dibenarkan bertanding pada pemilihan semula jawatan pada 30 November ini.
Ketuanya, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, ini bagi memastikan tidak ada anggota yang meletak jawatan semata-mata kerana tidak puas hati dengan proses pemilihan.
"Kita tidak mahu apabila mereka menang semula, tetapi tidak puas hati, mereka akan letak jawatan lagi sebagai tanda protes," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan dan perikanan kepada 100 anggota Pemuda dan Puteri UMNO di sini Sabtu.
Ghapur, yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata, ada cara yang betul untuk melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara dan bukan dengan meletak jawatan selepas diisytihar menang sesuatu jawatan.
Ahli Jawatankuasa Wanita bahagian itu meletak jawatan tiga hari selepas pemilihan sayap diadakan kerana tidak berpuas hati dengan proses pemilihan di bahagian itu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment