Angin perubahan kini bertiup di Sungai Limau
YAN, AHAD, 03 November, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, angin perubahan kini sudah bertiup di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau untuk memberi laluan kepada wakil Barisan Nasional (BN) menjadi wakil rakyat di DUN itu.
Keyakinan Timbalan Perdana Menteri ini berikutan respons positif yang diterima jentera BN setelah masuk ke setiap kawasan di DUN itu termasuk beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat PAS.
"Daripada pertemuan kita, mereka (pengundi) memberi keyakinan akan membantu kita kerana mereka lihat kesungguhan kita, keikhlasan kita.
"Termasuk di kawasan-kawasan pengundi Cina, yang saya lihat sudah ada petanda positif ke arah membantu BN. Jadi saya fikir atas dasar itu kita boleh mencapai kejayaan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat tertutup jentera BN di Bilik Gerakan parti gabungan itu di Sungai Limau Dalam di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi BN berkata, beliau berbangga dengan gerak kerja jentera BN yang telah bersiapsiaga menghadapi hari pengundian PRK DUN Sungai Limau esok.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, beberapa jam terakhir sebelum kempen tamat tengah malam ini adalah tempoh kritikal dan beliau mahu jentera memperkuatkan usaha bertemu para pengundi serta merayu sokongan mereka.
Katanya, pelbagai respons telah diberikan BN terhadap isu setempat termasuk membaiki 416 rumah usang penduduk menerusi Yayasan Felda dan Giat Mara dengan perbelanjaan lebih RM3 juta.
Muhyiddin sekali lagi menyeru masyarakat DUN Sungai Limau agar memberi sokongan kepada calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim kerana beliau yakin bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu mampu menjadi wakil rakyat yang berkesan di kawasan berkenaan.
Mengulas mengenai penyerahan borang keanggotaan UMNO oleh lebih 300 penduduk di DUN Sungai Limau yang kebanyakannya penyokong PAS semalam, Muhyiddin menafikan mereka dibayar untuk melakukannya.
"Memang waktu ini ada orang PAS sudah kecewa. Bukan sahaja tentang apa yang telah berlaku dalam parti mereka, kelemahan dari segi pentadbiran, pembangunan terbiar, jadi ini membuatkan mereka merasa marah.
"Bila mereka lihat waktu ini, mereka nak sertai (BN), tak jadi masalah bagi kita, tak perlu kita bagi wang dan sebagainya," tegasnya.
Dalam pada itu, timbalan perdana menteri turut membidas PAS kerana mendakwa jentera BN sendiri meminta pengundi tidak keluar mengundi esok, yang disifatkannya sebagai reverse psychology untuk menang pilihan raya.
"Tapi kami tak pernah terperangkap, kerana saya sendiri telah banyak pengalaman menghadapi pilihan raya. Tapi bagi BN kita cakap perkara betul, yang hak, kerana rakyat ini pandai," katanya.
Muhyiddin berkata, parti-parti politik tidak boleh memandang rendah pengetahuan pengundi kerana mereka lebih arif apa yang mereka mahukan.- BERNAMA
No comments:
Post a Comment