Beri penjelasan telus tentang intipan - Hishammuddin
KLUANG, AHAD, 03 November, 2013: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Australia diminta memberi penjelasan secara telus dan terperinci berhubung dakwaan kegiatan intipan yang dijalankan oleh kedutaan masing-masing di negara ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dakwaan tersebut amat serius memandangkan perkara itu melibatkan keselamatan dan kepentingan negara.
''Dakwaan ini sangat serius dan kita nak tahu secara terperinci apa dan siapa yang diintip Amerika Syarikat dan Australia, mereka perlu diperjelaskan secara telus.
''Sekiranya tidak diperjelaskan sepenuhnya, kita khuatir hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin akan berubah menjadi tegang," katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R. Vidyananthan di Dewan Bandaran Kejora, Taman Sri Lambak di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Isu tersebut timbul berikutan laporan akhbar tentang dakwaan pemberi maklumat perisikan, Edward Joseph Snowden yang mendedahkan bahawa AS mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Tinggi Australia di negara ini turut didakwa merupakan antara pejabat kedutaan yang digunakan dalam program pengumpulan data elektronik secara rahsia oleh AS.
Sementara itu, Duta AS di negara ini, Joseph Y. Yun melalui penjelasan kepada Wisma Putra menyatakan semua kegiatan pengawasan yang dijalankan oleh AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan, khususnya untuk mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.
Mengulas tentang lawatan rasmi selama dua hari ke China baru-baru ini, Hishammuddin mengakui, kunjungan itu mampu merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara serta memastikan kerjasama bagi menjamin kestabilan di rantau dapat dijalankan secara berterusan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment