Jangan termakan hasutan
JERAI, SABTU, 02 November, 2013: Pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dinasihatkan agar tidak termakan dengan hasutan dan tohmahan yang dilemparkan kepada Barisan Nasional (BN) oleh pakatan pembangkang dalam perang saraf yang sedang mereka lancarkan.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, dalam tempoh 48 jam yang tinggal untuk berkempen itu, pelbagai taktik akan digunakan pembangkang termasuk menggunakan seorang penceramah popular dalam kalangan orang muda yang cenderung menyokong perjuangan politik Pas.
"Saya harap pengundi jangan termakan dengan perang saraf saat-saat akhir daripada parti pembangkang yang akan kata macam-macam kepada BN.
"Sesiapa yang pergi ceramah yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang perlu berhati-hati sebab penceramah ini tidak bersikap berkecuali sebaliknya memberikan ceramah yang diselitkan dengan unsur politik yang berat sebelah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan barangan sukan di Sekolah Kebangsaan Dulang, di sini hari ini.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, selain itu antara isu lain yang akan digunakan bagi menghasut pengundi di Sungai Limau ialah isu dakwat kekal dan pengundi hantu yang sering timbul apabila pakatan pembangkang mendapati sokongan kepada BN semakin meningkat. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment