My Add

Sunday, 3 November 2013

Kerajaan cadang buka Agrobazar Kedai Rakyat di Singapura

YAN, AHAD, 03 November, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang untuk memperluas pemasaran hasil produk usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian itu bercadang untuk membuka Agrobazar Kedai Rakyat di Singapura, selain menjadikan ia sebagai projek perintis sebelum mengembangkan perniagaan itu ke negara lain.

"Saya sudah kemukakan cadangan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau meminta supaya cadangan ini disegerakan.

"Beliau mahu produk-produk segar dari kampung dihantar terus ke Singapura menerusi penubuhan agrobazar ini di Singapura," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pasar Tani Sungai Limau Dalam yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Nancy Shukri serta calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Ismail Sabri berkata, jika penubuhan agrobazar itu berjaya di Singapura, pihaknya turut berhasrat untuk membukanya di beberapa negara lain termasuk Hong Kong, China dan Australia.

Beliau berkata, usaha itu bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan para petani malah pendapatan negara, sekaligus memperkenalkan produk tempatan ke luar negara. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment