Malaysia kini memasuki era SDG - Najib
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 November, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia kini sedang melangkah ke era Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) selepas berjaya mencapai objektif Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) terutama dalam usaha membasmi kemiskinan tegar, kebuluran dan pencegahan penyakit.
Malah jelas Perdana Menteri, Malaysia turut melepasi sasaran 'aku janji' yang disarankan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 20 tahun lalu iaitu mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus bentuk muka bumi sesebuah negara dengan alam semula jadi.
Menurut beliau, perkara itu memberi petanda kepada dunia bahawa Malaysia mengotakan saranan tersebut apabila 74 peratus daripada negara ini dilitupi kehijauan selain memiliki 56.4 peratus kawasan hutan.
"Malaysia antara negara yang sangat berjaya apabila memenuhi semua sasaran MDG. Objektif MDG dipersetujui kebanyakan negara pada 2000 untuk dicapai sebelum 2015 dengan fokus membasmi kemiskinan tegar, kebuluran dan pencegahan penyakit.
"Walau bagaimanapun, kita melihat keperluan sesebuah agenda pembangunan itu memenuhi matlamat kelestarian dan atas dasar tersebut, kita sedang memperhalusi MDG dengan agenda baharu iaitu pembangunan SDG," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Forum Peringkat Tertinggi Berkaitan Biodiversiti dan Pembangunan Pasca 2015, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid.
MDG diperkenalkan semasa Sidang Kemuncak Milenium Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada September 2000 dengan lapan matlamat utama iaitu membasmi kemiskinan; mencapai pendidikan sejagat; meningkatkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita; mengurangkan kematian kanak-kanak; memperbaiki kesihatan wanita mengandung; mencegah penyakit; memastikan kelestarian alam sekitar serta membangunkan kerjasama sejagat untuk pembangunan.
Najib memberitahu, selain meneruskan agenda membasmi kemiskinan, SDG meletakkan matlamat dengan cabaran memastikan kesaksamaan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar, khususnya matlamat membendung bahaya perubahan iklim.
Menurutnya, daya tahan sistem sosioekonomi dan alam sekitar kini sedang diuji berbanding permintaan daripada peningkatan penduduk dan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
"Malaysia tidak terkecuali, kita juga melihat bagaimana mencari keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan. Tetapi, perkara itu bukanlah langkah mudah, khususnya kepada negara membangun dan kita berusaha mencari pelbagai cara dalam mencapai matlamat tersebut.
"Bagi Malaysia, kita telah mencapai pertumbuhan yang pantas dan mapan sepanjang tiga dekad ini. Mengukur pertumbuhan menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi negara telah meningkat lebih 100 kali ganda," ujarnya.
Sejak empat dekad lalu ujar beliau, purata pertumbuhan tahunan negara adalah hampir tujuh peratus, kadar kemiskinan pula menurun daripada 49 peratus kepada kurang empat peratus dan kadar per kapita KDNK meningkat daripada AS$370 (RM1,165) kepada lebih AS$9,000 (RM28,350).
Pada masa sama ujarnya, Malaysia secara global menyatakan kebimbangan terhadap ancaman alam sekitar terutama daripada pengeluaran karbon selain kepupusan spesies. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment