* SHAMSUBAHRIN Ismail (kiri) menyatakan sesuatu kepada Kamarul Hisham Kamaruddin ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam. |
Hakim Rozilah Salleh turut memerintahkan tertuduh membela diri atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.
Beliau memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Shamsubahrin di akhir pendakwaan.
Ahli perniagaan itu kemudian membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan pindaan tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, pindaan dilakukan dengan memasukkan ayat 'dengan menyatakan kamu disuruh oleh Tun Dr. Mahathir (Mohamad) bagi membantu SP42 (Mohamad Salleh) tersebut padahal ia tidak benar dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan kononnya bernilai RM2.75 juta', ke dalam pertuduhan asal.
Mengikut pertuduhan tersebut, Shamsubahrin didakwa menipu dengan sengaja menjanjikan Mohamad Salleh perkhidmatan rundingan dan nasihat yang tidak benar sehingga mendorong mangsa bersetuju membayar wang perkhidmatan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Restoran Sid's Pub, di H2, Taman Tunku, Persimpangan Langkat Tunku, Bukit Tunku di sini pada pukul 6 petang, 20 November 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara bagi pertuduhan kedua sehingga kelima, pindaan dilakukan dengan memasukkan ayat 'dengan menyatakan kamu disuruh oleh Tun Dr. Mahathir bagi membantu SP42 tersebut padahal ia tidak benar dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan'.
Bagi keempat-empat pertuduhan itu, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh untuk menyerahkan empat keping cek bernilai RM1.75 juta dalam empat kejadian berasingan bagi memujuk mangsa mempercayai sebahagian wang itu untuk bayaran perkhidmatan rundingan dan nasihat.
Mengikut pertuduhan, wang berkenaan kononnya untuk diberikan kepada pegawai-pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana bagi menutup kes yang sedang disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa buah bank di sini antara 25 November dan 5 Disember 2011 manakala pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Dia turut didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan cara mengeluarkan wang berjumlah RM1.75 juta daripada beberapa akaun bank ke dalam akaun bank miliknya dan isteri, Suzana Abdul Aziz serta dua syarikat di beberapa cawangan bank sekitar ibu negara di antara 25 November dan 13 Disember 2011.
Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa dan Timbalan Pendakwa Raya, Robert Pasang Alam.
Rozilah menetapkan tiga hari bermula 20 dan 21 Februari serta 24 Februari tahun depan untuk perbicaraan di peringkat pembelaan manakala 10 Disember ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Tarikh itu ditetapkan setelah peguam, Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Shamsubahrin memohon masa lebih lama untuk perbicaraan diteruskan di peringkat pembelaan berikutan pindaan yang dibuat oleh mahkamah terhadap pertuduhan-pertuduhan berkenaan.
''Kami merasakan anak guam kami belum bersedia untuk membela diri berikutan pindaan yang dilakukan terhadap pertuduhan dan kami bimbang wujud prejudis terhadap anak guam kami,'' katanya.
Menurut beliau, pihaknya juga memerlukan masa untuk meneliti pertuduhan itu dan menentukan saksi-saksi termasuk memanggil balik saksi yang sebelum ini tampil sebagai saksi bagi pihak pendakwaan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment