Peladang, penternak, nelayan perlu inovatif - PM
KUANTAN, SABTU, 09 November, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu golongan peladang, penternak dan nelayan lebih inovatif dan progresif bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.
Beliau berkata, dalam pembentangan Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan RM6 bilion untuk pelaksanaan pelbagai program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersial, selain mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memainkan peranan lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport.
"Kita tak boleh lagi guna cara lama, kaedah guna pakai pemikiran statik serta penggunaan dan aplikasi yang tidak berubah, ia akan membawa kita kepada keadaan yang sentiasa di takuk lama.
"Apabila berada di takuk lama, kita bukan sebenarnya bertahan tetapi berada dalam keadaan terkebelakang," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2013 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, keupayaan melakukan inovatif bukanlah hak mutlak saintis sahaja, namun sebagai peladang, penternak dan nelayan, mereka juga mampu berbuat demikian untuk menjadi lebih progresif. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment