My Add

Sunday, 3 November 2013

Penyokong Mursi bertempur dengan polis

 * SEBAHAGIAN penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi yang menyertai bantahan di Kaherah, kelmarin, membuat isyarat nombor empat, iaitu simbol Dataran Rabaa al-Adawiya yang digempur pasukan keselamatan Mesir pada Ogos lalu. - AGENSI
KAHERAH, SABTU, 02 November, 2013: Penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi semalam bertempur dengan polis di beberapa kawasan di Mesir, tiga hari menjelang perbicaraan pemimpin Ikhwanul Muslimin tersebut.

Menurut pegawai keselamatan, pertempuran itu berlaku di Iskandariah apabila pasukan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan.

Seramai 60 orang ditahan di kawasan tersebut Iskandariah dan 10 lagi di beberapa tempat lain.

Agensi berita MENA melaporkan, seramai lima orang cedera di Delta Nil bandar Zagazig, apabila kumpulan pro-Mursi bertempur dengan kumpulan penentang yang terdiri daripada orang awam.

Sementara itu, di Kaherah beratus-ratus penyokong Mursi berkumpul di luar Istana Presiden.

Kementerian Dalam Negeri menyatakan, pasukan polis juga terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan di bandar Suez, manakala pertempuran turut berlaku di Giza, pinggir ibu negara.

"Kami mahukan demokrasi dipulihkan semula, apa yang berlaku sekarang bukannya demokrasi sebenar," ujar seorang penunjuk perasaan, Mohammed.

Mursi akan dibicarakan pada Isnin ini berhubung dakwaan mendalangi pembunuhan penunjuk perasaan di luar Istana Presiden pada Disember 2012, tujuh bulan sebelum beliau digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera.

Seramai 20,000 anggota polis dikerah untuk mengawasi selatan Kaherah, lokasi perbicaraan akan diadakan. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment