Perbicaraan Mursi ditangguh
KAHERAH, ISNIN, 04 November, 2013: Perbicaraan ke atas bekas Presiden Mesir, Mohamed Mursi atas dakwaan mencetuskan kematian penunjuk perasaan ketika pentadbirannya, ditangguhkan pada 8 Januari depan.
Mursi dilaporkan berulang kali melaungkan 'Gulingkan Pentadbiran Tentera' dan 'Saya merupakan satu-satunya Presiden dilantik secara sah' ketika proses perbicaraan itu bermula sehingga hakim membuat keputusan untuk menangguhkannya.
''Mahkamah ini tidak sah. Ini merupakan satu rampasan kuasa oleh tentera. Pemimpin kepada tindakan itu patut dibicarakan.
''Rampasan kuasa merupakan satu pengkhianatan dan satu jenayah,'' kata seorang wartawan AFP yang memetik kenyataan Mursi kepada mahkamah semasa menghadiri perbicaraan itu.
Mursi tiba di mahkamah hari ini dengan memakai sut berbanding pakaian tahanan penjara yang berwarna putih.
Seorang pegawai keselamatan berkata, penangguhan perbicaraan itu juga berlaku kerana Mursi enggan menukar bajunya kepada baju banduan yang sering dipakai oleh defendan, tindakan dilihat beliau tidak mengiktiraf perbicaraan tersebut sebagai sah di sisi undang-undang.
Penangguhan itu berlaku selepas perbicaraan itu ditunda dua jam lewat dari waktu yang ditetapkan. - AGENSI/AFP/UTUSAN
No comments:
Post a Comment